23 Jun 2011

Tiga Remaja Disambar Petir Sewaktu Berteduh Di Sebuah Wakaf


Dari kiri: Muhamad fariz, Mohd Sahadam dan Mohd Zailani

Besut - Tiga remaja lelaki cedera dan pengsan selepas disambar petir ketika sedang berteduh daripada hujan bersama sembilan yang lain di sebuah wakaf di Kampung Durian Telur, Pasir Akar, Hulu Besut, semalam.

Kejadian berlaku kira-kira 5.30 petang ketika mereka yang berumur antara 15 hingga 40 tahun berteduh di pondok berkenaan sementara menunggu hujan reda.

Mohd Sahadam Nik Mar, 17, Muhamad Fariz Ismail,15, dan Mohd Zailani Keria, 23, yang semuanya berasal dari Kampung Durian Telur di sini dikejarkan ke Hospital Daerah Besut oleh penduduk kampung kira-kira 6.15 petang.

Keadaan ketiga-tiga mereka yang masih dirawat di hospital dilaporkan stabil.

Menurut rakan mangsa, Saiful Bahari Ramli, 15, yang turut berteduh di wakaf itu berkata, ketika kejadian secara tiba-tiba kilat dan petir memanah ke arah sebatang pokok berhampiran wakaf tersebut menyebabkan mereka bertiga rebah dan tidak sedarkan diri.

Selepas melihat keadaan ketiga-tiga mereka terjatuh manakala yang lain melarikan diri kerana panik, katanya kepada Bernama ketika ditemui di hospital di sini, hari ini.

"Sebaik hujan reda penduduk yang dimaklumkan mengenai kejadian itu kemudian datang menyelamatkan mangsa dengan menghantar mereka ke hospital," katanya.

Katanya lagi ketika kejadian, ada di antara mereka yang menggunakan telefon bimbit untuk berbalas khidmat pesanan ringkas (SMS).- Bernama

Kuantan Parade Terbakar

Empat Premis Makanan Di Kuantan Parade Terbakar

KUANTAN: Empat premis makanan di medan selera pusat beli-belah Kuantan Parade di sini mengalami kerugian dianggarkan bernilai RM450,000 setelah musnah dalam kebakaran pada pukul 10 pagi Rabu.

Gambar: KEBAKARAN... Kepulan asap yang terlalu tebal menyebabkan suasana di pusat beli-belah Kuantan Parade agak kelam-kabut. Kebakaran itu menyebabkan kerugian bernilai RM450,000 namun tiada kemalangan jiwa berlaku. --fotoBERNAMA

Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuantan Wan Daud Wan Awang berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada pukul 10.10 pagi sebelum dua jentera bersama 20 anggota bomba bergegas ke tempat kejadian.

Beliau berkata kebakaran itu dipercayai berpunca dari dapur yang tidak ditutup di sebuah kedai makanan barat di medan selera berkenaan.

Katanya kebakaran berjaya dikawal kira-kira 20 minit kemudian sebelum berjaya dipadamkan sepenuhnya pada pukul 10.55 pagi.

Beliau berkata tiada kemalangan jiwa dilaporkan berikutan pasar raya berkenaan masih belum dibuka kepada pengunjung.

Wan Daud berkata sekiranya siasatan mendapati punca kebakaran disebabkan kecuaian pemilik kedai terbabit, tindakan akan diambil berdasarkan perjanjian sewa yang telah dipersetujui mengikut kontrak. - BERNAMA

Himpunan Bersih: Haram Bagi Sesiapa Termasuk Polis Cetuskan Provokasi - Dr.Asri

Adalah haram bagi mana-mana pihak, tidak kira peserta demonstrasi ataupun polis memulakan provokasi yang boleh menyebabkan berlakunya rusuhan, kata bekas Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Oleh itu, kata beliau, sesiapa yang mahu menyertai demonstrasi seperti Bersih 2.0 hendaklah berazam tidak akan mencetuskan kemusnahan harta awam, mencederakan sesiapa, dan memaki hamun.

Sebaliknya, kata Dr Asri, mereka harus melafazkan slogan tuntutan dan berhimpun bagi menggambarkan kehendak dan rasa tidak puas hati dengan cara yang aman.

“Pihak polis hendaklah sedar, selagi tuntutan itu baik untuk negara yang adil, polis juga termasuk dalam kalangan rakyat. Maka sepatutnya mereka memudah cara agar proses itu berjalan dengan pantas dan dilangsaikan dengan segera.

“Para peserta demonstrasi juga hendaklah sedar bahawa tugasan polis mengawal keamanan, maka hendaklah tidak dimulakan apa-apa provokasi yang menimbulkan kemarahan mereka selagi mereka bertugas dengan betul menurut peratusan keselamatan, katanya.

Dr Asri berkata, sesiapa yang memulakan atau menyertai provokasi yang membawa rusuhan maka dia menanggung dosa.

“Cita-cita rakyat itu tidak akan tertunai melainkan adanya kerjasama yang baik dari semua pihak. Polis, rakyat dan golongan atasan,” katanya.

Beliau berhujah demikian dalam kolumnya di portal Malaysiakini hari ini berhubung isu perhimpunan rakyat yang dianjurkan oleh Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil atau Bersih 2.0 yang dijadualkan 9 Julai depan.

“Setelah saya mendengar taklimat BERSIH dan menilainya, saya dapati tujuannya baik, menuntut hak yang sepatutnya diperolehi oleh rakyat seperti yang dijanjikan oleh
Perlembagaan.

