22 Mac 2012

Nazatul Tumpang Van Tak Dikenali Ke Bangkok, K'jaan Selangor Sedia Biaya Tambang

Bangkok - Siasatan awal Polis Imigresen Thai menunjukkan remaja perempuan Malaysia berusia 15 tahun, Nazatul Fardiana Mohd Izwan, yang hilang bersama lima rakan Rohingyanya, menumpang kenderaan seorang lelaki yang tidak dikenali di Malaysia dekat sempadan Thai-Malaysia, sebelum memasuki negara jiran itu secara haram.

Timbalan Komander Pusat Siasatan Biro Imigresen Pol Col Chartchai Lamsaeng berkata, hari ini mereka menaiki sebuah van berdaftar di Malaysia yang ditawarkan oleh seorang lelaki Malaysia dekat sempadan pada 8 Mac.

Lima remaja Rohingya itu terdiri daripada empat lelaki dan seorang perempuan berumur antara 14 dan 16 tahun.

Keenam-enam mereka adalah rakan dan mengenali satu sama lain.

"Mereka diberi minum oleh lelaki itu dan sejurus kemudian mereka tertidur," Chartchai yang mengetuai siasatan kes itu memberitahu Bernama, di sini.

Beliau berkata, apa yang dapat mereka ingat semasa perjalanan itu mereka melalui Hat Yai, Petchaburi atau Nakhon Phatom dan berhenti di Hua Lamphong di ibu negara ini.

"Kami hairan bagaimana mereka dapat melepasi pusat pemeriksaan di sempadan tanpa sebarang dokumen perjalanan," kata beliau dipetik Bernama.

Chartchai berkata, adalah tidak jelas sama ada remaja itu berhasrat memasuki Thailand bila mereka menumpang van berkenaan.

"Lelaki itu malah membawa mereka ke sebuah masjid di Hua Lamphong," kata beliau. Namun, tidak jelas apa berlaku pada lelaki itu selepas itu kerana kesemua remaja itu terus menuju ke Stesen Kereta Api Hua Lamphong," katanya.

Beliau berkata, mereka berjaya mendapatkan bantuan daripada beberapa orang peniaga dekat stesen itu yang memberi mereka wang oleh kerana mereka hendak membeli tiket kereta api untuk pulang ke Malaysia.

Mereka ditangkap oleh polis di stesen itu kerana mereka gagal menunjukkan dokumen perjalanan sah dan dibawa ke pejabat Polis Imigresen di sini, kata beliau.

Polis Imigresen kemudian menghubungi Kedutaan Malaysia di sini.

"Siasatan kami menunjukkan kesemua enam remaja itu selamat dan tidak diapa-apakan atau diganggu oleh lelaki berkenaan," kata beliau.

Chartchai berkata Polis Imigresen Thai akan menyiasat kes itu di bawah undang-undang pemerdagangan manusia yang membawa hukuman penjara antara lima dan 10 tahun.

"Kami berjaya menghasilkan lakaran imej suspek berdasarkan maklumat diberikan oleh remaja itu. Polis Thai dan Malaysia sedang menyiasat kes ini," katanya.

Beliau berkata, Polis Imigresen Thai kini mengkaji kemungkinan yang sindiket jenayah antarabangsa terlibat dalam kes ini.

Chartchai hanya dapat mengenalpasti lima remaja itu sebagai orang Rohingya tetapi tidak pasti tentang kewarganegaraan mereka.

Laporan berita awal dari Malaysia menyatakan bahawa gadis itu memberitahu ibunya dalam percakapan telefon pada 12 Mac bahawa dia dan lima yang lain itu telah diculik dan dilarikan ke Thailand, dan kemudian diselamatkan oleh polis Thai di stesen keretapi berkenaan pada 11 Mac.

Ibu bersyukur

SHAH ALAM: “Saya bersyukur ada pihak yang sudi bantu saya pergi ke Bangkok menyelamatkan anak saya, namun identiti pihak yang membantu itu biarlah saya rahsiakan,” demikian reaksi Norazura Roski, 37, ibu Nazatul Fadiana Mohd Izwan, 14, mangsa culik di Stesen Bas Seksyen 9, di sini, 30 Januari lalu.

Norazura berkata, sewaktu pertemuan yang diaturkan polis Bangkok 16 Mac lalu, keadaan anaknya atau lebih mesra dengan panggilan Nana agak kurus dan kulitnya gelap berbanding sebelum dilaporkan hilang.

Katanya, anaknya kini masih lagi menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan sehingga kini belum diketahui bila anaknya dibenarkan keluar.
-hm


Selangor biaya tambang mangsa culik

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor membiayai kos penerbangan pulang mangsa culik, Nazatul Fardiana Mohd Izwan, 14, yang ditemui di Bangkok, Thailand 11 Mac lalu.

Exco Kerajaan Negeri yang juga Adun Kota Anggerik, Dr Yaakob Sapari berkata, ibu remaja itu, Norazura Roski, 37, menemuinya meminta bantuan untuk membawa anaknya pulang.

“Ini kerana, remaja itu perlu dibawa pulang melalui jalan udara atas sebab keselamatan. Saya difahamkan, peruntukan Kerajaan Pusat hanya untuk perjalanan darat,” kata Yaakob pada sidang media di sini, semalam.

Sehubungan itu, katanya, pihaknya telah menghantar dua pegawai untuk mengiringi Norazura ke Bangkok, Jumaat lalu.

Yaakob berkata, Nazatul sepatutnya pulang pada 17 Mac namun ditangguh sehingga 19 Mac bagi membolehkan urusan dokumentasi diselesaikan.

Remaja itu yang tiba di LCCT Sepang jam 8.50 malam 19 Mac, terus dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya di Petaling Jaya, untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.

Difahamkan, sehingga kini dia masih ditempatkan di hospital itu dengan kawalan keselamatan yang ketat.

Remaja itu dilaporkan hilang 31 Januari lalu selepas dikatakan keluar ke rumah rakannya sehari sebelum itu.

12 Mac lalu, dia dikatakan menghubungi ibunya memberitahu berada di Thailand dan baru melepaskan diri daripada penculik.

Sehari sebelum itu, dia ditemui di stesen kereta api Hua Lampong, Bangkok bersama lima lagi remaja dari Myanmar berusia antara 15 hingga 17 tahun yang dipercayai turut menjadi mangsa culik.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata, Nazatul hingga kini masih trauma dan masih dirawat di hospital.

“Dia hanya beritahu polis diculik dan dibawa dalam sebuah van putih dari Seksyen 9, Shah Alam,” katanya.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 366 Kanun Keseksaan kerana menculik.

Pada 30 Januari, penuntut tingkatan tiga itu diturunkan ibunya di hentian bas di sini kira-kira 1 tengah hari. Esoknya, apabila dia tidak pulang ke rumah, ibunya membuat laporan polis di sini.
-SH


Laporan sebelum ini
klik untuk baca




1 ulasan:

  1. kalau tumpang lembu boleh juga kaya juta-juta macam pemimpin UMNO

    BalasPadam

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.