24 Mei 2009

UMNO BN Di Ambang Kehancuran : PPP dan Gerakan Dilanda Gelombang

Barisan Nasional goyah. Dua dari parti komponennya kini menghadapi krisis dalaman parti yang hebat.

Parti Progresif Penduduk (PPP), yang pernah dilanda krisis kepimpinan dua dekad lalu, kini kembali ke era lama apabila kumpulan penyokong Senator T. Murugiah, yang dipecat minggu lalu, memilih beliau sebagai Presiden baru parti itu hari ini.

Ia diputuskan pada Mesyuarat Agung Tahunan Tergempar (EGM). Malah, EGM itu juga melucutkan Datuk M. Kayveas sebagai Presiden.

Ketika mesyuarat ini diadakan Kayveas dikatakan berada di Johor untuk merasmikan persidangan perwakilan negeri itu. Ketika dihubungi Kayveas berkata, beliau tidak akan melayani 'resolusi' yang diluluskan oleh kumpulan tersebut.

"Beliau (Murugiah) boleh melakukan apa yang dia mahu tetapi kami masih menunggu rayuan (berhubung keputusan dilucutkan) beliau, yang perlu dikemukakan sebelum 30 Mei ini," kata beliau sambil menambah, EGM itu bercanggah dengan Akta Pertubuhan.

Ramai penganalisis politik yakin dan percaya terdapatnya dalang yang menunjuk ajar "rampasan kuasa" dilakukan di dalam PPP ini untuk menurunkan Kayveas dan menaikkan Murugiah.

Persoalan kini, siapakah dalang itu?

Sementara itu, di Pulau Pinang pula, Bernama melaporkan keadaan semakin bergelora dalam Gerakan Pulau Pinang selepas empat cawangannya di Machang Bubok, hari ini secara terbuka menggesa pengerusi negeri, Datuk Dr Teng Hock Nam, menyemak semula pilihannya bagi jawatan penyelaras kawasan di kawasan itu.

Jurucakap mereka, Ooi Liang Chai, berkata empat cawangan berkenaan iaitu Permatang Tinggi, Alma, Taman Sri Kijang dan Machang Bubok, mahu Dr Teng mencalonkan seseorang dari Machang Bubok untuk dilantik sebagai penyelaras.

"Kami tidak puas hati dengan keputusannya mencalonkan seseorang dari luar untuk menjadi penyelaras. Sebelum beliau membuat pelantikan itu, beliau sepatutnya merujuk kepada kami. Kami adalah orang tempatan di sini tetapi kami tidak kenal siapa orang ini (dilantik penyelaras)," katanya pada sidang akhbar di pejabat cawangan Gerakan Machang Bubok.

Mereka mendakwa Dr Teng melantik Tan Teik Chuan sebagai penyelaras dan pelantikan itu tidak diterima oleh akar umbi yang menuduh pengerusi negeri itu "mempunyai agenda sendiri dan meminggirkan sesiapa yang tidak menyokongnya".

"Beliau sudah hilang kepercayaan kami. Beliau berkata beliau tidak akan campur tangan dalam pemilihan kami tetapi nampaknya beliau sudahpun campur tangan dengan melantik seseorang yang kami tidak kenal," katanya.

Ooi turut mendakwa cara Dr Teng mengendalikan pelantikan itu akan melemahkan semangat dan usaha ahli parti untuk meraih semula sokongan rakyat di negeri ini.

"Mampukah Gerakan mengambil alih semula negeri ini daripada pakatan pembangkang jika tidak mampu menguruskan hal ehwal parti," katanya dan menurutnya empat cawangan itu akan meminta Dr Teng meletakkan jawatan sebagai pengerusi negeri jika beliau (Dr Teng) enggan melayani permintaan mereka.

Dr Teng, yang juga naib presiden parti, semasa dihubungi enggan mengulas lanjut dan hanya berkata: "Jika anda lihat pada latar belakang mereka, siapa mereka dan apa yang mereka buat, anda akan dapat jawapannya kenapa kami tidak melantik mereka.

"Itu sahaja yang saya ingin katakan. Saya tidak mahu mengulas lanjut mengenai mereka ini," katanya.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.