Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali enggan dakwaan spekulasi lima Adun PKR Selangor akan ‘melompat’ sekaligus menyatakan sokongan terhadap bekas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Katanya, spekulasi ini diumpamakan seperti satu kisah dongeng zaman purba.
Azmin“Itu cerita dongeng zaman purba.
“Takkan saya nak mengiyakan cerita dongeng,” katanya apabila diminta menafikan spekulasi itu.
Sejak semalam bertebaran khabar angin bahawa lima ADUN PKR akan ‘melompat’ dan menyatakan sokongan kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk dilantik semula sebagai menteri besar.
Dengan sokongan PAS dan Umno ditambah beberapa ADUN dari PKR itu, Khalid dikatakan bakal memperolehi majoriti mudah.
Kononnya Khalid mengadakan perjumpaan bersama Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Jakarta untuk membincangkan hal tersebut.
Azmin yang juga Dato’ Menteri Besar Selangor membidas tindakan 50 ahli PKR Cabang Batu Pahat yang menyertai Umno, semalam.
“Setiap kali PRK mesti timbul kes lompat parti. Jika kita jumlah semua (yang lompat parti), akhirnya yang tinggal di dalam PKR hanya Wan Azizah dan saya sahaja.
“Jadi tak usah bimbang. Mereka masuk Umno sudah lima kali setiap kali PRK. Ini satu propaganda dan media kena faham,” Katanya lagi.
Dilaporkan seramai 50 ahli PKR Cabang Batu Pahat termasuk Bendahari, Azhar Ahmed, dan Ketua Penerangan, Mohd Hafizi Jamhari, keluar daripada parti itu untuk menyertai Umno. -KD
Kelantan perlu hantar semula notis RUU persendirian
Kerajaan Negeri Kelantan perlu menghantar semula notis untuk membentangkan Rang Undang-Undang Persendirian di Dewan Rakyat bagi membolehkan rang undang-undang berkaitan hudud itu dibahaskan pada persidangan akan datang, kata Pengerusi Teknikal Jawatankuasa Kanun Jenayah Syariah II Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.
Beliau berkata ini berikutan usul berkenaan tidak sempat dibentangkan dan dibahaskan pada persidangan Dewan Rakyat yang berakhir Khamis lepas setelah bersidang selama 20 hari.
"Setiap kali penggal persidangan Parlimen (berakhir), usul (yang tidak sempat dibentangkan dan dibahaskan) kena dimasukkan (hantar notis) balik ... kena beri notis 14 hari sebelum hendak bentang (sebarang usul).
"Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan serahkan notis bagi membentangkan usul berkenaan selepas Parlimen mengeluarkan notis kepada anggota Parlimen untuk persidangan Dewan Rakyat yang akan datang," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri di Kota Darul Naim di Kota Bharu hari ini.
Abdul Hadi yang juga ahli Parlimen Marang sebelum ini telah mengemukakan notis bagi pembentangan usul berkenaan di Dewan Rakyat pada 18 Mac lepas yang akan membolehkan beliau membentangkan rang undang-undang untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1965 bagi membuka laluan pelaksanaan hudud di Kelantan.
Rang undang-undang persendirian itu telah dimasukkan sebagai perkara terakhir (No.24) untuk dikemukakan kepada mesyuarat pada 7 April lepas namun tidak sempat dibentang untuk perbahasan sehingga Dewan Rakyat ditangguhkan pada 9 April.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan meluluskan Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015), atau hudud pada 19 Mac selepas disokong oleh 44 Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk 12 ADUN BN.
Mohd Amar yang juga timbalan menteri besar Kelantan berkata PAS akan mengadakan perbincangan dengan menteri bertanggungjawab yang akan bertindak sebagai pencadang dan usul berkenaan juga perlu mendapat sokongan 15 anggota Dewan Rakyat sebelum boleh dibahas.
"Apa-apa pun mesti ada persetujuan daripada kerajaan, tak boleh lari. Bukan isu hudud (rang undang-undang persendirian) sahaja, malah isu-isu lain juga," katanya.
Mengulas kenyataan setiausaha agung DAP Lim Guan Eng yang enggan mengadakan sebarang mesyuarat dengan PAS selepas berakhirnya pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh dijadual 7 Mei ini, anggota Jawatankuasa (AJK) PAS pusat itu berkata tindakan tersebut hanya merugikan pakatan pembangkang.