“Jika ia berjaya, pada pandangan saya bukan untuk kemaslahatan parti tertentu sahaja, tetapi untuk keadilan berpolitik sepanjang masa, untuk semua pihak tanpa mengira parti. Maka, saya tidak mempertikaikan BERSIH di sudut tujuannya,’
kata Dr Asri lagi.

Bagaimanapun beliau bimbang jika ada parti tertentu yang cuba menzahirkan perhimpunan itu dalam sifat kepartian, bukan untuk rakyat secara umum, “sedangkan tuntutan itu untuk semua dan baik untuk memastikan keadilan dalam pengurusan pilihanraya”.

“Dalam konteks politik hari ini, demonstrasi aman sebahagian dari cara pencegahan mungkar politik yang telah terbukti keberkesanannya di banyak negara.

“Namun, oleh kerana demonstrasi itu terdedah kepada bahaya dan porak peranda, maka demonstrasi hendaklah menjadi pilihan akhir setelah tuntutan yang adil tidak ditunaikan.

“Perbincangan, rundingan, seruan secara langsung, bantahan bertulis dan sebagainya hendaklah di utamakan. Saya difahamkan hal-hal itu telah dilakukan,” kata beliau.

Sehubungan itu, Dr Asri berkata, SPR hendaklah menunaikan tuntutan yang adil itu bagi mengelakkan rakyat turun ke jalan yang mempunyai kemungkinan yang pelbagai.

“Jika pihak SPR enggan, menjadi hak rakyat untuk menuntutnya secara aman,”
kata beliau.

Bagaimanapun beliau menegaskan memelihara keamanan adalah syarat utama keharusan mengadakan demonstrasi, “jika bertukar menjadi ganas maka ia sesuatu yang diharamkan oleh syarak”.

Beliau mengemukakan hujah bahawa demonstrasi jalanan ini pernah berlaku di zaman Rasulullah.

Katanya, Nabi Mohammad s.a.w. pernah mengajar sahabat yang disakiti jirannya membuat bantahan di jalan.

“Dalam hadis itu sahabat tersebut mengadu kepada Nabi: “Sesungguhnya jiranku menyakitiku”.

“Sabda Nabi: “Keluarkan baranganmu dan letakkannya di jalan”.

“Maka lelaki itu mengambil barangannya dan letak di jalan. Lalu, setiap orang yang melintas bertanya: “apa yang berlaku kepadamu?”. Dia menjawab: “Jiranku menyakitiku”.

“Maka mereka berkata:“Ya Allah laknatilah dia, Ya Allah hinalah dia”. Dengan sebab itu, jirannya berkata: “Kembalilah ke rumahmu, aku tidak akan sakitimu lagi”.


Hadis berkenaan, kata Dr Asri, diriwayatkan oleh al-Bazzar dan al-Hakim dalam al-Mustadrak dan Ahmad Syakir menilainya sebagai sahih.

Kes Amah Dihukum Pancung: Saudi Minta Maaf Kerana Tak Maklumkan Jakarta

Jakarta: Kerajaan Arab Saudi telah meminta maaf kepada Indonesia kerana tidak memberitahunya mengenai hukuman pancung yang dilaksana ke atas seorang pekerja pembantu rumah Indonesia bagi kesalahan membunuh majikannya di Arab Saudi, kata para pegawai di Jakarta semalam.

Permohonan maaf itu dibuat dalam satu mesyuarat antara Menteri Luar Indonesia, Encik Marty Natalegawa, dan Duta Besar Arab Saudi, Encik Abdurrahman Mohammed Al-Khayyat, kata seorang jurucakap kementerian luar Indonesia.

'Duta Besar telah memohon maaf dan menyesali suasana itu, dan berkata bahawa perkara seperti itu tidak akan berulang lagi pada masa depan,' kata jurucakap tersebut, Encik Michael Tene.

Encik Natalegawa turut menyerahkan sepucuk surat bantahan kepada duta besar itu bagi dikirim kepada rakan sejawatannya dari Arab Saudi, kata Encik Tene.

Pada awal minggu ini, Indonesia mengarahkan duta besarnya ke Riyadh supaya mengadakan rundingan sedang para penggubal dasar mengesa tindak balas tegas terhadap Arab Saudi berhubung hukuman mati itu.

Pekerja pembantu rumah Indonesia itu, Ruyati Sapubi, 54 tahun, dihukum mati dengan dipancung Sabtu lalu, selepas mahkamah agung Arab Saudi memutuskan dia bersalah membunuh majikannya, Cik Khairiya Hamid Mijlid, dengan sebilah pisau potong daging tahun lalu.

Cik Ruyati membunuh Cik Khairiya selepas permintaannya untuk meninggalkan Arab Saudi dan pulang ke Indonesia ditolak oleh majikannya itu dan juga kerana selalu dimarahi, menurut para pegawai di Jakarta
.

Kes Ruyati adalah yang terbaru dalam satu siri insiden mengharukan membabitkan pekerja Indonesia di Timur Tengah.

Kelmarin, para penggubal dasar Indonesia menggesa pemerintah supaya menghentikan penghantaran pekerja warga negara itu ke luar negara tanpa perjanjian yang menjamin hak asasi asas mereka.

Berikutan kes Cik Ruyati, Encik Natalegawa dan beberapa anggota utama kabinet pimpinan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono menghadapi desakan agar mereka meletak jawatan kerana seringnya berlaku penganiayaan ke atas pekerja pendatang Indonesia di luar negara.

Kira-kira 70 peratus daripada 1.2 juta tenaga pekerja Indonesia di Arab Saudi adalah pembantu rumah, menurut para pegawai.

