20 Jun 2011

Semua Bersemangat Tunggu Tarikh 9 Julai

Semua dijemput sertai himpunan aman Bersih 2.0

KUALA LUMPUR, 20 Jun: "Saya mewakili Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan seluruh pimpinan PAS memberikan sokongan dan dokongan penuh kepada Bersih 2.0," kata Penolong Setiausaha Agung PAS Pusat, Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi.

Laungan takbir bergema dari penyokong PAS sewaktu beliau menyatakan demikian sewaktu berucap di majlis pelancaran Bersih 2.0 di Dewan Perhimpunan Selangor-Kuala Lumpur (KLSCAH) malam tadi.

Majlis pelancaran malam tadi berlangsung meriah dengan kehadiran jawatankuasa induk Bersih 2.0 dan jawatankuasa sokongan terdiri daripada beberapa NGO dan parti-parti politik.

Hadirin turut teruja dengan kehadiran sasterawan negara, Datuk A. Samad Said yang sempat mendeklamasikan "ekor" salah satu sajaknya.

Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Datuk Ambiga Sreenevasan turut membacakan lapan tuntutan Bersih 2.0 iaitu bersihkan senarai pengundi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, tempoh kempen minima 21 harian akses media yang bebas dan adil, kukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.

Beliau yang juga seorang peguam menegaskan, himpunan tersebut akan berjalan secara aman dan semua rakyat termasuk parti politik dari BN dijemput untuk menyertainya.

Paluan gendang turut mengiringi wakil-wakil NGO yang membawa sepanduk lapan tuntutan tersebut masuk ke dewan dan disambut laungan "bersih, bersih" dari hadirin yang majoriti terdiri daripada golongan muda dan pertengahan.

Majlis yang dihadiri hampir 1,000 hadirin itu turut melancarkan kutipan derma untuk aktiviti Bersih.

Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) mendermakan satu dinar emas bersamaan RM750. -hd



"Kenyataan Ibrahim Ali Sangat Bahaya" - KJ Mahu Ibrahim Ali Disiasat

Khairy: Ibrahim Ali tak wakili majoriti Melayu

Kenyataan bersifat ‘rasis’ dibuat Datuk Ibrahim Ali khususnya terhadap kaum Cina ketika satu majlis anti-Bersih 2.0 semalam tidak menggambarkan keseluruhan pendirian orang Melayu, kata Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin hari ini.

“Saya hanya mahu orang ramai mengetahui bahawa ini adalah pandangan seorang Ahli Parlimen yang tidak mewakili majoriti kaum Melayu.

“Kami adalah kaum berhati mulia, kami tidak melanggan pandangan ini,” kata Khairy kepada pemberita di sini hari ini.

Sehubungan itu, Khairy menggesa agar dikenakan tindakan ke atas Presiden Perkasa itu.

“Apa yang beliau kata sangat bahaya... sekurang-kurangnya apa yang boleh dilakukan ialah adakan siasatan dari segi hasutan,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Rembau.

Terdahulu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menyifatkan Umno seolah-olah menunjukkan warna sebenar parti itu bahawa ia hanya berkepentingan untuk satu kaum apabila membenarkan ugutan ala Nazi disampaikan oleh Ibrahim dan Perkasa yang diwakilinya semalam.

“Dengan keengganan parti tersebut untuk mengambil tindakan, Umno bersalah atas sokongan terhadap Perkasa dan pendirian parti itu.

“Malah, ia amat jelas sejak sekian lama, sebagaimana ditunjukkan oleh Umno yang kurang mengambil tindakan terhadap kes-kes seperti demonstrasi seperti protes kepala lembu pada 2009 dan pelbagai ucapan pemimpin mereka yang menyamakan kaum India dengan pengemis dan wanita Cina sebagai pelacur,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Semalam, Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas bersama 164 badan bukan kerajaan (NGO) melancarkan “perang” terhadap Himpunan Bersih 2.0 dengan membakar gambar Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil Datuk Ambiga Sreenevasan dan memberi amaran kepada kaum Cina agar jangan keluar pada 9 Julai ini atas alasan “apa sahaja boleh berlaku.”

Ibrahim menegaskan, perhimpunan anti-Bersih 2.0 yang bakal diadakan serentak akan diteruskan dan beliau tidak akan bertanggungjawab atas sebarang insiden tidak diingini.

“Cuba bayangkan jika berlaku huru-hara... jika himpunan Bersih 2.0 tidak dibatalkan, saya percaya kaum Cina perlu simpan bekalan makanan.

“Ya, apa sahaja boleh berlaku. Dan, saya minta agar polis mengambil apa sahaja tindakan dan gunakan kuasa mereka untuk bertindak,”
katanya semasa melancarkan Gerak Aman semalam.

Bersih bersama Pakatan Rakyat dan aktivis parti bersedia menggerakan Himpunan Bersih 2.0 menuntut pilihan raya adil dan bebas sebagai kesinambungan himpunan yang kali pertama diadakan pada November 2007.

PAS telah berjanji akan menggerakkan 300,000 peserta untuk menyokong perhimpunan itu untuk mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan pilihan raya adil dan bebas pada pilihan raya umum ke-13 tidak lama lagi. -TMI


Tiada Alasan Untuk Tidak Siasat Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR 20 JUN: Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin mengarahkan pihak berkuasa menyiasat kenyataan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali di bawah Akta Hasutan 1948 bersabit ugutan kepada kaum Cina menjelang perhimpunan Bersih 2.0, 9 Julai nanti.

"Tidak ada lagi perkara yang lebih jelas untuk menyiasat beliau di bawah Akta Hasutan," kata Khairy kepada media di lobi parlimen hari ini.

Ibrahim dalam ucapannya di Kampung Baru semalam bersama 164 badan bukan kerajaan (NGO) melancarkan “perang” terhadap Himpunan Bersih 2.0 dengan membakar gambar Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Datuk Ambiga Sreenevasan.

Beliau turut memberi amaran kepada kepada masyarakat Cina supaya tidak keluar rumah atas alasan "apa sahaja boleh berlaku" pada hari tersebut.

