24 Jun 2011

[Video] BONGKAR: Pendedahan Dalang Video Fitnah

Anggota parlimen Sungai Petani MP Johari Abdul hari ini mengeluarkan versi seks video yang disunting kepada media untuk menunjukkan keraguan sekitarnya.

Ia sekali gus bagi membuktikan bahawa Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bukanlah lelaki dalam video itu.

Tindakan itu sebagai respons kepada laporan pakar Amerika Syarikat bahawa lelaki dalam video itu menyerupai Anwar.

Johari, antara yang terawal menonton video itu pada 21 Mac lalu, berkata demikian dalam sidang media bagi menguatkan dakwaannya bahawa lelaki dalam video itu bukan Anwar.

Dalam video itu, beliau bertindak sebagai pengulas yang membangkitkan keraguan demi keraguan.

Lelaki X

'Versi video itu akan dimuatnaik ke Youtube selepas jam 4 petang ini. PKR juga akan menjual VCD dalam ceramahnya bermula hari ini.

Versi yang ditayangkan di hadapan 15 wartawan itu menunjukkan perbandingan fizikal antara Anwar dan juga pelaku di dalam video seks tersebut.

Johari mendakwa pelaku video itu - yang dirujuk sebagai lelaki X - berperut boroi, berhidung mancung dan berdada lusuh, manakala Anwar mempunyai hidung agak 'pesek' dan pendek.

Semasa perbandingan hidung dibuat juga, kelihatan gambar Tan Sri Thambi Chik diletakkan di sebelah gambar Anwar, seolah-olah ingin mencadangkan bahawa bekas ketua menteri Melaka itu sebagai lelaki X.


Ditanya pemberita, Johari bagaimanapun menafikan menuduh sesiapa dan sekadar menunjukkan hidung mancung Rahim.

Shamsul: Tuduh Datuk T, ulas Anwar

Menurut Johari, beliau turut membuat satu kajian di Thailand untuk membuktikan kewujudan teknologi yang mampu mengubah wajah individu.

“Saya memilih untuk menjadi P Ramlee. Wajah saya dan allayarham P Ramlee amat berbeza.

"Jurusolek mengambil masa 4 jam dan inilah hasilnya,” katanya sambil menunjukkan wajahnya yang seiras seniman ulung itu.

Johari juga berkata bertanggungjawab sepenuhnya atas penghasilan video itu.

"Ini apa yang saya percaya. Ini bukti yang saya ada," katanya.

Sidang media tersebut turut dihadiri oleh Ketua Pemuda PKR Shamsul Iskandar Md Akin yang mempertikaikan perjalanan mahkamah pagi tadi ketika trio Datuk T didakwa.

“Pertuduhan terhadap tiga orang ini (Datuk T) tetapi ulasan terhadap DSAI (Anwar),” katanya yang juga seorang peguam.

“Saya juga pertikaikan mengapa mereka walaupun telah dijatuhi hukuman dan dikenakan denda tetapi sebelum membayar denda lagi mereka juga telah dilepaskan.

"Itu bercanggah dengan prinsip perjalanan perbicaraan,” katanya lagi.



PKR Terbit 'Dokumentari' Jelas Keraguan Video Seks 'Datuk T'

Keraguan mengenai pelaku dalam rakaman video seks yang didedahkan oleh trio 'Datuk T' terjawab apabila Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini memaparkan sebuah dokumentari pendek menjelaskan secara terperinci video yang dipercayai direkayasa untuk menjatuhkan Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Video sepanjang 40 minit itu ditayangkan kepada pemberita di Ibu Pejabat PKR selepas mahkamah tinggi pagi tadi menjatuhkan hukuman denda kepada ketiga-tiga individu yang mengaku bersalah menayangkan video lucah kepada umum pada 21 Mac lalu.

Ahli parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul yang mengaku bertanggungjawab sepenuhnya menyiarkan dokumentari itu menjelaskan tujuan ianya dipaparkan adalah untuk memberi pilihan kepada rakyat menilai dari aspek ketulenan fizikal pelaku.

"Saya menunggu masa yang sesuai. Tidak ada sebab untuk kita lawan di mahkamah. Saya sendiri bertanggungjawab (ke atas video) dan ini apa yang saya percaya.

"Saya tidak tuduh siapa-siapa tapi saya mahu beri peluang kepada masyarakat untuk lihat dan menilai," ujar beliau.

Dokumentari tersebut memaparkan Johari sebagai pengacara memberi penerangan mengenai bentuk tubuh badan pelaku yang amat berbeza dengan Anwar.

Ini termasuk pendedahan terbaru memperlihatkan individu dalam rakaman video tersebut memakai cermin mata walhal Anwar tidak.

Selain itu bentuk fizikal seperti perut, punggung, hidung, tali pinggang dan rambut yang digunting rapi ternyata amat bercanggah dengan susuk tubuh dan cara pemakaian Ketua Pembangkang.

Dalam dokumentari itu turut memuatkan sedutan video di mana Johari telah melawat ke negara Thailand untuk bertemu jurusolek profesional yang boleh mengubah rupa beliau mirip seniman P. Ramlee.

Ternyata hasil yang ditunjukkan kepada media memperlihatkan wajah beliau amat mirip dengan seniman agung itu dalam gambar hitam putih.

"Saya sampai ke Bangkok untuk ubah wajah saya. Jelas teknologi ini wujud," katanya lagi.

Johari kemudian memberitahu media bahawa beliau mengambil masa 34 hari untuk menyiapkan dokumentari itu termasuk menggunakan sumber kewangan sendiri dan bantuan pihak tertentu.

Sehubungan dengan itu beliau berkata dokumentari tersebut akan dimuat naik di laman Youtube jam 4 petang ini dan menggesa rakyat untuk memuat turun dan meneliti perkara yang cuba disampaikan dalam video berkenaan.

