9 Jul 2013

Zahid Kelam-kabut Kesnya Tumbuk Ahli Perniagaan Disebut Di Parlimen


Dewan riuh-rendah isu perbicaraan kes Zahid

Tindakan seorang Ahli Parlimen DAP yang meminta penjelasan daripada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung satu perbicaraan melibatkan Menteri Dalam Negeri itu menyebabkan Dewan Rakyat riuh-rendah kira-kira setengah jam.

Gobind Singh Deo (DAP-Puchong) meminta Zahid memberi penjelasan mengapa tiada tindakan diambil oleh pihak polis terhadap menteri tersebut mengenai satu laporan berhubung dakwaan tuduhan menyerang dan cubaan membunuh pada 2006.

"Bukan sahaja isu jenayah, tetapi lebih penting apabila tiada tindakan yang diambil polis seperti kes yang telah dilaporkan. Kes jenayah serius, kes cubaan membunuh.

“Rakyat buat laporan tapi tak ada tindakan, malah tindakan diambil sebaliknya. Tak ambil tindakan tapi naikkan pangkat kepada kerusi yang paling berkuasa dari polis.

"Satu laporan polis dibuat terhadap kamu!,"
kata Gobind.

Tindakan itu mengundang teguran dari Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang meminta Gobind bertanya dengan cara yang lebih "lembut".

Suasana riuh rendah itu berterusan apabila beberapa MP bangun untuk menyertai perbahasan, termasuk Datuk Seri Noh Omar (BN-Tanjung Karang), Datuk Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) dan Mohamad Hanipa Maidin (PAS-Serdang).

Ucapan para MP berkenaan bagaimanapun kemudiannya dihalang oleh Pandikar yang meminta wakil rakyat berkenaan duduk untuk memberi ruang kepada Zahid untuk menjawab.

Zahid dalam jawapannya selepas itu mempersoalkan tindakan Gobind dalam membangkitkan isu berkenaan kerana MP tersebut merupakan peguambela dalam kes berkenaan.

"Kerana kamu adalah peguam bela dan ada kepentingan terhadap orang itu, melakukan tuduhan. Sedangkan siasatan telah dilakukan ketika itu dan ini bukan kes jenayah tetapi sivil. Kamu ada kepentingan.

"Jika saya dengar awak, awak kena dengar saya. Kes ini kes sivil. Kita jumpa di mahkamah," kata Zahid.

Mahkamah Persekutuan pada 27 Jun lalu menolak permohonan Zahid untuk mengenepikan saman yang dikemukakan ke atasnya oleh seorang ahli perniagaan, Amir Bazli Abdullah.

Amir Bazli, 39, pada Ogos 2007 memfailkan saman ke atas Zahid dan mendakwa menteri itu menumbuk muka beliau dalam satu kejadian pada Januari 2006.

Pada Julai 2007, Ahmad Zahid memfailkan permohonan untuk membatalkan saman malu itu dengan alasan ia mengaibkan dan remeh-temeh. -mk

Ulasan GB

Kita pun rasa hairan dan pelik, kes menumbuk orang sehingga patah hidung (kecederaan kekal) dan rosak kekal di bahagian sebelah kiri mata hanya dikategorikan sebagai kes sivil dan bukan kes jenayah.

terlalu ketara polis yang berat sebelah dan jika menurut keterangan Gobind Singh Deo, laporan polis telah dibuat tetapi tiada siasatan dilakukan.

Sepatutnya satu lagi lpolis dibuat, kali ini, keatas polis yang tidak melakukan siasatan walaupun laporan telah dibuat.

[VIDEO] Akta Hasutan: Rakyat Kena Tipu Bulat-bulat Oleh Najib


Akta Hasutan: Najib didesak nyata pendirian

Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak konsisten untuk memansuhkan Akta Hasutan.

“Sejak tahun lalu Najib menyatakan usahanya untuk memansuhkan akta ini digantikan dengan Akta Keharmonian Nasional,” kata Nurul Izzah dalam sidang media di ibu pejabat KEADILAN.

Katanya, Najib dilihat bercanggah dengan pendirian Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Zahid Hamidi yang menyelar pihak yang mahu akta tersebut dimansuhkan.

Zahid baru-baru ini berkata, pemansuhan Akta Hasutan menyebabkan agama Islam, kedudukan Raja-raja Melayu, bahasa Melayu dan hak keistimewaan oang Melayu dicabar.

