10 Ogo 2011

Isu Gereja & Murtad Dedahkan Hipokrisi UMNO

Murtad: Umno tolak mentah-mentah usul PAS

KUALA LUMPUR, 10 Ogos: Lakonan Umno kononnya mahukan akta mencegah murtad langsung tidak boleh dipercayai kerana inisiatif mengenai perkara itu berkali-kali ditolak, kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

"Saya bercakap mengenai pengalaman peribadi kerana dalam sidang Parlimen yang bermula pada Mac 2006, saya mengemukakan rang undang-undang persendirian yang dinamakan Rang Undang-Undang Murtad.

"Rang undang-undang itu bukan sahaja tidak dipedulikan oleh ahli-ahli Parlimen Umno malah ditolak mentah-mentah," katanya.

Selepas itu, kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu, sekali lagi beliau mengemukakan usul yang juga meminta Dewan Rakyat mewujudkan undang-undang mencegah murtad seperti meminda Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan dengan memasukkan peruntukan yang jelas menghalang individu Islam daripada secara bebas mengisytiharkan diri keluar daripada agama Islam.

"Usul itu juga tidak dipedulikan oleh kerajaan dan ahli-ahli Parlimen Umno," katanya

Semalam, Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Dr Mohd Puad Zarkashi dilapor mencadangkan agar Akta Jenayah Akidah diwujudkan bagi memastikan tiada usaha memurtadkan umat Islam berlaku di negara ini.

Menurut Salahuddin, usaha yang dibawa oleh pihak PAS mengenai perkara itu dibuat berkali-kali selepas Presiden PAS sendiri, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang selaku Ahli Parlimen Marang mengemukakan usul dan rang undang-undang persendirian untuk mencegah murtad.

Pada 25 Mac 1988, Tuan Guru telah mengemukakan usul untuk membincangkan gejala murtad, tetapi ditolak.

Selepas itu, pada 2 November 1999, Tuan Guru juga tidak dibenarkan membentang rang undang-undang ahli persendirian untuk mencegah murtad.

"Penolakan usul dan rang undang-undang persendirian mengenai murtad yang berlaku berkali-kali itu membuktikan Umno langsung tidak berminat untuk mencegah jenayah syariah paling serius itu.

"Sebab itulah umat Islam tidak seharusnya tertipu dengan gelagat gerombolan kuda tunggangan Umno yang kini nampak benar menunjuk-nunjuk kononnya mereka mahu mencegah murtad," tegas Salahuddin.

Beliau juga berharap rakyat menolak lakonan dan permainan gerombolan kuda tunggangan Umno itu kerana mereka adalah hipokrit sebenar.

"Amat hipokrit apabila bercakap hendak menentang gejala murtad tetapi pada masa yang sama menjadi kuda tunggangan Umno yang berkali-kali menolak usaha untuk mencegah murtad.

"Menolak inisiatif dan usaha untuk menentang murtad melalui peruntukan undang-undang dan perlembagaan hakikatnya menentang dan memusuhi usaha mencegah jenayah syariah paling serius itu," kata Salahuddin.

Beliau juga mempersoalkan di mana suara Umno ketika umat Islam bangkit menentang kes-kes murtad seperti kes Aishah Bukhari, Hartina Kamaruddin dan Lina Joy.

"Malah Umno juga berdiam diri ketika umat Islam bertindak menentang pindaaan 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan dan ketika 10 menteri dari Barisan Nasional bertindak mempertikaikan perkara 121 (1A) itu dengan tujuan untuk membunuh kuasa mahkamah Syariah serta membolehkan mahkamah sivil memansuhkan keputusan mahkamah Syariah," katanya.

Dengan sejarah sedemikian, Salahuddin sekali lagi meminta umat Islam menolak hipokrit yang cuba berlagak hero yang kononnya memperjuangkan Islam dan kepentingan umat Islam. -HD


Khairy dakwa ada cubaan perap isu JAIS serbu gereja

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin mendakwa adanya cubaan untuk melengah dan memerapkan daripada perhatian umum isu serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC), Petaling Jaya, Rabu lalu.

Beliau berkata, ini kerana tiadanya sebarang tindakan susulan terhadap isu serbuan JAIS itu.

"Bagi kami, helah sedemikian amatlah tidak bertanggungjawab kerana ia melibatkan sesuatu yang amat sensitif bagi kedua-dua masyarakat Muslim dan Kristian di Malaysia, yang sedang memerhati dan mengikuti kes ini," katanya.

"Sebarang usaha untuk melengahkannya adalah suatu yang amat tidak bertanggungjawab dan dan hanya menempah ketidakstabilan rakyat dan negara.

"Sekiranya Tan Sri Khalid Ibrahim nak tangguh dan sorokkan perkara ini dari rakyat maka lebih baik beliau meletak jawatan sahaja sebab tidak layak lagi memegang jawatan menteri besar," kata Khairy dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi Pemuda Umno, katanya, tiada sebarang kompromi dalam perkara yang melibatkan aspek akidah.

"Oleh itu, kami mendesak agar rakyat diberikan bukti dan laporan tentang perkara ini dan pada yang sama janganlah kita mudah untuk saling tuduh menuduh.

"Atas sebab itulah, kerajaan negeri Selangor harus tampil memberi penjelasan berhubung insiden serbuan JAIS ke atas Gereja Methodist Damansara Utama sekarang juga, tanpa berdolak-dalih lagi," tegas Khairy.

Dilihat lesu

Sehubungan, katanya, Pemuda Umno "amat kecewa dengan kerajaan negeri Selangor yang bukan sahaja dilihat lesu malahan kaku dalam tindakannya menangani isu serbuan tersebut."

"Kalau dilihat daripada awalnya, para pendokong pembangkang begitu beria untuk cuba mengelakkan diri dari bertanggungjawab dan terus menuding jari dengan mengatakan bahawa perkara tersebut adalah di bawah bidang kuasa Sultan Selangor.

"Malahan, tanpa usul periksa dan semberononya, mereka juga tampil dengan dakwaan bahawa ia adalah suatu konspirasi kerajaan pusat.

NONE"Namun, segalanya berubah dan sepi sejurus selepas menteri besar Selangor bersuara kerana mereka tahu bahawa pihak kerajaan negeri harus memikul tanggungjawab dan menjawab segala persoalan berhubung isu ini," tambahnya.

