20 Jun 2011

Pelancaran BERSIH 2.0 : Perhimpunan Tetap Diadakan, Jangan Takut

Bersih 2.0 Berdiri Sendiri Dengan Dokongan Rakyat

Bersih 2.0 tidak didukung atau dimonopoli oleh mana-mana bangsa atau kaum tertentu dalam menentukan agendanya demi memberi nafas pada pergerakan itu.

Gambar: Sasterawan Negara, Datuk A.Samad Said turut hadir di majlis pelancaran BERSIH 2.0 malam tadi.

Sebaliknya pada pelancaran Bersih 2.0 malam ini bukan sahaja dapat dilihat melalui sokongan dan perancangan tidak berbelah bagi dari pelbagai Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang teguh dalam memperjuangkan pilihan raya yang bersih dan adil di bawah kepimpinan Pengerusinya Datuk Ambiga Sreenevasan.

Malah kedatangan lebih 30 NGO yang menyokong gerakan ini semasa pelancaran malam ini jelas memperlihatkan kepelbagaian dan kesatuan harimoni gerakan ini.

Hampir 2500 hadirin terharu mendengar ucapan ringkas Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said yang memberi analogi 'Pesta Teh Boston' pada 1773 yang membawa kepada kemerdekaan Amerika Syarikat.

Menurut beliau, ucapan Samuel Adams yang membawa peristiwa tersebut bahawa kejayaan sesuatu perkara tidak bergantung kepada jumlah besar sesuatu organisasi sebaliknya idea yang membakar semangat orang lain.

"200 tahun lalu, tokoh Amerika Samuel Adams dan kelompok kecil telah menumpahkan teh di pelabuhan Boston. Samuel berkata, ia tidak memerlukan majoriti untuk berjaya, tetapi minoriti yang bekerja terus dan tanpa penat untuk menyalakan unggun semanga.

"Kita nyalakan unggun api itu malam ini," tegas beliau disambut dengan laungan semangat para hadirin.

Pemimpin Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham Shaharin pula dengan tegas menyatakan Bersih 2.0 akan terus berjalan walaupun mendapat tekanan pelbagai pihak.

"Bukit Aman kata nak tangkap dulu. Kita takut atau tidak? Bersih tidak boleh dihalang, kita akan tetap turun," katanya yang mempunyai pengaruh tinggi di kalangan belia.

Wakil NGO Lawyers For Liberty Fadiah Nadwa Fikri pula menyatakan LFL akan membantu dalam perkara yang melibatkan perguaman dalam himpunan raksaksa ini.

"LFL menyokong penuh perhimpunan Bersih 2.0 supaya ia telus dan adil dan kami akan turut bersama turun pada 9 Julai nanti," tegas beliau.

NGO lain yang tegas memberi sokongan dan berjanji akan mengikuti himpunan ini ialah Aliran Kesedaran Rakyat (ALIRAN) All-Women’s Action Society (AWAM) Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Centre for Independent Journalism (CIJ) Civil Rights Committee, KLSCAH Community Action Network Democratic Action Party ERA Consumer Malaysia (ERACON) Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS) Group of Concerned Citizens (GCC) Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT) Labour Resource Centre (LRC) Malaysia Youth & Student Democratic Movement (DEMA) Malaysian Trade Union Congress Malaysian Voters Union (MALVU) National Human Rights Society (HAKAM) Pusat Komunikasi Masyarakat (KOMAS) Research for Social Advancement (REFSA) Save Ourselves (SOS Penang) Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) Suara Rakyat Malaysia (SUARAM)dan pelbagai lagi.

Dijangkakan lebih ramai lagi yang akan menyertai perhimpunan ini sekali gus mampu mengumpulkan lebih 50 ribu orang jika sokongan NGO ini dimeteraikan.


Ambiga: Perhimpunan BERSIH tetap diteruskan

Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) Datuk Ambiga Sreenevasan menegaskan bahawa perhimpunan BERSIH pada 9 Julai depan akan diteruskan.