“Akta ini hanya senjata politik dan bukan alat untuk pelihara hak rakyat Malaysia. Jelas sekali Akta Hasutan akan menghakis legitimasi demokrasi kerajaan,” katanya.

Nurul Izzah berkata, undang-undang sedia ada mencukupi antaranya Seksyen 505 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang mampu menangani isu yang menimbulkan kebimbangan masyarakat.

Tambahnya, Akta Hasutan yang diwujudkan penjajah British pada 1948 mempunyai peruntukan yang menyekat hak perlembagaan dan kebebasan bersuara rakyat Malaysia.

Malah, laras, terma dan liputan bahasa yang digunapakai terlalu luas dan berpotensi disalahguna pemerintah.

“Kerajaan sewajarnya mengambil kira ‘kehendak rakyat majoriti’ dan ‘kehendak politik’ untuk memulihkan demokrasi. Bukannya mengambil akta anti demokratik,” ujarnya. -KD


Subramaniam: Mansuh Akta Hasutan cadangan Najib, Kabinet belum putuskan


Pemansuhan Akta Hasutan hanya cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kata Menteri Kesihatan tetapi belum diputuskan Kabinet, kata Datuk Seri S Subramaniam.

"Perdana Menteri ada hak untuk membuat keputusan kerana beliau pemimpin negara. (Tetapi) kita belum putuskan lagi. Kenyataan Perdana Menteri akan dibincang dan keputusan terbaik akan dibuat Kabinet.

"Jika akta itu menyekat kebebasan bersuara, kita perlu semak kembali," kata Ahli Parlimen Segamat itu ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata, Najib perlu membentang Akta Keharmonian Negara ke Kabinet dan menyuarakan pendapatnya jika mahu melaksanakan undang-undang berkenaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim ketika ditemui di Parlimen pula, berkata akta itu penting bagi mengekang 187 kumpulan gangster di negara ini .

Shahidan berkata, kumpulan gangster itu mengupah peguam mewakili mereka jika dihadapkan ke mahkamah dan akta berkenaan perlu bagi mengekang gejala berkenaan.

"Mereka bebas ke sana-sini, malah ada peguam mewakili mereka. Adakah kita mahu mereka bebas seperti itu?" katanya kepada The Malaysian Insider.

Najib membuat pengumuman untuk memansuh Akta Hasutan dan digantikan dengan Akta Keharmonian Nasional, pada Julai 2012.

Baru-baru ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyelar sikap sesetengah pihak yang mendesak supaya akta itu dimansuh tanpa memikirkan impak negatifnya.

Atas desakan pihak tertentu sebelum ini, katanya, kerajaan memansuh Ordinan Darurat 1969 dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Ahli Parlimen Bagan Datoh itu menyifatkan pemansuhan undang-undang tertentu sebelum ini dilihat menjurus kepada peningkatan kadar jenayah.

Pemimpin pembangkang sebelum ini membangkitkan isu berhubung pemansuhan Akta Hasutan dan menggesa Najib menunaikan janjinya.
-TMI



Khabar Dari Mesir: Mursi Kirim Pesanan Dari Dalam Tahanan


Mesir: Dr. Muhammad Morsi yang ditahan oleh tentera di Bangunan Pengawal Republik semalam turut mengirim nota pesanan kepada seluruh penyokong beliau di Mesir.

Dalam kiriman itu, Morsi menulis "Jarak antara kekalahan dan kemenangan adalah kesabaran satu saat. Aku yakin akan kembali kepada rakyat yang telah memberikan mandat melaksanakan amanah ini.”

Pesanan itu dibawa dan disampaikan oleh pemimpin Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) Dr. Solah Sultan, di hadapan jutaan penyokong Morsi yang berkampung di hadapan Bangunan Pengawal Republik sejak beliau dijatuhkan secara rampasan kuasa oleh tentera beberapa hari lalu.

Menurut Dr Solah, nota itu diberikan Morsi kepada seorang pengawal dari dalam tahanan dan telah menyerahkannya kepada beliau.

Semalam, di hadapan bangunan ini jugalah dilaporkan lebih 50 penyokong Morsi terbunuh ditembak ketika sedang solat Subuh manakala lebih 300 lagi cedera.

Minta sejadah dan al-Quran

Sementara itu, seorang ulama Khalid Gharib seperti dilapor Islam Post dilaporkan berkata, sepanjang dalam tahanan, Morsi tidak meminta apa-apa selain al-Quran dan sejadah.

