24 Mei 2009

UMNO BN Di Ambang Kehancuran : PPP dan Gerakan Dilanda Gelombang

Barisan Nasional goyah. Dua dari parti komponennya kini menghadapi krisis dalaman parti yang hebat.

Parti Progresif Penduduk (PPP), yang pernah dilanda krisis kepimpinan dua dekad lalu, kini kembali ke era lama apabila kumpulan penyokong Senator T. Murugiah, yang dipecat minggu lalu, memilih beliau sebagai Presiden baru parti itu hari ini.

Ia diputuskan pada Mesyuarat Agung Tahunan Tergempar (EGM). Malah, EGM itu juga melucutkan Datuk M. Kayveas sebagai Presiden.

Ketika mesyuarat ini diadakan Kayveas dikatakan berada di Johor untuk merasmikan persidangan perwakilan negeri itu. Ketika dihubungi Kayveas berkata, beliau tidak akan melayani 'resolusi' yang diluluskan oleh kumpulan tersebut.

"Beliau (Murugiah) boleh melakukan apa yang dia mahu tetapi kami masih menunggu rayuan (berhubung keputusan dilucutkan) beliau, yang perlu dikemukakan sebelum 30 Mei ini," kata beliau sambil menambah, EGM itu bercanggah dengan Akta Pertubuhan.

Ramai penganalisis politik yakin dan percaya terdapatnya dalang yang menunjuk ajar "rampasan kuasa" dilakukan di dalam PPP ini untuk menurunkan Kayveas dan menaikkan Murugiah.

Persoalan kini, siapakah dalang itu?

Sementara itu, di Pulau Pinang pula, Bernama melaporkan keadaan semakin bergelora dalam Gerakan Pulau Pinang selepas empat cawangannya di Machang Bubok, hari ini secara terbuka menggesa pengerusi negeri, Datuk Dr Teng Hock Nam, menyemak semula pilihannya bagi jawatan penyelaras kawasan di kawasan itu.

Jurucakap mereka, Ooi Liang Chai, berkata empat cawangan berkenaan iaitu Permatang Tinggi, Alma, Taman Sri Kijang dan Machang Bubok, mahu Dr Teng mencalonkan seseorang dari Machang Bubok untuk dilantik sebagai penyelaras.

"Kami tidak puas hati dengan keputusannya mencalonkan seseorang dari luar untuk menjadi penyelaras. Sebelum beliau membuat pelantikan itu, beliau sepatutnya merujuk kepada kami. Kami adalah orang tempatan di sini tetapi kami tidak kenal siapa orang ini (dilantik penyelaras)," katanya pada sidang akhbar di pejabat cawangan Gerakan Machang Bubok.

Mereka mendakwa Dr Teng melantik Tan Teik Chuan sebagai penyelaras dan pelantikan itu tidak diterima oleh akar umbi yang menuduh pengerusi negeri itu "mempunyai agenda sendiri dan meminggirkan sesiapa yang tidak menyokongnya".

"Beliau sudah hilang kepercayaan kami. Beliau berkata beliau tidak akan campur tangan dalam pemilihan kami tetapi nampaknya beliau sudahpun campur tangan dengan melantik seseorang yang kami tidak kenal," katanya.

Ooi turut mendakwa cara Dr Teng mengendalikan pelantikan itu akan melemahkan semangat dan usaha ahli parti untuk meraih semula sokongan rakyat di negeri ini.

"Mampukah Gerakan mengambil alih semula negeri ini daripada pakatan pembangkang jika tidak mampu menguruskan hal ehwal parti," katanya dan menurutnya empat cawangan itu akan meminta Dr Teng meletakkan jawatan sebagai pengerusi negeri jika beliau (Dr Teng) enggan melayani permintaan mereka.

Dr Teng, yang juga naib presiden parti, semasa dihubungi enggan mengulas lanjut dan hanya berkata: "Jika anda lihat pada latar belakang mereka, siapa mereka dan apa yang mereka buat, anda akan dapat jawapannya kenapa kami tidak melantik mereka.

"Itu sahaja yang saya ingin katakan. Saya tidak mahu mengulas lanjut mengenai mereka ini," katanya.



Penanti : Cara Kempen Aminah Macam Kempen UMNO

Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini menafikan dakwaan seorang daripada calon Bebas pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti bahawa parti itu memujuk atau memberi ganjaran kepada calon Bebas supaya menarik diri daripada bertanding dalam pilihan raya kecil itu 31 Mei ini.

Ketua Penerangan PKR Tian Chua mencabar mana-mana calon Bebas yang bertanding, termasuk Aminah Abdullah yang membuat dakwaan itu supaya mengemukakan bukti kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), jika benar wujud penyelewengan sedemikian.

“Jika ada sebarang bukti bahawa ada pemimpin atau mana-mana daripada kami (PKR) menawarkan ganjaran kewangan, laporkan kepada SPRM atau SPR,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Aminah semalam yang mendakwa akan mendedahkan bukti bahawa PKR cuba memberi ganjaran kepadanya supaya menarik diri daripada bertanding pada pilihan raya kecil itu yang akan menyaksikan pertandingan empat penjuru.

Aminah, 57, bekas Ketua Wanita Parti Keadilan Nasional (KeAdilan) Pulau Pinang, adalah seorang daripada tiga calon Bebas yang akan bertanding. Dua calon lain ialah Pengurus syarikat yang juga bekas Ketua Pemuda Gerakan Cawangan Telok Wang, Penanti, Nai-Khan Ari a/l Nai Keow, 41 dan pakar motivasi Kamarul Ramizu Idris, 42.

