1 Ogo 2012

Pasangan Kekasih Tak Sedar Gelagat Dirakam

Kulim - Mungkin terlalu asyik dibuai cinta, sepasang kekasih lingkungan 17 tahun tidak sedar gelagat mereka dirakam lensa Sinar Harian kira-kira jam 3.16 pagi di parkir motosikal sebuah restoran makanan segera, di sini.

Gambar: Gelagat pasangan remaja ini dirakam sekitar jam 3.16 pagi.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Selasih yang juga Pegawai Khas Kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lunas, Elyas Saad berkata, fenomena itu sering dilihat lokasi terbabit termasuk di sekitar Kulim menjelang subuh.

Namun, timbul kehairanan apabila ketiadaan remaja itu di rumah tidak langsung menjadi kebimbangan ibu bapa mahupun penjaga mereka.

"Sekarang ini anak lebih banyak habiskan masa di luar bersama rakan sebaya dan tidak bersama keluarga. Ramadan ini ibu bapa seharusnya menjalinkan hubungan baik dengan anak dan Tarawih bersama-sama.

"Malangnya semua ini tidak berlaku kerana ibu bapa terlalu sibuk dengan aktiviti sendiri hingga lupa tanggungjawab terhadap anak," katanya.

Terdahulu, Sinar Harian difahamkan oleh pengadu yang mengenali pasangan berkenaan, kedua remaja terbabit sering berduaan di sudut sunyi lokasi restoran tersebut.

Elyas berkata, sehingga kini pelbagai perlakuan jenayah termasuk ragut, samun dan pergaduhan dilaporkan berlaku dan remaja yang sering menghabiskan masa mereka melepak di restoran makanan segera lebih mudah menjadi mangsa.

Menurutnya, selain itu ada kes kalangan kanak-kanak berusia sembilan tahun, di sini terlibat jenayah, berpunca daripada kepincangan rumah tangga dan sikap ibu yang terlalu memanjakan anak-anak mereka.


"Misalnya penggunaan motosikal merupakan keperluan, tetapi ibu bapa hari ini membeli motosikal kepada anak mereka tanpa menyedari anak mereka itu tidak mempunyai lesen. Ini bukan sahaja membahayakan orang lain malah ia turut membahayakan diri anak mereka.

“Pantaulah ke mana anak kita berada dan dengan siapa mereka berkawan. Bagi remaja perempuan kita harus ingat perlakuan rogol sering berlaku dimana ia melibatkan suka sama suka," katanya.

Menurutnya lagi, ibu bapa harus menerapkan ilmu agama yang sempurna kepada anak-anak mereka. -SH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.