5 Sep 2011

Kisahnya: Khairy Nak Tumpang Populariti Mat Sabu

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin mendakwa Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu sebagai "bacul dan tiada maruah" apabila menyerahkan peranan berdebat dengannya berkaitan isu kemerdekaan kepada pihak lain.

"Yang pasti, saya sedar hari ini PAS pilih timbalan presiden yang bacul dan tiada maruah. Takut sebab salah.

"Tewas sebelum tempur," katanya.

Mohamad Sabu pagi ini berkata, beliau menyerahkan tugas kepada Pemuda PAS Johor untuk berdebat dengan Khairy berhubung isu itu kerana kedua-dua sayap PAS dan Umno itu lebih sesuai berbuat demikian.

Katanya, beliau "tidak tolak" berdebat, tetapi biarlah Pemuda PAS dan Pemuda Umno yang mengambil bahagian "kerana mereka layak".

Dalam tulisan yang bertubi-tubi di Twitter berhubung perkara itu, di samping berkata tiada masalah berdebat dengan Ketua Pemuda PAS, Khairy menyifatkan Mohamad "takut dan lari".

Husam berani 'cemar duli'

"So, biarlah rekod sejarah jelas. Saya setuju dengan jemputan kerajaan PAS Kelantan (untuk) lawan Mat Sabu. Tapi dia takut dan lari. Jangan putar sejarah ini," katanya.

Katanya, Mohamad tidak perlu berkata ketua Pemuda Umno patut berdebat dengan Ketua Pemuda PAS kerana Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa pernah 'cemar duli' berdebat dengannya beberapa tahun lalu.

"Walaupun Husam naib presiden dan exco kanan kerajaan negeri dia setuju dan kita berdebat depan tiga ribu lebih orang. Husam tak kira protokol.

"Sekurang-kurangnya, Husam berani ketepikan hierarchy dan protokol parti demi keterbukaan politik. Dia berani. Kita bertemu atas pentas ilmiah," tulisnya lagi di laman blog mikro itu.

Menjawab dakwaan penyokong Pakatan Rakyat yang didakwanya menyifatkannya tidak layak berdebat dengan Mohamad kerana bukan menteri, Khairy menyindir kembali:

"Woi, korang lupa ke Sabu tu kalah pilihan raya. YB pun tidak."

Suhaizan: Khairy ibarat 'ikan bilis'

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Johor Suhaizan Kaiat dalam reaksi segeranya menyahut tugas berdebat yang diamanahkan Mohamad kepadanya, malah mencadangkan ia diadakan di Bukit Kepong - tempat tragedi berdarah itu.

"Khairy sanggup turun, kami sediakan pentas!" katanya dalam satu kenyataan hari ini.

"Saya menegaskan di sini, jika sekadar isu Mat Indera ini yang menjadi modal 'pentas Patriot' Khairy untuk menyerang PAS, biar Pemuda PAS Johor sahaja yang berhadapan dan 'selesaikan' perkara ini."

Mengulas kenyataan Khairy yang menyifatkan tindakan Mohamad menyerahkan debat itu kepadanya, Suhaizan mengibaratkan pemimpin Pemuda itu sebagai 'ikan bilis' dan tidak setanding dengan Mohamad untuk berdebat.

"Bahkan saya fikir Umno/BN sepatutnya lebih berani berdepan dengan beliau (Mohamad) untuk menjawab isu-isu besar dalam negara yang dikemukakan PAS seperti isu lapan tuntutan BERSIH 2.0 terhadap perjalanan pilihan Raya, kenaikan harga barang, peningkatan tarif elektrik, kontroversi komisyen pembelian Scorpene, dan sebagainya," katanya.

Ulasan GB

Isk. Seorang Ketua Pemuda UMNO nak berdebat dengan Timbalan Presiden PAS? Buang masa dan buan tenaga, sedangkan kerajaan partinya sendiri tidak melantik dia walaupun sebagai timbalan menteri didalam barisan kabinet. Ertinya memang beliau terlalu mentah dan tidak layak, tanya Najib mungkin ada jawapan lain kenapa tak pilih Khairy tapi Mukhriz di dalam barisan kabinetnya.

Kedua, Mohd Sabu kalah pilihanraya? Ya, di Kuala Terengganu. Bukan di negeri asalnya di Pulau Pinang. Cuba Khairy Jamaluddin keluar dari Rembau mahu tengok terkangkang tak terkangkang dikerja pengundi nanti. But then, ada desas-desus UMNO pun tak berahi nak turnkan Khairy bertanding lagi - reason: not a winnable candidate - itu sebab sekarang sibuk buat promosi diri.... Pentas Patriotlah, ajak Mohd Sabu berdebat sebab nak tumpang populariti Mohd Sabu yang mempunyai pengikut setia dan peminat seluruh negara.

Khairy apa ada? Mungkin bangla dan pelacur yang terima baju merah PATRIOT semasa perhimpunan Bersih hari tu kot akan bersorak-sorai untuknya.

Balu Polis Bukit Kepong Tunggu Pencen Sampai Ke Tua

Sharifah Aminah Syed Ali, 83, balu kepada seorang anggota polis yang pernah berkhidmat di Balai Polis Bukit Kepong selepas berlakunya tragedi serangan komunis, memohon supaya dipertimbangkan untuk menerima pencen suaminya yang meninggal dunia semasa bertugas di Balai Polis Kulim pada 1962.

Sharifah Aminah, yang kematian suami Syed Omar Syed Yasin hampir 50 tahun lepas, memohon agar dipertimbangkan bayaran pencen kerana sepanjang kematian suaminya, dia tidak pernah menerima imbuhan itu.

“Selepas kematian suami, tok hanya menerima duit sagu hati sebanyak RM1,800 dan selepas itu dah tak dapat apa-apa duit dah. Duit pencen pun tak dapat juga sampai hari ini,” katanya dipetik Bernama Online.

Dia berkata bahawa selepas berkahwin dengan Syed Omar, mereka menetap di Kota Tinggi, kemudian berhijrah ke Johor Baru sebelum ditukarkan ke Bukit Kepong.

