10 Ogo 2011

MAFREL: Bersihkan Daftar Pemilih Sebelum Terjadi Sebarang Hal Buruk Ketika PRU13

Mafrel mahu SPR bersih daftar pemilih elak implikasi ketika PRU-13

KUALA LUMPUR, 10 Ogos — Badan Pemantau Pilihan Raya Adil dan Bebas Malaysia (Mafrel) menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membersihkan daftar pemilih yang didakwa turut melibatkan kehadiran “pemastautin tetap” yang diragui bagi mengelakkan implikasi besar ketika pilihan raya umum ke-13.

Mengikut perkembangan semasa pilihan raya umum ke-13 dijangka akan diadakan dalam waktu terdekat.

Pengerusi Mafrel Syed Ibrahim Syed Noh berkata, SPR perlu melihat secara serius pendedahan yang dibuat oleh Pakatan Rakyat berhubung isu status kewarganegaraan yang diberikan kepada pemastautin tetap, sekali membolehkan mereka mengundi dalam pilihan raya.

Tegas beliau, SPR perlu menjalankan siasatan itu dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi membersihkan daftar pemilih.

“Saya rasa kalau pendedahan itu benar, SPR perlu melakukan siasatan segera mengenai apa yang berlaku, apa yang boleh SPR lakukan ialah siasat latar belakang pengundi itu, adakah mereka betul-betul (warganegara), sebab kini terdapat banyak keraguan yang mana pemastautin tetap bertukar ke warganegara dalam tempoh yang singkat.

“Kini lebih banyak keraguan, kita rasa ragu-ragu (tentang daftar pemilih), untuk menghilangkan keraguan ini SPR perlu mengambil tindakan segera dan menyiasat perkara ini dengan kerjasama JPN,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Bagaimanapun Syed Ibrahim percaya SPR akan memberi alasan tidak mempunyai kuasa, namun beliau menegaskan pembersihan daftar pemilih adalah di bawah bidang kuasa badan pengurusan pilihan raya itu.

“Memang daftar pemilih terletak di bawah bidang kuasa SPR, tidak boleh (kata) tiada kuasa kerana sebagai badan pengurusan pilihan raya SPR mempunyai kuasa itu.

“Sudah menjadi faktor utama yang mana daftar pemilih dan pembersihannya adalah kuasa SPR, kes ini sangat jelas... ini kes faktor yang mana ia jelas bagaimana pemilik kad pengenalan merah memperoleh kad pengenalan biru dalam tempoh singkat, untuk itu, SPR perlu siasat dengan serius,” katanya.

Isu daftar menjadi hangat baru-baru ini ekoran pendedahan mengenai tindakan menukar status kewarganegaraan pemastautin tetap kepada warganegara dalam tempoh yang singkat dan ia mendapat bantahan kepimpinan Pakatan Rakyat.

Bagaimanapun perkara itu dinafikan oleh JPN dan SPR.

Berikutan pendedahan itu, Pakatan Rakyat mahu sidang tergempar Parlimen bagi membahaskan isu kewujudan pengundi-pengundi di kalangan warga asing yang diberikan taraf kewarganegaraan.

Tambah Syed Ibrahim, kegagalan SPR membersihkan daftar pemilih akan memberi implikasi yang besar dalam sistem pilihan raya negara.

“Implikasinya sangat besar, sekiranya warga asing dibenarkan mengundi keputusan itu boleh dicabar, kalau ada parti yang tidak berpuas hati... sudah tentu kita tidak mahu perkara ini berlaku.

“Sebab itu saya minta SPR mengambil tindakan segera dengan kerjasama JPN, siasat dengan serius kerana SPR adalah badan bebas,” katanya.

Sebelum ini Pakatan Rakyat juga mendakwa Barisan Nasional (BN) mendaftarkan warga asing sebagai rakyat negara ini melalui operasi “MyDaftar”.

Operasi itu dikatakan mahu menjadikan warga asing sebagai pengundi yang sah bagi memenangkan BN pada pilihan raya umum ke-13. -TMI

1 ulasan:

  1. Mafrel tak usah risau.Jika kerajaan UMNO/BN sendiri yang "mengundang" mala-petaka,depa sendiri yang akan tanggung.Pusat mengundi akan bertaburan diseluruh negara,bukan polis boleh kawal macam demo Bersih.Tak payah nak cerita panjang,rakyat tahu apa nak buat.

    BalasPadam

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.