Pengurus pilihan raya kecil Penanti dari PKR Nasaruddin Nasution berkata, dakwaan Aminah itu mungkin disebabkan rasa tidak puas hati dengan mana-mana pihak dalam parti.

Harussani Patut Jadi Calon UMNO Di Manek Uraii

Sebelum ini saya tidak pernah dengar alim ulamak peringkat tertinggi bercakap bahasa yang begitu kasar, keras dan kurang sopan. Tapi hari ini ada rakan menunjukkan halaman 3 Mingguan Malaysia kepada saya sambil berkata, "Harussani pun dah pandai bercakap biadab!"

Saya jadi tercengang dan terkedu. Apa, Datuk Harussani Mufti Perak itu rakan saya kata biadab?

Terkejut saya, eh... tak kan pula Tok Mufti yang menjadi cermin masyarakat pun bercakap biadab! Kalau orang politik cakap biadab, kasar dan kurang sopan, biasalah, tapi Tok Mufti, tak cayalah saya!!

Tapi apabila membaca komen Harussani dalam Mingguan Malaysia mengenai rancangan PR untuk mengadakan mogok lapar, saya juga turut terkejut. Eh, kasarnya Mufti Perak ni....tidak melambangkan bicara seorang mufti langsung! Saya tak berani menyatakan ia di tahap biadap, tapi memang ia sangat kasar!!

Apa kenyataan Harussani yang menyintak hati saya itu? Harussani berkata:

i) "Kenapa hendak datangkan masalah, kalau menang BLAH tidak apa, tetapi apabila kalah hendak bangkang". Tapi ini tidaklah kasar sangat, walaupun masih ada ayat lain yang lebih berhemah lain sesuai dengan kedudukannya sebagai Mufti. Tapi bagaimana dengan ayat yang satu lagi ini....

ii) "DIA PUNYA PASALLAH, tidak ada kena mengena (mogok lapar) dengan hukum Islam"


Saya tidak pernah dengar Mufti lain bercakap gaya bahasa begitu. Mantan Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin yang terkenal berani mengkritik sesiapa saja itu pun menggunakan bahasa yang begitu sopan dan berlapik. Tidak pernah sekali pun setahu saya dia guna ayat BOLEH BLAH, DIA PUNYA PASAL dan sebagainya. Hendak kata kerana Dr Asri ini mufti yang lebih cerdik dari Harussani kerana memiliki Ph. D tidak juga, kerana mufti-mufti negeri lain yang tidak ada Ph. D pun tidak nampak menggunakan bahasa kasar dan kurang sopan seperti itu.

Atau Harussani bergaya kasar dan keras kerana hendak menunjukkan keperibadian seorang bakal ahli politik? Eh...eh..eh Datuk, ada nawaitu nak jadi calon BN di Manek Urai kot? -pendikargunungkriang

Nizar Zambry : Mufti Perak Dicabar Jadi Calon UMNO

Mufti Perak, Harussani Zakaria yang berada di Mekah mengerjakan umrah menggunakan kesempatan beribadah untuk mengkritik satu keputusan politik yang diambil Pakatan Rakyat berhubung mengadakan puasa sunat/mogok lapar selama tiga hari mulai Selasa depan.

Pendirian beliau sebagai seorang ulama terkemuka dan dihormati rakyat Perak selama ini akan terus tercalar dan menghakis saki baki kehormatan yang ada pada beliau apabila kenyataan beliau kebelakangan ini banyak mirip kepada mempertahankan kepentingan Umno dan Barisan Nasional.

Sebelum ini beliau diminta untuk memberi pandangan mengenai penggunaan bomoh untuk menjampi Dewan Undangan Negeri Perak sebelum sidang 7 Mei yang lepas namun beliau memilih untuk membisu seribu bahasa.

Begitu juga sikap beliau yang tidak mahu memberi komen mengenai budaya kuning yang berleluasa semasa penganjuran Jom Heboh di Lumut bulan lalu. Beliau jugalah yang mengeluarkan bahawa acara Jom Heboh tersebut adalah haram di sisi Islam beberapa tahun lalu tetapi menutup mulut apabila Umno dan Barisan Nasional mendalangi rampasan kuasa sejak Februari lalu.

Bagaimana pun Harussani begitu cepat memberi "fatwa" mengkritik tindakan-tindakan pro-rakyat yang diambil oleh Pakatan Rakyat Perak di bawah pimpinan Nizar Jamaluddin.

Seperti keputusan Mahkamah Rayuan yang mmembenarkan permohonan Dr Zambry Abd Kadir untuk menangguhkan keputusan Mahkamamah Tinggi dalam tempoh kurang daripada empat jam setelah permohonan dikemukakan, Harussani juga mengikut jejak langkah yang sama apabila membidas keputusan Pakatan Rakyat itu tidak sampai beberapa jam setelah pengumuman dibuat.

Apabila dihubungi melalui talipon beliau begitu pantas sekali beliau memperlecehkan semangat rakyat Perak untuk menegakkan amalan demokrasi di negeri mereka yang telah dinodai oleh Umno dan BN.

