22 Jun 2010

Tewasnya Sivakumar. Perak, Anda Masih Percaya Kepada Mahkamah?

Mahkamah Tolak Rayuan Sivakumar

PUTRAJAYA 22 Jun - Panel hakim Mahkamah Rayuan hari ini mengisytiharkan tindakan mengheret Speaker Perak yang digulingkan, V Sivakumar, dari kerusi dan dikurung selama dua jam ketika tragedi rampasan kuasa 7 Mei lalu adalah sebahagian daripada prosiding Dewan Undangan Negeri.

Justeru, undang-undang Malaysia tidak mempunyai kuasa untuk mengadili keganasan berkenaan - demikian keputusan Mahkamah Rayuan sebelum mengugurkan rayuan V Sivakumar.

Panel tiga hakim - Datuk Abdul Malik Ishak, Datuk KN Segara dan Datuk Abdul Wahab Patail sebulat suara menguatkuasakan Artikel 72(1) Perlembagaan Persekutuan dalam menolak rayuan saman Sivakumar terhadap speaker lantikan BN, R Ganesan.

Keputusan berkenaan disepakati sebelum kedua-dua pasukan peguam selesai membuat penghujahan masing-masing.

Panel tiga hakim juga memerintahkan Sivakumar supaya membayar RM20,000 sebagai kos perbicaraan.

Panel hakim itu bagaimanapun tidak memberikan alasan mereka membatalkan saman ADUN Tronoh itu.

Pada 8 September tahun lalu, Mahkamah Tinggi Ipoh menolak saman Sivakumar menuntut pampasan dan ganti-rugi daripada Ganesan kerana mengarahkan serangan dan penahanan tidak sah terhadap dirinya.

Hakim Mahkamah Tinggi Azahar Mohamed memutuskan bahawa badan kehakiman tidak boleh mempersoalkan kesahihan mana-mana prosiding Dewan Undangan Negeri seperti yang ditekankan Artikel 72(1) Perlembagaan Persekutuan.

Azahar dalam mengugurkan saman tersebut berkata hal-ehwal perlantikan dan perlucutan Speaker harus dikaji, dibahas dan diselesaikan dalam dewan legislatif dan bukan di mahkamah.

Dalam perbicaraan hari ini, peguam Sivakumar, Chan Kok Keong, berkata perkara yang dikemukakan dalam saman itu boleh dibicarakan bagi menentukan sama ada peristiwa yang didakwa Sivakumar sebagai serangan dan salah penahanan beraku semasa persidangan DUN adalah arahan bagi Ganesan untuk dilindungi imuniti.

Beliau berkata pemilihan Ganesan dan tindakan untuk menyingkirkan Sivakumar dilakukan di luar persidangan dewan kerana ia dilaksanakan sebelum Raja Muda Perak menyampaikan titah ucapan perasmian.

Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin, peguam Ganesan, berkata anak guamnya melaksanakan tanggungjawabnya sebagai Speaker yang sah mengikut kuasa diberikan kepadanya mengikut Perlembagaan Perak, Peraturan Mesyuarat dan amalan persidangan.

Katanya pada hari ini, DUN telah menyelesaikan isu penyingkiran Sivakumar dengan sokongan majoriti 31 wakil rayat dan kemudiannya melantik Ganesan sebagai Speaker.

Firoz berkata selepas Ganesan dilantik sebagai Speaker baru, beliau mengarahkan Sivakumar supaya kembali di tempat duduknya tetapi Sivakumar enggan menyebabkan Ganesan mengambil tindakan bagi memindahkan Sivakumar daripada tempat duduk Speaker. -Bernama

Ulasan GB

Terperanjatkah kita dengan keputusan hakim berkenaan?

Lansung tidak ada apa yang baru.

Hairannya kali ini mahkamah menyatakan bahawa "tragedi rampasan kuasa 7 Mei lalu adalah sebahagian daripada prosiding Dewan Undangan Negeri" dan "memutuskan bahawa badan kehakiman tidak boleh mempersoalkan kesahihan mana-mana prosiding Dewan Undangan Negeri seperti yang ditekankan Artikel 72(1) Perlembagaan Persekutuan".

Sedangkan sebelum ini mahkamah telah pun campurtangan apabila memutuskan sidang dewan rakyat Perak yang dilansungkan di bawah pokok tidak sah.

GB pernah menyatakan dengan keadaan di mana institusi kehakiman negara yang bobrok, jangan harap PR akan memperolehi kemenangan di dalam isu-isu tertentu seperti isu perak, isu DSAI dll.

Baca ulasan GB di SINI

Petikan semula :


Mahkamah Persekutuan? Oh, masyarakat berpersepsi bahawa ia adalah badan pegesah kepada kehendak dan keputusan Peguam Negara yang membuat keputusan demi kepentingan kerajaan UMNO dan BN. Bukan untuk kebenaran dan keadilan.

