14 Ogo 2011

TGNA Sokong Larangan Bacaan Al-Quran Guna Pembesar Suara, Selari Dgn Syarak

Larang guna pembesar suara selaras syarak

KOTA BHARU, 14 Ogos: Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menjelaskan arahan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) tidak membenar masjid menggunakan pembesar suara menyiar bacaan al-Quran sebelum Subuh selari dengan syarak.

Menteri Besar berkata, Islam tidak menggalakkan bacaan al-Quran diperdengar dengan kuat terutamanya menggunakan pembesar suara kecuali azan.

"Hanya azan sahaja yang perlu dikuatkan dengan tujuan untuk menyeru umat Islam menunaikan solat dan meninggalkan sementara urusan dunia," katanya selepas merasmikan pelancaran Koperasi Rakyat Kelantan Berhad di KTC hari ini.

Beliau diminta mengulas larangan Jabatan Agama Islam Pulau Pinang menggunakan pembesar suara di masjid sebelum solat Subuh kerana ia dianggap mengganggu ketenteraman masyarakat berbilang kaum.

Sebelum ini media melaporkan JHEAIPP mengarahkan semua masjid dan surau menghentikan bacaan al Quran menggunakan pembesar suara sebelum Subuh kerana bercanggah dengan hukum syarak.

Arahan tersebut juga selaras dengan keputusan masyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri berkenaan pada 7 April lalu.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am PAS berkata, umat Islam jangan begitu seronok membaca al-Quran dengan menggunakan pembesar suara kerana ia tidak elok dan boleh mengganggu ketenteraman orang ramai terutama kanak-kanak sedang tidur.

"Di Kelantan mungkin tak apa, sebab sudah menjadi perkara biasa, namun sesetengah tempat mungkin tidak boleh dan keputusan itu perlu dihormati," ujarnya.

Ketua Pengelola Unit Dakwah Halaqat, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan, Ustaz Abdullah Abdul Razak berkata, suasana masyarakat berbilang kaum perlu diambil kira apabila memperdengarkan bacaan al Quran secara kuat sebelum Subuh.

Katanya, bagi penduduk tinggal di negara yang majoritinya orang Islam perkara seperti itu tidak berbangkit kerana orang ramai sudah faham.

“Apa yang diputus di Pulau Pinang itu selaras dengan kehendak syarak kerana suasana persekitarannya bukan hanya didiami orang Islam sahaja.

“Syarak hanya membolehkan azan dilaungkan dengan kuat bagi menyedarkan orang yang tidur supaya bangun menunaikan solat,” ujarnya di sini.

Tindakan JHEAIPP turut disokong pensyarah USM, Prof Madya Dr Asri Zainul Abidin dan Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya yang memberi contoh Rasulullah saw pernah melarang orang membaca al-Quran secara kuat dalam masjid kerana boleh mengganggu jemaah lain. -HD


Larang Pembesar Suara : Perlis Sokong Pulau Pinang

Mufti Perlis Dr Juanda Jaya berkata amalan bacaan al-Quran menggunakan pembesar suara pada waktu subuh di masjid dan surau dengan kuat adalah bertentangan dengan sunah Nabi Muhammad SAW kerana ia mengganggu orang yang sedang tidur.

“Amalan pasang mikrofon kuat waktu sebelum subuh adalah bertentangan dengan sunah Nabi SAW kerana ia mengganggu orang yang sedang tidur. Perbuatan mengganggu ini adalah haram dan berdosa,” kata beliau dipetik dari portal Malaysiakini.

Sehubungan itu, Dr Juanda berkata pihaknya menyokong tindakan Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang yang melarang bacaan al-Quran menggunakan pembesar suara pada waktu subuh.

“Kami sokong kenyataan itu dan Perlis dah lama kuat-kuasakan larangan itu di masjid dan surau, walaupun kadang-kadang ada (pihak) yang larang.

“Mikrofon (di) masjid hanya boleh laungkan azan waktu subuh sebanyak dua kali sahaja iaitu azan pertama 30 minit sebelum subuh dan kemudian azan subuh.

“Ini adalah amalan yang menepati kehendak Sunnah Nabi SAW yang sepatutnya dipatuhi oleh semua umat Islam yang cintakan Sunnah Nabi SAW yang sahih,” katanya.

Mengulas perkara yang sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dipetik Bernama berkata pihaknya menghormati keputusan yang dibuat oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang itu.

"Kami menghormati keputusan itu kerana ia adalah hasil mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri pada 7 April lepas dan surat pekeliling mengenai larangan sudah dikeluarkan pada 3 Ogos lalu," katanya selepas menghadiri majlis Iftar Perdana Bersama Asnaf dan penyampaian bantuan Ramadan di Kompleks Pusat Islam, Kuala Lumpur malam semalam.

Berita Harian semalam melaporkan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) mengeluarkan larangan selaras dengan keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri itu kerana amalan berkenaan dikatakan bercanggah dengan hukum syarak dan boleh mengganggu orang lain di dalam dan luar masjid.

Akhbar milik Umno itu juga memetik pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan Prof Datuk Abd Shukor Husin, berkata larangan itu ditakuti mendatangkan kesan kepada penyatuan Umat Islam di negara ini.

Sebaliknya, kata beliau, larangan itu sebenarnya tidak perlu diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri, sebaliknya ditentukan mengikut budi bicara dan disesuaikan dengan keadaan sesuatu tempat.

"Sepatutnya tak payah keluarkan fatwa dulu, fatwa itu harus berhemah dan berhikmah, kena kaji sama ada tempat itu memerlukan larangan atau tidak, kerana bila sudah difatwakan ia akan menjadi isu yang boleh menjadi punca masyarakat Islam tidak bersatu.

"Contohnya satu kes masjid berdekatan dengan hospital, bila nak masuk waktu solat, imam baca al-Quran sehingga mengganggu pesakit, jadi mereka jumpa dengan mufti dan larangan itu boleh dipertimbangkan mengikut kawasan,” katanya dipetik Berita Harian.




