13 Sep 2011

Kita Tegaskan Lagi: Negara Tak Pernah Dijajah Bererti UMNO Bukan Pejuang "Kemerdekaan"

Tun M dicabar akui Umno bukan pejuang merdeka

KUALA LUMPUR, 13 Sept: Jika bersetuju bahawa Malaya tidak pernah dijajah, Tun Dr Mahathir Mohamad dicabar untuk mengakui bahawa Umno bukanlah pejuang kemerdekaan, cabar Dewan Pemuda PAS Pusat.

Ketua penerangannya Riduan Mohamad Nor berkata, kenyataan bekas perdana menteri itu yang menyokong kenyataan Datuk Zainal Kling bahawa Malaya tidak pernah dijajah oleh British boleh memberi maksud Umno bukan pejuang kemerdekaan.

"Apakah Dr Mahathir berani mengaku bahawa UMNO bukanlah pejuang kemerdekaan sebenar kerana negara tidak pernah dijajah.

"Apakah juga Dr Mahathir mahu menafikan sumbangan tokoh-tokoh kemerdekaan yang diangkat selama ini seperti Tunku Abdul Rahman, Dato’ Onn Jaafar, Datuk Panglima Bukit Gantang dan lain-lain," soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu beliau turut mencabar Tun Mahathir menyatakan pendirian sama ada British layak diangkat sebagai pejuang negara manakala Dr Burhanuddin Al Helmi, Ahmad Bostamam, Tok Janggut, Tuan Guru Abdul Rahman Limbong, Datuk Bahaman, Mat Kilau, Mat Saleh, Rentap, dan lain-lainnya sebagai pengkhianat negara, atau sebaliknya.

Menurutnya, kenyataan Tun M kelmarin itu telah menambah kekusutan dalam pemikiran rakyat terhadap sejarah kemerdekaan negara.

Sebelum ini katanya, rakyat dikelirukan dengan kenyataan penuh kontroversi oleh Zainal yang juga Ketua Kluster Sejarah Warisan dan Sosiobudaya Majlis Profesor Negara (MPN) berhubung isu sama.

"Zainal Kling telah menimbulkan keserabutan dalam pemikiran rakyat Malaysia, Tun Dr Mahathir pula menambah lagi kekeruhan terhadap rakyat Malaysia.

"Banyak persoalan yang bermain di fikiran rakyat sekarang ini, jika Malaya tidak pernah dijajah, mengapa kita sambut Hari Kemerdekaan negara pada 31 Ogos setiap tahun? Dan jika Malaysia tidak pernah dijajah, apakah UMNO boleh dianggap pejuang kemerdekaan," soalnya lagi.

Dalam pada itu, beliau berkata gerakan-gerakan menuntut kemerdekaan lebih dahulu ditubuhkan sebelum Umno.

Ianya termasuk Kesatuan Melayu Muda (KMM) ditubuhkan pada 1938, diteruskan oleh Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) ditubuhkan pada 1945 dan badan gabungannya seperti Angkatan Pemuda Insaf (API)yang ditubuhkan pada Februari 1946, Angkatan Wanita Sedar (AWAS) dan Barisan Tani Se-Tanah Air (BATAS).

Umno pula ujarnya hanya ditubuhkan pada tahun 1946 lewat beberapa tahun selepas penubuhan gerakan-gerakan tersebut.

"Saat gerakan nasionalis kiri ini melaungkan slogan merdeka ,Umno masih dengan slogan “hidup Melayu”.

"Umno telah diharamkan pada tahun 1988. Umno yang ada kini hanya Umno baru yang ditubuhkan selepas diharamkan tahun 1988. Roh Umno zaman ‘kemerdekaan’ telah berkubur sejak itu," tegasnya. -HD




Ulasan GB

Dengan golongan UMNO ini kita tak perlu banyak soal atau banyak tanya. Mereka tak akan jawab, kalau jawab pun mereka akan spin. Kita boleh terus membuat rumusan seperti yang diungkapkan oleh tajuk yang GB berikan, Kita Tegaskan Lagi: Negara Tak Pernah Dijajah Bererti UMNO Bukan Pejuang "Kemerdekaan". Supaya pemimpin UMNO sedar bahawa kenyataan-kenyataan mereka sendiri memaparkan hal sebenar. Biar kebenaran itu terungkap sendiri melalui ucapan dan tindakan mereka. Mereka akan terbelit sendiri sudahnya.

GB sudah ulas di dalam entri Jika Tak Pernah Dijajah, Maka UMNO Bukanlah Pejuang "Kemerdekaan". Habis Cerita. Petikan:

Hebat betul pemutaran fakta sejarah yang hendak dilakukan oleh golongan UMNO ini. Sehingga Sultan diheret sama dengan menuduh mereka yang bertanggungjawab "menjemput British".

Sekaligus, kenyataan Mahathir yang menyokong kenyataan Prof Zainal Kling dan Majlis Professor Negara tersebut JELAS menafikan juga peranan perjuangan rakyat dalam menuntut kemerdekaan tanah air sendiri daripada kerajaan kolonial Inggeris.

