5 Ogo 2015

GHB Akan Perkukuhkan Ukhwah Islamiah Dan Tolak Rasisme

Kelainan politik Gerakan Harapan Baru Oleh A Shukur Harun

Jika tiada apa-apa halangan, awal September ini, Gerakan Harapan Baru (GHB) akan menjadi sebuah parti politik baharu Malaysia dan tentunya akan memeriahkan lagu demokrasi di negara ini.

Lebih-lebih lagi kelahiran entiti baharu di pentas politik Malaysia ini datang dengan segala keistimewaan dan cabaran, membawa sebuah idealisme yang GHB sangat murni.

Ia sangat dialu-alukan oleh pelbagai pihak.

Parti baharu ini, yang akan diberi nama rasmi nanti, didukung oleh tokoh akademik, agamawan yang progresif, ahli politik veteran yang sangat berpengalaman serta pemikir yang membawa sebuah idealisme untuk mendepani cabaran baik di segi politik, ekonomi, pendidikan, tadbir urus negara dan segalanya.

Idealisme ini yang akan direalisasi oleh tokoh parti baharu ini dengan pendekatan demokratik dan terbuka dengan berpandukan kepada kesyumulan Islam sebagai ‘Rahmatan Lil-Alamin (rahmat seluruh alam).

Ini ditegaskan beberapa kali oleh pemimpin parti baharu ini – Mohamad Sabu, Dr Dzukefly Ahmad, Datuk Dr Muhajid Yusuf Rawa, Khalid Samad dan Datuk Seri Nizar Jamaludin – dalam pelbagai ucapan, tulisan dan kenyataan mereka.

Walaupun tidak diberikan jenama Islam, tetapi akar tunjang parti baharu ini akan memancarkan dimensi Islam yang syumul, lengkap; anjal dan sesuai dengan segala zaman dan keadaan.

Pendekatan kami, kata adalah bersifat inklusif iaitu menggembleng seluruh tenaga umat dan rakyat, merentasi kaum, agama dan budaya.

Jadi hasil akhirnya menyaksikan Islam yang sifatnya inklusif itu dapat kami terjemahkan dalam wadah politik ini dan bukan hanya apa yang dikatakan sebagai kelompok yang kecewa. Inilah kelainannya wadah politik yang baharu ini.

GHB memelihara huquq al-insan (hak asasi manusia) berteraskan kemuliaan yang diiktiraf Allah, sekali gus menyatukan warga besar rakyat Malaysia dalam unjuran “ukhuwwah insaniyyah” (persaudaraan umat) serentak menolak pelbagai amalan perkauman dan rasisme, kata Dzulkefly.

GHB berusaha menterjemahkan Islam sebagai rahmat buat seluruh alam dengan meletakkan agenda peduli rakyat sebagai tunggak utama aktivisme serta merangkumi semua aspek kehidupan nasional dan kenegaraan.


Parti ini juga komited meneruskan legasi perjuangan politik Islam yang ditunjukkan Allahyarham Yusuf Rawa, Allahyarham Datuk Fadzil Mohd Noor dan Allahyarham Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat dalam menerokai ruang politik Islam yang menyeluruh, progresif dan inklusif.

Menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), GHB meneruskan momentum perubahan politik atas dasar tahaaluf yang jujur dan komited dalam perkara yang disepakati bersama rakan parti politik – PKR dan DAP, serta sinergi dengan mana-mana NGO dan segmen masyarakat merentasi garis ideologi.

Pendekatan dan tindak balas GHB bersifat tidak jumud tetapi dinamis selari dengan realiti semasa dan setempat serta sederhana (wasatiyyah) namun tetap tegas dan berpegang kepada prinsip.

Ia komited dengan politik baharu, Maka GHB berpaksi kepada politik yang berasaskan ilmu dan akhlak, serta bersedia mewujudkan budaya yang mampu mengurus perbezaan dalam perlaksanaan prinsip hak bersuara dan tuntutan kesaksamaan.

Inilah asas atau akar tunjang dari dasar parti baharu ini yang digariskan oleh Dzulkefly, yang dilihat berusaha menterjemahkan keagungan Islam dengan segala keramahan dan kepeduliannya kepada nasib rakyat berbilang kaum.

Tidak benar sebarang anggapan kononnya pengasas GHB ini sebagai “golongan yang gugur di jalan dakwah”, iaitu suatu frasa dan istilah yang disebut dalam beberapa buku tulisan tokoh Ikhwanul Muslimin.

Ini kerana suasana dan keadaan berbeza dengan di Malaysia. Lebih-lebih lagi pendukung gerakan ini berusaha menyambung perjuangan di jalan dakwah dalam bentuk yang lebih terbuka, di mana asasnya perjuangan itu tetap unggul. Tentunya bukan lari dari jalan dakwah.