Pagi tadi Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman denda RM5,500 kepada Datuk Shazryl Eskay Abdullah, Shuib Lazim dan Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik kerana didapati bersalah secara terbuka menayangkan video lucah kepada umum. -tvsnews




Video Pendedahan Dalang Video Fitnah










Pelatih Bomba Wanita Pun Perlu Botakkan Kepala?

Pelatih bomba wanita kecewa kepala dibotakkan

ALOR SETAR - Seorang bekas pelatih bomba wanita kecewa dengan tindakan Akademi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Wakaf Tapai di Marang, Terengganu, yang membotakkan kepala beliau serta 18 pelatih perempuan lain ketika mereka mendaftar diri untuk menjalani latihan di kem itu 2 Mei lalu.

Hizyaty Othman, 28, dari Taman Berjaya, Jalan Pegawai di sini, berkata, dia amat terkejut dengan tindakan membotakkan rambut pelatih perempuan, tidak seperti apa yang dinyatakan dalam peraturan kursus yang diterima mereka sebelum melaporkan diri di akademi itu.

"Peraturan dalam surat yang diterima saya hanya menyatakan rambut perlu digunting dengan ukuran enam milimeter sahaja dari rambut asal semasa hari pertama melaporkan diri dan perlu digunting kemas selepas dua bulan hingga tamat latihan.

"Saya terkejut melihat pelatih wanita dibotakkan seperti pelatih lelaki dalam sebuah bilik gunting rambut dan saya terus lari mengadu kepada kakak saya, Hazliza, yang berada di tempat pelawat," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini.

Hizyati berkata, bahawa pada mulanya dia dan pelatih lain enggan berbuat demikian tetapi memandangkan ingin mendapatkan pekerjaan dan faktor umur yang semakin meningkat, beliau terpaksa berbuat demikian.

Bapanya, Othman Long, 63, berkata, beliau hanya menyedari mengenai perkara itu setelah sampai di pekan Baling setelah diberitahu isterinya Hizan Abu Bakar, 56, dan anak keduanya, Hazliza, 30.

"Saya amat terkejut dengan kejadian itu. Sepanjang saya bertugas dalam badan beruniform, pelatih perempuan hanya digunting rambut hingga pendek dan bukannya sampai botak," kata pesara Jabatan Kastam Diraja Malaysia itu.

Othman, yang kecewa dengan tindakan pihak terbabit, bertindak mengeluarkan anaknya daripada akademi itu keesokan hari.

Beliau juga membuat di Balai Polis Kuala Perlis supaya pihak berkuasa melakukan siasatan terhadap pegawai di akademi itu.

Pengerusi Yayasan Prihatin Kebajikan, Pendidikan dan Kemiskinan Kedah, Zuraidi Rahim, yang mengunjungi Hizyaty, berkata, beliau telah memaklumkan perkara itu kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Chor Chee Heung.

"Saya difahamkan beliau telah mengambil tindakan dengan mengarahkan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia menyediakan jawapan secara lisan dan bertulis kepada ibu bapa Hizyati.

"Saya harap Datuk Chor akan tampil bertemu keluarga terbabit untuk mendapatkan penjelasan lebih terperinci dan sekaligus menyelesaikan kes ini secepat mungkin," katanya.- Bernama

Isu Bazar Tok Guru Selesai

Saya bagi pihak Persatuan Peniaga Pasar Lama MPKB memohon maaf kepada kerajaan negeri di bawah kepimpinan YAB Tuan Guru Datuk Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang mana silap laku saya itu saya mohon maaf,” demikian pengakuan mohon maaf secara terbuka Pengerusi Persatuan Peniaga Pasar Lama MPKB, Abdul Salim Ahmad.

Berucap pada sidang media sempena Majlis Pengundian Bazar Tok Guru oleh pada peniaga Majlis Perbandaranan Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) di Dewan Jubli Perak MPKB di sini semalam, Salim mendakwa sekiranya beliau telah bertindak kasar dan agresif sebelum ini, maka itu adalah sebagai tuntutan daripada ahli persatuannya.

Sehubungan itu beliau menyeru kepada ahli persatuan serta para peniaga umumnya agar berprasangka baik dengan pihak kerajaan negeri.

Beliau berharap selepas ini, pihak persatuan dan para peniaga berbaik-baik dengan pihak kerajaan negeri dan para pegawainya.

“Berbaik-baik dan jangan salah sangka kepada pimpinan kerajaan negeri dan para pegawainya yang telah banyak membantu kita khususnya dalam segi pemilihan lot-lot gerai di Bazar Tok Guru.

“Kini ada jalan penyelesaian, dan kita pun jemu dah dengan keadaan semasa, berarak sana, berarak sini. Saya sebagai pengerusi persatuan, maka setakat inilah perjuangan saya bersama ahli-ahli saya.

“Saya terimalah mandat kerajaan negeri, dan kita tidak akan bincang (memanjangkan) lagi cerita kita ini,” katanya sambil menyifatkan keputusan pihak kerajaan negeri yang meluluskan dibuang sebanyak 26 gerai dengan nilaian lebih RM2 juta sebagai ‘kebajikan laluan’ di bazar itu adalah sebagai pengorbanan kepada para peniaga berkenaan.

“Ini bermakna, tidak terkiralah pengorbanan kerajaan negeri kepada peniaga-peniaga kita, alhamdulillah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) Sanusi Osman dalam satu kenyataan media berkata, seramai 230 peniaga telah diundang hari ini (22 Jun 2011) bagi menjalani proses pengundian petak perniagaan di tingkat bawah Bazar Tok Guru di Jalan Sultan Ibrahim di sini.

Sementara proses menandatangani perjanjian jual beli akan diselesaikan selewat-lewatnya pada 28 Jun ini dan serahan milikan kosong akan dilaksanakan sebelum 1 Julai.

“Seramai 326 peniaga dijangka dapat memulakan perniagaan di Bazar Tok Guru pada 1 Julai 2011,” katanya.- Hrkh

Biometrik, Muslihat SPR Untuk Halalkan PATI Mengundi

Cadangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menggunakan sistem biometrik bagi membolehkan proses pengesahan pengundi dilakukan secara elektronik dilihat lebih kepada kepentingan politik kerajaan pemerintah.