Jika demikian halnya, maka bererti UMNO tidak lagi boleh mendabik dada sebagai pejuang "kemerdekaan" sebenarnya. Jika dakwaan negara tidak pernah dijajah, maka keseluruhan perjuangan UMNO yang dirintisi oleh Datuk Onn Jaafar dengan sendirinya terbatal dan sanggupkah UMNO terima hakikat ia perlu dipadam segera dari sekalian buku sejarah?

Atau Mahathir maupun MPN hendak menyatakan bahawa perjuangan menuntut kemerdekaan oleh UMNO itu ialah perjuangan "menentang raja-raja yang menjemput British sebagai Penasihat" ataupun ia sebagai simbol protes UMNO terhadap Raja-raja Melayu?

Dan rakyat masih ingat bahawa Mahathirlah orangnya yang telah memandulkan kuasa Raja-raja sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri.


Siarkan Kisah Mat Indera: Harakahdaily Kena Siasat

Mat Indera: Polis siasat Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 13 Sept: Dua wartawan Harakahdaily hari ini diambil keterangan oleh pihak polis ekoran penyiaran satu artikel berhubung isu Mat Indera.

Pengarang Azmi Yusof dan Pengarang Berita Mohd Nazri Abdullah disoal siasat berikutan artikel yang disiarkan 5 September lalu bertajuk "Mat Indera: Umno guris hati rakyat Johor".

Pegawai polis berpangkat ASP dan sarjan daripada balai polis Sentul, Kuala Lumpur itu tiba di pejabat Harakahdaily kira-kira jam 11.30 pagi ini.

Soal siasat bermula serentak terhadap kedua-dua mereka kira-kira jam 11.40 hingga 12.30 tengahari tadi.

Menurut pegawai polis tersebut, siasatan dilakukan ekoran satu laporan polis yang dibuat seorang individu di Balai Jalan Tun HS Lee terhadap Harakahdaily yang mendakwa artikel yang disiarkan tersebut palsu dan berunsur fitnah.

Artikel tersebut, antara lain memetik kenyataan Ketua Pemuda PAS Johor Suhaizan Kayat sebagai berkata Umno telah mengguris hati rakyat Johor kerana mendakwa Mat Indera adalah pengkhianat bangsa.

Sedangkan kata Suhaizan, buku Pengukir Nama Johor mengiktiraf Mat Indera sebagai pejuang bangsa.

Selain itu artikel tersebut juga turut memetik rencana berkaitan Mat Indera dalam buku tersebut yang berbunyi:

"Adakah Mat Indera seorang petualang atau pejuang? Mat Indera adalah seorang yang berani berjuang secara terbuka melibatkan jasmaninya, rohaninya, inteleknya, dan emosinya demi bangsa dan negara. Dia tidak mempunyai kepentingan peribadi. Dia juga tidak mempunyai niat jahat terhadap bangsa dan negaranya. Dia rela mempertaruhkan nyawanya demi memperjuangkan hak kedaulatan sebuah negara yang terbelenggu oleh rantai penjajahan. Justeru Mat Indera sewajarnya diabadikan namanya sebagai seorang pejuang, bukan seorang petualang".

Dalam perenggan terakhir pula, Harakahdaily melaporkan Mat Indera bertanggungjawab mengarahkan serangan di rumah pasung Bukit Kepong "tetapi arahan yang diberikan ialah untuk menangkap beberapa orang anggota polis yang berjudi dan mabuk pada malam Tahun Baru Cina".

Beliau sebaliknya melindungi dan menyelamatkan keluarga anggota polis.

"Polis mahu menyiasat sumber berita berkenaan, dan kita beri kerjasama sepenuhnya kepada mereka.

"Kami juga memberikan beberapa salinan, sumber berkaitan yang kami gunakan dalam berita itu," kata Azmi.

Polis juga bertanyakan sama ada fakta tersebut ditokok tambah, direka-reka atau dibuat berdasarkan kesimpulan sendiri. -HD



Keluarga Tunku Perlu Gesa Prof Zainal Kling & MPN Minta Maaf, Bukan Mat Sabu

Keluarga Tunku gesa Mat Sabu mohon maaf

ALOR SETAR: Anggota keluarga perdana menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, hari ini menggesa Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, memohon maaf secara terbuka kepada mereka berhubung kenyataannya mengenai Bapa Kemerdekaan itu.

Anak saudara Tunku, Datuk Tengku Zainol Rashid Tengku Yahya, berkata tindakan pemimpin PAS itu mempertikaikan perjuangan Tunku Abdul Rahman dalam sejarah kemerdekaan negara mengguris hati seluruh anggota keluarga Almarhum.

