8 Mei 2012

Nama 40,558 Pengundi Meragukan Dikekalkan Oleh JPN, PRU13 Paling Kotor

Rekod 40,558 Pengundi Statusnya Diragui Disahkan Di JPN

PUTRAJAYA: Nama sejumlah 40,558 pengundi, yang status mereka dalam Daftar Pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini diragui, disahkan wujud dalam rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Mahmood Adam berkata, sehubungan itu, SPR akan terus mengekalkan nama dalam senarai Daftar Pemilih Induk.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan itu dikeluarkan selepas mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Teknikal dan Mengenai Daftar Pengundi antara kementerian, SPR, JPN dan Jabatan Peguam Negara di sini Selasa.

"Dalam usaha untuk mengemas kini Daftar Pemilih SPR, pihak SPR telah mempamerkan kesemua Daftar Pemilih berkenaan selama empat bulan untuk disemak.

"Hasil daripada semakan tersebut, sebanyak 1,496 rekod telah dikemas kini melalui laporan kematian dan sebahagiannya telah menukar kad pengenalan lama kepada MyKad," kata Mahmood.

Sebelum ini, sejumlah 42,054 nama dalam Daftar Pemilih yang diragui telah dibangkitkan oleh pihak tertentu dan didengar dalam sesi pendengaran awam dihadapan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya. - BERNAMA

Ulasan GB

Dengan pengesahan JPN terhadap rekod 40,558 pengundi yang meragukan, nampaknya konspirasi SPR-JPN melalui task-force yang didedahkan sebelum ini oleh Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar berjalan lancar tanpa sebarang sekatan.

Dan ia memberi erti bahawa PRU13 akan merupakan pilihanraya paling kotor yang akan dilalui oleh rakyat Malaysia.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Mahmood Adam berkata, sehubungan itu, SPR akan terus mengekalkan nama dalam senarai Daftar Pemilih Induk.

Bagaimana seorang Ketua Setiausaha KDN boleh membuat keputusan untuk SPR?

Keputusan untuk mengekalkan nama dalam senarai daftar pemilih sepatutnya diumumkan oleh SPR, bukan Ketua Setiausaha KDN. vBukankah itu jelas sangat konspirasi?

Bodoh tak terperi, tapi jadi Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri!



[Video] Mahfuz: Kami Bukan Bawa Senjata, Macamana Kata Nak Guling Kerajaan?

Kami bawa garam dan air, bukan senjata’

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar menafikan peserta Bersih 3.0 berniat mahu mengguling kerajaan melalui demonstrasi jalanan.

Sebaliknya mereka hadir ke Dataran Merdeka hanya untuk menuntut sistem pilihan raya yang adil dan bersih daripada sebarang penyelewengan.

“Kita datang bawa garam dan air mineral sahaja. Kalau niat tak baik sudah tentu kita bawa senjata,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat PAS di sini hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapannya di Gua Musang minggu lalu mendakwa wujud cubaan pembangkang semasa Bersih 3.0 mahu menjadikan Dataran Merdeka sama seperti Dataran Tahrir di Mesir.

“Lucu rasanya melihat pemimpin kerajaan gelabah. Kita dah buat Bersih tiga kali tapi sebelum ni tak sebut pun nak guling kerajaan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata PAS turut menghormati keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan semalam yang mengharamkan umat Islam menyertai perhimpunan atau demonstrasi yang bertujuan tidak baik, melanggar undang-undang serta mencetuskan hura-hura dan kekacauan dalam negara.

Walau bagaimanapun, Mahfuz berkata Majlis Fatwa sepatutnya melihat secara keseluruhan punca tercetusnya perhimpunan itu.

“Ramai rakyat keluar pergi ke Dataran Merdeka nak tunjuk perasaan dengan niat yang baik kerana ada penyelewengan dalam sistem pilihan raya.

“Kalau benar wujud cubaan nak gulingkan kerajaan kita buat di Dataran Putrajaya, bukannya di Dataran Merdeka,” katanya.

Beliau sebaliknya mendakwa polis yang melanggar fatwa kerana bertindak melulu terhadap peserta Bersih 3.0 tanpa menyiasat secara terperinci.

