24 Apr 2011

Blogger Sabahkini.Net Tak Gentar Hadapi Saman Rais

Blogger sabahkini.net, Sdra Mutalib M.D. (gambar) menyatakan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Mohd Rais Yatim wajar menghadiri Persidangan Blogger Asean.

Sekalipun menteri berkenaan telah memfailkan saman terhadapnya berhubung dakwaan Sabahkini.net bahawa beliau terlibat dengan Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang dianggapnya sebagai fitnah, namun katanya beliau amat gembira jika Rais menghadiri Persidangan Blogger Asean hari ini (Ahad).

Sebagai Blogger Profesional, beliau tidak kisah atau terkilan jika Rais dijemput untuk menjadi moderater bagi sesi pleno forum yang bertajuk ‘Parameters-The Fine Between What’s Allowed and What’s Not’ kerana beliau merasakan Rais wajar berdepan dengan para Blogger termasuk dirinya, kerana itu tugas beliau sebagai Menteri yang menjadi ‘Penyibuk’ kepada Blogger selama ini, tulis Mutalib di dalam blognya hari ini.

Mengikut program yang terdapat dalam jadual, beliau menyatakan beliau akan menjadi panel untuk membincangkan tajuk di atas yang dipengerusikan oleh Datuk Zaini Hassan (Timbalan Ketua Pengarang Utusan Malaysia); namun katanya beliau tidak gentar jika Rais hadir bersama peguamnya (atau ditemani Peguam Negara) sekalipun untuk menjadi moderator atau peserta, tambahnya.

Bagaimanapun beliau tetap dengan keputusannya untuk tidak melayan sebarang saman yang beliau failkan sehinggalah polis menyelesaikan siasatan ekoran laporan polis yang dibuat oleh ‘Chegu Bard’ yang mewakili Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM).

Namun agak malang kerana urus setia mungkin tidak melayan ‘hasrat gila’ beliau untuk berhadapan dengan Rais Yatim atas faktor keselamatan dan demi menjaga nama baik Penaung Blog House Malaysia (Penganjur) Tun Dr Mahathir Mohammad dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang akan menyampaikan ucaputama di majlis berkenaan sekitar jam 10.55 pagi..

Mungkin beliau akan menjemput Rais merasmikan Persidangan Blogger Sabah menjelang ‘Persidangan Agung Persatuan Blogger Sabah’ pada 20 Disember 2011 sekiranya beliau didapati tidak terlibat dengan Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang masih dalam siasatan polis; itu pun jika beliau masih menjadi menteri kerana pilihan raya umum dijadualkan pada November 2011.




PM: K'jaan tak takut hadapi pandangan blogger

Kerajaan tidak pernah takut dengan kehadiran penulis blog, malah sebaliknya ingin menjadi sebahagian daripada mereka serta mengetahui pandangan mereka, termasuk yang bersifat membina, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Saya percaya hubungan ini akan menjadi hubungan penting yang berlandaskan sikap saling menghormati. Mungkin kita tidak boleh mempunyai pendapat yang serupa sepanjang masa, tapi kita tidak boleh bermusuhan.

"Apa yang penting bagi kita ialah mengetengahkan pandangan anda (penulis blog), termasuklah pandangan yang bersifat membina dan dengan cara ini kita dapat sama-sama membina sebuah negara Malaysia dan masa depan yang lebih baik untuk kita," kata Najib dalam ucaptama beliau pada Persidangan Penulis-penulis Blog Rantau Malaysia-Asean Pertama di ibunegara hari ini.

Turut hadir penaung Blog House Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, presiden Blog House Malaysia Syed Akbar Ali dan isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Najib berkata era 'kerajaan tahu semuanya' sudah berlalu dan kini kerajaan perlu mengetahui pandangan serta kritikan para penulis blog yang mewakili masyarakat Malaysia.

"Tapi, kita perlu wujudkan garis sempadannya; jika kita gunakan ruang siber untuk menyebarkan pembohongan dan hal-hal separuh benar, ia suatu perbuatan yang tidak betul. Saya bersetuju dengan Tun Dr Mahathir bahawa perlu ada garis sempadan yang tidak boleh kita langgar," katanya.

Najib berkata sekiranya penulis blog tidak melampaui garis yang ditetapkan, beliau percaya mereka boleh memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan yang lebih gemilang untuk Malaysia dan Asean.

