18 Sep 2013

Kerjasama PAS-UMNO? Sorry, NTBL .. No Time Bo Layan..


PAS tolak kerjasama dengan Umno.

Timbalan Pesuruhjaya III PAS Selangor, Khalid Samad berkata, tidak ada ruang kerjasama dengan Umno selagi ia tidak mengubah dasar dan perjuangan parti itu.

Khalid berkata, tawaran kerjasama yang diumumkan Umno hanyalah mainan politik parti itu semata-mata.

"Selagi Umno tetap Umno maka tidak ada ruang kerjasama, ia tidak akan langsung berlaku," kata ahli Parlimen Shah Alam itu pada satu sidang media PAS Selangor hari ini di Shah Alam.

Khalid yang dilihat menyindir parti itu berkata, isu kerjasama Umno dan PAS sering dibangkitkan parti tersebut.

"Mereka cerita hendak kerjasama tapi seolah-olah Umno ini biasanya kata mahu jadi kawan kita lepas itu dia ketuk kepala kita jadi bagaimana untuk kita mempercayai mereka," katanya.

Pada masa sama, PAS Selangor turut menjelaskan salah faham yang berlaku berhubung tahaluf siyasi antara PAS dan Pakatan Rakyat (PR) ketika Multaqa Ulama Se-Malaysia minggu lalu.

Menurut Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abul Rani Osman media memberi gambaran salah berhubung perkara tersebut.

"Tidak salah dengan tahaluf siyasi tersebut kerana ia bertujuan menambah baik namun perbincangan mengenai keluar dari PR itu telah disalah tafsirkan," katanya.

Menurut Rani, PAS juga tidak memberi kekebalan kepada mana-mana ahli yang menggugat hubungan parti Islam itu dengan PR.

"Sejarah PAS membuktikan naib presiden PAS sebelum ini telah digugurkan pesuruhjaya juga kita pecat apabila mereka ini kita lihat terkeluar dari dasar perikatan PAS dan PR," kata Rani merujuk kepada Nasharudin Mat Isa dan Datuk Hassan Ali.

Ia turut disokong oleh Khalid yang mengakui PAS gagal menangani dakyah Umno di peringkat akar umbi parti itu.

"Kerana itu kita bertekad ingin meningkat kefahaman terhadap ahli-ahli PAS tentang perikatan ini,"kata Khalid yang juga merupakan ahli Parlimen Shah Alam.

Semalam Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam ucapannya menawarkan kembali kerjasama antara Umno dan PAS demi kepentingan umat Islam Malaysia.

Muhyiddin berkata orang Islam di negara ini masih belum berada di tahap terbaik terutama dari segi pembangunan ummahnya. -TMI


'Selagi hidup, aku tak layan kerjasama PAS-Umno'


PAS Selangor hari ini menyifatkan kerjasama politik atau tahaluf siyasi dengan Pakatan Rakyat selepas pilihan raya umum 2008 banyak mendatangkan kebaikan dan membanggakan parti itu.

Pesuruhjaya PAS negeri Dr Abd Rani Osman (kiri) menegaskan parti itu tidak pernah rugi dengan kerjasama dengan PKR dan DAP, sebaliknya memberi banyak faedah hasil daripada kerjasama itu.

ADUN Meru juga berkata kerjasama itu menyebabkan PAS diterima oleh kaum lain dan tidak hanya tertumpu kaum Melayu sahaja

"Melalui tahluf siyasi ini, PAS tidak pernah rugi ini malah paling banyak terima kebaikan," katanya dalam sidang media di Shah Alam pagi ini.

"Kalau dulu orang Cina, India dengar PAS takut. Tetapi sekarang mereka datang berduyun-duyun dengar kita punya ceramah dan dapat menerima Islam sebagi satu agama yang syumul," katanya lagi.

Beliau mengulas kenyataan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa kajian semula PAS dengan Pakatan mestilah untuk menambahbaik kerjasama sedia ada, ekoran resolusi persidangan ulama di Kedah hujung minggu lalu.

