9 Mei 2011

Isu Kristian: UMNO BN Tersepit Kerana "Seekor Anjing"

Kristian-Islam: BN perlu pikul kesan laporan Utusan, tegas Guan Eng

KUALA LUMPUR, 9 Mei - DAP memberi amaran kepada Barisan Nasional (BN) hari ini bahawa ia perlu bertanggungjawab ke atas sebarang kejadian tidak diingini, yang kemungkinan menimpa komuniti Kristian ekoran tindakan parti itu memperakui dakwaan laporan Utusan Malaysia kononnya pihak berkenaan mahu mengubah status Islam di negara ini.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata perikatan itu sengaja enggan menghukum akhbar milik Umno itu, yang menyebarkan kempen membenci dengan pembohongan terhadap komuniti Kristian.

Dengan kegagalan menghentikan kempen pembohongan Utusan Malaysia yang berterusan, akhbar milik Umno, kerajaan BN, (sebenarnya) mencetuskan kebencian ke atas komuniti minoriti Kristian,” katanya.

Kata beliau, DAP sangat bimbang kerana kempen pembencian terhadap Kristian oleh Utusan Malaysia kemungkinan tidak akan berakhir dengan serangan lisan yang disaksikan sekarang.

“Kerajaan BN perlu memikul tanggungjawab penuh ke atas sebarang kesan tidak diingini terhadap komuniti Kristian di Malaysia berdasarkan kempen pembencian bersifat berbohong Utusan,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Ketua Menteri Pulau Pinang juga mengecam Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang berjanji akan laporan itu akan disiasat tanpa mengatakan bahawa tindakan akan diambil terhadap akhbar harian terbabit yang menyiarkan laporan palsu.

“Sangat jelas, kerajaan BN bukan sahaja telah gagal untuk menghentikan Utusan Malaysia daripada meneruskan serangan-seranganya tidak berasas sedemikian, malah memberi galakan kepada mereka dengan menjanjikan tindakan ke atas pastor-pastor Kristian dan DAP jika mendapati (laporan) adalah benar.

“Mengapa kerajaan BN tidak berjanji untuk mengenakan tindakan tegas ke atas Utusan Malaysia apabila pembohongan Utusan didedahkan?”
soal beliau.

Justeru Lim mempersoalkan sama ada Utusan Malaysia kini menikmati kekebalan penuh untuk menyebarkan dakwaan-dakwaan tidak berasa tanpa berhadapan dengan kemungkinan dihukum kerana laporan palsu.

Katanya, adalah sesuatu yang tidak bertanggungjawab bagi Umno bermain api dengan menyebarkan pembohongan menerusi akhbar Utusan Malaysia hanya untuk menerima sokongan Melayu tanpa mempedulikan kosnya.

“Ramai pemimpin Kristian telah melahirkan rasa tidak senang mereka ke atas pembohongan-pembohongan provokatif dan menafikan sekeras-kerasnya bahawa kumpulan pastor Kristian bekerja dengan DAP untuk mewujudkan negara Kristian dan melantik perdana menteri (dari kalangan orang Kristian),” katanya lagi. -TMI


Kristian-Islam: Pastor Pulau Pinang kecam laporan Utusan

KUALA LUMPUR, 9 Mei — Pastor-pastor Kristian Pulau Pinang menafikan sekeras-kerasnya laporan Utusan Malaysia kelmarin mendakwa pihaknya berkonspirasi dengan pemimpin DAP untuk menjadikan Kristian agama rasmi negara dan perdana menteri pula dilantik daripada kalangan penganut agama itu.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini, Pastor-pastor Kristian Pulau Pinang berkata DAP dan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng tidak pernah meminta pastor-pastor Kristian untuk berdoa meminta keberkatan Tuhan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Kristian ataupun memiliki pengikut Kristian sebagai perdana menteri.

“Pastor-pastor Kristian dan gereja-gereja sentiasa berdoa untuk kebaikan, keamanan dan kemakmuran, perpaduan dan keharmonian di kalangan semua kaum dan juga kepimpinan yang jujur dan adil,” kata kenyataan bersama itu.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan pastor-pastor Kristian Pulau Pinang dan Ketua Menteri negeri itu.

Justeru, pastor-pastor Kristian dan Gereja berkata mereka tersinggung kerana pembohongan sedemikian disiarkan dalam media massa.

“Kami dengan tegas dan ikhlas menggesa Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri mengambil tindakan terhadap Utusan Malaysia kerana menerbitkan dan menyebarkan pembohongan yang bahaya, yang telah mengganggu keharmonian masyarakat, mencetuskan kebimbangan dan rasa tidak senang di kalangan rakyat Malaysia,” kata kenyataan itu lagi.

Kata kenyataan itu, mereka risau kerana Utusan Malaysia menyebarkan pembohongan-pembohongan merbahaya, yang menjadikan penganut-penganut Kristian bahan kebencian dan menghasut perasaan membenci terhadap komuniti Kristian yang mungkin membawa kepada kesan-kesan tidak diingini.

Kenyataan itu menambah, Lim akan terus mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin Kristian, biskop dan pastor sebagaimana beliau melakukan dengan pemimpin-pemimpin agama lain selaku kedudukannya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang. -TMI



Siasat Utusan, gesa GERAKAN

GERAKAN hari ini mendesak pihak polis menjalankan siasatan yang bebas dan profesional terhadap laporan Utusan Malaysia berhubung usaha menjadikan Kristian sebagai agama rasmi Persekutuan.

Presidennya Datuk Seri Dr Koh Tsu Koon berkata, ia penting bagi menjelaskan perkara sebenarnya yang berlaku.

Dr Koh yang berfahaman Buddha berkata, berdasarkan pengetahuannya dan kefahaman pemimpin Kristian, penganut agama itu sebenarnya memahami Perlembagaan Persekutuan.

"Walaupun seorang dua individu tampil dengan kenyataan yang boleh disalaherti, ia tidak boleh dianggap mewakili pendirian rasmi persatuan Kristian," katanya.

Dalam satu kenyataan hari ini, Dr Koh (kanan) berkata, adalah tidak benar bagi sesebuah akhbar melaporkan sesuatu berita hanya berdasarkan khabar angin.

Katanya, tindakan melaporkan sesuatu secara berlebih-lenih boleh mengakibatkan ketegangan antara agama, mengganggung keharmonian dan menggugat perpaduan rakyat.

Sehubungan itu, Dr Koh menggesa semua rakyat Malaysia memelihara Perlembagaan Persekutuan dan memegang teguh falsafah 1Malaysia yang menekankan sifat inklusif untuk mencapai "kesatuan dalam kepelbagaian".

Beliau turut meminta rakyat Malaysia bekerjasama dengan semangat patriotik untuk meminta Malaysia yang aman dan harmoni. -mk


Ulasan GB

Isu Kristian - yang mula dicanangkan oleh "seekor anjing" bigdogdot.com yang kemudian disebarkan oleh akhbar penyebar fitnah blogger UMNO, Utusan Malaysia, telah menjadi api yang membakar di sana sini.

