4 Jan 2012

Nik Aziz Nasihat Khairul Fahmi (Apex) Kahwin Cepat

Kota Bharu - Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menasihati penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat cepat mendirikan rumah tangga supaya kehidupannya lebih sempurna.

Nik Abdul Aziz berkata, Islam menggalakkan orang yang mampu supaya cepat berkahwin.

“Ini penting untuk mengawal kita daripada melakukan dosa dan apabila berkahwin, ia lebih selamat untuk menjaga masuah.

“Khairul Fahmi merupakan penjaga gol terbaik Asia menjadi idola rakyat Kelantan, saya juga berbangga dengannya apatah lagi dia berada dalam kawasan pilihan raya saya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci Rumah Kepada Khairul Fahmi di Taman Kurnia Jaya, Kemumin, Pengkalan Chepa dekat sini, semalam.

Kerajaan negeri Kelantan kata beliau, memberi hadiah kepada rakyat yang cemerlang dalam apa jua bidang sebagai rangsangan.

“Mereka yang berbakat dan cemerlang ini perlu menunjukkan contoh baik, bebas salah laku sosial dan pengaruh dadah kerana dadah boleh memusnahkan kehidupan,” katanya.

Khairul Fahmi yang mesra dikenali sebagai Apex berkata, beliau menyerahkan soal jodoh kepada Allah SWT dan tidak mahu terlalu memikirkannya.

“Soal jodoh ni kena tengok 'rezeki' la, kalau tahun ni (kahwin) maka tahun ni la, kalau tahun depan atau tiga tahun lagi pun saya terima,” katanya.

Sementara itu, bapa Apex, Che Mat Hussin, 59, ketika ditemui berkata, dia menyerahkan soal perkahwinan sepenuhnya kepada penjaga gol Kelantan itu.

Katanya, Apex mungkin mahu menumpukan perhatian kepada karier terlebih dauhulu.

“Saya sedia menerima siapa saja wanita pilihan dia, yang penting ialah matlamatnya dalam bidang sukan tidak terganggu kerana dia masih muda,” katanya.

Apex yang menerima anugerah Pemain Muda Terbaik dan Penjaga Gol Terbaik pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 100Plus-FAM 2011 November lalu tersenarai bersama Fadhli Shas dan Safee Sali dalam kesebelasan terbaik Asia pilihan laman web terkenal dunia, Goal.Com. -SH

Bekalan Air Di Parlimen Pekan Tidak Mencukupi

Najib gagal atasi bekalan air UMP Pekan

KUALA LUMPUR, 4 Jan: Beberapa informasi yang diterima daripada mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) berkaitan isu utama mereka kini iaitu masalah bekalan air yang tidak mencukupi di Pekan.

“Masalah ini berlarutan adalah berpunca daripada tekanan air yang rendah,” kata Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN), Mohd Syahid Mohd Zaini.

Katanya, akibat daripada itu, mahasiswa UMP Kampus Pekan yang mempunyai kapasiti pelajar sekitar 2,000 orang terpaksa berkongsi sumber air yang sama daripada tangki yang berada di Kuala Pahang yang turut sama disalurkan kepada masyarakat sekitar.

Menurutnya, setelah beberapa kali siri perbincangan antara pimpinan mahasiswa UMP bersama pihak pentadbiran dan pihak Jabatan Bekalan Air (JBA) di sana, pihak JBA memaklumkan bahawa kemungkinan pihak mereka akan memperuntukkan saluran air yang baik untuk keperluan asas bekalan air di UMP.

Banyak persoalan timbul berkaitan isu itu dalam kalangan mahasiswa dan barisan pentadbiran mahupun rakyat setempat.

Persoalannya, kata beliau mengapakah projek pembinaan UMP yang kini telah pun menempatkan mahasiswa di sana dalam keadaan tidak lengkap dengan keperluan asas seperti bekalan air.

“Katanya, mengapa kawasan Perdana Menteri boleh jadi seperti itu sedangkan beliau merupakan ahli parlimen Pekan.