"Mat Sabu (Mohamad) tidak perlu mempertikaikan hasil usaha Tunku Abdul Rahman kerana dia sepatutnya bersyukur dapat tinggal di negara yang aman ini dan jangan cuba ubah fakta dan putar belitkan sejarah negara ini," katanya pada sidang media, di sini hari ini.
Mohamad yang lebih dikenali Mat Sabu mencetuskan kontroversi apabila dalam satu ceramah di Tasek Gelugor, Pulau Pinang pada 21 Ogos lalu menafikan peranan Tunku dalam membebaskan negara daripada penjajahan British.

Berdasarkan rakaman video ceramah itu yang petikannya disebarkan menerusi internet, antara lain Mat Sabu berkata: "...sejarah kemerdekaan kita tak kena tuan-tuan sekalian, sebab itu kita tengok pegawai British jadi pejuang kemerdekaan, lawan British jadi jahat. Siapa pegawai British? Datuk Onn, Tunku Abdul Rahman...itu pegawai British...hak lawan British hak tu pula jadi pengganas."

Mengulas lanjut, Tengku Zainol Rashid berkata dalam usaha memerdekakan negara, Almarhum Tunku serta beberapa pemimpin lagi mengambil risiko berbincang dengan komunis di Baling, Kedah serta ke London untuk menuntut kemerdekaan negara.

"Kepetahan dan kebijaksanaan Tunku Abdul Rahman dalam berkata-kata berjaya meyakinkan pihak British untuk menyerahkan negara ini kepada kita serta memberi kemerdekaan sepenuhnya kepada Tanah Melayu dan nikmat kemerdekaan itu kita kecapi sehingga hari ini.
Beliau juga membidas Mohamad yang sanggup melakukan apa saja demi kepentingan politik.

"Anggota politik di negara ini tidak perlu memainkan isu seperti ini untuk kepentingan sesebuah parti politik semata-mata sehingga menyebabkan berlaku kekeliruan terhadap rakyat. Saya berharap isu ini tidak akan timbul lagi pada masa akan datang," katanya.

Beliau juga mahu kerajaan mengambil tindakan kepada pihak yang tidak bertanggungjawab itu bagi dijadikan pengajaran kepada orang lain dan mengelak perkara sama berulang. - BERNAMA


Ulasan GB

Sepatutnya keluarga Tunku Abd Rahman menuntut dan meminta Prof Zainal Kling memohon maaf kerana menyatakan beliau menyatakan Tanah Melayu tidak pernah dijajah dan dengan berkata demikian bererti memadam usaha Tunku Abdul Rahman menuntut "kemerdekaan" dan dengan kenyataan Zainal Kling persis menempelak gelaran "Bapa Kemerdekaan" yang telah diberikan kepada PM yang pertama tersebut.

Benar, Mat Sabu ada menyebut dua nama bekas pemimpin UMNO iaitu Datuk Onn dan Tunku Abdul Rahman dan tiada apa kesalahannya bila Mat Sabu menyatakan kedua-dua sebagai pegawai British kerana Majlis Professor Negara sendiri menyatakan Tanah Melayu pada waktu itu "mendapat naungan dan perlindungan dari British". Maka pergilah buat bantahan kepada MPN bukan Mat Sabu.

p/s Namun ada satu fakta jelas yang ramai ahli-ahli UMNO dari lapisan baru tidak mengetahui bahawa kedua-dua bekas pemimpin UMNO tersebut telah mati di luar UMNO.

Pengasas Umno, Dato Onn Jaafar mati dalam Parti Negara. Begitu juga dengan Allahyarham Tunku Abdul Rahman. Beliau mati dalam Parti Melayu Semangat 46 kerana beliau tidak percayakan Umno pada masa itu.


Itu fakta sejarah yang tidak boleh dipadam oleh mana-mana datuk professor sekalipun!

JPA Cyberjaya Diserang Kulat

Serangan Kulat : JPA Buka Bilik Operasi di Putrajaya

KUALA LUMPUR 13 SEPT : Beberapa bahagian Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di Cyberjaya kini membuka bilik operasi di ibu pejabat JPA Putrajaya berikutan pejabat-pejabat bahagian berkenaan diserang kulat yang dikhuatiri boleh menjejas kesihatan manusia.

Menurut laporan Berita Harian hari ini, pejabat JPA di Blok A, Bangunan MKN-Embassy TechZone di Cyberjaya, Selangor, diserang kulat yang mengeluarkan spora hijau kekuningan.

Kulat tersebut dikesan di lantai dan dinding beberapa tingkat blok berkenaan selepas kakitangan kembali bertugas setelah bercuti panjang sempena sambutan Aidilfitri baru-baru ini.

Antara bahagian yang ditempatkan di blok itu ialah Unit Audit Dalaman, Bahagian Saraan, Bahagian Pengurusan Psikologi, dan Bahagian Pengurusan Maklumat.

JPA dalam satu kenyataan pada Isnin berkata warga JPA kini diarah bekerja dari rumah dan melaksanakan tugas seperti biasa, dan tidak 'diarah bercuti' seperti dilaporkan.