Mahfuz Sanggah Kenyataan Rais Yatim Yang Anggap Semua Orang Sama Macam UMNO

Kenyataan dangkal Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim berhubung upah RM50 kepada peserta himpunan Bersih 2.0 diselar ahli parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar.

Sambil menyifatkan Rais sudah kehabisan modal dalam menyatakan pendiriannya, Mahfuz turut memberi amaran kepada Rais agar tidak menyamakan peserta himpunan Bersih 2.0 dengan mereka-mereka yang perlu disogok untuk melakukan sesuatu.

"Dia (Rais) anggap semua orang sama macam dalam Umno, nak buat sesuatu itu mesti dengan bayaran, nak pergi mana pun dengan bayaran. Jadi inilah budaya dalam Umno selama ini bahawa majlis keraian, menyambut pimpinan mereka boleh ramai kerana diberikan duit, diangkut dengan bas.

"Rais tak boleh berfikir luar daripada kotak pemikiran Umno. Kalau Umno berjaya menghimpunkan orang dengan duit, jadi orang lain pun hanya akan buat dengan duit
,kata Mahfuz kepada Tv Selangor.

Rais semalam mendakwa ada peserta himpunan Bersih 2.0, 9 Julai lalu diupah RM50 setiap seorang untuk memakai baju kuning, malah mendakwa mereka juga diberi makanan untuk berbuat demikian.

Rais juga membuat kesimpulannya sendiri dengan menyatakan bahawa sebilangan rakyat yang menyertai himpunan itu bukan bertujuan untuk menuntut pilihan raya yang adil dan bersih tetapi bermatlamat politik.

Malah beliau turut mengaitkan himpunan aman di negara ini dengan rusuhan di London.

"Adakah mereka (Umno) nak katakan bahawa kalau (rakyat) Malaysia yang keluar Bersih itu dibayar dengan duit, (jadi) adakah mereka nak katakan mereka yang keluar buat rusuhan (London) dibayar dengan duit?

"Hampir 100,000 orang yang hadir di Kuala Lumpur tapi tidak ada rusuhan, sebaliknya yang merusuh adalah pihak polis. Pihak keselamatan yang merusuh peserta perhimpunan, yang datang dengan penuh kesopanan," sanggah Mahfuz terhadap pendirian Rais.

Tambah Mahfuz, Rais dan parti pemerintah hakikatnya harus akur bahawa punca kebangkitan rakyat adalah rentetan pelbagai masalah yang dihadapi mereka termasuk kos sara hidup yang semakin meningkat dan tidak setara dengan gaji mereka.

"Apapun dia (Rais) mengatakan punca demonstrasi tu menunjukkan bahawa dia perlu mengakui bahawa rakyat negara kita ini berhadapan dengan masalah yang besar. Kalau dia kata tekanan hidup, bermakna rakyat tertekan dengan kos hidup kerana ketidakadilan dalam pelaksanaan pemerintah negara kita ini,"katanya.

Pada 9 Julai lalu ribuan rakyat Malaysia menongkah ledakan gas pemedih mata dan pancutan air kimia demi menuntut pembaharuan dalam sistem pilihan raya.

Dalam perhimpunan itu hampir 1,700 orang ditahan termasuk kepimpinan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) dan Pakatan Rakyat.

Ia nyata sekali berbeza dengan apa yang berlaku di London pada 4 Ogos lalu apabila ribuan rakyatnya memprotes kematian seorang lelaki akibat tembakan polis di Tottenham, utara London.

Keesokan harinya, beberapa pemuda bertopeng memulakan rusuhan, merosak dan membakar kedai.

Kejadian itu merebak ke bahagian lain di London seperti Croydon dan Bayswater sebelum merebak ke arah Utara England dengan kejadian sama dilapor di Birmingham, Liverpool dan beberapa tempat lain.



Ibu Terkejut Anak 14 Tahun Hamil Dikerjakan Suaminya

Seorang ibu yang curiga melihat anak gadisnya berusia 14 tahun gemar memakan benda masam selain perubahan saiz tubuhnya hampir pitam apabila dimaklumkan anaknya disahkan mengandung dua bulan selepas pemeriksaan di klinik kesihatan, di sini, kelmarin. Gambar fail

Lebih mengejutkan, gadis terbabit mendakwa kandungannya adalah hasil benih bapa tiri, yang juga suami ibunya.

Difahamkan, remaja terbabit menjadi mangsa rogol lelaki terbabit setiap kali ibu dan kakaknya tiada di rumah kerana keluar bekerja.

Difahamkan, ibu mangsa mengesyaki sesuatu yang buruk berlaku berikutan perubahan tubuh mangsa, terutama perutnya yang semakin membesar, selain gemar memakan asam.

Curiga dengan perubahan itu, ibu mangsa membawa anaknya menjalani pemeriksaan di klinik dan doktor mengesahkan gadis terbabit berbadan dua.

Terkejut dengan perkara itu, ibu mangsa mendesak anaknya menceritakan apa berlaku sebelum mangsa mengaku dirogol bapa tirinya sebanyak dua kali pada Jun dan Julai lalu.

Mangsa juga mendakwa diugut supaya merahsiakan kejadian itu daripada ahli keluarga lain.

Ibu mangsa yang berang kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Zahari Mohamed berkata, kejadian dipercayai berlaku di rumah mangsa di Kampung Kepayan Lama, Jalan Apin-Apin, sekitar Jun lalu.

“Mangsa dipaksa bapa tirinya melakukan hubungan seks ketika isteri dan kakak mangsa tiada di rumah.

“Mangsa juga diugut akan dicederakan jika menceritakan perkara itu kepada orang lain,”
katanya ketika dihubungi, semalam.

Zahari berkata, berdasarkan laporan dibuat ibu mangsa, polis menjalankan gerakan memburu dan suspek berjaya ditahan di rumahnya.

“Suspek kini direman bagi membantu siasatan dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol,” katanya.

Zahari berkata, suspek boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan. -hm

Rais Berdusta Di Bulan Puasa

Rais dakwa peserta BERSIH 2.0 diupah RM50

Ada peserta diupah RM50 seorang untuk memakai baju kuning dan menyertai perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai lalu, dakwa Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Rais Yatim.