Dakwanya, menteri besar memilih untuk berlengah dan menyorok di belakang tabir JAIS walaupun beliau sepatutnya harus segera menyiasat kes ini bagi mengambil tindakan perlu yang wajar.

"Bagi masyarakat Muslim, kegusaran mereka tertumpu kepada isu murtad atau keluar agama. Ini disebabkan bukan sahaja sebarang langkah bagi mengembang kepercayaan agama lain kepada penganut Islam adalah ditegah oleh Artikel 11 (4) Perlembagaan Persekutuan, malahan penukaran agama atau murtad adalah satu dosa yang amat besar di dalam Islam.

"Oleh yang demikian, dakwaan bahawa cubaan untuk memurtadkan penganut agama Islam di gereja tersebut adalah suatu yang amat serius. Pada waktu ini, gambaran yang sebenar masih lagi kabur. -petikan mk


Ulasan GB

Di dalam petikan yang kedua, Khairy Jamaluddin bukan hendak perjuangkan isu murtad tetapi sebenarnya hendak menyerang MB Selangor.

Malah keseluruhan episod "isu gereja" yang cuba di manipulasikan UMNO hanya memaparkan perwatakan UMNO yang hipokrit bersandarkan kepada berita yang pertama di atas.

GB sangat tertarik dengan komen dari seorang pengunjung terhadap entri Isu Gereja: Tindakan JAIS Tidak Perlu, Islam Agama Hujjah - GB Sokong Dr. Asri

Petikan:


Sepatutnya Hasan Ali perlu mengeluarkan duit zakat Selangor untuk lebih membantu orang miskin di Selangor. Jangan biarkan orang lain mengambil alih peranan itu. Lebih malang lagi peranan ingin membantu disalahtafsirkan oleh Hasan dan menyuruh JAIS bertindak. Sepatutnya Hasan perlu memanggil golongan miskin yang dikatakan akan dimurtadkan untuk diberi pertolongan dan tarbiah. Hasan juga sepatutnya berjumpa dengan pihak gereja dengan menegur secara baik bahawa umat Islam tidak digalakkan untuk berbuka puasa di dalam gereja kerana boleh menimbulkan fitnah, bukannya dengan terus menyerbu. Hasan patut berhenti. ..


Begitulah jugalah Khairy. Khairy patut keluarkan semua hartanya yang berjuta yang diperolehi semasa rejim bapa mertuanya sebagai PM untuk diagihkan kepada 12 orang yang terpaksa ke gereja memohon bantuan. Itu jika ada keikhlasan untuk memerangi gejala murtad yang heboh beliau perkatakan.


Mahathir Seperti Mengakui Dakwaan Bahawa PENAWAR Hendak Jatuhkan Najib

Petaling Jaya: Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa bahawa ada usaha sedang dibuat untuk melemah dan menghancurkan Umno dalam menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke 13.

“Kononnya saya di belakang gerakan untuk menaikkan (Tan Sri) Muhyiddin (Yassin) mengganti (Datuk Seri) Najib (Tun Razak),” kata beliau.

Dr Mahathir berkata demikian dalam artikel bertajuk ‘Menghancurkan Umno’ di dalam blognya, chedet.cc/blog sebagai ulasan terhadap laporan FMT minggu lalu.

“Strategi pihak tertentu ini ialah dengan membuat tuduhan bahawa perjumpaan NGO ini sebenarnya bertujuan untuk menjatuhkan Najib, dan saya dan Muhyiddin adalah dalang yang bertanggungjawab.

“Tentulah Najib akan mempunyai syak wasangka terhadap kami berdua dan NGO berkenaan,” kata mantan perdana menteri itu merujuk kepada Pertubuhan Bekas Wakil Rakyat Umno (Penawar) yang dilaporkan mahu Najib meletak jawatan.

Kedudukan Najib tergugat

Menurut laporan tersebut, kedudukan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Umno tergugat.

Sumber dalaman Umno mendakwa bahawa sokongan ahli parti diberikan kepada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan restu daripada Mahathir.

Mengulas lanjut laporan ini, Dr Mahathir berkata bahawa laporan tersebut akan melemahkan Umno dalam persediaan menghadapi PRU 13.

“Kesan dari laporan ini tentulah kecurigaan Najib terhadap timbalannya. Apabila Najib mempunyai sangkaan buruk terhadap Muhyiddin maka ahli-ahli UMNO pun akan berpecah dan memihak kepada Presiden atau Timbalan Presiden.

Dr Mahathir berkata dakwaan itu sekaligus menakutkan Penawar dan NGO lain kerana akan disyaki oleh Najib untuk menjatuhkannya.

“Mereka juga akan terdedah kepada tuduhan yang mereka adalah orang Mahathir dan Mahathir ingin menjatuhkan Najib,” katanya, menambah laporan sebegitu juga akan menyebabkan orang Melayu takut berpolitik.

Alasan yang diberi beliau: “Mereka akan terdedah kepada dakyah parti lawan yang memang pun ingin melihat mereka berpecah dan menjadi lebih lemah serta tidak dapat mempertahankan kepentingan orang Melayu sama sekali.

“Pergolakan akan berlaku secara serius dalam Umno dan ia akan menjadi lebih lemah untuk menghadapi PRU 13.”

Beliau secara sinis mengucapkan tahniah kepada pihak-pihak berkenaan yang “begitu cekap mengguna psikologi untuk menghancurkan Umno dengan menimbulkan keraguan dan syak wasangka antara pemimpin-pemimpin Umno serta ahli-ahlinya sesama sendiri dan terhadap kepimpinan Umno sekarang. -FMT

20 Orang Bertopeng & Berpenyapu Tunjuk Perasaan Di SUK Selangor

PAS: 'Serbu gereja' bagi tenggelamkan 'masalah' SPR

Kira-kira 20 orang yang mendakwa mewakili beberapa pertubuhan bukan kerajaan mengadakan demonstrasi di depan pagar Bangunan SUK di Shah Alam, pagi ini.

Kumpulan itu menggelarkan diri mereka Pemuafakatan Waris Melayu Malaysia (Warisan) dan Gerakan Memantau Perkhidmatan Agensi Kerajaan (Gempak).