Beliau berkata Pakatan Rakyat sepatutnya menerima keputusan itu dengan hati terbuka dan tidak menimbulkan masalah apabila keputusan itu tidak memihak kepada bekas Menteri Besar.

"Kenapa hendak datangkan masalah, kalau menang belah dia tidak apa tetapi apabila kalah hendak bangkang," katanya ketika dihubungi media semasa berada di Mekah Jumaat lalu.

"Dia punya pasal lah, tidak ada kena mengena dengan hukum Islam tetapi kalau keputusan mahkamah begitu, haramlah hukumnya,".

Harussani lebih senang mengeluarkan fatwa mengharamkan apa sahaja tindakan Pakatan Rakyat yang berjuang untuk rakyat dan memihak kepada keputusan badan kehakiman walaupun keputusannya dipersoalkan banyak pihak.

Mungkin Mufti Perak itu patut dipertimbangkan sebagai calon Umno untuk bertanding di pilihan raya akan datang memandangkan beliau lebih sayang kepada Umno dan BN daripada mempertahankan hak rakyat.


Najib Altantuya Tetiba Tak Senang Mogok Lapar Esok

Pakatan Rakyat Perak akan melancarkan mogok lapar selama tiga hari berturut-turut mulai Isnin depan dalam usaha gerakan rakyat untuk mendesak pembubaran Dewan Undangan Negeri secepat mungkin.

Apatah lagi tekanan rakyat untuk dikembalikan mandat kepada mereka akan bertambah mendesak berikutan keputusan Mahkamah Rayuan memperbaharui lesen Umno dan Barisan Nasional untuk terus menduduki tampuk kerajaan negeri secara tidak sah.

Mogok lapar itu dijangka akan disertai rakyat teramai termasuk umat Islam yang akan mengerjakan puasa sunat bersama-sama demikian dinyatakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Remis, Nga Kho Ming di Pejabat DAP Ipoh pagi semalam.

Nga berkata mogok itu akan bermula pada jam 10.00 pagi hari Selasa 26 Mei dan berakhir pada hari Khamis, 28 Mei pada waktu maghrib di Pejabat PAS Perak. Mereka yang menyertai program itu dibenarkan minum selama setiap 6 jam dan tidak dibenarkan makan dalam tempoh itu sementara bagi umat Islam peraturan puasa akan dipatuhi.

Menteri Besar Rakyat Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddindan Speaker V. Sivakumar dijangka melancarkan mogok lapar/puasa itu di Ipoh dan turut serta dalam program tersebut.

"Ia akan disertai oleh pemimpin-pemimpin Pakatan Perak dan pertubuhan bukan kerajaan yang berminat. Mereka yang berminat boleh menghubungi kami (sekretariat)," kata beliau.

Nizar yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak berkata, mogok lapar yang diadakan adalah "untuk mendapatkan kembali hak rakyat".

Mereka akan mengadakan mogok lapar di Wisma DAP yang terletak berhampiran dengan Bangunan Perak Darul Ridzuan yang menempatkan Pejabat Menteri Besar, Exco dan Dewan Undangan Negeri.

Sementara itu Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak hari ini melahirkan rasa kurang senangnya tindakan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat di Perak untuk mengadakan mogok lapar bagi menggesa Dewan Undangan Negeri (DUN) itu dibubarkan adalah perkara yang tidak wajar dilakukan.

Banyak pihak membidas kenyataan Najib berkenaan kerana beliau tidak ada hak untuk menyekat rakyat Perak untuk berpuasa bagi umat Islam dan menahan lapar dan dahaga bagi bukan Islam esok.

Setelah beliau sendiri terlibat secara terang-terangan mengaturkan konspirasi rampasan kuasa dan juga mengaturkan keputusan mahkamah rayuan kini beliau cuba bertindak menghalang rakyat melakukan ibadah kepada Allah untuk merayu kebenaran dan keadilan.

"Siapa yang tak mengetahui Najib terlibat di dalam mengaturkan keputusan Mahkamah Rayuan sedangkan beliaulah orang yang tersentak dengan keputusan Mahkamah Tinggi dahulu yang memberikan kemenangan kepada Nizar. Beliau telah terang-terangan mengugut rakyat Perak supaya tidak terlalu teruja dengan keptusan itu yang membawa erti belia akan melakukan sesutau untuk menterbalikkan keputusan berkenaan," kata seorang rakyat Perak.

"Apabila UMNO berpaut kepada mahkamah yang boleh disalahgunakan untuk kepentingan mereka, rakyat Perak tiada pilihan kecuali mengharapkan Allah s.w.t. supaya kebenaran dan keadilan itu dapat ditegakkan. Tidak ada siapa lagi percaya kepada institusi kehakiman negara yang dilacurkan oleh Najib dan UMNO," tambahnya.


Malaysia Aman Makmur Tanpa UMNO BN

Proses penamaan calon semalam memang membosankan.. sebab tak ada jeritan–tak ada sorakan. Tengok bola kat TV pun lagi meriah.

Lebih memboringkan apabila pusat penamaan calon dikawal oleh polis.. seolah-olah orang yang datang …macam nak bergaduh.

Apa pun.. setelah selesai Penamaan Calon..Penanti kembali seperti biasa.Aman dan harmoni. Jalan-jalan tak sesak macam PRK Permatang Pauh dulu..cuma nasi kandar tepi masjid kehabisan lauk lebih awal dari biasa.

