2 Feb 2012

1 Dunia Sudah Tahu Hal Rosmah, Bagaimana Najib Hendak Membela Isterinya?

Laporan Rosmah 'belanja sakan sengaja direka' - PM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mempertahankan Datin Seri Rosmah Mansor dengan mendakwa bahawa laporan kononnya isteri beliau berbelanja sakan di Sydney baru-baru ini "sengaja direka" untuk memburukkan imej mereka.

Beliau menjawab soalan yang dikemukakan oleh seorang pengguna di Twitter yang meminta beliau untuk mengesahkan sama ada tulisan di blog fesyen Australia - Frockwriter yang menganggarkan isterinya membelanjakan sekitar A $100,000 (RM323,000) untuk membeli pakaian oleh pereka terkenal.

"Ini cerita yang dibesar-besarkan dan sengaja direka untuk menjejaskan persepsi rakyat tentang pemimpin mereka," katanya di Twitter malam tadi.


Sebelum ini, wartawan fesyen Patty Huntington dalam blognya Frockwriter mendedahkan bahawa Rosmah ‘berbelanja sakan’ membeli pakaian pereka eksklusif di Sydney, Australia. Tulisannya kemudian dipetik oleh akhbar The Sydney Morning Herald pada 21 Januari.

Dalam seksyen 'Private Sydney' kolumnis akhbar itu, Andrew Hornery memanggil Rosmah sebagai "first lady of shopping', kerana dikatakan telah membelanjakan A$100,000 (RM325,000) di sebuah butik di Sydney.

Memetik pereka fesyen Sydney Carl Kapp , kolumnis itu melaporkan bahawa "pelanggan terbesar" Kapp telah membelanjakan jumlah yang mengejutkan sewaktu "percutian peribadi" di sana.

Menurut kolum itu lagi, Rosmah dan Najib, semasa cuti tersebut, menginap di penthouse A$20,000 (RM65,100) semalam di Hotel Darling.

Dengan tajuk 'Super Kerr Now a Model Citizen', kolum itu turut melaporkan bahawa Rosmah telah meminta "parkir valet untuk limousinnya" dan menerbangkan Kapp ke Malaysia untuk mengenakan pakaian yang ditempahnya. -mk

Penulis blog dedahkan e-mel 'belanja sakan' Rosmah

Wartawan fesyen Patty Huntington dalam blognya Frockwriter mendedahkan urusan e-mel untuk membuktikan kesahihan laporan yang ditulisnya mengenai isteri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak - Datin Seri Rosmah Mansor yang ‘berbelanja sakan’ membeli pakaian pereka eksklusif di Sydney, Australia.

Buat kali pertamanya, Huntington menulis dengan panjang lebar di blog beliau dengan dijelaskan secara terperinci tentang apa yang berlaku antara beliau dan pereka Carl Kapp serta ‘publicist’ beliau, Little Hero, sebelum berita berkenaan dipetik oleh akhbar The Sydney Morning Herald pada 21 Januari.

Huntington (kanan) berkata bahawa beliau pertama kali mendapat maklumat pada 16 Januari oleh seorang kakitangan Littele Hero yang bernama Holly Beer yang menghantar e-mel kepada penulis blog itu menceritakan mengenai pembelian 61 helai pakaian oleh Rosmah dari kedai Kapp.

Dalam e-mel Beer ini kepada penulis blog itu, beliau menceritakan pertemuan Kapp dengan Najib dan Rosmah di penthouse Hotel Darling Hotel. Beer mendakwa ketika itu, pakaian berkenaan dipesan untuk majlis Rosmah yang dikatakan adalah banyak.


"Pakaian perlu disiapkan pada tempoh sebulan selepas percubaan kedua. Semua pakaian perlu diubah-suai supaya berlengan panjang, dengan memastikan tidak ada bahagian pergelangan kaki atau tangan yang terdedah.

"Beberapa fesyen yang dipesannya itu termasuk skirt Emilia dan blaus berlengan panjang.

"Dia (Rosmah) juga meminta pakaian tambahan lain selain 61 helai yang telah dipesan itu. Ini adalah campuran AW12 (Autumn Winter 2012) dan SS11 (Spring Summer 2011)," tulis Beer.

Huntington juga mempertahankan tulisan di blog beliau dengan mendedahkan bahawa Kapp diterbangkan ke Kuala Lumpur bulan lalu untuk pakaian berkenaan dicuba. Beliau sebaliknya dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini pada 25 Januari menafikan perkara itu dan berkata bahawa lawatannya ke Malaysia adalah sebahagian daripada projek ‘Jelajah Asia’ dan bagi mendapatkan bahan untuk rekaannya.

"Kapp beritahu saya, dia (Rosmah) minta saya untuk datang ke KL untuk mencuba pakaian berkenaan.

"Saya (Kapp) berkata 'jika anda (Rosmah) membayar tambang perjalanan, pasti (saya akan datang) ... saya tidak percaya bahawa saya akan diterbangkan ke sana bulan depan semata-mata untuk pakaian itu dicuba untuk hanya selama sejam setengah.

"Dan kemudian diterbangkan sekali lagi pada keesokan harinya," katanya mendedahkan, sebahagian daripada petikan perbualan dengan Kapp pada 17 Januari lalu.