Merujuk kepada penahanan pelajar UiTM Khalid Ismath, Mahfuz berkata polis sepatutnya membuat siasatan forensik secara terperinci terlebih dahulu mengenai kesahihan gambar yang menunjukkan seorang pemuda menggunakan kekerasan terhadap anggota polis trafik.

“Malangnya polis bertindak hanya berasaskan gambar yang disiarkan dalam blog pro Umno,” katanya.

‘Arab Saudi bukannya bodoh’

Selain itu, Mahfuz turut menepis dakwaan Naib Presiden Umno dan juga Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mahu penganjur Bersih 3.0 bertanggungjawab sekiranya jemaah Malaysia tidak dibenarkan menunaikan ibadah haji dan umrah bagi tempoh tertentu.

Ini berdasarkan laporan media pihak berkuasa Arab Saudi sedang menjalankan siasatan terperinci terhadap penganjuran perhimpunan Bersih 3.0 di Mekah dan Madinah pada 28 April lalu.

“Kerajaan Arab Saudi bukannya bodoh macam kerajaan Malaysia.

“Kalau mereka halang, sudah tentu peniaga di Arab Saudi buat tunjuk perasaan membantah kerana rakyat Malaysia kuat membeli belah dan banyak menyumbang kepada kegiatan ekonomi mereka,” katanya. -FMT



Jika Rakyat Tidak Hormat Majlis Fatwa Apabila Sudah Jadi Lidah UMNO, Salah Siapa?

JK Fatwa disuap dengan maklumat Umno sahaja

KUALA LUMPUR, 7 Mei: Perbuatan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama mengharamkan perhimpunan yang menuntut pilihan raya bersih dan adil memalukan umat Islam, kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

"Sangat memalukan umat Islam. Pertama, kerana apa yang didakwa fatwa itu dibuat ketika siasatan yang adil dan tidak memihak belum pun dibuat untuk menentukan siapakah yang mencetuskan kerusuhan, keganasan, huru-hara dan kekacauan.

"Adakah Muzakarah Jawatankuasa Fatwa mahu menconteng arang ke muka umat Islam dengan perbuatannya menghukum tanpa siasat?" katanya.

Mohamad berkata, dari apa yang diberitahu kepadanya, sesuatu fatwa itu dibuat setelah kajian dan siasatan yang menyeluruh dan adil dibuat.

"Sebab itulah saya kata Muzakarah Jawatankuasa Fatwa memalukan umat Islam sebab belum siasat lagi sudah jatuhkan hukum," tegas beliau.

Beliau bimbang perbuatan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa menjatuhkan hukuman tanpa siasat itu akan mengakibatkan orang Islam dituduh sebagai agama yang tidak mementingkan siasatan yang adil dan menyeluruh sebelum membuat sesuatu keputusan dan hukuman.

"Jika selepas ini Islam dituduh sebagai agama yang menghukum secara semberono tanpa siasatan yang adil dan menyeluruh, Muzakarah Jawatankuasa Fatwalah pihak yang bertanggungjawab mengakibatkan pandangan buruk sedemikian terhadap Islam," tegas beliau.

Mohamad juga menyifatkan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa itu berlagak lebih dari Tuhan kerana "Allah pun membicarakan hamba-hamba-Nya di Hari Hisab lengkap dengan saksi dan bukti sebelum menjatuhkan hukuman".

Beliau meminta Muzakarah Jawatankuasa Fatwa mengemukakan nas dan dalil yang mengharamkan perhimpunan aman rakyat menuntut pilihan raya yang adil dan bersih.

"Saya tegaskan lagi dan lagi, perhimpunan aman.

"Soalnya, adakah Muzakarah Jawatankuasa Fatwa hidup seperti katak di bawah tempurung sehingga tidak tahu dan tidak mempunyai sebarang maklumat bahawa perhimpunan itu adalah perhimpunan aman, tidak ada harta benda awam atau persendirian yang dirosakkan sehinggalah rakyat yang berhimpun itu diserang dan diganasi.

"Satu dunia ada maklumat yang tepat, adakah Muzakarah Jawatankuasa Fatwa tidak ada maklumat dan hanya mahu disuap dengan maklumat Umno sahaja?" beliau mempersoalkan.

Beliau juga mempersoalkan, di manakah suara Muzakarah Jawatankuasa Fatwa terhadap pilihan raya yang tidak adil dan tidak bersih?