Warga JPA juga dikehendaki meningkatkan komunikasi berterusan menerusi penggunaan teknologi, komunikasi dan maklumat (ICT), e-mel, sistem maklum balas di JPA dan laman sosial Facebook bagi semua urusan pelanggan JPA.

Pejabat JPA di Putrajaya menyediakan 15 talian khas untuk dihubungi bermula hari ini hingga 26 Sept. depan dari pukul 8.30 pagi hingga 5.30 petang.

Berikut adalah nombor-nombor telefon talian khas:

1) Bahagian Saraan: 0388853194/3201/3227/3232/3283/3072
2) Bahagian Pengurusan Maklumat: 0388853786/3807/3887/3896/3898/3899
3) Bahagian Pengurusan Psikologi: 0388853824
4) bahagian Audit Dalam: 0388853902/3903



Buku Terbitan DBP & KPM Kata UMNO Tak Tuntut Kemerdekaan

Pas mendakwa pemimpin Umno mengeluarkan kenyataan kurang tepat berhubung perjuangan parti mereka menentang penjajah British untuk menuntut kemerdekaan.

Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan, Mohd Taufek Abd Ghani berkata, dakwaan itu disokong oleh fakta yang tertera pada buku teks Sejarah Tingkatan 5, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

“Pada muka surat 103, ada dinyatakan faktor yang menyumbang kepada pembentukan Persekutuan Tanah Melayu.

Umno dikatakan hanya membuat rundingan dengan British untuk menolak Malayan Union dan bukan menuntut kemerdekaan,” katanya pada sidang media di Pejabat Perhubungan Pas negeri di sini, semalam.

Hadir sama Timbalan Pesuruhjaya 3 Pas negeri, Anuar Azahari dan Ketua Dewan Pemuda Pas negeri, Mohd Khairil Anuar Mohd Wafa.

Difahamkan, buku teks yang disusun panel empat penulis iaitu Ramlah Adam, Abdul Hakim Samuri, Shakila Parween Yacob dan Muslimin Fadzil itu masih digunakan di sekolah menengah sekitar negara ini.

Buku teks terbabit mula dicetak pada 2003 dan naskhah terbitan 2010 yang ditunjukkan pada sidang media berkenaan dibeli Mohd Taufek dari sebuah kedai buku sekitar bandar ini, beberapa hari lalu.

Menurut Mohd Taufek, fakta yang dipaparkan dalam buku teks berkenaan sukar disangkal kerana ditulis pakar sejarah, malah digunakan di semua sekolah menengah.

“Justeru, kami sarankan agar pemimpin Umno meneliti semula fakta sejarah berkaitan kemerdekaan negara agar tidak berlaku kekeliruan dalam fikiran mereka.

“Sejarah tidak boleh diubah dan fakta pula adalah sesuatu yang tepat serta perlu dipercayai. Jangan sesekali mengubah sejarah sesuka hati,” katanya. -SH

Amah Selamatkan Professor Wanita Dari Serangan Seorang Lelaki Bogel

Pengawal keselamatan diburu

Ampang: Seorang pengawal keselamatan sebuah kondominium di Ampang Jaya diburu polis bagi membantu siasatan cubaan samun dalam keadaan bogel ke atas seorang wanita warga Australia yang sedang mendaki Bukit Belacan, baru-baru ini. Foto THESTAR

Difahamkan, pengawal keselamatan itu kini menghilangkan diri selepas menyerang wanita yang juga seorang profesor berusia 50-an.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, polis sudah mengenal pasti identiti suspek.

Semalam, akhbar melaporkan, mangsa yang mengajar di sebuah kolej swasta, diserang seorang lelaki berbogel ketika membawa dua anjingnya bersiar-siar.

Dalam kejadian jam 3 petang, Jumaat lalu, mangsa bagaimanapun berjaya diselamatkan pembantu rumahnya yang turut menemaninya dengan melawan serangan suspek terbabit. -hm

AMAH SELAMATKAN MAJIKANNYA DARI SERANGAN LELAKI BOGEL

Melihat seorang lelaki di dalam keadaan berbogel menyerang majikannya, seorang amah Indon tanpa berfikir panjang terus menerjang lelaki berkenaan.

Amah berkenaan yang ingin dikenali sebagai Ika, 35, telah tinggal sejak 5 tahun lalu di Taman TAR bersama Prof Dr Catherine Yule, yang berumur dalam lingkungan 50an, seorang professor di sebuah uversiti swasta di Lembah Klang.

Beliau sering menemani Dr Catherine bersama dua ekor anjingnya bersiar-siar mendaki di Bukit Belacan berhampiran dengan rumahnya.

Kejadian tersebut berlaku pada jam 3 petang, Jumaat lalu

“Ia berlaku dengan pantas. Lelaki bogel berkenaan meluru dan menerkam majikan saya (Dr Catherine) sebelum kedua-duanya jatuh ke dalam parit.

“Lelaki itu menumbuk muka dan kepala Catherine. Saya mencapaiI sebatang buluh dan terus memukul belakangnya..