Beliau berkata selain itu, mereka juga diberi makan dan perkara tersebut didedahkan dalam satu laporan yang dikeluarkan kementerian berkenaan.

"Ini jelas membuktikan upah politik itu berlaku dalam tindakan dan tindak-tanduk pemakai baju kuning atau pemimpin-pemimpin mereka," katanya pada majlis berbuka puasa di Felda Lui Timur semalam.

Rais berkata bukan semua peserta perhimpunan itu mempunyai matlamat yang jelas, kecuali sebahagian dengan matlamat politik sendiri.

Merujuk situasi di London, beliau berkata polis di luar negara tidak teragak-agak menggunakan kekerasan bagi menegakkan undang-undang, sebaliknya di Malaysia, meskipun berdepan ejekan peserta Bersih, mereka masih mampu bersabar.

"Lihat dengan apa yang kita alami di Malaysia, dan ini kita harus ambil sebagai satu perbandingan untuk keinsafan kita, yang mana betapa tertibnya Polis Diraja Malaysia mengawal keadaan berbanding dengan apa yang berlaku di luar negara," katanya.

Beliau juga berkata demontrasi di negara maju berlaku ekoran masalah tekanan hidup, dan bukan disebabkan perkara remeh-temeh seperti memperjuangkan agenda politik tokoh pemimpin pembangkang. - Bernama

Ulasan GB

Demikian tahap akhlak seorang menteri UMNO BN yang sanggup berdusta di bulan puasa ini.

Dia ingat kita serupa macam dia, serupa macam UMNO BN yang kerap mengupah orang untuk berdemo dan melaksanakan kerja-kerja untuk mereka.

Ya Allah, Kau dedahkanlah kebenaran itu kebenaran....

PAS Mohon Agong Ambil Tindakan Terhadap SPR

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) memohon Yang di-Pertuan Agong (YDPA) mengambil tindakan terhadap Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana gagal menjalankan tugas mereka bagi memastikan daftar pemilih bersih dan tidak dicemari penipuan.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu menyatakan pendedahan media yang dilakukan beberapa minggu ini membuktikan betapa daftar pemilih yang disediakan diragukan kesahihannya tetapi terus dinafikan oleh SPR.

"Kehilangan kepercayaan sebahagian rakyat kepada SPR begitu memuncak sekarang.

"Oleh itu kita harap YDPA campurtangan segera dan ambil tindakan terhadap Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR kerana gagal jalankan tugas," kata Mohamad dalam sidang media di ibu pejabat PAS di sini hari ini.

SPR kini dibelenggu pelbagai kontroversi seperti isu 'Mismah', status MyPR bertukar kepada pemegang MyKad dalam tempoh beberapa jam dan banyak lagi.

Mohamad yang lebih dikenali dengan panggilan Mat Sabu turut menambah betapa Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Yusoff dan Timbalannya Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar seringkali bertindak menyebelahi kerajaan Umno-BN.

"SPR suka guna kalimah parti pembangkang. Umno boleh, tapi bagi SPR semua parti politik adalah pelanggannya," ulas Mat Sabu.

Apapun, menurut beliau, tindakan membersihkan daftar pemilih dan memastikan mereka yang bertanggungjawab menerajui suruhanjaya menjalankan tanggungjawab dengan telus dan amanah, merupakan langkah terbaik demi masa depan Malaysia.

"Jika rakyat terima keputusan pilihan raya, negara ini akan aman. Jika rakyat tolak, ia berbahaya pada keselamatan negara.

"Kita tak ada masalah parti lain menang.. tapi akan jadi masalah jika mereka menang kerana manipulasi daftar pemilih," tegas Mat Sabu lagi.



Pegawai Kerajaan Ditangkap Berkhalwat Selepas Berbuka

Arau: “Saya minta maaf ustaz, saya janji tak buat lagi. Saya mengaku berkhalwat dan berjanji perkara ini tidak akan berlaku lagi,” kata seorang wanita berusia 27 tahun yang ditahan bersama pasangannya kerana disyaki berkhalwat di sebuah bilik hotel, di sini, malam kelmarin. Gambar fail

Sebelum itu, anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Perlis (Jaips) bersama Majlis Perbandaran Kangar (MPK) terpaksa menunggu 15 minit sebelum wanita berkenaan dan pasangannya berusia 27 tahun membuka pintu untuk pemeriksaan.

Malah, wanita itu memberi alasan tidak melakukan perbuatan terkutuk di dalam bilik itu, sebaliknya hanya menemani teman lelakinya untuk menukar pakaian.

Pasangan berkenaan yang bertugas sebagai pegawai kerajaan dikatakan baru mendaftar masuk ke hotel selepas waktu berbuka, dan lelaki terbabit sanggup datang dari Pulau Pinang untuk bertemu kekasihnya sempena cuti hujung minggu.

Penolong Pengarah Penguatkuasa Jaips, Suhaimi Ahmad berkata, dalam pemeriksaan jam 11 malam itu, anggota penguat kuasa mengetuk pintu bilik yang dihuni pasangan berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, mereka mengambil masa 15 minit sebelum dibuka wanita terbabit lalu anggota penguat kuasa memperkenalkan diri untuk membuat pemeriksaan.

“Wanita berkenaan mengaku berada dalam bilik bersama teman lelaki ketika disoal sebelum lelaki terbabit keluar dari bilik air tanpa memakai baju,” katanya. -hm


Sembunyi kasut bawah tilam

ARAU – Bagi mengelak ditahan penguat kuasa, sepasang penjawat awam berusia lingkungan 20-an sanggup menggunakan pelbagai taktik dan helah termasuk menyembunyikan pakaian dan kasut di bawah tilam.

Namun, taktik itu tidak berhasil dan dapat dihidu penguat kuasa yang menjalankan operasi bersepadu maksiat di bulan puasa, apabila mereka ditahan di sebuah hotel murah di Arau, malam semalam.