“Masa mula-mula sampai di Bukit Kepong, rusuhan memang sudah reda tetapi keadaan masa itu sangat menakutkan. Selepas 6 petang, kami perlu tutup semua pintu dan tingkap dan tidak boleh keluar rumah. Nak ambil air dari telaga (perigi) pun tak boleh sebab komunis humban mayat-mayat dalam telaga.

“Kami terpaksa menggunakan air Sungai Bukit Kepong untuk kegunaan seharian,” kata Sharifah Aminah.

Katanya, dia terkilan kerana pengorbanan suaminya yang manggunakan nombor pengenalan polis 10568 semasa berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia, tidak dihargai.

Suami beliau, yang ketika itu berusia dalam 40-an, meninggal dunia setelah terjatuh basikal ketika dalam perjalanan ke balai.

“Tok bukannya nak minta banyak tetapi sekurang-kurangnya dapat pencen suami kerana dia meninggal pun semasa bertugas. Sekurang-kurangnya duit tu boleh tok guna untuk tanggung kos rawatan kira-kira RM500 sebulan,” kata Sharifah Aminah yang menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi dan sakit tulang belakang yang menyebabkan dia terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak.

Sharifah Aminah berkata kehidupannya susah selepas suaminya meninggal dunia kerana dia terpaksa mengambil upah menjahit baju untuk menyara enam orang anaknya yang masih kecil.

“Kini semua kos rawatan dan kos sara hidup ditanggung oleh menantu saya yang menerima pencen RM400 sebulan. Dia pun susah sebab kena tanggung anak yang cacat. La ni (sekarang) dia berniaga surat khabar dan nasi lemak bagi menambah pendapatan untuk tanggung kami sekeluarga,” kata Sharifah Aminah yang tinggal bersama anak, menantu dan cucunya di Taman Nakishah, Jalan Datuk Kumbar di sini.

Ulasan GB

Mana si Pet-Riot, Khairy Jamaluddin yang bising-bising untuk jelajah negara denga Pentas Patriotnya? Mana UMNO yang mendabik dada konon jadi wira pembela sekalian polis yang terkorban di dalam Tragedi Bukit Kepong? Mana cucu Datuk Onn yang kini jadi Menteri Dalam Negeri yang kononnya terguris hati kerana kononnya dakwaan-dakwaan mengenai sejarah datuknya telah dipolitikkan?

Depan Burukkan Komunis, Belakang Jemput Komunis Ke Persidangan UMNO

Parti Komunis China Tetamu Kehormat Persidangan Umno

Parti DAP Perak menganggap Umno sebagai 'meludah ke langit' apabila mendedahkan perjanjian kerjasama antara parti Melayu itu dengan Parti Komunis China pada Ogos 2010.

Perjanjian itu ditandatangani di Beijing, China oleh Setiausaha Agungnya ketika itu, Datuk Seri Tengku Andan Mansor yang mendapat liputan meluas media tempatan.

Pemimpin Umno sebelum ini termasuk Presidennya yang juga Perdana Menteri, Najib Tun Razak mengecam pemimpin Pakatan Rakyat kononnya mendewakan fahaman Komunis dengan menyifatkan tentera Komunis yang terlibat dalam tragedi Bukit Kepong sebagai pejuang kemerdekaan sebenarnya.

Timbalan Presiden PAS, Mohammad Sabu semasa berceramah di Tasek Gelugor di Georgetown, 21 Ogos lalu berkata tentera Parti Komunis Malaya sepatutnya diiktiraf sebagai pejuang merdeka berikutan mereka menentang penjajah yang sebenar di tanah Melayu, iaitu British.

Namun jasa mereka dipadamkan dari sejarah kemerdekaan negara dan dituduh sebagai pengganas.

Umum mengetahui Parti Komunis Malaya (PKM) adalah jaringan kepada Parti Komunis China.

Justeru, Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming menganggap Umno tidak layak untuk mengecam pemimpin Pakatan Rakyat berikutan parti perkauman itu secara jelas menjalinkan kerjasama dengan parti Komunis China.

“Adalah jelas ini terbukti bahawa apabila UMNO mengutuk komunis dan melemparkan segala fitnah terhadap parti Komunis Malaya serta cuba menodai nama baik Mat Sabu, UMNO secara terbuka telah menjalin hubungan intim dengan bapa Komunis Parti Comunist Malaya (PCM), Parti Komunis Cina.

“Bah kata pepatah Melayu, apabila meludah ke langit, akhirnya kena pada muka sendiri. Inilah akibat melakukan dosa fitnah,” katanya menerusi kenyataan medianya.

Kor Ming yang juga Ahli Parlimen Taiping, menambah hubungan Parti Komunis China dengan Umno sangat erat ekoran parti itu sering dijemput menjadi tetamu kehormat khas setiap kali Perhimpunan Agung Umno diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

“Adalah jelas Parti Komunis Cina sering diundang menjadi tetamu kehormat khas perhimpunan Agong UMNO yang diadakan di PWTC, KL. Apa nak dikata sekarang?,” soalnya.


Munafiknya UMNO, Tuduh Orang Komunis, Walhal Dia Adakan MOU Dengan Komunis

Mengapa Umno adakan MoU dengan Komunis China

KUALA LUMPUR, 3 Sept: AJK PAS Pusat, Idris Ahmad berkata, Umno telah mengadakan perjanjian persefahaman (MoU) dengan Parti Komunis China pada 5 Ogos 2011.

Malahan, katanya ada usaha untuk menghantar Pergerakan Pemuda dan Puteri Umno untuk mempelajari daripada Parti Komunis China.

“Sekiranya MoU ini dibuat oleh Parti Islam Se-Malaysia (PAS) atau DAP atau PKR, maka sudah tentu sebelum turun daripada kapalterbang akan disumbat ke Kamunting.

“Apakah Komunis China, berbeza dengan komunis Malaya? Bukankah Parti Komunis Malaya bernaung di bawah Parti Komunis China?” soalnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Komunis, jelas beliau ideologinya tetap sama tidak kira di mana tempat.