Kini, isu tersebut telah menikam UMNO BN. Mata masyarakat bukan-Islam terbuka luas sikap hipokrit Najib yang kononnya membawa obor 1Malaysia. Maruah UMNO BN penuh terpalit dengan najis anjing tersebut

Lepas satu-satu fitnah cuba ditaburkan oleh UMNO BN ini, selepas video seks yang gagal, kesemuanya kini menjadikan UMNO BN sebagai parti pemfitnah terunggul negara.

Jika esok pilihanraya UMNO BN pasti berkubur! Dan kalahnya UMNO BN adalah kerana anjing besar itu bersama si Luncai bernama Utusan.

Harga Gula Naik Lagi, Tokeh Gula Mencipta Nama Orang Paling Kaya Dengan Rakyat Jadi Mangsa

Harga gula akan naik 20 sen kepada RM2.30 sekilogram berkuatkuasa esok (10 Mei).

Penyelarasan subsidi itu akan membolehkan kerajaan berjimat sebanyak RM116.6juta.

Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Mohd Zain Mohd Dom, kenaikan itu selaras dengan keputusan Mesyuarat Majlis Ekonomi pada hari ini.

"Langkah ini adalah selari dengan strategi jangka panjang kerajaan untuk merasionalisasikan subsidi secara berperingkat-peringkat," kata Mohd Zain.

Jelasnya, walaupun perubahan harga runcit dibuat, ia adalah lebih rendah berbanding negara serantau, termasuk Indonesia, Singapura, Thailand dan Filipina.

Beliau malah menyebut harga gula di negara-negara berkenaan sebagai perbandingan.

Kali terakhir harga gula naik pada 4 Disember lalu, sejajar dengan kenaikan Harga petrol RON95, diesel, Petroleum Gas Cecair (LPG).

Kenaikan yang dikenali sebagai "4-dalam-1" itu menimbulkan kemarahan banyak pihak, termasuk mewujudkan beberapa siri bantahan, terutamanya sekitar Kuala Lumpur.

Pada masa itu, harga gula turut meningkat 20sen, menjadikan harganya RM2.10 sekilogram.

Sebelum itu, berlaku juga kenaikan pada 15 Julai tahun lalu dalam kenaikan "5-dalam-1.

Selain gula, turut mengalami kenaikan dua gred petrol, diesel, gula dan gas pada masa itu. -mk

Ulasan GB

Kerajaan UMNO-BN lansung tidak prihatin kepada rakyat miskin. Menggunakan segenap peluang terutama setelah menang pilihanraya negeri Sarawak sebagai platform selesa untunya menaikkan harga barang.

Menipu rakyat dengan istilah yang muluk-muluk, "rasionalisasi subsidi" dan kononnya, akan membolehkan kerajaan berjimat sebanyak RM116.6juta sedangkan pembaziran kerajaan, ketirisan dan rasuah berbillion-billion jumlahnya tidak ditangani dengan sebaik-baiknya.

Tokeh gula yang terus kaya-raya untuk terus menciptakan namanya orang paling kaya negara. Rakyat marhaen keseluruhan yang jadi mangsa. Binatang punya kerja!

Isu Kristian: Sikap Membisu MCA & MIC Jelaskan Mereka Terpinggir Dalam BN

Tindakan membisu MCA dan MIC berhubung isu agama Kristian menunjukkan mereka tidak mempunyai "kekuatan" atau paling tepat tidak mempunyai sokongan untuk membuat sebarang komentar mengenainya memandangkan parti itu adalah parti terpinggir dalam Barisan Nasional (BN).

Namun menurut ahli parlimen Klang, Charles Santiago, jika benar kedua-dua parti berkenaan mahu mewakili suara rakyat terutama penganut Kristian yang diwakili mereka, keadilan haruslah ditegakkan walau dengan apa cara sekalipun.

“Mereka pun sudah tidak tahu apa nak komen. Mereka pun tahu mereka telah dipinggirkan dalam konteks Barisan Nasional. Mereka tahu mereka tidak mempunyai peranan dan pegangan politik. Sepatutnya untuk memperjuangkan hak rakyat di negara ini, mereka perlu kritik Perdana Menteri dan Utusan tetapi mereka tidak mempunyai tulang belakang untuk mengkritik,” katanya kepada Tv Selangor.

Tambah Charles, senario semasa yang cuba dibangkitkan oleh media kawalan Umno-BN dalam isu agama Kristian membuktikan bahawa slogan 1 Malaysia yang dicanangkan Najib Razak gagal untuk menyatupadukan rakyat di negara ini.

“Kalau isu ini dimainkan akhbar lain, sudah diarahkan tutup dalam tempoh 24jam. Tetapi kerana Utusan adalah suara Umno dan Najib, apabila mereka melanggar undang-undang menghasut rakyat, mereka tidak mengambil tindakan serius. Ini satu tindakan yang salah,” tambahnya lagi.

Pada Sabtu, laporan muka depan Utusan berjudul "Kristian Agama Rasmi?" dibidas pelbagai pihak berikutan hanya menceduk dakwaan daripada 2 laman blog pro-Umno, BigDog dan Marahku, bukannya daripada agensi berita atau individu yang mempunyai kreadibiliti tertentu.

Dakwaan itu terus dinafikan pelbagai pihak termasuk Paderi Besar (bishop) Pulau Pinang, DAP dan pimpinan Pakatan Rakyat yang lain.

Tanpa merujuk kepada pertubuhan yang dituduh, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebelum ini memberikan reaksi "gerakan ini amat menghasut dan meletakkan seluruh negara dalam bahaya".

Malah Tv3 juga memaparkan reaksi ramai pemimpin negara yang mengkritik keras pimpinan DAP dan pertubuhan terbabit namun tidak mengambil sebarang tindakan ke atas Utusan Malaysia yang menyiarkan laporan berbaur hasutan.




Waspada: Ada Harimau Bintang Menyorok Di Jasin, Melaka

Anak harimau bintang mati digilis kenderaan

KEMENDOR - Seekor bangkai haiwan dipercayai anak harimau bintang ditemui mati setelah mukanya digilis kenderaan di Jalan Temelong Kemendor, 300 meter dari Sekolah Menengah Teknik Jasin (SMTJ) di sini, semalam.

Penduduk, Darus Ismail, 56, berkata, ia kejadian pertama kali berlaku di situ dan yakin haiwan berkenaan adalah anak harimau bintang berdasarkan cirinya seperti rosep gelap serta berbintik dan warna kulit lebih cerah di bawah.

Menurutnya, anak harimau bintang itu tersesat sebelum dilanggar kenderaan.

“Sebelum ini, saya tidak pernah terdengar kawasan di sini yang dikelilingi hutan terdapat harimau bintang.