Pengerusi Portfolio Kacau Ganggu dan Halangan Majlis Perbandaran Kangar (MPK), Chan Poo Pee berkata, apabila pintu bilik yang didiami pasangan itu diketuk hampir sepuluh minit, seorang remaja perempuan yang dalam ketakutan membuka pintu.

Namun, teman lelakinya yang dipercayai berasal dari Kedah dan bekerja di Pulau Pinang itu cuba melarikan diri dengan bersembunyi dalam bilik air tanpa memakai baju.

“Hasil pemeriksaan, kita menjumpai sepasang kasut milik lelaki itu yang disembunyikan bawah tilam manakala pakaiannya sudah disimpan dalam almari.

“Ketika disoal, remaja perempuan itu memberikan alasan datang ke bilik murah berkenaan untuk menemani pasangannya menyalin pakaian.

“Kita mengambil tindakan menahan pasangan penjawat awam itu kira-kira jam 11 malam selepas didapati berdua-duaan dalam sebuah bilik hotel,” katanya kepada selepas menjalankan operasi bersepadu maksiat Ramadan oleh Majlis Perbandaran Kangar (MPK) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs), polis dan Agensi Dadah Kebangsaan (AADK).

Poo Pee berkata, pasangan itu kemudiannya dibawa ke pejabat Agama Islam Perlis untuk tindakan lanjut.

Dalam operasi yang mensasarkan hotel-hotel murah, pusat karaoke, pusat urut refleksologi di sekitar Arau dan Kangar itu, AADK turut menjalankan ujian saringan air kencing terhadap 19 remaja termasuk tiga wanita yang mengunjungi pusat karaoke.

Bagaimanapun, tiada yang ditahan selepas ujian berkenaan.

Dalam operasi itu Poo Pee berkata, MPK turut mengeluarkan tiga saman kepada pemilik premis hiburan yang beroperasi melebihi masa dan lesen premis tamat tempoh. -SH


Memahami Isu MAS-Air Asia: Ia Memantapkan Monopoli Kroni UMNO BN

Pakatan Rakyat mengutuk monopoli syarikat-syarikat besar Malaysia yang dikuasai kroni Umno-BN kerana langsung tidak membantu mengurangkan beban rakyat Malaysia.

Jawatankuasa Bajet Alternatif PR berpendapat, hal ini bertentangan dengan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum ini.

Menurut ahli parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad ini dapat dilihat dengan perkara paling asas iaitu makanan ruji rakyat Malaysia, beras.

"Beras merupakan monopoli paling besar. Satu-satunya pengimport dan pengedar adalah Bernas. Walaupun dalam harga subsidi, jika kita benarkan orang lain import beras, dengan pasaran dan ekonomi, beras boleh dijual dengan harga lebih rendah dari Bernas," terang beliau dalam sidang media di Pejabat Sekretariat Pakatan Rakyat semalam.

Dengan sinis Dr Dzulkefly berkata, hal ini seharusnya dijawab oleh Najib sendiri yang tidak berpijak pada bumi nyata dengan pengumuman bantuan namun menaikkan kos kehidupan rakyatnya.

"Najib tahu hal ini salah tapi tetap dilakukan. Kenapa beri kepada kroni? Kita taknak buat andaian, mungkin mereka beri bantuan dan sokongan untuk pilihan raya. Biar parti politik buat analisis mengenai perkara ini," kata beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Pusat PAS.

Sementara itu, ahli parlimen Bukit Bendera Liew Chin Tong pula mengulas mengenai pertukaran saham antara Air Asia dan Sistem Penerbangan Malaysia yang dikatakan bakal mewujudkan 'kartel' atau monopoli dalam industri penerbangan negara.

Menurut Chin Tong, ia hanya akan menambah beban rakyat khususnya dari sabah dan Sarawak kerana kemungkinan tambang penerbangan domestik akan meningkat.

Hal ini ada asasnya kerana pengelola lapangan terbang negara ini Malaysian Airport Holdings Berhad dilaporkan mahu menaikkan cukai lapangan terbang dari RM14 ke RM65 bagi penumpang antarabangsa dan RM7 ke RM32 bagi pengguna domestik minggu ini.

"Khazanah pada masa yang sama meningkatkan cukai lapangan terbang menerusi MAHB. Semua ini dikawal oleh Khazanah. Semua ini berlaku pada waktu yang sama. Ini pasti bakal membunuh sektor penerbangan awam di negara ini dan membebankan pengguna iaitu rakyat Malaysia," kata beliau.


Pakatan Malaysia Airlines dan AirAsia:
Berbau monopolistik atau selamatkan ekonomi negara?


Umum sedia maklum bahawa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Malaysia Airlines ini merupakan tunggak kepada amalan monopoli di mana sebelum kehadiran AirAsia dalam industri penerbangan di Malaysia, Malaysia Airlines mempunyai hak kepada kesemua pasaran penerbangan di Malaysia. Di samping itu, GLC yang merupakan kuasa utama dalam menjana ekonomi negara ini dijangkiti dengan campur tangan politik yang berleluasa. Akibat campur tangan politik yang tidak terkawal ini, Malaysia Airlines mengalami lebih banyak kerugian daripada merasai keuntungan. Ini berlaku akibat campur tangan politik yang membawa kepada pengurusan yang tidak cekap mahupun sistematik. Sebuah aset negara telah dipermainkan untuk menguntungkan pihak-pihak tertentu sahaja dan tidak dirasai oleh rakyat negara ini.

Oleh itu, pada 9 Ogos 2011<1>, dunia industri penerbangan telah dikejutkan dengan penukaran saham di antara dua syarikat penerbangan Malaysia iaitu Malaysia Airlines dan AirAsia Bhd. Penukaran saham menjaminkan Tony Fernandes akan memegang 20% saham dalam Malaysia Airlines dan Khazanah, pemegang saham terbesar dalam Malaysia Airlines akan memegang saham sebanyak 10% dalam Tune Air, pemegang saham terbesar dalam AirAsia Bhd.

Orang awam telah diberikan jaminan kononnya pakatan dua syarikat penerbangan ini tidak akan membawa kepada amalan monopoli akan tetapi Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) tidak diyakini dengan jaminan ini atas beberapa kekhuatiran-kekhuatiran yang akan dijelaskan di bawah.