Ulasan GB

Persoalan kini, satu dunia sudah tahu tembelang belanja boros Rosmah. Ini kerana yang menyiarkan berita itu bukan Utusan, bukan Berita Harian, tepai Sydney Morning Herald.

Bagaimana penafian Najib mampu memadam berita berkenaan?

Mungkin ada satu cara: saman akhbar tersebut. Ada berani?

[Kejam] Pembantu Kedai Kain Mati Ditikam 6 Kali Di Kedai Payang K.Terengganu

Wanita ditikam 6 kali meninggal dunia

KUALA TERENGGANU: Seorang pembantu kedai kain yang ditikam sebanyak enam kali di dalam kedai itu di Jalan Kampung Daik di sini malam tadi, meninggal dunia awal pagi ini.

Wan Manisah Wan Mansor, 27, meninggal kira-kira 2.015 pagi di Hospital Sultanah Nur Zahirah.

Mangsa dari Durian Mas, Dungun dipercayai ditikam oleh seorang lelaki tidak siuman dalam kejadian kira-kira 8 malam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, ACP K Manoharan, berkata suspek sudah dikenal pasti dan diburu.

Beliau berkata, suspek sering dilihat berkeliaran di kawasan sekitar Kompleks Paya Keladi, Pasar Besar Kedai Payang dan Stesen Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu.

"Suspek dipercayai berusia dalam lingkungan 30-an, berbadan kurus, mempuyai ketinggian 150 cm, berkulit cerah, berambut kerinting dan sering memakai seluar pendek paras lutut dan jaket menutup kepala,"
katanya.

Manoharan meminta orang ramai yang menjumpai suspek supaya menghubungi Pengawai Penyiasat, ASP Ahmad Fauzi Mohd Nor di talian 012-6342539 atau balai polis berhampiran.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Memberitahu tentang kejdian itu, beliau berkata ia berlaku apabila suspek tiba-tiba meluru masuk ke kedai berkenaan untuk naik ke tingkat atas tetapi ditegah oleh mangsa.

"Berang dengan teguran itu, lelaki berkenaan bertindak memeluk mangsa dari belakang sebelum memukul dan menikam belakangnya.

"Lelaki itu turut mengheret mangsa kira-kira lima meter di dalam kedai namun mangsa berjaya melarikan diri ke bahagian belakang kedai sebelum pengsan," katanya. - BERNAMA


Bapa Wan Manisah: 'Apa salah dia?'

KUALA TERENGGANU - Bapa kepada seorang pembantu kedai yang maut ditikam malam tadi kebingungan ingin tahu apa salah-silap anaknya sehingga anaknya menjadi sasaran tikaman seorang lelaki.

"Kenapa buat anak saya macam ini, apa salah dia?" demikian rintihan Wan Mansor Wan Muda, 50.

Katanya anak sulungnya itu, Wan Manisah, 27, seorang yang baik dan anaknya tidak bermusuh dengan sesiapa.

Wan Mansor yang ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) jelas sugul dan terkejut dengan kejadian yang menimpa kakak kepada 12 beradik itu sehingga mengasingkan diri daripada anggota keluarga yang lain.

Ibu mangsa, Noorainie Yusof, 45, berkata kali terakhir dia bercakap dengan anaknya yang lebih mesra dengan paggilan Kak Long itu kira-kira pukul 5 petang semalam semasa mangsa menghubunginya untuk memberitahu tidak dapat pulang hari ini tanpa memberikan sebarang alasan.

"Semalam Kak Long menelefon dan memaklumkan tidak jadi balik ke kampung di Durian Mas, Dungun dan memberitahu tidak perlu menjemputnya namun dia tak beritahu kenapa dia tak dapat balik," katanya.

Noorainie tidak menyangka itu adalah perbualan terakhir dan petanda Wan Manisah akan meninggalkan mereka semua buat selama-lamanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam itu, Wan Manisah ditikam seorang lelaki tidak dikenali yang dipercayai kurang siuman ketika sedang berbual bersama tiga rakannya di kedai kain yang terletak di Jalan Kampung Daik di sini.

Mangsa dikatakan menegah lelaki itu yang meluru masuk untuk ke tingkat kedai menyebabkan lelaki itu berang lalu bertindak memeluk mangsa dari belakang sebelum memukul dan menikam belakang Wan Manisah.


Lelaki itu turut menyeret mangsa kira-kira lima meter ke bahagian dalam, namun mangsa berjaya melarikan diri ke belakang kedai sebelum pengsan. Mangsa disahkan meninggal dunia pukul 2.05 pagi ini ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan HSNZ.
-SH


PAS Dedahkan Ada Penerima BR1M Dipaksa Bersumpah

Kota Bharu, 2 Feb: Di tengah-tengah kesibukan Umno mengagihkan dana kerajaan bagi memancing rakyat, Pemuda PAS Kelantan pula melancarkan program Anak Muda Tolak Umno. Gambar fail

Tanpa menghiraukan hujan yang sekali sekala agak lebat, ribuan anak muda diketuai Ketua Pemuda PAS Negeri, Abdul Latif Abdul Rahman mulai memalu gendang ‘perang’.