“Buluh tersebut terpatah dua dua dan lelaki bogel tersebut meraung kesakitan. Dia menjadi berang dan cuba menyerang saya,” kata Ika.

Dalam keadaan sakit dan tidak bermaya, Dr Catherine keluar dari parit, dan meihat lelaki tersebut mencampak Ika ke dalam lubang 1m dalamnya dan sedang memukulnya.

“Saya nampak lelaki itu mengambil seketul batu dan menghentak ke atas kepala Ika. Tetapi, dia terus melawan dan ketika itulah handfon majikan saya tercicir dari koceknya dan dirampas oleh lelaki berkenaan sebelum melarikan dirinya,” tambahnya.

Kejadian tersebut, yang berlaku kira-kira lima minit, menyebabkan Dr Catherine mengalami lebam, dengan luka-luka di kaki, tangan dan mata sebelah kirinya.

“Saya tak berapa teruk, Ika lebih parah kerana dia mengalami luka di bahagian belakang kepalanya, disamping kesan calar pada kaki, tangan dan kepala,” kata professor warga Australia itu yang telah tinggal di Malaysia selama 15 tahun dan boleh berbhasa Malaysia dengan fasih.

“Saya terhutang budi kepadanya kerana menyelamatkan saya dan berterima kasih kerana tidak ada apa-apa yang lebih buruk menimpa saya,” katanya.

Dr Catherine berkata berliau berjalan-jalan di kawasan tersebut sejak tiga tahun lalu dan belum berlaku sebarang insiden yang tidak diingin di kawasan tersebut sebelum ini.

“Sebenarnya saya pernah terserempak lelaki berkeanaan di dalam dua ketika yang berasingan beberapa hari sebelum kejadian ini. Dia macam kelihatan orang baik, tak banyak cakap tetapi agak mesra dengan anjing-anjing saya,” tambah Dr Catherine.

Kejadian serangan berkenaan memeranjat beberapa orang pendaki kawasan tersebut dan berharap polis dapat menangkap penerang berkenaan secepat mungkin.

Jurucakap polis berkata kes itu sedang dalam siasatan. -thestar/terjemahan bebas: GB


Kerana Ada Komunis Baik, Najib Kini Sedia Berbesan Dgn Anak Pemimpin Bekas Negara Komunis?

Fakta sejarah: PAS bidas ‘bomoh Umno’ kelirukan rakyat, ahli sendiri

KUALA LUMPUR, 12 Sept – Sambil membidas “bomoh Umno” nampaknya menentukan bahaya atau tidak seseorang, PAS berkata, rakyat dan ahli Umno sendiri bertambah keliru dengan percaturan politik pemimpin parti teras Barisan Nasional (BN) itu.

“Rasanya bukan rakyat sahaja, bahkan ahli-ahli Umno turut keliru dengan permainan politik pemimpin Umno yang sendiri melondehkan hipokrit sendiri di khalayak ramai,” kata Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) hari ini.

Kata beliau, apabila terbongkarnya fakta bahawa parti Umno telah mengadakan hubungan dengan Parti Komunis Cina (PKM) dengan menandatangani perjanjian, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tetiba membuat kenyataan bahawa “komunis sekarang tidak sama dengan komunis dahulu.”

“Jika kita mengikut logik Perdana Menteri, maka boleh disimpulkan bahawa komunis sekarang sudah tidak lagi menjadi pengganas, kerana itu komunis sekarang tidak lagi mendatangkan bahaya kepada negara.

“Sekiranya rakyat mengikut logik Perdana Menteri yang bijak ini juga bermakna, mana-mana rakyat yang ingin menganut ideologi komunis sekarang tidak lagi dianggap bahaya dan bukan lagi ancaman kepada negara,”
kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Tuan Ibrahim juga membidas kepimpinan Umno-BN dengan berkata, mungkin atas logik tersebut juga rasanya, sebab utama beliau sedia berbesan dengan anak pemimpin Kazakhstan, sebuah negara berfahaman komunis dan lama di bawah jajahan Rusia.

“Jika benar kenyataan Najib itu ikhlas, rakyat kini tetiba rasa hairan bila mana dalam ambang perhimpunan Bersih 2.0 baru-baru ini, mengapa pula kerajaan di bawah telunjuk beliau menahan enam pemimpin (Parti Sosialis Malaysia) PSM dalam Ordinan Darurat kerana tuduhan cuba menghidupkan fahaman komunis.

“Bukankah ini melanggar logik Najib sendiri?
” kata Tuan Ibrahim.

Justeru soal beliau, sebab kalau komunis sekarang tidak sama dengan komunis dahulu, kenapa pula mereka ditahan di bawah Ordinan Darurat?

“Seolah-olah kalau Umno yang mengadakan hubungan dengan komunis, maka komunis itu komunis baik; kalau parti lain asalkan bukan Umno, maka komunis itu komunis jahat.

