18 Mac 2015

[VIDEO] Rosmah Selia Naik Taraf Jet Baru?


Adakah Rosmah ke Indianapolis tinjau jet baharu, soal PKR

PKR hari ini menuntut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memberikan penjelasan sama ada isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor berada di Indianapolis, Amerika Syarikat untuk meninjau sendiri kerja menaik taraf jet baharu yang dibeli kerajaan, kata Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli.

Rafizi pada sidang media di lobi Parlimen hari ini berkata, spekulasi itu tersebar susulan misteri pesawat sedia ada, ACJ319 9M-NAA berada di lokasi berkenaan selama 6 hari pada 26 Disember, 2014 dan pada masa sama Putrajaya membeli jet baharu, ACJ320 9H-AWK.

Rafizi berkata, siasatan yang dilakukan National Oversight & Whistleblower (NOW) mendapati jet peribadi baharu yang dibeli itu sebelum ini dimiliki Comlux Aviation Group yang berpangkalan di Indianapolis.

"Perjanjian sewa beli jet peribadi baharu ACJRE0 9H-AWK ditandatangani pada 1 Disember, 2014 dan pada Oktober 2013, Comlux mengumumkan ia selesai menaik taraf jet peribadi kegunaan ketua negara Malaysia setelah kerja naik taraf bermula Jun 2013.

"Perjanjian pembelian jet ACJ320 9H-AWK menunjukkan ia melibatkan kerja naik taraf kabin, berdasarkan maklumat ini adalah tidak munasabah jet peribadi sedia ada, ACJ319 9M-NAA singgah di Comlux, Indianapolis untuk kerja naik taraf kabin kerana pesawat itu baru saja dinaik taraf setahun sebelum itu," katanya, pada sidang media berkenaan.

"Kita juga tahu, pada 26 Disember, 2014 semasa pesawat ACJ319 9M-NAA singgah di Indianapolis selama 6 hari secara misteri, kerajaan Malaysia sudah pun membeli jet peribadi baharu, ACJ320 9H-AWK,” katanya.

Sehubungan itu, ahli Parlimen Pandan itu berkata, persoalan yang berlegar ialah kemungkinan besar penumpang yang menaiki pesawat ACJ19 9M-NAA singgah di Indianapolis untuk meninjau sendiri kerja naik taraf jet peribadi baharu yang dibeli kerajaan itu.

"Oleh kerana Najib sudah pulang ke Malaysia pada ketika itu, soalan seterusnya yang berlegar siapakah sebenarnya VVIP yang singgah di pangkalan Comlux yang sedang menaik taraf jet peribadi baharu yang dibeli kerajaan.

"Spekulasi yang berlegar kemungkinan besar isteri perdana menteri adalah VVIP yang menggunakan ACJ319 9M-NAA untuk singgah di Indianapolis dan meninjau sendiri kerja menaik taraf jet peribadi baharu,"
katanya. – TMI


Rafizi tanya adakah Rosmah selia kerja naik taraf jet baru?

Adakah isteri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak - Datin Seri Rosmah Mansor - pergi ke Amerika Syarikat Disember lepas untuk menyelia kerja-kerja menaik taraf jet eksekutif baru kerajaan, Airbus ACJ320?

Ini adalah soalan yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Pandan yang juga setiausaha agung PKR, Rafizi Ramli dalam satu sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.

Rafizi menegaskan bahawa jet eksekutif kerajaan sekarang, dengan nombor pendaftaran 9M-NAA, telah singgah di Indianapolis selama enam hari selepas PM pulang lebih awal ke Malaysia untuk meninjau bencana banjir.

Bencana banjir itu telah memaksa PM memendek percutian di Hawaii akhir tahun lalu.

Najib terbang ke Hawaii untuk bercuti bersama keluarga menggunakan jet eksekutif itu tetapi tanpa Najib, jet itu kemudian ke Indianapolis dan singgah di beberapa lokasi sebelum kembali ke Malaysia, kata Rafizi.

Rafizi berkata terdapat "kemungkinan besar" orang yang menaiki 9M-NAA tanpa Najib, telah ke Indianapolis untuk menyelia kerja menaik taraf jet baru itu di premis Comlux Aviation, pemilik sebelumnya Airbus ACJ320.

