18 Mei 2013

Impian Najib Tawan Selangor Berkecai, Kisah Musang Yang Gagal Makan Anggur


Akhirnya BN dan Umno bukan sahaja gagal menawan kembali Selangor seperti yang diimpikan oleh Najib, malah kehilangan lebih banyak kerusi.

Lebih pahit lagi, BN mengalami prestasi terburuk apabila hanya 685,502 pengundi yang mengundi parti itu berbanding 1,044,758 pengundi yang mengundi Pakatan Rakyat, demikian lapor harakahdaily.

Pemerhati berpendapat, Najib telah benar-benar menunjukkan kemarahannya kepada Umno Selangor apabila tiada seorang pun pemimpin Umno Selangor yang dilantik sebagai menteri.

Ia memecah rekod kerana tidak pernah berlaku dalam sejarah kabinet tidak mempunyai wakil dari Umno Selangor.

Paling ketara ialah apabila Noh Omar yang sebelum ini Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani digugurkan dari kabinet.

"Mengapa Noh dan pemimpin Umno Selangor yang lain sahaja yang perlu bertanggungjawab sedangkan orang paling awal mesti bertanggungjawab atas kekalahan Umno Selangor ialah Najib sendiri kerana beliau bukan sahaja Pengerusi Perhubungan Umno Selangor malah Pengarah Pilihan Raya BN Selangor.

"Sebab itulah rakyat melihat Noh dimangsakan kerana keengganan Najib untuk bertanggungjawab," kata Naib Presiden PAS, Mahfuz Omar.

Turut diketepikan ialah Kordinator BN Selangor, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed, Pengerusi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang mengiklankan "Sayangi Selangor" yang dipasang pada stesen dan gerabak sistem keretapi komuter di Lembah Klang. Mohd Zin kecundang di parlimen Sepang di tangan peguam PAS, Mohamed Hanipa Maidin dengan majoriti 1,104 undi.

Kisah Najib mengenepikan pemimpin-pemimpin UMNO/BN Selangor dari senarai kabinetnya yang terakhir itu adalah lambang kecewa beliau yang amat sangat kerana kegagalan untuk merampas Selangor dari Pakatan Rakyat.

Walaupun berita-berita yang dikeluarkan BERNAMA dan akhbar-akhbar pencacainya seperti Utusan dan NST cukup membodeknya dengan membuat laporan gila babi bahawa ribuan hadir di setiap perhimpunan UMNO BN di Selangor, rupa-rupanya, benarlah, Bermain Dengan Angka, Najib Dikencingkan Dengan Akhbar Media Perdana.

Kini Najib senyap seribu bahasa mengenai tawan Selangor.

Apabila melihat gelagat Najib itu, teringat kita tentang cerita zaman kanak-kanak dahulu tentang serigala dan anggur masam.

Sang serigala yang sangat kepingin memakan buah anggur telah terkial-kial melompat untuk mendapatkan buah anggur yang terlekat di atas pokok anggur tersebut.

Meskipun beberapa kali serigala malang itu cuba mendapatkan buah anggur tersebut tetapi usahanya gagal kerana lompatannya tidak cukup tinggi untuk mencapai anggur tersebut.

Akhirnya serigala malang tersebut dengan perasaan hampa berlalu pergi daripada pohon anggur tersebut sambil mengeluh saya bukan nak sangat makan anggur tersebut sebab anggur itu masam rasanya.

Anekdot di atas menjelaskan sikap Najib dan UMNO, tak dapat tawan Selangor, maka dicantasnya semua dari kabinet...


Berakhirnya Politik Ibrahim Ali, Si Pengkhianat Itu...


Ibrahim Ali, akhirnya tumpas di gelanggang sendiri. Beliau tewas ditangan Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz dengan majoriti diperolehi calon PAS itu sebanyak 8047 undi.

Nik Abduh, Timbalan Ketua Pemuda Pas Pusat, memperoleh 33,431 undi berbanding penyandang kerusi, Datuk Ibrahim Ali yang mengumpulkan 25,384 kerusi.

Kerusi Parlimen Pasir Mas telah menyaksikan pertembungan satu sama satu setelah calon BN untuk kerusi tersebut, Che Johan Che Pa, tidak menyerahkan borang pencalonan di pusat penamaan calon biarpun hadir sama pagi ini.