“Maka, sesiapa yang nak mengadakan MoU dengan mana- mana kumpulan parti yang dianggap komunis, kena tanya Umno dahulu kerana hanya Umno dapat membezakan mana komunis baik, mana komunis yang bahaya,” katanya lagi.

Beliau seterusnya berhujah, “kalau nak tahu sesuatu negara itu dijajah atau tidak kena tanya pula Majlis Profesor Negara (MPN) atau mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Rasanya MPN dan Dr Mahathir sajalah yang tepat boleh menentukan siapa yang secara teknikalnya kena jajah, siapa negara yang naungi saja. Jajah secara zahir, di mana kekayaaan hasil bumi negara seperti bijih timah dirakus adalah tidak sah secara teknikal, maka sesiapa yang jawab sebegini dalam ujian Sejarah patut diberi markah kosong,” tambah beliau.

Pesuruhjaya PAS Pahang ini juga berkata bila mana MPN membuat kesimpulan bahawa negara tidak pernah dijajah, ini bermakna sesiapa yang lawan orang putih dulu, sebenarnya ia lawan orang Melayu.

“Cuma kalau nak tahu orang Melayu ini bahaya ataupun tidak, ini pun kena tanya Umno dulu. Bomoh Umno akan telek dalam air pinang, dan umum untuk pengetahuan dunia adakah Melayu ini bahaya atau tidak.

“Kalau Melayu itu kehijau-hijauan, maka segala daripadanya adalah bahaya dan mengancam Umno, kalau Melayu tu kebiru-biruan maka ia Melayu yang baik, maka keistimewaan diberi – segala untuknya halal, bagi orang lain akan jadi haram,” kata beliau. -TMI

Najib: Jangan ada pihak yang cuba ubah sejarah

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini mengingatkan agar mana-mana pihak tidak cuba mengubah sejarah dengan mengagung-agungkan mereka yang mengkhianati tanah air seperti komunis.

Beliau berkata komunis zaman dahulu sememangnya zalim dan mencengkam kehidupan rakyat kerana ideologi mereka tidak memihak kepada rakyat, anti agama dan zalim.

"Sebab itulah kita menentang komunis pada zaman itu kerana mereka bertindak kejam di bumi bertuah ini," katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri-Merdeka 2011 di Permatang Pauh.

Perdana Menteri berkata komunis tidak memberi rakyat Malaysia demokrasi, sebaliknya kerajaan yang memerintah ketika ini menghormati proses demokrasi.

"Sebab itu adakala kita menang dan adakala kita kalah tetapi kita harap menang lebih banyak dari kalah," katanya.

Najib berkata komunis pada masa dahulu berbeza dengan komunis zaman sekarang kerana komunis zaman dahulu tidak memberi hak kekayaan peribadi kepada rakyat.

"Komunis sekarang lain, komunis dulu lain, dulu mereka ingin kuasai negara dan sebarkan ideologi yang tak beri hak kepada rakyat."


"Kita baik dengan negara komunis sekarang kerana mereka telah tinggalkan ideologi lama mereka," katanya.

Perdana Menteri berkata kerajaan sekarang menghormati suara rakyat, mengamalkan kesederhanaan dan tidak ekstrem.

Beliau berkata rakyat negara ini perlu bersyukur kerana telah memilih pemimpin yang begitu kukuh dalam meletakkan dasar negara yang kena pada tempat dan masa.

Katanya dua faktor yang meletakkan kejayaan negara ialah pemimpin terdahulu meletakkan dasar yang berpandangan jauh dan mempunyai wawasan.

"Setiap era kita ada pemimpin yang mempunyai kebijaksanaan dalam membuat keputusan dan tindakan," katanya.

Najib berkata sebagai contoh dalam usaha mendapatkan kemerdekaan negara, pemimpin dahulu memilih jalan rundingan kerana mereka mahu penjajah keluar daripada negara ini.

"Kita memilih jalan rundingan dan muafakat untuk memuafakat dan kita tunjukkan kepada British yang kita tidak rela dijajah," katanya. - Bernama


Baca Juga:

Anak Najib Bertunang Malam Tadi: Tiada Siapa Percaya Wisma Putra Lagi Selepas Ini!


Rayu Pakai Seluar Dalam Setelah Dicekup Bersama Pasangan

Grik: Seorang wanita merayu kepada pegawai pencegah maksiat untuk masuk semula ke dalam bilik tidur teman lelakinya bagi membolehkan dia memakai semula seluar dalam yang tidak sempat dipakainya sejurus selepas dia ditahan, pagi kelmarin.

Permintaan itu dipenuhi oleh pegawai berkenaan apabila mendapati wanita itu berada dalam keadaan mengghairahkan kerana memakai seluar ketat nipis, selain baju yang dipakainya kelihatan dalam keadaan tidak sempurna.

Wanita yang hanya tinggal dengan ibunya di kampung itu mengaku hidup seperti suami isteri sejak mereka menjadi pasangan kekasih lima tahun lalu.