Disebelah petang..tak ada apa-apa program..dari Guar Perahu hingga Berapit keaadaan macam biasa. Berdekatan Kg. Pelet terdapat satu SUBTEK…satu nama baru dalam pilihanraya kecil. Biasanya terdapat MASTEK…iaitu khemah-khemah nomadic kepunyaan PDRM yang digunakan semasa pilihanraya.

Kehadiran SUBTEK menunjukkan.. polis tidak begitu diperlukan dalam pilihanraya ini. Tetapi mengapa SUBTEK hanya diwujudkan bila UMNO tidak bertanding? Jawapan yang diberikan oleh polis-polis tersebut ialah… bila UMNO bertanding.. kena jaga sebab takut berlaku keganasan. Tapi bila Umno tak bertanding…tak perlu jaga.

Ha..ha. kalau macam tu…UMNO toksah bertanding dalam pilihanraya lagi. Dan memang tak perlu pun…kerana setiap kali Umno bertanding…jutaan ringgit wang rakyat hangus hanya untuk menjaga keselamatan.

Sebelah malam, kami pergi ke Berapit…satu kawasan majoriti orang Cina..tetapi ceramah dipenuhi oleh orang Melayu. Tak ada FRU..tak ada PGA…mungkin ada dua tiga orang SB dan hanya ada 3 orang polis trafik yang hanya memerhatikan keaadaan…kerana lalulintas dikendalikan Angkatan Muda PKR.

Tak ada kekacauan..tak ada Mat Rempit..tak ada pergaduhan. Walaupun ceramah malam tadi dihadiri oleh lebih lima ribu orang…lebih meriah dari Penamaan Calon!

Dan pagi tadi..sebelum meneruskan jelajah Penanti..kami sempat singgah makan tempek kelapa kat Padang Ibu…ada orang panggil lempeng, tepek dan macam-macam istilah lagi.

Bila adik yang menggoreng tempek ni bagitau..sehari dia boleh jual 50-60 keping tempek…itu perkara biasa.

Tapi bila dia kata..pilihanraya Penanti ini macam biasa saja..itu luar biasa. Sebab kebiasaannya…pilihanraya kecil mesti ramai orang.

Umno tak payah bertanding dalam pilihanraya lagi la.

Kehidupan rakyat tidak terganggu…perbelanjaan polis dapat dijimatkan. Duit kerajaan pun selamat dari pembaziran Umno..dan tak ada kekacauan!

Kalau nak lebih selamat..tolak Umno terus. Sebab walaupun di Penanti depa tak kacau…tapi depa kacau tempat lain. Orang pakai baju hitam depa tangkap. Orang pasang lilin depa tangkap. Orang bawa kek pun depa tangkap!!. Mungkin lepas ni orang bawa Pizza pun depa tangkap.

Kalau rakyat mahukan keamanan..hidup tanpa kekacauan..tolak terus Umno.

Anda akan berbahagia tanpanya. -MSK

Tanda Kerajaan UMNO BN Runtuh Apabila Polis Bertindak Tak Ikut Undang-undang

Ramai pengamal undang-undang hari ini mempersoalkan tindakan polis yang telah melakukan pemeriksaan di Ibu Pejabat DAP di Seksyen 20/9 Petaling Jaya petang semalam dan mengambil beberapa bahan bukti termasuk komputer dan perisian yang disyaki digunakan untuk menerbitkan risalah yang mengandungi unsur hasutan.

Polis berkenaan tidak mempunyai sebarang waran siasatan dan polis berkenaan boleh didakwa kerana trespassing (menceroboh).

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri Kampung Tunku, Lau Weng San anggota polis tiba di ibu pejabat DAP kira-kira satu setengah lalu dengan menaiki tiga buah kenderaan.

"Mereka datang dengan tiga kereta dan telah mengelindah pejabat DAP. Serbuan mereka tidak mempunyai waran dan polis juga telah membawa salah seorang kakitangan DAP ke balai untuk siasatan serta merampas peralatan komputer," kata beliau.

Sebelum ini, ADUN Teratai, Jenice Lee, dan 15 lagi yang direman berhubung kes perhimpunan haram di bilik gerakannya kelmarin pada mulanya dijangka akan dibebaskan hari ini.

Justeru ahli parlimen DAP Cheras, Tan Kok Wai bersama kira-kira 30 penyokong tiba di balai polis Pandan Indah, selepas jam 10 pagi tadi, untuk menyambut pembebasan wakil rakyat DAP itu.

Peguam parti itu Wong Kai Phun – yang hadir kira-kira sejam sewaktu ADUN itu memberi keterangan kepada polis – mendapati tempoh reman selama dua hari hanya tamat esok.

Bercakap kepada pemberita, beliau berkata seorang pegawai polis daerah Ampang Jaya, DSP Goh Lee Fook memaklumkan bahawa Jenice dan penyokongnya turut disiasat berhubung kesalahan melanggar Akta Penerbitan dan Mesin Cetak.

Sebelum ini, dalam acara nyalaan lilin di bilik gerakan ADUN tersebut, DAP mengedarkan risalah dua muka berjudul "507 Detik Hitam dalam Sejarah Demokrasi Malaysia!" yang ditulis dalam bahasa Cina.

Banyap pihak menyelar tindakan polis berkenaan dan menganggap ia sebagai penyumbang kepada kejatuhan kerajaan Barisan Nasional akan datang apabila rakyat ditekan dan ditindas serta diperlakukan sewenang-wenangnya oleh pihak polis yang tidak mengikuti undang-undang semasa menjalankan tugas mereka.