Kesan pakatan dua syarikat penerbangan ini membawa kepada kekurangan persaingan yang sihat dalam industri penerbangan dalam Malaysia. Persaingan sihat telah diketengahkan sebagai wacana baharu dalam kerangka pembangunan ekonomi melalui penggubalan Akta Persaingan 2010 yang diluluskan pada bulan Mei 2010 dan berkuatkusa pada 1 Januari 2012.

Wacana di sebalik penggubalan Akta Persaingan 2010 adalah bahawa negara perlu memainkan peranan untuk menyediakan suasana persekitaran ekonomi yang menggalakkan persaingan yang sihat untuk membangunkan ekonomi negara dan bukannya menggalakkan amalan monopoli yang membantutkan semangat persaingan kompetitif yang sihat.

Menurut Rancangan Malaysia yang ke-10, persaingan yang sihat diperlukan untuk mewujudkan suasana ekonomi yang lebih cekap dan dinamik. Akta Persaingan 2010 ini menggalakkan persekitaran kompetitif yang sihat dan memberikan pelabur-pelabur asing dan tempatan lebih keyakinan untuk melabur di Malaysia. Peniaga yang melabur ke dalam negara Malaysia tanpa halangan (baca: dalam kes ini, monopoli) ini akan membolehkan negara menikmati pertumbuhan ekonomi.

Pengguna juga mendapat barangan dengan harga yang lebih rendah dengan pilihan yang banyak. Persekitaran kompetitif ini menggalakkan pembangunan produk yang baru dengan kualiti yang tinggi. Tanpa persaingan yang sihat, peniaga tidak akan menitikberatkan hak memilih para pengguna. Sebaliknya, dalam kes ini, kuasa monopoli berkemungkinan besar membawa kepada kenaikan harga, penurunan kualiti produk, pengurangan laluan penerbangan dan penurunan perkhidmatan penerbangan dua syarikat penerbangan ini dalam jangka masa panjang. Apa yang bakal disaksikan dalam jangka masa pendek tidak dapat menjamin perubahan dan hala tuju yang mungkin menguntungkan pihak tertentu tetapi merugikan rakyat dalam jangka masa panjang.

Ekoran penggubalan Akta Persaingan 2010 dan Akta Suruhanjaya Persaingan 2010, pihak berkepentingan yang tidak berpuas hati dengan amalan monopoli boleh membuat aduan kepada Tribunal Rayuan Persaingan. Di samping Tribunal Rayuan Persaingan, kerajaan juga memperuntukkan penubuhan Suruhanjaya Persaingan. Tribunal Rayuan Persaingan ini boleh digunapakai oleh mana-mana pihak yang hendak mengutarakan aduan mengenai mana-mana perniagaan yang tidak bertindak dalam kepentingan para pengguna.

Menurut Fasal 5 Akta Suruhanjaya Persaingan 2010, termaktub di bawah seksyen keanggotaan Suruhanjaya, "Suruhanjaya hendaklah terdiri daripada anggota yang berikut yang hendaklah dilantik oleh Perdana Menteri atas syor Menteri." Menteri dan Timbalan Menteri bagi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan ialah Sabri bin Yaakob, Tan Lian Hoe dan Rohani binti Abdul Karim.

Suruhanjaya ini dipengerusikan oleh bekas hakim Malaya, Siti Norma Yaakob dan anggota-anggota suruhanjaya yang dilantik ialah Ketua Eksekutif Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (ASLI) dan anggota Majlis Perundingan Ekonomi Kebangsaan, Michael Yeoh, bekas Dekan Fakulti Undang-undang UM dan kini Naib Presiden Hal Ehwal Akademik Nilai International College, Sothi Rachagan, serta Dekan Graduate School of Business Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr.Hasnah Haron.

Anggota suruhanjaya lain pula terdiri daripada bekas Presiden Majlis Peguam, Ragunath Kesavan (gambar kanan), bekas peguam Abd Malek Ahmad dan wakil kerajaan iaitu wakil Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, wakil Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), wakil Jabatan Peguam Negara dan wakil Unit Perancang Ekonomi (EPU).

Suruhanjaya ini haruslah menjawab kepada tuntutan rakyat untuk mengendalikan isu monopoli dan mengeluarkan laporan untuk samada sesuatu aktiviti Pakatan merupakan langkah yang membawa kebaikan kepada rakyat atau ia hanyalah perjanjian perniagan yang berbau monopolistik yang akan menguntungkan pihak-pihak tertentu sahaja.

Melihat kepada perkembangan isu MAS/AirAsia setakat ini, KPRU ingin melontarkan beberapa persoalan seperti berikut:

1. Adakah Menteri dan Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan bersetuju dengan perjanjian pertukaran saham MAS-AirAsia? Dan apakah pendirian Menteri dan Timbalan Menteri terhadap kebimbangan berlakunya monopoli yang tidak sejajar dengan wacana baharu pembangunan ekonomi berteraskan semangat persaingan sihat?

2. KPRU mengalu-alukan anggota-anggota Suruhanjaya Persaingan memberi pandangan profesional mereka terhadap prestasi AirAsia dan Malaysia Airlines sebelum dan selepas pakatan ini untuk memberi penjelasan yang lebih komprehensif kepada orang awam mengenai kesan Pakatan ini kepada indusri penerbangan di Malaysia dan kesan pakatan ini kepada para pengguna dan juga para pekerja kedua-dua syarikat penerbangan ini.


Isu monopoli ini membawa kepada bagaimana Tony Fernandes membeli dan membayar hutang AirAsia untuk menjadikannya satu syarikat penerbangan yang disegani dunia, maka persoalaanya ialah, adakah dengan membeli 20% saham dalam Malaysia Airlines, Tony Fernandes akan membayar hutang yang dialami oleh Malaysia Airlines, atau memonopoli industri penerbangan dengan menjadi pemilik sebenar Malaysia Airlines dan bukannya Khazanah? Dan adakah kesudahan ini akan membawa kepada monopoli satu entiti "syarikat penerbangan beraja" di Malaysia?