Mohd Jonid Abdul Syukor, Penolong Penguat Kuasa Pejabat Agama Daerah Grik Wanita berusia 21 tahun dan pasangan kekasihnya 26 tahun berasal dari kampung berlainan di pinggir pekan ini diserbu penguat kuasa pada jam 10 pagi kelmarin dipercayai ketika sedang memadu asmara dalam sebuah bilik di rumah kongsi itu.

Wanita berkenaan pada mulanya mengeluarkan suara tinggi ketika ditahan tetapi selepas itu menangis sambil menceritakan kisah hidupnya dan keluarga pasangan berkenaan.

Penolong Penguat Kuasa Pejabat Agama Daerah Grik, Mohd Jonid Abdul Syukor berkata, enam pegawainya dibantu dua anggota RELA menyerbu rumah berkenaan selepas menerima maklumat orang awam mengenai perlakuan pasangan itu.

“Selepas kira-kira 10 minit kami mengetuk pintu bilik yang berkunci dari dalam itu, ia dibuka seorang lelaki yang hanya berseluar pendek sebelum mendapati seorang wanita sedang duduk di atas tilam nipis.

“Keadaan atas tilam berselerak dengan kain selimut dan sehelai kain sarung di dalam bilik sempit hanya kira-kira tiga meter persegi itu,” katanya ketika ditemui di tempat serbuan, kelmarin.

Katanya, ketika diajukan soalan mengenai status mereka bukan pasangan suami isteri, wanita berkenaan mula meninggikan suara sambil menceritakan masalah keluarga pasangannya yang enggan menerima dia sebagai menantu.

Wanita berkenaan mengaku pergi ke rumah kongsi tempat tinggal kekasihnya yang bekerja di kilang papan di situ dengan menunggang motosikal sehari sebelum itu dan bermalam bersama kekasihnya.

“Malah, dia juga mengaku dalam seminggu dia pergi beberapa kali ke rumah itu sejauh kira-kira 30 kilometer dari rumahnya bagi melepaskan rindu selain memberi alasan untuk membawa makanan.

“Ketika disoal, wanita yang hanya tinggal dengan ibunya di kampung itu mengaku hidup seperti suami isteri sejak mereka menjadi pasangan kekasih lima tahun lalu.

“Malah, apabila ditanya berapa kali sudah terlanjur melakukan hubungan seks, wanita itu tanpa segan silu mengaku tidak terkira banyaknya dengan alasan dia terlalu sayang kepada pasangannya,” katanya.

Ketika membuat laporan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Grik, Mohd Jonid berkata pemeriksaan pada telefon bimbit milik lelaki berkenaan didapati mengandungi beberapa adegan rakaman hubungan seks dengan berlatarkan bunyi unggas pada waktu malam dipercayai hasil rakaman peribadi mereka.

“Telefon itu kemudian dirampas untuk dijadikan bahan bukti dan mereka ditahan satu malam di lokap polis sebelum menghubungi keluarga untuk dijamin.

“Pasangan berkenaan disiasat mengikut Seksyen 54 Enakman Jenayah Syariah Perak dan boleh didenda sehingga RM3,000 atau dua tahun penjara, jika sabit kesalahan,” katanya. -bh

Ulasan GB

Kalau dah mengaku terlalu sayang kepada pasangannya, kenapa tak nikah supaya hubungan kamu menjadi halal?

Menahan perbuatan keji (zina) adalah wajib, kerana bila telah terpaut hati seorang lelaki dengan perempuan atau sebaliknya sampai pada tingkat cinta dan rindu, maka tidak ada perkara di depannya, kecuali dua perkara : samada dia nikah, maka halal atau dia berzina, maka haram. Orang yang berakal tidak akan memilih jalan yang kedua, maka jika memang dia harus memilih dua perkara ini, wajib baginya untuk menikah, mengamalkan hadits :

"Tidaklah didapati dua orang yang saling mencintai seperti dalam pernikahan" HR Ibnu Majah dan Al-Hakim, dari Abdullah bin Abbas r.a , shohih.

Rahsia Najib Di Australia & Penipuan BERNAMA Terbongkar!

Dusta kerana terdesak, kisah Najib dibongkar pelajar Malaysia di Perth Oleh Maria Begum

Ia bukan lagi rahsia Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sedang behadapan dengan saat-saat genting. Beliau dan pentadbiran beliau beserta parti UMNO telah terperangkap dalam penipuan- penipuan yang tidak berpenghujung. Namun begitu, mereka seolah-olah tidak mempunyai niat apa-apa untuk menghentikannya atau ia telah menjadi tabiat mereka dan mereka tidak lagi mampu mengelaknya.

"Mereka telah menjadi orang-orang yang pendusta bersiri - tiada ubatnya,"

Ahli Parlimen PKR, Gopeng Lee Boon Chye; seorang doktor yang terkenal, memberitahu Malaysia Chronicle.