Katanya, kerajaan yang memerintah bukan saja dicabar oleh gerila dan tentera upahan yang dilengkapi pelbagai senjata canggih, tetapi juga oleh laskar siber yang melancarkan peperangan virus melalui pengunaan papan kekunci dan pad kekunci serba canggih serta telefon pintar seperti yang dapat dilihat dalam perang "Twitter" di Iran dan Revolusi "Facebook" di Mesir.

"Kita juga antara peminat Facebook paling tegar - terdpat 10.1 juta pengguna FB. Saya berani mengatakan bahawa Malaysia memiliki sfera blog paling meriah di dunia dan semangnya yang cukup bebas, walaupun mungkin bukanlah yang paling bebas.

"Sekali lagi, rakyat Malaysia perlu berterima kasih kepada Tun Dr Mahathir tentang hal ini. Ketika beliau menjadi Perdana Menteri dan Malaysia sedang membangunkan Koridor Raya Multimedianya, Tun berjanji kepada dunia, Malaysia tidak akan menapis kandungan Internet. Kerajaan pimpinan saya komited sepenuhnya terhadap pandangan bijak beliau itu; kami tidak akan memungkiri janji beliau,"
katanya.

Najib berkata beliau yakin Internet merupakan enjin bagi pertumbuhan ekonomi serta portal yang menjadi hidangan untuk masyarakat berilmu.

"Ini terpakai bagi semua masyarakat, malah kerajaan yang tidak begitu berminat dengan sisi demokrasi yang terdapat pada demokrasi digital pun boleh menggunakan bahagian digitalnya kerana implikasi ekonomi yang terdapat padanya terlalu besar untuk diketepikan.

"Media sosial, blogging dan microblogging, mampu merapatkan hubungan antara negara kerana untuk julung kalinya dalam sejarah manusia, orang boleh berkomunikasi antara satu dengan lain secara tepat masa dan tanpa perlu menunggu berhari-hari atau berminggu-minggu untuk mendapatkan surat," katanya.

Persidangan dua hari itu, yang bermula semalam dengan tema "Blogging Mindfully and Responsibly", dianjurkan Blog House Malaysia.

Persatuan ini menyediakan platform yang memiliki mekanisme defensif bagi melindungi golongan penulis blog yang menghasilkan tulisan tentang Malaysia dan yang berpusat di Malaysia.

Matlamat persidangan ini adalah untuk menghimpunkan penulis blog dari rantau Asean dan mengetengahkan kekangan yang mereka hadapi serta rintangan yang mungkin mereka alami dalam menangani pelbagai isu. - Bernama


[Video & Bergambar] Taufan Melanda Lapangan Terbang Lambert-St Louis

Lapangan Terbang Lambert-St Louis, Amerika Serikat ditutup setelah tornado melanda terminal utamanya.

Taufan tersebut telah merosakkan sebahagian besar bumbung terminal, meremukkan jendela dan menyebarkan sampah sarap.

Beberapa orang cedera ringan dalam kejadian ini.

Pengelola lapangan terbang Lambert-St Louis menyatakan semua penerbangan dibatalkan sambil menunggu siasatan keselamatan dan pembersihan.

Badai, yang merupakan salah satu dari serentetan taupan yang melintasi bahagian tengah dan timur Missouri, juga merosakkan beberapa rumah di kawasan, merobohkan pokok dan menumbangkan jaringan kabel elektrik.

Ketua Polis St Louis County Tim Fitch, yang berada di lapangan terbang ketika badai melanda, menyatakan orang-orang yang menyaksikan tornado tiba-tiba berlari untuk menyelamatkan diri.

Dianna Merrill, yang sedang menungu penerbangan ke New York, menyatakan kaca berterbangan ke segala arah. "Langit-lagit runtuh... angin meniupkan sampah sarap ke mana-mana," katanya.

"Itu seperti sebuah filem seram. Orang dewasa turut menangis. Mengerikan," katanya.













Naib Canselor UUM Hina MB Kedah Hanya Layak Urus Sekolah Pondok, Katanya

Alor Setar - Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak (gambar) digesa memohon maaf terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berikutan kenyataannya kelmarin, yang dianggap tidak menghormati pemimpin tertinggi negeri.

Desakan itu dibuat oleh Dewan Pemuda Pas Negeri Kedah (DPPNK) berikutan kenyataan lantang Dr Mohamed Mustafa yang menyifatkan Azizan hanya layak mengurus sekolah pondok, setelah Azizan mencabar Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menyerahkan UUM untuk diambil alih Kerajaan Negeri apabila universiti itu mempertikai pembayaran cukai tanah bernilai RM1.7 juta setahun.