Sambil memakai topeng Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, exco kerajaan negeri, Datuk Hasan Ali dan ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad, mereka membawa mangkuk tandas, penyapu lidi, berus pencuci tandas dan pencuci lantai.

Demonstrasi itu diadakan sebagai sokongan kepada tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang menyerbu Gereja Methodist Damansara Utama di Petaling Jaya pada 3 Ogos lalu selepas mendakwa terdapat gerakan bagi memurtadkan umat Islam di negeri itu.

Menurut Bernama, setiausaha Warisan, Zulkifli Shariff, mendakwa mereka tersinggung dan terhina dengan telatah "kebudak-budakan" Abdul Khalid yang tanpa menunggu penjelasan dari JAIS memohon maaf atas serbuan itu.

Kumpulan kecil itu menunjuk perasaan dari pukul 10 pagi dan bersurai kira-kira 20 minit kemudian setelah diarah pihak polis yang bertugas mengawal keadaan.

Sementara itu, PAS mendakwa isu berkenaan sengaja ditimbulkan bagi menenggelamkan isu yang cukup berbahaya kepada negara iaitu kontroversi MyKad dan pendaftaran warga asing di dalam daftar pemilih SPR.

Menurut ahli jawatankuasa PAS Pusat Idris Ahmad, setakat ini jawapan yang diberikan oleh SPR “diketawakan oleh orang pekak dan buta” manakala media perdana milik Umno dan BN cuba menimbus isu pendaftaran ini.

“Pemimpin Umno dan NGO Umno macam dilanda histeria mengenai isu ini (serbuan JAIS ke atas gereja). Kononnya merekalah pembela agama. PAS istiqamah dan konsisten menentang isu murtad di negara ini.

“Di mana suara Umno dan Utusan ketika isu Noraishah Bukhari, Hartina Kamarudin dan lain lagi? Sejarah telah mencatatkan berlaku penangkapan ISA terhadap pemimpin pemuda PAS dalam operasi lalang 1987 kerana isu Kristianisasi,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurutnya, PAS juga telah membuat keputusan untuk bertemu secara langsung dengan pihak JAIS dan juga gereja untuk mendapat gambaran sebenar.

Negara kita ada undang-undang, siapa yang bersalah akan dihukum. Media bukan gelanggang untuk menyelesaikan perkara ini,” katanya.

Dalam nada menyindir Idris berkata beliau berharap pemimpin dan media Umno menyedari bahayanya murtad dan tidak menjadikannya isu politik.

“Tahniahlah kepada pemimpin Umno dan media Umno kerana baru sedar bahayanya murtad. Kita harapkan janganlah kerana politik semata-mata.

“Samalah ketika isu penggunaan nama Allah oleh bukan Islam Umno menjadi juara. Tetapi dalam masa yang sama menentang hukum Allah dan menyekat ajaran Allah diajar di dalam surau dan masjid. Pelik juga Umno, nama Allah dipertahan, hukum Allah dia lawan.,” katanya.

idris juga mempersoalkan mengapa Umno diam membisu apabila MCA merancang untuk menyaman kerajaan Kelantan pimpinan PAS kerana mengharamkan perjudian di negeri itu.

“Sepatutnya kalau Umno pejuang Islam kena nasihatlah rakan sejawat mereka. Sudah 54 tahun berkawan pun Umno tidak boleh dakwah, bahawa judi itu bahaya pada masyarakat,” kata Idris lagi. -MK


Serbuan JAIS: Penjelasan Harapan Komuniti

Harapan Komuniti - NGO yang menganjurkan majlis makan malam amal yang diserbu oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada 3 Ogos lalu kerana didakwa ada kegiatan penyebaran agama bukan Islam terhadap penganut agama Islam - hari ini tampil membuat penjelasan tentang apa yang berlaku pada malam tersebut.

Pengarah eksekutif NGO itu - yang membantu golongan miskin dan 'melarat' dan penghidap HIV dan AIDS - Raymond Koh berkata majlis kesyukuran/makan malam amal itu dihadiri penderma, rakan-rakan serta penerima bantuan Harapan Komuniti" sebelum ia diserbu 30 pegawai penguatkuasa JAIS dan polis.

Katanya, Harapan Komuniti adalah sebuah pertubuhan bukan keuntungan, yang berkhidmat untuk membawa kasih sayang, harapan, keamanan dan maruah kepada golongan yang memerlukan, orang miskin, kanak-kanak, wanita dan penghidup HIV dan AIDS.

"Kami membantu orang ramai, tanpa mengira bangsa, agama atau kepercayaan. Harapan Komuniti adalah rakan kepada Majlis AIDS Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, pada hari berkenaan (Rabu 3 Ogos 2011), Harapan Komuniti hanya mengadakan majlis kesyukuran/makan malam amal untuk mengumpul dana di premis DUMC (Gereja Methodist Damansara Utama).

Majlis makan malam tersebut, jelasnya, dihadiri oleh penderma, rakan-rakan dan penerima bantuan Harapan Komuniti.

Koh berkata, kira-kira 120 orang dari pelbagai latar belakang, menghadiri majlis makan malam tersebut dan dijamu dengan hidangan yang disediakan oleh orang Islam, diikuti dengan persembahan tarian 1Malaysia, kuiz, dan pelaporan oleh individu.

Harapan Komuniti juga, tambahnya, mengadakan doa umum.

"Kira-kira jam 9.30 malam, kira-kira 30 pegawai JAIS dan polis, ada yang berpakaian seragam manakala yang lainnya berpakaian biasa, datang ke premis tersebut tanpa kebenaran atau tanpa waran menggeledah," katanya.

Berikutan itu, kata Koh, Harapan Komuniti terus bertanya kepada pegawai JAIS sama ada mereka mempunyai sebarang waran.

"... dan walaupun ditanya berulangkali, pegawai JAIS enggan menunjukkan kepada kami sebarang waran mengeledah atau untuk tangkapan,"
katanya.

Menurut Koh lagi, mereka masuk ke dalam dewan dan mengambil gambar, video dan malah membuang risalah dari pelbagai laci dan kabinet di dalam dewan tersebut, tanpa sebarang kebenaran pihaknya mahupun pemilik premis DUMC.