Khairy kemudian menyifatkan kenyataan tersebut sebagai menakut-nakutkan warga Cina.

Justeru beliau mengajak rakyat untuk mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan Ibrahim itu dan tindakan tegas harus dikenakan ke atas ahli parlimen itu.

"Saya menegaskan kepada masyarakat Cina bahawa pandangan ahli parlimen ini tidak mewakili suara Melayu majoriti. Kita masyarakat Melayu menghormati semua kaum," ujar beliau lagi.

Khairy berkata beliau akan tetap mengetuai perhimpunan Pemuda Umno pada 9 Julai nanti untuk menyatakan sokongan kepada SUruhanjaya Pilihan Raya (SPR) namun memberi jaminan tidak akan bertembung dengan penyokong Bersih.

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar sebelum itu melebel Ibrahim sebagai pengecut dengan bertindak mengugut kaum Cina.

Sehubungan itu Nurul Izzah berkata masyarakat tidak perlu takut dengan ugutan tersebut. -tvsnews





KDN Tidak Konsisten: Ibrahim Ali Perlu Ditahan Di bawah Akta Hasutan - Majlis Peguam

Majlis Peguam: Gunakan Akta Hasutan terhadap Ibrahim

Ancaman presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali bahawa "apa saja boleh berlaku pada hari itu" jika Bersih 2.0 meneruskan perhimpunannya pada 9 Julai, adalah tidak bertanggungjawab serta rasis, dan tindakan hendaklah diambil terhadapnya di bawah Akta Hasutan, kata Majlis Peguam Malaysia.

Presiden Majlis Peguam, Lim Chee Wee menggesa kerajaan menggunakan Akta Hasutan terhadap Ibrahim jika pihak berkuasa merasakan akta itu masih lagi relevan.

Katanya, Majlis Peguam menentang Akta Hasutan, "tetapi jika kerajaan menggunakan akta tersebut terhadap Karpal Singh kerana kenyataannya mengenai isu (krisis perlembagaan) Perak, maka saya tidak nampak mengapa (kerajaan) tidak boleh berbuat demikian terhadap kenyataan Ibrahim itu."

"Kerajaan mestilah konsisten dan memberi layanan sama rata terhadap semua di bawah undang-undang," katanya ketika diminta mengulas kenyataan Ibrahim, dalam satu sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini.

Majlis Peguam, katanya, mengecam kenyataan rasis Ibrahim itu sebagai tidak bertanggungjawab langsung dan tidak wajar.

Semasa pelancaran 'Gerak Aman' semalam, penyokong PERKASA memijak dan membakar gambar pengerusi BERSIH, Datuk Ambiga Sreenevasan, yang juga bekas pengerusi Majlis Peguam.

Ibrahim juga dilaporkan berkata akan berlaku huru-hara jika demonstrasi gabungan pembangkang dan aktivis politik, tidak dibatalkan. -mk

Perhimpunan Bersih Adalah Platform Suara Rakyat

Perhimpunan Bersih 2.0 akan menjadi platform utama kepada suara rakyat dalam mengukur sejauhmana komitmen kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) dalam mengamalkan sistem demokrasi, kata Setiausaha Kebangsaan DAP, Teresa Kok.

Malah katanya, sebarang tindakan provokasi daripada mana-mana pihak yang cuba menghalang himpunan besar-besaran itu hanya akan menghantar mesej buruk kepada sistem pentadbiran kerajaan terutama Polis Di Raja Malaysia (PDRM).

"Saya mahu beri peringatan kepada Barisan Nasional (BN) jika ada mana-mana penyokong yang tertangkap, maka kita akan hantar mesej kepada dunia bahawa BN memang mahu pilihan raya yang kotor," ujarnya.

Beliau yang hadir ke Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur malam tadi bersempena pelancaran Perhimpunan Bersih 2.0 menyatakan sokongan penuh terhadap program anjuran gabungan NGO seluruh negara termasuk wakil SAPP dari Sarawak.

Teresa yang hadir bersama pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat menunjukkan sokongan positif seraya menyeru seluruh rakyat turun untuk menyertai perhimpunan itu nanti.

Perhimpunan Bersih kali pertama diadakan pada 2007 berjaya mengumpulkan lebih 100 ribu rakyat tempatan mengadakan perarakan secara aman.

Dalam pada itu, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar yang turut sama menyatakan sokongan padunya kepada himpunan besar-besaran itu nanti menegaskan bahawa segala dakwaan yang dilemparkan kepada Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau individu utama dalam perancangan menanam kebencian terhadap BN menerusi Bersih 2.0 adalah dusta sama sekali.

"Walaupun dakwaan Datuk Seri Anwar adalah dalang, saya mahu tekankan ini semua dusta," kata Nurul Izzah.

Beliau sebaliknya menjulang Pengerusi Bersih, Datuk Ambiga Sreenevasan yang berjaya mengumpul kekuatan suara rakyat seluruh negara dalam menuntut pilihan raya yang bersih dan adil.

Perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai nanti akan bermula di tiga lokasi sekitar ibu negara Kuala Lumpur iaitu, pusat membeli belah Sogo, perkarangan Masjid Kampung Baru dan di hadapan DBKL jam 2 petang.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim dimaklumkan akan turut serta dalam perhimpunan itu. -tvsnews



Kes Khalwat Salim Parlan: Mahkamah Tetapkan Perbicaraan 26 Julai

George Town - Mahkamah Rendah Syariah di sini, hari ini menetapkan 26 Julai ini untuk perbicaraan kes khalwat Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) Kementerian Belia dan Sukan Datuk Salim Parlan dan pasangannya, Nur Diayana Norslan.

Hakim Syarie Nik Bukhari Hashimy Nik Yahaya menetapkan tarikh itu selepas menolak permohonan pihak pembelaan supaya mahkamah menetapkan tarikh untuk sebutan semula kes berkenaan.

Terdahulu, pembelaan yang diwakili Wan Faridulhadi Mohd Yusoff membuat permohonan itu sementara menunggu keputusan permohonon kebenaran poligami dan pengesahan nikah di Selatan Thailand yang difailkan anak guamnya di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur minggu lepas.

