23 Ogo 2014

[VIDEO & GAMBAR] Kisah-kisah Menyayat Hati ... Allah Lebih Menyayangi Mereka...

Aqif Raqif, 6, (kiri) dan adiknya, Arissa Raisya,3, (dua, kanan) bersama nenek Habibah Ismail, 68 (kanan) menyirami pusara ibu mereka, Ketua Pramugari MH17, Azrina Yakob di tanah perkuburan Masjid Al-Hidayah Jalan Muazaffar Shah, Assam Kumbang di Taiping, Jumaat. Gambar kecil: Azrina Yaakob

Jenazah Ketua Pramugari MH17 Dikebumi Pada Hari Jadi Anak Sulung

TAIPING: "Bonda 'fly', kapal terbang meletup" - itulah ungkapan yang keluar daripada mulut comel Aqil Raif Mohd Raflis, 6, anak sulung Ketua Pramugari Azrina Yakob yang menjadi mangsa dalam tragedi pesawat MH17.

Lebih menyayat hati, anak kecil itu menyambut ulang tahun kelahirannya pada Jumaat, yang merupakan hari pengebumian jenazah ibu tercinta.

Sepupu rapat Allahyarham yang ingin dikenali sebagai Kak Chik Rose, 51, berkata setiap kali ditanya mengenai Azrina, itulah jawapan yang diberikan Aqil Raif.

"Walaupun masih kecil untuk mengerti apa yang terjadi (kepada Azrina) namun anak kecil ini agak faham dengan apa yang berlaku," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Bapa Azrina, Yaakob Silam Sudin, 73, pula melahirkan rasa lega apabila anak perempuannya itu 'selamat sampai' dan dikebumikan di sini.

Beliau berkata, jenazah Azrina, anak kedua daripada empat beradik, dikebumikan di sini supaya sentiasa berdekatan dengan Aqil Raif dan adiknya, dan Arissa Raisha, 3, yang kini dijaga suami Allahyarham iaitu Mohd Raflis Mohd Tahir, 43.

Bagi ibu Azrina, Habibah Ismail, 65, seluruh anggota keluarganya amat menghargai kerjasama semua pihak bermula daripada usaha membawa jenazah Allahyarham pulang sehinggalah upacara pengebumian selesai.

"Kini semuanya sudah selesai. Makcik akan berada di sini selama tiga hari untuk tahlil sebelum pulang ke Alor Setar," katanya.

Ketika pengebumian berlangsung, Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa menyerahkan Jalur Gemilang kepada Habibah sebagai tanda penghormatan sambil disaksikan seluruh anggota keluarganya.

Meskipun hujan renyai-renyai ketika upacara pengebumian di Tanah Perkuburan Masjid Al-Hidayah, Jalan Muzaffar Shah, Assam Kumbang di sini, orang ramai yang berada di situ tidak berganjak sehinggalah talkin selesai dibacakan.

Terdahulu, Raja Jaafar berkenan berangkat ke Lapangan Terbang Tekah di Assam Kumbang di sini bagi menyambut ketibaan jenazah Azrina yang diterbangkan oleh Helikopter EC725 pada 12.34 tengah hari.

Jenazah kemudian dibawa ke Masjid Al-Hidayah untuk disembahyangkan selepas selesai solat Jumaat.

Allahyarham mula berkhidmat sebagai pramugari di Penerbangan Malaysia (MAS) pada 1992.

Penerbangan MH17, yang membawa 289 penumpang termasuk 15 anak kapal, dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ketika terhempas di timur Ukraine, pada 17 Julai lepas.

Ia dipercayai ditembak jatuh namun sehingga kini, tiada pihak mengaku bertanggungjawab. -mstar





‘Pergilah Hakimi’

NORIAH (tengah) yang tidak dapat menahan sebak melihat keranda Hakimi ditenangkan ahli keluarganya, semalam. Gambar kecil: Hakimi Hanafi.