Ada beberapa kes terpilih yang mana Pakatan Rakyat atau mana-mana individu yang melawan institusi kerajaan akan PASTI ditewaskan apabila ianya sampai ke penal Mahkamah Persekutuan. Diantaranya kes Perak, kes liwat DSAI, kes melibatkan SPRM, kes melibatkan SPR, kes melibatkan PDRM.

Buka semula penghakiman kes-kes berkenaan Mahkamah Persekutuan, jika anda rasa GB tidak berkata benar.

Dan ingat juga kes correct, correct, correct. Si hakim bedebah yang membaca kertas penghakiman yang disediakan oleh peguam yang terlibat di dalam kes yang dibicarakan masih lepas bebas dan tidak diambil sebarang tindakan.

Jadi, keseluruhan sistem kehakiman negara sebenarnya bobrok. Rakyat tidak dapat mengharapkan kebenaran dan keadilan dari Istana Keadilan (Palace of Justice) lagi. Istana Keadilan bakal runtuh akibat hakim-hakim durjana ini.



Isu JI Ditimbulkan Untuk Alih Perhatian Rakyat

JI: Pakatan Rakyat Desak Hishammuddin, Musa Kemuka Bukti Kukuh

KUALA LUMPUR 22 Jun - Ahli Parlimen PAS hari ini mendesak Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan juga Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mengemukakan semua bukti kukuh berhubung dakwaan pembabitan pengganas Jemaah Islamiah (JI) dengan pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) di negara ini.

Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub berkata beliau mengetahui satu taklimat telah diadakan tentang isu pengganas kepada institusi pengajian tinggi.

"Saya mengetahui terdapat satu taklimat di adakan tentang isu pengganas kepada institusi pengajian tinggi, apa yang ingin saya katakan tidak ada sebarang bukti kukuh diberikan oleh Kementerian Pengajian Tinggi tentang penglibatan JI ini bersama pelajar-pelajar IPT.

"Isu yang cuba digambarkan adalah satu persepsi yang cuba dikukuhkan tentang berlaku dan wujudnya keganasan yang ada di dalam negara ini tentang penglibatan IPT.

"Kita kesal dengan tuduhan yang dilemparkan oleh Ketua Polis Negara dan juga Kementerian Dalam Negeri tanpa usul periksa ataupun bukti kukuh. Kerajaan perlu mengambil serius terhadap tuduhan tersebut.

"Saya berharap pihak yang membuat tuduhan itu mengeluarkan satu kenyataan rasmi mengenai tuduhan tersebut kerana ini melibatkan imej IPT dan juga negara ini. Bagi saya ini amat serius dan tidak boleh diambil mudah kerana tuduhan menggunakan IPT sebagai tempat penambahan ahli JI adalah satu yang tidak wajar, kalau betul kenyataan tersebut laporan perlu dikeluarkan di parlimen agar semua rakyat tahu dakwaan yang dikeluarkan itu.

"Kita tidak mahu dalam menutup kesilapan yang dilakukan ini, akan terdapat individu yang menjadi kambing hitam kepada pihak tertentu dalam mengesahkan dakwaan yang dikeluarkan itu," tegas beliau pada sidang media di lobi parlimen pagi tadi.

Beliau juga mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hadir di parlimen untuk menjelaskan dakwaan tersebut.

Beliau juga mendesak Hishammuddin supaya jangan membisu kerana jika menteri gagal mengemukakan bukti, beliau sendiri akan mendedahkan segala maklumat berkaitan dengan taklimat itu di dalam Dewan Rakyat.

"Kita tidak mahu ini adalah salah satu agenda global hasil pertemuan antara Perdana Menteri dengan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama. Dalam usaha untuk mengalihkan isu penglibatan Apco ataupun isu serantau menyebabkan masalah JI ini diketengahkan.

"Isu ini sengaja saya ketengahkan kerana ia adalah isu besar, sehingga sekarang tidak ada bukti kukuh yang dapat mengesahkan kemasukkan pengganas di IPT mahupun penglibatan pelajar," kata beliau lagi.

Menjawab isu yang sama, Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar mengulas tentang kenyataan Hishammuddin yang mengatakan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat sebagai tidak bertanggungjawab kerana mengatakan isu JI sebagai mengalihkan isu besar lain.

"Tuduhan yang dikeluarkan oleh Hishammuddin itu tidak berasas bukannya dakwaan yang dikeluarkan oleh Pakatan Rakyat, kita tahu dakwaan yang dinyatakan oleh Musa Hassan itu tidak benar sama sekali dan juga jika betul penglibatan JI dalam IPT kenapa tidak ada bukti kukuh dikeluarkan termasuk penjelasan di dalam parliman.