“Terkejut juga apabila menjumpai anak harimau bintang ini,” katanya.

Menurutnya lagi, peneroka dan pekerja ladang di situ perlu berhati-hati dan berwaspada kerana tidak mustahil ibu haiwan berkenaan juga berada di kawasan berhampiran. -SH

Kebakaran Di Kondo Jalan Ampang, Renungkanlah!

Kuala Lumpur: Satu letupan kuat dipercayai berpunca daripada letupan gas berlaku di tingkat 17 sebuah kondominium di Jalan Ampang di sini, malam tadi, sehingga menggegarkan beberapa bangunan di sekitar ibu negara.

Kejadian jam 7.40 malam itu mengakibatkan tingkap kaca beberapa bangunan kondominium berhampiran serta sebuah hotel yang terletak kira-kira 250 meter dari tempat kejadian pecah dan kacanya bertaburan di atas jalan.

Letupan itu turut menyebabkan penghuni unit di tingkat 17 berkenaan yang dikenali sebagai Paul Christopher Lovell, 61, seorang rakyat British cedera namun dilaporkan tidak serius.

Saksi, Daniela Samarero, 42, yang tinggal di tingkat 12 kondominium sama berkata, ketika kejadian beliau dan suaminya sedang menonton televisyen di ruang tamu sebelum dikejutkan dengan letupan kuat.

“Letupan itu yang menyebabkan semua kaca tingkap rumah kami pecah bertaburan. Malah, batu marmar pada bahagian dinding turut pecah.

“Saya dan suami terus bergegas mengambil dua kucing peliharaan kami dan lari turun mengikut tangga kecemasan untuk menyelamatkan diri,” katanya yang bertugas di Kedutaan Belanda dan tinggal di kondominium itu sejak Ogos tahun lalu.

Katanya, sejurus letupan itu, beliau dan penghuni di blok B bahagian selatan kondominium itu kelam kabut menyelamatkan diri kerana bimbang kejadian lebih buruk berlaku.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Operasi Bomba, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Azizan Ismail, berkata empat jentera bersama 38 anggota berjaya mengawal api dalam masa 45 minit.

“Selepas sejam, api dapat dipadamkan dengan sepenuhnya dan siasatan awal mendapati letupan dan kebakaran berpunca dari gas memasak yang memenuhi segenap ruang rumah dari saluran gas di unit itu,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Katanya, Unit Forensik belum dapat memastikan punca sebenar, sama ada kebocoran gas berpunca akibat kecuaian tuan rumah atau kerosakan pada saluran gas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah mengesahkan mengesahkan Levell baru berpindah ke kondominium itu, Jumaat lalu.

Levell kini dirawat di Hospital Prince Court. -BH


Ulasan GB

GB dah tulis semalam, ada pihak tertentu di dalam negara ini "suka bermain api".

Blogger dan Utusan memainkan api keagamaan dan bangsa untuk meniupkan sentimen kebencian terhadap agama Kristian di kalangan orang Melayu.

Dan Tuhan pun tunjukkanlah dua peristiwa kebakaran berlaku di dalam negara semalam, satu kebakaran banglo empat tingkat milik Setiausaha Agung UMNO, satu lagi kondominium di Jalan Ampang.

Jika tidak dibendung fitnah blogger UMNO dan Utusan Malaysia tersebut, jangan terperanjat nanti satu negara terbakar lantarannya.

Setiap musibah yang datang itu adalah sesatu yang sepatutnya direnungkan. Allah tak buat sesuatu itu saja-saja. Ia hanya dapat "dibaca" oleh hati-hati yang bercahaya.

Dan setiap satu kejadian Allah s.w.t. tidak ada yang sia-sia, walaupun seekor hama. Ayat manzurah adalah ayat yang jelas dan nyata untuk kaum yang mahu berfikir dan menggunakan aqal yang dikurniakanNya.

Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang yang berakal, (iaitu) orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang ciptaan langit dan bumi (seraya berkata) Ya Tuhan kami, tiada Engkau ciptakan ini dengan sia-sia. Maha suci Engkau, peliharalah kami dari seksa neraka - Ali-Imran : 190-191


Tragedi Ulu Bendul: Mayat Nurshaza Sakinah Belum Ditemui

Pasukan Smart Sertai Gerakan Mencari Nur Syaza Di Ulu Bendul

Gambar: Belum putus asa: Wan Azleela Wan Abdullah (depan) menyertai gerakan mencari mayat anak bongsunya, Nurshaza Sakinah Said Ahmad, 2, yang lemas dalam kejadian fenomena 'kepala air' di Hutan Lipur Ulu Bendul dekat Kuala Pilah, Selasa lalu. - Foto Owee Ah Chun

KUALA PILAH: Gerakan mencari Nur Syaza Sakinah Said Ahmad, 2, yang masih hilang selepas dihanyutkan arus deras di Hutan Lipur Ulu Bendul dekat sini Selasa lepas, diteruskan pagi ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah Supt Jaafar Baba berkata gerakan itu kini melibatkan 140 anggota pelbagai agensi termasuk Pasukan Mencari dan Menyelamat Malaysia (Smart) serta unit anjing K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat.

"Gerakan mencari ini dibahagikan kepada dua kumpulan dan pencarian hari ini dilakukan bermula dari tempat mangsa hanyut di hutan lipur itu sehingga sejauh kira-kira 6 kilometer menyusuri sungai," katanya ketika dihubungi.

Katanya usaha mencari turut dilakukan dengan mengorek kawasan berpasir di tebing sungai untuk mengesan mangsa yang dikhuatiri tertimbus.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, Nur Syaza Sakinah bersama dua kakaknya, Nur Syaza Alisa,5, dan Nur Syaza Azira, 3, hanyut dibawa arus deras atau fenomena 'kepala air' ketika sedang mandi di kawasan perkelahan tersebut.

Bapa tiga beradik berkenaan, Said Ahmad Ibrahim, 28, dan kenalan wanitanya, Alwani Abu Hassan, 19, sempat diselamatkan oleh orang ramai.

Mayat Nur Syaza Alisa dan Nur Syaza Azira ditemui Rabu lepas. -BERNAMA


Ibu ‘keringkan hati’ cari jasad anak dalam sungai

TABAH...Wan Azleela menenangkan anak sulungnya Mohd Adib Norazman.

KUALA PILAH: Sambutan Hari Ibu tidak bermakna bagi seorang wanita apabila kehilangan tiga puterinya sekali gus dalam kejadian arus deras di Hutan Lipur Ulu Bendul, di sini, Selasa lalu.

Lebih meruntun jiwa apabila jasad seorang anaknya belum ditemui sehingga kini.

Keadaan itu menyebabkan Wan Azleela Wan Abdullah, 33, masih tekad berusaha mencari jasad anak bongsunya, Nurshaza Shakinah Said, 2, walaupun kejadian masuk hari keenam, semalam.