"Kalau pakatan pembangkang tak ada hubungan jadi yang rugi semua parti bukan PAS sahaja, DAP pun rugi, PKR pun rugi, jangan ingat PAS sahaja yang terjejas.
"Tidak timbul isu PAS keluar daripada pakatan pembangkang... benda itu jelas. Muktamar masih lagi berpegang kami (PAS) masih lagi (dalam) pakatan pembangkang. Soal orang nak bekerjasama itu adalah soal lain, tapi kami masih lagi dalam pakatan pembangkang," tegas Mohd Amar. - Bernama
[VIDEO] Al-Qardhawi: Tegakkan Kehidupan Islam Dahulu, Bukan Hudud
Bangunkan Islam sebelum laksana hudud Oleh Shamsul Muda
Bicara al-Allamah Yusuf al-Qaradhawi, pengerusi Kesatuan Ulama Islam Sedunia tentang 'Hudud Dalam Wacana Feqh Masa Kini' yang disiarkan oleh setesen satelit, al-Jazeera, telah memberikan garis panduan asas berkenaan kaedah perlaksanaan hukum tersebut dalam masyarakat.
Garis panduan tersebut-yang dirumuskan daripada pengamatan beliau terhadap pendekatan Nabi SAW dalam melaksanakan hukum hudud-sangat penting dari segi menyatukan pandangan umat Islam hari ini dalam soal kaedah perlaksanaan hukum tersebut.
Atau paling kurang, merapatkan jurang perselisihan pandangan berhubung soal ini.
Trend semasa wacana hudud di negara ini memperlihatkan, pihak-pihak yang memperkatakan tentang perlaksanaan hukum hudud atau yang berusaha melaksanakannya, kurang memberi perhatian terhadap kaedah atau pendekatan yang digunakan Nabi SAW dalam melaksanakan hukum itu.
Trend ini sedikit sebanyak telah menyumbang kepada pelebaran jurang perbezaan pendapat berhubung soal ini.
Merujuk kepada kaedah Nabi SAW melaksanakan hukum hudud, Qaradhawi telah mengetengahkan satu fakta, yang barangkali boleh ‘mengejutkan’ sesetengah pihak.
Fakta itu menyatakan, 'sebelum Nabi SAW melaksanakan hukum hudud, Baginda terlebih dahulu menegakkan Islam secara keseluruhannya, yakni menegakkan kehidupan Islam’.
Jelas tersurat, fakta ini bermakna, perlaksanaan hukum hudud adalah peringkat atau ‘projek’ terakhir dalam agenda perlaksanaan Islam.
Dalam ungkapan yang lebih jelas-seperti yang dinyatakan Qaradhawi- “dasar [berkenaan perlaksanaan hudud ialah] tidak dilaksanakan [hukum] hudud melainkan apabila kita telah melaksanakan-seperti yang telah saya katakan-ajaran-ajaran Islam keseluruhannya yang berkaitan akidah, syariat, akhlak, tata susila dan nilai-nilai [murni], kita bangunkan masyarakat Islam, dalam keadaan ini, kita laksanakan [hukum] hudud”.
Kenyataan Qaradhawi ini secara tidak langsung menidakkan pandangan yang melihat 'perlaksanaan hudud' sebagai 'agenda teratas' dalam sesebuah negara Islam.
Penegasan ini sebaliknya menuntut sesebuah Negara Islam, melaksanakan hukum hakam Islam dan tuntutan-tuntutan Islam yang lain terlebih dahulu, sebelum mengambil langkah untuk melaksanakan hukum hudud.
Gambaran yang jelas tentang kuantiti hukum hakam dan tuntutan-tuntutan Islam ini boleh diperolehi melalui tinjauan ke atas pembahagian ulama terhadap jenis-jenis hukum hakam Islam.
Syaikh Abdul Wahab Khalaf umpamanya, membahagikan hukum hakam yang dinyatakan al-Quran kepada tiga kategori induk, iaitu Hukum Hakam Akidah, Hukum Hakam Akhlak dan Hukum Hakam Amali. Iaitu hukum hakam berkaitan perbuatan manusia.
Hukum Hakam Amali ini pula terbahagi kepada dua bahagian yang besar, iaitu Hukum Hakam Ibadat dan Hukum Hakam Muamalat (transaksi).
