Dari kiri: Muhamad fariz, Mohd Sahadam dan Mohd Zailani
Besut - Tiga remaja lelaki cedera dan pengsan selepas disambar petir ketika sedang berteduh daripada hujan bersama sembilan yang lain di sebuah wakaf di Kampung Durian Telur, Pasir Akar, Hulu Besut, semalam.
Kejadian berlaku kira-kira 5.30 petang ketika mereka yang berumur antara 15 hingga 40 tahun berteduh di pondok berkenaan sementara menunggu hujan reda.
Mohd Sahadam Nik Mar, 17, Muhamad Fariz Ismail,15, dan Mohd Zailani Keria, 23, yang semuanya berasal dari Kampung Durian Telur di sini dikejarkan ke Hospital Daerah Besut oleh penduduk kampung kira-kira 6.15 petang.
Keadaan ketiga-tiga mereka yang masih dirawat di hospital dilaporkan stabil.
Menurut rakan mangsa, Saiful Bahari Ramli, 15, yang turut berteduh di wakaf itu berkata, ketika kejadian secara tiba-tiba kilat dan petir memanah ke arah sebatang pokok berhampiran wakaf tersebut menyebabkan mereka bertiga rebah dan tidak sedarkan diri.
Selepas melihat keadaan ketiga-tiga mereka terjatuh manakala yang lain melarikan diri kerana panik, katanya kepada Bernama ketika ditemui di hospital di sini, hari ini.
"Sebaik hujan reda penduduk yang dimaklumkan mengenai kejadian itu kemudian datang menyelamatkan mangsa dengan menghantar mereka ke hospital," katanya.
Katanya lagi ketika kejadian, ada di antara mereka yang menggunakan telefon bimbit untuk berbalas khidmat pesanan ringkas (SMS).- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.