UMNO BN Bergantung Nasib Kepada Mahkamah

Pengarah pilihanraya Pusat Saifudin Nasution Ismail berkata bahawa beliau telah menduga dengan keputusan Mahkamah Rayuan Khamis lalu yang memihak kepada Barisan Nasional.

“Ini tidak memeranjatkan setelah melihat pelbagai tekanan diterima oleh Perdana Menteri Najib Razak dimana BN bergantung sepenuhnya kepada jentera kerajaan termasuk polis, tentera, mahkamah dan semua agensi kerajaan untuk memperoleh kuasa,” kata beliau.

Mengulas keputusan Mahkamah Rayuan itu, beliau yang juga Ahli Perlimen Machang berkata Pakatan Rakyat tidak terkejut dengan keputusan tersebut yang menerima permohohonan rayuan Zambry Abdul Kadir bagi membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan Nizar Jamaludin sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

“BN kini sedang diasak oleh krisis keyakinan rakyat terhadap parti tersebut sehingga segala jentera kerajaan sudah tidak lagi dapat berfungsi sebagai badan yang membantu rakyat,” kata Saifuddin yang ditemui ketika hari Penamaan calon di Penanti semalam.

“Kita juga telah lihat bagaimana BN merampas Perak dengan menggunakan pelbagai cara dan kaedah bagi memastikan Perak dirampas dari tangan rakyat maka tak hairanlah juga bagaimana Najib dan BN akan memperlakukan hal yang sama dimahkamah,” jelas beliau.

“Ini disebabkan mereka menyedari bahawa BN tidak mampu lagi untuk mendapat sokongan rakyat. Rakyat telah menolak mereka dalam hampir setiap pilihanraya,” kata beliau.

“Ini berbeza dengan Pakatan Rakyat yang hanya mengharapkan kuasa rakyat untuk memdapatkan kuasa dan sesuai dengan prinsip demokrasi tulin yang mana kita meletakkan kuasa rakyat dihadapan dalam sebarang isu,” jelas Saifudin lagi.

Menurut Saifudin fenomena ini berbeza dengan Pakatan Rakyat yang berjuang bermati-matian untuk mempertahankan kejituan amalan demokrasi yang mendaulatkan mandat rakyat

“Kita sentiasa merujuk kepada mandat dan kehendak rakyat kerana pemimpin yang kita lahirkan adalah dari sokongan rakyat. Rakyat adalah pemimpin kita dan perjuangan pakatan rakyat untuk memulangkan semua kuasa itu kepada rakyat.

“Kita juga akan pertahankan hak rakyat serta akan mencabar dan sanggup lakukan apa sahaja pengorbanan untuk kepentingan hak rakyat,” jelas Saifudin.

Menyentuh mengenai kenyataan pemimpin-pemimpin BN yang menganggap pilihanraya Penanti diadakan ekoran masalah dalaman Pakatan Rakyat, Saifudin berkata kenyataan itu tidak benar.

“Kalau benar kenyataan pemimpin-pemimpin BN itu mereka boleh datang dan lihat sendiri bagaimana hari ini semua pemimpin -pemimpin Pakatan Rakyat berada di Penanti untuk menyatakan sokongan tidak berbelah bagi kepada calon KeADILan di sini, ” kata Saifudin. -sk


Nizar Zambry : Sokongan Kepada Nizar Semakin Meningkat Pasca Keputusan Mahkamah Rayuan

Bukannya mahu merendah-rendahkan keputusan Mahkamah Rayuan Jumaat lalu yang memihak Dr Zamry Abdul Kadir. Apatah lagi untuk memperlekehkan penghakiman yang membatalkan keputusan hakim Mahkamah Tinggi, Dato' Abd Aziz Abd Rahim yang mengesahkan kedudukan asal Ir Mohammad Nizar Jamaluddin.

Namun yang lebih penting, apakah persepsi rakyat terhadap peristiwa rampasan kuasa oleh BN, yang didalangi Najib Razak, bagi menggulingkan kerajaan Pakatan Rakyat, awal Februari lalu, dapat diubah?

Mampukah keputusan panel tiga hakim yang mendengar rayuan tersebut, iaitu Dato' Md Raus Sharif, Dato' Zainun Ali dan Dato' Ahmad Maarop, dapat meredakan ketegangan politik yang semakin membahang di sana, terutama selepas Dun Perak bersidang secara tidak sah sehingga Speaker V Sivakumar dicekik, dihumban keluar, dikurung dalam stor dan "dilucutkan jawatan"?

Bukankah sejak awal beberapa penganalisis dan tokoh akademik terkemuka menyifatkan krisis di Perak tidak mampu diselesaikan melalui proses undang-undang, malah ia menyebabkan martabat mahkamah semakin dipersenda? Situasi rumit dan sulit menjadi makin berserabut.

Tanggapan rakyat bahawa BN telah melakukan aksi tidak bertamadun, mencemar institusi demokrasi dan secara gopoh-gapah serta terburu-buru meragut kuasa daripada Pakatan Rakyat terus tertanam kukuh.