Kumpulan-kumpulan hak asasi berkata pekerja dari negara-negara seperti Indonesia, India, Pakistan dan Sri Lanka menjadi pengukuh ekonomi negara-negara Teluk.

Namun, mereka berhadapan dengan bentuk-bentuk eksploitasi paling ekstrem, menurut kumpulan-kumpulan itu. -- AFP.

Ugutan Bunuh: Ambiga & Pemimpin PR Buat Laporan Polis

Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) 2.0, Datuk Ambiga Sreenavesan berkata beliau dan rakan-rakannya tidak gentar dengan ugutan bunuh yang diterima semalam dan bertekad untuk meneruskan perhimpunan yang dirancang untuk diadakan pada 9 Julai ini.

Ambiga memberitahu tiada sebab untuk dirinya berasa takut atas ugutan tersebut kerana laporan polis telah dibuat dan beliau menyerahkan kepada pihak polis untuk membuat siasatan.

“Saya menerima SMS ugutan ini pada pukul 9.30 malam (tadi). Bukan saya sahaja yang dapat SMS ini, tetapi (ahli) jawatankuasa yang lain juga turut menerima,” katanya selepas membuat laporan polis bersama lima individu lain yang menerima SMS ugutan sama di Balai Polis Jalan Travers di sini hari ini.

Ugutan dalam bentuk SMS itu antara lain berbunyi “aku dan orang-orang aku akan bunuh Ambiga dan kau orang keliling, satu persatu termasuklah orang-orang politik...”

Selain Ambiga, antara yang menerima SMS tersebut ialah Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Khairul Anuar Ahmad Zainudin, ahli jawatankuasa Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah dan peguam PKR, Latifah Koya.

Selain itu, Ambiga berkata SMS ugutan ini juga tidak akan mematahkan semangat beliau dan ahli jawatankuasanya daripada meneruskan perhimpunan tersebut.

Katanya, “mengenai SMS ini, saya percaya polis akan menyiasat dan dapat mengesan siapa penghantarnya kerana kami ada nombor telefon penghantar itu.”

“Bersih akan tetap diteruskan. Tiada perubahan. Kita akan buat seperti biasa secara aman,” katanya.

Bersih 2.0 bersama Pakatan Rakyat dan aktivis parti bersedia menggerakkan perhimpunan menuntut pilihan raya adil dan bersih pada 9 Julai.

Selain Bersih, Perkasa dan Pemuda Umno turut akan mengadakan perhimpunan balas membantah penganjuran Himpunan Bersih 2.0. -TMI



SMS ugut bunuh Ambiga, pemimpin Pakatan diedarkan

Beberapa wartawan dan ahli Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) telah menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) berhubung ugutan bagi membunuh pemimpin NGO itu dan Pakatan Rakyat lewat malam semalam dan awal pagi ini.

SMS yang dihantar dari nombor telefon 601119732179 memuatkan ugutan bunuh ke atas pengerusi BERSIH 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan dan juga beberapa pemimpin PAS serta PKR yang akan terbabit pada perhimpunan 9 Julai bagi menuntut pembaharuan dalam sistem pilihan raya negara.

Ambiga, ketika dihubungi Malaysiakini, mengesahkan beliau menerima SMS itu.

"Ya, saya juga terima dan akan buat laporan polis,” katanya.

SMS itu berbunyi: "Korg ni buta hati ke?? buat apa sokong ambiga keling paria haramjadah tu? dia ni kapir laknat. korang tau tak dia ni jadi alat anjing2 politik untuk musnahkan keutuhan melayu. dia kata je nak BERSIH kan SPR. bersih kepala bapak dia.

“puak2 PAS n PKR pun buta tuli n pekak badak.. kalau SPR tak bersih, boleh ke diorang menang kat Sgor, Kedah, Penang, Kelantan n perak dulu? DAP cina sial tu pulak lagi haram jahanam. dia tengok je melayu bertekak. hujung2 dia perintah negara ni dan kristiankan kita semua. aku nak kasi amaran kat korang semua.

“kalau perhimpunan ni jadi, aku dan org2 aku akan bunuh ambiga dan korang2 keliling dia satu persatu, termasuklah orang2 politik bangang yg bersekongkol ngan kafir laknat tu.. ini amaran aku. Korang tengokla nanti."


Ahad lalu, kumpulan pendesak Melayu - PERKASA yang diketuai oleh presidennya, Datuk Ibrahim Ali juga membakar dan memijak gambar Ambiga pada satu perhimpunan dan memanggilnya sebagai "wanita Hindu yang merbahaya". -mk


Dungun Dilanda Tsunami Kecil

Kejadian ribut disertai kilat sabung-menyabung melanda kawasan tepi pantai Dungun awal pagi semalam biarpun hanya setengah jam namun sudah cukup mencemaskan penduduk kampung.

Tragedi ribut selepas melanda daerah Besut dan Marang sebelumnya yang disifatkan tsunami kecil oleh kaum nelayan itu sedikit-sebanyak meninggalkan trauma bagi mangsa dan penduduk yang mendiami kawasan pantai.

Tinjauan Sinar Harian ke beberapa kampung berdekatan pantai pagi semalam mendapati kampung Nibong, Sungai Buaya, Teluk Lipat dan Sura antara paling teruk terjejas.

Penduduk di Nibong, Rahmah Abdul Samad, 51, berkata, ketika kejadian kira-kira jam 1.15 pagi itu, dia baru hendak masuk tidur, namun tiba-tiba dikejutkan dengan bunyi tiupan angin yang amat kuat menyebabkan dia ketakutan.