Program itu dilancar Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Sedangkan dalam masa sama Umno pula sibuk mengagihkan baucer Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), biar pun dananya daripada cukai rakyat.

Hari ini Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin datang ke Kelantan mengagihkan baucer tersebut di peringkat parlimen Ketereh dan Kuala Krai.

Abdul Latif berkata, ada penduduk yang memohon mendapatkan bantuan dipaksa bersumpah mengundi Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum tidak lama lagi.

“Ada rakyat menanyakan bolehkah bersumpah bagi mendapat bantuan itu, saya beritahu kalau bersumpah pun tidak wajib undi Umno kerana perbuatan itu dianggap lara.

“Jadi sumpah tersebut tidak memberi kesan dari segi syarak kerana secara jelas Umno tidak memperjuangkan Islam, malah ia lebih cenderung kepada maksiat,”
katanya pada majlis tersebut di Dataran Ilmu, pekan Peringat malam tadi.

Bagaimanapun kata beliau kalau boleh dielak bersumpah biar pun sumpah seperti itu tidak wajib dilaksanakan.

Pada awal 1990-an petani di kalangan penyokong PAS dipaksa mengisi borang keahlian Umno bagi membolehkan mereka mendapat bantuan baja subsidi padi.

Malah dalam kes lain, guru-guru yang memohon untuk bertukar dikehendaki mengemukakan nombor keahlian Umno.

Program Anak Muda Tolak Umno dimulakan pada 15 Januari lalu akan diteruskan di 45 kawasan Dewan Undangan Negeri. -HD

PENERIMA BR1M RM500 DILAYAN MACAM ANJING KURAP!!!!




Kerana kesempitan hidup dan RM500 cukup amat bernilai bagi warga yang berpendapatan rendah dan miskin, maka pemimpin-pemimpin mengambil kesempatan dengan melayani mereka seperti anjing kurap yang kelaparan dan kehausan....dibiarkan beratur selama beberapa jam dibawah matahari terik..ini berlaku di Klebang Ipoh semalam bila pemberian yang dihulur sendiri oleh Menteri kewangan Kedua Ahmad Husni Hanadzlah...lebih dari 2,500 penerima menjadi mangsa tidak berperikemanusian dan berhati perut kerajaan UMNO 1M'sia ini.

Mengapa perlu ada Menteri,Menteri Besar, Timbalan Menteri, Exco Kerajaan, Ahli Parlimen dan ADUN sendiri yang menyerahkan wang RM500 BR1M sendiri ketangan penerima yang layak?...mengapa perlu diadakan upacara khas?...sudahlah mereka susah disusahkan lagi...tidak boleh kah terus saja hantar kepada yang layak dan berjaya melalui pos atau pun menerusi panggilan talipon.. diborang permohanan sudah diberikan alamat dan no talipon yang boleh dihubungi...sikap dan tata kelola sebuah kerajaan yang baik,efisen dan berniat ikjhlas ialah memudahkan urusan dengan rakyat bukannya menyusahkan rakyat...

Jelas sekali niat BR1M adalah cuba nak beli dan tambat hati rakyat mengundi UMNO/BN pada PRU 13 nanti.. tetapi hasilnya akan menjadi sebaliknya...bak kata Seniman S.Shamsuddin dalam filem Nujum Pak Belalang....KALAU INI MACAM BERAPA LAMA MAU HABIS HAA!!!!...KALAU INI MACAM BAGI AKU YANG KIRA......kalau macam ini cara pemberiannya.. berapa lama mau habis selesai rakyat yang layak dapat ha?..... kalau ini macam bagi pula Pakatan Rakyat tadbir urus Putrajaya..
-omakkau


Petronas Digesa Utamakan Yang Utama, Bayar Royalti Minyak Kelantan Dahulu

Petronas dipandang tinggi jika bayar royalti Kelantan

KUALA LUMPUR, 31 Jan: Petronas sepatutnya mengutamakan tanggungjawabnya di segi perundangan dahulu sebelum melaksanakan tanggungjawab sosialnya, kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

Menurut beliau, walaupun pembinaan laluan pejalan kaki berhawa dingin yang menghubungkan Kuala Lumpur City Centre (KLCC) dengan Bukit Bintang adalah sumbangan yang sangat dialu-alukan, tetapi lebih penting lagi Petronas mengutamakan perlaksanaan tanggungjawabnya di sisi undang-undang.

"Sehingga kini Peronas tidak melaksanakan legal responsibiliti atau tanggungjawabnya di sisi undang-undang dan membayar royalti minyak kepada Kelantan," katanya.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu yakin, jika Petronas melaksanakan tanggungjawab perundangannya itu dan membayar royalti minyak kepada Kelantan dan negeri lain yang berhak mendapat royalti tersebut, syarikat minyak nasional itu akan dipandang tinggi sebagai warga korporat yang bertanggungjawab.

Sehingga kini, kerajaan negeri Kelantan terus disekat dan dinafikannya haknya untuk menerima royalti yang termaktub dalam Akta Petroleum itu.

Menurut The Star, laluan pejalan kaki berhawa dingin bernilai RM100 juta itu dibiayai oleh Petronas di bawah program sumbangan sosialnya.

Bagaimanapun, harga RM100 juta untuk laluan berhawa dingin sepanjang 562 meter dan selebar lima meter itu dipertikaikan oleh blogger pro-Umno sendiri.