Putrajaya: “Kami dengan ikhlas ‘melepaskan’ Ahmad Hakimi dan kami reda atas ketentuan ini,” kata Dr Hanapi Mohd Noor, 67, bapa pembantu juruterbang Penerbangan Malaysia (MAS) Allahyarham Ahmad Hakimi, 29, yang terbabit dalam nahas penerbangan MH17.

Dr Hanapi yang juga bekas pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, mereka sekeluarga menerima tragedi dengan ikhlas dan tenang kerana yakin, ada hikmah di sebalik kejadian berkenaan.

“Anak kami sudah dipanggil ke hadrat-Nya dan kami yakin serta pasti Allah SWT tetap dengan kasih sayangnya tanpa mengira bagaimana seseorang itu meninggal dunia.

“Biarpun tragedi ini (nahas MH17) luar biasa, Allah SWT sudah menjanjikan sebaik-baik ganjaran kepada seseorang yang meninggal dunia melalui cara luar biasa seperti tenggelam, terbakar dan sebagainya,” katanya ketika berucap secara rela di khalayak ramai selepas selesai pengebumian jenazah di Tanah Perkuburan Presint 20, di sini, semalam.

Majlis pengebumian itu turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor merangkap Ahli Parlimen Putrajaya dan Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Tan Sri Aseh Che Mat.
-HM







Jenazah Mastura Mustafa selamat dikebumi di Paroi

Anak tunggal mangsa, Muhriz Marzaidi, 10 meratap di sisi keranda ibunya Mastura Mustafa yang tiba semalam

SEREMBAN: Jenazah kru Penerbangan Malaysia (MAS) MH17, Mastura Mustafa, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Paroi Jaya di sini, sebentar tadi.

Suasana pilu menyelubungi kawasan itu apabila jenazah yang diangkat dalam keranda berselubung bendera Malaysia oleh anggota tentera dimasukkan ke dalam liang lahad.

Majlis pengebumian dengan istiadat ketenteraan yang bermula jam 2.30 petang itu disaksikan kira-kira 2,000 orang termasuk ahli keluarga, saudara mara dan sahabat handai Mastura.

Jenazah turut diiringi bapanya, Mustafa Abdul Samad, 83; suami, Mohamed Affendi Khairuddin, 43 dan anak tunggalnya, Muhriz Marzaidi, 10.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Terdahulu, selepas solat jenazah di Masjid At-Taqwa, Paroi, di sini, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan Mohamad dilihat menenangkan Mustafa yang tidak dapat menahan kesedihan ketika ahli keluarga rapat diberi masa 10 minit menghampiri keranda jenazah sebelum dibawa ke tanah perkuburan.

Sebelum ini kami pernah nesuami kepada pramugari MH17 menerima mesej yang lain macam dan pelik dari isterinya sebelum nahas berlaku.

Mastura Mustafa menghantar mesej: "Sayang takkan selamanya sentiasa ada bersama abang, suatu hari nanti sayang akan pergi temui ALLAH takkan kembali."

Mastura Mustafa menghantar mesej melalui aplikasi WeChat kepada suaminya suaminya Mohamed Affendi Khairuddin sebelum insiden yang meragut kesemua penumpang MH17.

Mohamed Affendi yang juga merupakan seorang guru agama berkata isterinya ada sempat memohon maaf atas segala kesalahannya dalam perbualan menerusi aplikasi Wechat itu.

Ini kata suaminya:

"Saya terasa agak pelik tetapi saya menasihatkan dia semua orang akan pergi bertemu ALLAH, tiada siapa yang kekal, tapi biarlah kita pergi menghadap ALLAH dalam keadaan yang diredai."

"Saya memang rasa amat sedih sebab benda yang sebelum ini terjadi pada orang lain macam kes kehilangan pesawat MH370, tidak disangka kini berlaku pada saya."