Menurut ahli parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar, cadangan itu seolah-olah satu tindakan susulan kerajaan menerusi SPR untuk menghalalkan pendatang tanpa izin mengundi mereka pada pilihan raya akan datang.

"Itu (sistem biometrik) kami tidak minta, yang kami minta ialah penggunaan cap jari dengan dakwat hitam, pembersihan daftar pemilih tetapi cadangan biometrik ini adalah cara bagaimana untuk menghalalkan pendatang asing mengundi pada pilihan raya akan datang.

"Sebab mereka dalam usaha memberikan taraf kerakyatan kepada sebabahagian besar pendatang asing dan akhirnya mereka memberi kad pengenalan dan borang akaun bersumpah kepada warga asing ini untuk menyokong BN dalam pilihan raya akan datang,"
tegas Mahfuz.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pejabat Ketua Pembangkang hari ini mengulas mengenai lapan tuntutan Bersih 2.0.

Lapan tuntutan Bersih 2.0 ialah menggesa SPR membersihkan senarai undi, mereformasikan undi pos, menggunakan dakwat kekal, melanjutkan tempoh kempen kepada minima 21 hari, akses media yang bebas dan adil,mengukuhkan institusi awam, menghentikan rasuah dan politik kotor.

Mahfuz sebelum ini pernah melahirkan kegusarannya berhubung sindiket haram pemberian kad pengenalan kepada warga asing yang berstatus penduduk tetap melibatkan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Imigresen.

Berdasarkan maklumat yang disampaikan kepadanya, terdapat beberapa 'program' yang diadakan khusus untuk warga asing ini yang kebanyakannnya warga Indonesia dan Kemboja bagi membolehkan mereka memperolehi kad pengenalan.

Selain beliau, beberapa lagi ahli parlimen Pakatan Rakyat mendedahkan di kawasan masing-masing berlakunya masalah seperti pendaftaran warga asing sebagai warganegara dan diberikan kad pengenalan.

Isnin lalu, SPR mengumumkan Pilihan Raya Umum Ke 13 akan datang bakal menyaksikan penggunaan sistem biometrik bagi membolehkan proses pengesahan pengundi dilakukan secara elektronik.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abd. Aziz Mohd. Yusof berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menggunakan sistem biometrik yang kini diguna pakai ke atas warga asing.

Mengulas lanjut, Mahfuz mengesa SPR bertindak tegas dalam menjalankan tugasnya dengan memastikan warga asing tidak didaftarkan sebagai pemilih. -tvsnews



Mahfuz Desak Supaya KSN Dipecat Kerana Berbohong

Pecat KSN’, desak MP Pokok Sena

Tan Sri Mohd Sidek Hassan juga berbohong kepada Yang DiPertuan Agong dalam isu Ketua Pegarah Jabatan Kerja Raya (JKR).

KUALA LUMPUR: Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Sidek Hassan (gambar) perlu dipecat kerana menyebabkan huru hara dalam perkhidmatan awam.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar mendakwa Sidek juga berbohong kepada Yang DiPertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dalam isu Ketua Pegarah Jabatan Kerja Raya (JKR).

Katanya, Sidek seolah-olah memberitahu Agong bahawa Datuk Seri Dr Judin Abdul Karim telah setuju berpindah ke Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) sedangkan beliau tidak bersetuju.

“Ternyata Sidek berbohong kepada Agong. Sepatutnya setelah kes ini selesai, barulah dipersembahkan kepada Seri Paduka. Tindakan KSN itu seolah-olah Judin bersetuju dengan pertukaran tersebut,” kata Naib Presiden PAS dalam sidang media di lobi parlimen hari ini.

Sidek baru-baru ini mengeluarkan arahan agar Judin berpindah ke CIDB tetapi beliau enggan dengan alasan jawatan baru itu tidak setaraf dengan jawatan Ketua Pengarah JKR.

JKR kini mempunyai dua ketua pengarah berikutan pelantikan Datuk Mohamad Nor Yaakub.

Pada masa sama Mahfuz mengecam Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor kerana gagal memainkan peranan sebagai menteri.

“Shaziman perlu digantikan dengan orang lain kerana kementeriannya kini menjadi kucar kacir. (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib (Tun Razak) kena buat rombakan kabinet bagi menggantikan Shaziman,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen PKR-Sungai Petani, Datuk Johari Abdul berkata, ini bukan kali pertama Sidek mencetuskan kontroversi.

Sebelum ini menurutnya, berlaku kontroversi dalam isu pelantikan Muhammad Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan negeri Selangor.

“Sidek sudah sampai ke penghujung……. sudah tidak ada idea lagi.Beliau bermain politik untuk mencari sokongan supaya terus berada di situ sejak sekian lama.

“Kalau hebat sangat letak jawatan…….(supaya boleh) dilantik jadi senator dan seterusnya menteri,” katanya. -FMT

Datuk T Didenda RM5,500 Tetapi Anwar Bakal Terperangkap?

Datuk T' mengaku bersalah, didenda RM5,500

Tiga individu di sebalik video seks lelaki mirip Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini - tiga bulan selepas mereka menayangkan video tersebut di sebuah hotel kepada sekumpulan wartawan.

Mereka adalah bekas ketua menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik; ahli perniagaan, Datuk Shazryl Eskay Abdullah serta bekas bendahari PERKASA Datuk Shuib Lazim.

Eskay didenda RM3,000 atas kesalahan itu, Shuib RM1,500 dan Rahim sebanyak RM1,000 - menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM5,500.
Eskay dan Shuib dituduh mengikut Seksyen 292(a) Kanun Kesiksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 yang berbunyi:

“Bahawa kamu dengan niat bersama, tayang tempat terbuka video lucah, hubungan seks seorang lelaki dan perempuan antara 10.30 pagi hingga 12.30 tengahari pada 21 Mac lalu.”