Sementara Zamry dianggap wakil mahkamah, selain diperolok-olokkan melalui jenaka SMS tentang "lelongan Zamry, bukan Camry", Nizar pula menempah populariti lebih tinggi di kalangan rakyat. Hanya mengharapkan dokongan pasukan keselamatan dan mahkamah bagi mengesahkan kedudukannya sebagai Menteri Besar boleh mengundang padah dari segi demokrasi.

Rakyat yang kian celik politik tentunya tidak mudah untuk dipaksa dan disumbat dengan keputusan mahkamah yang dilihat umum sebagai tidak mencerminkan keadilan dan kesaksamaan.

" kata seorang profesor sains politik. ""Biar kalah hari ini, tapi pada pilihan raya umum akan datang, yang tidak dapat tidak mesti diadakan juga nanti, Nizar dan Pakatan Rakyat, insya-Allah beroleh kejayaan lebih gemilang,Saya yakin, persepsi rakyat tidak akan berubah dengan keputusan Mahkamah Rayuan itu. Mereka masih beranggapan tindakan BN merampas kuasa sebagai tidak sah dan salah menurut peraturan dan undang-undang."

"Kenapa mahkamah seperti histeria lagaknya, nampak terlalu obses dengan kes ini, walhal bagi saya, inti kepada krisis politik di Perak adalah bermula dengan tuduhan rasuah kepada dua Adun KeADILan ketika itu, yang kini melompat jadi Adun bebas yang menyokong kuat BN? Bagaimana kedudukan kes berkenaan, apa sudah jadi? Orang ramai juga nak tahu di mana perginya penyiasat bebas P Balasubramaniam dalam kes liwat terbaru Anwar Ibrahim?" ujar profesor yang tidak mahu disebut namanya itu.

Selagi BN terus berdegil untuk tidak menasihatkan Sultan Perak membubarkan Dun, datanglah apa juga penghakiman pun, ia pasti tidak berupaya untuk merongkai konflik yang bertambah parah ini. Hakikat ini bukan sahaja diakui pimpinan Pakatan Rakyat malah dituntut oleh Suhakam dan juga pemimpin komponen BN sendiri, selain tokoh-tokoh ternama politik, termasuk Tengku Razaleigh Hamzah.

Semakin BN menolak cadangan pembubaran Dun, maka makin tergambar jelas bahawa mereka begitu takut dan gentar untuk berdepan suara rakyat bagi mendapat mandat baru. Mana mungkin sebuah parti politik yang mengaku gagah-perkasa tiba-tiba menikus dan takut untuk mendapat mandat baru daripada rakyat?

Walaupun 3 hakim memihak BN, Najib pasti akan kalah dalam mahkamah rakyat, dan inilah yang paling digeruninya. Hasilnya, integriti dan kewibawaan badan kehakiman kita akan terus dipersoalkan, manakala keyakinan dunia terhadap proses keadilan di Malaysia terus merudum. -Ahmad Lutfi Othman

Nizar Zambry : UMNO BN Tidak Akan Bubarkan DUN

Parti Keadilan Rakyat (PKR) yakin Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak tidak akan dibubarkan pada masa terdekat kerana Barisan Nasional (BN) takut berhadapan dengan rakyat dalam pilihan raya.

Ketua Penerangan PKR, Latheefa Koya berkata, mustahil BN memilih jalan penyelesaian dengan membubarkan DUN Perak untuk mengadakan pilihan raya kerana mereka sendiri berasa tidak yakin untuk menang.

“Saya percaya majoriti pemimpin BN mempunyai pendapat sama iaitu tiada jalan keluar dalam menyelesaikan isu Perak selain pembubaran DUN.

“Namun, Presiden BN, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak akan memilih jalan tidak menguntungkan parti kerana gejala simptom takut menghadapi pilihan raya dan rakyat masih menghantui BN,” katanya semalam.

Menurutnya, keengganan BN meletakkan calon pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti jelas menunjukkan mereka 'trauma' dengan kekalahan.

“Mereka telah mengambil jalan mengaku kalah sebelum bertanding, inikan pula menghadapi pilihan raya di seluruh Perak. Tetapi jika BN inginkan masalah kemelut ini selesai, inilah jalan paling sesuai," katanya.

Menurutnya, tanpa pembubaran DUN, kemelut Perak tidak akan berjaya diselesaikan jika tidak mengembalikan kuasa kepada rakyat kerana penyelesaian melalui mahkamah dilihat semakin menambahkan lagi konflik.

Nizar Zambry : Apabila Hakim Bukan Lagi Yang Arif

Benarkah tidak ada rampasan kuasa di Perak? UMNO menafikan adanya rampasan kuasa, kerana menurut para pemimpin UMNO semuanya dilakukan menurut prinsip-prinsip demokrasi dan mengikut undang-undang. Tetapi rakyat nampaknya tetap menolak ketetapan UMNO dan sekutunya, kerana menurut rakyat terdapat unsur samseng dalam menentukan prinsip demokrasi tadi.

Tiga orang ahli DUN yang berpaling tadah kerana sebab-sebab peribadi, dengan gesaan dan sokongan dan “paksaan” UMNO, telah berjaya menimbulkan kelam-kabut di Perak dengan sokongan dan dukungan UMNO sepenuhnya.

Yang paling menarik dalam kes ini ialah undang-undang dan mahkamah yang melaksanakan undang-undang menyerlahkan wajahnya yang paling murni dan benar, yang sungguh menggembirakan UMNO yang sejak berkuasa mulai Ogos 1957 telah membuat undang-undang baru dan mengubah undang-undang yang ada untuk memastikan wajah UMNO selalu ceria dengan senyuman setiap kali keputusan dibuat oleh para hakim di mahkamah mereka.