“Adakah beliau tidak turun padang dan tidak ambil tahu permasalahan mahasiswa di UMP yang kian parah?

“Di mana duit peruntukan yang disalurkan untuk membina saluran air di UMP tersebut sedangkan dalam meluluskan sesuatu projek pastinya perkara asas seperti bekalan air ini seharusnya telah di atasi dengan baik,” katanya.

Katanya, apa yang mahasiswa inginkan sekarang ialah kecaknaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak agar segera turun kawasan dan atasi permasalahan air itu dengan segera.

“Seiring dengan slogan ‘Rakyat didahulukan pencapaian diutamakan’ yang sering beliau laungkan, maka mahasiswa mohon untuk laungan tersebut diterjemahkan dalam bentuk tindakan segera oleh beliau,” katanya.

beliau berkata, isu bekalan air yang bermasalah itu bukan hanya membelenggu dalam kalangan mahasiswa sahaja namun di peringkat rakyat setempat juga sengsara dengan kekurangan keperluan asas tersebut. -HD

Laporan sebelum ini
klik untuk baca





Pelajar Malaysia Maut Kemalangan Jalanraya Di New Jersey

Seorang pelajar Malaysia terbunuh dan empat yang lain cedera dalam kemalangan sebuah kereta di New Jersey, demikian menurut akhbar The Republic, yang berpejabat di Columbus, Indiana, Amerika Syarikat.

Laporan itu mengesahkan bahawa pelajar yang terbunuh dalam kemalangan Isnin lepas di laluan Interstate 78 itu, menuntut di Ohio State University, tetapi namanya belum disiarkan.

Pelajar kedua berada dalam keadaan kritikal dan tiga yang lain dilaporkan dalam keadaan stabil. Kesemua mereka berusia antara 19 dan 21 tahun.

Laporan itu menyatakan kemalangan itu berlaku pada kira-kira 4 petang (waktu tempatan) bila Chevrolet Equinox terbabas keluar jalan dan melanggar pokok dan tiang lampu. Polis berkata pemandu keletihan.

Sementara itu, Wisma Putra ketika dihubungi berkata pihaknya akan menghubungi Kedutaan Malaysia di AS untuk mendapatkan butir-butir lanjut. — BERNAMA

Dua Beradik Yang Dikurung & Dirantai Diserahkan Kepada Bapa Saudara

Butterworth – Dua beradik malang yang dikurung dan dirantai kaki oleh bapa mereka di Taman Mawar, Raja Uda dekat sini diserahkan untuk dijaga oleh bapa saudara mereka semalam.

Gambar: TERSENYUM...Munawar bersama dua anak saudaranya selepas menerima hak penjagaan sementara di Mahkamah Majistret Butterworth semalam.

Hak penjagaan sementara itu dikeluarkan oleh Majistret Mohd. Zamir Suhaimee selepas mendapat permohonan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Seberang Perai Utara (SPU).

Timbalan Pegawai JKM SPU, Syed Mohd. Abdul Ghani Syed Ali berkata, permohonan dikemukakan selepas bapa saudara kanak-kanak itu, Munawar Tan Abdullah, 48, menyatakan kesediaan menjaga dua beradik itu.

“Mahkamah bersetuju memberikan perintah hak jagaan sementara selama sebulan kepada Munawar bermula hari ini (semalam),” kata beliau ketika ditemui di mahkamah semalam.

Sementara itu, Munawar Tan ketika ditemui berkata, dia bersedia untuk menjaga anak saudaranya sementara menunggu keputusan mahkamah sama ada adiknya yang juga bapa kepada dua beradik itu akan dibebaskan atau didakwa di mahkamah.