"Mengapa membatu dan membisu terhadap daftar pemilih yang tidak bersih? Mengapa tidak ada suara Muzakarah Jawatankuasa Fatwa terhadap pilihan raya yang tidak adil dan tidak bersih?

"Adakah pilihan raya yang tidak adil dan tidak bersih itu tidak haram, tidak mengakibatkan kemudaratan, keresahan, rusuhan, perpecahan malah pertumpahan darah?" Mohamad mempersoalkan lagi.

Beliau terus mempersoalkan, adakah menuntut pilihan raya yang adil dan bersih tidak baik dan tidak membawa sebarang manfaat kepada masyarakat?

Mohamad tidak menolak kemungkinan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa akan menghadapi masalah imej seperti yang dihadapi oleh pihak polis serta kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN). -HD

Adakah Majlis Fatwa tahu apa itu Bersih 3.0?

KUALA LUMPUR, 8 Mei: “Macam mana satu fatwa dikeluarkan tanpa mengetahui tasawwur (gambaran) sebenar mengenai hukum yang hendak diputuskan?” tanya AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad.

Beliau juga mempersoalkan bagaimana suatu fatwa boleh dikeluarkan jika suatu isu tidak dilihat secara menyeluruh.

Misalnya, kata beliau kalau yang bertanya itu apa hukum minum ‘tuak’ oleh orang Kelantan kepada ustaz daripada Selangor.

“Maka sudah tentu ustaz itu akan menjawab haram. Tetapi jika diberi penjelasan bahawa tuak dibuat daripada pokok nipah, jikalau di sebelah utara menyebut nira, maka sudah tentulah hukumnya halal.

“Kerana apa ustaz dari Selangor itu menjawab haram, kerana istilah tuak ialah benda yang memabukkan, tetapi setelah mendapat penjelasan, maka hukum itu berubah,” ujarnya kepada Harakahdaily sebagai respons kepada kenyataan Majlis Fatwa Kebangsaan mengenai Bersih 3.0.

Menurutnya, Majlis Fatwa Kebangsaan hanya mendapat maklumat di sebelah pihak sahaja yang sepatutnya perlu bertanya dan bincang dahulu apa itu Bersih 3.0.

“Jangan mereka hanya faham ‘Bersih’ itu hanya air mutlak dalam bab feqah sahaja iaitu air yang suci, lagi menyucikan,” katanya lagi.

Justeru, ujarnya amat malang rakyat Malaysia apabila kewibawaan Majlis Fatwa yang sepatutnya mempertahankan kredibiliti mereka yang dianggotai oleh 14 mufti dan ulamak di negara ini telah mengeluarkan hukum tanpa mendapat penjelasan daripada pihak kedua.

“Apakah ini disiplin Majlis Fatwa Kebangsaan?” tanya beliau.

Beliau menambah, amat malang sekali fatwa yang dikeluarkan hanya kes yang terpilih.

“Kenapa Majlis Fatwa tidak bincang apa hukum pilihanraya tipu?

“Apakah hukum kerajaan yang membazir wang rakyat?” soalnya.

Beliau juga bertanya apakah hukum demonstrasi yang dibuat oleh penyokong Umno di negeri Pakatan Rakyat seperti demo kepala lembu di Selangor sehingga boleh mencetuskan pergaduhan kaum dan agama.

Baginya, sudah cukuplah banyak institusi kerajaan yang dipertikaikan kewibawaannya seperti badan kehakiman, SPR, PDRM dan SPRM.

“Jangan pula rakyat memandang rendah kepada kewibawaan Majlis Fatwa yang hanya sanggup menjadi alat dan membincang perkara yang menguntungkan pemerintah walaupun tanpa merujuk kepada pihak kedua untuk mendapat penjelasan supaya berlaku adil,” katanya lagi.
-HD


Jlasan GB

Majlis Fatwa Kebangsaan perlu menanggung akibatnya sendiri dan bertanggungungjawab apabila sebilangan besar umat Islam tidak lagi menghormati institusi tersebut kerana telah secara terang-terangan menjadi lidah UMNO.

Salah sendiri.

Penjenayah Yang Pernah Dihukum Penjara Kini Menuduh TG Nik Aziz Bapa Kafir...