Ketua Pendakwa Syarie Mohd Zulkhairi Aziz yang membantah permohonan itu berkata kes itu perlu diteruskan sementara menunggu keputusan permohonan berkenaan.

"Kita tidak tahu bila kes di Kuala Lumpur itu akan selesai. Ia mungkin mengambil masa yang lama... mungkin setahun atau dua tahun. Kita tidak tahu bila akan selesai," katanya.

Nik Bukhari kemudiannya menetapkan perbicaraan akan dijalankan sementara menunggu keputusan permohonon kebenaran poligami dan pengesahan nikah itu.

Bagaimanapun, jika permohonan itu diterima mahkamah, pihak pendakwaan boleh menarik balik atau membatalkan kes berkenaan.

Pada 19 April lepas, Salim, 51, dan Nur Diayana, 30 mengaku tidak bersalah atas tuduhan berkhalwat di sebuah hotel di Batu Ferringhi.

Salim, yang juga bekas Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah bilik bernombor 224 di sebuah hotel di Batu Ferringhi, 16 April lepas, pada kira-kira pukul 5 pagi.

Dia dituduh mengikut Seksyen 27 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Pulau Pinang 1996 manakala Nur Diayana mengikut Seksyen 27 (b) enakmen yang sama. - Bernama

Laporan sebelum ini



Mohd Sabu: Himpunan Bersih Adalah Aman Jika Polis Bertindak Adil

Himpunan Bersih 2.0 aman, polis patut kerjasama

KUALA LUMPUR, 19 Jun: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu tetap memberi jaminan bahawa himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini akan berjalan dalam keadaan aman jika pihak polis memberikan sepenuh kerjasama.

Sehubungan itu, beliau sekali lagi menyeru Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya menjaga keselamatan peserta himpunan dan memastikan tiada sebarang kekecohan.

"Saya merayu sekali lagi kepada Polis Diraja Malaysia, ketua polis negara supaya menjaga keamanan dan keselamatan rakyat serta tidak melakukan tindakan keras kepada rakyat yang menuntut demokrasi dan pilihan raya adil dan bebas," kata beliau pada sidang media di ibu pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini hari ini.

Mohamad yakin polis mampu memantau mana-mana pihak yang berniat melakukan kekacauan dan rakyat akan berasa gembira sekiranya memorandum tersebut pada diserahkan kepada Yang Dipertuan Agong dalam keadaan aman.

"Kalau kita sampai ke Istana Negara dengan selesa dan baik, semuanya akan berjalan dengan lancar…kita juga akan bersurai dengan baik.

“Keadaan akan jadi tidak elok apabila polis bertindak sembur gas pemedih mata dan air asid, itu yang sebabkan peserta berlari, peniaga terpaksa tutup kedai, peniaga air kena buang air sebab dimasuki air asid.

“Kalau perkara ini tidak berlaku naka saya percaya semua akan gembira, rakyat akan gembira dan peniaga juga akan gembira,”
katanya.

Jangan peduli "gendang" Perkasa

Sementara itu, naib presiden PAS, Datuk Husam Musa berkata, penganjur Bersih 2.0 tidak perlu tunduk kepada amaran polis kerana matlamatnya jelas untuk menuntut pilihan raya yang adil dan bersih.

Beliau berkata, pihak penganjur harus mencontohi Mesir yang menyediakan buku panduan ringkas kepada peserta demonstrasi mereka.

"Revolusi di Mesir mereka ada buku panduan. Kalau pergi demonstrasi macammana tak nak berlaku huru hara.

"Kita pergi demo memang nak secara aman tpi kalau FRU datang sembur kita, orang jadi panik, mata tak nampak, tak boleh bernafas macammana nak buat?

"Dalam tips ini sebut kena bawak air lemon, atau cuka epal untuk lindungi kita. Ini satu cadangan yang baik.

"Mata kena pakai cermin mata yang boleh lindungi mata, pakai baju banyak lapis supaya orang tak nampak kita nak pergi Bersih tapi nampak kita macam nak pergi shopping," katanya sewaktu bercakap dalam satu forum di Dewan Perhimpunan Cina Selangor-Kuala Lumpur (KLSCAH) malam semalam.

Beliau juga berkata, tindakan Pertubuhan Peribumi Perkasa (Perkasa) yang juga mahu mengadakan perhimpunan membantah Bersih pada hari yang sama tidak harus dihiraukan.

"Perkasa kata mereka nak pergi saya rasa adalah dalam 30 orang.

"Kalau kita berhimpun 1,000 hingga 2,000 orang, Perkasa jadi sangat kecil dan kita tak perasan pun ada Perkasa di situ.

"jadi jangan takut. Bila gendang bunyi kuat, biasanya isinya kosong. kalau Perkasa bunyi kuat, mesti tak ramai datang,"
katanya disambut ketawa hadirin.

Sementara itu,BERSIH akan mengadakan pelancaran Perhimpunan Bersih 2.0 di Dewan Utama, KLSCAH pada jam 8.30 malam ini.

Pemimpin Bersih, NGO dan masyarakat awam akan memberikan ceramah dan taklimat berhubung perkembangan dan tuntutan Bersih. -HD


Himpunan aman kecoh bila FRU tembak gas

KUALA LUMPUR, 19 Jun: Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG menegaskan, perhimpunan aman ialah hak asasi manusia, jikalau Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) masih berhimpun secara aman, tanggungjawab kerajaan dan polis ialah membantu pihak penganjur mengatur perhimpunan dan mengawal lalulintas.

“Kami berharap kerajaan bertolerasi terhadap aktiviti perhimpunan aman, bukannya menyekat saluran rakyat meluahkan perasaan,” kata presidennya, Datuk Dr Toh Kin Woon.

Katanya, sesiapa yang mempunyai pengetahunan tentang aktiviti perhimpunan aman di Malaysia akan tahu, pasukan FRU yang menembak gas pemedih mata dan meriam air adalah penyebab utama yang mengakibatkan kekecohan.