Katanya, ketika hendak keluar dari bilik tidurnya untuk melihat dua anak lelakinya, Mohd Azlan Asri, 14, dan Mohd Azmi Asri, 11, yang tidur di ruang tamu, tiba-tiba dia terdengar bunyi dentuman yang amat kuat.

“Alangkah terkejutnya saya apabila mendapati sebatang pokok besar menghempap rumah kami menyebabkan atap rumah pecah dan bertaburan.

“Atap yang pecah itu turut menimpa anak saya, namun dia bernasib baik kerana hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya.

Sementara itu, anggota Unit Khas Majlis Perbandaran Dungun (MPD) dikejarkan ke lokasi terbabit untuk menjalankan kerja pembersihan selain turut membantu mangsa terbabit memindahkan beberapa peralatan penting ke lokasi lebih selamat.

Mangsa ribut trauma

“Saya lihat gerai makan bergoyang, kerusi di warung saya pula melayang hingga atas jalan, dalam keadaan cemas itu saya lari masuk ke dalam kedai untuk menyelamatkan diri.

“Saya hanya mampu membaca ayat suci al-Quran dan tidak putus berdoa pada Tuhan,” kata Nurjuliani Irdawaty, 29, pemilik gerai makan yang turut menjadi mangsa ribut awal pagi semalam.

Nurjuliani Irdawaty yang masih trauma dengan kejadian mencemaskan itu berkata, ketika kejadian dia sedang berkemas selepas menutup kedainya yang terletak di Medan Selera Teluk Lipat.

Menurutnya, ketika itu semua pelanggannya sudah pulang, yang tinggal cuma beberapa pembantu kedai termasuk adiknya.

Bagaimanapun, suasana tenang di hadapan Laut Cina Selatan itu bertukar menakutkan sebaik sahaja angin mulai bertiup kencang menyebabkan beberapa peralatan di gerainya berterbangan.

“Pada masa itu, saya tidak tahu hendak buat apa, dua gerai sudah menyembah bumi selepas ditiup angin.

“Tiba-tiba dahan pokok besar berada di tepi kedai saya patah lalu menghempap sebuah kenderaan dan dua motosikal yang diletakkan di situ, kami semua lari lintang-pukang menyelamatkan diri dalam bangunan sehinggalah tiupan angin kencang berakhir,” katanya.

Adiknya, Norjuliana Irdawaty berkata, ketika angin kuat itu, dia sempat melihat sebuah kenderaan yang melalui sebatang jalan hadapan kedainya berpusing.

“Bayangkanlah betapa kuatnya angin awal pagi itu, kereta bergerak pun boleh berpusing.

“Kejadian itu benar-benar menakutkan saya, namun saya bersyukur kerana kami semua selamat, cuma peralatan kedai sahaja yang rosak,” katanya. -SH

Tugu 1Malaysia Di Pantai Klebang Melaka Berharga RM352K

Tugu: Pemuda PAS Melaka tuntut penjelasan

MELAKA, 22 Jun: Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka menggesa kerajaan negeri memberikan penjelasan tentang pembaziran yang berlaku di dalam pembinaan tugu 1Malaysia yang ditempatkan di Pantai Klebang.

Ketua penerangannya, Muhamad Aizat Bahrudin berkata, kos pembinaan tugu 1Malaysia tersebut bernilai RM352,000 iaitu semasa dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 4 Februari lalu.

Katanya, os tersebut meningkat tiga kali ganda berbanding harga pasaran iaitu RM100,000.

Tugu 1Malaysia tersebut dibina daripada tetulang besi dengan ketinggian 17.7 meter dan lebar 9.1 meter yang dibaluti dengan kanvas pada bahagian depan dan belakangnya dengan asasnya diperbuat daripada konkrit.

Manakala pada bahagian kiri kanannya ditutup dengan menggunakan aluminium nipis dan lantai pentas kecil di hadapannya ditutup dengan kayu lapis nipis beserta 15 unit tiang bendera di tepi tugu tersebut.

Pada waktu malam tugu tersebut diterangkan dengan cahaya lampu kalimantang yang jika dinilai secara kasar harganya tidak sampai RM5,000.

“Ini suatu yang pelik bagaimana kos tugu tersebut boleh mencecah RM352,000,” ujarnya.

Beliau difahamkan pembaziran juga berlaku semasa majlis makan malam pelancaran tugu 1Malaysia tersebut di mana kos berjumlah RM600,000 telah digunakan semata-mata untuk menampung kos makan malam bersama Najib.

Katanya, hasil tinjauan setelah 16 bulan tugu tersebut dilancarkan, ia berada dalam keadaan yang menyedihkan yang mana terdapat kesan koyak pada kanvas tugu tersebut, pada bahagian lantai pentas tugu tersebut yang diperbuat daripada kayu telah patah dan terdapat kesan-kesan karat pada kerangka besi tugu tersebut (gambar kiri).

Ini, katanya suatu pembaziran yang ketara dilakukan oleh kerajaan negeri di saat rakyat negeri Melaka terbeban dengan pelbagai kenaikan harga barang.

“Bayangkan kos pembinaan dan kos makan malam tersebut sahaja sudah berjumlah RM952,000 iaitu satu jumlah yang mampu menampung orang-orang miskin di Melaka,” katanya.

Baru-baru ini rakyat Melaka juga telah dibebani dengan kenaikan 20 % harga air yang meningkat bermula 1 April lalu.