Sementara itu, peguam Harapan Komuniti, Annou Xavier pula berkata Malaysia sepatutnya bernasib baik kerana mempunyai pertubuhan seperti Harapan Komuniti yang memberi "harapan" kepada golongan yang memerlukan, orang miskin dan golongan terpinggir.

Bagaimanapun, katanya, pada "malam yang malang itu", JAIS sebaliknya menyerbu majlis amal kesyukuran tersebut, atas andaian bahawa berlaku kes penukaran agama.

"Harapan Komuniti telah membantu ramai rakyat Malaysia yang miskin dan melarat, tanpa mengira kaum, agama, kepercayaan, namun JAIS telah bertindak mengganggu sebuah majlis yang berjalan dengan aman dan harmoni pada 3 Ogos," tambahnya.

Menurut Annou lagi, Harapan Komuniti adalah sebuah organisasi '1 Malaysia' dalam erti kata yang sebenarnya, di mana ahli lembaganya terdiri daripada seorang Melayu, Mohd Rahim Bin Ithnen; seorang Cina, Raymond Koh dan seorang India, Sri Ram a/l KS Gopal, untuk membantu semua kaum, agama serta kepercayaan dan bukan hanya memuji-muji '1 Malaysia' sebagai satu slogan semata-mata.

Beliau berharap serbuan yang tidak munasabah seperti ini, tidak akan berlaku pada masa yang akan datang, yang menyebabkan kebimbangan yang tidak perlu dan trauma kepada rakyat Malaysia yang cintakan keamanan. -mk

Ulasan GB

Bukan sahaja tidak ada hujjah, malah rupa-rupanya peraturan dan undang-undang pun JAIS tak ikut. Penggelidahan pun tidak mempunyai sebarang waran. Ia adalah satu TRESPASSING.

Baca juga : Isu Gereja: Tindakan JAIS Tidak Perlu, Islam Agama Hujjah - GB Sokong Dr. Asri




MAFREL: Bersihkan Daftar Pemilih Sebelum Terjadi Sebarang Hal Buruk Ketika PRU13

Mafrel mahu SPR bersih daftar pemilih elak implikasi ketika PRU-13

KUALA LUMPUR, 10 Ogos — Badan Pemantau Pilihan Raya Adil dan Bebas Malaysia (Mafrel) menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membersihkan daftar pemilih yang didakwa turut melibatkan kehadiran “pemastautin tetap” yang diragui bagi mengelakkan implikasi besar ketika pilihan raya umum ke-13.

Mengikut perkembangan semasa pilihan raya umum ke-13 dijangka akan diadakan dalam waktu terdekat.

Pengerusi Mafrel Syed Ibrahim Syed Noh berkata, SPR perlu melihat secara serius pendedahan yang dibuat oleh Pakatan Rakyat berhubung isu status kewarganegaraan yang diberikan kepada pemastautin tetap, sekali membolehkan mereka mengundi dalam pilihan raya.

Tegas beliau, SPR perlu menjalankan siasatan itu dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi membersihkan daftar pemilih.

“Saya rasa kalau pendedahan itu benar, SPR perlu melakukan siasatan segera mengenai apa yang berlaku, apa yang boleh SPR lakukan ialah siasat latar belakang pengundi itu, adakah mereka betul-betul (warganegara), sebab kini terdapat banyak keraguan yang mana pemastautin tetap bertukar ke warganegara dalam tempoh yang singkat.

“Kini lebih banyak keraguan, kita rasa ragu-ragu (tentang daftar pemilih), untuk menghilangkan keraguan ini SPR perlu mengambil tindakan segera dan menyiasat perkara ini dengan kerjasama JPN,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Bagaimanapun Syed Ibrahim percaya SPR akan memberi alasan tidak mempunyai kuasa, namun beliau menegaskan pembersihan daftar pemilih adalah di bawah bidang kuasa badan pengurusan pilihan raya itu.

“Memang daftar pemilih terletak di bawah bidang kuasa SPR, tidak boleh (kata) tiada kuasa kerana sebagai badan pengurusan pilihan raya SPR mempunyai kuasa itu.

“Sudah menjadi faktor utama yang mana daftar pemilih dan pembersihannya adalah kuasa SPR, kes ini sangat jelas... ini kes faktor yang mana ia jelas bagaimana pemilik kad pengenalan merah memperoleh kad pengenalan biru dalam tempoh singkat, untuk itu, SPR perlu siasat dengan serius,” katanya.

Isu daftar menjadi hangat baru-baru ini ekoran pendedahan mengenai tindakan menukar status kewarganegaraan pemastautin tetap kepada warganegara dalam tempoh yang singkat dan ia mendapat bantahan kepimpinan Pakatan Rakyat.

Bagaimanapun perkara itu dinafikan oleh JPN dan SPR.

Berikutan pendedahan itu, Pakatan Rakyat mahu sidang tergempar Parlimen bagi membahaskan isu kewujudan pengundi-pengundi di kalangan warga asing yang diberikan taraf kewarganegaraan.

Tambah Syed Ibrahim, kegagalan SPR membersihkan daftar pemilih akan memberi implikasi yang besar dalam sistem pilihan raya negara.

“Implikasinya sangat besar, sekiranya warga asing dibenarkan mengundi keputusan itu boleh dicabar, kalau ada parti yang tidak berpuas hati... sudah tentu kita tidak mahu perkara ini berlaku.

“Sebab itu saya minta SPR mengambil tindakan segera dengan kerjasama JPN, siasat dengan serius kerana SPR adalah badan bebas,” katanya.

Sebelum ini Pakatan Rakyat juga mendakwa Barisan Nasional (BN) mendaftarkan warga asing sebagai rakyat negara ini melalui operasi “MyDaftar”.

Operasi itu dikatakan mahu menjadikan warga asing sebagai pengundi yang sah bagi memenangkan BN pada pilihan raya umum ke-13. -TMI

Seks Pelajar Menjadi-Jadi, Apa Nak Jadi Ni?

Lokasi maksiat terbongkar

KULIM - Masalah sosial remaja semakin membimbangkan setiap hari.