Sementara itu, tuduhan ke atas Rahim pula berbunyi: “Bahawa kamu telah bersuhabat dengan Eskay dan Shuib untuk menayangkan secara terbuka hubung seks seorang lelaki dan perempuan, kamu melakukan kesalahan di bawah Seksyen 292(a), dan Seksyen 109 Kanun Kesiksaan.”

Pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Aizatul Akmal Maharani.

'Bukan menyerupai, tapi Anwar'

Rahim diwakili oleh peguam Datuk Muhammad Shafee Abdullah.

Majistret Aizatul Akmal sebelum itu menangguhkan perbicaraan bagi membolehkan ketiga-tiga tertuduh merujuk dan berunding dengan peguam mereka.

NONESelepas sidang mahkamah disambung, ketiga-tiga mereka mengaku bersalah terhadap tuduhan berkenaan.

Pihak pendakwaan termasuk timbalan ketua pendakwaraya Mohamad Hanafiah Zakaria dan pendakwaraya kanan Kamaludin Md Said.

Ketika fakta kes dibacakan, beberapa kali disebut individu dalam video itu "menyerupai Anwar Ibrahim" dan wanita daripada China.

Disebut juga keterangan terdapat adegan seks oral dan bersetubuhan.

Ketika majistret bertanya tertuduh sama ada mereka faham tuduhan yang dibacakan itu, Eskay berkata beliau tidak bersetuju bagaimana pelaku dalam video itu disebut.

"Bukan menyerupai, tapi Anwar," katanya. -mk


Video seks: Bukan lagi mirip Anwar tapi Anwar, kata Datuk T
Oleh Syed Mu’az Syed Putra
June 24, 2011

KUALA LUMPUR, 24 Jun — Trio Datuk T hari ini menegaskan walaupun dijatuhkan hukuman kerana menayangkan bahan lucah, namun mereka menyifatkan ia “satu kejayaan” apabila dapat menyampaikan kepada rakyat identiti sebenar Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketiga-tiga Datuk T diijatuhkan didenda RM5,500 atas kesalahan menayangkan rakaman video seks yang si pelakunya didakwa mirip Anwar.

Ketika prosiding pagi tadi, kesemua mereka iaitu ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah, bekas bendahari agung Perkasa Datuk Shuib Lazim dan ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik mengaku bersalah atas tuduhan yang dibacakan.

“Terima kasih kepada rakyat Malaysia yang menyokong kes yang merupakan satu hipokrasi, walaupun saya tidak berapa gembira dengan hukuman (dikenakan), tapi demi rakyat kami sedia berkorban.

“Hipokrasi yang berlaku ini harus dihapuskan dan kami yakin Anwar Ibrahim sebagai orang dalam video seks itu dan telah melakukan kemaksiatan,” kata Abdul Rahim pada sidang media ringkas di pekarangan Kompleks Mahkamah Tinggi, Jalan Duta di sini.

Tegas beliau, pihaknya akur dengan keputusan yang dibuat Majistret Aizatul Akmal Maharani sambil menegaskan Anwar adalah pelaku dalam rakaman video seks itu.

“Anwar Ibrahim yang melakukan hipokrasi ini tidak layak untuk menjadi perdana menteri dan kami berharap selepas ini, rakyat dapat menghakimi perkara yang sebenar.

“Tiada lagi kenyataan mirip-mirip Anwar... yang ada hanya Anwar Ibrahim,” katanya.

Anwar, Ketua Umum Pakatan Rakyat, telah menafikan bahawa beliau adalah si pelaku dalam rakaman video seks itu selain telah membuat laporan polis.

Selain itu, Shazryl juga telah melakukan sumpah laknat bagi membuktikan dakwaan yang dibuat itu adalah benar dan Anwar adalah pelaku dalam rakaman video seks itu.

Polis juga telah mengesahkan rakaman video seks itu adalah tulen dan sahih.

Datuk T telah menggemparkan negara apabila bertindak mempertontonkan rakaman video seks itu kepada media di hotel Carcosa Seri Negara pada 21 Mac lalu.

Shazryl dan Shuib didakwa secara bersama menayangkan bahan lucah secara terbuka di hotel Carcosa Seri Negara.

Sementara Abdul Rahim pula secara berasingan didakwa bersubahat dengan Shazryl dan Shuib.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu antara pukul 10 pagi dan 12 tengah hari, 21 Mac lalu.

Tegas Abdul Rahim, beliau berharap rakyat dapat menilai wajah sebenar Anwar dan membuat keputusan tepat pada pilihan raya ke-13 akan datang.

“Demi masa depan negara, kami sanggup berkorban, kami harap rakyat prihatin untuk lihat bahawa negara tidak boleh dipimpin oleh mereka yang korup.

“Kami berkorban demi rakyat tapi apa yang penting objektif dan misi kami untuk beritahu rakyat berjaya.

“Kami mahu rakyat nilai terutamanya dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13,” katanya.

Shazryl dan Shuib bagaimanapun tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan.

Kesemua mereka dikawal ketat ketika meninggalkan mahkamah. -TMI


Ulasan GB

Seperti satu wayang sandiwara.

Sekalipun Datuk T telah didakwa dan dijatuhi hukuman, tetapi Rahim Tamby Chik sempat untuk membuat tuduhan baru - bahawa pelaku di dalam video seks itu adalah Anwar, bukan lagi mirip-mirip Anwar.

Ia seumpama telah direncanakan - dengan beberapa pihak lain - untuk mempastikan Anwar disabitkan sebagai pelaku di dalam video seks tersebut.

Dan selepas ini ada kemungkinan Anwar bakal terperangkap, jika ia menafikan. Kerana polis akan "meneruskan siasatan" dan seterusnya membuat pertuduhan baru bahawa Anwar itu pelaku di dalam video seks berkenaan.

Ini kerana, polis sendiri sudah membuat kenyataan video seks itu sebagai tulen, walaupun kenyataan sedemikian tiada siapa yang bertanya. Siapa bagitahu tulen? Katanya ada syarikat dari luarnegara - satu di Korea satu di Amerika, walaupun nama-nama syarikat itu tidak pula didedahkan.