Blogger itu menyifatkan harga laluan pejalan kaki itu, iaitu RM3,307 sekaki persegi terlalu mahal.

Menurut blogger itu, harga RM3,307 sekaki persegi untuk laluan pejalan kaki itu enam kali ganda lebih mahal dari harga kondominium enam bintang di Mont Kiara.

Kos sedemikian, katanya, "lebih teruk dari kondo lembu".

Laluan pejalan kaki berhawa dingin yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu merentasi kawasan sibuk di Jalan Pinang, Jalan Perak dan Jalan Raja Chulan dengan pintu masuk bereskalator dan bertangga serta pintu keluar di lokasi strategik dan selesa.

Bahagian lainnya terdiri daripada sebuah terowong pejalan kaki dari aras concourse Pusat Konvensyen Kuala lumpur yang sekarang bersambung dengan terowong sedia ada ke kompleks beli-belah Suria KLCC.

Hujan Batu & Angin Puting Beliuang Landa Kulim

Ribut hujan batu rosakkan 57 rumah di empat mukim di Kulim

KULIM - Sebanyak 57 rumah rosak dalam kejadian ribut dan hujan batu di sini, petang semalam. Kejadian pada pukul 6 petang di empat mukim itu menerbangkan 28 bumbung rumah terbabit.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kulim Rohana Yusuf berkata 35 rumah yang rosak itu ialah di Mukim Padang China, 16 di Mukim Keladi, lima di Mukim Lunas dan satu di Mukim Sungai Seluang.

"Kawasan yang paling teruk dilanda ribut ialah Taman Mutiara, Sungai Kob di Mukim Padang China," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tinjauan Bernama di lokasi kejadian ribut mendapati banyak dahan, batang dan ranting pokok buah-buahan dan pokok hiasan bertaburan dan pokok yang tumbang telah dipotong dan dikumpul di tepi jalan untuk memudahkan laluan.

Seorang pekerja kilang, Hafizah Md Hasan, 40, berkata beliau yang mendukung anak bongsunya Norshafiq Hani, 2, nyaris ditimpa sebatang pokok mempelam ketika mereka dalam perjalanan pulang ke rumahnya dari rumah pengasuh di Taman Mutiara, Sungai Kob.

"Dalam keadaan saya bersama anak basah kuyup akibat hujan lebat, saya hampir terjatuh berikutan angin kuat ketika berada berhampiran sebatang pokok mempelam...beberapa saat selepas itu, saya dapati pokok mempelam itu tumbang hampir menimpa saya dan anak," katanya.

Sementara itu, Penyelaras Parlimen Barisan Nasional (BN) Padang Serai Dr Chin Tung Leung, Setiausaha Umno Bahagian Padang Serai Drs Ahmad Zubib Saad dan Ketua Umno Cawangan Taman Mutiara Dr Zainal Abidin Raja Mohd Hashim melawat rumah-rumah mangsa untuk mendapatkan maklumat lengkap berhubung kerugian yang dialami mereka.- Bernama


Muka ‘dilibas’ angin puting beliung

KULIM: “Sebaik melintasi pokok mempelam milik jiran, saya terdengar dentuman sebelum pokok itu tumbang, manakala saya yang sedang mendukung anak kecil tiba-tiba terjatuh ke atas jalan selepas muka seolah-olah ‘dilibas’ angin puting beliung.”

Begitu kata pekerja kilang, Hafizah Md Hassan, 43, yang menceritakan semula detik cemas selepas terkena ‘libasan’ angin kuat dalam kejadian ribut ketika dalam perjalanan pulang ke rumah di Taman Mutiara, Sungai Kob, di sini, petang kelmarin.

Hafizah berkata, dalam kejadian jam 5.40 petang itu, dia bersama seorang anaknya, Nurshamila Shetri, 12, ke rumah pengasuh untuk mengambil bayi perempuannya, Nursyafiah Hany, 18 bulan, dalam hujan renyai-renyai.

“Sebaik pulang dari tempat kerja, saya mengajak Nurshamila menemani untuk mengambil Nursyafiah di rumah pengasuh kira-kira 80 meter dari rumah.

“Kami bertiga berjalan pulang dalam hujan semakin lebat dan angin mulai kencang. Kami bergerak cepat dengan menggunakan payung berikutan bimbang jika berlaku kejadian tidak diingini.

“Tiba-tiba pokok mempelam milik jiran mengeluarkan bunyi kuat sebaik kami melintasinya lalu tumbang dan muka saya seperti ditolak menyebabkan saya dan dua anak jatuh terduduk di atas jalan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurutnya, ketika itu pandangannya menjadi kabur apabila melihat suasana menjadi putih seperti kabus lalu bingkas bangun dan menarik anak berlari ke rumah selepas payung turut diterbangkan angin kuat.

Katanya, beberapa minit kemudian dia terdengar pula dentuman kuat dari luar rumah dan mendapati bumbung rumah jiran, Mohd Dahar Yusoff pula diterbangkan angin. -hm

Lagi Kepala Babi Diletakkan Depan Masjid, Kali Ini Di Sentul

Kuala Lumpur - Selepas penemuan kepala babi di sebuah masjid di Rawang kelmarin, Masjid Al-Hidayah, Sentul di sini turut dikejutkan dengan insiden yang sama.