Timbalan Ketua Pemuda Pas Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, DPPNK memandang pandang serius perkara ini kerana selaku pegawai kerajaan, beliau tidak sepatutnya bertindak seperti itu,” katanya.

Muhammad Sanusi yang juga Setiausaha Politik Menteri Besar berkata, Kerajaan Negeri berhak terima atau tolak permohonan rebat cukai tanah.

“Ia tidak terkecuali pada mana-mana tuan tanah, sama ada golongan berada atau petani sekalipun. Tiada yang merungut pun kecuali UUM, mungkin kerana mereka faham tanggung jawab sebagai pemilik tanah,” katanya.

Mengulas mengenai kenyataan Dr Mohamed Mustafa yang mempertikai kemampuan Kerajaan Negeri untuk mengurus UUM kerana memerlukan bajet yang tinggi, mencecah RM300 juta setahun untuk mengurus 15,000 pelajarnya, Muhammad Sanusi berkata, Kerajaan Negeri mampu mengurus 2 juta penduduk hanya dengan pendapatan RM500 juta.

“Cukai tanah yang perlu dibayar UUM cuma 0.6 peratus daripada bajet berkenaan,” katanya.

Muhammad Sanusi turut mempertikai tujuan isu cukai tanah dan bekalan air di UUM dibangkitkan oleh Dr Mohamed Mustafa, memandangkan KPT sebelum ini tidak pernah mempersoal pembayaran cukai tanah terbabit.

Menurutnya, kewibawaan Azizan untuk mentadbir sebuah pusat pengajian tidak harus dipertikaikan, berikutan beliau berpengalaman selama 21 tahun dalam bidang IPT.

“Azizan pernah menjadi Ketua Jabatan di UKM, selain antara pengasas UIA dan menubuhkan fakulti syariah dan undang-undang di Universiti Mindanao, Filipina. Beliau juga yang memperluas program Kolej Universiti Insaniah daripada tujuh program kepada 42, malah membina kampus induk di Kuala Ketil dengan sumber terhad tanpa bantuan kewangan Pusat,” katanya.

Muhammad Sanusi berkata, UUM tidak perlu memandang rendah terhadap pengurusan sekolah pondok, kerana pentadbiran pondok sekarang lebih baik. -SH

Raja Petra bersedia beri keterangan polis hanya di hotel

Kemunculan Raja Petra Kamaruddin (RPK) di Bangkok semalam untuk memberi ucapan kepada Malaysian Civil Liberties Movement (MCLM) telah menarik perhatian polis, dan polis cuba mengambil keterangan daripada blogger yang kontroversial ini di Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok.

Bagaimanapun, cubaan ini gagal apabila RPK menyatakan bahawa dirinya hanya bersedia memberi keterangannya kepada polis di hotel. "Drama" ini akhirnya melabuh tirai, menurut tulisan RPK dalam Malaysia Today, apabila ACP Aziz yang ditugaskan untuk mengambil keterangannya "tidak lagi berminat untuk berbuat demikian".

RPK dijadualkan untuk berucap kepada MCLM pada jam 6 petang semalam di Bangkok. Sebelum ia bermula, RPK didampingi seorang pegawai polis dari Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok dan meminta agar RPK mengikutnya ke Kedutaan Besar untuk diambil keterangan. RPK dimaklumkan bahawa ACP Aziz dari Kuala Lumpur sedang menunggunya.

Sebelumnya, Timbalan Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar mengesahkan bahawa pegawainya telah meminta agar RPK memberi keterangan setelah mengetahui RPK akan muncul di Bangkok, menurut The Star Online. Keterangan ini diambil berikutan laporan polis yang dibuat oleh satu pertubuhan bernama Jaringan Melayu Malaysia.

Bagaimanapun, dalam tulisan RPK di Malaysia Today, beliau berkata ada pihak telah membuat satu laporan polis berdasarkan "liputan Utusan Malaysia terhadap wawancara TV3 bersama RPK", yang menyebabkan dirinya diminta untuk diambil keterangan.

Satu wawancara TV3 bersama RPK telah disiarkan sebelum hari pengundian PRN Sarawak, antaranya penjelasan RPK terhadap tuduhan yang dibuatnya dalam Akuan Bersumpah, yang mengaitkan isteri Perdana Menteri sekarang, Rosmah Mansor dalam pembunuhan Altantuya Shaariibuu. Beliau juga melontarkan kritikan terhadap Ketua Pembangkang Parlimen Anwar Ibrahim dalam bahagian kedua wawancara yang disiarkan.