Rakyat mengesyaki ada peranan polis di dalam isu ini - pertama masa yang diambil untuk mendakwa Datuk T yang menayang video lucah berkenaan, kedua - tersebar luasnya video itu ke seluruh negara tanpa sebarang sekatan, ketiga, kenyataan-kenyataan polis kononnya video seks itu tulen, ketiga, perana polis yang memberikan kawalan keselamatan kepada Datuk T semasa "upacara sumpah laknat", keempat, pendemo-pendemo upahan pagi ini di hadapan mahkamah lansung tidak disekat atau diganggu polis dan lain-lain.

Dan khabarnya kelmarin sebelum Datuk T dihadapkan ke mahkamah, Rahim Tamby Chik dilihat memasuki pejabat Najib di Putrajaya. Cara yang serupa sebelum kes liwat Anwar dibawa ke mahkamah dimana Saiful mengadakan pertemuan dengan Najib!

Kita tunggu episod selanjutnya.


Rahim Tamby Chik Hanya Dituduh Bersubahat?

Kesemua ketiga-tiga Datuk T mengaku bersalah terhadap tuduhan yang dikenakan berhubung kesalahan menayangkan rakaman video seks yang si pelakunya didakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Trio Datuk T yang didakwa terlibat dalam penayangan rakaman video seks yang si pelakunya didakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini berhubung kesalahan menayangkan bahan lucah.

Bagaimanapun hanya dua daripada Datuk T iaitu ahli perniagaan, Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan bekas bendahari agung Perkasa Datuk Shuib Lazim didakwa bersama menayangkan bahan lucah secara terbuka di hotel Carcosa Seri Negara, 21 Mac lalu.

Bekas ketua menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik pula didakwa secara berasingan atas tuduhan bersubahat dengan mereka untuk melakukan kesalahan tersebut.


Mereka didakwa melakukan kesalahan itu antara pukul 10 pagi dan 12 tengah hari, 21 Mac lalu di bilik Seri Makmur, Hotel Carcosa Seri Negara.

Pendakwaan terhadap Shazryl Eskay dan Shuib dibuat mengikut Seksyen 292 (a) Kanun Keseksaan manakala pertuduhan terhadap Abdul Rahim dibuat mengikut seksyen sama yang dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama bagi persubahatan.

Jika sabit kesalahan, semua mereka boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-keduanya sekali.

Selepas pertuduhan dibacakan, semua tertuduh mengaku faham dan memohon agar prosiding ditangguhkan sebentar untuk membolehkan mereka berbincang dengan peguam masing-masing.

Ulasan GB

Rahim Tamby Chik hanya dituduh bersubahat?

Apakah ia usaha pendakwa raya untuk menyelamatkan RTC dari terkena hukuman yang sama dengan dua yang lain supaya beliau tidak digugurkan dari jawatannya selaku Pengerusi RISDA?

[Video] Juruterbang Malaysia Terbunuh Di Jakarta

Jakarta: Seorang juruterbang Malaysia terbunuh apabila pesawat ringannya terjunam dan terhempas di tanah lapang dalam pertunjukan aerobatik di Minang Aerosport 2011, di Kompleks Perundam III Tunggul Hitam, Padang, Sumatera Barat, petang semalam.

Juruterbang itu dikenali Kolonel (B) Zakaria Salleh dari Kelab Penerbangan Subang, Selangor.

Kedutaan Besar Malaysia, di sini, mengesahkan laporan itu dan usaha sedang dilakukan untuk menguruskan penghantaran pulang jenazahnya ke Malaysia.

Konsul General Malaysia di Medan, Norlin Othman berkata pesawat yang dipandu Zakaria ialah dari jenis Cristian Eagle dengan nombor pendaftaran N21H dan kejadian berlaku pada kira-kira jam 5.24 petang waktu tempatan.

Difahamkan, bahawa sejumlah lapan pesawat dari Malaysia termasuk pesawat berkenaan mengambil bahagian dalam pertunjukan udara itu.

Pesawat lain adalah daripada jenis C172, dua pesawat C150 dan satu pesawat PA28.

Menurut laporan media tempatan yang memetik seorang saksi, pesawat Eagle itu sedang melakukan aksi aerobatik apabila ia tiba-tiba jatuh menjunam ke tanah.

Pesawat itu juga dilaporkan mengeluarkan asap tebal sebelum menjunam ke tanah lapang di Jalan Galaksi.

Sejurus kemudian anggota polis dan Tentera Nasional Indonesia Angkatan Udara (TNI AU) mengeluarkan mangsa dan terus membawanya ke Hospital M Djamil, Padang.

Polis Padang berkata, Zakaria meninggal dunia di hospital.

Sementara itu di Kuala Lumpur, seorang rakan mangsa yang enggan dikenali berkata Allahyarham Zakaria merupakan bekas anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan kini bertugas sebagai juruterbang eksekutif syarikat penerbangan Berjaya Air.

“Allahyarham berasal dari bandar Country Homes, Rawang, dan menyertai Berjaya Air sejak empat tahun lepas dan semasa bertugas dengan TUDM, Allahyarham adalah kapten pasukan aerobatik,” katanya.

Zakaria adalah juga kapten Kelab Penerbangan Diraja Selangor dan juga Ketua Jurulatih Penerbangan kelab itu.

Difahamkan, isterinya yang hanya dikenali sebagai Laila berada di Padang, Sumatera sebaik mengetahui kemalangan maut suaminya. -hm


Pesawat Malaysia Jatuh di Padang

Liputan6.com, Padang: Sebuah pesawat kecil milik Malaysia jatuh di kawasan padat penduduk di Padang, Sumatra Barat, Kamis (23/6) petang. Pesawat tersebut tengah mengikuti atraksi dalam Aero Sport Show yang digelar di Lapangan Udara Tabing, Padang. Pilot pesawat dikabarkan tewas.