Kepala babi yang dibungkus dengan plastik disedari oleh seorang tukang sapu yang sekitar jam 7.30 pagi tadi. Ia diletakkan di depan pagar utama kawasan masjid berkenaan.

Kehadiran bungkusan itu disedari kira-kira jam 11 malam tadi oleh bilal masjid yang awalnya menyangkakan ia hanya sampah selepas ia menghalang pagar daripada ditutup.

Dalam plastik berkenaan terdapat kaki, kepala, kulit dan bebeapa anggota badan babi.

Unit forensik sedang menjalankan siasatan dan kawasan masjid berkenaan kini menjadi tumpuan awam. -SH

Kepala babi ditemui di masjid di Sentul pula

Kepala babi ditemui pula di sebuah masjid di Sentul, Kuala Lumpur hari ini, menjadikannya kes kedua dalam tempoh kurang seminggu.

Menurut ahli parlimen Batu Tian Chua, kali ini kepala babi itu ditinggalkan di Masjid Hidayat Sentul, di kawasan parlimennya.

"Pihak tidak bertanggungjawab meninggalkan kepala babi di Masjid Hidayat Sentul. Percaya cakap saya, sesiapa yang bermain dengan api ini, kita akan berikan mereka neraka!" tulisnya di Twitter pada kira-kira jam 10 pagi ini.

Ketika dihubungi, Chua berkata beliau sedang bermesyuarat dengan ahli jawatankuasa masjid mengenai perkara itu dan akan mendedahkan lebih banyak butiran selepas mesyuarat berkenaan.

Selasa lalu, satu kepala babi ditemui di sebuah masjid di Rawang oleh ahli jawatankuasa masjid sebelum solat subuh.

Polis sedang menyiasat perkara itu di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan. -mk




Harimau Jadian Yang Menipu Haiwan Liar Dan Manusia Juga

Harimau jadian

KOTA BHARU: Bukan saja haiwan liar tertipu, manusia juga tertipu. Itu yang berlaku kepada penduduk di Kampung Manjor, Kuala Krai apabila membuat laporan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) selepas melihat patung harimau yang disangka harimau sebenar.

Insiden melucukan itu berlaku apabila seorang penduduk di kampung berkenaan meletakkan dua patung harimau di kawasan rumah dan kebunnya dengan tujuan menghalau haiwan liar. Dalam kejadian Isnin lalu, sepasukan anggota Perhilitan yang mendapat laporan bergegas ke kampung berkenaan sebelum mendapati dua ekor harimau yang dilaporkan itu sebenarnya patung harimau sepanjang kira-kira 1.3 meter.

Pengarah Perhilitan Kelantan, Rahmat Topani berkata, kejadian berkenaan berlaku apabila pihaknya menerima laporan kira-kira jam 10 pagi, Isnin lalu daripada seorang penoreh getah yang datang ke pejabat Perhilitan di Kota Bharu memaklumkan ada penduduk di kampung berkenaan membela harimau.

Katanya, seramai 11 anggota Perhilitan dihantar ke kampung berkenaan pada jam 3 petang, hari yang sama dengan membawa beberapa kelengkapan termasuk senjata api, namun tidak menemui jejak harimau seperti dilaporkan.

“Kita melakukan pula siasatan di rumah milik Mohd Azari Said, 39, iaitu orang didakwa memelihara dua ekor harimau itu. Sebaik bertanyakan lelaki terbabit mengenai harimau yang dikatakan oleh penduduk kampung, dia mengaku mempunyai dua ekor harimau, yang mana seekor diletakkan di kebun untuk menghalau kera dan babi hutan manakala seekor lagi dijadikan mainan oleh anaknya.

“Ketika itu, barulah kita tahu yang kelibat harimau yang didakwa dilihat oleh penduduk hanyalah patung harimau yang banyak dijual di kedai,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Menurutnya, kejadian itu amat melucukan kerana sejak seminggu lalu ada penduduk yang melaporkan kepada Perhilitan bahawa Mohd Azari dan anaknya membawa salah seekor harimau itu ‘makan angin’ menggunakan motosikal.

“Lelaki terbabit mendakwa membeli setiap patung harimau itu dengan harga RM70 kerana tertarik dengan saiznya selain dikatakan berkesan bagi menghalau kera dan babi hutan.

“Walaupun tidak mengeluarkan sebarang bunyi seperti mengaum serta langsung tidak bergerak ia berkesan menghalau haiwan liar lain,” katanya. -hm

Berita berkaitan

Monyet, babi hutan tertipu



PORT DICKSON: “Sudah habis cara kami lakukan untuk menghalau monyet liar dan babi hutan, sehinggalah seorang rakan memberi idea supaya meletakkan ‘harimau’ di laman rumah,” kata Norehan Nordin, 55, yang meletakkan patung harimau di hadapan rumahnya bagi menghalau haiwan liar itu daripada mengganas dan merosakkan tanaman di kebunnya di Kampung Telok Pelandok, di sini.

Lebih mengejutkan, idea itu ternyata berkesan apabila ratusan monyet liar tidak lagi menghampiri kawasan rumahnya kerana bimbang ‘dimakan’ harimau itu.