Malah, ibu berjiwa kental itu mengetepikan kesedihan kehilangan tiga anak kesayangannya serentak dalam kejadian fenomena ‘kepala air’ itu untuk turut serta turun ke sungai bagi mencari anak bongsunya.

Menurut Wan Azleela, dia amat sedih kerana tidak berpeluang menyambut Hari Ibu bersama anak-anaknya.

“Tiada lagi kucupan dan rengekan manja mereka. Hanya Tuhan tahu perasaan ini dan saya nekad mahu memastikan anak bongsu saya itu mempunyai pusara.

“Saya amat berharap Shakinah ditemui kerana bila ada jasad bermakna akan ada kubur mereka. “Saya boleh melawat kubur untuk mengubat kerinduan terhadap mereka,” katanya.

Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Hasan Malek dan isterinya, Datin Norainee Mohd Yatib meluangkan masa menziarah keluarga mangsa di lokasi kejadian, semalam.

Wan Azleela berkata, air matanya sudah kering menangisi pemergian tiga anaknya itu termasuk Nurshaza Alisa, 5, Nurshaza Azira, 4.

“Sejak anak-anak hilang, saya menyertai gerakan mencari tidak kira siang atau malam tanpa mempedulikan kesejukan air sungai.

“Namun, saya tahu mereka gembira dan riang di sana. “Apabila bersendirian, saya sentiasa melihat Shakinah tersenyum ke arah saya.

“Saya berdoa mereka dirahmati Allah. Saya juga berharap mereka mendoakan saya tabah menjalani hidup ini di dunia tanpa kehadiran mereka di sisi,” katanya.

Sementara itu, Hasan berkata, seorang kaunselor Pejabat Pelajaran Daerah Kuala Pilah ditugaskan memberi khidmat kaunseling kepada keluarga mangsa supaya dapat menerima hakikat kejadian berkenaan.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Jaafar Baba berkata, pihaknya kini membahagikan kumpulan mencari dan menyelamat (SAR) kepada dua kumpulan membabitkan kawasan sungai yang dalam dan tempat berkelah. -hm


Anak Kartika Sari Ditemui Lemas Di Sungai Perak

Sungai Siput: Mayat anak sulung bekas model sambilan, Kartika Sari Dewi, yang dilapor hilang dua hari lalu, ditemui terapung di Sungai Perak di sini awal hari ini.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Supt Azman Salim, berkata mayat Muhammad Azfar Mohamad Afandi, 9, ditemui pasukan mencari dan menyelamat pada 1 pagi tadi, kira kira satu kilometer dari tempat mangsa dipercayai terjatuh.

"Mayat kanak-kanak itu dihantar ke Hospital Sungai Siput untuk bedah siasat dan dijangka dituntut keluarganya tengah hari ini untuk dikebumikan di Kampung Jawang, Karai," katanya ketika dihubungi.

Azman berkata, kanak-kanak itu disedari hilang oleh keluarganya pada 12 tengah hari Jumaat lalu ketika tinggal di inap desa milik keluarga mereka di sini yang terletak berhampiran sungai tersebut.

Katanya, gerakan mencari dengan bantuan pasukan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), RELA dan penduduk kampung dilakukan sejurus menerima laporan kehilangannya. - BERNAMA



Anak Kartika hilang ketika tonton TV

PASUKAN bomba dan penyelamat menyusuri Sungai Perak menjejaki Muhammad Azfar, semalam.


SUNGAI SIPUT: Sambutan Hari Ibu semalam disambut dengan air mata kegembiraan oleh kebanyakan ibu, namun Kartika Sari Dewi Shukarnor, 33, menyambutnya dengan tangisan keresahan selepas anak sulungnya berusia sembilan tahun yang hilang sejak tengah hari kelmarin.

Malah, Kartika Sari Dewi yang pernah mencetuskan kontroversi kerana mahu disebat selepas terlanjur meminum arak, tidak menyangka mimpi aneh dialaminya sejak dua minggu lalu petanda sesuatu menimpa Muhammad Azfar Muhammad Affandi.

“Sejak dua minggu lalu, saya sering bermimpi ular... ular berwarna putih dan bercahaya. Malah, ular itu turut membelit anak saya sebelum menariknya ke dalam lubang,” katanya ketika ditemui di inap desa milik keluarganya di Kampung Jawang di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari kelmarin, Muhammad Azfar yang mengalami masalah pertuturan dan kecacatan akal dilaporkan hilang oleh ahli keluarganya ketika menonton televisyen di inap desa itu.

Kartika Sari Dewi berkata, beliau berada di inap desa itu sejak sebulan lalu bagi menguruskan usaha membangunkan kawasan berkenaan.

Beliau bagaimanapun yakin anaknya dapat ditemui dengan selamat sekiranya ditakdirkan dia hilang di kawasan hutan berhampiran.
“Saya percaya dia tidak terjatuh dalam sungai kerana sepanjang berada di inap desa ini sejak kecil, dia tidak berani untuk pergi ke sungai itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Azman Salim, berkata operasi mencari dan menyelamat disambung pagi semalam selepas usaha mencari kanak-kanak itu sejak petang kelmarin tidak berhasil.

Beliau berkata, operasi yang disertai 113 orang termasuk penduduk kampung dihentikan kira-kira jam 3 pagi semalam di mana skop pencarian diperluas di kawasan hutan kecil dan belukar tebal di sekitar inap desa berkenaan. -BH



Peluang Mat Sabu Cerah Untuk Timb Presiden PAS

Mat Sabu dahului pencalonan

KUALA LUMPUR: Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Mohamad Sabu mendahului senarai pencalonan jawatan timbalan presiden apabila memperoleh 70 pencalonan daripada 133 kawasan parti itu yang sudah bermesyuarat berbanding penyandang, Nasharudin Mat Isa yang mendapat 39 pencalonan.

Lebih mengejutkan Nasharudin yang juga Ahli Parlimen Bachok gagal memperoleh sebarang pencalonan daripada 13 kawasan di Kelantan yang sudah mengadakan mesyuarat agung. Satu lagi kawasan, iaitu Bachok dijadual bermesyuarat pada 21 Mei ini, seminggu selepas tarikh akhir pencalonan dikemukakan.

Selain Nasharudin dan Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu, empat lagi pemimpin tertinggi parti turut memperoleh pencalonan bagi jawatan nombor dua parti itu.

Mereka ialah Naib Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang memperoleh 17 pencalonan, diikuti Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dengan lima pencalonan, manakala seorang lagi Naib Presiden, Salahuddin Ayub dan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin masing-masing memperoleh satu pencalonan.

Sumber memberitahu, jumlah pencalonan terkini itu memberi gambaran awal Nasharuddin mengesahkan akan mempertahankan jawatan bagi penggal ketiga, bakal berdepan laluan sukar berikutan jumlah pencalonan jauh lebih rendah berbanding pencabar terdekatnya.