Jelasnya, perhimpunan aman tidak akan membawa sedikit pun ketidakselesaan kepada penghuni atau peniaga bandar sekiranya FRU tidak berbbuat begitu dan menyuraikan para peserta secara paksa.


Pada 26 Mac lalu, ujarnya pertubuhan-pertubuhan wanita menganjurkan perarakan “Jalan untuk Berubah”, pihak polis memberi kerjasama dengan pihak penganjur, mereka hadir dan mengawal lalulintas.

Begitu juga perarakan Hari Hak Asasi Manusia yang dianjurkan oleh Presiden Majlis Peguam, Yeo Yang Poh beberapa tahun dahulu, pihak polis juga tidak mengganggu perarakan.

“Kedua-dua perhimpunan dan perarakan ini telah berjalan secara lancar dan aman, tidak mengakibatkan kekecohan dan kesesakan lalulintas,” ujarnya.

Ini, katanya membuktikan tuduhan pihak polis terhadap himpunan aman Bersh 2.0 pada 9 Julai ini adalah tidak berasas.

Oleh sebab itu, katanya Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG menyokong sepenuhnya perhimpunan aman yang dianjurkan oleh Bersih.

Pihaknya juga setuju dengan tujuh permintaan reformasi sistem pilihanraya yang dikemukakan Bersih iaitu pendaftaran pengundi secara automatik, sistem undi pos untuk para pengundi luar negara, penggunaan dakwat yang tidak dapat dipadamkan, capaian media aliran utama secara saksama untuk semua parti, tempoh kempen minimum 21 hari, kebebasan badan penguatkuasaan bertindak berhubung kesalahan pilihan raya dan menghapuskan rasuah pilihan raya.


Tambahnya, tujuh permintaan yang dikemukakan oleh BERSIH adalah indeks penting bagi mencapai pilihanraya adil dan politik berdemokrasi, parti-parti politik dan pertubuhan-pertubuhan tidak wajar membantah.

Pihaknya turut kesal serangan pemimpin politik dan Perkasa terhadap Bersih.

Perkasa mengumumkan bersama 30 pertubuhan Melayu akan turut sama berhimpun dengan Bersih pada hari yang sama bagi menghalang demonstrasi Bersih.

Katanya, tindakan Perkasa itu yang bertujuaan menggagalkan perhimpunan Bersih telah mencabul hak kebebasan perhimpunan penyokong Bersih.

Pemuda Umno pula tiba-tiba mengumumkan satu perarakan “bagi menyokong sistem demokrasi” pada hari yang sama, ini merupakan satu lagi kerja untuk bertembung dengan Bersih.

“Kami menyeru Perkasa dan Pemuda Umno memilih tempat lain atau tarikh lain menganjurkan perhimpunan membantah reformasi sistem pilihanraya, jangan membuat kekecohan secara terancang dan menggagalkan perhimpunan aman Bersih,” katanya.

Justeru, katanya Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG menyeru semua rakyat menyertai perhimpunan aman Bersh 2.0 bagi membaiki kelemahan sistem pilihan raya kini dan menyumbang kepada proses demokrasi negara kita. -HD






Ulasan GB

Semalam GB telah nyatakan:

GB ingin menyatakan pula bahawa jika BERSIH dihalang mengadakan perhimpunan aman, atau pihak polis cuba mengekang perhimpunan dengan kekerasan seperti dulu-dulu, maka inilah senario yang akan berlaku:

1) Indeks hak asasi manusia untuk negara Malaysia di mata dunia akan merudum dan dengan sendiri menjauhkan para pelabur ke negara ini.

2) Rakyat akan bangkit dengan lebih hebat untuk tumbangkan BN di dalam pilihanraya yang akan datang kerana gelodak kebencian rakyat terhadap sistem pilihanraya yang tidak adil dan tidak telus oleh SPR akan dibuktikan dengan penolakan rakyat terhadap BN dengan lebih jelas dan nyata.

Dan jangan lupa, undi rakyat pada pilihanraya 2008, bilangan yang diperolehi oleh Pakatan Rakyat adalah lebih kurang sama dengan Barisan Nasional!




Felda Hutang RM6 Billion: Jawab Segera

Hutang RM6 bilion: Anak masih tunggu penjelasan Felda

Tidak cukup sekadar mendakwa kedudukan kewangan Felda adalah stabil dan para peneroka tidak perlu bimbang, kata Mazlan Aliman.

PETALING JAYA: Para peneroka Felda di seluruh negara masih menunggu penjelasan yang lengkap daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan berhubung hutang agensi kerajaan itu yang berjumlah RM6 bilion dari Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP).

Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman berkata, tidak cukup sekadar mendakwa kedudukan kewangan Felda adalah stabil dan para peneroka tidak perlu bimbang.

Beliau berkata demikian kepada FMT berhubung kenyataan Datuk Ahmad Maslan yang mengakui Felda ada membuat pinjaman RM6 bilion dari KWSP dan menyatakan bahawa kedudukan kewangan agensi itu adalah stabil dan para peneroka tidak perlu risau.

Tegas Mazlan, “sehingga hari ini kita masih menunggu penjelasan yang lengkap dari Ahmad Maslan mengenai butiran pinjaman dan untuk apa pinjaman RM6 bilion itu dibuat.

Kalau dulu, Ahmad Maslan mendakwa salah satu sebab Felda mengalami susut rezab tunai lebih RM1.3 bilion dalam tempoh lima tahun adalah disebabkan perbelanjaan tanaman semula.

“Baru-baru ini, Ahmad Maslan mendakwa sebahagian pinjaman RM6 bilion itu juga digunakan untuk membiayai kos penanaman semula pokok kelapa sawit,” terang beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dan Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah parti itu.

Mazlan menjelaskan, sekiranya Felda membelanjakan sebanyak RM4 bilion untuk menjalankan kerja-kerja penanaman semula maka ini bermakna kos seekar menelan belanja sebanyak RM100,000.

Tidak masuk akal

Ini suatu jumlah yang tidak masuk akal kerana sekiranya para peneroka sendiri yang mengerjakan tanaman semula, ia hanya menelan belanja sebanyak RM10,000 sahaja untuk seekar,” jelas beliau.