Pakatan bersifat monopolistik akan memberi kesan kepada kecekapan operasi Malaysia Airlines dari empat sudut.

Sudut pertama ialah Nisbah Revex atau nisbah jumlah pendapatan operasi sebagai peratusan daripada jumlah mengurus Malaysia Airlines. Apabila AirAsia memasuki gambaran ini, dan laluan-laluan dibahagikan dengan tetap, adakah Nisbah Revex Malaysia Airlines akan terjejas? Adakah ia akan berkurangan dengan AirAsia mengambil alih beberapa laluan penerbangan yang akan menguntungkan AirAsia akibat beberapa laluan udara yang bertindih di antara FireFly dan AirAsia?


Jadual 1: Keuntungan Selepas Cukai Malaysia Airlines Bagi Tempoh 2001-2009 (RM juta)
Sumber: Malaysia Airlines (2001-2009)

Seperti yang dapat dilihat dalam Jadual 1 di atas, status kewangan bagi tempoh tahun 2001 hingga 2009 yang lepas menunjukkan Malaysia Airlines mengalami kerugian atau tren keuntungan menurun setiap tahun. KPRU berpendapat, dakwaan bahawa Pakatan di antara Malaysia Airlines dan AirAsia dapat membantu status kewangan Malaysia Airlines masih tidak terjawab dan tidak terjamin. Jadual 2 di bawah menunjukkan tren hutang jangka masa panjang Malaysia Airlines yang semakin meningkat.


Jadual 2: Hutang Jangka Masa Panjang Malaysia Airlines Bagi Tempoh 1990-2000 (RM bilion)
Sumber: Malaysia Airlines, (1991-1998); Boeing Corporation (2002) http://active.boeing.com/commercial/orders/summaries.cfm

Adakah ia berbaloi untuk meletakkan status kewangan Malaysia Airlines pada syarikat penerbangan yang lain iaitu Tony Fernandes, pemilik kepada syarikat pesaing terdekat Malaysia Airlines? Adakah pakatan ini akan berjaya membantu Malaysia Airlines atau adakah ia akan membantu kapitalis tertentu dengan memberinya kuasa bermonopoli dalam industri penerbangan di pasaran penerbangan kecil seperti di Malaysia ini?

Keduanya ialah, dari sudut produktiviti. AirAsia telah berjaya mendapat hasil keuntungan sebanyak RM1.06 bilion untuk tahun 2010 manakala Malaysia Airlines hanya berjaya meraih keuntungan sebanyak RM233 juta sehingga bulan September 2010. Dengan AirAsia mempunyai prestasi produktiviti yang lebih kukuh daripada Malaysia Airlines, adakah pakatan ini lebih menguntungkan prestasi AirAsia? Berikutan perkembangan bahawa Tony Fernandes akan memegang jawatan dalam lembaga pengarah Malaysia Airlines, adakah ini memberi ruang kepada beliau untuk membuat keputusan mudah yang akan menguntungkan lagi prestasi AirAsia? Di mana semangat dan wacana baharu persaingan yang wajar tertanam dalam kerangka pembangunan ekonomi negara berikutan penggubalan Akta Persaingan 2010?

Sudut ketiga ialah faktor pembawaan penumpang di mana AirAsia telah memesan 200 kapal terbang A230 Airbus untuk mengembangkan armada kapal terbangnya manakala Malaysia Airlines dalam proses untuk menggantikan kapal terbang Boeing 747 dan 777 yang berusia lebih dari 20 tahun. Dalam kata erti yang lain, AirAsia mempunyai faktor pembawaan penumpang yang lebih tinggi daripada Malaysia Airlines dan lebih 200 kapal terbang A230 Airbus ini akan menguntungkan syarikat penerbangan AirAsia daripada Malaysia Airlines dalam pakatan dua syarikat penerbangan ini.

Sudut yang terakhir ialah hasil penumpang di mana Malaysia Airlines mempunyai bilangan yang lebih sedikit daripada AirAsia iaitu untuk tahun 2010, AirAsia mempunyai 15.23 juta penumpang; 7.2 juta penumpang antarabangsa dan 8.03 juta merupakan penumpang tempatan. Manakala Malaysia Airlines membawa 7.32 juta penumpang antarabangsa dan 6.5 juta penumpang tempatan.

Perkembangan terbaru di mana Menteri Pengankutan Kong Cho Ha telah mengesahkan bahawa akan berlaku kenaikan dalam cukai lapangan terbang serta mesyuarat di antara Malaysia Airlines dan FireFly juga cenderung ke arah memperkukuh suasana monopolistik dalam industri penerbangan. Ketidakpastian mengenai mesyuarat ini juga membawa kepada pengurangan keyakinan rakyat dalam pakatan ini. Perkembangan ini tidak menggalakkan wacana konsumerisme tetapi menggalakkan suasana korporat yang akan menjejaskan hak-hak pengguna. Hak-hak pengguna diketepikan untuk meraih keuntungan yang hanya akan dirasai oleh pihak-pihak tertentu dan bukannya rakyat negara ini.

Apabila Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan menukarkan perkataan konsumer kepada konsumerisme, ia adalah untuk menggalakkan dan melindungi hak-hak pengguna dari suasana korporat akan tetapi Pakatan di antara AirAsia dan Malaysia Airlines merupakan perlakuan bercanggah dengan pendirian kementerian.

Pakatan ini yang dibuat tanpa mengambil kira kehendak para pengguna mahupun para pekerja kedua-dua syarikat penerbangan ini telah mengundang bantahan dari Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM). DPMM mengutarakan bantahan mereka atas sebab Pakatan ini seperti menjual aset rakyat kepada pihak lain dan menjatuhkan maruah syarikat penerbangan nasional serta ia menunjukkan seolah-olah ia gagal diurus dengan baik.