Resolusi persidangan ulama yang diadakan di Kota Sarang Semut, Kedah antara lain mahu PAS mengkaji semula kedudukan mereka dalam Pakatan.

Khalid: Dia ketuk, kemudian ajak kawan

Ditanya berhubung tawaran Umno untuk bekerjasama dengan PNONEAS, Dr Abd Rani berkata:

"Selagi aku hidup, takkan aku layan benda itu".

Kemudian Timbalan pesuruhjaya III PAS Selangor Khalid Samad yang turut berada dalam sidang media itu mencelah:

"Saya nak petik kata-kata almarhum (bekas presiden PAS) Ustaz Fadhil (Nor), beliau kata Umno ni manusia yang pelik, dia ketuk kepala kita, lepas tu dia ajak jadi kawan.

"Lepas tu dia ketuk kepala kita lagi, dia ajak jadi kawan (lagi)," katanya yang juga ahli parlimen Shah Alam.
-mk

Mursi: "Aku Tak Akan Mundur Meski Nyawa Jadi Taruhan"


Presiden Mesir yang digulingkan Muhammad Mursi bertekad dengan tegas terhadap rejim baru negara itu dalam merebut kekuasaan. Mursi menyatakan, tidak akan mundur dari peta politik meski nyawa menjadi taruhannya.

"Saya tetap berdiri di tanah ini (Mesir) sampai nafas terakhirku," kata Mursi, baru-baru ini, seperti disiarkan Anadolu Agency, Selasa (17/9). Ungkapan itu diucapkan sewakrtu beliau melakukan komunikasi rahsia bersama sanak keluarganya.

Anadolu Agency melaporkan, Mursi berhasil melakukan sambungan telepon dengan anggota keluarga. Di dalam percakapan tersebut, Mursi mengatakan keadaan dirinya setakat ini baik saja.

Meski pun, katanya, sewaktu berada dalam penjara, tidak satu pun maklumat dari luar luput dari pantauannya. Hanya saja, menurutnya, dirinya tidak tahu beliau berada di penjara mana.

Sambungan melalui seluler itu dikatakan komunikasi pertama Mursi setelah beliau dimasukkan ke penjara oleh pihak tentera.

Pejabat berita di Ankara, Turki itu menyatakan, sejak dikudeta oleh Panglima Tentera Jenderal Abdel Fattah el-Sisi, Mursi dilarang bertemu dan berkomunikasi dengan sanak keluarga serta handai taulan.

Selama percakapan, Mursi pun menceritakan tentang introgasi paksa terhadap dirinya. Bulan lalu, kata di, seorang mengaku pendakwa menemuinya di penjara. Tapi, cerita Mursi, introgasi dilakukan tanpa mengetahui muka.

Itu dikatakan dia, lantaran penjaga penjara memberi kain hitam penutup mata dan wajah terhadap Mursi. Pembicaraan itu pun dikatakan dia tidak berlangsung lama. "Saya katakan kepada mereka (pengintrogasi), 'saya presiden yang sah negara ini'," sambung Mursi.

Selanjutnya, kata dia, apapun yang dituduhkan terhadapnya adalah tidak benar. Mursi menegaskan punya kekebalan hukum sebagai presiden yang sah di Negeri Piramid itu.

"Saya menolak untuk mengakui semua itu (tuduhan)," ujar dia.

[LIVE] Tribunal Rakyat: Saksi Dedah 60 Pengundi Dalam Satu Rumah -updated


Tribunal Rakyat anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) diberitahu hari ini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak boleh berbuat apa-apa berhubung kecurangan dalam daftar pemilih.

Saksi pertama, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata, beliau pernah membuat aduan kepada SPR mengenai nama yang diragui dalam daftar pemilih.

“Saya beritahu SPR pada November terdapat 60 nama berdaftar dalam satu rumah. Pemilik rumah terlebih dahulu memberitahu saya beliau tidak membenarkan orang lain untuk menggunakan alamatnya untuk berdaftar sebagai pemilih,” katanya.

Santiago berkata, SPR membuat penyiasatan mereka sendiri dan mengakui terdapat masalah.