Presiden PERKASA mendapat sokongan bulat daripada mantan perdana menteri Dr Mahathir Mohamad untuk mempertahankan kerusi tersebut.

GB sebelum ini pernah menjangkakan kekalahan Ibrahim Ali setelah beliau menipu TGNA dan PAS di Kelantan dimana beliau telah bertindak mengkhianati PAS setelah menang PRU12 pada 2008 di atas tiket PAS.

Berikut ulasan GB di dalam entri Ibrahim Ali Yang Bakal Mati Katak Dalam Politik Malaysia

Ibrahim Ali menyangkakan jika TGNA berundur, harapannya untuk menang di dalam pilihanraya lebih cerah.

Walhal, beliau yang telah menipu TGNA dan PAS di Kelantan tidak menyedari bahawa riwayat politiknya yang bakal berakhir lantaran penipuannya itu.

Bukan TGNA yang ingin bertanding tetapi ahli PAS seuruh negara yang tidak benarkan beliau berundur.

GB jangkakan Ibrahim Ali bakal tewas di dalam PRU akan datang. Dan rakyat Pasir Mas sedang menunggu untuk menghukum Ibrahim Ali di dalam PRU13 nanti. Jangan cuba lari ke kawasan lain!


Maka hukum kebenaran dan keadilan pun berjalan.... berakhirlah riwayat politik pengkhianat yang bernama Ibrahim Ali itu...

Hadiah Untuk Rakyat: BN Menang, GST Pun Dilaksanakan!


Nasibmulah rakyat! BN menang PRU13 walaupun dengan cara yang paling tidak bermaruah

Namun yang lebih mengecewakan, GST dikenakan setelah ditangguhkan sebelum pilihanraya diadakan semata-mata untuk mengelak rakyat daripada melahirkan undi protes. Dan kini ia dilaksanakan sebaik saja Pilihanraya selesai. Begitu mudah rakyat tertipu dan ditipu.

Kata Idris Jala, perlaksanaan GST akan meningkatkan pendapatan negara. Namun ditutupnya fakta bahawa GST akan menurunkan pendapatan rakyat!

Beliau berkata cukai perkhidmatan sebanyak tujuh peratus juga dilaksanakan di negara jiran, Singapura. Tetapi beliau mengabaikan fakta bagaimana Singapura menaikkan pendapatan rakyatnya sehingga pendapatan perkapita rakyatnya USD 60500.


Cahaya Islam Bersinar Di Selangor


Islam mula memancarkan cahayanya di negeri Selangor, jika diukur dari prestasi PAS mencatat kejayaan memenangi 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU-13) baru-baru ini.

Kerusi DUN yang dimenangi PAS ialah Sabak, Taman Templer, Gombak Setia, Hulu Kelang, Lembah Jaya, Chempaka, Dusun Tua, Bangi, Seri Serdang, Paya Jaras, Meru, Selat Klang, Sijangkang, Morib dan Tanjung Sepat.

Keupayaan PAS memenangi tambahan tujuh kerusi lagi menjadikan lima belas berbanding lapan kerusi DUN sahaja pada 2008, peningkatan hampir 100 peratus, merupakan satu lonjakan dan kemenangan yang besar bagi PAS, satu-satunya parti yang menggabungkan perjuangan politik dan aktiviti dakwah.

Pada PRU-13, rakyat Selangor yang terdiri dari golongan teknokrat, kelas menengah dan miskin bandar serta celik internet dan kaya maklumat dengan bebas dan berani menyatakan sokongan kuat kepada PAS.

Jika trend ini berterusan maka suatu hari nanti, kita tidak harus terperanjat jika Selangor, negeri termaju dan terkaya di negara ini, akan mengikut jejak langkah Kelantan, negeri yang terkenal dengan gelaran “Serambi Mekah”.

Analisa keputusan PRU-13 di negeri Selangor khususnya, menunjukkan para pengundi tidak takut dengan dakyah Umno mempermainkan isu pelaksanaan hukum hudud jika PAS berkuasa, baik di peringkat negeri lebih-lebih lagi di peringkat persekutuan.

Walaupun hampir 100 peratus ahli Umno terdiri daripada orang Melayu dan beragama Islam, mereka bersembunyai sebalik tabir MCA, untuk cuba menakut-nakutkan rakyat dengan menghina hudud, hukum yang jelas disebut dalam Al Quran.