Jatuhnya pesawat kecil ini sempat terakam kamera telepon seluler (ponsel) salah seorang warga. Sebelumnya, pesawat melakukan akrobatik di udara, kemudian langsung jatuh tak terkendali. Pesawat dengan nama Christen Eagle II ini jatuh di kawasan padat penduduk. Tepatnya di Jalan Galaxy Tunggul Hitam, Padang. Namun, pesawat dengan nomor N21H milik Malaysia ini jatuh menimpa pohon rambutan dan tidak mengenai rumah warga.

Pesawat ringan ini tengah mengikuti akrobatik di pertunjukan udara Padang Aero Sport 2011 yang digelar di Lapangan Udara Tabing, Padang. Akibat kecelakaan ini, pilot Kolonel Zakaria Saleh yang menerbangkan pesawat dikabarkan tewas setelah dibawa ke Rumah Sakit Muhammad Djamil, Padang.

Sejauh ini belum diketahui penyebab pasti jatuhnya pesawat. Namun dugaan sementara karena mengalami kerusakan mesin.(ANS) -liputan6






SMS Ugutan Berunsur Rasis Bukti Anti-BERSIH Adalah Pengotor

Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyatakan rasa kesal berhubung tindakan individu tertentu menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) ancaman bunuh ke atas Pengerusi Bersih 2.0, Datuk Ambiga Sreneevasan di samping cubaan mencetuskan ketegangan kaum.

Timbalan Ketua AMK, Khairul Anuar Ahmad Zainudin atau lebih dikenali sebagai Jonah berkata, SMS yang dikirim itu jelas mengandungi unsur-unsur menghina bangsa seseorang dengan kata-kata kesat.

Katanya, perbuatan itu adalah di luar jangkaan dan tidak boleh diterima sama sekali bagi masyarakat negara ini yang berbilang bangsa terutama generasi muda.

“Mesej seperti yang telah disebutkan oleh Datuk Ambiga tadi yang berunsur ugutan dan juga ancaman bunuh. Kami bagi Angkatan Muda Keadilan kita berasa kesal.

“Mesej yang disampaikan berunsur rasis “keling paria cina sial dan sebagainya” satu perkara yang tidak boleh kita terima khususnya kepada orang-orang muda generasi baru sekarang ini,”
katanya.

Jonah berkata demikian kepada wartawan dalam sidang media selepas membuar laporan polis di Balai Polis Bukit Travers di sini hari ini.

Beliau bagaimanapun berharap pihak polis dapat menyiasat perkara itu dengan segera sebagaimana arahan yang dikeluarkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Husein.

Katanya, AMK akan tetap bersama dan akan turut serta dalam perhimpunan Bersih 2.0 yang akan diadakan pada 9 Julai nanti.

“Apa pun ancaman apa pun ugutan kita tetap turun ke jalan,” katanya.

Sementara itu, ahli jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah pula mengutuk keras perbuatan penghantar SMS misteri tersebut yang berbaur perkauman.

“Apa yang ingin kita lakukan dalam Bersih 2.0 adalah jelas untuk menuntut keadilan dalam pilihanraya kerana kita mempunyai bukti akan ketidakadilan itu. Jadi mari berbincang dengan kita,”ujar beliau.

Tambah beliau, tindakan menghantar SMS seperti ini adalah amat tidak tepat kerana apa yang ingin dilakukan oleh Bersih 2.0 bukan mahu mewujudkan keadaan yang berunsur keganasan.

“Perhimpunan (Bersih 2.0) ini bukan berunsurkan keganasan dan kita tidak akan memberi respon terhadap keganasan juga,” katanya. -tvsnews



Ulasan GB

Yang paling nyata ialah kandungan SMS tersebut adalah satu bukti jelas mereka yang anti-BERSIH adalah "pengotor" yang bersekongkol dengan kerja-kerja kotor SPR.

Si pengotor itu akan tetap bersama dengan si pengotor yang lain. Birds of the same feather flock together.

Isu Barbican Lagi: Anak Syarikat UKM Nafi Keluarkan Status Bir Halal

UNIPEQ nafi keluar status bir halal

KUALA LUMPUR 23 Jun - Unipeq, anak syarikat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), menafikan ia telah mengesahkan status halal produk bir 'Barbican' seperti didakwa pengeluar produk itu pada Khamis lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif Unipeq, Dr Siti Noorbaiyah Abdul Malek, berkata syarikat itu hanya mengeluarkan sijil analisis yang menunjukkan kandungan kompaun yang diuji dan bukannya status halal.

"Sesuatu produk itu hendaklah dirujuk kepada pihak-pihak yang berwibawa seperti Jakim untuk status halal dan Kementerian Kesihatan untuk piawai makanan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Noorbaiyah berkata sejak 15 tahun lepas, Unipeq bertindak sebagai sebuah makmal pemantauan kualiti makanan dan hanya menguruskan hal-hal berkaitan teknologi makanan.

"Kami khuatir sebab banyak sangat reaksi di luar sana berhubung dengan iklan yang dikeluarkan (pengeluar), saya haraplah kita boleh betulkan keadaan," katanya. -hm

Ulasan GB

Seperti yang GB telah ulas sebelum ini, surat analisis yang dikeluarkan oleh anak syarikat UKM tersebut telah disalahgunakan oleh pengedar & peniaga bir BARBICAN untuk "memulihkan"& melariskan perniagaannya dengan mendakwa "Barbican bebas alkohol dan selamat diminum oleh pengguna beragama Islam dan berharap orang ramai terutama pengguna yang beragama Islam tidak perlu bimbang lagi untuk meminum Barbican” TANPA pengesahan status halalnya oleh JAKIM.

Justeru itu pihak UNIPEQ perlu berhati-hati di masa muka untuk mempastikan surat yang dikeluarkannya tidak disalagunakan dengan menyertakan sekali DISCLAIMER (PENAFIAN) bahawa suratnya bukanlah pengesahan untuk menyatakan bahan minuman yang dianalisanya yang hanya berdasarkan sampel yang dibawakan kepadanya itu sebagai halal.