“Kenapa Umno hipokrit?” soalnya lagi.

Menurutnya, jika benar anti komunis kenapa menghantar pulang 11 pejuang Uighurs ke China, walaupun dibantah oleh Suruhjaya Tinggi PBB bagi Orang Pelarian d Kuala Lumpur sedangkan mereka menentang kerajaan komunis China kerana menceroboh wilayah mereka di Xinjiang Julai 2009.

“Inilah sikap hipokrit Umno dalam apa jua isu.

“Isu Palestin Umno tunjuk hero, tetapi dalam masa yang sama, Apco Yahudi dibayar RM77 juta setahun,” katanya.

Beliau berkata, Umno melalui bantuan media mereka yang tidak ada etika kewartawanan dan tidak takut dosa dan pahala dengan sewenang-wenangnya menuduh PAS menyokong komunis.

Katanya, orang pekak dan buta pun tersenyum apabila Umno menuduh PAS menyokong komunis.

Tambahnya, tidak ada rekod PAS berbaik dengan komunis sedangkan Umno menjemput Parti Komunis China menghadiri Persidangan Agung Umno dan yang terbaru mengadakan MoU dengan Parti Komunis China.

Pemimpin Umno juga, ujarnya pernah ditangkap menjadi agen komunis di negara ini walaupun pemimpin Umno pernah menuduh PAS lebih merbahaya daripada komunis.

Namun, katanya kerja-kerja untuk berasmara dana dengan komunis tidak pernah dilakukan oleh PAS.

Jsuteru, kata beliau ucapan Mohamad Sabu hanya untuk menutup tahap kepuasan hati terhadap Najib merudum kepada 59 peratus, daftar pemilih SPR yang kotor dan kenaikan harga barang keperluan harian. -HD


Umno Padamkan Sejarah Sebenar Kemerdekaan

PAS mendakwa Umno telah memadamkan sejarah sebenar kemerdekaan negara dengan memasukkan nama pejuang parti itu sahaja.

Sebaliknya kata AJK PAS, Syed Azman Ahmad Nawawi (gambar) tokoh pejuang lain seperti Dr Burhanuddin al-Helmi dan Ahmad Bostamam telah dipadamkan.

Kerana itu katanya, perlu dilakukan pengolahan semula sejarah dalam negara kita supaya rakyat memahami erti kemerdekaan.

“Pejuang yang menentang penjajah British seperti Dr Burhanuddin, Ahmad Bostamam dan ramai lagi pimpinan dan negarawan yang berjuang telah dipadamkan.

“Rakyat dan generasi muda dan generasi akan datang perlu tahu tentang pengorbanan mereka menghalau penjajah British yang menjajah negara kita,”katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kontroversi kenyataan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu yang mendakwa Mat Indera sebagai wira sebenar pejuang kemerdekaan negara.

Berjuang lawan British

Mat Indera berjuang menentang penjajah British secara gerila, namun namanya tidak disebut kerana bergabung dengan parti komunis.

Kenyataan orang kuat PAS itu dikecam pelbagai pihak termasuk tokoh DAP, Karpal Singh yang mahukan Mohamad meminta maaf.

Sehubungan itu, Dr Syed Azman menegaskan, isu sebenarnya adalah persoalan tentang sejarah kemrdekaan dan tidak timbul isu mengiktiraf komunis.

Beliau menambah, bukan mengenai mengiktiraf komunis, tetapi adalah persoalan kemerdekaan di negara.

Beliau berkata, isu ini perlu dilihat secara keseluruhan, bukan dari sudut Mat Indera atau tentang peristiwa Bukit Kepong sahaja. -FMT


Umno seleweng fakta sejarah negara

KUALA LUMPUR, 5 Sept: Masyarakat kini melihat seolah-olah sejarah kemerdekaan seperti sejarah Umno semata-mata tanpa membabitkan tokoh yang lain.

Justeru, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) melihat isu yang berkaitan dengan pensejarahan hari kemerdekaan negara Malaysia ini tidak akan selesai dan menuju titik kesudahan kerana pihak kerajaan Umno BN yang memerintah sememangnya tidak ikhlas dan bersungguh-sungguh untuk menyelesaikannya.

Ketuanya, Ustaz Hasbullah Mohd Ridzwan (gambar) berkata, Umno BN sentiasa mempergunakan isu hari kemerdekaan untuk mempengaruhi, menakutkan dan mengancam rakyat supaya tidak menolak mereka.

Menurutnya, Umno BN sentiasa memomokkan kepada rakyat bahawa hanya mereka sahajalah yang berjuang untuk kemerdekaan negara sedangkan sejarah yang sebenarnya menukilkan bahawa Umno adalah sebenarnya ‘alat kepada penjajah’.

Beliau berkata, Umno BN cuba meraih simpati politik murahan di atas isu yang ditimbulkan oleh Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkenaan hari kemerdekaan dan tragedi Bukit Kepong, dengan menunjukkan bahawa merekalah hero yang sebenarnya mempertahankan ketuanan Malaysia dan menuduh Pakatan Rakyat sebagai pengkhianat negara tanpa memberika ruang untuk Pakatan Rakyat menjawab balas.

“Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor penuh yakin dan percaya bahawa Timbalan Presiden PAS mempunyai hujah dan fakta yang kukuh serta bertanggungjawab terhadap segala kenyataan yang beliau keluarkan,” katanya kepada Harakahdaily.

Tambahnya, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mengganggap sejarah kemerdekaan Malaysia masih ada banyak kelompongan fakta yang perlu ditambah dan diperbaiki terutamanya yang membabitkan perjuangan tokoh-tokoh agamawan yang telah mempelopori gerakan kebangkitan rakyat melawan penjajah.

Katanya, tokoh-tokoh ulama seperti Tok Janggut di Kelantan, Haji Abdul Rahman Limbong di Terengganu, Mat Kilau dan Dato’ Bahaman di Pahang selain Ustaz Abu Bakar Baqir, Dr. Burhanuddin Al Helmi juga merupakan pahlawan yang melawan penjajah di zaman masing-masing yang telah dinafikan hak mereka sebagai tokoh kemerdekaan negara.

“Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor amat bersetuju sekiranya sejarah kemerdekaan Malaysia dapat dikaji dan ditulis semula secara berilmiah dan beradab,” ujarnya.

Katanya, DPPNS meminta supaya pihak sejarawan yang ada di dalam negara ini perlu mendesak pihak kerajaan supaya membuka ruang yang seluas-luasnya untuk membicarakan isu kemerdekaan ini secara telus dan terperinci berdasarkan kajian dan ilmu mereka.

Justeru, ujarnya pihak kerajaan perlu menyediakan pentas untuk perbincangan ilmiah secara langsung yang membabitkan pihak sejarawan ini bersama dengan Timbalan Presiden PAS dan wakil Umno supaya mereka dapat membentangkan hujah dan fakta mereka berkaitan isu sejarah kemerdekaan Malaysia.

Beliau menambah, rakyat kini semakin bijak dan bermaklumat dan akan menerima penghujahan yang berdasarkan fakta yang tepat dan sahih.

“Umno BN tidak dapat lagi memperbodohkan rakyat dengan hujah emosi dan alasan yang tidak bersandarkan kepada fakta kerana Umno BNlah yang selama ini menyelewengkan fakta sejarah negara,” katanya lagi. -HD

Sikap Hipokrit Umno-BN Dalam Isu Mat Sabu, Uighur Dikecam

Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengecam tindakan Umno-Barisan Nasional (BN) terus-menerus menyerang Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu berhubung tragedi Bukit Kepong selain disifatkan sebagai simpatisan komunis sedangkan Putrajaya telah menghantar 11 pelarian Islam Uighur yang mencari perlindungan pulang ke negara komunis China.

Malah Pengarah Komunikasinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, PKR secara keras mengutuk sifat hipokrit Umno-BN dan pelanggaran hak asasi manusia.

“Ketika umat Islam sedang meraikan Hari Raya Aidilfitri dan Utusan Malaysia-milik Umno menyerang Mohamad Sabu sebagai simpatisan-komunis berikutan kenyataannya tentang insiden Bukit Kepong, kerajaan Malaysia telah menghantar 11 pelarian Islam Uighur yang mencari perlindungan pulang ke China,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Nik Nazmi, Etnik Uighur adalah orang Islam dari wilayah Xinjiang di China, katanya sambil menambah, kerajaan Malaysia memberi alasan tindakan diambil memandangkan 11 orang itu terlibat dalam sindiket pemerdagangan manusia.

“Agensi Pelarian PBB (UNHCR) telah menyatakan lima lagi yang masih ditahan telah memohon status pelarian dengan UNHCR dan agensi tersebut telah meminta untuk bertemu dengan kesemua 16 pelarian Uighur tersebut.

“Tetapi permohonan UNHCR tersebut telah ditolak dan UNHCR telah melahirkan kekesalan mereka terhadap keputusan kerajaan Malaysia tersebut,” katanya.

Ujar Nik Nazmi, Human Right Watch (HRW)juga telah mengutuk tindakan kerajaan memulangkan 11 pelarian Uighur tersebut dan mendesak agar kerajaan tidak memulangkan lima orang yang masih lagi ditahan di Malaysia. “Memulangkan mereka kepada kerajaan komunis China mendedahkan mereka kepada risiko serius diseksa.

“Kerajaan China secara berterusan telah menganggap permintaan penggunaan bahasa Uighur serta mengamalkan agama Islam sebagai keganasan, pemberontakan dan penderhakaan. OIC yang turut dianggotai Malaysia telah menyeru agar China mengatasi masalah asas penindasan masyarakat Uighur,” katanya.

HRW telah mendedahkan bahawa China telah menekan negara-negara seperti Malaysia, Thailand dan Pakistan untuk memulangkan pelarian Uighur.

“Trend ini bermula di Kemboja pada 2008 ketika negara tersebut dipaksa memulangkan 20 orang Uighur yang dilindungi oleh UNHCR termasuk seorang wanita hamil dan dua anak kecil ke China.

“Di Amerika Syarikat, Perwakilan Republikan Chris Smith dan Senator Demokrat Sherrod Brown, yang mempengerusikan bersama Suruhanjaya Ekskekutif Kongres mengenai China juga telah mengutuk tindakan Malaysia terhadap pelarian Uighur tersebut,” katanya.

Katanya, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar. mendakwa bahawa pelarian Uighur itu terlibat dalam aktiviti pemerdagangan manusia.

“Namun mengapakah mereka tidak didakwa di bawah Akta Anti Pemerdagangan Manusia tetapi dipulangkan ke China?

“Mengapakah Malaysia membenarkan campur. tangan kerajaan komunis China di dalam isu yang bukan sahaja melibatkan hak asasi manusia tetapi nasib umat Islam yang kononnya diperjuangkan Umno selama ini?” Kata Nik Nazmi sambil berkata, “malang sekali bukti terbaru kelemahan pentadbiran pimpinan Datuk Seri Najib Razak berlaku bukan sahaja ketika umat Islam sedunia sedang meraikan Hari Raya tetapi ketika rakyat Malaysia meraikan Kemerdekaan negara.”

Justeru Nik Nazmi berkata, pihaknya mendesak Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin Hussein untuk menjelaskan dengan serta-merta serta menjamin bahawa lima orang pelarian Uighur yang masih ditahan di Malaysia dilayan sebagai pelarian sah mengikut undang-undang dan amalan antarabangsa. -tvsnew.net



Kes Noramfaizul: Penganjur Terlalu Pentingkan Publisiti - Timb KP Utusan Malaysia

Timbalan Ketua Pengarang Utusan Malaysia, Datuk Zaini Hassan (gambar) menyalahkan pihak penganjur Missi Kemanusiaan Kelab Putera 1 Malaysia ekoran kematian jurukamera BernamaTv, Noramfaizul Mohd. Nor.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan beliau melalui facebooknya, Zaini membandingkan kerja amal luar negara yang dibuat oleh Mercy Malaysia yang tidak pernah kecoh dengan media pun.