Kali terakhir beliau bertemu dengan isterinya itu adalah sebelum penerbangan tersebut dari Kuala Lumpur ke Amsterdam. Abang Mastura yang juga kakitangan MAS memaklumkan insiden tragis tersebut kepada Affendi.








MH17: Video Instagram pengubat rindu keluarga Hamfazlin Sham

AHLI keluarga menyambut ketibaan jenazah Krew Penerbangan Pesawat MH17, Hamfazlin Sham Mohamed Arifin,38, sejurus tiba dari KLIA dikediaman mereka di Seksyen 6, Wangsa Maju. Gambar kecil: Hamfazlin Sham.

KUALA LUMPUR: Video yang dimuat naik menerusi laman sosial Instagram dengan kapsyen "Bismillah..#hatiadasikitgentar" menjadi simpanan anggota keluarga Allahyarhamah Hamfazlin Sham Mohamed Arifin, 37, pramugari Malaysia Airlines (MAS) yang terlibat dalam nahas pesawat MH17.

Video itu dirakam dan dimuat naik menerusi laman sosial Instagram milik seorang penumpang pesawat MH17, Mohd Ali Mohd Salim sebelum pesawat itu berlepas dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada 17 Julai lepas dan rakaman itu tersebar luas menerusi laman-laman sosial Internet.

Menurut sepupu Allahyarhamah Hamfazlin Sham, Roziawati Che Abdul Aziz, 32, video dengan durasi 15 saat itu memperlihat kelibat Allahyarhamah Hamfazlin Sham yang sedang menutup ruangan bagasi di dalam perut pesawat.

Roziawati berkata video itu kini disimpan sebagai tatapan setiap kali beliau dan anggota keluarga lain merindui dan ingin melihat wajah Allahyarhamah Hamfazlin Sham yang disifatkan sebagai seorang peramah.

"Walaupun hanya terlihat kelibat Allahyarhamah Hamfazlin sedang menjalankan tugasnya di dalam perut pesawat, tetapi video itu amat bermakna buat saya dan keluarga kerana sekurang-kurangnya kami dapat melihat wajahnya," katanya.

Roziawati berkata demikian kepada Bernama ketika dalam perjalanan menuju ke Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Gombak, dekat sini pada Jumaat untuk upacara pengkebumian jenazah Allahyarhamah Hamfazlin Sham.

Sementara itu, adik bongsu Allahyarhamah Hamfazlin Sham, Hamnelly Sham, 34, berkata video itu menjadi bukti kukuh bahawa kakaknya adalah seorang daripada anak kapal yang terlibat dalam tragedi tersebut.

"Pada awal mendengar berita pesawat MH17 terhempas dan semua penumpang termasuk anak kapal terkorban, kami sekeluarga berharap agar Allahyarhamah Hamfazlin Sham tidak terlibat, tetapi setelah melihat video itu, kami menerima takdir bahawa Allah lebih sayangkan dia.

"Saya ada menyimpan video itu, meskipun hanya sekejap dapat melihat wajah kakak saya. Itu adalah kali terakhir saya melihat wajah beliau," katanya dalam nada sebak.

Jenazah Allahyarhamah Hamfazlin Sham adalah antara 20 jenazah mangsa tragedi nahas MH17 yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang melalui penerbangan khas Malaysia Airlines dari Amsterdam, pada Jumaat.

Sehingga kini, 30 jenazah warga Malaysia - termasuk 20 yang dibawa pulang pada Jumaat- telah dikenal pasti oleh pihak berkuasa Amsterdam.

Pesawat MAS MH17 ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai dengan mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapal.




-astroawani










IKLAN BERBAYAR

Jangan Biarkan Pasangan Anda Menderita,
Atasi Masalah Prostat & Kelemahan Zakar Dengan MEN CAPSULE.
KLIK SINI
LIKE kami di SINI





Dapatkan produk kesihatan untuk menambahkan kekuatan lelaki
dengan produk kami. Sila klik SINI



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.