Dalam kes Perak, rampasan kuasa (atau peralihan kuasa dalam bahasa yang lunak, yang tidak berjaya menutup hakikat maksud rampasan kuasa itu) sudah jelas dibenarkan asal saja sesuai dengan undang-undang dan Perlembagaan.

Banyak kes yang berlaku di Malaysia, dan dalam menentukan kes Perak, kes-kes rampasan kuasa itu dijadikan panduan dalam membuat keputusan, seperti yang jelas dalam keputusan Mahkamah Rayuan yang memakai kes-kes itu.

Jadi dari segi undang-undang, tidak ada rampasan kuasa seperti tidak adanya penipuan dalam bentuk apa sekali pun, walaupun perbuatan yang dibenarkan itu seratus peratus adalah penipuan yang terang-terangan. Jika anda faham hujah ini, anda akan mengerti mengapa Rasulullah SAW menegaskan, sekiranya Fatimah anak Muhammad mencuri, nescaya tangannya dipotong.

Perkara ini disebutkan di sini kerana dalam Islam keadilan tidak memilih pihak tertentu yang boleh dikecualikan; seperti yang sering berlaku dalam mahkamah. Dalam kes Perak, sudah jelas hakim mahkamah tinggi tidak tahu membaca undang-undang dan agak keliru dalam memahami situasi politik sebenar. Itulah keputusan tiga orang hakim Mahkamah Rayuan, yang melontarkan dengan angkuh keputusan Mahkamah Tinggi dengan alasan yang cukup memalukan, iaitu hakimnya telah melakukan kesalahan. Bolehkah hakim yang bersalah dihukum? Tidak boleh.

Yang terjadi ialah pihak yang menuntut keadilan akan kehilangan keadilan yang terawang-awang pada peringkat awal, kemudian “keadilan” itu berpindah ke tangan lain (yang berlengas dengan tahi ayam busuk ketika menyerang raban DUN Perak mencuri ayam yang boleh dicuri) dalam sekelip mata. Jika hal ini terjadi dalam sebuah drama, atau melodrama sekali pun, tentu penonton akan menjeritkan “Mana boleh begitu, tak masuk akal!” Tetapi logik drama tidak sama dengan logik undang-undang.

Oleh itu seorang hakim yang tidak arif (meskipun digelar Yang Arif) seperti dalam kes Perak ini boleh dijadikan arif dengan mengetepikan keputusannya oleh sekumpulan hakikm lain yang lebih arif dalam erti yahng lebih luas (yakni tidak semestinya dalam undang-undang saja). Oleh itu drama dalam undang-undang jauh lebih menarik daripada drama yang dipentaskan secara olok-olok di Istana Budaya sebagai sebuah cerita. Itulah sebabnya orang tua-tua kita bercerita dalam dongeng mereka tentang Hakim Beruk yang bijaksana itu. Cerita itu tetap memikat kita semua kerana peristiwa itu diulang setiap masa sepanjang zaman.

Yang boleh dilakukan rakyat hanya tertawa melihat kebijaksanaan Hakim Beruk menipu dua orang petani yang menyerahkan pisang besarnya untuk dihakimi oleh beruk. Keputusan beruk untuk memakan pisang itu semuanya adalah bijak, kerana itulah makanannya. Seperti ular menelan katak dalam lagu “Bangau Oh Bangau”. Itulah hakikat undang-undang dan keadilan yang disahkan sama ada dalam Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri.

Ke mana pun kita tarik makna keadilan itu, rakyatlah sebenarnya yang menentukan keadilan untuk mereka, kerana merekalah yang memilih pembuat undang-undang. Oleh itu janganlah salahkan pemimpin atau kakitangan kerajaan dan sesiapa sekali pun, termasuk para hakim yang arif, jika mereka berasa tertipu dalam sandiwara Hakim Beruk yang diceritakan oleh datuk nenek mereka. [23/5/2009] -Mohd Affandi Hassan


UMNO Parti Bertaraf Parti Bebas - TG Nik Aziz

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan bahawa kesemua Menteri Besar yang dilantik di negeri-negeri adalah dengan mandat yang diberikan oleh rakyat.

Menurutnya, keputusan yang dibuat Mahkamah Rayuan semalam mengisytiharkan Dato' Seri Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar adalah membuktikan bahawa ianya tidak berpandukan kepada mana-mana sistem iaitu Islam ataupun demokrasi.

"Kesemua Menteri Besar di Malaysia ini memegang jawatan ini kerana undi yang diberikan rakyat kepada kami, bukan keputusan mahkamah yang memutuskannya," katanya pada satu sidang media selepas merasmikan sambutan jubli perak kepimpinan ulama di Markaz Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar Gombak dekat sini.

Beliau juga mendakwa bahawa sekiranya kaedah 'rampas kuasa' yang dilakukan Umno-BN ke atas kerajaan Perak 'dihalalkan', maka ini bermakna ia mungkin akan dilaksanakan di negeri-negeri lain selepas ini.

"Selepas berjaya dibuat di Perak, maka ia akan dibuat di negeri-negeri lain pula selepas ini.

"Cara apakah ini? Islam pun tidak, demokrasi pun tidak," tegasnya.