Beliau juga percaya adiknya tidak sengaja melakukan perkara itu (merantai kedua-dua anaknya) kerana dia merupakan seorang bapa yang penyayang. -kosmo

Laporan sebelum ini
klik untuk baca




Afdlin Shauki Sertai UMNO Selepas Lakon Jadi Datin Maimon

Selepas Datin Maimon, Afdlin Shauki sertai Umno

KUALA LUMPUR, Jan 4: Selepas menghiburkan rakyat Malaysia dengan watak Datin Maimon, yang seolah-olah terselit dengan pelbagai mesej tersirat, pelawak terkenal Afdlin Shauki, bersama rakannya Harun Salim Bachik tiba-tiba mengumumkan menyertai Umno.

Gambar: Afdlin Shauki sebagai Datin Maimun dalam Maharaja Lawak Mega

Dua anggota kumpulan Boboi, yang menjadi naib juara dalam program Maharaja Lawak Mega (MLM) dikatakan telah menyerahkan borang keahlian Umno semalam.

Keputusan sekadar mendapat tempat kedua dalam pertandingan dikira amat mengejutkan para peminat Boboi kerana persembahan Afdlin dan Harun dalam peringkat final MLM sebagai Datin Maimon dan hantu minyak cukup menghiburkan.

Sebagai Datin Maimon, Shauki cukup mencuit hati penonton dengan gaya rambut besar dan lenggok menawan sambil menyelitkan lawak-lawak seperti cincin berlian dan beg tangan jenama mewah termasuk poco-poco dan senam aerobik.

Bukan itu sahaja, Shauki turut menghiburkan penonton dengan lawak air zamzam dan peluru yang baru dibawa pulang dari Mekah beserta lagu ‘Ghost Buster’ yang ditukar liriknya untuk membasmi orang minyak yang dilakonkan oleh Harun.

Kepada para peminat politik, sudah tentu perkataan-perkataan dan aksi-aksi yang digunakan Shauki lebih melucukan kerana minda mereka akan terbayangkan seseorang meskipun Shauki tidak berniat atau menyedari lakonannya akan mempunyai kesan sedemikian.

Dengan penyertaannya ke dalam Umno, diharap Afdlin akan terus menyumbang ke dunia hiburan tanah air tanpa sebarang sekatan dan halangan terhadap usaha murninya untuk memajukan industri seni negara.

Selamat maju jaya buat Afdlin dan Harun! -HD

Lucu! Bik Mama jadi bahan lawak Afdlin Shauki!

Sebelum ini dalam episod Maharaja Lawak Mega 2011 yang sudah, pelawak terkenal tanah air, Afdlin Shauki pernah mencuit hati dengan gaya ala Rosmah Mansor sedang bersenam. Dalam rancangan siaran langsung pertandingan akhir Maharaja Lawak Mega 2011, malam tadi Adflin Shauki nampaknya mengutuk Bik Mama secara terus dan “All Out” tiada tapis-tapis lagi.

Beliau dengan gaya rambut serta lenggok Bik Mama, malam tadi menyelitkan lawak cincin berlian dan beg tangan jenama mewah termasuk poco-poco dan senam aerobik.

Bukan itu saja, malah beliau turut mencuit hati penonton dengan lawak air zamzam dan peluru yang baru dibawa pulang dari Mekah. Di bawah ini rakaman video antara babak-babak yang jelas memerli Bik Mama. -wowberita




Ulasan GB

Rakyat berpersepsi ini kes "cari makan" dan kena tekan sampai kena sain borang sertai UMNO, tak begitukah Afdlin Shauki & Harun Salim Bachik?


Dibelasah Sampai Mati Kerana Bermesra Dengan Isteri Orang

Padah keluar dengan isteri rakan baik

JOHOR BAHRU: Padah keluar dengan isteri kenalan baik, seorang lelaki maut dibelasah dan ditikam suami kepada wanita terbabit menggunakan objek tajam di sebuah pasar raya di Plentong di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 9.30 malam itu, mangsa, Sarmin Arsad, 40, dikatakan baru selesai membeli-belah bersama wanita berusia lingkungan 30-an terbabit.