Malah, ketiadaan pencalonan daripada semua kawasan di Kelantan kecuali Bachok memberi mesej awal beliau ditolak ahli peringkat kawasan, khususnya di negeri itu.

PAS akan mengadakan pemilihan parti pada Muktamar Tahunan ke-57 di Taman Melewar, awal bulan depan yang akan dihadiri 1,100 perwakilan daripada 179 kawasan dengan 15 Mei ditetapkan sebagai tarikh akhir untuk kawasan mengemukakan pencalonan.

Baki 45 kawasan tidak termasuk Bachok, dijangka mengemukakan pencalonan sebelum tarikh tutup 15 Mei ini. Pencalonan juga diterima daripada Majlis Syura Ulama, Dewan Ulama, Dewan Muslimat dan Dewan Pemuda. Mat Sabu bertanding merebut jawatan sama pada pemilihan 2009, membabitkan persaingan tiga penjuru antara beliau, Nasharuddin dan Datuk Husam Musa.

Sumber turut memaklumkan sehingga kini, Mat Sabu memperoleh enam pencalonan daripada 13 kawasan di Kelantan, termasuk Kubang Kerian, empat di Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan (dua daripada 13 kawasan), Kedah (lapan daripada 15 kawasan), Perak (13 daripada 24 kawasan), Pulau Pinang (lima daripada 13 kawasan), Selangor (empat daripada 22 kawasan), Perlis (dua daripada tiga kawasan), Melaka (dua daripada enam kawasan), Sabah (lima daripada lapan kawasan), Johor (15 daripada 26 kawasan), Pahang (tiga daripada 14 kawasan) dan Sarawak (satu daripada lima kawasan).

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, berkata kawasan yang mahu mengadakan mesyuarat agung selepas 15 Mei tidak boleh menghantar pencalonan dan tiga kawasan dikenal pasti termasuk Bachok dan Seremban mungkin lewat bermesyuarat.

Pencalonan jawatan Timbalan Presiden PAS

# Mohamad Sabu
- 70 pencalonan

# Nasharudin Mat Isa
- 39 pencalonan

# Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man
- 17 pencalonan

# Datuk Seri Azizan Abdul Razak
- 5 pencalonan

# Salahuddin Ayub
- 1 pencalonan

# Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin
- 1 pencalonan

Ulasan GB

Seperti yang GB utarakan sebelum ini, GB terbuka. Sesiapa pun berhak bertanding.

Di dalam konteks semasa, rasanya perlukan "adjustment" terhadap barisan kepimpinan untuk menghadapi PRU13.

Dan pencalonan yang agak banyak yang diterima oleh Mohd Sabu untuk jawatan Timbalan Presiden menampakkan ahli-ahli PAS seluruh negara mengharapkan perubahan dan untuk memenuhi keperluan adjustment tersebut.

Selamat maju jaya kepada Mohd Sabu.


Sepatutnya Awie Bersyukur Kerana Bob Lokman Diberi Hidayah Oleh Allah

Usah melenting

TERGERAK di hati saya untuk memberi sedikit ulasan apabila membaca laporan akhbar ini bertajuk ‘Bob usah hipokrit, riak’ yang disiarkan pada 30 April lalu.

Awie nampaknya begitu marah dengan Bob Lokman yang dikatakan kerap menyerang dunia hiburan selepas bersara daripada bidang itu baru-baru ini.

Kemarahan Awie ini berikutan kenyataan Bob Lokman dalam satu portal hiburan mengenai pengundurannya daripada dunia seni disebabkan tidak lagi mempercayai dunia hiburan yang dianggapnya hipokrit dan mempunyai unsur tidak baik.

Saya tidak membaca portal berkenaan tetapi, saya percaya, niat dan tujuan Bok Lokman apabila memberi kenyataan itu hanyalah untuk berdakwah.

Ini selari dengan tugas baru beliau iaitu untuk berdakwah.

Saya rasa Awie tidak perlu melenting dengan teguran Bob itu.

Anggaplah Bob Lokman sudah menerima hidayah daripada Allah ketika usianya memasuki penghujung.

Sepatutnya kita sebagai rakan artis bersyukur kerana Bob Lokman diberi hidayah oleh Allah dan berdoa kepada Allah supaya giliran kita pula diberi hidayah.

Saya bukanlah lulusan agama untuk mengulas kenyataan Bob Lokman yang menyatakan dunia hiburan tidak boleh dipercayai dan mempunyai unsur tidak baik.

Anda yang berada dalam golongan artis boleh menilai sendiri, nilailah daripada cara hidup kita, cara pergaulan kita, cara berpakaian kita, cara makan dan minum kita, cara ketrampilan diri kita apakah selari dengan tuntutan Islam.

Tak perlulah saya huraikan dengan lebih lanjut tetapi itu mungkin apa yang dikatakan unsur tidak baik yang dimaksudkan Bob itu.

Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud: “Barang siapa antara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya. Jika ia tak sanggup, maka dengan lidahnya. Dan jika tak sanggup juga, maka dengan hatinya, dan yang demikian itu adalah selemah-lemah iman.” – Hadis Riwayat Muslim.

Awie berkata, sebagai artis, beliau akan menjalani kehidupan seperti sedia ada dan sebagai umat Islam akan sampai masa untuk beralih arah kerana itu sebahagian daripada kehidupan.

Komen saya, apakah Awie pasti apabila sampai masa Awie juga akan beralih arah?

Apakah beralih arah atau berubah ini sebahagian daripada kehidupan?

Adakah Awie bermaksud semua yang jahat akan jadi baik suatu masa nanti?

Jika ini anggapan Awie, anda memang tersilap. Tidak semua orang diberikan hidayah oleh Allah.

Mengenai Bob Lokman yang memilih jalan berdakwah apakah Awie tidak suka?


Bob Lokman memilih jalan kedua dalam hadis Rasulullah itu kerana beliau dikurniakan Allah petah berkata-kata dan saya pula hanya berupaya dengan jalan ketiga menegur dengan hati, itulah iman saya yang lemah.

Namun, saya sentiasa berdoa semoga Allah tetap dan tingkatkan iman saya.


POKCU HET, Bagan Serai, Perak -HM

Mahathir Cuba Bangkitkan Kebencian Melayu Terhadap PAS

Dr M selar PAS

PAS kini tidak lagi fokus memperjuangkan Islam sebaliknya lebih kepada berjuang mempertahankan DAP, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, pemikiran orang Melayu dalam parti itu telah jauh berubah berbanding semasa PAS di bawah kepimpinan bekas Yang Dipertuanya Allahyarham Prof Burhanuddin Al Helmi dan bekas Presiden Allahyarham Datuk Asri Muda.

Beliau berkata, ketika ini pemimpin dan anggota PAS sanggup bermati-matian mempertahankan DAP walaupun sebelum ini Pengerusi DAP Karpal Singh menyanggah gagasan penubuhan negara Islam seperti yang dikehendaki parti itu.