Ia, ujarnya suatu lagi bebanan yang terpaksa ditanggung di saat kerajaan negeri sendiri mampu berbelanja besar untuk membina sebuah tugu yang tidak memberikan manfaat besar pada rakyat.

Katanya, kerajaan negeri Melaka di bawah pimpinan Datuk Seri Ali Rustam seharusnya memikirkan tentang nasib rakyat yang terkesan dengan kenaikan pelbagai barang.

Sebelum ini, ujarnya pembinaan tugu 1Malaysia ini menjadi isu agama di mana pembinaan tugu tersebut dikhuatiri mengandungi unsur-unsur pemujaan.

“Sebelum ini juga dewan pemuda PAS Negeri Johor telah membangkitkan isu ini dengan menggesa kerajaan persekutuan menyatakan pendirian berkenaan tugu tersebut,” katanya.

Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya juga berpendapat agar pembinaan tugu 1 Malaysia tidak di lakukan jika ia mengandungi unsur-unsur pemujaan yang membawa kepada syirik.

Beliau berkata, adalah malang bagi rakyat Melaka dengan pembinaan tugu 1Malaysia tersebut kerana rakyat bukan sahaja terpaksa menanggung bebanan hidup yang tinggi atas pembaziran ketara kerajaan negeri malah terpaksa menanggung risiko kemungkinan tergelincirnya aqidah umat Islam disebabkan pembinaan tugu tersebut andainya mengundang unsur-unsur pemujaan.
-HD





'Datuk T' Didakwa Esok, Hairankah Kita Jika Mereka Dikenakan Hukuman Ringan?

Tiga individu yang secara berkumpulan menggelarkan diri mereka sebagai 'Datuk T' yang menggemparkan Malaysia dengan menayangkan rakaman video seks yang kononnya didakwa mirip pemimpin pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan didakwa di Kompleks Mahkamah Tinggi, Jalan Duta, esok.

'Datuk T - terdiri daripada ahli perniagaan Kedah, Datuk Shazryl Eskay Abdullah; bekas ketua menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik; dan bekas bendahari agung Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Shuib Lazim - telah menayangkan video tersebut para wakil media terpilih di hotel Carcosa Seri Negara, 21 Mac lalu.

'Datuk T akan didakwa di Mahkamah Jalan Duta pada 8 pagi, 24 Jun 2011, harap maklum,' kata Datuk Shazryl, dalam satu khidmat pesanan ringkasnya (SMS) kepada laman berita The Malaysian Insider, semalam.

Ditanya sama ada perkara itu benar, Datuk Shazryl mengesahkannya dengan jawapan ringkas: 'Confirm (sah).'

Ketiga-tiga 'Datuk T' itu kemungkinan didakwa dibawah Seksyen 292 Akta Kanun Keseksaan kerana kesalahan mengedar bahan lucah.

Datuk Seri Anwar, yang juga Ketua Umum Pakatan Rakyat (PR) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), telah menafikan pembabitan beliau sebagai pelaku dalam video seks itu dan membuat laporan polis berhubung dengannya.

Datuk Shazryl pernah melakukan sumpah laknat bagi membuktikan dakwaan yang dibuatnya itu adalah benar dan Datuk Seri Anwar adalah pelaku dalam rakaman video tersebut.

Polis juga telah mengesahkan bahawa rakaman video seks itu, yang kini tersebar luas di Internet, adalah tulen.


Bukan Kejutan 'Datuk T' Terlepas - DSAI

KUALA LUMPUR 22 JUN : Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau tidak terkejut jika mahkamah menjatuhkan hukuman paling ringan terhadap trio 'Datuk T' yang dikatakan akan didakwa Jumaat ini.

Anwar merujuk kepada prestasi kehakiman mutakhir ini yang seringkali 'membebaskan' kaum kerabat UMNO BN tetapi bertegas terhadap pemimpin Pakatan Rakyat.

Beliau juga menyatakan ketidakyakinannya terhadap keseriusan Putrajaya dalam mengambil tindakan terhadap 'Datuk T' yang merangkumi Bekas Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, Bekas Bendahari Perkasa, Datuk Shuib Lazim dan Ahli Perniagaan, Datuk Eskey Shazryl Abdullah.

Anwar turut mendakwa rakaman video seks yang cuba dikaitkan dengan dirinya menimbulkan banyak persoalan apabila pihak berkuasa dilihat melengah- lengahkan dan sentiasa berdolak dalih ketika disoal pemberita.

Tindak polis yang tidak mengambil sebarang tindakan keatas 'Datuk T' juga menggambarkan trio itu dilindungi meskipun mereka mengaku bertanggungjawab menayangkan video lucah itu kepada sekumpulan wartawan terpilih di Hotel Carcosa Seri Negara, 21 Mac lalu.

“Kes yang jelas begini tertangguh berbulan-bulan memang menimbulkan banyak persoalan,” katanya kepada wartawan dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Jelasnya, tindakan polis yang berdiam diri walaupun berpuluh- puluh laporan polis dibuat bersabit pengedaran video lucah itu, turut memberi gambaran kegiatan itu mendapat sokongan dan kerjasama pihak berkuasa.

“Ia berlarutan lama dan ia (video seks) masih diedarkan, digalakkan oleh kerajaan, dibantu oleh polis dan Menteri Dalam Negeri.

“Adalah mustahil bagi bahan pornografi ditayangkan dan diedarkan dengan bilangan ratusan dan ribuan jika tidak dilindungi oleh sesuatu kuasa yang ada,” katanya.