Sebelum ini, Sinar Harian pernah membongkar aktiviti menghidu gam dalam kalangan pelajar lelaki dan perempuan di sekitar kawasan jirat Cina di Taman Cendana sehingga mendapat perhatian pihak berkuasa tempatan (PBT). Gambar fail.

Semalam, Sinar Harian membuat pemantauan di sekitar kawasan itu sekitar jam 1 pagi dan menemui kawasan tersorok dipercayai digunakan remaja untuk melakukan hubungan seks.

Dari tinjauan dibuat mendapati, banyak seluar dalam dan coli wanita dibuang di kawasan itu.

Apa lebih menjijikkan apabila kondom yang sudah digunakan bertaburan di kawasan itu.

Pegawai Agama Daerah Kulim Kedah, Sheikh Radzi Abdul Mutalib berkata, ibu bapa seharusnya dipertanggungjawabkan sekiranya ada dalam kalangan anak mereka terlibat dalam masalah seumpama ini.

“Ibu bapa terlalu banyak melimpahkan kemewahan kepada anak-anak mereka. Selain itu, anak juga diberikan telefon bimbit yang canggih di mana mereka boleh memuat turun pelbagai aksi lucah di dalamnya,” katanya.

Dari tangkapan dibuat oleh Pejabat Agama Islam Daerah Kulim Kedah (PADK) terhadap pasangan yang melakukan maksiat selalunya adalah pelajar.

Beliau tidak menafikan pelajar lelaki dan perempuan hari ini lebih cenderung untuk menjalinkan hubungan cinta dari menimba ilmu pelajaran.

Pegawai Khas kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lunas, Elyas Saad berkata, bagi pelajar Tingkatan Lima dan Tiga khususnya, mereka seharusnya mengulang kaji pelajaran kerana peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) semakin hampir.

“Baru-baru ini, dua laporan polis dibuat apabila dua pelajar perempuan yang masih menuntut dirogol oleh teman lelaki mereka. Dari maklumat saya terima, kedua-dua mangsa ini sering melihat aksi lucah dalam telefon bimbit. Ini merangsang mereka untuk melakukan perlakuan tidak bermoral.

“Saya meminta PBT memantau perlakuan sumbang yang dilakukan oleh pelajar sekolah yang sering berkeliaran di pasar raya bersama teman lelaki masing-masing,” katanya. -SH

Ulasan GB

Bisa kepala memikirkan akhlak pelajar remaja Islam kini yang hancur lebur...

Hanya satu penyelesaiannya: BACK TO ISLAM.

Lagi Pengundi Bertindih Dikesan Dalam Daftar Pemilih SPR

Kuala Lumpur: Dewan Pemuda Pas Kawasan Titiwangsa (DPPKT) mendesak Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menjelaskan kewujudan beberapa lagi pengundi bertindih di parlimen itu.

Menurut Ketuanya, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz, carian pihaknya mendapati terdapat beberapa individu yang mempunyai nama yang sama dalam daftar pemilih SPR.

“Ada beberapa individu mempunyai 1 kad pengenalan lama tetapi memiliki dua pengenalan baru yang sama, nama yang sama dan mengundi di dua parlimen yang berbeza,” katanya dalam satu kenyataan media.

Beliau memberi contoh nama seperti SA’AD BIN SAMSUDIN, yang memiliki no kad pengenalan lama iaitu 1479323.



Kad pengenalan barunya pula adalah 380913105681 dan 510913105553. Beliau mempunyai dua hak mengundi iaitu di Parlimen Titiwangsa dan Parlimen Setiawangsa.

Contoh kedua, terdapat seorang wanita yang memiliki kad pengenalan lama yang sama iaitu 4802777, tetapi memiliki kad pengenalan baru berbeza iaitu 550620055800 dan 560620055412.

Beliau bernama SHODAH BINTI ABDUL RAHMAN dan mempunyai kelayakan mengundi dua kali di Parlimen Titiwangsa.

Contoh ketiga, seorang lelaki bernama MOHAMAD BIN ISMAIL, memiliki kad pengenalan lama 8370614 dan dua kad pengenalan baru, iaitu 540405025757 dan 540405025095 dan memilik hak kelayakan mengundi di Parlimen Setiawangsa dan Parlimen Titiwangsa.

Contoh keempat melibatkan seorang lelaki bernama ANDERSON A/L P ARPUTHANATHAN. Yang memilik kad penganalan lama yang sama iaitu A0831847 dan dua kad pengenalan baru yang berbeza iaitu 671117106499 dan 671117105963.

Beliau mempunyai hak kelayakan mengundi di Parlimen Setiawangsa dan Titiwangsa.

Manakala contoh kelima pula seorang pemegang kad pengenalan lama yang sama iaitu 7877951, dan mempunyai kad pengenalan baru yang berbeza iaitu 491006045672 dan 491006015094.

Pengundi perempuan ini bernama CHELLAMAH A/P MURUGESU boleh mengundi di Parlimen Setiawangsa dan Titiwangsa.

Menurut Suhaimi, dengan lima contoh yang didedahkan ini, cukup untuk membuktikan bahawa terdapat usaha untuk membolehkan seorang pengundi mengundi lebih dari dua kali.

“Lebih dari itu, ia membuktikan bahawa usaha ini berjalan secara terancang di seluruh negara,” kata beliau.

Justeru pihaknya mempersoalkan bagaimana JPN boleh mendaftarkan kad pengenalan lama yang sama serta mempunyai nama yang sama untuk dua individu yang berbeza.

“Atau mungkinkah ia individu yang sama yang mempunyai dua kad pengenalan baru yang berbeza? Bagaimana pula SPR boleh menerima sahaja kesalahan ini tanpa tapisan yang betul terhadap senarai nama yang dibekalkan,” ujar beliau.

Katanya, DPPK Titiwangsa mendesak agar kesemua nama ini dikeluarkan segera dari maklumat data Pemilih di parlimen Titiwangsa.

“DPPK Titiwangsa juga mendesak agar JPN menyiasat identiti kesemua individu yang didedahkan ini dan menarik balik kad pengenalan yang dikeluarkan lebih dari satu untuk seorang,” ujarnya. -KD

Isu Gereja: Tindakan JAIS Tidak Perlu, Islam Agama Hujjah - GB Sokong Dr. Asri

Dr Asri: Islam agama hujah, tak perlu tindakan JAIS

Sehubungan itu, katanya Malaysia sebagai sebuah negara Islam sepatutnya, berlaku keadaan di mana orang lain terpengaruh dengan Islam dan bukannya umat Islam di negara ini pula yang dipengaruhi oleh hujah pihak lain.

