1 Ogo 2012

Peniaga Jadi Buta Kena Gas Pemedih FRU Dapat RM150,000

Kota Bharu – Seorang peniaga yang mata kanannya buta akibat terkena kelongsong gas pemedih mata semasa rusuhan perlawanan bola sepak di luar Stadium Sultan Muhammad IV di sini pada 2009, hari ini mendapat ganti rugi RM150,000.

Gambar: Ibnati Solihatul Nuri melihat kesan kecederaan pada mata suaminya, Mohd Huzaifah yang kini terpaksa pakai mata palsu.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim memutuskan jumlah ganti rugi itu selepas mendapati plaintif, Muhammad Huzaifah Muhd Noor, 22, berjaya membuktikan kecederaan parah di mata kanan yang dialaminya adalah akibat terkena tembakan peluru gas pemedih mata yang dilepaskan pihak defendan atau ejen-ejennya.

Beliau berkata, selain keterangan daripada saksi pihak plaintif, rakaman video oleh seorang saksi bebas yang juga penonton perlawanan bola sepak itu, menunjukkan berlakunya tembakan peluru gas pemedih mata ke arah gerai plaintif.

Berdasarkan rakaman itu, plaintif rebah sejurus tembakan itu dilepaskan dan beliau kemudian dipapah oleh orang ramai.

MUHAMMAD Huzaifah menunjukkan mata kanannya yang buta dan digantikan dengan mata palsu.

Bagaimanapun, Hakim Ahmad Zaidi berkata pihak defendan yang hadir di tempat kejadian bukan bertujuan untuk mencederakan plaintif tetapi untuk menyuraikan rusuhan yang berlaku selepas perlawanan bola sepak antara Kelantan dan Negeri Sembilan itu.

Mahkamah juga memerintahkan defendan membayar kos RM20,000.

Pada 6 Ogos 2009, Muhammad Huzaifah menamakan pegawai Unit Simpanan Persekutuan (FRU) ASP M.Sathasivam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan.

Plaintif menuntut rugi am, ganti rugi teruk dan teladan berjumlah RM10 juta selain faedah, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Plaintif diwakili peguam Marwaliz Mahmud manakala kesemua defendan oleh Peguam Persekutuan Rohaiza Zainal.

Ketika ditemui di luar mahkamah, Muhammad Huzaifah dari Kampung Pasir Tok Kambing di sini, yang ditemani isterinya Ibnati Solihatul Nuri Mat Taib, 22, berkata beliau bersyukur dengan keputusan itu setelah menunggu sekian lama. – Bernama

2 ulasan:

  1. Buat rayuan la Brader. RM150 ribu untuk hanya melihat dengan sebelah mata ? Umur awak 22 tahun, kalau hidup purata 65 tahun maknanya awak hanya boleh melihat sebelah mata selama 43 tahun. Awak hanya dibayar RM290 sebulan untuk melihat dengan sebelah mata selama 43 tahun ! Sehari tak sampai RM10.00 untuk penderitaan awak ?

    BalasPadam
  2. Sepatutnya dibayar RM1.5million bukan RM150k....FRU menembak kepada orang awam, ikut standard antarabangsa gas pemedih mata dilontar keudara bukannya ketubuh badan manusia.....b.a.bi punya FRU......

    BalasPadam

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.