Beliau menolak cadangan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilaporkan akan meminta perhimpunan BERSIH 2.0 dibatalkan jika perdana menteri berjanji pilihan raya umum diadakan secara bersih dan adil.

"Keputusan (membatalkannya) bukan di tangan kamu, tetapi ia ditangan kami," katanya sambil menegaskan perhimpunan itu tetap diteruskan.

Menurutnya, perhimpunan pada 9 Julai depan adalah untuk rakyat dan bukan untuk kepentingan dirinya.

"Saya menolak untuk memberi sebarang komen terhadap perkara menyerang peribadi saya.

"Perhimpunan ini bukan untuk saya, ia adalah untuk kamu, untuk rakyat. Ia tentang rakyat Malaysia," katanya.

Oleh itu, katanya, perhimpunan 9 Julai di tiga lokasi akan diteruskan.

Tiga lokasi yang ditetapkan oleh gabungan itu adalah pusat membeli belah Sogo, Masjid Kampung Baru dan Bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Ambiga yang juga seorang peguam menegaskan demikian sewaktu berucap merasmikan pelancaran perhimpunan BERSIH di Dewan Perhimpunan Cina Selangor-Kuala Lumpur di ibunegara malam ini.

Beberapa jam sebelum pelancaran itu, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) dan lebih 57 NGO gabungan di bawahnya turut melancarkan perhimpunan Gerak Aman pada tarikh yang sama.

Penyokong PERKASA juga bertindak membakar dan memijak gambar Ambiga sejurus selepas perhimpunan tersebut.

Dalam risalah yang diedarkan kepada hadirin yang hadir dalam perhimpunan petang tadi, mereka mengingatkan bahawa Ambiga merupakan "Wanita Hindu Yang Merbahaya" susulan tindakannya yang didakwa boleh menggugat Melayu dan Islam.

Malah dalam ucapan beberapa pemimpin petang tadi, ada di antara mereka membuat kecaman peribadi terhadap Ambiga.

Amiga juga menegaskan bahawa masyarakat sivil akan mengetuai perhimpunan tersebut, dan bukannya diketuai oleh parti politik seperti mana dilaporkan.

Ambiga juga turut memberi jaminan kepada polis bahawa perhimpunan mereka adalah aman sepertimana yang telah ditunjukkan dalam perhimpunan BERSIH pertama pada November 2007.

Beliau sekali lagi mengajak semua pihak termasuk BN supaya menyertai perhimpunan tersebut bagi menuntut pilihan raya bersih dan adil.

Katanya dengan demikian, ia juga memberi kebaikan terhadap kredibiliti kepada BN.

Beliau turut membacakan lapan tuntutan mereka dalam perhimpunan itu iaitu membersihkan senarai undi, mereformasi undi pos, gunakan dakwat kekal, akses media yang bebas dan adil, tempoh kempen minima 21 hari, memperkukuh institusi awam, menghentikan rasuah dan menghentikan politik kotor.

Sementara itu, ahli jawatankuasa PAS Pusat Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi berjanji akan mengerahkan 100,000 anggotanya menyertai perhimpunan tersebut.

"Saya mewakili kepimpinan PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden Datuk Seri Abdul Hadi memberi sokongan 100 peratus terhadap perhimpunan BERSIH," katanya disambut dengan laungan takbir.

Manakala wakil daripada parti politik yang lain termasuk NGO gabungan turut berucap dan menyatakan sokongan untuk menyertai perhimpunan tersebut.

Selepas perasmian tersebut, lebih 700 hadirin dihiburkan dengan paluan gendang rancak yang mengasyikan bagi menaikkan semangat penyokong perhimpunan itu. -mk


2 ulasan:

  1. hidup sasterawan negara ayuh tegakkan keadilan, jgn jadi mcm perkosa lembik lutut sembang kencang je…….

    BalasPadam
  2. Negara BERSIH, rakyat sihat. Ayuh!

    BalasPadam

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.