Fitnah: Rahim diberi 24 jam tarik balik kenyataan

KOTA BHARU, 8 Mei: Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor (gambar) diberi tempoh 24 jam menarik balik tuduhan terhadap Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang dianggapnya “bapa kafir”.

Pengerusi Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia PAS Kelantan, Hisham Fauzi berkata, kenyataan bekas ketua polis negara terbabit jelas tidak matang dan bersifat fitnah.

“Oleh itu kami memberi tempoh 24 jam untuk Rahim menarik balik kenyataan tersebut dan memohon maaf secara terbuka kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

“Sekiranya beliau didapati gagal menarik balik kenyataan fitnah tersebut, kami tidak akan teragak-agak mengambil tindakan mahkamah terhadapnya,” katanya di sini.

Bekas Ketua Polis Negara itu dalam kenyataan dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini melabelkan Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebagai “bapa kafir” kerana dianggap mengelirukan umat Islam ekoran kenyataannya wajib menyokong Bersih 3.0.

Sebelum ini Menteri Besar Kelantan meminta rakyat keluar beramai-ramai pada himpunan Duduk Bantah pada 28 April lalu sebagai tanda membantah ketidakadilan dan kewujudan daftar pemilih yang meragukan.

Hisham berkata, kenyataan Rahim begitu melulu sekali dan langsung tidak mencerminkan seseorang yang memegang jawatan tinggi dalam pasukan polis.

Oleh itu kata beliau tindakan undang-undang akan diambil sekiranya bekas ketua polis terbabit tidak menarik balik kenyataan dan memohon maaf dalam tempoh ditetapkan. -HD

Rahim Noor gelar Nik Aziz 'bapa kafir'

Bekas ketua polis negara Tan Sri Rahim Noor menyifatkan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat sebagai father of kafir (bapa kafir) yang didakwanya cuba memesong orang Islam bahawa perhimpunan BERSIH 3.0 adalah tanggungjawab agama.

Akhbar New Straits Times memetik Rahim sebagai berkata perkara itu bukan kali pertama Nik Aziz mengeluarkan kenyataan seperti itu yang didakwanya "mengelirukan" rakyat.

"Beberapa tahun lalu, beliau berkata penyokong Umno akan masuk neraka dan sekiranya umat Islam mahu masuk syurga, mereka kena sertai PAS.

"Dia juga berkata Umno itu kafir sebab bekerjasama dengan MCA dan MIC. Tapi lihat PAS sekarang, mereka berpakat dengan DAP, sebuah parti politik yang menolak negara Islam," katanya.

Menurut Rahim, bila ulama yang dihormati seperti Nik Aziz mengisytiharkan tanggungjawab agama menyokong BERSIH, maka rakyat melihatnya satu kewajipan sekalipun kerajaan menyatakan perhimpunan itu melanggar undang-undang.

"Dia mungkin dikenali dan dihormati sebagai ulama sebab kelayakannya tetapi beliau hanya seorang political animal yang mahu mengekalkan kuasanya di Kelantan," katanya Rahim lagi.

Semalam Nik Aziz dilapor berkata keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan yang mengharamkan perhimpunan yang menurut majlis itu bertujuan tidak baik sepertimana yang berlaku dalam perhimpunan 28 April lalu, dibuat hanya menggunakan "sebelah mata".

Sekalipun beliau bersetuju perhimpunan yang mencetuskan huru hara dan merosakkan harta benda awam adalah haram, tetapi berpendapat BERSIH 3.0 "bukannya bertujuan untuk mencetuskan huru-hara sebaliknya yang menuntut lapan perkara untuk membersihkan pilihan raya".

Mengulas lanjut, Rahim menggesa golongan muda supaya menyelidiki siapa sebenarnya penganjur BERSIH 3.0 dan tidak mengikutinya secara membuta tuli serta mendakwa rakyat melihat Nik Aziz sebagai "pelawak".

Sementara itu Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia Pemuda PAS Kelantan memberi tempoh 24 jam kepada Rahim menarik tuduhan itu dan memohon maaf secara terbuka kepada Nik Aziz.

Pengerusinya Hisham Fauzi berkata kenyataan bekas ketua polis negara itu "jelas tidak matang dan bersifat fitnah".

"Sekiranya beliau didapati gagal menarik balik kenyataan fitnah tersebut, kami tidak akan teragak-agak mengambil tindakan mahkamah terhadapnya," katanya dipetik dari
Harakahdaily- mk



SIAPA RAHIM NOOR?