Kalaupun ada segolongan rakyat yang termakan dengan suntikan racun Umno-Barisan Nasional (BN) ini, mereka ini adalah orang-orang Melayu yang kurang berpendidikan yang kebanyakannya menetap di kampung-kampung.

Rakyat di bandar dan pinggir bandar, baik orang Melayu, Cina atau India terutamanya di Selangor tidak mudah terpedaya dengan taktik jahat Umno-BN ini dan ini terbukti dengan jumlah undi yang dipungut oleh calon-calon PAS berdasarkan demografi pengundi.

Masyarakat Cina di Selangor jelas mengundi calon PAS di kawasan-kawasan di mana tidak terdapat calon DAP dan nampaknya orang Melayu di kampung lebih takut kepada hudud berbanding masyarakat Cina dan India di bandar.

Pelik tapi benar

Senario yang pelik tetapi benar. Ini adalah kesan daripada indoktrinasi Umno dan Biro Tata Negara yang menanam fahaman perkauman yang sempit, dasar ‘pecah dan perintah’ yang diwarisi daripada penjajah Inggeris serta fahaman sekular yang memisahkan agama dan politik.

Masihkah kau ingat? Lebih 30 tahun yang lalu, ahli-ahli PAS yang komited dengan perjuangan Islam susah hendak bergerak ke sana ke mari kerana takut dicap sebagai anggota parti yang menyeleweng dari ajaran Islam.

Masihkah kau ingat? Parti PAS pada suatu ketika dahulu hanya disertai oleh orang kampung, pak-pak lebai, ustaz dan guru agama yang berketayap dan berserban putih.

Masihkah kau ingat? Imej ahli-ahli PAS digambarkan sebagai mempunyai watak yang jumud, kolot dan kurang berpelajaran serta mempunyai pandangan yang melampau, fanatik dan sebagai pengganas.

Masihkah kau ingat? Ahli-ahli PAS membentuk kumpulan-kumpulan kecil yang dinamakan Usrah dengan bergerak dari rumah ke rumah untuk menyebarkan fahaman politik Islam (siyasah syar’iyyah) sambil berdakwah.

Masihkah kau ingat? Ahli-ahli PAS menganjurkan pelbagai program seperti Tamrin, Halaqah, serta kuliah dan pengajian agama untuk memantapkan kefahaman ahli-ahli lama dan untuk menarik ahli-ahli baru.

Masihkah kau ingat? Ahli-ahli PAS bergerak dalam kumpulan yang lebih besar dengan menganjurkan mesyuarat agung tahunan di peringkat cawangan dan kawasan di mana kehadirannya boleh dibilang dengan jari.

Masihkah kau ingat? Ahli-ahli PAS merekrut ahli-ahli baru dengan cara menyebarkan borang keahlian PAS secara sembunyi-sembunyi dan kadang-kadang dimarahi oleh golongan Umno tegar.


Tetapi kini tidak lagi kerana PAS di Selangor adalah anggota gabungan Pakatan Rakyat (termasuk DAP dan PKR) yang kembali memerintah negeri Selangor untuk penggal kedua.

Kini mesej dakwah Islam disampaikan kepada anggota masyarakat secara terbuka dan meluas serta markas (tempat di adakan mesyuarat parti, program kuliah dan latihan) semakin banyak ditubuhkan dan diimarahkan.

Hijrah Rasulullah

Mengimbau kembali sejarah kedatangan Islam lebih 1,400 tahun yang lalu, maka kita dapati Islam mula berkembang di kota Madinah dan bukannya dikampung atau di desa.

Hijrahnya Rasulullah saw ke Madinah atas perintah Allah yang diberitahu melalui malaikat Jibril adalah kerana warga Madinah menyambut baik Islam yang dibawa oleh baginda. Nama Madinah sendiri membawa makna kota atau bandaraya yang bercahaya.

Sejarah juga memperlihatkan betapa para penduduk Madinah yang digelar golongan Ansar lebih kuat keimanan mereka dan lebih dahulu menerima Islam berbanding golongan Muhajirin, mereka yang ikut berhijrah ke Madinah dari Mekah.

Oleh pancaran cahaya Ilahi, mereka menjadi sangat kasih dan sayang kepada Rasulullah saw dan menyediakan segala keperluan baginda dan para sahabat baginda yang ikut serta berhijrah.

