20 Jun 2011

BERSIH 2.0 Dilancarkan, Ambiga Tak Layan Serangan Peribadi Perkasa

Pelancaran BERSIH 2.0 Dapat Sambutan Hebat

KUALA LUMPUR 19 JUN : Chinese Assemble Hall Kuala Lumpur tiba- tiba bergegar dengan laungan semangat para NGO untuk mempertahankan himpunan BERSIH 2.0 yang akan diadakan 9 Julai nanti.

Laungan yang dilontarkan para NGO mendapat sambutan hampir 2500 penyokong yang hadir pada majlis Pelancaran BERSIH 2.0 malam ini.

Mereka hadir dengan memakai lilitan kain kuning dikepala bertulis perkataan BERSIH 2.

Rata- rata mereka kelihatan bersemangat dan memberikan respon yang memberangsangkan.

Sebaik sahaja majlis pelancaran bermula, sebuah rakaman video dipertontonkan kepada hadirin yang hadir bersabit kegiatan politik wang oleh parti Barisan Nasional (BN) ketika Pilihan Raya Negeri Sarawak April lalu untuk membeli undi masyarakat bumiputera negeri itu.

Antara sedutan memaparkan klip sejumlah wang disusun di rumah panjang untuk diedarkan kepada pengundi selain borang 14 yang enggan diserahkan kepada wakil parti gabungan pembangkang.

Antara NGO yang hadir adalah, Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Jaringan Rakyat Tertindas(JERIT), Lawyers for Libelity, Kelab Menteri Besar Selangor, IKRAM, GAMIS, CIJ, TENAGANITA, Mahasiswa UNISEL dan banyak lagi.

Himpunan BERSIH 2.0 terpaksa diadakan berikutan keengganan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kerajaan pemerintah mengadakan pilihan raya secara telus dan adil.

Antara empat tuntutan yang masih belum dipertimbangkan adalah bersihkan senarai pengundi, merefomasikan undi pos, penggunaan dakwat kekal dan akses media yang bebas dan adil.

Sempena himpunan BERSIH kali kedua ini, dua lagi tuntutan ditambah iaitu, tempoh pilihan raya 21 hari dan memulihkan kreadibiliti agensi kerajaan.

Gabungan BERSIH 2.0 berpendapat demokrasi yang telus seharusnya melalui pilihan raya yang bersih, bebas dan adil.

BERSIH 2.0 juga akan mengadakan siri jelajah untuk menjelaskan kepada rakyat mengenai isu- isu pengubahan sempadan pilihan raya dan lapan tuntutan BERSIH 2.0.

Siri jelajah itu kan diadakan di Shah Alam, Kuala Selangor, Johor, Melaka, Pulau Pinang, Seberang Perai, dan Perak.

Satu sesi telah pun diadakan di Kelantan pada Sabtu lepas.

BERSIH 2.0 juga menyambut baik tindakan Pemuda UMNO yang turut berhasrat mahu mengadakan perhimpunan aman dan menuntut penambahbaikan sistem pilihan raya.

BERSIH 2.0 juga menganggap tindakan Pemuda UMNO itu sebagai tanda bahawa himpunan BERSIH 2.0 efektif dalam mempromosikan demokrasi yang dinamik dan membawa tekanan yang kuat kepada SPR untuk reformasi pilihan raya.

Penganjur himpunan ini juga cuba meyakinkan pihak polis dan pihak- pihak lain bahawa BERSIH 2.0 adalah satu gerakan rakyat yang aman dan sentiasa akan berkerjasama dengan polis. -tvsnews



Ambiga: Saya tak peduli serangan peribadi Perkasa, Bersih bukan soal individu

KUALA LUMPUR, 19 Jun — Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) Datuk Ambiga Sreenevasan menegaskan beliau tidak kisah serangan peribadi yang dilakukan oleh Perkasa berhubung usaha pihaknya mengadakan Himpunan Bersih 2.0 bulan depan.

Sambil menyifatkan serangan peribadi Perkasa agak keterlaluan, Ambiga juga berkata tiada tindakan undang-undang akan diambil terhadap pertubuhan bukan kerajaan itu.

“Apa saya boleh buat? Saya tidak akan mempedulikan serangan peribadi yang dilakukan terhadap saya kerana Bersih bukan soal satu individu.

“Bersih adalah satu gerakan kemanusiaan, kita ada 14 ahli jawatankuasa pemandu dalam Bersih dan keputusan yang dibuat ini adalah keputusan bersama Bersih,”
katanya kepada The Malaysian Insider.

Perkasa ketika pelancaran perhimpunan anti-Bersih petang tadi bertindak membakar gambar Ambiga dan memberi amaran kepada kaum Cina agar jangan keluar pada 9 Julai ini.

Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali menegaskan perhimpunan anti-Bersih 2.0 yang bakal diadakan serentak akan diteruskan dan beliau tidak akan bertanggungjawab atas sebarang insiden tidak diingini.

“Cuba bayangkan jika berlaku huru-hara... jika himpunan Bersih 2.0 tidak dibatalkan, saya percaya kaum Cina perlu simpan bekalan makanan.

“Ya, apa sahaja boleh berlaku. Dan saya minta agar polis mengambil apa sahaja tindakan dan gunakan kuasa mereka untuk bertindak,” katanya pada pelancaran perhimpunan Gerak Aman di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru di sini.

Ibrahim juga mendakwa Ambiga sebagai ejen Yahudi.

Selain mengecam penganjuran Himpunan Bersih 2.0, turut diedarkan risalah yang berbentuk serangan peribadi terhadap Ambiga dengan perkataan “Awas!!! Ambiga, wanita Hindu yang merbahaya.


Selain Perkasa dan Bersih, Pemuda Umno turut akan mengadakan perhimpunan pada hari tersebut.

Bersih bersama Pakatan Rakyat dan aktivis parti bersedia menggerakan Himpunan Bersih 2.0 menuntut pilihan raya adil dan bebas sebagai kesinambungan himpunan yang kali pertama diadakan pada November 2007.

PAS telah berjanji akan menggerakkan 300,000 peserta untuk menyokong perhimpunan itu untuk mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan pilihan raya adil dan bebas pada pilihan raya umum ke-13 tidak lama lagi.

Tambah Ambiga, tuntutan-tuntutan yang dibuat Bersih adalah benar dan ia tidak boleh dinafikan SPR.

“Malah tiada sesiapa pun yang boleh menafikan bahawa tuntutan yang kami buat ini adalah tidak sah dan perhimpunan kita secara aman, kami juga akan gerakkan himpunan ini dengan bertanggungjawab.

“Dan, jika ada keganasan yang berlaku ia bukan daripada pihak kita,” katanya.

Ditanya sekali lagi mengenai serangan peribadi itu, Ambiga menegaskan beliau tidak akan memberi sebarang komen mengenai perkara itu dan berharap polis akan mengambil tindakan sewajarnya.

“Saya tidak akan memberikan apa-apa komen soal serangan peribadi yang dilemparkan kepada saya, saya percaya polis akan jalankan tugas mereka.

“Saya percaya polis akan ambil tindakan yang mereka fikirkan sepatutnya buat. Pada saya serangan yang dilemparkan agak keterlaluan,” katanya. -TMI




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.