“Tidak sangka idea ini berkesan berikutan monyet liar lari bertempiaran selepas melihat patung harimau itu dan tidak lagi berani menghampiri rumah dan tanaman kami.

“Saya bercadang mahu ‘membela’ lagi harimau kemudian diletakkan di seluruh rumah bagi menakutkan monyet dan babi hutan berkenaan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Norehan berkata, patung harimau itu perlu dipilih dengan betul iaitu mulutnya mestilah terbuka seperti sedang mengaum supaya kelihatan garang dan saiznya mestilah sama dengan harimau sebenar.

“Saya mengetahui taktik itu sebaik diberitahu pekedai di Ayer Itam, Johor, yang menyarankan saya membeli patung harimau mulut terbuka.

“Walaupun harganya mencecah RM120 seunit, namun berbaloi untuk menakutkan monyet yang sentiasa ada di sekitar rumah. Jika tidak, kawasan lapang hadapan rumah menjadi tempat haiwan itu berkeliaran,” katanya.

Menurut suaminya, Abu Bakar Yusof, 58, rumah itu peninggalan ayahnya sejak 50-an dan menjadi tempat berkumpul monyet liar.

“Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini, monyet berkenaan membiak hingga kadang-kadang boleh mencapai beribu ekor hingga menakutkan cucu saya,” katanya. Abu Bakar berkata, sejak rumahnya meletakkan harimau itu, ia menjadi ikutan kepada jiran yang turut meletakkan patung harimau di halaman rumah mereka.

“Dulu jika kami leka, monyet akan masuk ke dalam rumah dengan membuka pintu kemudian memakan makanan yang diletakkan di atas meja.

“Saya berharap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dapat melakukan sesuatu berikutan sudah beberapa kali aduan dibuat ke jabatan itu, namun tiada tindakan,” katanya.




Gadis Dibelasah Berebut Lelaki Di Facebook

Angkara berebut lelaki, gadis dibelasah

KANGAR – Seorang pelajar perempuan tingkatan tiga di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perlis di sini teruk ‘dikerjakan’ sekumpulan 15 pelajar perempuan lain gara-gara pertelingkahan berebut teman lelaki sehingga mangsa terpaksa dimasukkan ke hospital.

Gambar: NOOR yang cedera selepas dibelasah 15 pelajar perempuan dirawat di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar semalam

alam kejadian antara pukul 5 hingga 6 petang kelmarin berhampiran sekolah itu yang terletak dekat sebuah taman perumahan, mangsa yang hanya dikenali sebagai Noor, 15, mendakwa dia ditampar, dipukul dan dipijak oleh kumpulan pelajar tersebut yang mengamuk selepas menuduhnya merampas kekasih mereka.

Serangan ganas itu berlaku ketika mangsa baru keluar dari sekolah untuk pulang dengan menunggang basikal selepas selesai mengikuti latihan sukan.

Kumpulan pelajar perempuan itu didakwa sudah menunggu mangsa sebelum mereka terus membelasahnya. Pada masa itu mangsa yang tinggal di Pangsapuri Sena kira-kira 500 meter dari sekolahnya dalam perjalanan pulang seorang diri.

Setelah puas dikerjakan hampir 15 minit, Noor yang dalam kesakitan terpaksa mengagahkan diri mengayuh basikal pulang ke rumah. Kejadian malang yang menimpanya tidak dimaklumkan kepada ibunya.

Bagaimanapun, pada pukul 12 tengah malam, mangsa terpaksa dikejarkan ke hospital oleh ibunya setelah dia muntah-muntah.

Mengimbas kejadian itu, Noor memberitahu, pertelingkahan tersebut berpunca apabila dua orang daripada kumpulan pelajar perempuan yang dikenalinya itu mendakwa dia mempunyai hubungan dengan teman lelaki mereka.

“Saya beritahu saya tiada apa-apa hubungan namun kedua-dua pelajar itu tidak berpuas hati dan terus menarik rambut dan memukul saya sebelum rakan lain ikut serta membelasah saya,” kata pelajar itu ketika ditemui di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini semalam.

Noor, anak kedua daripada tiga beradik, baru sebulan belajar di SMK Perlis itu setelah berpindah dari Sungai Petani, Kedah bagi mengikuti ibunya yang bekerja di kedai makan di sini. Mangsa telah pun kematian bapa.

Katanya, dia langsung tidak menyangka kumpulan pelajar terbabit akan bertindak bagaikan orang hilang akal apabila tergamak membelasahnya sehingga dia hampir terjatuh ke dalam longkang.

“Malah ketika itu ada dua remaja lelaki iaitu teman lelaki kepada dua pelajar yang menuduh saya menjalin hubungan dengan kekasih mereka.

“Namun, kedua-dua remaja lelaki itu termasuk seorang yang bersekolah di sekolah sama dengan saya tidak membantu menjelaskan keadaan sebenar, sebaliknya kedua-dua lelaki itu turut menonton dan bersorak apabila melihat saya dibelasah.