Menurutnya, seorang jeneral tentera yang mengawal Morsi bernama Shubhi enam kali datang memujuk Morsi agar menerima rampasan kuasa ini.

“Tapi setiap kali dia memujuk, Presiden Mursi menolak dan mengatakan: ‘Bunuhlah aku, karena itu sangatlah ringan bagiku berbanding terpaksa bersaksi dusta'"
. -HD

Di manakah Mursi ketika ini?

SELEPAS tiga hari ditahan, banyak persoalan belum terjawab. Pertamanya, di manakah Presiden Mohamed Mursi ketika ini? Apakah nasib beliau masih hidup dan selamat di dalam jagaan tentera atau teruk dibelasah?

Bagaimanakah pula nasib isterinya, Dr Najlaa dan anaknya yang diketahui terputus hubungan sejak penahanan komando tentera di rumah Pengawal Keselamatan Republik Khamis lalu atau Mursi menerima nasib sama seperti bekas pengasas pemimpin Ikhwanul Muslimin, Sheikh Hassan al Banna iaitu dibunuh atau dibicarakan untuk mendapat keadilan seperti Hosni Mubarak.

Tetapi pendakwaan atas kesalahan apa yang Mursi telah lalukan?

Segala persoalan ini belum terjawab dan membawa kepada banyak pertumpahan darah di Dataran Raba’ah dan kawasan sekitar Tahrir.

Sejak penggulingan Mursi, lebih 30 nyawa melayang termasuk tiga daripadanya ditembak tentera manakala lebih 300 cedera akibat dirempuh anggota keselamatan dan kumpulan anti Mursi di seluruh Mesir hingga menyebabkan bandar Port Said, Suez dan Ismalia darurat.

Dua hari selepas mengangkat sumpah sebagai Presiden sementara Mesir, Adly Mansour mengumumkan pembubaran Parlimen dan menggantung Perlembagaan hingga tarikh pilihan raya ditetapkan.

Apa berlaku seterusnya?

Ketika Mursi memenangi Pilihan Raya Presiden 30 Jun lalu, beliau meraih 5.7 juta undi dalam pusingan pertama dan 13.2 juta dalam pusingan kedua, sekali gus menyaksikan gerakan Ikhwanul Muslimin melalui parti sayap Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) memperoleh lebih 10 juta undi ketika Pilihan Raya Parlimen.

Pilihan raya itu dilakukan penuh cabaran demi mendapat demokrasi tanpa pertumpahan darah atau pemimpinnya ditangkap lalu disumbatkan ke dalam penjara atau lebih senang, dibunuh sahaja.

Parlimen Mesir diterajui Mursi kini dikhianati! Pemimpin kanan, Jeneral Abdel Fattah al-Sisi yang dilantik oleh beliau akhirnya merampas kuasa.

Beliau menuduh Mursi melakukan hasutan keganasan, perang saudara, gagal menangani masalah ekonomi dan tidak menunaikan janji pilihan raya serta hanya melantik ahli Ikhwanul Muslimin untuk menduduki jawatan kanan.

Kejatuhan Mohamed Mursi dilihat sebagai kejatuhan kerajaan Islam dan matinya demokrasi di Mesir. Kejatuhan beliau turut memusnahkan pergerakan Ikhwanul Muslimin di Mesir yang telah kukuh sehingga ke tahap ini selama lebih 80 tahun.

Ini adalah kerana Mursi merupakan Presiden pertama negara itu dipilih rakyat secara demokrasi dan sedang berusaha membina kerajaan berasaskan Islam di Mesir, selepas kejatuhan Hosni dalam kebangkitan rakyat pada 2011.

Tetapi apakah nasib Mesir selepas ini, Presiden sementara mula membuat barisan Kabinet yang mempunyai hubungan dengan Amerika Syarikat (AS) dan Israel.

Dari Panglima Tetera, Jeneral Abdel Fattah al-Sisi hingga Penasihat Keselamatan Negara, Mohamed Raafat Shehata dan Menteri Risikan Ahmed Farid, semuanya mempunyai kaitan dengan Israel. Malah tidak mustahil, sekiranya bekas Presiden Mohamed El Baradei diangkat semula sebagai Presiden. Semua teka teki itu belum terjawab.

Dibunuh kejam seperti Sheikh Hasan Al Banna?