RPK bagaimanapun menafikan dirinya "membelot" dari perjuangan, malah Presiden MCLM Haris Ibrahim mendakwa wawancara yang disiarkan tersebut disunting sehingga "terpesong dari konteks sebenarnya". Namun demikian, wawancara tersebut memberi peluang kepada Perdana Menteri Najib Razak untuk mendakwa bahawa nama dirinya telah dibersihkan. -MR

Lapan Juvana Mengaku Salah Belasah Pelajar Sekolah Agama

Marang: Lapan pelajar berumur antara 15 hingga 17 tahun pada Ahad mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan menceroboh kawasan sekolah dan memukul seorang pelajar sekolah agama pada 7 April lalu.

Kesemua tertuduh terdiri daripada empat pelajar Tingkatan Lima, seorang pelajar Tingkatan Empat dan tiga pelajar Tingkatan Tiga sebuah sekolah di sini.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Insp Mahathir Mohd Yusof secara tertutup di hadapan Majistret Nur Azizah Yusoff.

Bagi pertuduhan pertama, mereka didakwa menceroboh sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) di sini, antara 11 pagi hingga 11.30 pagi 7 April lalu.

Perbuatan itu merupakan kesalahan bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang membawa hukuman penjara enam bulan atau denda tidak melebihi RM3,000 atau kedua-duanya sekali.

Untuk pertuduhan kedua, kesemua pelajar itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada mangsa yang berusia 17 tahun, pada masa dan tempat yang sama.

Kesalahan bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman satu tahun penjara atau denda tidak lebih RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Semua tertuduh dibenarkan diikat jamin sebanyak RM1,500 setiap seorang bagi kedua-dua pertuduhan.

Majistret menetapkan 24 Mei ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan akhlak kesemua tertuduh. -BERNAMA

Tomboy Dicekup Celah Pukat

Dungun – Rahsia sulit seorang ‘tomboy’ yang sering menjadikan timbunan pukat di jeti perikanan sebagai lokasi untuk melepak bersama sekumpulan lelaki terbongkar apabila port sosial itu diserbu polis narkotik, di Kuala Dungun pagi kelmarin.

Aktiviti yang menimbulkan rasa curiga bagi nelayan yang menggunakan jeti terbabit untuk aktiviti memunggah hasil tangkapan itu telah mendapat perhatian pihak berkuasa, lalu satu operasi khas untuk membongkar rahsia mereka dilakukan.

Hasilnya, tujuh ditahan termasuk seorang wanita berimej tomboy dari Bijangga yang didapati positif dadah menjawab persoalan bahawa lokasi itu dijadikan sarang penagih dadah di kawasan sekitar.

Serbuan diketuai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah, Assistan Superintendan Saravanan Shanmuggan, turut menahan seorang penagih berulang yang pernah ditahan dalam serbuan sebelumnya.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan tangkapan terbabit dan kesemua mereka ditahan untuk siasatan lanjut mengikut seksyen 3 (1) Akta Penagihan Dadah Rawatan dan Pemulihan 1983 kerana positif morfin. -SH

Integriti Polis Dipertikai Lagi, RPK Belum Bagi Kenyataan

Raja Petra belum beri kenyataan, peguam tikai motif polis

Raja Petra Kamarudin belum memberikan sebarang kenyataan kepada polis Malaysia di Bangkok ekoran pertikaian mengenai tujuan siasatan polis ke atas blogger kontroversial itu, kata peguamnya hari ini.

Malam tadi, polis mahu mendapatkan keterangannya di Kedutaan Malaysia di Bangkok.

“Tiada kenyataan diberikan kepada polis setakat malam tadi,” kata peguam Haris Ibrahim kepada The Malaysian Insider menerusi kenyataan SMS sebentar tadi.

Dalam pada itu, maklumat diperoleh dari portal Malaysia Today pagi ini menyebut polis mahu menyiasat Raja Petra berhubung aduan bahawa dia telah berbohong dalam temu bual disiarkan TV3 dua minggu lalu.

Oleh itu, entri ringkas Malaysia Today hari ini berkata wujud ‘kebuntuan’ dan peguam-peguamnya meminta polis yang mahu bertemu dengan Raja Petra menunjukkan salinan aduan dibuat ke atasnya.

“Nampaknya polis mahu mengambil keterangan Raja Petra di bawah Seksyen 203, satu jenayah membuat kenyataan palsu berhubung temu bual dengan TV3 di Perth, Australia.