Difahamkan, suspek yang terserempak dengan isterinya bersama Sarmin di perkarangan tempat letak kenderaan pasar raya berkenaan terkejut melihat gelagat dan aksi mereka ketika berjalan bersama.

Suspek yang berang menyaksikan perkara itu terus menyerang mangsa dan menghamburkan kata-kata kesat sebelum nekad menyerang serta menikam Sarmin.

Akibat panik dengan tindakannya sendiri, suspek melarikan diri manakala Sarmin dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru untuk rawatan.

Sarmin bagaimanapun disahkan mati sejurus tiba di HSI.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Roslan Zainuddin berkata, mangsa mati ketika dalam perjalanan ke HSI akibat pendarahan teruk selepas dibelasah dan ditikam di dada sebelah kiri menggunakan objek tajam.

“Suspek yang berusia 41 tahun melarikan diri sejurus kejadian namun kami berjaya menahannya beberapa jam selepas itu. Dia kini direman untuk siasatan lanjut.

“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik HSI untuk bedah siasat dan kejadian terbabit mencetuskan suasana panik di kalangan pelanggan pasar raya berkenaan,” katanya.

Menurut Roslan, pihaknya masih menyiasat motif sebenar kejadian dan orang ramai mempunyai maklumat berkaitan kes diminta tampil membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. -hm


Kekasih gelap mati dibelasah

Suami berang terserempak isteri bermesra dengan rakan sendiri

JOHOR BAHRU: Berang selepas mengesyaki isterinya berlaku curang dengan mengadakan hubungan sulit dengan rakannya sendiri, seorang suami membelasah lelaki berkenaan hingga mati dalam kejadian di pinggir bandar raya ini, malam kelmarin.

Kejadian berlaku di tempat letak kenderaan sebuah pasar raya dekat Plentong di sini, kira-kira jam 9.30 malam sejurus suami berusia 41 tahun itu terserempak isterinya bersama mangsa yang berusia 39 tahun. Melihat kemesraan isterinya dengan lelaki itu, suaminya dipercayai gagal mengawal kemarahannya lalu bersemuka dan menyerang dengan memukul serta menikam mangsa hingga rebah berlumuran darah.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Roslan Zainuddin yang enggan mendedahkan punca kejadian, berkata mangsa meninggal dunia ketika dihantar untuk rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI).

“Mangsa disahkan mati akibat pendarahan teruk terkena tikaman senjata tajam yang digunakan suspek dalam serangan itu. Suspek cuba melarikan diri selepas kejadian itu, tetapi berjaya ditahan polis untuk membantu siasatan yang sedang dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Polis sedang menjalankan siasatan rapi bagi mengenal pasti motif dan punca pembunuhan. Mayat mangsa dibedah siasat oleh Jabatan Forensik HSI sebelum diserahkan kepada warisnya untuk pengebumian,” katanya semalam.

Tinjauan mendapati keluarga termasuk isteri mangsa yang masih terkejut dengan kejadian berada di Jabatan Forensik HSI untuk menuntut mayat suaminya.

Beberapa saudara terdekat wanita terbabit memaklumkan suri rumah itu masih terkejut dan sedang bersedih dengan tragedi itu dan enggan bertemu media. -BH


Ulasan GB

Yang anehnya, si perempuan, tahu sudah menjadi isteri orang kenapa masih tergamak bermain kayu tiga sama suami?

Ibu Nur Amalina Sangkal Pendedahan Blog Mengenai Anaknya. - Ulasan GB

Johor Bahru: Pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2005, Nur Amalina Che Bakri terus cemerlang dalam pengajian perubatan di Universiti Edinburgh apabila meraih banyak pengiktirafan universitinya selain beberapa kajiannya diterbitkan dalam jurnal institusi pengajian tinggi di United Kingdom (UK).

SABARIAH menunjukkan laman blog yang dipercayai menyiarkan laporan fitnah terhadap anaknya di SMK Taman Johor Jaya 2, semalam. Nur Amalina didakwa masih jadi pelajar cemerlang di universiti.