Katanya, tidak boleh ada alasan bahawa jet sekarang, 9M-NAA, singgah di Indianapolis untuk dinaik taraf kerana kerja-kerja menaik taraf untuk sesebuah jet mengambil masa tiga hingga empat bulan.

Spekulasinya, tegas Rafizi, ialah Rosmah adalah orang yang berada dalam 9M-NAA dan bahawa beliau ke Indianapolis dan menginap di sana selama enam hari untuk menyelia kerja-kerja menaik taraf dan pembaharuan.

Rafizi juga menjelaskan bahawa perjanjian sewa beli untuk jet baru Airbus ACJ320 ditandatangani pada 1 Disember, yang bermakna, ia telah ditauliahkan pada masa Najib dan keluarganya ke Hawaii di mana fotonya bermain golf dengan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, telah dirakamkan.
-mk



ULASAN GB

Ferdinand Marcos tumbang kerana Imelda, begitulah Hosni Mubarak yang akhirnya ke penjara kerana Suzanne Sabet. Kedua-dua isteri presiden itu perangainya sama - boros dan gila bershopping. Wang rakyat dihabiskan untuk memenuhi nafsu kedua-dua isteri pemimpin itu. Apa kurangnya dengan isteri Najib? Tunggu hukum kebenaran dan keadilan berjalan...



[BONGKAR] Cikgu Ishak Surin Kecewa Kerana Mustafa Ali Terus Bermaharajalela


Letak jawatan teguran, sedarkan kepimpinan PAS'

Perletakan jawatan kepimpinan PAS kawasan Batu sebagai "teguran dan menyedarkan" kepimpinan tertinggi parti itu supaya segera menyelesaikan masalah dalaman agar tidak berlarutan sehingga muktamar ke-61 Jun ini, kata Ishak Surin.

Beliau yang melepaskan jawatan yang dipertua PAS kawasan itu semalam, turut menggesa Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Timbalan Mohamad Sabu dan naib presiden berbincang pihak yang dianggapnya 'bertelagah' bagi menyelesaikan krisis dalaman parti.

"Jadi kalau tak ada satu tindakan yang menyedarkan semua, pihak kami bimbang parti nanti masalah, mungkin akan celaru, lemah tapi benda ini bergantung pada pucuk pimpinan.

"Tindakan kami nak sedarkan pucuk pimpinan bahawa kita perlu satu usaha bersungguh-sungguh supaya krisis tidak berlarutan.


"Saya mahu dia (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) sebagai presiden memanggil (pihak yang) bertelagah duduk semeja. Kita bincang mana salah, mana silap, yang salah kita minta maaf.

"Kami tak mahu jawatan apa-apa dah. Kami cuma mahu PAS selamat macam dulu," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Ishak mengulas kenyataan Naib Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan MP Khalid Samad yang dilapor menyifatkan tindakan 17 pemimpin kawasan itu meletakkan jawatan dan 'mufarakah' kerana kecewa dengan Hadi sebagai "tindakan luar biasa" dan "janggal".

Sedangkan, kata kedua-dua pemimpin itu, PAS kawasan boleh itu boleh membincangkan segala masalah melalui mesyarat agung kawasan itu.

Mengulas lanjut, Ishak berkata pihaknya telahpun berbincang dan sedar mengenai kesan yang bakal dihadapi ekoran tindakan mereka yang tidak bersetuju atau mengikut presiden.

Terkilan dengan sikap Hadi yang mendiamkan diri berkaitan kemelut dalaman parti, Ishak berkata pemimpin PAS antaranya Mohamad dan Tuan Ibrahim boleh memainkan peranan menyelesaikannya dengan memanggil pihak yang terlibat.

"Macam Tuan Ibrahim Tuan Man, dia ada tanggungjawab. Sepatutnya orang nombor dua dan tiga dalam parti (panggil mereka). Patutnya Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai ulama, dia patut bertindak. Jumpa, tanya apa masalah dalaman. Ini bendanya.

"Siapa yang rasa tak kena, kita panggil. Itu kan sebaik-baiknya. Tak kan nak biarkan orang bawah dalam PAS termangu. Kan sudah rugi tu," kata Ishak yang menegaskan tidak memusihi Hadi.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan insiden yang berlaku terhadap Mohamad dan Ketua Biro Lajnah Undang-undang, Hanipa Maidin yang diejek pada muktamar di Johor berulang kembali, malah berlaku lebih teruk dalam muktamar di Kuala Selangor kelak.