Segala perubahan dan perbezaan di jalan dakwah ini telah dihuraikan oleh Prof Dr Yusuf Al-Qardhawi dalam bukunya “Fiqhul Jihad” dan beberapa bukunya yang lain.

Lebih menarik di negara ini sendiri ramai agamawan muda yang progresif dan terbuka muncul menghuraikan persoalan ini dan ini sangat menolong ke arah pencerahan akan erti jemaah Islam, konsep dan jalan dakwah dengan segala persoalannya.

Saya kira, ini memudahkan lagi pendukung Harapan Baru menghuraikan persoalan perjuangan umat Islam ini secara lebih terbuka dan rasional di mana tidak ada mana-mana golongan yang kononnya berhak mendakwa merekalah saja yang berkuasa dalam perjuangan Islam ini.

Oleh itu, perjuangan GHB ini sewajarnya diteruskan. Jangan lagi pandang ke belakang atau melayan pelbagai teguran dan andaian konon parti baru ini tidak akan panjang umur, pemecah-belah, golongan orang yang kecewa kerana ditewaskan dan pelbagai lagi. Kehadiran dan prestasi parti baharu ini akan menjawab semua andaian dan prasangka ini.

Dari pengamatan saya menghadiri beberapa “road-show” GHB mendapati golongan anak muda paling ramai menghadirinya dan laporan yang diterima juga mendapati anak muda dan masyarakat bandar paling ramai memberi sokongan kepada gerakan ini. Baju kuning GHB sudah semakin popular dipakai orang ramai.

Di belakang layar, pimpinan GHB dan aktivisnya yang kebanyakannya golongan profesional sedang bertungkus lumus membuat persiapan menjelang perasmian parti baharu ini.

Diyakini parti baharu ini akan didukung oleh demikian ramai golongan profesional di samping agamawan progresif dan terbuka. Dalam masa yang sama golongan ahli politik veteran juga ramai yang menyokong.

Ini membuktikan parti baharu ini mewakili pelbagai golongan progresif dan terbuka di samping sokongan daripada kalangan bukan Islam yang semakin menyerlah.

Semoga parti baharu ini akan menjadi parti besar, teguh dan peramah serta benar-benar menjadi harapan rakyat pelbagai kaum dan agama.





ULASAN GB

GHB muncul ketika mana PAS sudah menjadi seperti UMNO (jika pun tidak telah menggantikan UMNO) ketika mana ia kini mengambil pendekatan rasisma (perkauman)....

Kerana kegagalan untuk menerangkan hudud kepada bukan-Islam khususnya DAP dengan cara berhikmah sepertimana yang disuruh oleh Allah dan Rasul, PAS mengambil sikap untuk memutuskan tahaluf siyasi dengan mereka.

Arahan Allah di dalam Al-Quran adalah jelas:

Allah Ta’ala berfirman:


“Serulah (manusia) kepada jalan Rabbmu dengan hikmah (lemah lembut) dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik.” {Surah An-Nahl: 125]

“Disebabkan rahmat Allah-lah engkau berlemah lembut. Sekiranya engkau berkeras hati nescaya mereka akan lari dari sekitarmu. Maafkanlah mereka dan minta ampun untuk mereka. [Surah Ali-Imran 3:159]

Di dalam satu hadith Abu Hurairah radhiallahu anhu berkata:

“Seorang ‘Arab badui berdiri dan kencing di masjid. Maka para sahabat ingin mengusirnya. Maka Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam pun bersabda kepada mereka, “Biarkanlah dia dan siramlah bekas kencingnya dengan setimba air -atau dengan setimba besar air. Sesungguhnya kalian diutus untuk memberi kemudahan dan tidak diutus untuk memberi kesusahan.” (HR. Al-Bukhari no. 323)

Wahai PAS, apa dalil yang kamu ada (mengikuti jejak langkah UMNO) untuk memaki dan mencerca DAP sedangkan si Badui yang kencing di masjid itu pun dihalang oleh Rasulullah untuk diambil tindakan ke atasnya?





IKLAN BERBAYAR







[BERGAMBAR] "Derma RM2.6 Bilion" Jadi Bahan Jenaka & SIndiran Terbesar 2015

Mufti, aktivis dan netizen sindir isu derma RM2.6 bilion

Laman sosial seperti Facebook dan Twitter dipenuhi dengan pelbagai sindiran yang mengajak orang ramai saling menderma wang ke dalam akaun peribadi masing-masing.

Ia ekoran pengesahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai dana RM2.6 bilion yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai sumbangan derma.

Individu berpengaruh seperti Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin misalnya memuatnaik status Facebook menyatakan semakin ramai rakyat Malaysia ingin menderma.