Lagi Diugut Lagi Ramai Yang Akan Sertai Himpunan BERSIH

Bersih: Perhimpunan tetap dijalankan meskipun diugut bunuh dengan sms

Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) Ambiga Sreenevasan menegaskan bahawa perhimpunan BERSIH pada 9 Julai 2011 tetap akan dijalankan meskipun beliau bersama beberapa orang anggota BERSIH yang lain berdepan dengan ugutan bunuh yang disampaikan melalui pesanan ringkas (sms).

Ambiga mengakui bahawa dirinya tidak terkejut dengan ugutan yang diterima, "tapi sangat kecewa kerana seorang warga Malaysia bertindak untuk mengugut seorang lagi warga Malaysia. Hanya kerana hasrat kami untuk mengadakan satu perhimpunan yang aman. Perhimpunan kami adalah aman. Saya amat kecewa."

"Untuk kami, kami akan menjalankan perhimpunan ini dengan aman dan bertanggungjawab, tiada kena-mengena dengan perkauman. Pada hakikatnya ini adalah usaha bersama dari pertubuhan-pertubuhan masyarakat sivil, untuk menggerakkan reformasi sistem pilihan raya. Mereka yang mengugut kami, saya berharap mereka akan berdepan dengan kuasa undang-undang. Kami hanya boleh mengawal perkara yang boleh kami kawal."

Beliau juga berkata, tiada alasan untuk dirinya berasa takut selagi polis menjalankan tugas mereka. Ambiga (gambar kanan), bersama beberapa rakannya dalam BERSIH, termasuk Wong Chin Huat, Maria Chin Abdullah, dan Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan, Khairul Anuar yang menerima sms ugutan semalam, membuat laporan di Balai Polis Travers, Kuala Lumpur pada tengah hari ini. Mereka ditemani kira-kira 40 orang aktivis sosial, termasuk pertubuhan mahasiswa sebagai tanda sokongan terhadap pemimpin BERSIH.

Ambiga berkata beliau menyerah kepada polis untuk menyiasat siapakah pelaku di sebalik ugutan ini, dengan nombor telefon yang digunakan untuk menghantar sms ugutan bunuh tersebut. Beliau menyeru agar semua orang bertenang, dan mereka yang diugut telah mengambil langkah yang sebaiknya untuk melindungi diri.

Ugutan perbuatan pengecut

Maria Chin Abdullah (gambar kiri) yang menerima sms ugutan pada jam 12.41 tengah malam mencabar agar pelakunya tampil untuk berdepan dengan BERSIH, bukannya menyembunyikan diri dan menghantar sms.

"Saya menganggap ia sukar diterima, kerana sms ini bukan sahaja mengancam nyawa, tetapi sarat dengan kenyataan perkauman. Saya rasa, sesiapapun yang menghantar sms ini harus berani untuk tampil dan berbincang dengan kami. Seandainya anda tidak gembira dengan apa yang kami lakukan, beritahu kami, masalah anda."

"Kami dalam BERSIH berbuat demikian demi reformasi pilihan raya, malah kami mempunyai bukti penyelewengan pilihan raya. Bincanglah dengan kami, dan bukannya menjadi pengecut dengan menghantar sms sedemikian kepada saya, nak mengancam nyawa seseorang manusia. Kami tiada kena-mengena dengan keganasan, perhimpunan ini tiada kena-mengena dengan keganasan, dan kami tidak mahu respon dengan keganasan. Saya rasa, sesiapapun yang menghantar sms ini, sila hentikan, berbincanglah dengan kami berani," kata Maria Chin.

Wong: Makin ramai makin aman

Dalam satu sidang media selepas laporan polis, Wong Chin Huat (gambar kanan) berkata, "Pendirian saya atas isu ini ada tiga. Pertama, ini menunjukkan keganasan berada di belakang pilihanraya yang kotor. Kita tidak dapat mendukung keamanan tanpa menentang pilihanraya kotor."

"Kedua, BERSIH adalah satu pergerakan yang aman, kita akan teruskan, pihak kami mengalu-alukan jaminan Menteri untuk menjalani penyiasatan dan sebagainya. Adalah penting untuk menunjukkan kepada semua bahawa keganasan tidak ada tempat di negara ini. Keganasan tidak bertaktah di negara ini, kalau tidak pelabur asing akan meninggalkan negara ini."

Wong meneruskan, "Ketiga, (saya) ingin tegaskan bahawa perhimpunan 709 akan dijalankan secara aman, dan semakin ramai yang sokong semakin aman (perhimpunan), kerana pihak polis sudah pasti akan memberi kerjasama kerana cukup rakyat Malaysia yang datang ke hadapan untuk menolak keganasan dan pilihanraya yang bersih."


Teks asal sms yang dikirim melalui nombor 01119732179 adalah, "Korg ni buta hati ke?? buat apa sokong ambiga keling paria haramjadah tu? dia ni kapir laknat. korang tau tak dia ni jadi alat anjing2 politik untuk musnahkan keutuhan melayu. dia kata je nak BERSIH kan SPR. bersih kepala bapak dia.

puak2 PAS n PKR pun buta tuli n pekak badak.. kalau SPR tak bersih, boleh ke diorang menang kat Sgor, Kedah, Penang, Kelantan n perak dulu? DAP cina sial tu pulak lagi haram jahanam. dia tengok je melayu bertekak. hujung2 dia perintah negara ni dan kristiankan kita semua. aku nak kasi amaran kat korang semua."

kalau perhimpunan ni jadi, aku dan org2 aku akan bunuh ambiga dan korang2 keliling dia satu persatu, termasuklah orang2 politik bangang yg bersekongkol ngan kafir laknat tu.. ini amaran aku. Korang tengokla nanti."


Di samping itu, Menteri Dalam Negeri Hishammuddin Hussein (gambar kiri) memandang serius kejadian ugutan sms ini, malah akan mengarahkan polis agar siasatan dijalankan ke atas pihak yang menghantar sms berbaur ugutan tersebut.