"Kita bukannya gila tetapi kita menghadapi politik gila yang diamalkan oleh Umno, tanpa bukti kukuh mereka terlalu mudah membuat kenyataan tersebut," sanggah beliau.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad pula menambah kesilapan besar dilakukan oleh Kementerian Dalam Negeri tentang penglibatan JI ini kerana seluruh dunia akan memandang Malaysia sebagai sebuah negara yang tidak selamat.

Selain itu kemerosotan kemasukan pelajar luar juga akan berkurangan kerana mereka tidak lagi yakin dengan sistem pembelajaran negara ini yang terlalu mudah dimasuki pengganas.

"Selain kemerosotan pelajar luar kenegara ini, dari sudut ekonomi juga akan mengalami kemerosotan. Kita melihat selepas kejadian 11 September ramai pelabur dari negara timur tengah mengalih pelaburan mereka ke Asia dan saya pasti dengan kenyataan yang tidak berasas itu menyebabkan pelabur luar juga akan mengambil tindakan yang sama.

"Jangan menyalahkan sesiapa jika ekonomi negara ini mengalami kemerosotan yang teruk," jelasnya.

Sebelum ini, Musa mengeluarkan kenyataan yang mengatakan terdapat penglibatan pengganas Jemaah Islamiah dalam IPT dan kumpulan terbabit sekarang dalam usaha untuk membuat penambahan ahli mereka. -SK

Srikandi Berjalan Ke Depan, Muslimat PAS Berjalan Ke Belakang

Srikandi PKR 'tawan' universiti

Srikandi PKR semakin melebar sayap dalam meraih sokongan pengundi muda khususnya golongan mahasiswa institusi pengajian tinggi di Malaysia.

Bercakap kepada TV Selangor, Ketua Srikandi PKR, Siti Aishah Shaik Ismail berkata kerancakan kempen Srikandi mendorong mereka menembusi 40 peratus IPT termasuk Universiti Teknologi Malaysia (UiTM).

Lebih manis lagi, kejayaan ini datang ketika pergerakan Puteri Umno dilanda bibit-bibit perpecahan walaupun ia cuba diselindung ketuanya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Rosnah dipercayai terpaksa membuat kenyataan media kononnya tiada masalah kepimpinan melanda Puteri Umno berikutan desas desus mengenai kegagalan pergerakan itu menggamit sokongan pengundi muda, bukan rahsia lagi.

“Sebenarnya Puteri Umno sedang mengalami permasalahan yang ketara. Kita lihat di peringkat negeri pun, pengaruh mereka semakin menurun akibat sikap pemimpin mereka yang mengamalkan standard tertentu." katanya.

Siti Aishah menyifatkan kebanyakan pemimpin dan ahli Puteri Umno yang mengejar populariti dan menonjolkan imej elitis di kalangan rakyat marhaen.

Ini menyebabkan Puteri Umno tidak popular di kalangan rakyat dan kini, tidak lagi kedengaran program melibatkan mereka.

“Punca utama kelemahan mereka ialah kerana mereka dilihat sebagai satu golongan elit yang hanya mengejar populariti - itu yang menyebabkan mereka gagal mendampingi pengundi muda.

"Kita melihat Puteri Umno hampir 100 peratus mendiamkan diri dan tidak pun memberikan pandangan atau idea-idea yang bernas bagi membantu golongan generasi muda,” katanya.

Sebaliknya, Srikandi PKR bersungguh-sungguh menawan hati rakyat hingga mampu menambat keyakinan pengundi muda, lebih-lebih lagi golongan terpelajar.

“Kita berjaya menembusi hampir 40 peratus universiti di Malaysia termasuk UiTM dan UIA. Bukan bergantung kepada mahasiswa mencari kita di luar tetapi kita sudah mampu masuk sendiri melalui gerakan yang kita bina,” katanya. -mk

Ulasan GB

Tahniah Srikandi.

Apa khabar Muslimat PAS? Penubuhan Muslimat Muda yang disyorkan oleh Mursyidul Am PAS, TGNA ditolak sebulat suara oleh Dewan Muslimat. Kini muslimat PAS terpinggir di ipt.

Hal ini bertepatan dengan ulasan GB sebelum ini di SINI. Petikan:

Dewan Muslimat dah garang kerana dah tuntut kerusi Naib Presiden? Sudah tak perlu dengar nasihat dan saranan Mursyidul Am PAS, TGNA yang mencadangkan sendiri agar ditubuhkan sayap baru iaitu Muslimat Muda?

UMNO sudah ada Puteri UMNO, PKR sudah ada Srikandi, jadi saranan TGNA itu adalah tepat pada masanya bahawa Dewan Muslimat perlu ada sayap Muslimat Muda untuk menarik golongan muda menyertai aktiviti dan program parti.