“Saya terfikir bagaimanakah jika negara-negara bukan Islam seperti Thailand, United Kingdom, Amerika Syarikat dan negara-negara di Eropah mengambil tindakan yang sama ke atas masjid-masjid di sana.

Kita tahu umat Islam di sana aktif berdakwah kepada bukan Islam di pelbagai tempat khususnya di pusat-pusat Islam dan masjid-masjid. Bukan Muslim dijemput datang ke masjid dan diberikan al-Quran dan risalah-risalah berkaitan Islam.

“Jika mereka memakai undang-undang seperti kita, tentu masjid-masjid akan diceroboh dan didakwa,”
katanya dalam satu SMS ringkas kepada Malaysiakini, petang semalam.

Dr Asri mengulas kejadian 3 Ogos lalu, apabila Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) didakwa menyerbu sebuah majlis makan malam yang diadakan di sebuah gereja di Petaling Jaya tanpa sebarang waran.

Exco kerajaan Selangor bagi hal ehwal Islam, Datuk Hasan Ali bagaimanapun mempertahankan tindakan JAIS ke atas Gereja Methodist Damansara Utama itu dengan alasan terdapat bukti kegiatan penyebaran agama bukan Islam terhadap penganut agama Islam.

Menurut Dr Asri sebagai agama hujah, pengajaran dan dakwah Islam sepatutnya mampu menangani isu berkenaan tanpa memerlukan tindakan seumpama itu daripada JAIS.

“Bukan hendak mmpertikaikan JAIS, namun untuk renungan kita umat Islam di Malaysia; sehingga bila kita hendak bergantung dengan undang-undang?

“Ertinya, pengajaran dan dakwah kita perlu disemak semula,” katanya mengakhiri SMS itu.

Ulasan GB

Sekali lagi GB sokong Dr. Asri.

Dengan sebab Islam itu agama hujjah maka diturunkan sekalian Nabi dan Rasul kepada manusia untuk berhujjah. Diwujudkan akal fikiran agar kita memikirkan dan kemudian berhujjah di atas setiap apa yang mencabarnya termasuklah siapa pencipta alam semesta.

Nabi Musa diarahkan ke istana Firaun untuk berhujjah, begitulah Nabi Ibrahim dan sekalian Nabi-nabi dan rasul-rasul sehinggalah ke Nabi Mohd s.a.w.

Malah ulamak didatangkan kepada umat Islam sebagai warisatul-anbiya' untuk mengeluarkan hujjah bukan untuk menunjukkan egoisma dan mempertahankan kebebalan dan berselindung di sebalik jubah.

Seperti contoh tatkala kita sibuk membincangkan isu gereja, ada ulamak malah Dewan Ulamak menyokong tindakan JAIS tanpa hujjah, tetapi hanya dengan emosi dan sentimen bahawa ia dikatanya melanggar "undang-undang". Orang yang statusnya ulamak boleh bercakap demikian. Itu sebab Dr. Asri berhujjah: "bagaimanakah jika negara-negara bukan Islam seperti Thailand, United Kingdom, Amerika Syarikat dan negara-negara di Eropah mengambil tindakan yang sama ke atas masjid-masjid di sana".

Sedangkan sebenarnya ulamak itu sendiri jumud atau malas untuk berhujjah secara ilmiah mempertahankan Islam, sekalipun pada namanya ada title doktor palsafah.

Camkanlah setiap yang ditegakkan bukan dengan cara berhujjah, ia ditegakkan secara emosi, sentimen dan nafsu semangat syaitaniah.

Sama kesnya mengenai isu penggunaan kalimah ALLAH. Jika kita hendak menghalang orang lain menggunakan kalimah ALLAH maka apa hujjahnya sedangkan Al-Quran sendiri menggunakan kalimah itu walaupun terhadap tuhan orang kafir! Hanya umat Islam diwajib beriktikad dan menyebarkan risalah bahawa Allah itu Esa. Tetapi kerana jumud, maka umat Islam mengambil jalan ringkas memonopolikan kalimat itu hanya untuk mereka.

Kerajaan UMNO BN selama ini memang tidak memerlukan hujjah untuk menangkap dan menzalimi rakyatnya. Sebab itu tindakan mereka lebih kepada emosi dan sentimen bukan akal fikiran. Sama juga dengan orang-orang UG. Tak gunakan hujjah tapi sentimen, nafsu dan emosi.

Itu sebab semasa PAS mula-mula mengutarakan gagasan Kerajaan Perpaduan dulu, GB bangun menentang dengan hujjah. Walaupun tak ramai yang berani menyanggah hujjah Presiden PAS, tetapi GB telah mengeluarkan hujjah GB di SINI. Orang mungkin tidak membaca dan mendengar hujjah GB< tetapi GB sentiasa yakin Allah mendengar hujjah tak kira dari siapa hujjah itu datang. Dan GB juga yakin Allah itu Hakim Yang Sebenar-benarnya. Maka Allah pun "mengkuburkan" isu Kerajaan Perpaduan walaupun ada segelintir dalam parti yang degil cuba menghidupkannya semula.

Yang menentang GB tidak menggunakan hujjah dan akal fikiran, tetapi menggunakan nafsu dan emosi menyerang peribadi yang didengar dari pihak lain disamping berselindung dengan pelbagai nama sebagai topeng untuk menutup kemunafikan sendiri. Itu tahap mentaliti mereka.

Petikan contoh hujjah GB di dalam isu UG dulu:

Jika ada kerajaan yang sedemikian di dalam Al-Quran dan Sunnah, sila buktikan, kami sedia menimbangkan malah mengikuti dan mendokonginya. Namun jika tidak ada, maka kembalilah ke pangkal jalan setelah jalan yang menyesatkan itu diwarwarkan untuk memecahbelahkan ummah seadanya.