“Mereka mengakui terdapat 60 nama berdaftar dalam rumah itu tetapi memberitahu saya mereka tidak boleh berbuat apa-apa mengenainya.

“Mereka (SPR) mengatakan undang-undang tidak membenarkan perubahan terhadap daftar pemilih,” katanya.

Tribunal itu ditubuhkan sebagai respon terhadap kemarahan orang awam berhubung dakwaan penipuan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 lalu. -TMI

Saksi pertama Tribunal Rakyat dedah pengundi hantu dalam satu bas

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago menjadi saksi pertama prosiding Tribunal Rakyat, sebuah inisiatif Gabungan Pilihan Raya Bebas & Adil (Bersih 2.0) bermula 18 hingga 22 September.

Charles dalam keterangannya mengemukakan aduan berhubung pendaftaran 60 pengundi pada satu alamat di kawasan Parlimen Klang pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 13 lepas.

Jelas Charles, beliau turut mengemukakan aduan berkenaan pengundi diragui kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) namun pihak SPR menyatakan nama pengundi-pengundi ragu itu sudah gazetkan dan tidak boleh dikeluarkan.

Charles juga mendedahkan terdapat pekerja asing yang dibayar oleh pihak tertentu bagi mengundi pada PRU lepas. Beliau juga turut mendedahkan kepada tribunal insiden orang ramai di Pandamaran yang menahan bas dipercayai menjadi pengundi hantu pada 5 Mei lepas.

Kira-kira 100 orang mengikuti perjalanan prosiding tribunal itu yang bertempat di Throne Room, Hotel Empire, Subang Jaya yang bermula dari jam 9 pagi hingga 5 petang.

Ianya turut disiarkan secara langsung di TVSelangor pada pautan www.selangorku.com dan melalui radio rasmi Tribunal Rakyat di pautan www.radiobangsarutama.com.

Enam individu ternama yang berkelayakan akan menganggotai Tribunal ini, tiga dari luar negara dan tiga dari Malaysia.

Mereka akan duduk bersidang untuk menerima, meneliti dan menyiasat laporan orang ramai dan akhirnya mereka akan mengeluarkan laporan kepada umum.

Tiga individu dari luar negara ialah bekas Wakil Khas Setiausaha Agung PBB di Kemboja, Yash Pal Gai, bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Indonesia, Ramlan Surbakti dan Kraisak Choonhavan, bekas Presiden ASEAN Inter-Parliamentary Myanmar Caucus (AIPMC).
-selangorku


[LIVE] Tribunal Rakyat Dedah Penyelewengan PRU13 Bermula Sekarang


Orang ramai dialu-alukan untuk hadir mengikuti prosiding Tribunal Rakyat, sebuah inisiatif Gabungan Pilihan Raya Bebas & Adil (Bersih 2.0) bermula dari 18 hingga 22 September bertempat di Throne Room, Hotel Empire, Subang Jaya.

Tribunal itu akan bermula dari jam 9 pagi hingga 5 petang.

Ianya turut disiarkan secara langsung di TVSelangor pada pautan www.selangorku.com dan melalui radio rasmi Tribunal Rakyat di pautan www.radiobangsarutama.com.

Enam individu ternama yang berkelayakan akan menganggotai Tribunal ini, tiga dari luar negara dan tiga dari Malaysia.

Mereka akan duduk bersidang untuk menerima, meneliti dan menyiasat laporan orang ramai dan akhirnya mereka akan mengeluarkan laporan kepada umum.

Tiga individu dari luar negara ialah bekas Wakil Khas Setiausaha Agung PBB di Kemboja, Yash Pal Gai, bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Indonesia, Ramlan Surbakti dan Kraisak Choonhavan, bekas Presiden ASEAN Inter-Parliamentary Myanmar Caucus (AIPMC).

Untuk sebarang maklumat dan pertanyaan, boleh menghubungi sekretariat penganjur di talian 03-77844977 atau melalui emel di alamat bersih.tribunal@gmail.com

Hukuman Keatas Peserta Ops Bubar Terlalu Keras


Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak hukuman dua tahun penjara yang dijatuhkan terhadap 13 peserta demonstrasi dalam insiden rampasan kuasa di Perak pada tahun 2009, KeadilanDaily dipetik.