Kita masih ingat sewaktu Puteri UMNO hendak ditubuhkan dulu, yang menentangnya ialah Ketua Wanita, Rafidah Aziz kerana bimbang Pergerakan Wanita UMNO akan lemah apatah lagi menggugat peranan dan status quo wanita UMNO yang sememangnya sudah kerepot di mata para pemuda dan pimpinan UMNO sendiri.

Kini nampaknya perwatakan Kak Pidah itu berulang di dalam Dewan Muslimat. Ditolaknya usul penubuhan sayap Muslimat Muda cadangan TGNA.

Yang rugi ialah wanita sendiri, terutama mahasiswi-mahasiswi di ipt tempatan tiada pilihan selain dari memenuhi borang Puteri UMNO yang diedarkan kepada mereka secara berleluasa, berputih mata dan berdosalah muslimat PAS kerana gagal menyediakan alternatif kepada mereka dan sekadar menjadi pemerhati apabila tenaga muda dari kalangan mereka sudah berada di pihak lain.

Ubah-ubahlah perangai supaya cerdik sikit demi keutuhan parti. TGNA tidak mencadangkan sesuatu untuk meruntuhkan parti seperti pemimpin lain. Yakinlah! -GB


Kes Joshua Dan NTV7, Penerusan Agenda BN Membangangkan Rakyat

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua mahu penjelasan samada Menteri atau isteri Perdana Menteri memainkan peranan memberi arahan kepada penerbit stesen televisyen kerajaan atau swasta dengan tujuan mengekang kebebasan media.

Tian Chua ketika membahaskan usul penangguhan mesyuarat Dewan Rakyat petang semalam berkatasejak kebelakangan ini aduan anggota media berhubung usaha menyekat kebebasan media melalui campur tangan tokoh politik amat membimbangkan.

Insiden pertama membabitkan Joshua Wong, penerbit rancangan 'Buletin' dan 'Isu Semasa' yang disiarkan dalam ntv7, yang terpaksa meletak jawatan sebagai protes campur tangan Jabatan Perdana Menteri dan juga isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Tian Chua memberitahu Joshua juga dilarang membincangkan isu politik termasuk dilarang mengundang anli panel daripada pembangkang serta semasa pilihan raya kecil Hulu Selangor.

"Saya meminta Kementerian Penerangan memberi penjelasan samada arahan Jabatan Perdana Menteri dan isteri Perdana Menteri selain larangan yang telah dikenakan ke atas Joshua adalah munasabah bagi seorang penerbit yang profesional.

"Kemelut ini tidak hanya melanda ntv7 sahaja, malah insiden kedua menimpa penerbit TV2, Chou Z Lam berkaitan dengan dokumentasi 'Galeri Manderin Nasional' yang dibatalkan kerana mendatangkan kesan politik kepada kerajaan Barisan Nasional Sarawak ketika kempen pilihan raya kecil Sibu sedang berjalan.

"Rancangan dokumentasi ini merakamkan secara fakta dan objektif pengalaman penduduk pribumi Sarawak yang menghadapi kesulitan dan kesengsaraan hidup berhubung dengan pembinaan Empangan Bakun.

"Chou Z Lam menerima penjelasan daripada Ketua Pengarah Bilik Berita, Jumat Engson bahawa kandungan rancangan itu terlalu sensitif dan tidak sesuai di siarkan," jelasnya.

Tian Chua memberitahu, beliau memohon Kementerian Penerangan menyatakan pendirian dalam persoalan hak bersuara dan hak menerima maklumat.

Dalam kes ini suara kaum pribumi yang menghadapi ancaman kehidupan telah ditindas termasuk hak rakyat disekat menerima maklumat atau pengetahuan.

"Ekoran dua insiden di tersebut, kejadian ketiga pula berulang sekali lagi apabila pembatalan siaran isu pembinaan menara elektrik di Rawang tanpa sebab. Pada 13 Mei yang lepas, Chou Z Lam menerima surat penamatan perkhidmatan daripada Bahagian Khidmat Pengurusan dengan alasan mengurangkan kos.

"Alasan sedemikian tidak boleh diterima bagi seorang penjawat awam, ini perlu dikembalikan hak beliau bukannya dicabuli oleh kerajaan sendiri.

"Di samping itu, saya pohon Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan menjalankan penstrukturan semula dalam pentadbiran RTM supaya memberi ruang kebebasan untuk membincangkan isu kepentingan awam. Berikutan insiden-insiden ini, Menteri telah melantik Yap Shy Cuan dengan tugas memantau rancangan Mandrin yang mana jawatan ini tidak pernah wujud dan hanya dikenali sebagai pegawai khas dalam RTM," katanya lagi.