Yang lebih utama perbaiki diri dan parti supaya kita bertambah perkasa untuk diterima oleh rakyat sebagai pemerintah negara. Perbaiki diri wakil-wakil rakyat yang kita ada. Tidak ada apa-apa makna jika bercakap berdegar-degar tentang Kerajaan Unity, tetapi semasa seorang ahli Pakatan Rakyat sedang menerima usul untuk digantung di Dewan Rakyat, mereka tidak ada untuk bersama menentang kezaliman yang menimpa. Sama juga disaat ketika mana kerajaan Perak dirampas kuasanya, mereka sedang berada di luar negara pula. Itukah contoh teladan yang ditunjukkan kepada rakyat jelata? Itukah cara memimpin bagi seorang yang bergelar ketua? Kemudian pulang untuk berucap berapi-api di pentas untuk buktikan aku masih setia sedangkan yang tinggal masa itu hanyalah sisa-sisa yang sudah tidak mempunyai makna apa-apa!

Bukan tugas yang disuruh Allah untuk kita mendengar atau mencipta panggilan di kiri kanan jalan yang melecehkan kejayaan perjuangan Islam sebenarnya sepertimana syaitan yang telah cuba melecehkan perjalanan Rasulullah ke siratul-muntaha di dalam peristiwa Isra Mikraj satu ketika. Perjuangan haq menentang batil akan tetap ada sepanjang masa. Dan bukan tugas kita untuk meneroka jalan singkat ke syurga. Ia sama sekali tidak akan terjumpa. Jalan singkat yang bernama kerajaan perpaduan itu hanya ilusi semata-mata!


Pasca BERS✔H 2.0 : SPR Dituntut Tubuh J/kuasa Khas Pantau Pilihan Raya

Sebulan berlalu sejak Himpunan Aman Bersih 2.0 yang mengumpulkan puluhan ribu rakyat Malaysia di kota Kuala Lumpur, namun perjuangan menuntut pilihan raya bersih dan adil masih diteruskan.

Terbaru, Jawatankuasa Bersih 2.0 menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menubuhkan tiga jawatankuasa khas yang dianggotai parti politik untuk mengkaji masalah berkaitan pilihan raya.

Menurut Ahli Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah, tiga jawatankuasa itu adalah untuk menyelesaikan daftar pemilih, menjelaskan kaedah biometrik dan pengundian awal.

"Bersih akan menulis surat kepada suruhanjaya itu bagi menggesa jawatankuasa khas tersebut ditubuhkan dalam masa tiga bulan.

“Bersih akan menghantar surat cadangan tersebut kepada SPR dalam minggu ini,” kata Maria dalam satu kenyataan hari ini.

Pengumuman pelaksanaan sistem biometrik oleh SPR selepas himpunan 9 Julai lalu itu mendapat tentangan dan kritikan pelbagai pihak.

Pakatan Rakyat berpendapat pelaksanaan sistem biometrik hanya akan menambah lebih banyak masalah dan bukannya menyelesaikan pelbagai penipuan pilihan raya yang berlaku selama ini, termasuk pengundi hantu.

Menurut Maria, kerana itulah jawatankuasa khas itu perlu ditubuhkan bagi menjawab pelbagai dakwaan mengenai kepincangan dalam sistem pilihan raya yang dilaksanakan dan dirancang SPR, termasuk kaedah biometrik yang mahu diperkenalkan.

“Bersih memerlukan laporan lengkap tentang kaedah biometrik yang akan dibuat oleh SPR dan keselamatannya.

“Mereka juga perlu memberi senarai terperinci tentang kawasan pengundian awal yang bakal mereka jalankan terhadap pengundi dari anggota tentera dan polis. Kita juga perlu tahu samada mereka akan membenarkan pemantau ketika pengundian awal dijalankan
,” katanya.

Lebih teruk lagi, SPR kini dibelenggu pelbagai masalah dengan sistem daftar pemilihnya.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa usaha mendaftarkan 200,000 warga Indonesia sebagai pengundi di negara ini.

Kontroversi pengundi bernama Kg Baru yang berdaftar di laman SPR serta seorang bertaraf permastautin tetap bernama Mismah yang mendapat taraf warganegara dalam tempoh 4 jam, seolah-olah tidak diakui SPR.

Menurut Maria, SPR perlu bertanggungjawab dengan kelemahannya dan bersedia menerima kritikan pihak lain.

“Cukup dengan menuding jari terhadap banyak pihak dan SPR perlu bertanggungjawab di atas kesalahan ini. Jika mereka tak boleh buat, biar pihak lain melakukannya,” katanya. -tvsnews



Lebih Setengah Juta PATI Didaftarkan Dalamasa Kurang 10 Hari

530,625 PATI didaftar sejak 1 Ogos

Sejumlah 530,625 pendatang asing tanpa izin (PATI) didaftarkan di seluruh Semenanjung Malaysia dan Sabah, bermula pada 1 Ogos sehingga semalam, kata Timbalan Ketua Setiausaha (Kanan) Pendaftaran dan Imigresen Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Alwi Ibrahim.

Beliau berkata pendaftaran Program Penyelesaian Menyeluruh Pendatang Asing Tanpa Izin (Program 6P) telah dilaksanakan di 206 pejabat Imigresen di seluruh Semenanjung Malaysia dan Sabah serta 1,934 kaunter pendaftaran yang dikendalikan 336 syarikat pengurus.

"Berdasarkan pecahan mengikut negeri, Sabah mencatatkan rekod pendaftaran PATI paling tinggi dengan jumlah 152,588; diikuti Selangor, 126,094; Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (103,075); Johor (33,451); Pulau Pinang (27,046); Perak (19,999); Pahang (18,390); Wilayah Persekutuan Putrajaya (13,400); Negeri Sembilan (13,065); Kedah (12,703); Melaka (5,842); Kelantan (2,150); Terengganu (1,761); Perlis (962); dan terendah, Wilayah Persekutuan Labuan, 99," katanya dalam satu kenyataan.

Alwi berkata kerajaan memberi amaran keras kepada semua syarikat pengurus supaya tidak mengeluarkan sebarang maklumat mengelirukan, sama ada kepada PATI, majikan, ataupun orang ramai, khususnya membabitkan aspek bayaran.

"Terdapat syarikat yang dilapor mengenakan bayaran pakej lebih RM35 dengan memaklumkan bahawa mereka bertindak atas arahan KDN.