“Terlalu keras hukuman,” tegas Anwar dalam twitter. Anwar mengulas keputusan hakim Norsalha Hamzah yang memutuskan semua peserta didenda RM5,000 dan penjara dua tahun mandatori.

Sementara itu, Naib Pengerusi KEADILAN Perak, Chang Lih Kang pula menyifatkan hukuman berkenaan mirip seperti yang berlaku di Mesir sekarang.

Katanya, hukuman itu hanya mendedahkan kebobrokan demokrasi di Malaysia apabila hak asasi rakyat ditutup dengan penjara manakala pemimpin korup terus kekal berkuasa.

“Hukuman itu juga langsung tidak mengikut prinsip kedaulatan undang-undang apatah lagi hakim yang mengadili pula lebih cenderung untuk menghukum Orang Kene Zalami(OKZ) berbanding mendidik, ini tidak ubah seperti di Mesir!

“Apatah lagi tidak ada penangguhan pelaksanaan dibenarkan walhal Mahkamah Sesyen sepatutnya membenarkan perkara itu dilaksanakan atas budi bicara untuk menghormati OKZ dan keluarganya,” ujar Adun Teja itu kepada Keadilan Daily.

Mengulas lanjut, beliau tidak menolak kemungkinan wujudnya tangan ghaib yang mengatur hukuman itu sebagai amaran supaya rakyat lain tidak bangkit menyatakan kebenaran.

“Ini yang buat kita khuatir kerana mahkamah yang sepatutnya menjadi tempat rakyat menuntut keadilan sudah bertukar menjadi gelanggang untuk tangan ghaib yang zalim menunjukkan keangkuhan mereka.

“Justeru, saya desak mahkamah segera membebaskan kesemua OKZ itu tanpa sebarang syarat kerana apa yang dilakukan tidak bertentangan dengan prinsip perlembagaan yang membolehkan himpunan aman dibuat,” katanya.

Tambah Lih Kang lagi, Pakatan Rakyat Perak turut mengadakan kutipan dana untuk membantu OKZ membayar denda RM5,000 yang dikenakan selain program kebajikan untuk membantu keluarga mangsa tersebut.


Ops Bubar: Hakim dengar permohonan Khamis ini


Mahkamah Tinggi Taiping hari ini menetapkan 19 September ini (Khamis) untuk pendengaran permohonan penangguhan hukuman yang dijatuhkan terhadap 13 peserta demonstrasi di Bukit Chandan ketika krisis politik Perak tahun 2009 lalu.

Hakim, Datuk Ahmad Nashfi telah menerima permohonan tersebut untuk didengarkan selepas bertemu dan berbincang dengan pihak peguam tertuduh ketika prosiding.

Peguam tertuduh, Aminuddin Zulkipli turut memfailkan perakuan segera bagi mempercepatkan pendengaran kes tersebut.

"Setelah berbincang, berjumpa dengan hakim, Yang Arif telah menerima untuk pendengaran penangguhan hukuman tersebut pada Khamis ini.

"Dan kita akan serahkan DPP (Timbalan Pendakwa Raya) sama ada mereka akan membantah atau tidak membantah permohonan itu dan kita akan tengok keputusannya," katanya.

Kesemua 13 tahanan tersebut akan turut dibawa ke mahkamah untuk pendengaran tersebut pada Khamis ini.

Ketika ditanya tentang peluang permohonan tersebut, Aminuddin yang juga Pengerusi Lajnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia PAS Perak menyeru seluruh rakyat khususnya penyokong Pakatan Rakyat serta pencinta demokrasi dapat bersama-sama berdoa agar ada sinar kegembiraan dalam proses pendengaran itu nanti.

"Kalau tanya saya, sudah semesti saya kata ada peluang cerah, tanya peguam mana pun mereka akan jawab begitu," jelasnya dalam nada spontan.