"Sampaikan Nik Aziz (Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) sekarang bukan main lagi pertahankan DAP, dulu tengok DAP pun tak boleh bila DAP kata langkah mayat kami dulu kalau hendak tubuh negara Islam.

"Tetapi sekarang ini orang PAS pula kata langkah mayat aku kalau hendak dera Karpal Singh...suasana dah terbalik," katanya semasa berucap merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Cheras di Dewan Utama, Pusat Rekreasi Cheras di Kuala Lumpur, hari ini.

Bekas presiden Umno itu berkata perpecahan di kalangan orang Melayu hari ini juga dimulakan oleh PAS apabila ulamak yang asalnya dalam Umno bertindak keluar parti dan menubuhkan PAS setelah tidak berpuas hati kerana tidak diberikan tempat.

"Puncanya orang Umno yang pandai bahasa Inggeris diberi tempat, mereka golongan yang pandai bahasa Arab tetapi tidak pandai bahasa Inggeris merasa tidak diberi tempat," katanya.

Dr Mahathir juga menyelar tindakan Nik Aziz yang gemar memutar belit ayat al-Quran dan berbohong demi untuk mengekalkan kuasa.

Menteri Besar Kelantan itu dakwa Dr Mahathir sanggup berkata dengan memetik ayat al-Quran bahawa tidak salah orang Islam berpecah dua.

Beliau berkata, atas landasan itulah, Umno dari dulu lagi menyangkal yang PAS memperjuangkan Islam dan keadaan itu makin ketara apabila semakin banyak pembohongan yang dibuat oleh pemimpin PAS itu. - Bernama

Ulasan GB

Kalaulah hendak dibangkitkan penghinaan yang TDM lakukan terhadap Islam mungkin ruang di blog ini tidak mencukupi.

Mahathir mengutuk ulama', merasakan diri sebagai ulama' al kabir

Beliau menghina ulama’, menghina pandangan Tuan Hj. Ishak Baharum bekas Mufti Selangor yang dipecat, menghina Dr. Harun Din seorang ulama’ yang disegani. Beliau menempelak pandangan ulama’ dalam isu menutup aurat, pertandingan ratu cantik dengan menyatakan ulama’ mentafsir Al Quran untuk kepentingan diri dan ianya bersalahan dari ajaran Islam. Selagi tafsir atau fatwa ulama’ menggugat Mahathir, selagi itulah fatwa tersebut kononnya bertentangan dengan ajaran Islam.

Apakah Mahathir itu layak memberi fatwa dan menjadikan dirinya sorang diktator satu ketika, tetapi juga ulama’ Al Kabir.

Menghina hukum Islam serta memberi fatwa baru

Beliau mempermainkan hukum hudud dengan menempelak bahawa negara Islam yang mengamalkan hudud akan menyebabkan orang Islam semuanya kudung. Beliau juga mempermainkan hukum Allah ini dalam lawak jenakannya. Tidak berupaya melaksanakannya pada masa ini bolehlah dimaafkan tetapi menolak dan mempersendakan Hukum Allah ini adalah melampau dan wajib diperangi.

Menghina Nabi Muhammad sallalhu’alihi wassalam.

Beliau mempermainkan sunnah Rasulullah. Beliau membuat jenaka dengan janggut Nabi. Beliau mempermainkan pakaian ummat Islam yang dipakai Nabi dan para sahabat dengan menyatakan itu pakaian Arab dan bukan Islam.

Berikut ialah petikan kenyataan-kenyataan Mahathir:

(Kenyataan Tun Dr. Mahathir kepada wartawan pada 3hb Mac 1994 di Nilam Puri, Kelantan Darul Naim): Hukum rejam kepada penzina adalah primitif

(Ucapan Tun Dr. Mahathir pada 30 April 1992 di perjumpaan Ketua2 UMNO bahagian Johor). Saya nak tahu siapakan di antara ahli2 Pas yang sanggup memotong tangan orang jika hudud dilaksanakan di Kelantan. Barangkali Nik Aziz akan melakukannya. Jika benar kita nak tengok apa yang berlaku selepas hukum itu nanti.

(Ucapan Tun Dr. Mahathir pada 14 Ogos 1994 di Pasir Mas Kelantan). Sukar dilaksanakan hukum syarak kerana masyarakat Malaysia bukan seratus peratus Islam.

(Ucapan Tun Dr. Mahathir pada 3 Mac 1994 di Pusat Bahasa Arab, Nilam Puri, Kelantan). Apakah hukum hudud mesti dilaksanakan juga walau apa pun keadaan sehingga mendatangkan mudarat kepada orang Islam. Apakah dalam keadaan Islam sudah lemah, hukum2 yang boleh melemahkan lagi orang Islam mesti dilaksanakan? – Ucapan Tun Dr. Mahathir pada 3 Mac 1994 di Pusat Bahasa Arab, Nilam Puri, Kelantan)

(Ucapan Tun Dr. Mahathir pada 3 Mac di Pusat Bahasa Arab, Nilam Puri, Kelantan) Hudud tidak boleh dilaksanakan kerana sukar mendapat saksi yang tidak fasik. -

(Tun Dr. Mahathir Mohamad, temubualnya dengan media massa, 14 Julai 1992) "Apabila hukum rejam batu sampai mati kepada penzina dan potong tangan kepada pencuri, nescaya ramailah rakyat Islam yang mati dan kudung tangan.Ini sangat memalukan ummat Islam, kerana orang bukan Islam akan sempurna sifatnya dan boleh meneruskan kerja."

(Tun Dr. Mahathir Mohamad, ucapannya di Pusat Bahasa Nilam Puri, Kelantan, 3 Mac1994. "Saya cabar Kelantan laksana hukum hudud di depan orang bukan Islam."

(Tun Dr. Mahathir Mohamad, ucapannya di Pusat Bahasa Nilam Puri, Kelantan, 3 Mac 1994) Hudud tidak boleh dilaksanakan kerana sukar mendapat saksi yang tidak fasik

(Tun Dr. Mahathir Mohamad, ucapannya di Pasir Mas, 14 Ogos 1994). "Al-Quran perlu ditafsirkan semula untuk disesuaikan dengan keadaan masa kini."

(Tun Dr. Mahathir Mohamad, temubualnya dengan media massa selepas sidang Majlis Tertinggi UMNO, 1994). "Saya akan mempastikan bahawa negeri-negeri yang diperintah oleh Barisan Nasional tidak akan melaksanakan hukum hudud."

(Tun Dr. Mahathir Mohamad, ucapannya di Pasir Mas, Kelantan, 14 Ogos 1994). "Kerja yang paling sesuai bagi Tok Guru (ulama') ialah mengajar, bukan mentadbir."

(Tun Dr. Mahathir Mohamad, ucapannya di Pasir Mas, Kelantan, 14 Ogos 1994). "Sukar dilaksanakan hukum syarak kerana masyarakat Malaysia bukan seratus peratus Islam".