Beliau berkata, pendakwaan yang akan dibuat Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail berhubung kes itu juga boleh dipersoalkan kerana Peguam Negara sendiri mempunyai rekod yang meragukan.

Malah, katanya, 'Datuk T' juga sebelum ini diketahui umum dibayangi dan dihantui isu moral yang buruk dan keji. -tvsnews


Karnival 1Malaysia Musnah Dipukul Ribut & Puting Beliung

Musnah sekelip mata

TANJUNG GEMOK – Berpuluh-puluh peniaga di Tapak Karnival Ekspo 1Malaysia terpaksa lari bertempiaran menyelamatkan diri dalam kejadian hujan lebat disertai angin puting beliung, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 5 petang itu, angin kencang berwarna hitam membentuk corong berputar yang dikatakan dari Sungai Anak Endau itu sekelip mata meranapkan sebahagian besar kanopi di kawasan itu.

Sebanyak 10 kanopi rosak teruk dan sebahagiannya runtuh, manakala 24 kanopi lagi di kawasan sama turut terkena tempias angin kencang mengakibatkan barang-barang perniagaan bertaburan di merata-rata tempat.

Dianggarkan semua peniaga mengalami kerugian sebanyak RM500,000 setelah barangan perniagaan mereka musnah dan rosak teruk dalam kejadian paling dahsyat pernah berlaku di kawasan itu.

Difahamkan semasa kejadian, kebanyakan peniaga sedang mengemas dan menyusun barang perniagaan, namun dikejutkan dengan hujan lebat disertai gegaran sebelum semua peniaga menyelamatkan diri ke premis perniagaan berdekatan.

Bunyi dentuman kuat

Penganjur karnival, Saharudin Ismail, 29, berkata, hujan lebat disertai angin kencang dipercayai puting beliung itu datang secara tiba-tiba dari arah Sungai Anak Endau menyebabkan peniaga terpaksa lari menyelamatkan diri.

Saharudin berkata, kejadian itu terlalu pantas hingga meranapkan kanopi utama yang menempatkan pentas persembahan dan merosakkan peralatan elektronik audio (PA sistem).

Menurutnya, kejadian itu adalah malapetaka paling dahsyat sejak dia menyertai karnival atau ekspo di negara ini dan menyifatkannya sebagai dugaan paling besar yang perlu ditempuhi semua peniaga di situ.

“Dalam keadaan cemas itu, saya hanya mampu berdoa supaya selamat dan dijauhkan daripada sebarang kejadian tidak diingini akibat pukulan angin kuat,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, kejadian itu menyebabkan sebahagian daripada kanopi yang didirikan di kawasan itu diterbangkan angin, malah terdapat sebatang tiang lampu berdekatan sebuah kanopi turut tumbang.

“Kejadian ini sungguh dahsyat dan mengerikan. Apatah lagi ia berlaku dalam tempoh singkat hingga mengubah keadaan landskap ekspo ini serta-merta kerana ketika itu, peniaga bukan lagi sibuk melayan pelanggan, tetapi terpaksa mengutip barangan perniagaan yang bertaburan,”
katanya.

Menurutnya, ketika kejadian, dia terdengar bunyi dentuman guruh yang kuat hingga menyebabkan peralatan sistem audio miliknya terhempas ke lantai disertai dengan kilat sabung menyabung.

“Saya menganggarkan kerugian yang dialami mencecah RM150,000, bagaimanapun anggaran sebenar nilai kerosakan barangan dan peralatan masih belum dapat dibuat sehingga keputusan penilaian diperoleh,” katanya.

Seorang peniaga, Aswadi Mesnun berkata, dia mengalami kerugian hampir RM50,000 apabila tiga kanopi disewanya sejak empat hari itu musnah hingga menyebabkan barangan dan pakaian jualannya rosak teruk akibat basah.

“Saya menyewa tiga tapak dengan menjalankan perniagaan menjual pakaian terpakai, baru serta aksesori lelaki dan wanita, namun malangnya, hampir semua barangan musnah dalam kejadian ribut itu,” katanya.

Aswadi berkata, ketika kejadian, dia sempat menyelamatkan diri ke gerai makanan berhadapan dengan tapak karnival itu.

“Alangkah terkejutnya saya apabila mendapati sebahagian pakaian yang hendak dijual basah dan kanopi ranap serta runtuh akibat rempuhan puting beliung,” katanya.

Menurutnya, bagi mengelak mengalami kerugian teruk, dia terpaksa menjual pakaian pada harga murah sepanjang lapan hari karnival berlangsung selepas kejadian itu.

Peniaga kedai tudung, Rosidah Mohamad, 36, yang mengalami kerugian lebih RM8.000 berkata, bencana itu berlaku begitu pantas menyebabkan dia hanya sempat berdoa supaya semuanya selamat.

“Tiada lebih penting selain nyawa dan saya tidak putus-putus berdoa supaya kami semua berada dalam keadaan selamat serta diberikan perlindungan oleh-Nya dalam saat-saat genting seperti ini,” katanya.

Rosidah berkata, kejadian itu tidak pernah memutuskan semangatnya, malah dia semakin kuat untuk terus mencari rezeki bagi menampung kos perbelanjaan keluarga.

“Musibah ini tidak pernah sesekali saya kesalkan kerana ia sudah suratan dan kehendak-Nya. Sebagai hamba, saya menerima dugaan ini dengan reda dan yakin bahawa segala sesuatu yang berlaku itu pasti ada hikmah di sebaliknya,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Tanjung Gemok, Noor Azhar Abu Bakar berkata, kejadian bencana alam itu bukan pertama kali berlaku kerana kejadian sama pernah berlaku di kawasan tapak ekspo itu.