“Hanya tiga pelajar perempuan dalam kumpulan itu yang saya kenal termasuk dua pelajar yang menuduh saya mempunyai hubungan dengan kekasih mereka. Ketiga-tiga pelajar itu sebaya dengan saya dan sama kelas dengan saya,” ujarnya. -kosmo

Perang Facebook, pelajar perempuan dibelasah

KANGAR: Akibat perang Facebook, seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun dibelasah, termasuk dipijak dan ditendang sekumpulan kira-kira 15 pelajar perempuan dari sekolah sama berhampiran sebuah sekolah menengah di sini, petang kelmarin.

Mangsa dipercayai diserang berikutan beberapa komennya di dalam laman sosial Facebook, baru-baru ini, yang dikatakan mengeluh kerana asyik dibuli sejak lebih sebulan berpindah ke sekolah itu, awal tahun ini.

Anak sulung daripada dua beradik itu cedera di tangan dan badan, selain lebam dan dimasukkan ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini, berikutan muntah dan mengadu sakit dada.

Dalam kejadian itu, mangsa yang baru berpindah dari Sungai Petani, Kedah, dikatakan dikerumuni kira-kira 15 pelajar perempuan ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya sebaik selesai menjalani latihan sukan di sekolah kira-kira jam 6.30 petang.

Mangsa yang menaiki basikal seorang diri dikatakan dikepung dan basikalnya ditendang tiga hingga empat daripada 15 pelajar berkenaan, sebelum terjatuh di kawasan taman perumahan di belakang sekolahnya di Jalan Raja Syed Alwi di sini.

Apabila terjatuh, seorang pelajar lain memijak dan memukul mangsa sebelum disertai pelajar lain yang turut sama memukul dan menendang kepala mangsa selain menarik rambutnya.

Ibu mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Latifah, 30-an, berkata dia sedih dan kesal kerana tiada seorang pun pelajar yang menyaksikan kejadian berani membantu anaknya yang ketika itu menjerit meminta tolong.

Anak saya dibelasah teruk berdekatan sekolah, namun, tiada seorang pun berani membantunya. Malah, dua pelajar lelaki dari sekolah sama yang menyaksikan kejadian itu hanya ketawa melihat anak saya dibelasah.

Dia (mangsa) yang lemah tidak berdaya selepas dibelasah. Dalam kesakitan, dia berjalan sendiri untuk pulang ke rumah selepas ditinggalkan kumpulan pelajar terbabit, katanya yang kemudian membuat laporan di Balai Polis Kangar.

Mangsa yang dibenarkan pulang selepas diberi rawatan pesakit luar, bagaimanapun dihantar ke HTF semalam dan dimasukkan ke wad untuk rawatan lanjut selepas mengadu sakit dada serta muntah di rumah.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kangar, Deputi Superintendan Ismail Che Isa, mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu dan siasatan sedang dijalankan.

Kita sedang menyiasat jumlah pelajar yang terbabit dalam kejadian itu dan sudah kenal pasti empat pelajar perempuan berusia 15 tahun daripada sekolah sama yang disyaki terbabit, katanya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan, selain Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana membuat ugutan jenayah.
-BH


Ulasan GB

Hebat remaja kini. Biasanya kita dengar lelaki berebutkan perempuan. Di dalam kes di atas perempuan berebutkan lelaki, pelajar sekolah tingkatan 3 pula. Boleh bentuk semacam "kelab penyokong" pula. Angkara facebook.

Kepala Babi: Pihak Masjid Anjur Solat Hajat!

Tindakan Cemar Masjid Dengan Kepala Babi Dikecam, Kariah Tolak Hasutan.

Tapi mujurlah pihak masjid hanya akan menganjurkan siri munajat dan solat hajat agar si pelaku diberi hidayah jika pihak Masjid mendoakan supaya si pelakunya diazab....sendiri mahu ingatlah.......

SHAH ALAM, 1 FEB : DAP mengecam tindakan meletakkan kepala Babi di sebuah Masjid di Rawang sebagai tindakan pengecut dan provokasi yang bertujuan untuk mengapi-apikan sentimen perkauman dan agama diambang Pilihan Raya Umum.

Parti itu menerusi Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berpendirian bahawa tidak ada ruang di Malaysia bagi tindakan-tindakan yang sia-sia dan menjijikkan seperti ini.

Dalam pada itu, Nazir Masjid Nur Iman, Batu 18 Ilham Akhbar Harun itu berkata, qariah tidak terpedaya dengan usaha untuk mengugat keamanan di komuniti mereka dan menolak perkauman sempit yang dimainkan pihak-pihak tertentu.

Lim, di dalam kenyataan medianya, berkata tindakan tersebut bertentangan dengan sifat masyarakat yang aman dan berbilang budaya.

“Kami menyeru supaya rakyat Malaysia bertenang dan tidak bertindak balas kerana tindakan ini jelas dilakukan oleh pihak-pihak tertentu dengan motif yang jahat.

“Kita menyeru agar semua pihak bersatu untuk mengutuk penodaan dan pengotoran mana-mana tempat beribadat, biarpun masjid atau gereja atau kuil, dan berharap agar pihak Kerajaan akan serta merta menyiasat dan mengambil tindakan yang sewajarnya,” kata beliau dalam kenyataan media.

Pengunjung Masjid Nurul Iman di Batu 18 Rawang, Selangor, menemui sebuah kepala babi di depan pintu pagar masjid itu awal pagi semalam.