(Tun Dr. Mahathir Mohamad, ucapannya di Pasir Mas, Kelantan, 14 Ogos 1994). "Kita (Kerajaan Pusat) akan ambil tindakan jika Kelantan meneruskan usaha melaksanakan hudud."

(Tun Dr. Mahathir Mohamad, kenyataannya kepada wartawan, 30 April 1992). "Bukan kerana dengan melaksanakan hukum hudud saja kita boleh menjadi Islam. Kita tengok banyak negara Islam yang tidak melaksanakan hukum hudud, tetapi tidak bermakna mereka tidak Islam."

(Tun Dr. Mahathir Mohamad, temubualnya dengan wartawan, 18 Ogos 1991. "Perlaksanaaan hukum hudud boleh menyebabkan umat Islam menjadi mundur kerana tidak boleh bersaing dengan orang bukan Islam apabila orang Islam dipotong tangannya dan dilakukan hukum hudud yang lain, sedangkan orang bukan Islam tidak dikenakan."

(Tun Dr. Mahathir Mohamad, bercakap kepada wartawan, 24 April 1992) . "Jika mereka hendakkan sangat hukum hudud, mereka kenalah cuba hukum mereka sendiri atau mahkamah mereka sendiri. Mereka seronok nak potong tangan orang, seolah-olah jika tidak potong tangan, tidak Islam. Sekarang kita nak tengoklah mereka boleh buat atau tidak."

(Dr. Tun Dr. Mahathir Mohamad, ucapannya di Papar, Sabah, 2 Mei 1992). "Bagaimana kita boleh maju kalau orang Islam sudah tidak ada tangan dan kaki? Bagaimana mereka mahu bersaing dengan bangsa-bangsa lain, kalau sifatnya sudah tidak cukup? Hukum hudud tidak sesuai dilaksanakan di negara ini yang mempunyai rakyat berbilang kaum dan agama."

(Dr. Tun Dr. Mahathir Mohamad, ucapannya di Pasir Mas, Kelantan, 14 Ogos 1994). "Melaksanakan hukum hudud sehingga melemahkan orang Islam sehingga menjadi masyarakat kucar kacir dan ditindas oleh orang lain tidaklah secucuk dengan ajaran Islam."

(Tun Dr. Mahathir Mohamad 2/5/92) 'Bagaimana kita boleh maju kalau orang Islam rakyat Islam yang mati dan kudung sudah tiada tangan dan kaki. Bagaimana mereka mahu bersaing dengan bangsa-bangsa lain kalau sifatnya sudah tidak cukup. Hukum Hudud tidak sesuai dilaksanakan di negara ini yang mempunyai rakyat berbilang kaum dan agama'.

Memang Mahathir mudah lupa!

Kaki Wanita Digonggong Anjing

Kaki kanan yang digonggong anjing peliharaan seorang peniaga kuih memberi petunjuk kepada penemuan mayat seorang wanita dipercayai dibakar sehingga rentung di tapak pembuangan sampah berdekatan sebuah sekolah rendah di Batu Kawah, pagi semalam.

Mayat wanita tidak diketahui identiti itu ditemui kira-kira 50 meter dari tempat kaki kanannya dilarikan anjing terbabit sambil menyalak ke arah tuannya yang secara kebetulan baru pulang dari berniaga, kira-kira jam 7 pagi.

Sebelum penemuan itu, wanita peniaga kuih berusia 50-an itu baru masuk ke rumah sewanya dan pelik apabila mendengar anjing peliharaannya menyalak tidak seperti kebiasaan.

Difahamkan, peniaga terbabit dikatakan pada mulanya tidak mempedulikan salakan anjingnya, namun hatinya tergerak untuk mengetahui punca sebenar sebelum menghampiri tempat haiwan itu berada.

NGERI... kaki kanan milik seorang wanita yang digonggong anjing.

Sebaik menghampiri anjingnya, dia terkejut melihat haiwan itu menggonggong kaki kanan yang tercabut dari paras lutut dalam keadaan rentung, namun tiada anggota badan ditemui di lokasi berkenaan.

Menurut sumber, wanita terbabit terus memanggil seorang anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) yang secara kebetulan berada tidak jauh dari tempat kejadian sebelum menghubungi polis.

“Sebaik tiba, usaha mencari anggota badan mangsa berjaya ditemui selepas Unit Anjing Pengesan diarahkan bergegas ke lokasi kejadian.

Seorang penduduk memberitahu ternampak kepulan asap beberapa hari lalu, namun tidak menyangka kejadian seumpama ini berlaku.

“Ini kerana penghuni menyangka ada penduduk membakar tayar kira-kira jam 11 malam. Namun, pada masa sama, penduduk turut hairan kerana pembakaran berlaku lewat malam,” kata sumber berkenaan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching, Superintendan Fauzi Bujang ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat terbabit.

Katanya, siasatan awal mendapati kaki kanan bercerai daripada anggota badan mangsa dipercayai digonggong anjing sebelum dibawa ke lokasi penemuan itu.

“Pemeriksaan ke atas mayat terbabit tidak menemui sebarang dokumen peribadi, namun hanya mengesahkan mayat terbabit adalah wanita.

“Polis masih menjalankan siasatan dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya. -hm

Saya Puji Rais Jika Beliau Melakukan Sumpah Laknat Beliau Tak Rogol Amahnya - Mutalib

Nilai Saman Rais Hanya 1 Sen? Oleh: MUTALIB M.D

DAKWAAN Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Rais Yatim membuat ‘substitute servis’ kerana gagal menemui saya untuk menyerahkan saman peribadi adalah satu ‘pembohongan’ di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Amelia Tee Hong Geok Abdullah dan sekaligus menghina mahkamah.

Rais sedia maklum bahawa saya menghadiri Persidangan Blogger Malaysia-Asean di Kuala Lumpur pada 23 hingga 25 April 2011 di Kuala Lumpur, namun beliau mencari publisiti murahan dan enggan menghadiri Persidangan berkenaan sekalipun beliau adalah menteri yang bertanggung jawab terhadap warga ‘blogger’; sedangkan majlis berkenaan dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak.
Berita kehadiran saya telah dimuatkan dalam blog Rocky Bru dan juga Sabahkini.net yang sering dipantau 24 jam oleh Rais dan kuncu-kuncunya, tetapi Rais mengelak untuk berhadapan dengan saya dan musuh ketatnya, Rocky Bru @ Datuk Ahiruddin Atan (Penasihat Blog House Malaysia selaku penganjur persidangan berkenaan).

HADIR... Saya berdiri di belakang Perdana Menteri, mustahil Peguam atau Rais tidak nampak saya untuk menyampaikan saman berkenaan?