“Ia merupakan kejadian ketiga sepanjang tempoh lima tahun dan kejadian ini berlaku tanpa dijangka,” katanya. -SH

Bomoh Siam Sebabkan Kematian Pemuda Dicari

Kuala Terengganu: Bomoh wanita berketurunan Siam dikenali Kak Yah (gambar), dipercayai dapat membantu siasatan kes pembunuhan seorang pemuda selepas menerima rawatan tradisional di sebuah rumah di Kampung Pulau Rusa, Marang, Khamis lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk Jamshah Mustapa, berkata bomoh berusia 43 tahun yang juga dikenali Kak Mah bersama suaminya, diperlukan bagi melengkapkan siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Walaupun tidak mempunyai butiran lengkap pengenalan diri Kak Yah, kita, sudah menjejaki alamat tetap suaminya Norhisham Mustafa, 33, di Kampung Parit Air, Rantau Panjang, Kelantan,” katanya di sini, semalam.

Dalam kejadian Khamis lalu, seorang pemuda berusia 26 tahun yang dipercayai mengalami gangguan mental dihantar bapanya ke rumah bomoh itu untuk berubat kira-kira jam 8 malam dan bomoh wanita itu kemudian memaklumkan mangsa terkena sihir buatan orang.

Dalam proses rawatan mengeluarkan penyakit mangsa, bomoh memasukkan air menggunakan salur paip getah menerusi mulut supaya mangsa memuntahkan penyakitnya tetapi sebaliknya mangsa lemas kerana ususnya dipenuhi air.

Melihatkan mangsa tidak sedarkan diri, Kak Yah berhelah dengan meminta keluarga membawa pemuda itu ke Pusat Kesihatan Gong Balai, Marang, kononnya untuk menghilangkan keletihan akibat rawatan tetapi ketika tiba di klinik itu pada jam 12.30 pagi, pegawai kesihatan mendapati mangsa sudah meninggal dunia.

Jamshah berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai bomoh terbabit diminta menghubungi balai polis berdekatan atau menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang, Asisten Superintendan Mohd Adli Mat Daud di talian 013-4398633 atau 09-6182222. -BH

Berita sebelum ini


SYABAS Dikecam Kerana Gagal Selenggara Logi Hingga Bekalan Air Terganggu

SYABAS Gagal Selenggara Loji, Punca Gangguan Bekalan Air

SHAH ALAM 22 JUN : Kerajaan negeri Selangor menegaskan gangguan bekalan air yang berlaku dibeberapa daerah adalah disebabkan kerja- kerja penyelenggaran loji rawatan air Sungai Selangor, dan bukannya disebabkan bekalan air yang tidak mencukupi.

EXCO Selangor, Elizebeth Wong berkata tindakan SYABAS menjadikan rundingan penstrukturan semula sebagai alasan gangguan bekalan air itu, amat dikesali.

Walhal, ia adalah kegagalan SYABAS yang tidak menyelenggara loji rawatan itu itu sejak tahun 1997, sehingga berlakunya gangguan bekalan air itu.

"Saya ingin menekan bahawa gangguan ini bukan disebabkan kekurangan bekalan air, tetapi kerja-kerja penyelenggaraan oleh Syabas.

"Kenyataan pihak Syabas hari ini menyalahkan rundingan penstrukturan semula aset air langsung tidak tepat, penswastaan aset air telah dilaksanakan pada tahun 1997 dan sejak itu, Syabas tidak menjalankan kerja- kerja menaiktaraf kepada loji-loji perawatan air yang sepatutnya," katanya.

Gangguan bekalan air yang diumumkan SYABAS dilaporkan akan berlanjutan selama tiga hari dan menjejaskan kira- kira sejuta penduduk di daerah Petaling, Hulu Selangor, Gombak dan juga Kuala Lumpur.


Elizebeth turut menyeru kepada rakyat Selangor agar jangan terpedaya dengan khabar angin yang mengatakan negeri ini akan mengalami krisis air dalam masa terdekat berikutan kadar simpanan air masih mencukupi.

Mengikut Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), kedudukan tahap simpanan air empangan pada 21 Jun 2011 adalah seperti yang berikut :

- Empangan Sungai Selangor - 98.81%
- Empangan Sungai Tinggi - 99.17%.
- Empangan Sungai Batu - 100%.
- Empangan Klang Gate - 100%.
- Empangan Sungai Semenyih - 100%
- Empangan Sungai Langat - 100%.
- Empangan Tasik Subang - 96.88%

Sehubungan itu, kerajaan Negeri Selangor menyeru Kementerian Tenaga, Air dan Teknologi Hijau (KeTTHA) untuk menilai semula kecekapan dan keupayaan Syabas ini dalam pengurusan sistem bekalan air kepada penduduk negeri yang termaju di Malaysia.

Elizebeth menambah, kerajaan negeri telah membuat persediaan untuk menangani masalah sekiranya jangkaan musim kering atau fenomena El-Nino melanda Malaysia.

"Kerajaan Negeri Selangor akan tetap berusaha memastikan bekalan air yang mencukupi kepada semua.

Pada tahun ini, kami telah memeriksa dan memastikan semua empangan dalam keadaan yang baik dan cukup untuk membekalkan sumber air kepada semua loji-loji pembersihan air di Selangor," jelas Elizebeth. -tvsnews


Simpan air dalam periuk, plastik


BEG plastik hitam yang biasanya digunakan untuk membungkus sampah bertukar fungsi menjadi bekas menyimpan bekalan air di Medan Selera Kelana Jaya, Petaling Jaya semalam.