NONE"Sehubungan itu, syarikat diminta menghentikan tindakan tersebut kerana KDN tidak pernah mengubah keputusan bayaran perkhidmatan kepada syarikat pengurus seperti yang telah ditetapkan kerajaan iaitu RM35 untuk pendaftaran dan RM300 untuk pemutihan tetapi bayaran itu hanya perlu dibayar jika PATI terpilih untuk diputihkan," katanya.

Bagi memastikan tidak berlaku penyelewengan, Alwi berkata pegawai Imigresen dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan membuat pemantauan agar syarikat-syarikat ini mematuhi peraturan dan undang-undang.

Beliau berkata perkhidmatan sama yang diberikan syarikat pengurus turut diberikan secara percuma oleh kerajaan menerusi pejabat Imigresen di seluruh negara.

"Justeru, tidak timbul isu KDN mengeluarkan arahan bayaran tambahan selain daripada yang telah ditetapkan," katanya.

Alwi berkata sebarang aduan boleh menghubungi Bilik Gerakan KDN di talian 03-8886-8110 / 8112 beserta maklumat terperinci untuk tindakan lanjut di pihak KDN.

"Amaran akan dikeluarkan dan pemantauan akan dibuat terhadap operasi syarikat berkenaan. Jika didapati berulang, hak kebenaran untuk mereka beroperasi menerusi program ini akan dibatalkan," katanya. -- Bernama

Ulasan GB

Langkah tergesa-gesa mendaftarkan PATI apatah lagi dilakukan tatkala negara diambang menghadapi pilihanraya ke 13 menimbulkan banyak tandatanya.

Tiba-tiba negara menjadi begitu pemurah mendaftarkan sekalian PATI dengan begitu mudah. Apatah lagi PATI paling ramai didaftarkan kebanyakan di negeri-negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat.

Kalau ada apa-apa masakan tempua bersarang rendah!

Najib ingat rakyat bodoh sangat ker atau mudah sangat untuk diperbodohkan lagi selepas kes Parlimen Pekan 1999?

UMNO Berjaya Curi Lonjakan Kerusi Pakatan Rakyat Dengan Isu Gereja Selepas BERS✔H

Pakatan mampu rampas 100 kerusi Parlimen

Perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai lalu mungkin melonjakkan pungutan kerusi bagi Pakatan Rakyat daripada 75 sekarang kepada 100 pada pilihan raya umum akan datang, kata penganalisis politik Wong Ching Huat.

Pada seminarnya di Universiti Monash, Sunway hari ini, Wong yang juga ahli jawatankuasa pemandu BERSIH 2.0 berkata peralihan sokongan itu adalah kerana reaksi rakyat terhadap tindakan kerajaan BN yang mengubah sentimen mereka di sejumlah 55 kerusi marginal yang dimenangi kedua-dua pihak.

"BERSIH telah meningkatkan peluang Pakatan di 20 kerusi yang dimenang tipis oleh BN dan memperkuatkan kedudukan Pakatan di 33 kerusi (marginal) milikinya sebelum ini,” katanya.

Wong berkata jumlah berkenaan adalah hasil rumusannya berdasarkan demografik pengundi dan corak pengundian pada pilihan raya umum 2008 dan juga beberapa pilihan raya kecil yang lalu.

Beliau juga menjangkakan corak yang sama akan berlaku di kerusi-kerusi milik calon Bebas seperti di Wangsa Maju, Nibong Tebal dan Bayan Baru yang terletak di kawasan bandar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Berdasarkan perkiraannya juga, beliau menjangkakan Datuk Ibrahim Ali akan hilang kersi parlimennya di Pasir Mas di Kelantan.

azlanSelain itu, Wong juga menjangkakan PSM akan mengekalkan kerusinya di Sungai Siput, yang dimenangi dengan majoriti kecil berikutan penahanan ahli parlimennya Dr D Jeyakumar yang ditangkap mengikut Ordinan Darurat.

"Secara demografik ia adalah kerusi yang bahaya (untuk Jeyakumar) tetapi penahanan itu telah memberi manfaat kepada Jeyakumar, terutamanya undi simpati. Beliau akan terus mendapat undi masyarakat India dan menang dengan lebih selesa,” katanya kepada Malaysiakini selepas seminar itu.

Katanya dua kerusi milik SAPP lebih sukar diramalkan.

Wong juga berkata Pakatan dijangka akan mengekalkan secara marginal kersi di Sibu, Kuantan dan Indera Mahkota, tetapi bukan kerana BERSIH 2.0 tetapi isu lain seperti kilang pemprosesan bumi nadir Lynas, khususnya di Pahang. -mk

Ulasan GB

Benarkah Pakatan Rakyat mampu melonjakkan pungutan kerusi dari 75 ke 100 di dalam PRU13 akan datang?

YA jika ditinjau hanya berdasarkan dari sokongan rakyat selepas perhimpunan BERSIH 2.0 per se.

TIDAK sebaik sahaja isu "serangan gereja" timbul apatahlagi dengan "sokongan terbuka" yang disuarakan oleh Pemuda PAS kepada Exco Selangor Hassan Ali terhadap tindakan JAIS & Polis.

Kajian Wong Ching Huat tersebut telah mengabaikan isu-isu selepas perhimpunan BERSIH.

Jika Hassan Ali seorang saja menyokong, impaknya tidak begitu besar tetapi apabila Dewan Ulamak dan Dewan Pemuda PAS menyuarakan secara terbuka menyokong (sekalipun PAS Pusat sendiri baru hendak mengadakan pertemuan dengan pihak JAIS dan gereja) maka dengan sendirinya impaknya menjadi meluas. UMNO berjaya mencuri kerusi-kerusi di kawasan pengundi Melayu yang bermarginal kecil.

Menurut pemerhati politik, tindakan Exco Selangor dan Pemuda PAS tersebut telah berjaya mengalihkan sedikit sokongan rakyat kepada UMNO walaupun ia telah di perbaiki sebelum itu dengan pembelaan dari Dr. Asri bahawa kegagalan institusi zakat didalam menjaga kebajikan umat Islam adalah merupakan penyumbang utama kepada sebab mengapa umat Islam "terpaksa" menerima bantuan daripada pihak gereja.