Pakatan kedua-dua syarikat penerbangan ini menunjukkan bagaimana kerajaan dengan niat menjual aset rakyat yang mereka gagal untuk menguruskan dengan baik kepad pihak ketiga. KPRU ingin menegaskan sekali lagi, ia seolah-olah kerajaan melepas batuk di tangga dan sudah tidak mahu mengambil tanggungjawab untuk menguruskan Malaysia Airlines dengan lebih cekap dan sistematik. Ia merupakan tanggungjawab kerajaan dan juga negara untuk menjaga kepentingan rakyat untuk menyediakan suasana persaingan sihat bagi menjana ekonomi yang akan membangunkan negara dan bukan untuk mewujudkan suasana monopolistik yang menguntung pihak-pihak tertentu sahaja.

Kata tutupnya, pakatan ini tidak dilakukan dengan niat hendak menjaga kepentingan rakyat. Sebaliknya, ia sekali lagi berbau politk naungan ekoran tertanamnya budaya rent-seeking yang menyokong pewujudan suasana monopolistik dan dilakukan untuk menguntungkan pihak tertentu sahaja. Ia tidak mengambil kira kepentingan para pekerja, para pengguna mahupun rakyat negara. Ia dilakukan dalam penuh kerahsiaan dan kesudahannya ialah pemenang merupakan pihak tertentu termasuk kapitalis tertentu dan bukan rakyat. -MR





Pelajar Tkn 3 Terselamat Daripada Diculik

Besut: Tiga pemuda berpakat melarikan seorang gadis sunti berusia 15 tahun merentasi sempadan Terengganu- Kelantan selama lima jam malam kelmarin semata-mata dengan niat untuk memaksa pelajar tingkatan tiga itu mengahwini seorang daripada suspek.

Gambar:BEBERAPA orang ahli keluarga mangsa menunjukkan tempat Noredreen Natasya dilarikan di Kuala Besut, Terengganu semalam. Gambar kecil ialah Suhaimi (bapa mangsa).

Bagaimanapun, komplot mereka menculik Noredreen Natasya Suhaimi gagal selepas gadis itu sempat menggunakan telefon bimbitnya untuk menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada seorang rakan yang akhirnya berjaya membantu polis menyelamatkannya dan menahan dua suspek.

Insiden itu bermula pukul 9.15 malam kelmarin apabila gadis tersebut berjalan keluar dari sebuah kedai runcit di Alor Peroi di sini sebelum ditarik ke dalam sebuah kereta Perodua Kancil.

Jeritan mangsa menarik perhatian bapanya, Suhaimi Mustafa (gambar kecil), 36, yang berada di rumah kira-kira 80 meter dari situ. Dia nampak anaknya ditarik ke dalam kereta itu tetapi tidak sempat menolong.

Bimbang keselamatan anaknya, Suhaimi terus membuat laporan di Balai Polis Kuala Besut.

Noredreen Natasya ketika ditemui Kosmo! Ahad di rumahnya semalam memberitahu, kereta yang dinaikinya dipandu laju sebelum mereka berhenti di sebuah rumah kosong dipercayai milik salah seorang suspek di Kampung Gong Manor, Pasir Puteh, Kelantan, iaitu kira-kira 15 kilometer dari tempat dia dilarikan.

Dia mendakwa mengenali salah seorang penculik itu.

“Lelaki itu selalu kacau saya. Dia kerap telefon dan hantar SMS kepada saya.

“Dia jugalah yang mengajak saya untuk bernikah dengannya ketika saya diculik. Saya cukup takut tapi Alhamdulillah semuanya selamat,’’ katanya yang enggan mendedahkan wajahnya untuk diambil gambar.


Tindakan pantas bapa selamatkan anak gadis diculik

BESUT: Tindakan pantas seorang bapa melaporkan kepada polis kejadian anak gadisnya dilarikan oleh tiga pemuda yang menaiki sebuah kereta Perodua Kancil berjaya menyelamatkan anaknya itu.

Ketua Polis Daerah Besut, Supt Kamaruddin Zakaria, berkata dalam kejadian 9.15 malam tadi, bapa berumur 36 tahun dan bekerja sebagai buruh itu terdengar jeritan anak gadisnya yang ketika itu sedang membeli barang di sebuah kedai runcit berhampiran rumah mereka di Kampung Alor Peroi, Kuala Besut.

"Apabila keluar dari rumah, dia ternampak seorang lelaki yang tidak dikenali sedang menarik anak gadis berumur 15 tahun itu ke dalam sebuah Perodua Kancil berwarna perak yang juga dinaiki dua lelaki lain.

"Tergamam dengan kejadian itu, si bapa tidak sempat mengejar kereta itu kerana ia berlaku terlalu pantas dan segera membuat laporan di Balai Polis Kuala Besut sejurus kejadian," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Bertindak atas laporan, satu operasi dilancarkan dengan bantuan orang ramai dan akhirnya polis berjaya menahan dua lelaki kira-kira 2.30 pagi ini hasil serbuan ke atas sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Manok, Pasir Putih di Kelantan iaitu kira-kira 20 kilometer daripada tempat mangsa diculik.

Kamaruddin berkata, gadis yang menjadi mangsa culik itu ditemui di rumah berkenaan dalam keadaan ketakutan.

"Berdasarkan pemeriksaan doktor yang dibuat di Hospital Daerah Besut pagi ini mendapati gadis berkenaan tidak diapa-apakan oleh suspek," katanya.

Polis kini menahan reman kedua-dua lelaki yang berumur 25 dan 17 yang berasal dari Kuala Besut itu untuk membantu sisatan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan.

Polis juga sedang menjejaki seorang lagi suspek dalam kejadian itu yang dipercayai melarikan diri semasa serbuan dilakukan. - BERNAMA

Ugutan Keterlaluan: Polis Perlu Bertindak & Tangkap Ezam

Tsu Koon: Sikap Ezam ugut mahu bakar portal berita tidak boleh diterima

Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon hari ini menyelar tindakan Senator Ezam Mohd Nor yang mengugut mahu membakar pejabat portal berita The Malaysian Insider dan Malaysiakini yang beliau dakwa sebagai ejen pengkhianat Islam.

Tegas Koh, tindakan Ezam, bekas pengikut setia Datuk Seri Anwar Ibrahim, sangat tidak bertanggungjawab dan tidak boleh diterima.