Rahim Noor dipenjara -- Rayuan ketepi hukuman ditolak dan diperintah bayar denda RM2,000

ABDUL Rahim Mohd. Noor diiringi keluar oleh anggota polis dari Mahkamah Rayuan Kuala Lumpur semalam untuk menjalani hukuman penjara dua bulan di Penjara Kajang. - Gambar ZAINI HUSIN.

KUALA LUMPUR 30 April - Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Mohd. Noor hari ini diperintahkan menjalani hukuman penjara dua bulan setelah Mahkamah Rayuan menolak rayuannya untuk mengetepikan hukuman kerana kesalahan mencederakan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mahkamah itu juga memerintahkan Abdul Rahim membayar denda RM2,000 atau penjara dua bulan seperti yang telah diputuskan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada 15 Mac tahun lalu.

Abdul Rahim, 57, kemudian dibawa menaiki sebuah Pajero cermin gelap menuju ke Penjara Kajang dengan diiringi anggota-anggota polis dalam dua buah Pajero lain dan dua buah kereta kira-kira pukul 2.52 petang ini.

Hukuman penjara terhadap Abdul Rahim berkuat kuasa mulai hari ini.

Hakim Datuk Shaik Daud Ismail yang mengetuai panel tiga hakim Mahkamah Rayuan membuat penghakimannya pagi ini, selepas mendengar hujah rayuan yang dikemukakan oleh peguam-peguam mewakili perayu (Abdul Rahim), K. Kumaraendran dan V. Sithambaram.

Beliau mencapai keputusan itu bersama Hakim-hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd. Saari Yusoff dan Datuk K.C. Vohrah.

Pihak pendakwa yang menentang rayuan tersebut diwakili oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Salehuddin Saidin dan Dzulkifli Ahmad.

Karpal Singh dan S.N. Nair pula hadir selaku peguam-peguam pemerhati mewakili bekas Timbalan Perdana Menteri itu sebagai pengadu kes tersebut.

Abdul Rahim membuat rayuan itu kerana tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi di sini mengekalkan hukuman penjara dua bulan yang telah dijatuhkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen, Akhtar Tahir.

Bagaimanapun, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin dalam keputusannya pada 15 Disember tahun lalu mengetepikan hukuman denda RM2,000 terhadap Abdul Rahim.

Ketika mengumumkan penghakimannya menolak rayuan itu pada sidang pukul 11.30 pagi ini, Hakim Shaik Daud menegaskan bahawa Abdul Rahim melakukan kesalahan itu pada masa dia memegang jawatan tertinggi dalam pasukan polis.

Katanya, Abdul Rahim sepatutnya menjadi contoh dalam pasukan polis tetapi sebaliknya dia meletakkan dirinya pada tahap yang paling rendah akibat perbuatan yang telah dilakukannya.

Hakim Shaik Daud berkata, tindakan perayu yang dilakukan terhadap orang tahanan tidak dapat dibayangkan dan ia tidak berperikemanusiaan.

Tambahan pula dalam kes ini, kata beliau, orang tahanan itu diarahkan oleh Abdul Rahim supaya diikat (ditutup) kedua-dua matanya dengan kain dan yang paling teruk tangan digari dari belakang.

Hakim Shaik Daud menegaskan, ia suatu perbuatan yang teruk dalam pasukan polis yang berdisiplin.


Menurut beliau, mahkamah telah meneliti dengan terperinci rekod rayuan Abdul Rahim demi keadilan kedua-dua pihak iaitu perayu dan juga mangsa.

Dalam menilai hukuman, jelas Hakim Shaik Daud, ia mengambil kira kepentingan mangsa selain tidak mengetepikan kepentingan awam.

``Kami juga menimbangkan hujah-hujah yang dibentangkan oleh peguam-peguam perayu pagi ini,'' jelas beliau.

Bagaimanapun, kata Hakim Shaik Daud, dalam keadaan kes ini, mahkamah tidak dapat menemui sebarang perkara untuk campur tangan berhubung hukuman yang telah diputuskan oleh hakim Mahkamah Sesyen.

