24 Apr 2011

Blogger Sabahkini.Net Tak Gentar Hadapi Saman Rais

Blogger sabahkini.net, Sdra Mutalib M.D. (gambar) menyatakan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Mohd Rais Yatim wajar menghadiri Persidangan Blogger Asean.

Sekalipun menteri berkenaan telah memfailkan saman terhadapnya berhubung dakwaan Sabahkini.net bahawa beliau terlibat dengan Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang dianggapnya sebagai fitnah, namun katanya beliau amat gembira jika Rais menghadiri Persidangan Blogger Asean hari ini (Ahad).

Sebagai Blogger Profesional, beliau tidak kisah atau terkilan jika Rais dijemput untuk menjadi moderater bagi sesi pleno forum yang bertajuk ‘Parameters-The Fine Between What’s Allowed and What’s Not’ kerana beliau merasakan Rais wajar berdepan dengan para Blogger termasuk dirinya, kerana itu tugas beliau sebagai Menteri yang menjadi ‘Penyibuk’ kepada Blogger selama ini, tulis Mutalib di dalam blognya hari ini.

Mengikut program yang terdapat dalam jadual, beliau menyatakan beliau akan menjadi panel untuk membincangkan tajuk di atas yang dipengerusikan oleh Datuk Zaini Hassan (Timbalan Ketua Pengarang Utusan Malaysia); namun katanya beliau tidak gentar jika Rais hadir bersama peguamnya (atau ditemani Peguam Negara) sekalipun untuk menjadi moderator atau peserta, tambahnya.

Bagaimanapun beliau tetap dengan keputusannya untuk tidak melayan sebarang saman yang beliau failkan sehinggalah polis menyelesaikan siasatan ekoran laporan polis yang dibuat oleh ‘Chegu Bard’ yang mewakili Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM).

Namun agak malang kerana urus setia mungkin tidak melayan ‘hasrat gila’ beliau untuk berhadapan dengan Rais Yatim atas faktor keselamatan dan demi menjaga nama baik Penaung Blog House Malaysia (Penganjur) Tun Dr Mahathir Mohammad dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang akan menyampaikan ucaputama di majlis berkenaan sekitar jam 10.55 pagi..

Mungkin beliau akan menjemput Rais merasmikan Persidangan Blogger Sabah menjelang ‘Persidangan Agung Persatuan Blogger Sabah’ pada 20 Disember 2011 sekiranya beliau didapati tidak terlibat dengan Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang masih dalam siasatan polis; itu pun jika beliau masih menjadi menteri kerana pilihan raya umum dijadualkan pada November 2011.




PM: K'jaan tak takut hadapi pandangan blogger

Kerajaan tidak pernah takut dengan kehadiran penulis blog, malah sebaliknya ingin menjadi sebahagian daripada mereka serta mengetahui pandangan mereka, termasuk yang bersifat membina, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Saya percaya hubungan ini akan menjadi hubungan penting yang berlandaskan sikap saling menghormati. Mungkin kita tidak boleh mempunyai pendapat yang serupa sepanjang masa, tapi kita tidak boleh bermusuhan.

"Apa yang penting bagi kita ialah mengetengahkan pandangan anda (penulis blog), termasuklah pandangan yang bersifat membina dan dengan cara ini kita dapat sama-sama membina sebuah negara Malaysia dan masa depan yang lebih baik untuk kita," kata Najib dalam ucaptama beliau pada Persidangan Penulis-penulis Blog Rantau Malaysia-Asean Pertama di ibunegara hari ini.

Turut hadir penaung Blog House Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, presiden Blog House Malaysia Syed Akbar Ali dan isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Najib berkata era 'kerajaan tahu semuanya' sudah berlalu dan kini kerajaan perlu mengetahui pandangan serta kritikan para penulis blog yang mewakili masyarakat Malaysia.

"Tapi, kita perlu wujudkan garis sempadannya; jika kita gunakan ruang siber untuk menyebarkan pembohongan dan hal-hal separuh benar, ia suatu perbuatan yang tidak betul. Saya bersetuju dengan Tun Dr Mahathir bahawa perlu ada garis sempadan yang tidak boleh kita langgar," katanya.

Najib berkata sekiranya penulis blog tidak melampaui garis yang ditetapkan, beliau percaya mereka boleh memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan yang lebih gemilang untuk Malaysia dan Asean.

Katanya, kerajaan yang memerintah bukan saja dicabar oleh gerila dan tentera upahan yang dilengkapi pelbagai senjata canggih, tetapi juga oleh laskar siber yang melancarkan peperangan virus melalui pengunaan papan kekunci dan pad kekunci serba canggih serta telefon pintar seperti yang dapat dilihat dalam perang "Twitter" di Iran dan Revolusi "Facebook" di Mesir.

"Kita juga antara peminat Facebook paling tegar - terdpat 10.1 juta pengguna FB. Saya berani mengatakan bahawa Malaysia memiliki sfera blog paling meriah di dunia dan semangnya yang cukup bebas, walaupun mungkin bukanlah yang paling bebas.

"Sekali lagi, rakyat Malaysia perlu berterima kasih kepada Tun Dr Mahathir tentang hal ini. Ketika beliau menjadi Perdana Menteri dan Malaysia sedang membangunkan Koridor Raya Multimedianya, Tun berjanji kepada dunia, Malaysia tidak akan menapis kandungan Internet. Kerajaan pimpinan saya komited sepenuhnya terhadap pandangan bijak beliau itu; kami tidak akan memungkiri janji beliau,"
katanya.

Najib berkata beliau yakin Internet merupakan enjin bagi pertumbuhan ekonomi serta portal yang menjadi hidangan untuk masyarakat berilmu.

"Ini terpakai bagi semua masyarakat, malah kerajaan yang tidak begitu berminat dengan sisi demokrasi yang terdapat pada demokrasi digital pun boleh menggunakan bahagian digitalnya kerana implikasi ekonomi yang terdapat padanya terlalu besar untuk diketepikan.

"Media sosial, blogging dan microblogging, mampu merapatkan hubungan antara negara kerana untuk julung kalinya dalam sejarah manusia, orang boleh berkomunikasi antara satu dengan lain secara tepat masa dan tanpa perlu menunggu berhari-hari atau berminggu-minggu untuk mendapatkan surat," katanya.

Persidangan dua hari itu, yang bermula semalam dengan tema "Blogging Mindfully and Responsibly", dianjurkan Blog House Malaysia.

Persatuan ini menyediakan platform yang memiliki mekanisme defensif bagi melindungi golongan penulis blog yang menghasilkan tulisan tentang Malaysia dan yang berpusat di Malaysia.

Matlamat persidangan ini adalah untuk menghimpunkan penulis blog dari rantau Asean dan mengetengahkan kekangan yang mereka hadapi serta rintangan yang mungkin mereka alami dalam menangani pelbagai isu. - Bernama


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.