Malah pelajar yang mendapat 17A SPM itu, kini menjalani latihan amali di sebuah pusat perubatan terkemuka di UK, dan dijangka menamatkan pengajian pada Mei ini.

Ibunya, Sabariah Hassan berkata, setiap hasil kerja anaknya dipuji pensyarah dan rakan sekelasnya malah Nur Amalina kini sedang bertungkus-lumus menyiapkan sebuah buku perubatan.

“Oleh itu, isu kegagalan dalam pengajian tidak timbul seperti dakwaan pihak tertentu,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau memanggil sidang media bagi memberi penjelasan berhubung laporan beberapa blog mendakwa Nur Amalina kini menjalani gaya hidup bebas dan liar selain gagal dalam pengajian dan sudah kembali ke tanah air secara senyap.

Sabariah berkata, beliau kesal dengan laporan blog itu yang melemparkan pelbagai tohmahan termasuk menyiarkan gambar peribadi anak tunggalnya berusia 23 tahun itu yang kini sedang menamatkan pengajian tahun akhir.

Beliau yang juga Penolong Kanan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Johor Jaya 2, berkata gambar yang disiarkan blog terbabit dipercayai dicuri dari laman sosial Facebook Nur Amalina.

“Pakaian yang dipakai Amalina dibeli saya sendiri, manakala gambar terbabit dirakam ketika kami bersama melancong ke Paris untuk bercuti pada Ogos 2009.

“Sebenarnya, gambar yang disiarkan itu gambar lama yang bersifat peribadi.

Saya mengenali setiap rakannya yang turut berada dalam gambar itu,” katanya.

Sabariah berkata, Amalina ada menghubunginya melalui panggilan video ‘Skype’ kelmarin berhubung penyebaran gambarnya yang dituduh seksi itu dalam laman blog.

“Dia ketawa ketika menceritakan perkara itu kerana sudah lali dengan tohmahan sebegini. Ini bukan kali pertama kejadian seumpama itu berlaku. Mungkin ada orang cemburu dengan kejayaan anak saya selama ini,” katanya. -BH

Ulasan GB

Pertama, GB mengucapkan terima kasih kepada ibu Nur Amalina yang telah memberikan respons sekalipun menafikan berita yang tersiar di dalam blog ini semalam mengenai kisah anaknya yang sebelum ini telah tersiar dan tersebar di ruang maya ini tentang "perubahan" yang berlaku kepada anaknya.

Apa yang tersiar di blog GB semalam, seperti yang GB tuliskan semalam dihujung catatan dalam bentuk kredit, ia adalah petikan dari blog wikimalay.

Apa yang tertulis di situ iaitu Nur Amalina mungkin benar atau tidak, maka sebab itu tajuk yang GB gunakan adalah dalam bentuk soal "Benarkah Nur Amalina Che Bakri Pelajar 17A1 Jadi Begini?"

Amalina dikatakan telah gagal di UK dan telah pulang ke Malaysia secara senyap..namun, berita ini masih belum sahih..namun, berita kegagalannya banyak berpuca daripada kejutan budaya dan hidupnya di UK yang SOSIAL...


Tetapi gambar/foto/imej yang tersiar itu tetap benar dan sahih. Tiada penafian malah dibenarkan oleh pengakuan ibunya sendiri bahawa ibunya sendiri yang membelikan pakaian itu .

Kedua, lawatan ke facebook Nur Amalina mendapat facebooknya telah ditutup/deactivated.

Ketiga, Gambar-gambar yang tersiar dan tersebar di internet sememangnya dipetik dari laman facebook Nur Amelina sendiri. GB ingin menyangkal dakwaan menyatakan ia dicuri. Kerana di internet, apabila seseorang itu menyiarkan gambar/foto/imej, maka ia adalah untuk tatapan dan perkongsian kepada umum hatta sebarang gambar peribadi sekalipun. Pengajarannya di sini ialah jika anda tidak mahu gambar/foto/imej diambil orang, maka tidak sewajarnya ianya dipaparkan difacebook.