Beliau juga meminta Menteri memberi penjelasan tentang tugas dan tujuan jawatan Yap Shy Cuan dalam bahagian tersebut.

"Penjelasan perlu diberikan oleh Menteri apa tugas sebenar Yap Shy Cuan, saya mendapati Yap Chy Cuan merupakan ahli MCA dan merupakan perwakilan Pemuda MCA Bahagian Bera, Pahang. Apa yang saya ketahui rupa-rupanya beliau menjalankan kawalan terhadap kakitangan profesional dalam RTM dan memastikan perspektif selain kepentingan parti pemerintah dipertahankan," tegas beliau lagi.


Penerbit NTV7 berhenti bukan kerana tekanan JPM, Rosmah

KUALA LUMPUR, 21 Jun – Dakwaan bahawa Jabatan Perdana Menteri dan isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor campur tangan dalam pengurusan stesen penyiaran NTV7 sehingga menyebabkan seorang penerbitnya meletak jawatan, adalah tidak benar dan tidak berasas.

Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Joseph Salang berkata perkara itu merupakan isu dalaman stesen itu membabitkan seorang penerbit yang enggan menerima nasihat pihak pengurusan mengenai dasar yang diamalkan NTV7.

“Ini kerana pihak NTV7 telah menerima aduan dari orang awam yang mendakwa program tersebut tidak seimbang, topik yang tidak sesuai dan jalan perbincangan yang menyentuh perkara sensitif,” katanya ketika menggulung ucapan penangguhan oleh Tian Chua (PKR-Batu) pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Tian Chua dalam ucapannya bertajuk “Kembalikan Kebebasan Media Serta-Merta” berkata penerbit sebuah rancangan di NTV7 Joshua Wong telah meletak jawatan sebagai protes campur tangan Perdana Menteri dan isteri dalam program bual bicara berbahasa Mandarin yang beliau terbitkan.

“Beliau (Wong) telah dilarang membincangkan isu politik dan menjemput panelis dari pembangkang untuk membincangkan isu politik berkenaan pilihan raya kecil di Hulu Selangor,” katanya.

Salang berkata sebagai stesen penyiar, pihak NTV7 perlu mengambil kira pandangan orang ramai, selain memastikan undang-undang dipatuhi bagi mengelakkan kontroversi yang boleh menyentuh perasaan pelbagai pihak.

“Oleh itu, pihak pengurusan NTV7 telah mengadakan perbincangan bersama penerbit rancangan tersebut yang telah mengambil pendirian untuk tidak mahu tertakluk kepada dasar yang telah ditetapkan sebagai seorang pekerja dan bertegas untuk meletak jawatan,” katanya.

Tian Chua dalam ucapannya juga mahu tahu pendirian kerajaan mengenai dokumentari Galeri Nasional Mandarin terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) mengenai projek Empangan Bakun yang ditarik balik kerana khuatir memberi kesan terhadap Pilihan Raya Kecil Sibu.

Salang berkata tiada campur tangan politik dalam menentukan penyiaran sesuatu program di RTM, yang berperanan sebagai media rasmi kerajaan dan bertanggungjawab menyebarkan maklumat kepada rakyat.

“Pembatalan penyiaran dokumentari yang membincangkan masalah penduduk di tapak pembinaan Empangan Bakun juga tiada kaitan dengan Pilihan Raya Kecil Sibu, keputusan menarik balik dokumentari itu dibuat secara profesional memandangan ia tidak mematuhi garis panduan siaran RTM, selain tidak memuatkan tujuan sebenar projek dan faedahnya kepada negara," katanya. – Bernama



Penerbit letak jawatan, dedah ntv7 menerima aduan Rosmah

Penerbit Buletin dan Isu Semasa ntv7, Joshua Wong meletak jawatan sebagai protes kerana ntv7 tunduk kepada aduan Jabatan Perdana Menteri dan isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor. Joshua Wong yang bertanggungjawab dalam rancangan forum Editor's Time (Mandarin), merasakan autonomi editorial tercabul apabila menerima arahan "Tiga Jangan".

Arahan "Tiga Jangan" ini termasuklah, jangan membincangkan isu politik, jangan mengundang panelis dari pembangkang dan jangan membincangkan isu PRK Hulu Selangor.

Rancangan Editor's Time yang hanya dimulakan baru-baru ini terpaksa ditarik dan menggugurkan isu politik, lantaran daripada tekanan politik yang dihadapi. Penerbitnya, Joshua Wong mengambil keputusan meletak jawatan pada 20 April, untuk mempertahankan prinsip kebebasan media.