Insiden terbaru melibatkan Najib, yang telah dilihat keluar secara senyap-senyap dari negara ini untuk berehat sebentar di Perth Australia pada Hari Kebangsaan Malaysia , 31 Ogos yang lepas.

PM tidak membuat apa-apa pengumuman sungguhpun dari segi protokol beliau dikehendaki untuk berbuat demikian. Walaubagaimanapun, malang baginya, pesawat - jet kerajaan Malaysia telah dikesan mendarat di lapangan terbang Australia.

Diselamatkan oleh FBC Media dan Bernama

Apabila digesa untuk berterus terang mengenai perkara itu dan ditanya jika beliau menyalahgunakan wang rakyat untuk kemudahannya pergi bercuti peribadi; agensi berita nasional Bernama melakukan beberapa kerja PR yang mewah untuknya.

Pada hari Ahad, Bernama mendakwa Najib telah pergi ke Perth untuk menghabiskan Hari Raya bersama pelajar Malaysia di sana. Ini berlaku pada hari Sabtu, Hari Raya telah jatuh pada hari Selasa dan beliau berangkat pada hari Rabu, iaitu pada Hari Kebangsaan.

Perkara itu menjadi lebih teruk, apabila Bernama berkeras mendakwa pelajar di Perth telah menemui beliau dan mengatakan bahawa ucapan Najib 'menjadi sumber inspirasi' mereka.

"Sangat hebat mendengar Perdana Menteri kita berucap, dan beliau sangat mengagumkan," Bernama melaporkan seorang pelajar Curtin, Lim Jian Min, dari Kedah berkata. "Dia menaikkan semangat kita dan memberikan jawapan yang baik kepada semua persoalan kami."

Bernama juga memetik beberapa pelajar lain yang memuji PM. Dalam ucapannya, Najib telah menjelaskan konsep 1Malaysia yang tidak berfungsi itu lagi dan faedah kepada negara dan rakyatnya. Beliau juga berjanji bahawa akan ada beribu-ribu pekerjaan yang menunggu mereka apabila mereka pulang ke tanah air.

"1Malaysia bertujuan untuk menyatukan negara kita dan untuk membawa semua bangsa bersama-sama mencapai kemajuan dan kemakmuran. Sebahagian daripada anda mungkin mahu untuk tinggal disini selepas tamat pengajian untuk mendapatkan pengalaman bekerja di Australia. Itu tidak mengapa. Tetapi sila kembali ke Malaysia kerana kita akan memerlukan anda, " kata Najib.

Dusta lagi!

Tetapi semua usaha-usaha untuk menyelamatkan Najib sia-sia belaka.

Seorang pelajar Malaysia yang juga merupakan pegawai kerajaan yang menghadiri majlis makan malam Najib telah menafikan yang dia telah memuji ucapan Perdana Menteri. Malah, beliau mendakwa bahawa Bernama telah memutarbelitkan kata-kata nya.

Semasa dihubungi, pelajar berikut terkejut dengan laporan itu kerana pelajar tersebut sebenarnya telah membuat komen itu sebelum ucapan Najib.

"Mereka benar-benar telah mengubah dan menokok tambah apa yang kita kata kerana saya tidak pernah berkata seperti yang telah dilaporkan. Segala-galanya telah dilakukan sebelum ucapan dan bukan selepas ucapan itu. Saya rasa ia tindakan bodoh dan tidak perlu," Malaysiakini melaporkan pelajar tersebut sebagai berkata.

"Mereka dimasukkan benda-benda yang kita tidak penah ucapkan dan mengubah kata-kata kami. Kami tidak berkata apa-apa yang buruk, jadi saya tidak nampak mengapa mereka perlu berbuat demikian.
"

Apabila diminta untuk memberi komen, pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat hanya mampu menggelengkan kepala dan ketawa. Mereka menegaskan selepas dimalukan di pentas antarabangsa baru-baru ini apabila Najib didakwa membayar RM58 juta wang rakyat Malaysia kepada perunding FBC Media UK bagi mereke laporan palsu yang menggambarkan imej positif dirinya, pentadbirannya dan projek-projek mereka kepada penonton seluruh dunia.

Pihak berkuasa UK sedang menyiapkan siasatan terhadap FBC Media dan boleh melancarkan enkuiri awam besar-besaran kerana FBC telah menjual berita palsu kepada rangkaian seperti CNN, CNBC dan juga BBC. Najib dan FBC diselar kerana cuba untuk 'menipu' penonton global, manakala pemimpin pembangkang Malaysia telah berjanji untuk bertanya kepada beliau di Parlimen mengenai jumlah sebenar yang dihabiskan untuk publisiti palsu tersebut.

"Ini jelas menunjukkan sebuah rejim yang berada di ambang kehancuran. Apabila anda mendengar kata-kata seperti 'hebat' dikaitkan dengan Najib, anda benar-benar cenderung untuk merasionalkan apa jua laporan tersebut" naib presiden PKR Tian Chua memberitahu Malaysia Chronicle. -Malaysia Chronicle