*Chen Shaua Fui ialah Assistant Editor MerdekaReview, edisi bahasa Cina.


Presiden PAS seru semua ahli sertai Bersih 2.0

KUALA LUMPUR, 23 Jun: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengarahkan semua ahli dan penyokong PAS agar datang ke Kuala Lumpur pada 9 Julai ini bagi menyertai perhimpunan Bersih 2.0.

"Saya menyeru semua ahli dan penyokong PAS menyertai perhimpunan Bersih 9 Julai ini untuk menuntut pilihan raya yang bersih dan adil," kata Abdul Hadi dalam sidang media bersama Harakah di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, di sini, sebentar tadi.

Perhimpunan Bersih 2.0 akan diadakan di Kuala Lumpur 9 Julai ini. Pengerusi Bersih 2.0 adalah bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk Ambiga Srenevasan. Anggotanya terdiri daripada para pemimpin NG0, manakala PAS, PKR dan DAP menyokong perhimpunan itu.

Menurut Abdul Hadi, perhimpunan tersebut mempunyai tujuan yang amat murni dan perlu disokong oleh semua pihak serta dijamin aman sesuai dengan matlamatnya yang murni.

Sehubungan itu, ahli-ahli dan penyokong-penyokong PAS serta setiap pihak yang menyertainya dilarang melakukan sebarang kekacauan, mengganggu ketenteraman awam dan kerosakan harta benda awam.

"Setiap ahli PAS yang menyertainya jangan sekali-kali membawa senjata. Saya juga suka mengingatkan ahli-ahli PAS agar jangan bermusuhan dengan pihak polis," katanya yang juga ahli Parlimen Marang.

Sesuai dengan nama perhimpunan itu sendiri sebagai himpunan aman, sekiranya berlaku perkara tidak diingini dalam pehimpunan itu, ia bukanlah didatangkan oleh ahli-ahli PAS dan mereka yang menyertainya.

Sebaliknya, kejadian tersebut pasti dilakukan oleh pihak lain, termasuk oleh pihak Umno dan kerajaan BN, atau provokasi yang dilakukan oleh pihak polis sendiri seperti yang telah berlaku dalam siri perhimpunan-perhimpunan aman yang diadakan sebelum ini.

"Oleh itu yang perlu dikawal oleh pihak polis dalam perhimpunan itu adalah pihak-pihak yang membuat provokasi dan bukan polis sendiri yang membuat provokasi," tegasnya.

Umno dan Kerajaan BN, katanya, tidak perlu takut dengan perhimpunan tersebut kerana ia tidak sekali-kali terfokus kepada perkara-perkara tidak diingini, tetapi hanyalah terhadap pilihanraya di negara ini.

Pilihanraya di negara ini seperti yang diketahui umum tidak pernah berlangsung dengan bersih dan adil, tetapi penuh dengan penyelewengan yang dilakukan oleh kerajaan BN yang memerintah menerusi Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR).

Keadaan yang sama turut dilakukan oleh Umno dan Kerajaan BN terhadap media, apabila media yang menyokongnya diberikan kebebasan untuk disebarkan dan dibaca secara meluas di segenap pelosok negara, tetapi media yang menyokong pembangkang atau PAS serta Pakatan Rakyat pula dihalang dengan pelbagai cara.

"Pilihanraya yang tidak bersih itu tidak boleh dibiarkan kerana ia pasti akan menimbulkan kemarahan rakyat. Itulah yang perlu dibantah dan itulah matlamat Perhimpunan Bersih 2.0.

"Matlamat tersebut sememangnya sesuatu yang baik sebab itulah PAS menyokong langkah yang diadakan oleh Bersih untuk mengadakan perhimpunan itu bagi menuntut pilihanraya yang bersih dan adil," katanya.

Pihak Umno dan Kerajaan BN, tegas beliau, perlu faham perkara itu dan tidak sepatutnya menghalang perhimpunan tersebut diadakan kerana ia juga pasti memberikan kesan yang positif kepada pihak pemerintah sendiri.

"Semua negara demokrasi yang maju di dunia ini tidak menghalang perhimpunan aman yang diadakan oleh rakyatnya. Malah ia akan dikawal dan diberikan kerjasama dengan baik oleh pihak keselamatan selagi perhimpunan itu tidak mengganggu ketenteraman awam.

"Malah di negara-negara demokrasi maju di dunia ini, pihak pemerintah sendiri turut mengambil manfaat dari demonstrasi aman yang diadakan bagi mendengar suara rakyat untuk memperbaiki kelemahan yang ada. Umno dan Kerajaan BN juga sepatutnya bersikap seperti itu demi kepentingan negara," ujar beliau.

Mengulas dakwaan sesetengah pihak bahawa perhimpunan tersebut akan mengancam mata pencarian para peniaga dan mencemarkan imej negara di mata pelancong, beliau berkata, dakwaan tersebut ternyata tidak berasas, malah perhimpunan itu sendiri akan mendatangkan keuntungan yang besar kepada para peniaga.

"Mereka yang menyertai perhimpunan itu cukup besar jumlahnya dan mereka pasti akan berbelanja. Jadi, para peniaga sendiri pasti akan mendapat keuntungan besar dengan adanya perhimpunan itu.

"Manakala sepanjang perhimpunan diadakan pula, para pelancong asing pasti akan turut tertarik melihatnya kerana ia dilakukan dengan baik dan aman sehingga mereka sendiri akan kagum dengan keamanan di negara kita.

"Tetapi jika pihak polis sendiri yang membuat provokasi, suasana itu pasti berbeza. Jadi yang mengubah keadaan itu bukannya pihak penganjur dan pesertanya, tetapi pihak polis, pihak Umno dan pihak Kerajaan BN sendiri," tegas beliau. -HD


Ulasan GB

Memetik kata-kata TG Nik Abdul Aziz... "jangan disekat air yang mengalir dari gunung, atau anda akan tercampak dibawa arus itu..."