Di internet tiada siapa yang boleh mendakwa "itu hak aku" kerana jika ia hak anda semata-mata, mengapa ianya didedahkan kepada orangramai?

Di era teknologi internet yang semakin berkembang, apa-apa maklumat yang terdapat di internet adalah DISIFATKAN DAN DIANDAIKAN "PERCUMA" KECUALI ada klausa yang menyatakan maklumat itu dilindungi oleh undang-undang (pattern rights). Itu pun "cap dagangan" itu perlu didaftarkan, bukan sekadar tulis "©hakcipta terpelihara". Itu tak membawa apa-apa makna.

Seperti yang GB telah nyatakan sebelum ini:

Pertama saya ingin menyatakan bahawa pendedahan berkenaan tidak ada unsur "malafide" atau berniat jahat.

Ia dilakukan sebagai pengajaran kepada semua umat Islam di dalam negara dan di luarnegara, bahawa anda tidak boleh bersikap sedemikian - sikap yang dilarang dalam agama.

Jika kita tidak mahu diaibkan, kita tidak sepatutnya melakukan perkara-perkara yang boleh mengaibkan.

Kita tidak boleh mengumpat, apatah lagi memfitnah, TETAPI bukti bergambar yang tersebar luas seperti di atas, maka yang kita minta ialah KEBENARAN itu dijelaskan.


Bukan saja GB, ramai yang terkilan dengan pendedahan gambar/foto/imej yang dilakukan sendiri oleh Nur Amelina lewat facebooknya. Mengapa Nur Amelina berbuat demikian? Apatah lagi gambar profilnya untuk memperkenalkan diri adalah sekeping foto beliau berpakaian tanpa bertudung berposing berpelukan dengan seorang lelaki Mat Salleh? Apakah penjelasan terhadap hal tersebut? Malah jawapan terakhir Nur Amelina sendiri, beliau lansung tidak menafikan sebaliknya menyatakan: "I don't care what people say about me as I wear my pain everyday."



Didapati bahawa gambar/foto/imej tersebut dan kesemua imej yang tersiar di facebooknya adalah asli, tidak menggunakan photoshop. Dan ibu Nur Amelina membuat pengakuan:

“Pakaian yang dipakai Amalina dibeli saya sendiri, manakala gambar terbabit dirakam ketika kami bersama melancong ke Paris untuk bercuti pada Ogos 2009.

“Sebenarnya, gambar yang disiarkan itu gambar lama yang bersifat peribadi.


Jika betul demikian, maka adalah tidak wajar ianya dipertontonkan di khalayak ramai di facebook.

Jadi tidak perlu menuduh ia sebagai "fitnah" kerana fitnah merujuk kepada mengadakan sesuatu yang tidak ada atau tidak berlaku sedangkan apa yang berlaku ialah gambar/foto/imej itu adalah BENAR.

Perbuatan salah tetap salah walau cuba dibela dengan apa cara sekalipun. Itu hukum kebenaran.

Kepada semua, anggaplah apa yang berlaku sebagai satu pengajaran.


Laporan sebelum ini
klik untuk baca





Ibu Mertua Safwan Bangga Ada Menantu Yang Berani Perjuangkan Hak

Saya bangga ada anak menantu yang begitu

KUALA LUMPUR, 3 Jan: "Saya bangga ada anak dan menantu yang sebegini dan saya harap ramai lagi mahasiswa yang akan bangkit untuk memperjuangkan yang hak."

Gambar: Puan Mariam ketika bercakap kepada para pemberita

Demikian kata Puan Mariam Abdul Rashid, ibu mertua kepada Muhammad Safwan Anang, mahasiswa yang mendakwa dibelasah teruk oleh anggota polis ketika insiden demonstrasi di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini.