“Satu laporan polis dibuat terhadap Raja Petra mendakwa dia berbohong dalam temu bual TV3,” kata tulisan itu. -TMI


Permintaan Bukit Aman untuk ambil keterangan RPK di Bangkok

KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Khalid Abu Bakar mengesahkan bahawa pengendali portal berita Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin (RPK) telah dipanggil memberi keterangan di Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok, Thailand.

Khalid berkata keterangan itu diambil oleh pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Bukit Aman yang ditugaskan untuk bertemu RPK di negara itu.

Beliau berkata keterangan itu diambil selepas satu laporan polis yang dibuat oleh Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) mengenai pengakuan RPK bahawa beliau tidak pernah menuduh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor terlibat dalam kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

“Kita yang meminta beliau untuk memberi keterangan dan beliau bersetuju untuk membantu pihak polis,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Walaubagaimanapun, Khalid berkata RPK tidak ditahan setelah memberi keterangan berkenaan.

“Tiada sebab untuk kita menahan beliau kerana beliau telah berikan kerjasama dalam memberi keterangan,” katanya. - Bernama


Ulasan GB

Mabuk kepala rakyat baca dua berita berbeza untuk hal yang sama.

GB nak tanya polis, kenapa kalau UMNO & PERKASA buat laporan polis pantas betul polis buat kerja dan jika laporan polis dibuat oleh Pakatan Rakyat, polis bertindak seperti pondan tua malah ada laporan polis terus tak siasat lansung?

Pelajar Dicekup Khalwat Bersama Boyfriend Dalam Hotel

Georgetown: Biarpun baru sehari mengenali seorang lelaki, kesanggupan si gadis mengikut temannya menjadi detik malang apabila ditahan kerana disyaki berkhalwat di sebuah hotel di Jalan Tanjung Tokong, di sini, awal pagi semalam. Gambar fail

Lebih mengejutkan, gadis berusia 23 tahun yang dipercayai penuntut sebuah institusi pengajian tinggi dekat sini, ditemui berdiri keadaan berbogel di penjuru bilik ketika pemeriksaan.

Pasangannya pula yang juga jurugambar bebas berusia 23 tahun didapati berseluar panjang denim tanpa baju.

Ketika pemeriksaan dilakukan jam 1.30 pagi, pasangan berkenaan dipercayai menyewa sebuah bilik dan tidak membuat pendaftaran masuk dipercayai bagi mengelak kehadiran mereka dikesan pihak berkuasa.

Bagaimanapun, sebuah motosikal yang diletakkan di luar perkarangan hotel berjaya membongkar segala aktiviti maksiat mereka sebelum pemeriksaan menyeluruh dilakukan di hotel.

Ketika pemeriksaan di bilik berkenaan, turut ditemui sehelai baju dan seluar dalam milik gadis itu di atas sofa dan ia dirampas untuk dijadikan barang kes.

Pasangan itu antara 10 pasangan berusia 20 hingga 30-an yang ditahan sepasukan 16 pegawai penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) dalam operasi itu.

Operasi diketuai Ketua Unit Operasi JHEAIPP, Khairul Azman Azizan, bermula jam 10 malam hingga 7 pagi itu dibantu sepasukan 13 pegawai penguat kuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN) Pulau Pinang.

Operasi itu juga merangkumi beberapa lokasi ‘panas’, termasuk Persisiran Pantai Sungai Pinang, Pantai Seagate dan Pantai Queensbay serta beberapa hotel sekitar Gelugor, Jalan Tengku Kudin dan Jalan Tanjung Tokong.

Menurut Khairul Azman, tujuh pasangan ditahan kerana kesalahan berkhalwat manakala tiga lagi pasangan ditahan kerana berkelakuan kurang sopan atau tidak senonoh di tempat awam.

“Semua yang ditahan dibawa ke Pejabat JHEAIPP untuk tindakan selanjutnya, termasuk membuat laporan tangkapan di Balai Polis Lebuh Pantai,” katanya.

Apabila Mustafa Ali Mengadu Diftnah....

Mustafa nafi laporan media, gesa mohon maaf

Datuk Mustafa Ali menafikan laporan beberapa media termasuk Utusan Malaysia hari ini, yang mendakwa beliau berkata PAS akan menilai semula kedudukan dalam Pakatan Rakyat selepas siasatan video seks selesai.

Sambil kesal dengan sikap tidak bertanggungjawab akhbar pro Umno itu, Setiausaha Agung PAS itu berkata, laporan tersebut berniat jahat dan sengaja memanipulasikan kenyataannya.