Gerakan Islam Ikhwanul Muslimin adalah cabang dalam senario politik Mesir lebih daripada 80 tahun lamanya. Ia dipelopori dan ditubuhkan oleh Sheikh Hassan al Banna pada tahun 1928.

Sheikh Hassan dan pengikut pada asalnya bersatu untuk menggulingkan penaklukan dan pengawalan British di Mesir serta membersihkan negara tersebut dari apa yang mereka nampak sebagai kerosakan akibat dari pengaruh Barat.

Pada awal penubuhannya, gerakan Ikhwanul Muslimin hanya menumpukan kepada isu keagamaan, pendidikan dan khidmat sosial kepada masyarakat, tetapi melihat kepada penyertaan keahlian semakinbertambah, ia beralih ke dalam sfera politik dengan melakukan protes terhadap kerajaan.

Pada era 1940, sayap bersenjata Ikhwanul Muslimin dipersalahkan kerana melakukan perbuatan ganas, termasuk pembunuhan Perdana Menteri Mesir, Mahmud Fahmi al-Nuqrashi pada 1948, sejurus dia mengarahkan pembubaran gerakan Ikhwanul Muslimin.

Al-Banna sendiri dibunuh tidak beberapa lama kemudian. Penyokongnya mendakwa pembunuhan beliau diarahkan oleh kerajaan.

Gerakan ini kemudiannya bergerak secara senyap pada era 1950 selama berdekad di mana pemerintah Mesir terus menjalankan operasi pembersihan anggota gerakan mengakibatkan ramai ahli berpindah ke negara lain dan ada di antara mereka dipenjarakan.

Selama 30 tahun kemudian Ikwanul Muslimin kembali berkembang seiring dengan perkembangan dalam minat mendalami agama Islam sama seperti yang berlaku ketika ini di Mesir dan mereka juga sedang giat memperkukuhkan sinar Islam di negara itu.

Atau dipenjara seumur hidup seperti Hosni Mubarak?

Di sebalik penahanan Mursi dan segala tuduhan tidak berasas itu, mungkinkan Mursi dipenjarakan seumur hidup sama seperti pemimpin diktator Hosni.

Bekas Presiden itu dijatuhi hukuman penjara seumur hidup kerana peranannya dalam pembunuhan penunjuk perasaan semasa kebangkitan rakyat pada 2011.

Keputusan tersebut sekali gus menyaksikan nasib memalukan menimpa pemimpin kuku besi yang pernah mentadbir Mesir selama hampir tiga dekad.

Hukuman berat ke atas bekas pemimpin Mesir berkenaan antara lain, bertujuan meredakan ketegangan menjelang pilihan raya Presiden ketika itu. Hosni merupakan pemimpin Arab pertama dibicarakan di negara sendiri.

Ketika keputusan dibacakan, Hosni tidak menunjukkan sebarang reaksi manakala dua anak lelakinya kelihatan gementar.

Hakim Ahmed Rifaat menyifatkan era pemerintahan Mubarak sebagai “30 tahun yang penuh dengan kegelapan.”

Menurutnya, Mubarak langsung tidak bertindak menghentikan pembunuhan orang awam semasa kebangkitan rakyat selama 18 hari dua tahun lalu.

Lebih 850 penunjuk perasaan dibunuh dengan kebanyakan mereka ditembak mati dan beberapa bandar utama lain melancarkan gelombang kebangkitan rakyat dan peristiwa itu sama seperti apa yang dialami rakyat Mesir sejak 30 Jun lalu.

Kesimpulannya, sehingga kini tiada siapa tahu di manakah Mursi berada dan media juga disekat dari membuat liputan. Nasib isterinya hanya diketahui lewat kelmarin apabila menyatakan tetap berdiri teguh di belakang suaminya untuk menuntut keadilan dan pembebasan.
-SH

Ahli Parlimen Bukan Islam DAP Azam Berpuasa Sebulan

Pemimpin bukan Islam DAP, Dr Ong Kian Ming berazam untuk berpuasa sebulan pada Ramadan kali ini dan percaya produktivitinya meningkat kerana tidak perlu menghabiskan waktu untuk makan tengah hari.

Ahli Parlimen Serdang beragama Kristian itu mahu berpuasa sebagai solidariti kepada umat Islam di Malaysia, malah sudah berpuasa sejak tiga tahun walaupun tidak penuh.