Joshua Wong, juga seorang pensyarah (part-time) di Kolej New Era, memanggil satu sidang media di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor untuk membuat pendedahan tersebut pada pagi ini. Turut hadir untuk memberi sokongan termasuklah ibu bapanya, kolumnis, dan penuntut dari Kolej New Era.

Rancangan forum Editor's Time ini dimulakan sejak 18 Mac 2010, dari jam 11 malam hingga 12 tengah malam. Rancangan ini cuba menarik perhatian ramai apabila episod pertamanya dirakamkan di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor, berjudul "Pertarungan KPI - BN vs PR: Siapa lebih hebat?"

Antara isu yang dibincangkan selepasnya termasuklah Pemilihan Semula MCA, isu pekerja seks, pentadbiran Pakatan Rakyat di Pulau Pinang dan Model Ekonomi Baru. Walau bagaimanapun, rancangan ini berdepan dengan tekanan dari JPM dan isteri PM, menurut Joshua Wong, yang membacakan kenyataannya seperti berikut:

Kenyataan perletakan jawatan

Saya telah meletakkan jawatan sebagai Penerbit rancangan forum Editor's Time, pada 20 April 2010 untuk menunjukkan ketidakpuasan saya sekeras-kerasnya terhadap syarikat media yang saya berkhidmat.

Saya tidak berpuas hati apabila pihak syarikat mengenakan sekatan yang tidak wajar terhadap pemilihan panelis dan topik perbincangan untuk rancangan Editor's Time, setelah menerima aduan daripada pihak Jabatan Perdana Menteri dan isteri Perdana Menteri. Aduan itu diterima selepas rancangan yang dirakamkan di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang ini disiarkan. Sekatan dikenakan tanpa siasatan yang menyeluruh dan adil.

Sekatan-sekatan ini termasuklah:-

Pertama, Jangan bincang isu politik;

Kedua, Jangan mengundang pembangkang sebagai panelis, termasuk ahli parlimen DAP Tony Pua untuk membincangkan Model Ekonomi Baru; dan

Ketiga, Jangan bincangkan isu "PRK Hulu Selangor" seperti yang dijadualkan dalam rancangan pada 22 April.

Saya menganggap ketiga-tiga sekatan ini kurang wajar, malah bertentangan dengan autonomi editorial. Sekatan yang dikenakan terhadap rancangan ini merupakan self-censorship (menapis-diri), bercanggahan dengan prinsip profesional media. Keputusan ini merupakan hukuman terhadap rancangan ini, dan menjejaskan profesional pasukan penerbitan rancangan ini.

Menurut bos saya, iaitu Editor Eksekutif Buletin dan Isu Semasa (Mandarin), Tan Boon Kooi, selepas forum yang dirakamkan di Kuala Lumpur itu disiarkan pada 18 Mac, pihak pengurusan telah menerima aduan pada 19 Mac. Aduan ini dilakukan melalui satu sms yang dihantar kepada pihak Jabatan Perdana Menteri, yang kemudian dipanjangkan (forward) kepada pihak atasan ntv7. Pengacara Editor's Time, Lee Siad Huey telah menghantar kandungannya kepada saya melalui email:-

"Mereka memperlekehkan KPI dan polisi BN. Memperlekehkan 1 Malaysia. Mencabar PM agar rombak besar-besaran BTN.(Biro Tata Negara). Mempertikaikan (disagree) tindakan Dato Nasir Safar sedangkan Dato Nasir telah berani meletakkan jawatan. Kor Ming dengan bangganya membangkitkan isu pemberian tanah kepada orang ramai di Perak. Wee Ka Siong gagal pertahankan isu MCA apa lagi nak pertahankan polisi UMNo dan BN. Ketua Pemuda MCA set markah 75 kepada PM dalam usaha KPI. Ada usul telus FDI dengan kurangkan kos operasi. Ada usul penilaian KPI oelh rakyat ketua jabatan sahaja.Yang sangat bahaya, dia orang minta kebebasan bersuara bermulan dengan sesi debat tadi. Makna tiada siasatan perlu dibuat, cara mereka bercakap dan membiarkan penonton bertanya soalan seolah-olah kerajaan kita ini terlalu teruk. Apa lagi cina-cina nie nak, mereka lagi kaya dari Melayu. Saya cadang kita perang jer dengan cina-cina nie…Melaru kepada semua ahli-ahli parlimen Melayu/ UMNo/MT dan semua pemimpin UMNO, wake up…mereka semakin biadap." (Teks asal)

Saya menganggap sms ini sebagai "surat layang", kandungannya sarat dengan rasisme dan tidak berasas. Namun, pihak atasan telah mengugut untuk memancung rancangan ini atau menukarkannya kepada bukan rancangan siaran langsung (iaitu disiarkan selepas suntingan), malah mengarahkan agar saya menulis surat tunjuk sebab sebelum siasatan disempurnakan.