Katanya, dia sama sekali tidak pernah mengaitkan isu video seks dengan kedudukan PAS dalam Pakatan Rakyat pada sidang media di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, semalam.

"Saya ditanya berhubung saranan bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang mencadangkan (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) melakukan sumpah mubahalah.

"Jadi saya jawab, perkara itu tidak timbul kerana kerajaan sekarang ini menggunakan undang-undang sivil, Polis siasat sahajalah.

"Kalau ubah kes ini ke Mahkamah Syariah, baru kita (PAS) tengok kembali apa pendirian kita dalam isu tersebut," katanya.

Akhbar Utusan Malaysia hari ini menyiarkan laporan sidang media Mustafa semalam itu dengan tajuk 'PAS tunggu siasatan selesai'.

Laporan itu menyebut bahawa PAS akan membuat ketetapan baru mengenai masa depan parti itu dalam pakatan pembangkang, apabila siasatan mengenai rakaman video seks yang pelakonnya dikatakan mirip Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim siap sepenuhnya.

Selain Utusan, beberapa media lain termasuk Berita Harian dan The Star turut melaporkannya.

Sehubungan itu, beliau mahu media-media yang terlibat agar memohon maaf serta memperbetulkan laporan mereka sebelum tindakan perundangan diambil. -HD

Ulasan GB

Selalu GB menyatakan bahawa di dalam kehidupan kita hukum karma atau "sunnatullah" akan sentiasa berlaku. Ia tidak berubah, firman Tuhan.

Datuk Mustafa kali ini "difitnah" namun beliau (dan kita juga) perlu akur bahawa tidakkah media arus perdana akan sentiasa memutar-belitkan berita daripada pimpinan PR? Bukankah itu sudah menjadi tugas mereka?

Semalam GB mengadiri Muktamar PAS Kawasan sebagai perwakilan dan perasmi muktamar (mungkin tanpa sengaja) mengimbau kembali kejadian kegagalan 16 Sept.

Umum mengetahui peristiwa itu, dimana, akhirnya Datuk Mustafa ditegur oleh Mursyidul Am PAS.

Kisah itu kisah lama, tetapi jika ia belum "dibersihkan" dengan sepenuhnya maka, "hantunya" akan terus berkeliaran meracau mangsa. Itu pun sunnatullah juga.

Jangan pula terperanjat GB menggunakan istilah "hantu" di atas, ia hanyalah satu gantinama terhadap "dirty energy" yang ada pada aura manusia dan alam sekelilingnya.

Para ilmuan sentiasa mengkaji "sunnatullah" ini untuk menemukan jawapan-jawapan dan memecahkan persoalan terhadap beberapa kemusykilan yang dihadapi oleh manusia di mayapada ini dan diantaranya ialah Fibonacci.

GB tidak mahu mengulas panjang mengenai isu fitnah ke atas Datuk Mustafa tersebut, tetapi kita semua sepatutnya ambil iktibar dari kejadian tersebut.... dan semuga pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli PAS & PR akan sentiasa terpelihara dan dilindungi Allah s.w.t. daripada difitnah terus-terusan oleh si pemfitnah keparat tersebut. u, Untuk menadapat "perlindungan" itu maka jalan mudahnya, kita jangan wujudkan fitnah kepada jemaah. Allah tidak pernah tidur dan tidak pernah pula lalai.

Paderi Bakar Quran Hanya Sempat Dipenjara 1 Jam

Detroit: Paderi Amerika Syarikat yang membakar naskhah al-Quran hingga mencetuskan kejadian keganasan di Afghanistan dipenjarakan selama satu jam, kelmarin selepas mahkamah mengharamkan bantahannya di luar sebuah masjid di sini.

Hakim tempatan memenjarakan Terry Jones dari Gainesville, Florida dan pembantunya, Wayne Sapp selepas mahkamah mendapat tahu mengenai rancangan mereka untuk mengadakan bantahan di luar Pusat Islam AS di Dearbon boleh mendorong kepada insiden kaganasan.

Ketika hadir di mahkamah, Jones mempertikaikan kitab suci umat Islam itu dengan mengatakan ‘al-Quran mendorong aktiviti pengganas di seluruh dunia’.

Dia juga memberitahu dia berhak untuk membantah Islam dan dilindungi di bawah Pindaan Pertama Perlembagaan AS. “Pindaan Pertama tidak memberi faedah jika ia menyekat kebebasan kita untuk menyuarakan sesuatu isu,” katanya.