Seruan untuk ‘Ubah’ dan hijrah adalah seruan Allah. Hijrah Rasulullah adalah perintah Allah, pergi ke kota Madinah dengan meninggalkan bangsa Arab jahiliyyah dan orang-orang musyrikin Mekah.

Dengan meninggalkan Umno-BN juga satu bentuk penghijrahan; berhijrah dari parti ‘asobiyyah’ yang sempit, di mana para pemimpinnya sudah tercemar dengan akhlak yang buruk, amalan rasuah dan kronisme serta salah guna kuasa yang bermaharajalela.

Untuk menyekat pengaruh Umno dari terus meracuni pemikiran rakyat, kerajaan negeri perlu menyediakan persiapan dengan lebih intensif seperti menambah peruntukan untuk Hal Ehwal Islam.

Pembinaan sekolah agama rakyat perlu diperbanyakkan terutama di kawasan kubu kuat Umno, bantuan kewangan kepada sekolah agama rakyat dan swasta ditambah, gaji dan elaun guru-guru agama dinaikkan.

Kelas-kelas fardhu ain, termasuk kelas tafsir Al Quran, harfiah, bahasa Arab, tajwid, program ceramah di masjid dan surau harus dipertingkatkan di seluruh negeri supaya Selangor dapat melahirkan masyarakat madani dan celek Al Quran.

Para pegawai Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang membantut dan menentang perkembangan Islam harus ditukar dan digantikan dengan penjawat-penjawat awam negeri yang beriltizam dan beristiqamah dengan perjuangan Islam.

Kerajaan Selangor harus memberi pertimbangan yang sewajarnya terhadap pengwujudan sekolah-sekolah agama ala pengajian pondok seperti di Kelantan, agar dapat melahirkan lebih ramai kader-kader Islam hingga memantapkan pentadbiran kerajaan negeri dengan roh Islam.

Memang ada program untuk menarik anak muda ke masjid tetapi aktiviti serta program seumpama ini harus dipergiat dan ditingkatkan lagi agar anak-anak muda tidak lagha dengan program hiburan yang sengaja dijaja oleh Umno-BN.

Ini adalah sekadar beberapa cadangan yang harus dilakukan oleh kerajaan negeri dengan segera, sambil mengharapkan pertolongan daripada Allah swt dan agar segala usaha kita mendapat keberkatan daripadaNya. -Zainal Abdidin Nor/FMT

Wang Rakyat Dihabiskan Untuk Iklan Ucap Tahniah Kepada Timbalan Menteri


Syarikat kerajaan yang ditubuhkan bagi membina rumah mampu milik bagi golongan berpendapatan rendah dikritik hari ini kerana membayar untuk iklan muka penuh di akhbar Utusan Malaysia milik Umno dan The Star milik MCA untuk memberi ucapan tahniah kepada Datuk Husni Hanadzlah kerana dilantik semula sebagai menteri kewangan kedua.

Iklan oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) (gambar) menyiarkan gambar bewarna Husni dari ahli lembaga pengarah, pengurusan dan pekerja.

Menurut seorang pegawai The Star, SPNB dikenakan bayaran RM59,529.60 untuk iklan tersebut.

Pegawai Utusan Malaysia pula mengatakan mereka mengenakan bayaran sebanyak RM37,000 kepada SPNB.

“Mengapa badan berkanun menggunakan duit pembayar cukai untuk mengucapkan tahniah terhadap pelantikan semula menteri? Ini amalan membodek,” kata ahli Parlimen DAP Tony Pua kepada The Malaysian Insider.

“Sesiapa yang meluluskan ini seharusnya dihukum.”

SPNB adalah syarikat dimiliki penuh oleh Kementerian Kewangan.

Ini merupakan penggal kedua Husni memegang portfolio itu bersama-sama dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang melantik dirinya sendiri sebagai menteri kewangan I.

Pengarah Komunikasi PKR Nik Nazmi Nik Ahmad mengatakan iklan tersebut sebagai “pembaziran” wang awam dan melambangkan obsesi hubungan awam yang telah terbukti tidak memberikan banyak kesan sepertimana semasa Pilihan Raya 2013 lalu.

“Adalah sesuatu yang luar biasa untuk syarikat, terutamanya syarikat kerajaan, untuk mengucapkan tahniah kepada seseorang individu menteri. Ini adalah pembaziran dan menunjukkan contoh tidak baik.