"Itu sangat mengaibkan kita, rakyat nanti lihat kita bukan sebagai parti Islam. Secara peribadi, kalau tak selesai tangguh lah muktamar ni.

"(Apa yang) perlu (dilakukan) sekarang ini, sebelum mukamar selesaikan kemelut yang ada," kata Ishak sambil menepis dakwaan bahawa tindakan mereka itu dibuat disebabkan "tiada perpaduan". -mk

PENDEDAHAN SEBELUM INI

[PENDEDAHAN MENGEJUTKAN]: Harakah & Parti Dalam Bahaya

Kuala Lumpur: Salah seorang pengasas lidah rasmi PAS, Harakah, Ishak Surin mendedahkan selama dua dekad Datuk Mustafa Ali memegang jawatan Pengerusi Harakah, sudah terlalu banyak pembaziran yang dilakukan Setiausaha Agong PAS itu.

“Sehinggakan perjuangan dan imej Islam yang dibawa oleh PAS sedikit sebanyak tercemar,” tambah beliau.

Secara terus terang, Ishak memberitahu, malah Mustafa juga menggunakan wang hasil jualan akhbar Harakah untuk kepentingan dirinya dan keselesaan dirinya sendiri.

“Terlalu banyak pembaziran yang dilakukan oleh Mustafa, sehingga melakukan apa yang tidak perlu dilakukan. Mustafa membazirkan wang hasil jualan akhbar Harakah untuk mengubahsuai biliknya menjadi bilik yang sangat mewah,” katanya dalam satu forum pendedahan bertajuk Harakah Dalam Bahaya, di Gombak.

Ishak yang merupakan Yang Dipertua PAS kawasan Batu turut mempersoalkan apakah kepentingan bilik yang sebegitu mewah di Ibu Pejabat Harakah kepada pengarah urusan kerana menurutnya, permulaan wang jualan akhbar Harakah adalah daripada titik peluh rakyat (ahli) khususnya.

Bukan itu sahaja, Ishak turut melahirkan kekesalannya apabila melihat pihak pengurusan Harakah gagal untuk mengurus wang tersebut dengan baik.

Menurut beliau lagi, jika wang tersebut dikendalikan dengan cara betul, sudah banyak projek-projek yang boleh dilaksanakan untuk parti PAS, malangnya perkara tersebut tidak berlaku.

“Sekiranya wang daripada hasil jualan akhbar Harakah itu digunakan dan diurus secara baik, pastinya Harakah sudah setaraf dengan media rasmi kerajaan iaitu Radio Televisyen Malaysia (RTM), malah PAS sendiri juga pasti mampu untuk memiliki akademi wartawannya sendiri. Tetapi kini apa yang ada?” ujar beliau.

Selain itu, veteren PAS itu juga turut kesal apabila mendapat tahu kebajikan kakitangan akhbar Harakah tidak dijaga sebaiknya.

“Gaji kakitangan Harakah tidak dicarum ke dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Bagaimana perkara ini boleh berlaku, kerana kita sering bercakap soal Islam, tetapi adakah ini gambaran sebuah parti yang membawa perjuangan Islam?

“Atas perkara itu, saya kini dalam usaha untuk menubuhkan satu kesatuan sekerja dalam kalangan kakitangan pekerja akhbar Harakah,”
ujarnya lagi.

Ishak secara lantang menyuarakan dan mendesak agar Mustafa meletakkan jawatan sebagai orang nombor satu di dalam akhbar Harakah serta mengembalikan semula pentadbiran Harakah kepada pentadbiran asal.

“Saya mendesak supaya Mustafa Ali berundur dan saya juga yakin beliau akan berundur. Malah saya turut mengharapkan pentadbiran secara korporat dihentikan dan dikembalikan semula cara pentadbiran yang lama iaitu secara berjemaah.

“Sudah terlalu lama Mustafa berada di dalam Harakah, dan dia ingat akhbar Harakah adalah bapa dia yang punya,” ujar beliau lagi. Tidak terhenti di situ, Ishak turut menggesa agar kewangan akhbar Harakah diaudit kerana menurutnya, ia akan membolehkan akar umbi mengetahui pengaliran wang hasil jualan akhbar tersebut.

“Tetapi sehingga kini, kita tidak mengetahuinya. Macam mana nak tahu, kewangan Harakah tidak pernah diaudit walaupun perkara ini sering dibangkitkan dalam muktamar PAS,” tambah beliau.