Beliau menegaskan bahawa banyak keraguan yang timbul di mana Ahmad Maslan perlu memberi penjelasan yang memuaskan kerana pengurusan kewangan Felda tidak dijalankan dengan telus.

“Keadaan ini juga menunjukkan komitmen kerajaan yang langsung tidak peduli akan nasib para peneroka dan kerajaan dilihat seolah- oleh lebih cenderong untuk menutup segala kelemahan dan penyelewengan yang berlaku dalam agensi itu
.

Oleh sebab itu katanya, Anak menggesa satu suruhanjaya bebas ditubuhkan untuk menyiasat pengurusan kewangan Felda yang didakwa mengalami kerugian yang teruk.

Sementara itu, Ahli Parlimen Permatang Pauh Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini mendakwa pelaburan luar negara yang dibuat oleh Kumpulan Felda dengan menggunakan wang yang dipinjam daripada KWSP itu semuanya mengalami kerugian.

“Kami percaya bahawa semua pelaburan luar negara yang dibuat oleh Felda Global dengan menggunakan pinjaman wang KWSP itu mengalami kerugian terkumpul hampir RM500 juta dari tahun 2007 hingga 2010,” ujar beliau.

Menurut Ketua Pembangkang itu, pelaburan luar tersebut meliputi dalam syarikat Felda Iffco Sdn Bhd, Twin Rivers Technologies US, TRT-ETGO Canada, Felda Global Ventures Middle East dan juga Felda Global Ventures Arabia. -FMT

Ulasan GB

GB sudah ulas sebelum ini di SINI. Petikan:

Ahmad Maslan tidak dapat memberi penjelasan kenapa, Felda perlu membuat pinjaman RM6bilion jika kedudukan kewangannya kukuh.

Yang nyata selama ini, rakyat melihat, FELDA dijadikan "penyedia dana" untuk UMNO-BN.

Cukup menghairankan KWSP boleh membenarkan pinjaman sebegitu besar kepada FELDA yang berada di ambang kebangkrapan sedangkan wang KWSP adalah milik rakyat.

Kita tidak tahu asas penilaian pelaburan yang digunapakai oleh KWSP meluluskan pinjaman kepada FELDA sedangkan sudah dimaklumkan bahawa rizab Felda susut daripada lebih RM4 bilion pada tahun 2004 kepada RM1.35 bilion tahun 2009.

RM6 bilion itu digunakan oleh anak syarikat Felda, Felda Global Ventures untuk melabur dalam syarikat milik asing dan pelaburan itu, telah menyebabkan Felda menanggung kerugian berkumpul RM500 juta dari tahun 1997 hingga tahun lalu.

KWSP perlu jawab dan bertanggungjawab kepada rakyat selepas ini.


Mengejutkan: Bapa, Anak Bersekedudukan Hingga Lahir Tiga Zuriat

Dalam rayuan, tertuduh pertama (ayah) nak bertaubat, tetapi taubat kerana ditangkap, dikira ‘taubat terpaksa’ dan mahkamah tidak dapat terima taubat itu. Jika kamu nak bertaubat, taubat betul-betul (taubat nasuha).

“Bagi tertuduh kedua (anak), sebagai pelajar, kamu perlu menjaga diri dan jika ada situasi mencurigakan, kamu boleh keluar rumah atau memberitahu ibu kamu, tetapi kamu gagal dalam situasi itu,” kata Hakim Syarie Abu Bakar Abdullah Kutty di Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, semalam.

Abu Bakar berkata demikian ketika menjatuhkan hukuman penjara dan denda terhadap ayah dan anak selepas mengaku salah berkelakuan sumbang dan bersekedudukan hingga melahirkan tiga anak masing-masing berusia enam, lima dan tiga tahun bermula dari 2004 sehingga ditahan kira-kira jam 1.30 pagi, semalam.

Dalam penghakimannya, Abu Bakar menjatuhkan hukuman penjara setahun dan enam bulan serta denda RM2,500, terhadap tertuduh pertama berusia 45 tahun, yang juga seorang mekanik dan berdepan hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda.

Bagaimanapun, tertuduh kedua, berusia 25 tahun yang juga anak tertuduh pertama bernasib baik kerana dikenakan hukuman denda RM2,000 dan berdepan hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda. Kedua-dua tertuduh juga dilarang tinggal serumah untuk selama-lamanya.

Hukuman berkenaan tidak diduga anak dan ayah itu kerana kedua-duanya tinggal bersama (bersekedudukan) sejak 2004 sehingga ditahan pada pagi semalam oleh anggota penguat kuasa agama Tumpat dalam operasi di rumah mereka di Jalan Palekbang, Wakaf Bharu, Tumpat.

Dengan tangan bergari, anak-beranak terbabit ditahan di lokap sebelum dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Syariah dekat sini, kira-kira jam 3 petang, semalam, untuk berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 10 Kanun Jenayah Syariah Nombor 2/85 Negeri Kelantan.

Sejurus kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah, kedua-dua tertuduh mengaku salah bersekedudukan hingga melahirkan tiga anak serta mengaku salah di atas sebab dan akibat daripada pengakuan salah berkenaan.

Pengakuan kedua-dua tertuduh, menyebabkan Abu Bakar yang mendengar kes berkenaan memberi peluang kepada anak beranak terbabit mengemukakan rayuan sebelum hukuman mengikut Seksyen 10 Kanun Jenayah Syariah Nombor 2/85 Negeri Kelantan diputuskan mahkamah.

“Saya minta hukuman denda dikurangkan kerana masih mempunyai tanggungjawab terhadap anak-anak, selain mahu memberi didikan sempurna kepada mereka. Kalau boleh tidak terjadi macam saya kerana saya bertaubat dan tidak akan melakukan zina dan dosa besar.

“Saya sudah berkahwin dengan dua isteri dan bercerai dengan mempunyai lima anak termasuk tertuduh kedua yang juga anak kedua dari isteri pertama. Saya sudah bercerai dengan isteri sejak tujuh tahun lalu,” kata si bapa ketika mengemukakan rayuan.