Namun, Ketua Polis Dearbon, Ronald Haddad mendakwa, jabatannya menerima maklumat daripada penduduk tempatan mengenai ancaman serius oleh Jones dan menekankan bantahannya itu boleh menimbulkan insiden keganasan.

Pendakwaraya Robert Moran berkata, bantahan Jones tidak mempunyai kaitan dengan Pindaan Pertama Perlembagaan dan perkara perlu diutamakan adalah keselamatan serta keamanan masyarakat.

Hakim Mark Somers kemudian mengarahkan Jones dan Sapp dipenjarakan kerana enggan membayar denda AS$1 (RM3). Namun selepas satu jam berada di dalam penjara, kedua-duanya mengubah fikiran lalu membayar denda itu sebelum dibebaskan. - AFP

Polis Tak Lagi Bersembunyi Laksana Operasi Trafik, Saman Ekor Patut Dihapuskan

Shah Alam: Polis tidak lagi menjalankan tugas secara bersembunyi dalam operasi melibatkan lalu lintas, kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Khalid Abu Bakar.

"Kita tidak lagi menyorok balik tiang, kita saman terus dan kalau sudah kena saman jangan lupa bayar," katanya ketika mengadakan sesi dialog dengan 1,000 belia India pada Majlis Sehari Bersama Polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini Sabtu.

Khalid membuat kenyataan itu apabila seorang peserta dialog mengutarakan mengenai kekerapan kehadiran polis di jalan raya sejak kebelakangan ini menyebabkan pemandu lebih berdisiplin berbanding sebelum ini di mana ada anggota polis yang menyorok di hujung jalan dan kemudian keluar dari persembunyian dan menahan pesalah trafik.

Khalid kemudian memberitahu sidang media bahawa kehadiran anggota polis secara ketara dalam operasi lalu lintas telah dimulakan tidak berapa lama dahulu.

"Jangan terkejut bila kena saman...kita tidak seharusnya menyorok, kita akan keluar dan menguatkuasakan undang-undang," katanya.

Selain daripada peningkatan kehadiran polis bagi meningkatkan disiplin pemandu, pemandu juga diingatkan bahawa polis juga menggunakan kamera dan beberapa alat lain untuk mengesan kesalahan mereka, katanya.

Mengenai usaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) membanteras gejala samseng di kalangan masyarakat India di Selangor, Khalid berkata selain didakwa di mahkamah, polis juga melakukan tindakan pencegahan.

"Tahun lepas 300 orang telah kita tahan di bawah undang-undang pencegahan, tindakan terhadap gangsterism dibuat secara berterusan itu sebab tidak ada kumpulan kartel jenayah atau mafia yang berkuasa di negara ini," katanya.

Khalid juga berkata PDRM tidak lagi melihat belia dan persatuan belia sebagai pelanggan sebaliknya melihat belia sebagai rakan dan persatuan belia sebagai rakan kongsi.

Liputan media terhadap isu negatif yang melibatkan golongan belia seperti rempit, buang bayi, pergaulan bebas, penagihan dadah dan pil-pil khayal semakin menguatkan perasaan kurang senang masyarakat terhadap belia kita pada hari ini tetapi persepsi negatif ini perlu diperbetulkan, katanya. - BERNAMA

Ulasan GB

Sepatutnya sudah lama polis trafik melakukan kerja secara profesyenal.

Apa yang berlaku sebelum ini polis bersembunyi di celah tiang, dalam longkang, di celah pokok untuk melakukan apa yang dikenali sebagai "saman ekor" yang mana sekalipun kaedah itu dikatakan untuk mengurangkan kenderaan dipandu laju melebihi had, namun ia tidak pun berkesan.

Malah ia lebih dilihat oleh rakyat, polis sengaja melakukan demikian untuk mencari duit... melalui saman-saman ekor yang mereka keluarkan sehingga berjuta-juta ringgit banyaknya sedangkan kadar kemalangan jalanraya terus meningkat.

Dengan itu juga rakyat menuntut agar semua saman ekor yang dikenakan ke atas rakyat sebelum ini dihapuskan kerana ia menyalahi undang-undang.

GB telah mengulas sebelum ini. Petikan:

bawa berjuta-juta rakyat yang tak bayar saman ekor ke mahkamah kerana mahkamah yang berhak menentukan samada tindakan polis berkenaan betul atau salah.