Sementara itu, menurut Adun Rawang, Gan Pei Nei, tahap keselamatan masjid itu akan dipertingkatkan dengan pemasangan CCTV,lampu limpah dan pengawal agar kejadian sedemikian tidak berulang.

“Dan hasil perbincangan dengan jawatankuasa masjid, mereka akan cadangkan untuk mengetatkan kawalan keselamatan sebab lokasi masjid tersebut terletak di tepi jalan utama dan ia menjadi tempat yang mudah untuk orang luar masuk dan walaupun pintu pagar dikunci tetapi ia boleh dipanjat untuk masuk ke pekarangan masjid.

“Semua cadangan ini, saya bawa kepada pihak Menteri Besar dan Exco untuk permohonan daripada kerajaan negeri bagi memberikan bantuan bagi meningkatkan tahap keselamatan di kawasan masjid.” kata Pei Nei yang dihubungi TVSelangor.

Menurut Pei Nei, masyarakat di Rawang merasakan tindakan tersebut adalah tindakan provokasi untuk mencetuskan perasaan tidak puas hati antara agama.

“Selama ini di Rawang semua masyarakat pelbagai bangsa boleh hidup aman harmoni antara satu sama lain , jadi mereka nampak apabila hendak pilihanraya ia merupakan satu provokasi yang berunsur politik,” katanya.

Beliau juga berharap pihak polis dapat mengambil tindakan segera menangkap dan mendakwa pihak yang menjadi dalang dalam insiden itu agar tidak berulang lagi di masa hadapan.

“Pihak-pihak yang memainkan sentimen bersifat perkauman dan keagamaan, kita gesa perlu hentikan perkara ini, dan kita perlu memandang kehadapan dengan mengadakan perbincangan dan dialog jika ada perkara-perkara sensitif dan bukan cara seperti melontarkan kepala babi ke masjid untuk provokasi memainkan sentimen perkauman secara ekstrem,” ujarnya.

Nazir Masjid Nurul Iman Ilham Akhbar Harun berkata kariah itu terkejut dengan kejadian yang mungkin dilakukan agar berlakunya kejadian permusuhan kaum dan ketegangan agama.

“Tanpa menuduh mana-mana pihak, kami berpendapat perkara seumpama ini tidak harus berlaku di rumah Allah yang suci ini. Kami pentadbir dan Jawatankuasa MNIR membantah tindakan yang biadab ini dan sama sekali tidak akan menyokong sebarang provokasi sempit yang boleh mengeruhkan suasana harmoni sedia ada,” katanya.

Beliau berharap seluruh anak kariah masjid agar bertenang dengan kejadian ini dan yakin pihak terbabit akan dikenakan tindakan undang-undang segera.

“Pihak masjid akan menganjurkan siri munajat dan solat hajat agar si pelaku diberi hidayah dan keharmonian kaum dapat dikekalkan.

“Sesungguhnya kami cinta kepada kedamaian dan yakinlah setiap kejadian yang menimpa itu pasti mempunyai hikmahnya,” katanya. -naimnikmat

Ulasan GB

Sekalipun solat hajat dilakukan supaya pelaku yang melakukan tindakan tersebut diberikan hidayah, namun turunnya hidayah Allah adalah menikut bentuk dan kehendak Dia.

Dia boleh saja menurunkan hidayah dengan pelbagai cara sekalipun dengan azab atau bala dan bencana.

Seringkali manusia mendapat hikmah dan hidayah selepas berlaku sesuatu azab dan sengsara menimpanya.

Justeru itu beringatlah wahai pelaku tersebut.

Laporan sebelum ini
klik untuk baca





Kanak-Kanak Guna Telefon Bimbit Tonton Bahan Lucah Meningkat

Ibu bapa diingatkan supaya mengawasi anak mereka dalam mengguna telefon bimbit pintar selepas kajian terbaru menunjukkan sebahagian besar mereka menggunakannya untuk mengakses gambar dan video lucah. Gambar fail

Hanya 13 peratus kanak-kanak itu dilengkapi dengan ciri pengawasan pada telefon masing-masing, menurut laporan yang dikeluarkan di London semalam.

Angka itu jauh berbanding dengan yang dipasang pada komputer dan komputer riba di rumah sementara 84 peratus komputer kanak-kanak mempunyai perisian anti-virus.

Kajian itu yang dilakukan oleh YouGov menyelidik tingkah laku web telefon bimbit kanak-kanak berusia lapan hingga 15 tahun.

Ia mendapati, seorang daripada lima atau 21 peratus kanak-kanak pernah mengakses laman web tidak sesuai menerusi telefon bimbit mereka, meningkat sepertiga di kalangan mereka yang berusia 14 hingga 15 tahun.

Sama ada mereka tidak sengaja menemui laman web yang tidak sesuai itu, ramai kanak-kanak dikatakan membaca atau melihat perkara yang mereka tahu hanya untuk orang dewasa.

Kajian itu juga menunjukkan ramai kanak-kanak turut mengaku berdepan dengan tindakan ibu bapa dan guru mereka kerana mengakses laman web yang sepatutnya mereka tidak layari menerusi telefon bimbit mereka. – DM