``Kami berpendapat bahawa Mahkamah Tinggi tidak seharusnya campur tangan dengan bidang kuasanya hanya kerana Hakim Mahkamah Sesyen tidak menyatakan secara spesifik kenapa dikenakan denda.

`Kami tidak ada alasan untuk membatalkannya (denda),'' jelas Hakim Shaik Daud.

Menurut Hakim Shaik Daud, alasan yang dinyatakan oleh Hakim Mahkamah Sesyen meliputi keseluruhan hukuman berdasarkan fakta dan keadaan kes itu.

Namun, ujar beliau, hukuman yang dijatuhi Mahkamah Sesyen itu adalah ringan dan alasannya hanya diketahui oleh hakim mahkamah berkenaan.

Pendakwa raya juga, kata beliau, tidak mengemukakan rayuan balas terhadap hukuman itu.

Selain itu, kata Hakim Shaik Daud, beliau ingin mengambil kesempatan untuk mengingatkan kepada mahkamah-mahkamah yang lebih rendah bahawa ia seharusnya menangani kes-kes melibatkan pegawai polis memukul sesiapa pun dengan serius.

``Tanpa mengira pangkat pegawai polis yang didapati bersalah memukul mana-mana orang awam ataupun seseorang tahanan seperti kes ini,'' tegas beliau.

Hakim Shaik Daud menjelaskan lagi, sebagaimana yang dinyatakan pada awalnya, mahkamah itu tidak mendapati sebarang kesilapan dalam undang-undang atas hukuman yang telah diputuskan oleh Mahkamah Sesyen tersebut.

Pada 15 Mac tahun lalu, Abdul Rahim telah dihukum penjara dua bulan dan denda RM2,000 atau penjara dua bulan selepas mengaku bersalah atas tuduhan pindaan mencederakan bekas Timbalan Perdana Menteri itu di lokap No. 6, Bukit Aman, kira-kira pukul 10.45 malam, pada 20 September 1998.

Ketika berhujah dalam rayuan itu hari ini, Kumaraendran memohon agar Abdul Rahim tidak dikenakan penjara kerana dia akan kehilangan wang pencen.

Kumaraendran berkata, dengan mengaku bersalah terhadap kesalahan itu, Abdul Rahim akan hilang faedah persaraannya seperti pencen yang secara tidak langsung merupakan denda berjumlah RM5,000 sebulan.

Beliau menambah Abdul Rahim bertanggungjawab sepenuhnya dengan mengaku terhadap kesalahan itu di hadapan Suruhanjaya Siasatan Diraja yang ditubuhkan untuk menyiasat insiden itu.

Abdul Rahim meletak jawatan sebagai Ketua Polis Negara pada 8 Januari 1999.

Menurut peguam itu lagi, Hakim Mahkamah Sesyen juga tidak menimbangkan khidmat dan jasa cemerlang Abdul Rahim kepada negara ini.

Sebelum itu, Kumaraendran menerangkan sebab-sebab mengapa Abdul Rahim mengaku bersalah atas tuduhan pindaan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Di antara sebabnya, kata peguam itu, Abdul Rahim sungguh menyesal atas perbuatannya dan jika perbicaraan dijalankan ia akan melibatkan anggota polis lain.

Katanya, Abdul Rahim juga tidak mahu isu itu berlarutan dan tidak mahu memalukan kerajaan.

Hakim Shaik Daud lalu mencelah dengan mengatakan bahawa bukankah tindakan Abdul Rahim itu telah memalukan negara.

Peguam tersebut menjawab walaupun perkara itu tidak dinafikan namun ia menjimatkan masa perbicaraan kerana terdapat 24 orang saksi.

Ketika berhujah balas, Salehuddin yang mewakili pendakwa memberitahu bahawa pihaknya tidak mengemukakan rayuan balas kerana berpendapat keputusan yang dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi adalah betul dengan mengekalkan hukuman penjara terhadap perayu tersebut. 01 Mei 2001




Anda Kenal Mana-mana 34 Polis Yang Merusuh & Mencederakan Orang Awam Ini?

34 polis mengganas di Himpunan Bersih dikehendaki

KUALA LUMPUR 7 Mei: Badan bukan kerajaan (NGO) Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mengetuai 27 NGO lain menyerahkan memorandum mendesak polis yang terlibat jenayah keganasan ketika mengendalikan Bersih 3.0 tampil menyerah diri untuk disiasat.

