Mahathir: Bahaya jika media alternatif tak dikawal.
Kebebasan yang ditawar media alternatif menerusi Internet telah menimbulkan beberapa situasi yang menyaksikan pembohongan boleh dilihat sebagai kebenaran dan sebaliknya, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau berkata menerusi media alternatif, sesiapa sahaja boleh memuat naik sebarang kenyataan yang mereka suka secara langsung di Internet, tanpa sebarang kawalan kerana tidak ada pengurus, editor atau penyunting untuk mengubah isi kandungannya.
"Bahasa kesat dan berbaur perkauman juga menyebabkan ketegangan semakin meningkat di kalangan masyarakat. Segala jenis tuduhan dibuat tanpa sebarang asas. Ketika ini, kita boleh melihat klip video yang telah diubah, dimuat naik dalam YouTube," kata beliau dalam entri terbaharu blognya.
Dr Mahathir merujuk klip video yang menunjukkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyoal khalayak di Pulau Pinang baru-baru ini sama ada mereka bersedia untuk BN (BN), yang seolah-olah dijawab dengan perkataan 'Tidak'.
"Kini didapati perkara itu dilakukan dengan membawa satu kumpulan yang dilengkapi kamera video dan mikrofon ke dalam khalayak. Apabila PM menyoal 'Adakah anda bersedia untuk BN', kumpulan ini menjeritkan 'Tidak' sebagai respons.
"Ia kelihatan seolah-olah keseluruhan khalayak menjeritkan perkataan 'Tidak'. Walhal hanya satu kumpulan ini yang menjeritkan 'Tidak' kepada mikrofon mereka. Perkataan 'Ya' daripada sekumpulan besar khalayak lagi tidak dirakam dan dimasukkan dalam klip video yang dimuat naik di YouTube.
"Rakaman ini segera dimuat naik ke YouTube dan merebak ke blog lain. Meskipun terdapat video lain, yang menunjukkan khalayak mengangkat tangan dan menjeritkan perkataan 'Ya', dimuat naik dalam YouTube selepas itu, kebanyakan orang tidak mempedulikannya.
Mereka terus mempercayai klip video palsu ini," katanya.
Menyedari perkara ini adalah hasil langsung kebebasan yang ditawar media alternatif, Dr Mahathir berkata, "Kebebasannya hampir mutlak."
Dr Mahathir berkata meskipun media alternatif memberi kebebasan kepada semua orang untuk menghebahkan apa sahaja yang mereka suka, penggodam dan yang lain juga boleh menyekat entri sesiapa yang mereka pilih.
"Setakat ini, saya sendiri terpaksa menukar lima laman untuk blog saya kerana entah bagaimana ia diusik sehingga menyebabkan orang ramai tidak boleh mengakses blog saya, dan saya berjaya disenyapkan.
"Namun saya tidak boleh berbuat apa-apa untuk menghentikan orang yang mungkin ingin menghalang kebebasan saya menerusi media alternatif," katanya. - Bernama
Ulasan GB
Mahathir, di penghujung usianya, nampaknya semakin meracau dan merapu.
Ingin mempertahan kerajaan Najib dengan "apa cara sekalipun" demi survival masa depan politik anaknya Mukhriz dan kononnya rasa berkewajipan untuk membantu pihak yang telah menolong menaikkankan beliau sehingga menjadi PM.
Apabila beliau menafikan rakyat telah menjawab "NO" kepada soalan Najib "Are you ready for BN?" menampakkan kecenderungan Mahathir untuk membela Najib sebagai keterlaluan.
Apatah lagi beliau begitu hebat berfantasi apabila menyatakan
"Kini didapati perkara itu dilakukan dengan membawa satu kumpulan yang dilengkapi kamera video dan mikrofon ke dalam khalayak. Apabila PM menyoal 'Adakah anda bersedia untuk BN', kumpulan ini menjeritkan 'Tidak' sebagai respons.
"Ia kelihatan seolah-olah keseluruhan khalayak menjeritkan perkataan 'Tidak'. Walhal hanya satu kumpulan ini yang menjeritkan 'Tidak' kepada mikrofon mereka. Perkataan 'Ya' daripada sekumpulan besar khalayak lagi tidak dirakam dan dimasukkan dalam klip video yang dimuat naik di YouTube.
Persoalan kini, apakah mereka yang kononnya dikatakan membawa mikrofon itu telah tahu inti ucapan Najib bahawa Najib akan membuat pertanyaan "Are you ready for BN?" supaya mereka bersedia dengan mikrofon dan bersedia pula untuk menjawab "NO" di depan mikrofon itu?
Kedua, rakaman tersebut adalah spontan, video itu tidak diedit, ia disebarkan sebaik saja dirakam di dalam bentuk yang asli. Jadi tiada ruang manipulasi atau pengeditan dilakukan. Tidak seperti video yang satu lagi yang Mahathir maksudkan itu dimana ianya telah dimuatnaik berjam-jam selepas acara berkenaan.
Ketiga, siaran TV luarnegara seperti TV Singapura turut merakamkan acara berkenaan dan jawapan "NO" terhadap soalan Najib itu amat jelas dan tidak lansung kedengaran sebarang suara YES terhdap soalan berkenaan. Mungkin ada seorang dua yang menjawab YES yang tenggelam di dalam jawapan rakyat yang menyatakan NO!
Kemudian Mahathir menyatakan bahawa media alternatif ini perlu dikawal. Menurutnya:
"Bahasa kesat dan berbaur perkauman juga menyebabkan ketegangan semakin meningkat di kalangan masyarakat."
Saya ingin bertanya kepada Mahathir siapakan selama ini menyiarkan bahasa kesat, bahasa lucah dan berbaur perkauman jika bukan kumpulan "cyber trooper UMNO" dan NGO seperti PERKASA yang kamu, TDM jadi Penaungnya? Begitu juga dengan akhbar-akhbar arus perdana yang memainkan sentimen perkauman. Lansung tiada tindakan dari polis dan kerajaan malah mereka siap diberkan perlindungan oleh kamu (TDM) sendiri!
Seterusnya, telah terbukti di mahkamah melalui beberapa siri kes fitnah bahawa media arus perdanalah yang paling banyak menaburkan fitnah kepada pemimpin Pakatan.
Begitu juga dengan agensi berita nasional, BERNAMA yang kerap menerbitkan berita-berita palsu malah siap dengan gambar palsu. Mengapa tiada tindakan dikenakan di atas mereka? Sedang agensi berita itu milik rakyat tetapi membohongi dan menipu rakyat?
Kebenaran tetap kebenaran. Ia tidak boleh dibohongi. Yang berbohong selama ini adalah kumpulan kamu, UMNO BN, jangan cuba pula untuk bermain "reverse-psychology" dengan menuduh orang lain berbohong kerana "kamu boleh menipu sesetengah manusia pada sesetengah masa, tetapi kamu tidak boleh menipu semua manusia pada semua masa"!