Saya telah menulis surat tunjuk sebab pada 22 Mac, bersama Lee Siad Huey, menyangkal satu demi satu tuduhan yang tidak berasas tersebut. Malah, kami mencadangkan agar pihak atasan membuat laporan polis berhubung mesej yang mengandungi unsur diskriminasi kaum dan hasutan. Ini kerana pengadu sedang menghasut sentimen perkauman tanpa kewarasan. Namun, pihak pengurusan tidak memandang serius cadangan saya untuk membuat laporan polis, sebaliknya melarang Editor's Time untuk membincangkan isu politik.

Dalam mesyuarat pada 2 April, saya mencadangkan agar Tony Pua diundang sebagai panelis untuk membincangkan Model Ekonomi Baru dalam rancangan pada 15 April. Namun, bos saya Tan Boon Kooi berkata, "Seandainya Tony Pua diundang, maka tak usahlah rancangan ini diteruskan." Beliau menambah bahawa mulai sekarang, pembangkang tidak boleh diundang lagi.

Saya bertanya kepada Tan menerusi sms kemudiannya, dan beliau berkata ini hanyalah "nasihat", dan bukan arahan daripada Manja Ismail, Editor Kumpulan Berita dan Hal Ehwal Semasa ntv7, 8TV, TV9 dan Ketua Editor Kumpulan Media Prima. Namun, untuk saya, ini adalah satu bentuk self-censorship daripada pihak atasan.

Pada 16 April, dengan tiba-tiba Sofwan Mahmood, Editor Berita Eksekutif ntv7, 8TV dan TV9 memanggil saya dengan Tan Boon Kooi untuk bermesyuarat. Saya pergi berseorangan kerana Tan kesibukan untuk menerbitkan buletin bahasa Cina-nya. Sofwan bertanya kepada saya, apakah isu yang akan diterbitkan minggu seterusnya, dan saya menjawab PRK Hulu Selangor.

Beliau memberi nasihat bahawa isu ini agak berat dan merumitkan. BN berada dalam pergelutan untuk memilih calon mereka, dan ia akan menjadikan kerajaan Najib kelihatan tidak elok. Namun beliau berkata beliau tidak pernah mencampur tangan autonomi editorial kami. Saya menjawab saya akan menyerah kertas cadangan (proposal) dan membuat keputusan kemudiannya. Beliau tidak menerima dan tidak menolak. Setiausaha beliau, Dayang akhirnya juga memesan agar saya menyiapkan proposal terlebih dahulu.

Setelah bermesyuarat, saya bertemu dengan Tan Boon Kooi, dan saya menceritakan kepadanya keadaan dalam mesyuarat. Tan Boon Kooi berkata, "Sofwan sebenarnya tidak menyampaikan mesejnya dengan jelas, beliau mahu saya menggugurkan topik PRK."

Tan Boon Kooi menambah, "Tahukah kamu? Pada hari Isnin, isteri PM mengadu aktiviti kamu di Pulau Pinang, malah diadu sehingga ke Washingston. Jadi saya berharap kamu menukar topik."

Saya cuba mendapat kesahan daripada Tan Boon Kooi, barulah saya mendapati bahawa isteri PM mendapat aduan daripada orang lain, yang kemudiannya dipanjangkan (forward) kepada pihak atasan syarikat saya. Tan Boon Kooi memberitahu bahawa kandungan aduan tersebut lebih kurang seperti aduan terhadap aktiviti di Kuala Lumpur, "berhubung kait dengan perkauman". Jadi, Tan Boon Kooi bertanya apakah topik yang boleh ditukar untuk rancangan minggu seterusnya.

Saya menganggap PRK sebagai isu yang wajib dibincangkan. Ini kerana pada mulanya, kami telah mencapai muafakat bahawa rancangan ini akan membincangkan isu semasa yang terhangat, lebih-lebih lagi PRK adalah isu yang membabitkan kepentingan awam. Kami akan mendalami perbincangan seandainya kami cuba untuk membicarakannya dari sudut yang berbeza, seimbang dan objektif, malah tidak menyebelahi pihak tertentu. Kami tidak perlu terlalu sensitif kepada aduan yang tidak berasas, lantas menapis sendiri (self-censor) dan tidak membincangkan PRK langsung.

Saya telah menyiapkan proposal saya pada 19 April, dan menyerah kepada pihak atasan untuk mendapat kelulusan agar isu PRK Hulu Selangor dapat dibincangkan pada malam 22 April. Malah, pengacara rancangan, Lee Siad Huey telah membuat liputan di kawasan tersebut. Tetapi Sofwan memanggil saya dan Tan Boon Kooi untuk bermesyuarat pada 2.30pm, 20 April. Dalam mesyuarat tersebut, Sofwan mengarahkan agar Editor's Time tidak membincangkan topik PRK Hulu Selangor. Pertukaran topik rancangan Editor's Time bertujuan "damage control". Saya meneka "damage control" yang dimaksudkan adalah untuk menjaga kepentingan sesetengah parti, jadi ia menentang prinsip rancangan ini, iaitu untuk mendedahkan kebenaran tanpa memihak kepada sesiapa.