"Mercy Malaysia buat kerja amal di luar negara tak kecoh-kecoh pun, tak bawa krew media yang ramai pun, Aalahai...," katanya secara sinis pada laman sesawang FB miliknya semalam.

Kenyataan orang nombor dua media Umno ini dsiarkan oleh Berita Harian.

Berita Harian melaporkan:

Timbalan ketua pengarang Utusan Malaysia, Datuk Zaini hassan bagaimanapun melahirkan rasa kesal dengan pihak penganjur misi bantuan kemanusiaan yang gagal menyediakan persediaan keselamatan akibat TERLALU MEMENTINGKAN PUBLISITI DARIPADA MEDIA.

"Mercy Malaysia buat kerja amal di luar negara tak kecoh-kecoh pun, tak bawa krew media yang ramai pun, Aalahai...," katanya secara sinis pada laman sesawang FB miliknya semalam.


(Laporan Berita Harian)

Penganjur missi ini adalah Kelab Putera 1 Malaysia yang dipimpin oleh Abdul Azeez Rahim yang juga Ketua Putera Umno.

Missi Kemanusiaan Kelab Putera 1 Malaysia adalah badan yang direstui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Melalui kenyataan Zaini jelas, missi kelab ini bukan sekadar mahu membantu tetapi juga sarat dengan missi politik iaitu untuk publisiti dan kini salah seorang wartawan Malaysia menjadi mangsanya.

Selain Zaini, wartawan kanan Utusan Zulkiflee Bakar, juga mempersalah pihak penganjur kerana gagal membuat kajian terlebih dahulu mengenai sesuatu negara sebelum menghantar bantuan bagi memberikan ruang kepada semua yang terbabit untuk membuat persediaan.

Harakahdaily difahamkan, rombongan ini disertai oleh 54 anggota yang terdiri dari sukarelawan Kelab 1 Malaysia di samping wartawan dari semua media tradisional di samping para blogger Umno. -HD


Bayi Dari Perut Pelajar Tkn 2 Ditanam Senyap-senyap Oleh Keluarganya

Betong: Disebabkan tidak sanggup menanggung malu, keluarga seorang gadis mangsa rogol mengebumikan mayat bayi yang baru dilahirkan remaja berkenaan di tanah perkuburan di sini tanpa memaklumkan polis, awal pagi kelmarin. Gambar fail.

Bayi lelaki malang itu dikatakan meninggal dunia akibat lemas dalam kandungan, dilahirkan jam 4 pagi di sebuah hospital di sini, selepas gadis berusia 14 tahun itu dibawa ibu bapanya mendapatkan rawatan kerana mengadu sakit pinggang.

Difahamkan, doktor yang merawat gadis itu mendapati dia sebenarnya mahu bersalin sekali gus menyebabkan ibu bapanya terkejut.

Malangnya bayi berkenaan tidak dapat diselamatkan kerana lemas di dalam kandungan sebelum dilahirkan.

Menurut sumber, perkara itu hanya disedari polis selepas bapa mangsa berusia 55 tahun datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Betong untuk membuat laporan mengenai anaknya dirogol sehingga melahirkan bayi.

“Bayi itu dipercayai meninggal dunia akibat lemas dalam kandungan, namun keluarga mangsa memutuskan mengebumikannya tanpa memaklumkan pihak berkuasa. “Polis hanya mengetahui kejadian itu selepas bapa mangsa membuat laporan bahawa anaknya dirogol beberapa jam selepas bersalin,” katanya.

Difahamkan, keluarga mangsa tidak mengetahui pelajar tingkatan dua itu mengandung berikutan keadaan fizikalnya yang bertubuh agak besar. Katanya, berdasarkan pengakuan mangsa kepada bapanya, dia dirogol seorang lelaki berusia 34 tahun yang sudah beristeri awal tahun ini.

Harian Metro difahamkan polis sedang menjejaki lelaki terbabit dan sudah mendapatkan uri untuk menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi menentukan bapa bayi malang itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Betong, Deputi Superintendan Mohd Bukhori Saffai ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu.

Tiada Pertemuan Azizan-Hadi, Sahih THESTAR Perdusta

MMenteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, semalam menafikan ada pertemuan antara beliau dengan pucuk pimpinan tertinggi PAS bagi membincangkan kedudukan jawatannya, sebagaimana yang didakwa sebuah akhbar berbahasa Inggeris, Jumaat lalu.

Sehubungan itu, Pesuruhjaya PAS Kedah itu menolak desas-desus yang mengatakan pucuk pimpinan parti berkenaan mengarahkannya melepaskan jawatan dan berharap isu itu tidak dibangkitkan lagi kerana keadaan kesihatannya mengizinkan beliau untuk terus mentadbir negeri ini.

"Saya tidak tahu apa-apa pun mengenai pertemuan dengan Presiden (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) yang dikatakan berlangsung semalam (kelmarin) atau hari ini (semalam)...saya tidak dengar apa-apa pun.

"Cakap memang selalu kerana kawan, tambahan beliau presiden parti," katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri di Seri Mentaloon, di sini, semalam.

Azizan berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar itu yang mengatakan pucuk pimpinan tertinggi PAS akan bertemu dengan Azizan sempena rumah terbuka berkenaan, semalam berhubung jawatannya sebagai Menteri Besar berikutan masalah kesihatan dialaminya.

Menteri Besar itu juga berkata, beliau akan menghadiri mesyuarat biasa kepemimpinan tertinggi PAS di ibu negara yang dijadualkan pada Ahad depan.
Beliau yang pernah menjalani pembedahan pintasan koronari akibat masalah jantung pada 2005 turut menafikan laporan sebuah akhbar berbahasa Melayu baru-baru ini yang mengatakan beliau dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) kerana diserang penyakit jantung.