"Menanti untuk berpuasa semasa Ramadan, pertama kali saya cuba untuk berpuasa penuh," tulis Ong melalui akaun Twitternya @imokman, malam tadi.

"Harapan saya, kali ini dapat berpuasa penuh seperti rakan Islam dengan mengambil sedikit makanan seperti buah-buahan pada sahur dan meneruskan perjuangan berpuasa sehingga ke Maghrib," katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Beliau berkata, objektif puasanya sama seperti umat Islam lain iaitu untuk mengawal nafsu dan merasai susah-payah rakan Islam mengharungi puasa pada Ramadan.

"Saya tidak boleh menutup mulut mereka yang mendakwa sedemikian. Asalkan saya mempunyai niat baik dan pengundi di Serdang juga faham akan niat saya ini," katanya merujuk sesetengah pihak yang memperlekeh usahanya.

Bagi merai kemeriahan berbuka puasa, beliau bercadangmenghadiri beberapa majlis berbuka puasa termasuk bersama wakil rakyat lain di Parlimen.

"Hari pertama Ramadan, saya akan berbuka puasa di Parlimen bersama ahli parlimen lain dan pada minggu depan pula, saya mahu berbuka puasa bersama rakan-rakan beragama Islam.

"Saya juga bakal menyertai satu program keluarga angkat bagi merasai sendiri pengalaman keluarga Melayu menjalani ibadah puasa," katanya.

Pengumuman Ong menerima reaksi positif apabila ramai pengikut Twitternya mencadangkan hidangan sesuai untuk bersahur, selain mengundangnya berbuka puasa dan tidak kurang menyangka beliau sudah memeluk Islam.

Umat Islam di Malaysia mula berpuasa Rabu ini setelah Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad mengumumkan tarikh permulaan puasa ditetapkan pada Rabu ini.

DAP sering diberi publisiti negatif dan dituduh anti-Melayu dan anti-Islam oleh Umno.

Pendirian DAP membantah pelaksanaan hukum Hudud digunakan oleh Umno untuk melabel mereka sebagai anti-Islam. -TMI

[BERGAMBAR] Seorang Guru Penolong Kanan Mati Ditembak


Guru Penolong Kanan Hal Ehwal murid Sekolah Kebangsaan Beris Panchor, Bachok, Kelantan, maut selepas terkena tiga das tembakan dalam kejadian di simpang tiga Jalan Beris Panchor Tawang-Kota Bahru, berhampiran sekolah itu, hari ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata dalam kejadian jam 1.40 petang itu, Hashim Mat Zain, 43, yang juga guru muzik sekolah berkenaan meninggal dunia di tempat kejadian selepas cedera terkena tembakan di bahagian dada dan bahu kanan.

"Mangsa yang sedang memandu keretanya ditembak seorang suspek tidak dikenali sebelum keretanya terbabas ke kiri jalan dan berhenti di hadapan sebuah rumah penduduk. Pemeriksaan awal forensik mendapati empat das tembakan dilepaskan suspek, tiga mengenai cermin depan dan satu das mengenai cermin pintu hadapan sebelah pemandu. Sebutir peluru dijumpai dalam kusyen pemandu," katanya.

Jalaluddin berkata, siasatan awal mendapati selain bertugas sebagai guru, mangsa turut menjalankan pelbagai perniagaan dan dipercayai mempunyai masalah hutang.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Baharu, untuk bedah siasat. - Bernama

Guru mati ditembak sebaik keluar sekolah


Bachok: Seorang guru penolong kanan hal ehwal murid Sekolah Kebangsaan (SK) Beris Panchor, Tawang, di sini, mati ditembak sebaik keluar kira-kira 300 meter dari pekarangan sekolah tempatnya mengajar.

Dalam kejadian jam 1.40 petang, mangsa, Hashim Mat Zain, 43, yang baru dinaikkan pangkat awal tahun ini, ditembak ketika memandu kereta Mercedes Benz seorang diri, menyebabkan kenderaannya terbabas ke kiri jalan lalu berhenti di depan sebuah rumah.

Tiga das tembakan di badan

Bapa kepada enam anak yang berasal dari Kampung Tok Dosah, Perupok, Tawang ditemui dengan tiga das tembakan di badan, mati di tempat kejadian dan mayatnya di hantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abd Rahman, berkata pemeriksaan forensik mendapati empat das tembakan dilepaskan suspek dengan tiga daripadanya mengenai mangsa, manakala satu lagi peluru dipercayai .38 dijumpai pada kusyen pemandu.