Sebagai seorang penerbit, saya menganggap kandungan dalam dua aktiviti yang lalu seimbang dan objektif, malah telah diluluskan oleh Lembaga Penapisan Filem, maka saya tidak melihat apa kewajarannya pihak pengurusan perlu menyekat dirinya dalam hal ini. Saya menganggap Editor's Time tidak melakukan kesilapan, maka tidak harus dihukum dan disekat sebegini. Jadi, saya enggan berkompromi untuk mematuhi dan melaksanakan arahan majikan.

Sebagaimana yang saya maklum, sehingga 21 April, setelah isu PRK Hulu Selangor ditarik, topik yang dibincangkan pada 22 April (malam ini) telah diubah kepada "penembusan parti politik ke dalam pertubuhan Cina". Tetapi pada petang semalam, saya menerima khabar bahawa pihak atasan ntv7 membenarkan agar isu PRK Hulu Selangor dibincangkan. Saya tidak tahu sebab di sebaliknya.

Mungkin perletakan jawatan dan sidang media yang dipanggil hari ini telah memberi tekanan kepada pihak atasan ntv7. Atau mungkin hasil daripada perjuangan rakan sekerja saya dan bos saya. Mungkin kedua-duanya.

Kalaulah perletakan jawatan dan sidang media saya ini memberi tekanan kepada ntv7, yang menjurus kepada mereka untuk memberi laluan agar PRK Hulu Selangor dibincangkan, saya sudi menerimanya dengan hati terbuka. Bagaimanapun, saya hanya boleh meletak jawatan sekali sahaja.

Jadi, saya berharap agar semua pengamal media di Malaysia, termasuk pihak pengurus, termasuk kawan saya dalam ntv7, boleh tampil untuk menyuarakan pandangan diri, untuk mempertahankan autonomi editorial media ketika berdepan dengan campur tangan kuasa luar. Seandainya kita membiasakan diri dengan masalah ini, atau terus mendiamkan diri, maka ia akan mengangguk kepada campur tangan luar dan self-censorship, dan permainan sentimen perkauman oleh pihak luaran.

Sudah lebih 50 tahun perkauman dan self-censorship wujud di negara kita, tak cukupkah? Masihkah kami perlu berpeluk tubuh dan mendiamkan diri, membiarkan ia bermaharajalela?

Dengan ini saya menyeru agar pihak atasan ntv7 menyiasat siapakah orang yang mengadu kepada JPM dan isteri PM? Jangan lepas tangan, tetapi buat laporan polis, agar pihak polis menyiasat secara menyeluruh, untuk menegah kuasa luar daripada campurtangan ke dalam kebebasan media, dan mencegah rasisme daripada terus menular.


(Kenyataan Joshua Wong ini diterjemah dari edisi bahasa Cina) -MR


Ulasan GB

Betapa bangang seorang Timbalan Menteri berhajat untuk membangangkan rakyat.

Kita ingin sekali memberitahu beliau bahawa jika benar, aduan rakyat dijadikan sebab mengapa penerbit NTV7 terpaksa meletakkan jawatannya, maka sudah tentu bukan sekadar Joshua Wong yang berbuat demikian.

Berapa banyak aduan rakyat telah diutarakan mengenai program TV yang senget sebelah, yang diskriminasi terhadap pihak tertentu, yang mengampu dan yang menjurus kepada perbuatan tidak beretika di dalam laporan dengan hanya mementingkan perspektif dari kerajaan untuk sebarang rancangan yang disiarkan?

Ternyata apa yang berlaku ke atas Joshua Wong adalah satu amalan tidak bertamadun di mana pihak kerajaan telah berusaha untuk mengekang dan mengawal seketat-ketatnya rancangan-rancangan televisyen di dalam usaha untuk memperbodohkan rakyat menerusi siarannya.

UMNO BN telah lama melacurkan kebebasan media, namun, di dalam dunia digital kini, di mana rakyat bebas untuk mendapatkan dan membincangkan maklumat tidak akan mampu disekat dengan penyingkiran penerbit-penerbit di stesyen TV. Lebih banyak ia dilakukan akan lebih merudumlah syarikat TV terbabit kerana rasa meluat rakyat terhadap rancangan yang sifatnya mengampu akan terus menerima kritikan dan pemboikotan dari rakyat yang semakin kritikal.