Malah menurutnya, Menteri Besar Perak sebelum ini, Dato' Seri Mohd Nizar Jamaludin mengambil jalan yang betul dengan mengadap Sultan Perak untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri.

Ditanya mengenai keputusan Mahkamah Rayuan semalam yang berpihak kepada BN, beliau menyifatkan parti itu sebagai satu gerombolan dan bukan sebuah parti politik.

"Umno sekarang bukan lagi sebuah parti politik sebaliknya ia sebuah gerombolan pemikiran sahaja," katanya lagi.

Menjawab soalan pemberita mengenai kenyataan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib mengenai hasrat BN untuk bertanding di Manek Urai, pihaknya menyifatkan kenyataan tersebut mencerminkan parti itu sebuah parti bertaraf parti Bebas.

"Bila dia tidak mahu bertanding di Penanti, maka ia jadi taraf sebuah parti Bebas, tetapi selepas timbalan dia menyatakan bahawa dia akan bertanding di Manek Urai bermakna dia telah sedar akan taraf sebenar parti itu.

"Kenyataan yang dibuat Najib dan pemimpin BN sebelum itu membuktikan rendahnya moral dan maruah parti tersebut apatah lagi dengan keengganan mereka untuk bertanding di Penanti," ujarnya lagi.

Beliau yang juga merupakan Menteri Besar Kelantan menjelaskan bahawa PAS mempunyai senarai calon yang ramai untuk mengisi kekosongan pada pilihan raya kecil Dun Manek Urai nanti.

"Kita mempunyai senarai yang panjang kerana terdapat calon yang ramai dan insya-Allah ia adalah orang tempatan," demikian ujarnya.

Turut hadir pada sidang media tersebut, Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato' Dr Haron Din. - mks._

Penanti : Kemenangan Pakatan Rakyat Cerah Bila UMNO Takut Bertanding

Sekiranya bilangan penyokong menjadi kayu ukur undi yang bakal diraih dalam pilihan raya kecil N12 Penanti, Parti Keadilan Rakyat yakin kemenangan dipihaknya.

Sejak seawal jam 7.00 pagi lagi, kira-kira seribu penyokong PKR dan Pakatan Rakyat berhimpun di jawatankuasa daerah mengundi (JDM) Mengkuang, yang terletak beberapa meter dari Institut Kemahiran Belia Negara Berapit.

IKBN kali ini dipilih Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia sebagai pusat penamaan calon dan pusat pengundian bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Penanti.

Calon PKR, Dr Mansor Othman yang berpakaian baju Melayu warna biru muda bertolak dari Yayasan Aman di Penanti sekitar jam 7.00 pagi dengan diiringi Naib Presiden, Azmin Ali dan lima buah kereta.

Perjalanan menuju ke JDM Mengkuang berjalan lancar dengan kampong-kampong disepanjang destinasi ke IKBN dihiasi bendera biru, merah dan putih serta kain rentang dan poster menyatakan sokongan kepada Dr Mansor.

Ketua Umum Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Selangor Khalid Ibrahim tiba tidak lama kemudian diikuti Bendahari Pas Dr Hatta Ramli dan pimpinan Pakatan Rakyat yang lain.

Sekitar jam 8.30 Dr Mansor Othman diiringi ke IKBN disambut oleh kira-kira 300 penyokong yang sudah pun berkumpul di hadapan IKBN menyambut kedatangan calon PKR.

Sehingga pukul 9.00 pagi, jumlah penyokong PKR melonjak kepada 2,000 orang dengan masing-masing membawa bendera PKR, PAS atau DAP.

Tidak kurang juga yang menggantung baju hitam di atas kayu tanda pekabungan ke atas kematian demokrasi di Perak.

Kira-kira 500 polis dari pelbagai unit berkawal di sekeliling IKBN sementara sebuah helikopter dengan ketumbukan kecil Light Strike Force diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga.

Laungan ‘bubar DUN Perak’ dan ‘hidup Nizar’ memecah keheningan pagi menandakan ketibaan Menteri Besar Nizar Jamaluddin.

Tidak lama kemudian, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng danKetua Parlimen DAP, Lim Kit Siang turut bersama-sama 1,000 penyokong berarak dari Pejabat Operasi Utama DAP di Berapit.

Sekitar 10 pagi seramai kira-kira 4,000 penyokong Pakatan Rakyat telah membanjiri kawasan IKBN. Kemeriahan suasana agak hambar tanpa pesaing utama, Barisan Nasional.

Calon bebas Aminah Abdullah tiba kira-kira pukul 9.02 pagi bersama 10 ahli keluarga beliau dan 12 minit kemudian, Mohd Saberi Othman pula tiba dengan berpakaian merah garang.

Kamarul Ramizu Idris, bekas calon bebas pilihan raya Parlimen Bukit Gantang tiba seminit kemudian bersama pembantu beliau.

Proses penamaan bermula pukul 9.00 pagi dan tepat 12 tengahari, pegawai SPR Roslan Yahaya mengumumkan Mohd Saberi tidak layak bertanding atas alasan teknikal. SPR kemudiannya mengumumkan pilihan raya kecil Penanti akan menyaksikan perlawanan 4 penjuru.

Jurucakap pemantau pilihan raya, Malaysian for Free and Fair Election (Mafrel), Jamaluddin Abdullah berkata Mafrel berpuas hati tiada sebarang kejadian buruk berlaku hari ini.