"Sebenarnya saya menjalani pemeriksaan rutin setiap empat bulan dan doktor yang melakukan pemeriksaan ketika itu menasihatkan saya agar berehat untuk menurunkan tekanan darah akibat kesibukan bekerja, selain menurunkan paras gula dalam darah.

"Sehari sebelum itu saya menghadiri majlis menyambut ketibaan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) di lapangan terbang kerana beliau melakukan lawatan ke negeri ini.

"Doktor menasihatkan saya menjaga kesihatan, termasuk tidur awal, banyak berehat dan jaga pemakanan... Setakat ini tiada cadangan menjalani pembedahan pintasan," katanya. -BH


Azizan: Tiada pertemuan dengan Hadi setakat ini

Azizan berkata tidak benar laporan bahawa beliau diserang sakit jantung. — Foto fail
ALOR SETAR, 4 Sept — Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata tiada sebarang pertemuan antara beliau dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang setakat ini untuk membincangkan mengenai masalah kesihatan beliau.
Azizan ditanya sama ada beliau mengadakan pertemuan dengan Hadi untuk berbincang mengenai isu penggantiannya selepas keadaan kesihatannya terjejas kerana serangan jantung Julai lepas.

“Lepas ni saya pi (pergi) Kuala Lumpur mesyuarat parti (11 September) jumpa la dia dan siapa-siapa pun,” kata beliau pada majlis rumah terbukanya di kediaman rasmi Menteri Besar di Mentaloon di sini hari ini.

Azizan juga berkata, berita mengenai dirinya diserang sakit jantung adalah tidak benar.

Sebaliknya berkata beliau ke Institut Jantung Negara (IJN) adalah untuk membuat pemeriksaan susulan kerana pernah membuat pembedahan pintasan jantung enam tahun lalu.

“Masa pergi IJN bukan sebab saya kena serangan jantung, itu tak betul. Saya pergi IJN buat pemeriksaan perubatan berkala, tiap empat bulan kena buat pemeriksaan doktor.

“Doktor kata kena buat pemeriksaan perubatan penuh, doktor tak pernah kata kena buat pembedahan, doktor suruh jaga kesihatan saja, kena rehat, tidur awal dan jaga pemakanan, itu saja,” katanya dipetik Bernama Online.

Kelmarin, akhbar melaporkan bahawa kepimpinan PAS sedang mengambil tindakan untuk menggantikan Azizan disebabkan keadaan kesihatannya yang kurang baik dan Hadi dikatakan akan menghadap Sultan Kedah berhubung peralihan kepimpinan kerajaan negeri itu. -TMI


Ulasan GB

Sebelum ini GB sudah ulas isu ini. Petikan:

Petanda "niat busuk" THESTAR sudah terdedah semenjak siaran menu masakan babi untuk berbuka puasa beberapa minggu lalu.

Sekarang "menu babi" yang simbolik itu terzahir di alam realiti - berita palsu dan fitnah mengenai kerajaan PAS negeri Kedah, kononnya MB Kedah Datuk Seri Azizan diminta oleh pimpinan PAS Pusat untuk meletakkan jawatan.

THESTAR sebenarnya sudah terpukul hebat dengan isu penyiaran menu babi satu ketika dengan telah diberikan AMARAN KERAS oleh Kementerian Dalam Negeri, kini cuba untuk memperbaiki imejnya depan UMNO dengan melontarkan fitnah dan kontroversi untuk hancurkan kerajaan PAS Kedah.



Pelbagai Alasan Kelab Putera 1Malaysia, BERNAMA Pula Tak Hiraukan Kematian Jurukameranya

Jaket kalis peluru tak mampu selamatkannya'

Pemakaian jaket kalis peluru tidak dapat menjamin keselamatan jurukamera BernamaTV Noramfaizul Mohd Nor kerana saiz peluru yang digunakan adalah besar dan mampu menembusi jaket tersebut, kata ketua pasukan perubatan misi bantuan kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia ke Somalia Datuk Dr Alwi Abdul Rahman.

Beliau berkata peluru yang mengenai Allahyarham adalah besar, dan menjejaskan dua organ penting mangsa iaitu jantung dan paru-paru.

"Walaupun pakai vest tapi masih boleh tembus. Peluru itu memasuki grey area... masuk dari armpit dan tembus ke bahu. Selepas terkena tembakan itu dia langsung tidak sedarkan diri," katanya kepada pemberita selepas tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), di Subang, hari ini.

Dr Alwi merupakan salah seorang daripada 55 anggota misi kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia ke Somalia termasuk Allahyarham Noramfaizul yang maut Jumaat lalu akibat terkena tembakan curi semasa membuat liputan di Mogadishu.

Beliau berkata pelbagai usaha dilakukan untuk menyelamatkan jurukamera tersebut termasuk bantuan awal oleh pasukan paramedik Australia yang berada di hotel penginapan Allahyarham.

Dr Alwi berkata beliau tiba dari tempat penginapannya kira-kira tiga minit sebaik dimaklumkan, dan mengambil alih tugas merawat mangsa yang kritikal dari pasukan paramedik tersebut.

"Kita beri bantuan pernafasan dan lakukan apa saja untuk menyelamatkan Allahyarham sedaya-upaya, tetapi peluru itu telah menembusi paru-paru dan jantung. Kita juga menerima kerjasama yang baik daripada paramedik Australia," katanya.

Semasa rawatan, Allahyarham langsung tidak memberi sebarang respons dan tidak bergerak, katanya.

"Dia tidak sedarkan diri dan hilang banyak darah. Kita dah sedia nak derma darah jika perlu sebab kita dah kenal pasti jenis darah anggota misi. Peralatan kecemasan yang kita ada di situ pun mencukupi tapi kita memang tidak dapat buat apa-apa," katanya dalam nada sebak.

Katanya usaha menyelamatkan Allahyarham berlangsung dalam suasana pilu memandangkan arwah adalah sahabatnya dan mereka pernah mengikuti beberapa misi kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia sebelum ini. - Bernama


Abdul Azeez: Saya masih trauma, bagi saya masa

SERDANG, 4 Sept — Ketua Kelab Putera 1 Malaysia, penganjur misi kemanusiaan ke Somalia, hari ini enggan memberi sebarang komen berhubung tragedi yang meragut nyawa jurukamera Bernama TV Noramfaizul Mohd Nor malam kelmarin.

Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, yang juga Ketua Putera Umno berkata, beliau mahu sedikit masa kerana masih trauma dengan tragedi itu.

“Nanti, nantilah... saya tengah trauma lagi,” katanya.

“Mungkin nanti saya akan buat sidang media,” katanya kepada The Malaysian Insider ketika ditemui selepas majlis pengebumian jenazah Noramfaizul di Tanah Perkuburan Islam Universiti Putra Malaysia di sini.

Jenazah Noramfaizul selamat dikebumikan kira-kira pukul 2.10 petang.

Dalam kejadian kelmarin, kenderaan yang dinaiki Noramfaizul, 39, dan petugas media Malaysia lain yang diiringi tentera kerajaan Somalia, ditembak ketika mereka dalam perjalanan pulang ke tempat penginapan.

Insiden itu turut menyebabkan jurukamera TV3 cedera di lengan.

Noramfaizul meninggalkan seorang isteri, Norazrina Jaafar 37, dan dua orang anak lelaki Mohd Irfan, 8 dan Mohd Naufal 3.

Sementara itu Ketua Misi Bantuan Perubatan Kelab Putera 1 Malaysia, Datuk Dr Alwi Rahman berkata Noramfaizul menerima rawatan kecemasan daripada paramedik Australia sebaik sahaja ditembak.

Jelas beliau, insiden yang menimpa Noramfaizul tidak akan dilupakan.

“Pada ketika itu, kami berada di hotel penginapan, dan dimaklumkan arwah Noramfaizul telah ditembak.

“Arwah diberikan rawatan oleh paramedik dari Australia, sebelum kami mengambil alih, namun gagal,” katanya.

Dalam pada itu, keluarga Noramfaizul menyifatkan kematian Allahyarham sebagai mati syahid kerana meninggal dunia semasa berkhidmat untuk negara.

Ibunya, Naemah Abd Majid berkata, gelaran wira negara wajar diberikan kepada anak sulung daripada enam adik-beradik itu kerana khidmatnya di Somalia berbentuk misi kemanusiaan.

“Sepatutnya (dianggap wira negara), baguslah, Noramfaizul berkhidmat untuk negara dan kerana Allah. Noramfaizul amat dedikasi terhadap tugasnya sebagai jurukamera selama ini yang sanggup mengetepikan apa sahaja hata keluarganya untuk melunaskan tanggungjawabnya sebagai jurukamera.

“Walaupun (kami sekeluarga) bersedih dengan pemergiannya, kami bersyukur kerana Noramfaizul pergi dalam syahid, insya-Allah,” kata Naemah kepada pemberita.

Masih bersedih, Naemah bagaimanapun berkata beliau bersyukur dengan pemergian Noramfaizul kerana masih sempat menatap wajah anaknya buat kali terakhir.

“Saya sempat menyaksikan dan mencium wajahnya walaupun Noramfaizal sejuk kaku (di situ).

“Mak cik sayang anak dan bertambah cantik wajahnya walaupun telah dikembumikan,” katanya.

Sementara itu bapanya, Mohd Nor Mat Yasin berkata, Noramfaizul sempat memesan sambal ikan bilis kegemarannya untuk dibawa bersama ke misi kemanusiaan Somalia.

“Sambal ikan bilis adalah kegemarannya dan beliau memesan untuk membawanya sebagai bekalan di sana,” katanya.

Mohd Nor berkata, Noramfaizul tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda pelik sebelum berangkat ke Somalia pada 28 Ogos lalu.

“Beliau juga sempat menelefon kami sekeluarga pada malam raya dan memberitahu keadaannya yang baik semasa di sana,” katanya. -TMI


Ulasan GB

Alasan. Apakah kerana saiz peluru yang terkena allahyarham Noramfaizul adalah besar dan mampu menembusi jaket kalis peluru maka tidak perlu untuk memakai jaket berkenaan? Apakah tidak perlu lansung sebarang langkah keselamatan dan latihan perlu diberikan kepada peserta sebelum misi bertolak pergi?

Analoginya, jika demikian penunggang motorsikal tak perlu pakai topi keledar kerana kemungkinan kemalangan adalah dasyat dan kepala boleh pecah juga sekalipun pakai topi keledar? Penumpang bot tak perlu guna jaket keselamatan kerana mereka boleh tenggelam juga kerana ombak besar? Bangkai punya alasan!

Semata-mata kerana hendak menutup kesalahan dan kelemahan, pelbagai alasan yang tidak logik diberikan oleh Kelab Putera 1Malaysia. Asyik nak memperbodohkan rakyat sepanjang masa.

Bernama pula menyiarkan kenyataan-kenyataan yang nampaknya "membela" Kelab Putera 1Malaysia bukan kenyataan yang membela jurukameranya yang telah terkorban.

Jika demikian halnya dipersilakan BERNAMA hantar wakil-wakilnya yang terdiri dari wartawan dan jurukamera untuk mengikuti misi-misi anjuran UMNO tanpa perlu persediaan kepada langkah keselamatan dan latihan di masa muka!

Entri penting sebelum ini:

Kenyataan Tidak Bertanggungjawab Najib - Ambil Mudah Aspek Keselamatan Misi Somalia

Wartawan Tak Dibekal Jaket Kalis Peluru & Tiada Latihan, Mahathir Turut Selar Tiada Persediaan

Isu Kematian Noramfaizul: Kelab Putera 1Malaysia Perlu Dipertanggunggjawabkan

Wartawan Tak Dibekal Jaket Kalis Peluru & Tiada Latihan, Mahathir Turut Selar Tiada Persediaan

Wartawan Bernama TV Khairulanuar Yahaya yang turut menyertai misi kemanusiaan ke Somalia hari ini mendedahkan wakil media yang menganggotai misi terbabit tidak dibekalkan dengan jaket kalis peluru sepanjang berada di negara berkonflik itu.