Sementara itu, hukum hakam Muamalat pula dipecahkan kepada 7 bahagian, iaitu Hukum Hakam Kekeluargaan, Hukum Hakam Madani (sivil), Hukum Hakam Jenayah (hudud, qisas dan takzir), Hukum Hakam Perundangan, Hukum Hakam Kenegaraan, Hukum Hakam Antarabangsa dan Hukum Hakam Ekonomi (Abdul Wahab Khalaf (1998), Ilmu Usul al-Feqh, Mansurah : Darul Kalimah, ms.34-35).
Pembahagian ini memperlihatkan dengan jelas kedudukan hukum hudud sebagai salah satu juzuk daripada ‘binaan’ hukum hakam Islam yang besar, dan bukannya keseluruhan hukum hakam Islam itu sendiri.
Sementara kedudukannya dalam ‘jadual’ perlaksanaan pula ialah pada kedudukan atau tertib terakhir, seperti yang telah dinyatakan Qaradhawi.
Pandangan Qaradhawi ini turut dikongsi oleh Syaikh Muhammad Abdullah al-Khatib, seorang tokoh terkenal pergerakan Ikhwanul Muslimin masa kini, yang juga merupakan pengarang Risalah al-Ta'lim, Syarh Usul al-'Isyreen dan lain-lain.
Dengan ungkapan yang jelas, Muhammad Abdullah al-Khatib mengatakan,"hudud dalam Islam...datang pada [kedudukan] penghujung [proses] pensyariatan [hukum] kerana Islam lebih prihatin terhadap tangan manusia [daripada dipotong akibat mencuri], kehormatan, hak milik dan kehidupan mereka keseluruhannya".
Justeru, beliau menolak dakwaaan sesetengah pihak yang mengatakan perlaksanaan hukum hudud berada pada kedudukan teratas dalam ‘jadual perlaksanaan Islam’ berbanding hukum hakam yang lain.
Beliau menyatakan, "[hukum] hudud sebagaimana yang kamu lihat dengan syarat-syaratnya yang ketat, dan dengan [syarat] menyediakan keperluan-keperluan asas kepada setiap individu umat ini [sebelum melaksanakannya], datang pada [kedudukan] penghujung hukum hakam [Islam dari segi perlaksanaan], bukannya pada permulaannya, seperti yang didakwa sesetengah [pihak]".
(Lihat http://www.ikhwanonline.com/new/Article.aspx?ArtID=82931&SecID=391)
Qaradhawi bagaimana pun tidak pula menyatakan dengan jelas, dalil yang menjadi asas kepada pandangan beliau ini. Namun, boleh difahami daripada bicara beliau ketika diwawancara oleh setesen satelit, al-Jazeera pada 10 Januari 2011 itu, dalilnya ialah waktu turun ayat-ayat yang memerintahkan perlaksanaan hukuman-hukuman hudud, iaitu zina, qazaf, mencuri, dan hirabah.
Menurut beliau, ayat-ayat tersebut-yang memerintahkan perlaksanaan hukum hudud- adalah antara ayat-ayat terakhir dan pertengahan dari segi urutan penurunannya. Kedudukan pada tertib pertengahan dan terakhir ayat-ayat ini dari segi urutan penurunan, membawa makna ia juga berada pada kedudukan dan urutan yang sama dari segi perlaksanaan.
Oleh sebab itu, beliau menyatakan, “sebelum dilaksanakan [hukum] hudud, beri makan [terlebih dahulu] kepada orang yang lapar, sediakan pekerjaan kepada penganggur, ajarkan orang yang jahil dan latih [para] pekerja. Mesti dilakukan ini [semua] sebelum melaksanakan [hukum] hudud”.
Bagi menyokong pandangannya berhubung kaedah perlaksanaan hudud ini, Qaradhawi juga dilihat berdalilkan dengan hakikat bahawa Islam tidak beria-ia mahu menghukum manusia yang melakukan kesalahan hudud. Hakikat ini adalah jelas kerana amalan Nabi SAW dan hadis-hadis Baginda sendiri menyatakan hal ini.
Jika demikian, umat Islam perlulah bergerak seiring dengan amalan Nabi SAW dari segi mengelak mengenakan hukuman hudud, meskipun ke atas orang yang datang membuat pengakuan secara sukarela.
Ini boleh dilakukan dengan berusaha menghapuskan segala perkara yang boleh mendorong manusia melakukan kesalahan hudud, seperti desakan, tekanan dan keperluan hidup.
Dari sinilah, perlunya hukum hakam Islam berkaitan kewajipan menjaga kebajikan rakyat, sifat kebersamaan dan apa sahaja yang menjurus ke arah penghapusan dorongan-dorongan jahat itu, didahulukan sebelum dilaksanakan hudud.