Timbalan Pendakwa Syarie negeri, Zaini Sulaiman dalam hujahan pemberatan hukuman sempat menyifatkan perbuatan dilakukan mereka keji kerana ketika anak-anak menyambut hari bapa, tiga anak pasangan berkenaan tidak kenal ayah mereka.

Zaini yang mencadangkan pasangan berkenaan dipisahkan dan tidak tinggal bersama turut memohon supaya mahkamah tidak memberi belas kasihan kepada pasangan berkenaan bagi memberi pengajaran kepada masyarakat. -hm

Pelancaran BERSIH 2.0 : Perhimpunan Tetap Diadakan, Jangan Takut

Bersih 2.0 Berdiri Sendiri Dengan Dokongan Rakyat

Bersih 2.0 tidak didukung atau dimonopoli oleh mana-mana bangsa atau kaum tertentu dalam menentukan agendanya demi memberi nafas pada pergerakan itu.

Gambar: Sasterawan Negara, Datuk A.Samad Said turut hadir di majlis pelancaran BERSIH 2.0 malam tadi.

Sebaliknya pada pelancaran Bersih 2.0 malam ini bukan sahaja dapat dilihat melalui sokongan dan perancangan tidak berbelah bagi dari pelbagai Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang teguh dalam memperjuangkan pilihan raya yang bersih dan adil di bawah kepimpinan Pengerusinya Datuk Ambiga Sreenevasan.

Malah kedatangan lebih 30 NGO yang menyokong gerakan ini semasa pelancaran malam ini jelas memperlihatkan kepelbagaian dan kesatuan harimoni gerakan ini.

Hampir 2500 hadirin terharu mendengar ucapan ringkas Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said yang memberi analogi 'Pesta Teh Boston' pada 1773 yang membawa kepada kemerdekaan Amerika Syarikat.

Menurut beliau, ucapan Samuel Adams yang membawa peristiwa tersebut bahawa kejayaan sesuatu perkara tidak bergantung kepada jumlah besar sesuatu organisasi sebaliknya idea yang membakar semangat orang lain.

"200 tahun lalu, tokoh Amerika Samuel Adams dan kelompok kecil telah menumpahkan teh di pelabuhan Boston. Samuel berkata, ia tidak memerlukan majoriti untuk berjaya, tetapi minoriti yang bekerja terus dan tanpa penat untuk menyalakan unggun semanga.

"Kita nyalakan unggun api itu malam ini," tegas beliau disambut dengan laungan semangat para hadirin.

Pemimpin Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham Shaharin pula dengan tegas menyatakan Bersih 2.0 akan terus berjalan walaupun mendapat tekanan pelbagai pihak.

"Bukit Aman kata nak tangkap dulu. Kita takut atau tidak? Bersih tidak boleh dihalang, kita akan tetap turun," katanya yang mempunyai pengaruh tinggi di kalangan belia.

Wakil NGO Lawyers For Liberty Fadiah Nadwa Fikri pula menyatakan LFL akan membantu dalam perkara yang melibatkan perguaman dalam himpunan raksaksa ini.

"LFL menyokong penuh perhimpunan Bersih 2.0 supaya ia telus dan adil dan kami akan turut bersama turun pada 9 Julai nanti," tegas beliau.

NGO lain yang tegas memberi sokongan dan berjanji akan mengikuti himpunan ini ialah Aliran Kesedaran Rakyat (ALIRAN) All-Women’s Action Society (AWAM) Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Centre for Independent Journalism (CIJ) Civil Rights Committee, KLSCAH Community Action Network Democratic Action Party ERA Consumer Malaysia (ERACON) Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS) Group of Concerned Citizens (GCC) Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT) Labour Resource Centre (LRC) Malaysia Youth & Student Democratic Movement (DEMA) Malaysian Trade Union Congress Malaysian Voters Union (MALVU) National Human Rights Society (HAKAM) Pusat Komunikasi Masyarakat (KOMAS) Research for Social Advancement (REFSA) Save Ourselves (SOS Penang) Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) Suara Rakyat Malaysia (SUARAM)dan pelbagai lagi.

Dijangkakan lebih ramai lagi yang akan menyertai perhimpunan ini sekali gus mampu mengumpulkan lebih 50 ribu orang jika sokongan NGO ini dimeteraikan.


Ambiga: Perhimpunan BERSIH tetap diteruskan

Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) Datuk Ambiga Sreenevasan menegaskan bahawa perhimpunan BERSIH pada 9 Julai depan akan diteruskan.

Beliau menolak cadangan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilaporkan akan meminta perhimpunan BERSIH 2.0 dibatalkan jika perdana menteri berjanji pilihan raya umum diadakan secara bersih dan adil.

"Keputusan (membatalkannya) bukan di tangan kamu, tetapi ia ditangan kami," katanya sambil menegaskan perhimpunan itu tetap diteruskan.

Menurutnya, perhimpunan pada 9 Julai depan adalah untuk rakyat dan bukan untuk kepentingan dirinya.

"Saya menolak untuk memberi sebarang komen terhadap perkara menyerang peribadi saya.

"Perhimpunan ini bukan untuk saya, ia adalah untuk kamu, untuk rakyat. Ia tentang rakyat Malaysia," katanya.

Oleh itu, katanya, perhimpunan 9 Julai di tiga lokasi akan diteruskan.

Tiga lokasi yang ditetapkan oleh gabungan itu adalah pusat membeli belah Sogo, Masjid Kampung Baru dan Bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Ambiga yang juga seorang peguam menegaskan demikian sewaktu berucap merasmikan pelancaran perhimpunan BERSIH di Dewan Perhimpunan Cina Selangor-Kuala Lumpur di ibunegara malam ini.

Beberapa jam sebelum pelancaran itu, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) dan lebih 57 NGO gabungan di bawahnya turut melancarkan perhimpunan Gerak Aman pada tarikh yang sama.

Penyokong PERKASA juga bertindak membakar dan memijak gambar Ambiga sejurus selepas perhimpunan tersebut.