Misi anjuran Kelab Putera 1 Malaysia, yang sepatutnya kembali ke tanah air pada 8 September nanti terpaksa pulang pagi ini ekoran kematian jurukamera Bernama TV Noramfaizul Mohd Nor, akibat terkena tembakan curi semasa membuat liputan di Mogadishu kelmarin.

Jenazah Noramfaizul dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Universiti Putra Malaysia pada pukul 2.10 petang tadi.

Kira-kira 500 orang hadir untuk memberi penghormatan terakhir.

“Kami memang tidak diberikan dengan baju kalis peluru, kalau media negara asing, ada antara mereka yang pakai baju kali peluru (semasa buat liputan).

“Saya tidak tahu mengapa kita tidak dibekalkan, dalam misi-misi sebelum ini juga kami tidak dibekalkan dengan baju kalis peluru,” kata Khairulanuar, yang sudah empat kali menyertai misi kemanusiaan, kepada The Malaysian Insider.

Jelas beliau, sepanjang berada di Somalia sejak 28 Ogos lalu keadaan di negara itu selamat dan tidak diserang oleh sesiapa.

Bagaimanapun, Khairulanuar yang masih trauma dalam kejadian yang meragutnya nyawa rakannya mengakui terkejut apabila diserang sekumpulan pengganas.

Katanya, kejadian berlaku yang berlaku dalam sekelip mata dan hanya mengetahui Noramfaizul ditembak selepas seorang wartawan lain menjerit.

“Saya dengar dua das tembakan tapi tidak tahu ditembak ke mana, saya hanya tahu Noramzul ditembak selepas seorang wartawan lain yang turut berada dalam kenderaan menjerit.

“Bunyi tembakan itu sangat dekat... berdesing telinga,” katanya menambah kematian Noramfaizul tidak sia-sia kerana bapa dua anak itu berkhidmat untuk negara.

Sementara itu wartawan Astro Awani Tan Su Lin berkata, mereka tidak diberikan latihan awal untuk berada di zon tidak selamat.

“Kami diberitahu ia sangat bahaya, mengancam nyawa,” katanya kepada pemberita di pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia, Subang.

“(Tetapi kami tidak dapat) baju kalis peluru... kenderaan kami tidak ditampal dengan tanda media,” katanya.

Wartawan berusia 27 tahun ini berkata misi ke Somalia adalah tugasan pertamanya di zon perang.

“Banyak askar... anda boleh lihat orang membawa AK47 dan anda tidak akan rasa apa-apa. Malam pula anda akan dengar bunyi tembakan,” kata Tan.

Melissa Ong, 27, wartawan NTV7 berkata pasukan misi akan sentiasa diiringi kenderaan bersenjata.

“Sebuah kenderaan akan mengikuti kami dengan M16, AK47. Ada antara kami yang berada dalam kenderaan kalis peluru, kami tukar-tukar,” katanya.

Turut tercedera dalam serangan itu adalah jurukamera TV3 Agi Saregar Mazlan yang cedera di lengan.

Kejadian itu berlaku ketika kru Bernama TV, TV3, Astro Awani dan RTM bergerak dari pusat operasi ke asrama tempat mereka tinggal kira-kira satu kilometer, selepas membuat liputan memberi bantuan kepada mangsa kebuluran di sekitar Mogadishu.

Noramfaizul yang cedera parah di bahu kanan dan paru-paru meninggal dunia pada pukul 11 malam waktu Malaysia selepas menerima rawatan.

Dalam pada itu, laporan Bernama Online menyebut, Bernama akan meneliti semula beberapa prosedur operasi standard (SOP) dalam menghantar wartawan untuk tugasan di luar negara, terutamanya di zon kritikal atau dilanda konflik.

Pengurus Besarnya Datuk Hasnul Hassan berkata selain menyediakan wartawan dengan latihan secukupnya, pertubuhan itu akan turut meneliti aspek keselamatan.

“Kami berkemungkinan perlu melihat bagaimana petugas kami dapat dilindungi dengan sebaik-baiknya. Sekiranya SOP perlu diubah, kami akan mengubahnya selepas berbincang dengan jawatankuasa pengurusan,” katanya.

Hasnul berkata Bernama tidak akan berhenti daripada menghantar wartawan untuk tugasan di luar negara, sambil menambah pertubuhan berkenaan sering menghantar wartawan berpengalaman ke luar negara.

“Ini adalah dasar kami. Bagaimanapun, jika membabitkan keadaan yang sukar, keputusan dibuat atas dasar sukarela,” katanya. -TMI


Misi keamanan perlu ambil kira risiko yang bakal dihadapi: Tun M

SERDANG: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menasihati penganjur misi kemanusiaan supaya mengambil kira risiko yang mungkin dihadapi anggotanya di tempat yang bakal mereka bertugas, terutama di negara seperti Somalia, yang tidak mempunyai kerajaan yang kukuh.

"Sebelum pergi, anda kena sedar bahaya yang mungkin dihadapi," katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Aidilfitri beliau di sini.

Dr Mahathir berkata demikian bagi mengulas kematian jurukamera BernamaTV Noramfaizul Mohd Nor, 39, akibat terkena tembakan ketika dalam perjalanan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda bersama beberapa anggota media lain dari Malaysia di Somalia pada Jumaat.

Mereka ke Mogadishu untuk membuat liputan misi bantuan kemanusiaan anjuran Kelab Putera 1Malaysia di negara yang dilanda kebuluran itu.

Dr Mahathir berkata keadaan di Somalia tidak stabil kerana rakyatnya berperang sesama sendiri.

Sambil menyifatkan kejadian yang menimpa Noramfaizul sesuatu yang malang, beliau mengucapkan takziah kepada keluarga jurukamera itu.

Majlis rumah terbuka itu dihadiri pelbagai lapisan masyarakat, termasuk naib pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia Tan Sri Lee Lam Thye dan penyanyi popular Datuk Siti Nurhaliza Tarudin. -- BERNAMA