Dengan berbuat demikian, umat Islam telah bergerak seiring dengan amalan Nabi dari segi berusaha mengelak sedaya mungkin daripada mengenakan hukum hudud ke atas pesalah.
Kesimpulannya, kaedah perlaksanaan hukum hudud-seperti yang dijelaskan oleh Qaradhawi-ialah mendahulukan perlaksanaan Islam secara keseluruhan terlebih dahulu, sebelum melaksanakan hukum Allah itu.
Justeru, dalam keadaan perlaksanaan Islam secara menyeluruh ini belum selesai dalam sesebuah Negara Islam, hudud bukan sahaja tidak dilaksanakan, bahkan tidak juga diwartakan sebagai undang-undang Negara yang boleh dilaksanakan, sehinggalah urusan perlaksanaan Islam secara menyeluruh tadi selesai dijayakan.
Demikianlah yang difahami daripada penjelasan dan kenyataan-kenyataan Qaradhawi yang turut disokong oleh Muhammad Abdullah al-Khatib, yang disertakan petikannya dalam tulisan ini.
Pemahaman ini nampaknya selaras dengan tindakan Syaidina Umar r.a menangguhkan perlaksanaan hukum hudud secara total pada musim kelaparan, meskipun di kalangan rakyatnya tentu ada orang yang kaya atau berada yang terselamat daripada bencana kelaparan tersebut.
Tidak ada pula pihak yang membantah tindakan beliau itu dengan berhujjah bahawa hukum hudud perlu diteruskan seperti biasa, dengan membebaskan orang yang sabit mencuri disebabkan kelaparan dan mengenakan hukuman hudud ke atas orang yang terbukti mencuri bukan kerana desakan kelaparan.
Syaidina Umar tidak berbuat demikian. Sebaliknya beliau menangguhkan perlaksanaan hudud di musim kelaparan secara total.
Syaikh Qaradahwi, dengan pandangannya berhubung kaedah perlaksanaan hukum hudud ini, sesungguhnya telah membuat satu anjakan penting dalam diskusi dan wacana hudud, iaitu membuka perbincangan berkenaan aspek berkaitan hukum hudud yang tidak dibincangkan secara serius di negara ini, iaitu kaedah perlaksanaan hukum hudud dalam masyarakat.
Semoga dengan pandangan tokoh besar Islam ini, wacana hudud di negara ini tidak terus dikurung atau dilihat dikurung dalam skopnya yang lama, yang hanya berlegar di sekitar kewajipan melaksanakan hukum hudud, keadilan hukum hudud, kesesuaiannya dalam masyarakat majmuk dan seumpamanya.
ULASAN GB
Demikianlah berjalannya hukum kebenaran dan keadilan.
Bergegak-gempita golongan pro-ulamak (baca: pro-UMNO) dalam PAS mengenai hudud beberapa minggu lalu. Dituduhnya mereka yang tidak bersetuju RUU itu dibentangkan sebagai anti-ulama malah anti-Islam. Akhirnya sekarang tiba-tiba senyap dan sunyi sepi bab hudud.
GB sudah ulas di dalam entri sebelum ini. Petikan:
GB beri contoh iaitu di dalam isu Bil Persendirian yang dihantar oleh Presiden PAS. Haji Hadi menyatakan apabila UMNO mengajak kita berunding, maka wajib kita terima, samada mereka ikhlas atau tidak, itu urusan Allah. Kita telah menyatakan kepada beliau bahawa UMNO sudah dikenali sebagai kumpulan penipu dan Rasulullah telah berpesan melalui hadithnya jangan dipatuk ulas dua kali.
Apa jadi... semua orang tahu. Haji Hadi yang "yakin dapat memebntang Rang Undang0undang itu pada sessi parlimen yang lepas diaibkan... "Masa tak cukup nak bentang.."... mudah saja ditipu. Sekarang kena hantar semula Bil Persendirian berkenaan untuk sesi parlimen akan datang. Agak-agaknya dapat tak dibentangkan? Ia Bil Persendirian, maknanya terletak di agenda terakhir lagi.Jawapan yang serupa akan diperolehi... tiada masa yang cukup untuk dibentangkan. Berapa kali sudah mahu dipatuk ular?