Dalam risalah yang diedarkan kepada hadirin yang hadir dalam perhimpunan petang tadi, mereka mengingatkan bahawa Ambiga merupakan "Wanita Hindu Yang Merbahaya" susulan tindakannya yang didakwa boleh menggugat Melayu dan Islam.

Malah dalam ucapan beberapa pemimpin petang tadi, ada di antara mereka membuat kecaman peribadi terhadap Ambiga.

Amiga juga menegaskan bahawa masyarakat sivil akan mengetuai perhimpunan tersebut, dan bukannya diketuai oleh parti politik seperti mana dilaporkan.

Ambiga juga turut memberi jaminan kepada polis bahawa perhimpunan mereka adalah aman sepertimana yang telah ditunjukkan dalam perhimpunan BERSIH pertama pada November 2007.

Beliau sekali lagi mengajak semua pihak termasuk BN supaya menyertai perhimpunan tersebut bagi menuntut pilihan raya bersih dan adil.

Katanya dengan demikian, ia juga memberi kebaikan terhadap kredibiliti kepada BN.

Beliau turut membacakan lapan tuntutan mereka dalam perhimpunan itu iaitu membersihkan senarai undi, mereformasi undi pos, gunakan dakwat kekal, akses media yang bebas dan adil, tempoh kempen minima 21 hari, memperkukuh institusi awam, menghentikan rasuah dan menghentikan politik kotor.

Sementara itu, ahli jawatankuasa PAS Pusat Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi berjanji akan mengerahkan 100,000 anggotanya menyertai perhimpunan tersebut.

"Saya mewakili kepimpinan PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden Datuk Seri Abdul Hadi memberi sokongan 100 peratus terhadap perhimpunan BERSIH," katanya disambut dengan laungan takbir.

Manakala wakil daripada parti politik yang lain termasuk NGO gabungan turut berucap dan menyatakan sokongan untuk menyertai perhimpunan tersebut.

Selepas perasmian tersebut, lebih 700 hadirin dihiburkan dengan paluan gendang rancak yang mengasyikan bagi menaikkan semangat penyokong perhimpunan itu. -mk


Seorang Amah Indonesia Telah Dipancung Di Arab Saudi

Seorang perempuan Indonesia telah dipancung dengan pedang, pada hari Sabtu (18/6/2011). Perempuan itu dihukum kerana membunuh seorang perempuan Arab Saudi, kata Kementerian dalam Negeri Arab Saudi.

Perempuan bernama Ruyati binti Sapubi (gambar) terbukti bersalah membunuh perempuan Saudi Khairiya binti Hamid Mijlid dengan menyerangnya berulang kali di kepala dengan pemotong daging dan menikamnya di leher, kata kementerian itu dalam sebuah pernyataan yang dipetik oleh pejabat berita rasmi SPA.

Pejabat berita itu tidak menyatakan motif kejadian itu, ataupun menyatakan hubungan antara kedua perempuan itu. Tapi beberapa pejabat di Indonesia menyatakan bahawa sekitar 70 peratus dari 1.2 juta warga Indonesia yang bekerja di Arab Saudi adalah sebagai pembantu rumah (amah).

Pemancungan di wilayah Mekah di Saudi barat itu membuat jumlah yang dihukum di kerajaan tahun ini menjadi 28 orang, menurut hitungan AFP berdasarkan pada laporan-laporan pejabat dan kumpulan hak asasi manusia.

Kes-kes rogol, pembunuhan, kemurtadan, rompakan bersenjata semuanya boleh dihukum dengan hukuman mati menurut interpretasi keras hukum syariah Islam Arab Saudi.


Indonesia kritik Arab Saudi pancung amah

JAKARTA: Indonesia semalam menyelar tindakan Arab Saudi memancung seorang pembantu rumah negara itu yang didapati bersalah membunuh isteri majikannya.

Pembantu rumah berkenaan, Ruyati binti Sapubi, didakwa membunuh warga Saudi, Khairiya binti Hamid Mijlid dengan menetaknya berulang kali dengan pisau pemotong daging dan menikamnya di leher.

Warga Indonesia itu menjalani hukumannya di barat Makkah, Sabtu lalu.

“Tanpa berprasangka terhadap sistem perundangan Arab Saudi, kerajaan Indonesia mengkritik pelaksanaan hukuman itu yang dilakukan tanpa meneliti amalan antarabangsa,” kata jurucakap Kementerian Luar, Michael Tene, kepada AFP.

“Kami menyedari kes itu dan Ruyati mengaku melakukan pembunuhan berkenaan.

“Tetapi kami tidak dimaklumkan mengenai waktu pelaksanaan hukuman berkenaan,” katanya.

Tene berkata, kerajaan Indonesia akan memanggil duta Saudi di Jakarta untuk menyuarakan rasa tidak puas hatinya.

Kira-kira 70 peratus daripada 1.2 juta warga Indonesia di Arab Saudi bekerja sebagai pembantu rumah.

Seramai 28 orang menjalani hukuman pancung di Arab Saudi tahun ini. - AFP

BERSIH 2.0 Dilancarkan, Ambiga Tak Layan Serangan Peribadi Perkasa

Pelancaran BERSIH 2.0 Dapat Sambutan Hebat

KUALA LUMPUR 19 JUN : Chinese Assemble Hall Kuala Lumpur tiba- tiba bergegar dengan laungan semangat para NGO untuk mempertahankan himpunan BERSIH 2.0 yang akan diadakan 9 Julai nanti.

Laungan yang dilontarkan para NGO mendapat sambutan hampir 2500 penyokong yang hadir pada majlis Pelancaran BERSIH 2.0 malam ini.

Mereka hadir dengan memakai lilitan kain kuning dikepala bertulis perkataan BERSIH 2.

Rata- rata mereka kelihatan bersemangat dan memberikan respon yang memberangsangkan.

Sebaik sahaja majlis pelancaran bermula, sebuah rakaman video dipertontonkan kepada hadirin yang hadir bersabit kegiatan politik wang oleh parti Barisan Nasional (BN) ketika Pilihan Raya Negeri Sarawak April lalu untuk membeli undi masyarakat bumiputera negeri itu.