Menurutnya, walaupun persoalan itu dibangkitkan setiap kali muktamar berlangsung, ia hanya sampai di peringkat pertanyaan sahaja kerana tidak pernah terjawab.

Jelas Ishak lagi, beliau akan menegur mana-mana pemimpin PAS yang disifatkannya sudah lari daripada perjuangan asal PAS iaitu untuk memartabatkan Islam dan membentuk sebuah negara berkebajikan.

“Kalau Mustafa sanggup menjadi pemimpin, maka dia mesti sanggup kena tegur. Ini kerana, sebagai ahli PAS, sudah menjadi tanggungjawab kita untuk menegur pemimpin, “ tegasnya.

Beliau seterusnya mengingatkan ahli PAS mengenai dua perkara yang akan disoal dan dihitung iaitu sewaktu di dunia dan di akhirat kelak.

“Sewaktu di akhirat kelak, akan ditanya jika ahli-ahli PAS menegur pemimpinnya dan jika tidak ditegur, mengapakah tidak ditegur. Adakah takut jawatan akan diturunkan,” tegasnya.

Ishak yang pernah menjadi pengurus Harakah kira-kira dua tahun ketika akhbar itu mula diterbitkan pada tahun 1986 turut menyifatkan kemelut dalam pengurusan akhbar Harakah amat mencemaskan dan ia berpunca oleh perlakuan individu seperti Mustafa.

“Selagi Harakah tidak dibetulkan, kita akan terus menegur kerana kita sayang akhbar Harakah ini,” ujarnya.

Sebelum ini, pihak pengurusan Harakah telah meminta ketua pengarangnya Ahmad Lutfi Othman meletakkan jawatan serta menamatkan kontrak dua pengarang kanannya iaitu Tarmizi Md Jam dan Roslan Hamid.
-FMT


ULASAN GB

Itu isu sebenarnya mengapa PAS KAwasan Batu bermufarakah.

Ada orang kata tunggulah sehingga muktamar, dedahkan dalam muktamar. Namun Cikgu Ishak sudah menyatakan: "kewangan Harakah tidak pernah diaudit walaupun perkara ini sering dibangkitkan dalam muktamar PAS.”

Selain dari itu, gejala "samseng" di kalangan kumpulan pro-ulama lansung tidak di indahkan. perbuatan meninggalkan dewan muktamar semasa Timbalan presiden berucap, mengeboo masa AJK PAS Pusat berhujjah, memerangkap muktamirin dengan membaca doa laknat oleh kumpulan ulamak, mengugut Pengarah LENSA, isu pembakaran kereta Dr. Hatta, isu Dr.Dzulkefli ditumbuk di pagi Suboh, isu "papagomo PAS" yang terdiri dari El-Haraki, Tok Usin Ceroi, Al-Bangi, Huzir Sulaiman dan lain-lain yang menyebar fitnah di alam siber, kes Mokhtar Senik dan Ketua Pemuda PAS Pahang yang berdemonstrasi di pejabat Agung PAS.... kesemua mereka tidak dikenakan tindakan.... kerana mereka kononnya pro-ulama walaupun berperangai syaitaniah.

Tetapi yang dikenakan tindakan kesemuanya golongan professional yang ingin memperkukuhkan Pakatan Rakyat seperti Shaari Sungip dan Hasnul Baharuddin digantung, kenyataan untuk siasatan hendak dilakukan ke atas Mohamad Sabu dan Dr Hatta oleh Mustafa Ali kononnya hendak menggulingkan Presiden dan seumpamanya.

Ternyata tindakan Presiden PAS yang berdiam diri menunjukkan beliau berpihak ke satu pihak iaitu pihak pro-ulamak yang berperangai syaitaniah itu.

Malah Haji Hadi mengambil sikap paling teruk dalam sejarah kepmimpinan PAS, menghalau mereka yang tak bersetuju dengan kepimpinannya supaya keluar dari parti, sesuatu sikap yang bertentangan sekali dengan sikap almarhum TG Fadzil Noor yang menyatakan pemimpin PAS boleh dan sedia dikritik.


Tidak mengapa, hukum kebenaran dan keadilan akan terus berjalan. Oleh kerana kita tidak mampu berbuat apa-apa, kita serah dan bertawakkal kepada Allah terhadap kumpulan pro-ulamak termasuk Presiden, Setiausaha Agong, MSU yang melampau batas itu kerana Allah terlah berfirman berkali-kali di dalam Al-Quran: "sesungguhnya Allah tidak suka kepada golongan yang melampau batas."