Kumpulan itu yang hadir hanya 15 wakil bagaimanapun diganggu samseng Umno yang diketuai veteran-veteran tentera dengan laungan dan herdikan kepada NGO tersebut yang menjadi tontonan polis.

Dalam keadaan agak panas apabila kumpulan NGO dan kumpulan veteran itu bertembung, Pengerusi SAMM, Badrul Hisham Shaharin, berjaya menyerahkan memorandum itu kepada Asisten Supretendan (ASP) Ramli Mohamed Yoosof.

Selain mendesak polis terlibat dengan keganasan menyerah diri, kumpulan itu turut mahukan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) tampil memberi penjelasan dakwaan penyamaran polis sebagai peserta Bersih.

Hadir sama dalam kumpulan itu, Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Safwan Anang dan beberapa NGO yang terdiri daripada anak-anak muda.

“Sila nyatakan berapa ramai polis yang menyamar dan dedahkan mereka kepada umum.

“PDRM harus siasat khabar angin yang menyatakan ada polis mati sehingga menjadikan polis bertindak luar batasan. Adalah satu lawak jenaka apabila atasan PDRM bersungguh menyiarkan foto senarai orang awam untuk menyerah diri, tetapi seolah tidak punyai rekod anggota sendiri yang mengganas,” kata Badrul selepas menyerahkan memorandum itu di Bukit Aman, di sini hari ini.

Katanya, sikap polis yang masih menyalahkan orang awam hanya memalukan kerana tidak sedar mereka sebenarnya menjadi alat kepada regim Umno.

“Semua operasi pada 28 April lalu, sempena Bersih 3.0 diakui beberapa pimpinan regim termasuk Menteri Dalam Negeri. Polis bukan musuh orang awam, begitu juga orang awam bukan musuh polis.

“Polis dan orang awam adalah mangsa regim Umno, polis yang bertugas juga perlu sedar sememangnya dirancang untuk mereka dijadikan mangsa. Disyaki arahan untuk anggota polis bergerak itu sengaja dibuat untuk menjadikan polis sebagai umpan,” ujarnya.

Susulan itu, mereka melancarkan talian hotline kepada orang ramai bagi mengadu kekasaran polis semasa Bersih 3.0 bagi memudahkan pihaknya mengumpul bukti.

“Orang ramai digalakkan hanya menghantar SMS kepada nombor 018-9235083, atau menghantar email di adu@anakmudamalaysia.com untuk pihak kami memberikan pertolongan sewajarnya.

“Kita juga sudah ada barisan peguam bagi mengambil kes keganasan polis semasa Bersih 3.0 antaranya, Peguam Hak Asasi (LFL), Majlis Peguam, dan beberapa NGO pengamal undang-undang,” jelas Badrul.

Mengapa Majlis Fatwa Tak Keluarkan ‘Fatwa’ Polis Sepak Peserta, Akhbar Sebar Gambar Lucah?

Tindakan Majlis Fatwa Kebangsaan menyatakan haram umat Islam menyertai perhimpunan hanya berkepentingan politik, kata Pengerusi Biro Pemantapan dan Pemahaman Agama KEADILAN (Bippa), Ahmad Kassim.

Menurutnya, keputusan majlis itu boleh dicabar dari sudut integriti kerana tidak mendapatkan maklumat sahih dengan mengadakan pertemuan dengan semua pihak terlibat.

“Jika diteliti semula, jelas membuktikan fatwa ini tiada nilai integriti kerana menyebelahi sesebuah pihak sedangkan ianya bertentangan dengan kaedah sebenar yang mesti bebas.

“Maklumat lengkap diperlukan dari pelbagai sudut sebelum diputuskan ianya haram atau tidak.

“Jika fatwa menyebelahi sesebuah pihak, pastinya tidak akan dapat diterima rakyat. Kita minta fatwa ini dikaji semula,” katanya kepada Keadilan Daily.

Ahmad Kassim berkata, Majlis Fatwa juga perlu mengambil kira apa yang diperjuangkan rakyat sama seperti yang berlaku di beberapa negara Asia Barat sebelum ini.

“Ulama terkenal, Syeikh Yusof Al-Qardawi mengeluarkan fatwa bahawa rakyat di Mesir digesa turun ke Dataran Tahrir dan golongan yang mati dikira para syuhada.