KUALA LUMPUR – Sebahagian besar penduduk Kuala Lumpur dan Petaling Jaya mula berjimat cermat menggunakan air sambil melakukan apa sahaja cara untuk menyimpan air berikutan gangguan bekalan selama tiga hari akibat kerja-kerja penyelenggaraan loji di Ijok, Hulu Selangor mula dilaksanakan semalam.

Tinjauan Kosmo! di beberapa lokasi yang terjejas mendapati ramai penduduk sudah menyimpan bekalan air untuk keperluan sehingga esok dengan menggunakan pelbagai peralatan daripada baldi, bekas plastik, karung sampah hingga periuk.

Pengusaha taman asuhan kanak-kanak (Taska) di Taman Bukit Mayang Mas, Petaling Jaya, Rosalind Adedeji, 45, mengakui kelam-kabut menyimpan air sejak malam kelmarin selepas mendapati tekanan air di rumahnya semakin rendah.

“Saya terpaksa menyimpan air pakai periuk dan besen, harap-harap cukup sampai Jumaat ini (esok),” katanya semasa ditemui semalam.

Muka depan Kosmo! semalam melaporkan hampir 800,000 pengguna di sekitar Kuala Lumpur dan Petaling Jaya bakal mengalami gangguan bekalan air selama tiga hari bermula semalam hingga pagi esok.

Antara kawasan yang terlibat adalah sebahagian daripada Kuala Lumpur termasuk keseluruhan Bukit Kiara, Hulu Selangor, Gombak dan Wilayah Petaling.

Gangguan tersebut berikutan penutupan operasi Loji Rawatan Air Syabas di Sungai Selangor, Ijok, Hulu Selangor untuk kerja-kerja penyelenggaraan bekalan. -kosmo



Sama Seperti Dilakukan Terhadap Kelantan, Kini Putrajaya Rancangkan Kerugian Untuk Pulau Pinang

Kuala Lumpur, 22 Jun : Putrajaya 'mengakui' telah merancang kerugian bagi projek mendalamkan terusan utara di Pulau Pinang yang bernilai RM300 juta menurut Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi.

Berdasarkan jawapan lisan yang dikemukakan Timbalan Menteri Pengangkutan di parlimen hari ini, kementerian itu menjelaskan telahpun mengambil kira penjejasan prestasi kewangan Penang Port Sdn Bhd (PPSB), akibat kelewatan mendalamkan Pelabuhan Pulau Pinang.

"Ini bermaksud kementerian mengakui kelewatan dan menyebabkan kerugian ialah sesuatu yang telah dirancang. Kerajaan telah merancang kerugian untuk melandasi Penang Port Sdn Bhd," kata beliau kepada media.

Projek PPSB di bawah kelolaan Kementerian Kewangan itu kini berdepan dengan kerugian sebanyak RM100 juta akibat terbengkalai seraya menimbulkan keresahan tentang kos lebihan yang terpaksa ditanggung.

Jeff menyifatkan kerajaan gagal memainkan peranan bagi memastikan projek yang melibatkan suku bilion ringgit itu siap pada jangkamasa yang ditetapkan bagi mengelak kos berlebihan ditanggung.

"Saya rasa ini sikap transformasi yang terumbang-ambing. Mana transformasi kalau kerugian itu telah dirancangkan seperti mana yang disebut," jelasnya lagi.

Terusan dengan kedalaman 15 meter itu dijangka siap pada 2013, terbengkalai sehingga kini berikutan kerja- kerja tersebut tidak dapat diteruskan.

Sehubungan dengan itu Pengarah Pengurusan PPSB, Datuk Ahmad Ibnihajar pada Mei lalu menyatakan PPSB akan mengalami kerugian berjumlah RM100 juta sekiranya projek tersebut masih tergendala.

PPSB sebelum ini telah menghubungi Kementerian Kewangan dan Unit Perancang Ekonomi (EPU) beberapa kali, menuntut penjelasan mengenai perkara itu namun tidak mendapat respon. -tvsnews



Ulasan GB

Kerajaan UMNO BN Pusat mmemang sejak dari dulu akan berusaha mencari jalan "menekan" kerajaan-kerajaan negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat.

Sewaktu Terengganu diperintah oleh PAS, bayaran royalti dinafikan, tetapi sebaik saja ianya diperintah UMNO BN, kerajaan Pusat telah membayar RM1 billion kepada kerajaan Terengganu.

Kelantan sehingga hari ini dinafikan bayaran royalti yang menjadi haknya itu.

Kenyataan Tun Dr Mahathir sendiri merupakan bukti nyata dasar "binatang" kerajaan UMNO BN bersifat zalim dan kejam terhadap Kelantan:

Q: In the recent state assembly sitting in Kelantan Datuk Mustafa Mohamad admitted he asked you to stop developing Kelantan when PAS took over Government...

Dr M : Well not only Mustafa but all the rest of Umno felt you should not develop Kelantan because if you do they will tell people..."Look even if you don't vote for BN you will still get development, so why bother to vote for BN?" - that's what PAS will say and that has always been a problem with PAS even in my constituency. If a village is supportive of PAS and i were to give a bridge or whatever PAS will tell people "Look you don't have to support the Government so support us." Because of that we had to hold back.




Berdasarkan kezaliman dan kekejaman UMNO BN tersebut, maka tiada pilihan lain:

TUKARKAN KERAJAAN PUSAT DARI BN KEPADA PR