DEMI ALLAH, Jangan takut dengan mereka walaupun mereka kononnya bergelar ulamak dan kononnya menyokong ulamak.

GB sudah ulas sebelum ini. Petikan:

Ketua Ulama Sedunia, Yusuf al-Qaradhawi sendiri di dalam Fiqh al-Ikhtilaf, ms. 192. berkata:

"Telah diketahui dengan pasti bahawa tidak ada kewajipan kecuali apa yang diwajibkan oleh Allah dan Rasul-Nya. Sedangkan Allah dan Rasul-Nya tidak mewajibkan kita mentaati orang-orang tertentu sekalipun memiliki ilmu yang luas... Tindakan itu bererti menempatkan mereka sebagai pembuat syari‘at atau menganggap pendapat mereka sebagai dalil syari‘at yang tidak boleh dibantah.. sehingga menyerupai perbuatan para Ahli Kitab yang menjadikan rahib-rahib dan pendeta-pendeta mereka sebagai tuhan selain Allah."

Di dalam soal mazhab juga kita tidak dibenarkan untuk taksub dan taqlid, inikan pula di dalam berorganisasi seperti PAS. Kita disuruh wala, bukan taksub. Dan kita hanya wala kepada pemimpin yang tidak melampau batas.

Golongan yang melampau batas itu akan tetap menerima hukuman tak kiralah samada dia seorang Mursyidul Am sekalipun kerana sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang melampaui batas sepertimana peringatanNya berkali-kali di dalam Al-Quran:

Innallaha la yuhibbul musrifiin
Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas

Ku Li Bidas Putrajaya: Rakyat Dibebankan GST Untuk Bayar Hutang Kerajaan....


Ekonomi sedang tenat, GST perlu ditangguhkan - Ku Li

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, hari ini mencadangkan supaya Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) ditangguhkan memandangkan ekonomi dan kewangan awam berada di tahap yang tenat.

Berucap ketika sesi perbahasan titah diraja di Dewan Rakyat hari ini, Tengku Razaleigh atau lebih dikenali dengan gelaran Ku Li berkata, GST akan menjadi tambahan beban untuk rakyat yang kini sudah terlalu banyak dibebani hutang susulan kemerosotan ekonomi negara.

"Di atas perkiraan inilah saya cadangkan di dalam surat bertarikh 30hb Oktober, 2014 supaya Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) ditangguhkan memandangkan ekonomi dan kewangan awam berada di tahap yang tenat.

"Rakyat juga menanggung beban hutang isi rumah yang tinggi. Oleh itu kita perlu tahu sebab musabab GST dikenakan kerana punca pendapatan ini akan menambah beban kewangan rakyat.

"Rakyat berhak tahu sama ada GST yang akan dilaksanakan pada bulan April hadapan ini akan menguntungkan negara atau ia hanya untuk membayar faedah kepada si pemiutang dan pemegang bon, tujuan GST dilaksanakan tidak seharusnya dirahsiakan," katanya.

Bekas presiden parti Semangat 46 itu berkata, kerajaan bertindak tidak adil jika menyalurkan bebanan hutang kepada rakyat tanpa sebarang sebab munasabah.

"Jikalau beban tambahan ini dihalakan kepada rakyat tanpa alasan munasabah kita sebenarnya berlaku tidak adil.


"Oleh itu suara hati kita semestinya jelas dan terang ketika memberi keterangan kepada rakyat kenapa GST perlu pada ketika ini," katanya lagi.

Ahli Parlimen paling lama berkhidmat itu juga melahirkan kebimbangannya yerhadap penggunaan dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) untuk membantu institusi kewangan yang terlibat dalam pemberian pinjaman kepada perbadanan-perbadanan tertentu.

"Dalam hal ini, kita perlu penjelasan daripada Menteri Kewangan mengenai kedudukan KWSP dan KWAP serta jumlah pelaburan dana di dalam institusi kewangan yang dibebankan dengan pemberian pinjaman," katanya.

"Perdana Menteri dan Menteri Kewangan sekali-kali tidak harus berada dalam keadaan di mana terdapatnya pertelingkahan kepentingan," jelas beliau. -astroawani