Antara pimpinan yang hadir ialah Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss, Penolong Setiausaha Dewan Pemuda PAS Perak, Safarizal Saleh, Yang Dipertua PAS Taiping, Ustaz Fakhruddin dan Adun Kuala Sepetang, Chua Yee Ling.

Hadir sama ialah ahli keluarga tahanan dan aktivis masyarakat serta penyokong Pakatan Rakyat.
-HD

Najib Bantu Utusan Cari Wang Bayar Saman?


Iklan GLC untuk bayar saman Utusan?

Semasa merasmikan bangunan baru milik akhbar berbahasa Melayu Utusan Malaysia, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menggesa agar syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta syarikat milik Melayu dan Bumiputera untuk membeli iklan daripada akhbar berkenaan bagi membantu kelangsungan mereka.

Menurut Najib, Utusan Malaysia adalah lambang kejayaan kaum Melayu di negara ini.

"Saya harap kepada badan kerajaan, GLC,dan syarikat Bumiputera mereka menghargai Utusan dengan pengiklanan lebih kepada Utusan.

“Ini sahaja dapat letakkan Utusan di atas landasan lebih kukuh," katanya.

Najib menyifatkan sejak 70 tahun penubuhan akhbar berkenaan ia bertujuan untuk memperjuangkan komuniti Melayu.

"Jika Utusan sebagai suara lidah keramat Melayu, lambang imej Utusan juga lambang kejayaan orang Melayu," kata Najib dalam ucapan perasmian bangunan baru akhbar berkenaan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Apakah gesaan Najib baru-baru ini agar GLC membeli lebih banyak iklan untuk membayar saman-saman fitnah Utusan Malaysia?

Hari ini Datuk Husam Musa kerana beliau berjaya menyelesaikan fitnah terhadapnya menjelang muktamar empat tahun lalu apabila edisi Ahad Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia bersetuju untuk menarik balik fitnah itu dan membayar kos RM40,000 kepadanya.

Persetujuan ini dicapai melalui penyelesaian damai yang dibacakan di depan Hakim Siti Khadijah S Hassan Badjenid di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

Mingguan Malaysia bersetuju untuk menyiarkan penarikan balik itu dalam keluarannya 22 September ini.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur 4 Julai lalu memerintahkan Utusan Malaysia membayar ganti rugi umum dan teladan sebanyak RM250,000 kepada bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin atas saman yang difailkan terhadap akhbar itu berhubung isu pendaftaran nombor plat kereta WWW1, pada tahun lalu.

Peguam Nizar, Fitri Asmuni memberitahu The Malaysian Insider, Hakim Rosnani Saub dalam keputusannya mendapati Utusan Malaysia bersalah melakukan fitnah terhadap Nizar dan akhbar itu gagal dalam pembelaannya yang menyatakan tindakan mereka menyiarkan kenyataan Nizar menerusi akaun Twitternya itu adalah satu justifikasi, komen berpatutan, perlindungan bersyarat dan kewartawanan.

Januari tahun ini, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menang dalam tuntutan saman terhadap Utusan Malaysia selepas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk VT Singham mendapati akhbar itu memfitnah Anwar dalam dua artikel.

Pada Februari 2011, Mahkamah Rayuan memerintahkan Utusan Malaysia membayar ganti rugi RM200,000 kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berhubung penyiaran artikel bertajuk `Kebiadapan Guan Eng' yang disiarkan pada 20 Disember 2011.

Utusan Malaysia sebelum ini menimbulkan kontroversi apabila laporan muka hadapan akhbar berkenaan memaparkan tajuk "Apa Lagi Cina Mahu" sejurus selepas Pilihan Raya 2013.

Laporan berkenaan menimbulkan reaksi negatif pelbagai pihak yang mengkritik penerbitan berkenaan. Pendirian Najib menimbulkan tanda tanya.

Najib yang sebelum ini memperkenalkan Gagasan 1Malaysia itu kini dilihat tunduk kepada kumpulan berhaluan kanan dalam Umno untuk mengekalkan kedudukannya menjelang pemilihan parti itu Oktober ini. -TMI