“Bermakna menentang kerajaan zalim dan korup merupakan jihad, walaupun dalam konteks negara berlainan namun apa yang diperjuangkan adalah sama,”
katanya yang juga Ahli Parlimen Kuala Kedah.

Dalam pada itu, beliau mempersoalkan tindakan Majlis Fatwa yang hanya mengeluarkan fatwa berhubung perhimpunan sedangkan isu-isu besar yang menjadi perosak umat Islam tidak dibincangkan.

“Berkenaan akhbar Utusan (Malaysia) yang keluarkan gambar lucah tidak pula dibincangkan untuk mengeluarkan fatwa, kenapa tidak membincangkan apa hukumnya polis bertindak zalim dengan memukul, menendang dan menyepak peserta.

“Ini yang saya katakan berat sebelah, mereka hanya mahu menjaga ‘bos-bos’ mereka tanpa memikirkan akibatnya. Cuba lihat dalam pelbagai konteks, bukannya tertumpu kepada sebelah pihak,”
ujarnya.

Dilaporkan, Majlis Fatwa Kebangsaan semalam memutuskan haram untuk umat Islam menyertai perhimpunan atau demonstrasi yang bertujuan tidak baik, melanggar undang-undang serta mencetuskan huru-hara dan kekacauan dalam negara.

Walhal, pada Himpunan Bersih 3.0, 28 April lalu, polis menyebabkan keadaan tegang kerana sebelum itu, himpunan berlangsung aman. -KD

[PANAS] Jimmy Shanley Dakwa Isteri Akui Mengandung Anak Luar Nikah

Shah Alam - Pengacara Jimmy Shanley memberitahu Mahkamah Rendah Syariah hari ini bahawa isterinya, Nursuhaila Eliani Suhaimy mengaku mengandung anak luar nikah dan mengugut mahu menggugurkannya jika kandungan itu benar anak Jimmy.

Jimmy atau nama sebenarnya Jimmy Shanley Norjahan Shah Saleh, 31, berkata, Nursuhaila membuat pengakuan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) pada petang 24 Januari 2011 selepas dia menegur isterinya itu, yang didapati masih berjudi.

Jimmy memberi keterangan dalam perbicaraan tuntutan nusyuz dan kembali taat yang difailkan terhadap Nursuhaila pada 3 dan 27 Januari tahun lalu.

Menjawab soalan peguam syarie Mohd Noor Aizan Mohd Idrus, Jimmy berkata, pengakuan Nursuhaila itu adalah salah satu sebab mengapa dia mendakwa isterinya nusyuz.

"SMS isteri berbunyi; Kalau I mengandung pun confirm anak you ke? Ni Mr Jimmy, I dah buanglah anak you tu kalau I mengandung.

"Saya balas SMS dan bertanya anak siapa awak mengandung? Dia jawab; Anak haram. Mampus pi lah anak siapapun. Ada aku kisah," kata Jimmy yang membacakan SMS Nursuhaila di hadapan Hakim Syarie, Saharusin Selamat.

Jimmy antara lain memberitahu sudah banyak kali memberikan nasihat kepada Nursuhaila berhubung perkahwinan mereka.

Malah katanya, Nursuhaila pernah bertindak keluar rumah dan hilang selama 16 hari sebagai protes dengan teguran bapa sendiri mengenai rumah tangga mereka.

Dia juga memberitahu ada menghantar SMS merayu isterinya berubah dan meminta ampun kepada ibu bapa.

Pada prosiding hari ini, Jimmy mengemukakan lima alasan utama kenapa dia mendakwa isterinya nusyuz.

Menurutnya, Nursuhaila mungkir janji sebelum bernikah iaitu berjudi semula; menghilangkan diri selama 16 hari; bercuti di China tanpa izinnya; mendakwa anak yang dikandungkannya sebagai luar nikah dan mengugut mahu menggugurkan kandungan jika mengandungkan anaknya.

Pasangan tersebut diijabkabulkan pada 1 Oktober 2010 di rumah keluarga perempuan di Sunway Rahman Putera, Sungai Buloh dengan hantaran sebanyak RM31,186 bersempena dengan tarikh lahir Nursuhaila yang jatuh pada 31 Januari 1986. -SH


Laporan sebelum ini
klik untuk baca