“Ia melambangkan jenis politik fiefdom dan obsesi dengan pendekatan perhubungan awam yang menjadi begitu berleluasa di bawah Najib tetapi tidak memberikan apa-apa kesan,” katanya kepada The Malaysian Insider.

The Malaysian Insider melaporkan sebelum ini persoalan timbul mengenai ahli strategi “bilik perang” Barisan Nasional (BN) yang menggunakan jumlah dana besar akan tetapi gagal untuk menghentikan gabungan pemerintah itu daripada kalah lebih banyak kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam pilihan raya 5 Mei lalu.

Sumber parti mengatakan BN juga melakukan penyumber luaran strategi berkaitan dengan perhubungan awam dan pakar jenama seperti kepada Paul Stadlen dari APCO dan Datuk Seri Ahmad Farid Ridzuan dari TV3 akan tetapi kelihatan sia-sia.

Stadlen telah menjadi orang utama bagi hubungan Putrajaya dengan media antarabangsa sementara Farid dipinjamkan dari keluarga TV3 Media Prima Bhd kepada Jabatan Perdana Menteri sejak beberapa tahun lepas.

“Mereka membelanjakan wang di akhbar tempatan yang semakin mengecut edarannya dan stesen TV yang tidak menarik minat orang muda. Buang masa dan wang,” katanya.

Dianggarkan BN telah membelanjakan lebih daripada RM100 juta secara langsung dan tidak langsung untuk kempen media agresif termasuk media cetak, televisyen, papan iklan dan laman sesawang untuk Pilihan Raya 2013.

BN menubuhkan kerajaan dengan majoriti mudah 133 kerusi, kurang tujuh berbanding apa yang mereka perolehi semasa Pilihan Raya 2008. Gabungan pemerintah itu juga buat pertama kali hilang undi popular semenjak 1969, mendapat 48 peratus berbanding PR 52 peratus.

Gabungan itu walau bagaimanapun menafikan dakwaan ahli strategi bilik perang gagal untuk mencapai sasaran Pilihan Raya 2013, mengatakan mereka masih lagi menguasai Putrajaya dan merampas semula Kedah.

Mereka juga mengatakan berjaya mempertahankan Perak dari dirampas PR, salah satu negeri yang jatuh ke tangan PR pada pilihan raya umum ke 12. -TMI

Hijrah: Keceluparan Zahid Hamidi Disanggah Prof Mohd Agus


Penganalisis politik, Prof Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff terkejut apabila Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang baru dilantik menjadi Menteri Dalam Negeri meminta rakyat yang enggan menerima sistem pilihan raya Malaysia berhijrah ke negara lain yang menjalankan pilihan raya mengikut sistem yang digemari.

“Mengapa DS Zahid boleh mengeluarkan kenyataan sebegini?” tanya beliau di dalam Facebooknya.

Beliau juga mempersoalkan apakah salah jika rakyat mempersoalkan pelaksanaan sistem pilihan raya yang ada dan apakah perlembagaan negara kita menghalangnya.

“Setahu saya, Perkara 10 Perlembagaan menjamin hak rakyat untuk bebas mengeluarkan pendapat, berhimpun dan berpersatuan,” jelasnya.

Tambahnya, tidak ada satu klausa pun dalam perlembagaan yang membenarkan menteri untuk memberitahu rakyatnya supaya berhijrah ke negara lain hanya kerana berbeza pendapat dalam politik.

“Jika kita akui negara kita adalah negara demokrasi, maka berdemokrasilah secara jujur,” ujarnya.

Sebagai menteri, kata beliau Zahid sepatutnya membangkitkan kasih sayang dan semangat patriotik rakyat kepada negara, bukannya mengeluarkan kenyataan sebegitu.

Sebagai menteri, kata Mohammad Agus, Zahid sepatutnya menggunakan masa untuk merancang mengatasi masalah keselamatan, jenayah, social ills dalam negara daripada menyerang rakyat yang mempunyai perbezaan politik dengan parti kerajaan.

“Saya mohon kita semua hentikan kenyataan sebegini hanya kerana kita mempunyai perbezaan politik. Ini adalah tanah air kita bersama.

“Saya yakin, sebagai rakyat, kita semua mahu terus menyumbang bakti kepada negara kita ini mengikut keupayaan masing-masing, biarpun dalam bentuk yang berbeza. Malaysia adalah negara kita bersama,” katanya.