Puan Mariam berkata demikian ketika ditemui wartawan selepas melawat menantunya Safwan yang baru keluar dari hospital.

Ketika bercakap kepada media, Safwan berkata, dia ditumbuk sekali di bahagian muka dan ditendang dengan lutut oleh anggota polis.

Kejadian itu berlaku apabila beliau cuba membebaskan rakannya yang sedang diheret oleh polis di malam tahun baru 2012 di Univerisiti Perguruan Sultan Idris.

"Bangga..." kata Puan Mariam sambil tersenyum kepada wartawan yang bertanya kepada beliau tentang Safwan yang terpaksa diusung ke hospital selepas dipukul.

"Dia menantulah dan anak saya juga seorang aktivis pelajar," kata Puan Mariam.

"Bangga..sebab mereka sangat berani untuk memperjuangkan yang hak dan juga untuk membela nasib yang lain.

"Walaupun kita rasa agak sedih dengan kejadian yang berlaku....menyebabkan kecederaan dan sebagainya.

"Kita sangat kesal dengan tindakan polis terhadap mahasiswa yang sepatutnya diberikan kebebasan untuk menyuarakan pandangan mereka tetapi sebaliknya berlaku begitu...itu sahaja," kata Puan Mariam.

Namun Puan Mariam sekali lagi menyambung dengan berkata, "Saya bangga ada anak dan menantu yang begitu....." -HD



[Video] Apa Erti Dakwat Kekal Jika Daftar Pemilih Tidak Dibersihkan?

Perlu perubahan menyeluruh, bukan hanya dakwat kekal

PETALING JAYA, 3 Jan: Biarpun kerajaan mengumumkan dakwat kekal akan digunakan pada pilihan raya umum (PRU) ke-13 nanti, namun Pakatan Rakyat berpendapat ianya masih tidak boleh menjamin proses pilihan raya bersih dan telus.

Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, pilihan raya yang adil memerlukan prubahan secara menyeluruh bukan sahaja kepada penggunaan dakwat kekal.

Ianya termasuk pembersihan daftar pemilih, kebebasan media, undi pos serta pengurusan pilihan raya secara keseluruhannya.

"...perlu kepada pembersihan pilihan raya secara menyeluruh bukan hanya kepada penggunaan dakwat kekal sahaja.

"Ia meliputi pembersihan daftar pemilih, kebebasan media, pengurusan pilihan yang cekap dan juga termasuk undi pos. Jika ini tidak dilakukan perubahan maka sistem pilihanraya di negara ini tidak akan bersih," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat di Ibu Pejabat PKR di Tropicana di sini.

Turut bersama pada sidang media itu Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Penasihat DAP Lim Kit Siang serta Presiden PKR Datin Sri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Masih curiga

Sementara itu Anwar mendakwa, Pakatan Rakyat masih curiga dengan janji pembaharuan pilihan raya oleh kerajaan khususnya dalam perkara berkaitan daftar pemilih.

Ini kerana terdapat perubahan pada saat akhir terhadap senarai pengundi yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Kita menggesa senarai pengundi dibersihkan. Kita masih curiga dengan proses sekarang kerana berlaku perubahan pada daftar pemilih di saat akhir," katanya.

Dalam pada itu juga Anwar turut memaklumkan Konvensyen Pakatan Rakyat kali ke-3 akan berlangsung di Alor Setar, Kedah pada 13 dan 14 Januari ini.

Konvensyen kali ini katanya memilih tema 'Bersihkan Malaysia'.



Ulasan GB

Bagi GB, penggunaan dakwat kekal tidak bermakna apa-apa JIKA daftar pemilih yang ada belum dibersihkan terlebih dahulu.

Terdapat banyak aduan mengenai penambahan luarbiasa bilangan pengundi yang dkesani terutama di kawasan-kawasan pilihanraya di negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat.

Justeru itu, prioriti sepatutnya diberikan kepada pembersihan daftar pemilih sepertimana yang dituntut oleh rakyat lewat BERSIH 2.0.