“Siasatan awal mendapati mangsa turut menjalankan perniagaan. Berdasarkan maklumat, mangsa dipercayai mempunyai masalah hutang daripada beberapa pihak dan perkara itu masih dalam siasatan,” katanya.

Ketika kejadian itu berlaku, tiada pelajar berada di kawasan itu kerana sesi persekolahan sudah tamat pada jam 1.15 petang.

Isteri mangsa, Nur Haziani Deraman, 27, yang juga guru ganti Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Perdana berkata, mereka sempat membeli pakaian Aidilfitri sebelum bercuti ke Hatyai, Thailand, Khamis lalu.

“Selepas pulang dari Hatyai, Sabtu lalu, arwah merancang mengadakan majlis hari lahir anak bongsu, Sufi Izara, 10 bulan yang genap pada hari keempat Aidilfitri. Malah, pagi tadi (semalam) pun dia masih bertanya mengenai majlis itu,” katanya menahan sebak ketika ditemui di rumah mentuanya, di Kampung Tok Dosah.

4 das tembakan

Seorang pekerja kampung, Mohamad Deris, 64, berkata dia terdengar empat das tembakan sebelum keluar dari rumah untuk melihat apa yang berlaku.

Dia terkejut apabila mendapati kereta Mercedes Benz berada di hadapan rumah ibu saudaranya sebelum melihat seorang lelaki rebah pada bahagian gear kereta itu.

“Saya sempat mengajarnya mengucap dan ternampak kesan tembakan di bahagian badannya,” katanya yang tinggal kira-kira 300 meter dari lokasi kejadian.

Pemilik rumah, Siti Aminah Abdullah, 53, berkata ketika kejadian dia sedang menunaikan solat Zohor sebelum dikejutkan dengan bunyi kuat dari luar kediamannya.



“Saya dapati sebuah kereta ada merempuh sedikit bahagian tangga dengan pemandunya dalam keadaan tertunduk,” katanya yang mengenali mangsa kerana sering menunaikan solat di Masjid Muhammadiah, kira-kira 300 meter dari tempat kejadian.
-BH


[VIDEO] Penyokong Mursi Diserang Dengan Peluru Hidup Waktu Suboh


Ikhwan Muslimin mengutuk sekeras-kerasnya tindakan polis yang menembak kejam rakyat yang berhimpun di hadapan Bangunan Pengawal Republik pagi ini sehingga menyebabkan berpuluh terkorban.

Jurucakap rasmi Ikhwanul Muslimin Gehad El-Haddad berkata, kebanyakan mayat yang ditemui dengan kesan tembakan di kepala malah ada yang dijumpai dengan organ hancur dan badan terpisah.

"Kami menjumpai orang yang ditembak di kepala. Kami juga mendapati peluru-peluru yang meletup apabila memasuk badan, menyebabkan organ hancur dan anggota badan terpisah.

"Setiap polis dalam dunia ini perlu memahami bagaimana mahu menyuraikan himpunan. Ini adalah satu aktiviti jenayah yang mensasarkan kepada peserta himpunan. Tiada siapa menjangka perbuatan khianat itu datang dari polis dan pengawal Republik. Arahan untuk membunuh orang-orang Mesir yang datangnya dari tentera Mesir sendiri," katanya dipetik Al-Jazeera.

Menurut beliau lagi, tentera dan polis memulakan tembakan kepada penunjuk perasaan yang berada di bangunan Pengawal Republik kira-kira jam 3.30 pagi.

Sementara itu, maklumat terbaru menyebut sekurang-kurangnya 53 penyokong Morsi terbunuh termasuk 5 kanak-kanak dalam insiden itu manakala lebih 300 yang lain cedera.

Difahamkan insiden itu terjadi selepas polis dan tentera Mesir cuba menyuraikan peserta himpunan yang berkampung di sini sejak beberapa hari lalu itu dengan kekerasan menjelang waktu Subuh pagi tadi.

Menurut saksi, polis melepaskan gas pemedih mata ketika rakaat kedua solat sebelum qunut dibacakan.

Sejurus selepas itu, mereka kemudian dihujani peluru hidup yang bertalu-talu ditembak ke arah mereka.

Kesemua jenazah yang terkorban kini dikumpulkan di pentas utama himpunan di Dataran Raba'ah. -HD