Antara sedutan memaparkan klip sejumlah wang disusun di rumah panjang untuk diedarkan kepada pengundi selain borang 14 yang enggan diserahkan kepada wakil parti gabungan pembangkang.

Antara NGO yang hadir adalah, Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Jaringan Rakyat Tertindas(JERIT), Lawyers for Libelity, Kelab Menteri Besar Selangor, IKRAM, GAMIS, CIJ, TENAGANITA, Mahasiswa UNISEL dan banyak lagi.

Himpunan BERSIH 2.0 terpaksa diadakan berikutan keengganan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kerajaan pemerintah mengadakan pilihan raya secara telus dan adil.

Antara empat tuntutan yang masih belum dipertimbangkan adalah bersihkan senarai pengundi, merefomasikan undi pos, penggunaan dakwat kekal dan akses media yang bebas dan adil.

Sempena himpunan BERSIH kali kedua ini, dua lagi tuntutan ditambah iaitu, tempoh pilihan raya 21 hari dan memulihkan kreadibiliti agensi kerajaan.

Gabungan BERSIH 2.0 berpendapat demokrasi yang telus seharusnya melalui pilihan raya yang bersih, bebas dan adil.

BERSIH 2.0 juga akan mengadakan siri jelajah untuk menjelaskan kepada rakyat mengenai isu- isu pengubahan sempadan pilihan raya dan lapan tuntutan BERSIH 2.0.

Siri jelajah itu kan diadakan di Shah Alam, Kuala Selangor, Johor, Melaka, Pulau Pinang, Seberang Perai, dan Perak.

Satu sesi telah pun diadakan di Kelantan pada Sabtu lepas.

BERSIH 2.0 juga menyambut baik tindakan Pemuda UMNO yang turut berhasrat mahu mengadakan perhimpunan aman dan menuntut penambahbaikan sistem pilihan raya.

BERSIH 2.0 juga menganggap tindakan Pemuda UMNO itu sebagai tanda bahawa himpunan BERSIH 2.0 efektif dalam mempromosikan demokrasi yang dinamik dan membawa tekanan yang kuat kepada SPR untuk reformasi pilihan raya.

Penganjur himpunan ini juga cuba meyakinkan pihak polis dan pihak- pihak lain bahawa BERSIH 2.0 adalah satu gerakan rakyat yang aman dan sentiasa akan berkerjasama dengan polis. -tvsnews



Ambiga: Saya tak peduli serangan peribadi Perkasa, Bersih bukan soal individu

KUALA LUMPUR, 19 Jun — Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) Datuk Ambiga Sreenevasan menegaskan beliau tidak kisah serangan peribadi yang dilakukan oleh Perkasa berhubung usaha pihaknya mengadakan Himpunan Bersih 2.0 bulan depan.

Sambil menyifatkan serangan peribadi Perkasa agak keterlaluan, Ambiga juga berkata tiada tindakan undang-undang akan diambil terhadap pertubuhan bukan kerajaan itu.

“Apa saya boleh buat? Saya tidak akan mempedulikan serangan peribadi yang dilakukan terhadap saya kerana Bersih bukan soal satu individu.

“Bersih adalah satu gerakan kemanusiaan, kita ada 14 ahli jawatankuasa pemandu dalam Bersih dan keputusan yang dibuat ini adalah keputusan bersama Bersih,”
katanya kepada The Malaysian Insider.

Perkasa ketika pelancaran perhimpunan anti-Bersih petang tadi bertindak membakar gambar Ambiga dan memberi amaran kepada kaum Cina agar jangan keluar pada 9 Julai ini.

Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali menegaskan perhimpunan anti-Bersih 2.0 yang bakal diadakan serentak akan diteruskan dan beliau tidak akan bertanggungjawab atas sebarang insiden tidak diingini.

“Cuba bayangkan jika berlaku huru-hara... jika himpunan Bersih 2.0 tidak dibatalkan, saya percaya kaum Cina perlu simpan bekalan makanan.

“Ya, apa sahaja boleh berlaku. Dan saya minta agar polis mengambil apa sahaja tindakan dan gunakan kuasa mereka untuk bertindak,” katanya pada pelancaran perhimpunan Gerak Aman di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru di sini.

Ibrahim juga mendakwa Ambiga sebagai ejen Yahudi.

Selain mengecam penganjuran Himpunan Bersih 2.0, turut diedarkan risalah yang berbentuk serangan peribadi terhadap Ambiga dengan perkataan “Awas!!! Ambiga, wanita Hindu yang merbahaya.


Selain Perkasa dan Bersih, Pemuda Umno turut akan mengadakan perhimpunan pada hari tersebut.

Bersih bersama Pakatan Rakyat dan aktivis parti bersedia menggerakan Himpunan Bersih 2.0 menuntut pilihan raya adil dan bebas sebagai kesinambungan himpunan yang kali pertama diadakan pada November 2007.

PAS telah berjanji akan menggerakkan 300,000 peserta untuk menyokong perhimpunan itu untuk mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan pilihan raya adil dan bebas pada pilihan raya umum ke-13 tidak lama lagi.

Tambah Ambiga, tuntutan-tuntutan yang dibuat Bersih adalah benar dan ia tidak boleh dinafikan SPR.

“Malah tiada sesiapa pun yang boleh menafikan bahawa tuntutan yang kami buat ini adalah tidak sah dan perhimpunan kita secara aman, kami juga akan gerakkan himpunan ini dengan bertanggungjawab.

“Dan, jika ada keganasan yang berlaku ia bukan daripada pihak kita,” katanya.

Ditanya sekali lagi mengenai serangan peribadi itu, Ambiga menegaskan beliau tidak akan memberi sebarang komen mengenai perkara itu dan berharap polis akan mengambil tindakan sewajarnya.

“Saya tidak akan memberikan apa-apa komen soal serangan peribadi yang dilemparkan kepada saya, saya percaya polis akan jalankan tugas mereka.

“Saya percaya polis akan ambil tindakan yang mereka fikirkan sepatutnya buat. Pada saya serangan yang dilemparkan agak keterlaluan,” katanya. -TMI