Beliau juga berkata tindakan Ezam itu terlalu mengikut perasaan apabila mengulas tentang kontroversi “serbuan” ke atas Gereja Methodist Damansara Utama oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) pada 3 Ogos lalu.

“Dalam amalan demoktrasi, Ezam mempunyai hak untuk menyatakan pendirian dalam mempertahankan Islam dan juga melahirkan kebimbangan dengan kegiatan memurtadkan orang Islam yang kini sedang disiasat (Jais).

“Jika beliau mengatakan laporan portal berita ini salah, beliau perlu membahaskan secara jelas, sediakan fakta-fakta dan bukti yang kukuh atau ambil tindakan perundangan,” katanya dalam satu kenyataan.

Koh menambah tindakan membuat ugutan sebegitu tidak menggambarkan sikap seorang senator yang sepatutnya memberikan contoh kepada rakyat.

Koh yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, tindakan itu juga akan menjatuhkan imej Ezam dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang diwakili beliau.

“Malangnya beliau telah menggunakan pengaruhnya untuk membantah dan membalasnya, beliau juga membenarkan dirinya dipengaruhi oleh emosi dan sentimen yang akan memberikan kesan negatif.

“Dengan menggunakan kenyataan bersifat ugutan, beliau bukan sahaja merosakkan imejnya selaku senator tapi juga pertubuhan yang diwakilinya,”
katanya.

Semalam Ezam semasa perhimpunan aman berhubung isu murtad pertahankan Jais di pekarangan Masjid Negeri, Shah Alam melancarkan perang ke atas The Malaysian Insider dan Malaysiakini yang didakwa beliau sebagai “ejen kepada pengkhianat Islam.”

“Kita sedia berperang dengan mereka... kita akan lancarkan perang habis-habisan jika mereka tidak hentikan dengan ejen mereka Malaysiakini, (The) Malaysian Insider yang biadap kepada Jais, kononnya mereka menceroboh masuk gereja.

“Kita beri anda amaran terakhir. Jika anda tidak hentikan sampah ini, kita akan bakar pejabat anda,” katanya.

Dalam ucapannya itu Ezam juga memberi amaran kepada kumpulan Kristian agar menghentikan kegiatan memurtadkan Umat Islam sekiranya tidak mahu berdepan dengan “perang.”

Kata Ezam, “masalah besar” akan berlaku sekiranya kumpulan Kristian meneruskan kerja-kerja memurtadkan umat Islam walaupun perkara itu tidak dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Tambah Koh, dengan semangat 1 Malaysia semua pemimpin termasuk Ezam perlu menunjukkan sikap yang tidak bertentangan dengan prinsip itu.

“Rakyat Malaysia tahu komitmen dan amalan kita, 1 Malaysia yang ditonjolkan sepatutnya menunjukkan komitmen dan perpaduan.

“Dengan semangat 1 Malaysia, setiap pemimpin perlu bercakap dan bertindak dengan berdasarkan tanggungjawab dan menyelesaikan segala salah faham, kontroversi atau konflik bukan menyemarakkan lagi kemarahan,” katanya. -TMI


PKR: Ugutan Ezam ke atas M'kini 'perbuatan jenayah'

Ancaman Senator Ezam Mohd Nor untuk membakar dua portal berita adalah "perbuatan jenayah” dan pihak polis serta peguam negara perlu bertindak segera ke atasnya, kata naib presiden PKR, N Surendran.

"Kami terkejut bahawa seorang ahli Dewan Negara sanggup mengeluarkan kata-kata seumpama itu dan mengancam secara terbuka untuk melakukan perbuatan jenayah.

"Ini adalah satu ancaman yang keterlaluan ke atas harta dan pejabat kedua-dua portal berita ini; lebih serius lagi ancaman itu juga boleh mendatangkan kecederaan parah atau mungkin kematian terhadap kakitangan, penulis dan penghuni lain," kata Surendran dalam satu kenyataan petang semalam.

Beliau mengulas kenyataan yang dibuat oleh Ezam pada perhimpunan di masjid Shah Alam semalam yang mempertahankan serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas sebuah gereja di Petaling Jaya minggu lalu.

"Kita akan lancarkan perang habis-habisan jika mereka tidak hentikan dengan ejen mereka -- Malaysiakini, Malaysian Insider -- yang biadap kepada JAIS, kononnya mereka menceroboh masuk gereja.

"Kita beri anda amaran terakhir. Jika anda tidak hentikan sampah ini, kita akan bakar anda,"
kata Ezam.

Menurut Surendran, ancaman secara terang-terangan itu adalah satu kesalahan jenayah di bawah undang-undang negara ini.

"Pihak polis dan Peguam Negara perlu mengambil tindakan segera terhadap Ezam Mohd Nor di bawah Seksyen 503 dan 505 Kanun Keseksaan kerana ugutan berunsur jenayah."

Naib presiden PKR itu juga menggesa Umno bagi menghormati kebebasan rakyat bersuara dan ucapan seperti yang dijamin oleh Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

"Amat mengganggu bahawa seorang senator dari Umno, yang menjadi tulang belakang kerajaan BN, mengancam untuk merusuh dan membakar pertubuhan media berita."

Ezam, bekas ahli PKR dan sekutu rapat ketua umum PKR Anwar Ibrahim, berpaling tadah dan menyertai semula Umno setelah pergeseran pahit dengan ketua pembangkang itu. -mk


Ulasan GB



Sebelum ini Ezam mencetuskan huru-hara di Pulau Pinang dengan mengepalai perarakan para perusuh yang bertindak ganas sehingga kumpulan ini memecahkan cermin kereta-kereta di sepanjang jalan.

Polis pada ketika itu hanya membiarkan kumpulan itu dengan telatah dan gelagat mereka.

Sesungguh memalukan negara mempunyai seorang senator sepertinya dan lebih menjelekkan apabila polis tidak bertindak untuk menahan dan menangkapnya.

Laporan sebelum ini:

[Bergambar] Dunia Saksikan, Bukan BERSIH Tetapi UMNO Pencetus & Peneraju Keganasan