Kita perlu hentikan salahlaku pihak polis dan JPJ yang menyenaraihitam pemandu kerana mahkamah telah membuat keputusan di dalam kes Leonard Lim Yaw Chiang lwn Director of Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Sarawak & Anor [2009] 6 CLJ 280 yang telah memutuskan bahawa tindakan JPJ menghalang pemilik kenderaan memperbaharui cukai jalan di bawah Seksyen 17(1)(d) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (APJ 1987) tanpa siasatan dan alasan yang wajar adalah salah di sisi undang-undang dan bertentangan dengan Perkara 13 Perlembagaan Malaysia.



Jangan Perjudikan Keselamatan Rakyat Dengan Loji Lynas

SAM gesa Putrajaya batal terus loji Lynas

Sahabat Alam Malaysia (SAM) hari ini menggesa Putrajaya agar membatalkan terus projek loji nadir bumi di Gebeng dekat Kuantan bagi mengelak nasib Bukit Merah, Ipoh dua dekad lalu berulang.

“Putrajaya sudah terbukti salah di Bukit Merah dan ia telah memberikan kesan besar kepada masyarakat di kawasan itu selain turut menghidapi penyakit ekoran terdedah kepada radiasi.

“Kami tidak mahu satu lagi insiden sama berlaku. Kami menggesa Putrajaya membatalkan projek Lynas Corporation di Gebeng,” kata Presiden SAM, S. M. Mohamed Idris dalam satu kenyataan.

Jelas beliau, masyarakat yang tinggal di Gebeng akan menerima kesan yang sama seperti di Bukit Merah ekoran terdedah kepada kadar radiasi yang boleh menjejaskan tahap keselamatan mereka.

“Mengikut pengalaman kami yang telah mengendalikan kes nadir bumi di Bukit Merah menunjukkan pakar-pakar yang diambil Putrajaya dan syarikat itu telah memastikan semua aspek keselamatan diambil kira.

“Bagaimanapun pakar-pakar yang dilantik masyarakat mendapati ia tidak selamat dan merekodkan bacaan sinaran radioaktif yang tinggi di kawasan itu.

“Justeru masyarakat di Gebeng yang sudah terdedah kepada radiasi akan berhadapan dengan risiko lebih besar sekiranya projek ini diteruskan,” katanya.

Lynas Corporation, sebuah syarikat dari Australia dijangka memulakan operasi loji pembersihan nadir bumi di Gebeng ini - yang mana proses pembinaan loji memprosesan sedang dibina.

Tindakan Putrajaya mahu membina kilang nadir bumi di Gebeng mendapat tentangan banyak pihak.

Mengulas cadangan Putrajaya mahu mewujudkan satu panel bebas mengkaji tahap keselamatan projek nadir bumi (gambar) itu, Mohamed berkata ia hanya untuk mententeramkan kebimbangan masyarakat yang tinggal di kawasan itu.

Tambah Mohamed, hasil kajian itu perlu diumumkan secara terbuka kepada masyarakat setempat agar mereka boleh membuat penilaian berhubung status projek nadir bumi itu.

“Kami rasa kajian ini adalah satu lakonan untuk mengurangkan desakan rakyat. Kenapa tidak hentikan sahaja projek ini?

“Kenapa perlu adakan projek yang tidak selamat ini? Adakah pelaburan asing tidak mengambil kira aspek kesihatan rakyat dan penerimaan mereka?” kata beliau sambil menambah, “sudah tentu, aspek kesihatan dan keselamatan dan persekiran harus diambil kira termasuk dalam projek komersial.”

Kata beliau, masyarakat sekitar Kuantan dan Gebeng mempunyai hak untuk mengetahui individu yang akan membuat kajian tersebut.

“Kami mahu menentukan objektif kajian itu dan apa impaknya dan hasil kajian juga harus diumumkan secara terus kepada masyarakat agar mereka boleh buat penilaian,” katanya.

Semalam, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata satu panel bebas akan ditubuhkan secepat mungkin bagi menjalankan kajian terhadap aspek kesihatan dan keselamatan loji itu bagi menolak kebimbangan bahawa ia menimbulkan ancaman radioaktif.

“Kajian itu dijangka siap dalam tempoh sebulan dan lima hingga tujuh pakar antarabangsa yang diperakui dalam bidang radiasi akan dilantik menganggotai panel itu, yang ditubuhkan susulan maklum balas daripada orang ramai,” katanya.

Mustapa berkata sehingga kajian itu selesai dan sementara menunggu keputusan kerajaan, tiada lesen praoperasi akan dikeluarkan kepada Lynas oleh Lembaga Pelesenan Tenaga Atom. -TMI