“Baca media sosial jelas semangat rakyat Malaysia hendak menderma dengan jumlah yang luar biasa…tahniah semua !!!,” tulisnya.

Sementara itu, bekas Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Nakhaie Ahmad pula meyindir supaya lembaga zakat berusaha lebih keras untuk mengutip derma lebih RM1 bilion.

“Lembaga Zakat seluruh negara perlu berkerja lebih gigih supaya dapat menebus malu mereka.

“Rukun Islam yang wajib pun belum dapat dikutip melebihi RM1 bilion. Orang lain boleh kutip derma hingga RM2.6 bilion. Tak malu ke?,” sindirnya di Facebook.

Manakala anak kepada bekas Perdana Menteri Tun. Dr. Mahathir Mohamad, Marina Mahathir pula berkongsi sebuah pautan statistik yang mendedahkan jumlah sumbangan derma yang dikutip oleh parti politik di United Kingdom pada suku pertama tahun 2015 yang hanya mencecah RM182 juta.

“Pada kadar nilai hari ini, jumlah derma kepada semua parti politik di UK pada suku pertama 2015 (hanya beberapa lama sebelum mereka menghadapi pilihanraya umum) mencecah RM182 juta. Parti Conservative sahaja memperoleh kira-kira RM92 juta. Agaknya our contacts are better kot?,” sindirnya.

Pautan yang dikongsi iaitu electoralcommission.org.uk mendedahkan secara terperinci jumlah derma yang diterima sejak tahun 2001.

Di samping itu, tinjauan FMT juga mendapati kebanyakan netizen yang tidak percaya dana itu sebagai sumbangan derma meluahkan perasaan tidak puas hati dengan kata-kata sindiran yang berbentuk kutukan dan lucu selain mempersoal identiti penderma itu.

“Maybank Acc: 564548128148. Untung-untung bangun pagi nanti dah ada RM2.6 bilion dalam akaun sumbangan dari penderma rahsia. Selamat malam!,” tulis Oh Media.

“Pergh derma ja RM2.6 bilion. Siapa-siapa yang nak tolong aku dermakan dekat akaun maybank aku 164557144444. Aku layak trima zakat kerana banyak hutang dan selalu bermusafir,” tulis Nizam Kedai Buku pula.

“Kalau penderma rahsia..macam mana dia boleh tahu no akaun Najib..ishh3…,” tulis Insan Yang Hina.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Isnin mengesahkan RM2.6 bilion yang masuk ke dalam akaun Najib adalah sumbangan perderma dan bukan daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB). -FMT


Netizen guna #derma sindir isu RM2.6 bilion

ISU berkaitan dana RM2.6 bilion yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bukan sahaja menjadi perbualan hangat di kedai-kedai kopi bahkan ada yang menjadikannya bahan 'troll' di media sosial.

Menggunakan #derma, pengguna di laman mikro Twitter dan Facebook yang nyata tidak berpuas hati dengan dapatan siasatan berkaitan dana itu meluahkan perasaan tidak senang di laman sosial masing-masing.

"Ada ke orang #derma dekat aku ni #2.6 bilion. Bank hadkan pengeluaran," tulis pengguna Twitter menggunakan akaun Jyundoo.

Seorang lagi pemilik akaun Twitter menggunakan nama Ira Fazir Ishak mencatat, "patut la dekat Malaysia ramai yang suka minta derma. PM Malaysia suka pun terima #derma".

Pemilik akaun johortilldeath pula secara sinis menulis, "trending minggu ni #derma... derma pada masjid, surau, anak yatim, ibu tunggal, orang miskin, OKU lebih berkat dan afdal..".

Di laman sosial Facebook pula, netizen menyifatkan dana RM2.6 bilion itu sebagai derma dan tiada kaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai 'lawak'.

Malah ramai berkongsi gambar seorang lelaki menyerupai seorang pengemis yang berada di mesin juruwang automatik (ATM) dengan dialog, "Ya ALLAH! Siapa derma RM2.6 bilion ni? Terima kasih".

Dalam perkembangan terbaharu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan bahawa RM2.6 bilion yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun peribadi milik Perdana Menteri adalah dana sumbangan penderma dan bukan 1MDB.

SPRM menerusi kenyataan medianya berkata, laporan hasil siasatan berkaitan dana RM2.6 bilion telah dirujuk dan dimaklumkan kepada Peguam Negara.

"Hasil siasatan mendapati dana sebanyak RM2.6 bilion yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun milik perdana menteri adalah sumbangan penderma, dan bukannya dari dana 1MDB.

"Bagaimanapun, siasatan berkenaan isu SRC International yang melibatkan dana RM4 bilion masih berjalan," katanya.
-SH












IKLAN BERBAYAR