Blogger seluruh dunia mengutuk Rais kerana enggan menghadiri Persidangan Blogger Malaysia-Asean yang julung kalinya diadakan di Malaysia sedangkan 300 blogger menghadiri persidangan berkenaan menunggu kehadiran beliau kerana kes saya mendapat liputan meluas media.

Memandangkan saya tidak menerima saman secara peribadi dan ‘substitute service’ tidak dimaklumkan kepada saya; sedangkan sebelum ini peguamnya telah menghantar salinan saman melalui email, maka saya tidak menghadiri perbicaraan berkenaan kelmarin.

Sebaliknya Rais telah menggunakan media dengan mengumpan ‘envelop journalist’ untuk menyiarkan berita tersebut dengan menggembar gemburkan akan memasuki penghakiman terhadap saya jika saya tidak hadir, tetapi Pesuruhjaya Kehakiman, Amelia Tee Hong Geok Abdullah menetapkan 23 Mei 2011 untuk pengurusan kes tersebut.

Setelah berbincang dengan Peguam, saya berpendirian tidak akan melayan saman Rais kerana pihaknya telah dibuat melalui ‘subtitute service’ secara salah sedangkan mereka boleh menemui saya di mana-mana dan pada bila-bila masa untuk menyampaikan saman berkenaan; termasuk pada hari Persidangan Blogger Malaysia-Asean di Kuala Lumpur.

Jika perlu, peguam saya akan memfailkan permohonan untuk mengenepikan saman pemula yang difailkan Rais melalui peguamnya, Norhani Nordin kerana kesnya masih dalam siasatan polis dan tindakan Rais menyaman saya dibimbangi subjudis kepada siasatan polis.

Memandangkan kes yang dihadapi Rais adalah kes jenayah iaitu Seksyen 376, Kanun Keseksaan, maka saya hanya akan melayan saman Rais jika Peguam Negara mengatakan hasil daripada siasatan polis, ekoran laporan yang dibuat Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) sebagai ‘No Case To Answer’ atau ‘No Further Action’; barulah akan berhadapan dengan Rais di mahkamah.

Tindakan Rais meremehkan proses mahkamah dan mengganggu siasatan polis menunjukkan beliau cuba mengalih perhatian dunia terhadapnya dengan menuding jari terhadap saya kononnya memfitnah beliau secara ‘solo’ dan bukannya Migrant Care, Tenaganita atau Rocky Bru.

Bagi saya, sama ada Rais berjaya dalam permohonannya untuk memasuki kehakiman di Mahkamah Tinggi pada 23 Mei kelak, tidak penting kerana bagi saya nilai Menteri ini hanya 1 Sen dan nilai itulah yang akan saya bayar kepada beliau jika beliau berjaya dalam permohonan liciknya kelak.

Walaupun syiling 1 sen tidak lagi laku di pasaran selepas 1 April 2008, namun nilainya masih diperakui Bank Negara kerana masih terdapat lebih 4.5 bilion keping wang syiling satu sen di pasaran.

Saya tertarik dengan kenyataan Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Mohd. Nor Mashor yang berkata, pemansuhan penggunaan wang syiling 1 sen dapat menjimatkan wang kerajaan sehingga RM14 juta setahun kerana kerajaan terpaksa menanggung kos sebanyak 4.2 sen bagi mengeluarkan sekeping syiling satu sen.

Oleh itu amat wajar bagi Rais menerima wang hadiah 1 Sen daripada saya jika beliau berjaya memasuki kehakiman kerana itulah taraf beliau sebagai ‘Menteri Kabinet’ yang meletakkan undang-undang ditangan sendiri dan menjadikan Mahkamah sebagai alat untuk melampiaskan ‘nafsu kabasi’ demi menyelamatkan kedudukannya sebagai menteri yang dituduh melakukan jenayah merogol amahnya empat tahun lalu.

Namun saya memuji tindakan Rais jika beliau sanggup melakukan ‘Sumpah Laknat’ bahawa beliau tidak merogol amahnya, Robengah; kerana trend berkenaan telah diterima secara meluas masyarakat Jahiliyah di Malaysia! -sabahkini


Rais Bakal Mohon Masuk Penghakiman

KUALA LUMPUR: Seorang penulis blog, Abdul Mutalib Mohamed Daud masih tidak memfailkan notis kehadiran di Mahkamah Tinggi di sini, setelah dinamakan sebagai defendan dalam saman yang difailkan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.

Sehubungan itu, peguam yang mewakili Rais, Norhani Nordin memberitahu, pihaknya akan memohon untuk memasukkan penghakiman sekiranya penulis blog Sabahkini.net itu masih tidak memberi respon dan gagal menghadiri prosiding mahkamah.

Norhani menambah, Pesuruhjaya Kehakiman, Amelia Amelia Tee Hong Geok Abdullah telah mengarahkan pihaknya untuk menampalkan writ saman di alamat terakhir defendan sebagai usaha terakhir untuk menyerahkan saman itu secara peribadi.

Beliau juga memberitahu, pihaknya telah memfailkan notis penggantian penyampaian pada Mac lalu melalui mengiklankan di dalam akhbar harian Sabah selama tiga hari berturut-turut bermula 13 April lalu selain turut ditampal di papan kenyataan Mahkamah Tinggi di sini.

Sehubungan itu, mahkamah menetapkan sebutan semula untuk mengetahui status kedudukan saman itu pada 23 Mei ini.

Rais, 69, yang juga Ahli Parlimen Jelebu memfailkan saman tersebut pada 10 Februari lalu, atas dakwaan Abdul Mutalib yang merupakan seorang penganalisi politi telah memfitnah beliau.

Selaku plaintif, Rais menuntut ganti rugi serta injunksi yang kerana didakwa telah memfitnah beliau dalam artikel bertarikh 1 Januari lalu yang bertajuk: Pak Lah halalkan rogol, UMNO halalkan zina? dan PKR cabar Rais sumpah laknat yang dipaparkan pada 3 Januari lalu.

Sementara pada 5 dan 7 Januari, defendan didakwa menyiarkan artikel berjudul: Rais Yatim seperti belut? dan Video pengakuan rakan Robengah di laman sesawang http://sabahkini.net/v1 bersama gambar plaintif. -mstar


Ulasan GB

Namun saya memuji tindakan Rais jika beliau sanggup melakukan ‘Sumpah Laknat’ bahawa beliau tidak merogol amahnya, Robengah; kerana trend berkenaan telah diterima secara meluas masyarakat Jahiliyah di Malaysia!

Itu bahananya UMNO tak mahu laksanakan qazaf tetapi lebih gemarkan sumpah laknat, bak kata blogger Mutalib, trend berkenaan telah diterima secara meluas masyarakat Jahiliyah di Malaysia!

Kini pemimpinnya sendiri terpentong ke batang hidung.

Kalau tak mahu jalankan qazaf, apa lagi, ikut cara Eskay, bersumpah laknatlah kamu kerana demikian kehendak dan tuntutan masyarakat jahiliyah yang menyokong kamu. Ada berani?