Jikalah didengar pendapat dan nasihat Ketua Ulama Sedunia, Sheikh Yusuf Al-Qardhawi seperti di atas, maka tidak timbul pergolakan mengenai isu hudud. GB juga sudah ulas di dalam entri tersebut. Petikan:
Itu sebab mengapa kita perlu prioritaskan perjuangan menegakkan kebenaran dan keadilan disamping menghapuskan kezaliman melalui Pakatan Rakyat terlebih dahulu sebelum kita dapat melaksanakan hudud.
Dan sebab itu juga penting kita menguasa Putrajaya terlebih dahulu. Semua ajensi kerajaan sudah dapat dita kawal...sistem pendidikan pun kita kawal dan subjek hudud boleh diperkenalkan dan ditekankan di peringkat sekolah. Media main peranan untuk menerangkan hudud dan kebaikan-kebaikannya. Sedikit demi sedikit nanti rakyat akan faham mengapa hudud itu wajib dilaksanakan. Bila kita dah ada kuasa..tekanan dan halangan dari mana-mana pihak hatta DAP sekaipun dapat kita kurangkan bila kita berjaya meyakinkan mereka Islam itu adil kepada semua.
Apa yang berlaku kini adalah disebaliknya. Timbul suara-suara pimpinan tertinggi PAS kata, hudud lebih penting dari Putrajaya, hudud lebih penting dari pakatan Rakyat dan seumpamanya macamlah UMNO 100% akan sokong hudud yang nak dibentangkan di Parlimen nanti...
Mereka yang hendak melaksanakan hudud sebelum rakyat dibangunkan dengan ciri kehidupan Islam adalah umpama orang yang turun berlari dari Bukit Uhud untuk merebut ghanimah, sedankan Islam belum betul-betul menang lagi. Akhirnya, musuh mengambil peluang merebut Bukit Uhud dan kemudian menghancurkan umat Islam yang berebut ghanimah itu. Bezanya ialah kalau di dalam Perang Uhud Rasulullah saw sendiri memerintah jangan turun dulu untuk merebut ghanimah, tetapi di dalam isu sekarang, pemimpin tertinggi PAS sendiri yang menyuruh turun rebut ghanimah!
Bangunkan dahulu kehidupan Islam. Itu penegasan Al-Qardhawi. Apakah Kelantan sudah beres membantu dan mebangunkan penduduk yang telah terlibat dengan banjir baru-baru ini contohnya? Kajian Merdeka Center sebelum ini adalah betul.
... Dalam tinjauan yang dilakukan terhadap 1008 pengundi, 84% daripadanya bersetuju usaha pemulihan pasca banjir diutamakan Kelantan pimpinan PAS ( daripada mengutamakan hal hududu) dan pandangan sama turut disuarakan sejumlah majoriti besar (81%) pengundi Melayu-Islam seluruh Semenanjung Malaysia.
"Cadangan kerajaan negeri Kelantan untuk menarik perhatian terhadap enakmen kanun jenayah hudud ini tidak akan meningkatkan kedudukan parti memerintah negeri (PAS) di kalangan pengundi Kelantan ataupun pengundi beragama Islam di peringkat nasional.
"Perkara ini mengimbas semula prestasi teruk parti tersebut semasa Pilihan Raya Umum 2004 di bawah manifesto 'Negara Islam' yang mengakibatkan kejatuhan kerajaan PAS Terengganu dan hampir kalah di Kelantan," kata Pengarah Merdeka Center Ibrahim Suffian dalam satu kenyataan...
Sekarang seperti GB katakan sebelum ini..."ayam terlepas tangan bau tahi". Hudud gagal dkemukakan, hubungan PAS dengan rakan komponen Pakatan Rakyat pula jadi berantakan.
Bukankah Allah telah berfirman di dalam Surah Ar-Rahman, ayat 33:
“Wahai jin dan manusia, jika kamu sanggup menembusi (melintasi) penjuru langit dan bumi, maka lintasilah, kamu tidak dapat menembusinya kecuali dengan kekuatan (ilmu pengetahuan).”
Huraiannya: kamu tidak dapat perjuangkan apa pun hatta hukum Allah sekalipun TANPA ada kukuatan, kuasaaan dan ilmu pengetahuan. Sebarang perjuangan sekalipun namanya Islam, namanya untuk menegakkan syariat Allah tanpa memiliki kekuatan, kekuasaan dan ilmu pengatahuan hanyalah perjuangan yang mengikut hawa nafsu dan akan hanya menemui kegagalan, kekalahan dan kehinaan.