12 Nov 2012

Tindakan UMNO Guna Kem Tentera Diselar

Seremban: PKR hari ini merasa pelik dengan tindakan Umno menggunakan kem tentera untuk satu program anjurannya dan kesal kenapa pihak tentera yang sepatutnya berkecuali dan ‘apolitical’ membenarkan premis mereka digunakan oleh parti politik.

Ahli Dewan Undangan Negeri Sikamat dari PKR, Aminuddin Harun dalam sidang akhbar tengahari tadi, mendedahkan kepada media sepucuk surat pekeliling yang dipercayai ditandatangani dan dikirimkan oleh Ketua Bahagian Umno Seremban, Datuk Ishak Ismail kepada semua penduduk Sikamat.

Beliau menjemput penduduk hadir ke ‘Majlis Jamuan Mesra Rakyat bersama Warga Kem Sikamat’ pada malam ini di Perkarangan Kem Rejimen Ke-4, Artileri DiRaja Malaysia, Sikamat (Kem Sikamat).

“Saya kesal kerana Umno dibenarkan mengadakan program dalam kem tentera itu sendiri.

Surat jemputan mempunyai kepala surat (letter head) berlambang Umno.

“Apa yang mengejutkan Pegawai Pemerintah Kem Sikamat turut dijadualkan memberi ucapan pada program tersebut malam ini.

Sikap kecuali ‘apolitical’ tentera sudah tidak ada lagi.

“Selain itu Ketua Umno Bahagian Seremban juga dijadualkan berucap. Bagi pihak PKR dan Pakatan Rakyat, saya amat risau dengan cara kempen dalam kem tentera.

Sepatutnya tentera bersikap berkecuali.

“Saya mahu Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang turut dijadualkan berucap pada malam ini memberi penjelasan apakah parti politik dibenarkan menganjurkan program dalam kem tentera.

“Jika dibenarkan maka saya selaku ADUN di kawasan ini juga ingin mengadakan program mesra rakyat bersama warga Kem Sikamat dan semua penduduk Sikamat dalam perkarangan Kem Sikamat,” kata Aminuddin dengan nada sinis.

Aminuddin juga mempersoalkan apakah kem tentera yang sepatutnya menjadi kawasan larangan boleh membenarkan orang awam hadir.

“Apakah rahsia dan keselamatan kem tentera tidak terdedah kepada umum? Saya harap Pegawai Pemerintah tentera memikirkan semula aspek ini,” kata Aminuddin. -FMT

3 ulasan:

  1. kalau kita jujur dlm berblog..tak kisah ler dia org nak komen apa..yg penting telus..tp kalau yg dh melampau sangat...kenalah 'post'kan jugak tp sekejap 2/3 minit.baru adil.

    BalasPadam
  2. kami boleh kamu tak boleh dah lama dah hal ini duk jadi

    BalasPadam
  3. Apa nak kira untuk lepa (UBN) semua boleh. Bukan rahsia lagi, terang lagi bersuluh yang tentera diperkudakan dan digunakan untuk memenangi UBN dalam mana-mana pilihanraya sama ada kecil atau umum. Malahan anda akan terkejut bukan sahaja ahli politik bertaraf menteri yang masuk berkempen di dalam kem tentera, ada yang berpangkat empat bintang (faham-faham aja berapa kerat empat bintang dalam ATM) yang tolong berkempen (siap ada gambar). Betul kata Aspan Alias dalam blognya demokrasi di Malaysia adalah songsang kerana rakyat tidak diajar mana satukah lunas-lunas demokrasi yang betul. Amalan UBN ini tidak menyuburkan amalan demokrasi sebenar, malahan mendidik demokrasi ala UBN yang mana lama kelamaan ianya berakar umbi dan rakyat akan terdidik perkara yang salah. Bagaimana nak membetulkannya. Satu cara tumbangkan saja mereka dalam PRU13.

    BalasPadam

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.