15 Feb 2011

My Balik Pulau: Pulau Pinang Saman Adun Umno & Utusan

Risalah Balik Pulau: Pulau Pinang saman Adun Umno, Utusan

Kerajaan Pulau Pinang Pakatan Rakyat (PR) memutuskan untuk menyaman Ahli Dewan Undangan Negeri Umno kerusi Pulau Betong Muhammad Farid Saad dan Utusan Malaysia kerana terus membuat fitnah mengenai isu risalah My Balik Pulau kononnya lupa sejarah dan menghina orang Melayu.

Sehubungan itu, Ketua Menterinya Lim Guan Eng (gambar) berkata, beliau telah melantik firma guaman Karpal Singh & Co untuk menguruskan saman fitnah ke atas kedua-dua pihak berkenaan.

“Kerajaan negeri Pulau Pinang akan melantik syarikat guaman Karpal Singh untuk keluarkan saman malu atas Adun Umno Pulau Betong Muhammad Farid Saad dan Utusan Malaysia dengan fitnah mereka pada 2 Februari lalu bertajuk bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang telah mengedarkan buku risalah My Balik Pulau.

“Dalam laporan bertajuk Lupa Sejarah, Hina Melayu, kerajaan negeri PR Pulau Pinang didakwa mengedarkan risalah yang memperlekehkan sumbangan dan peranan orang Melayu di Balik Pulau,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Lim berkata, Utusan Malaysia milik Umno telah terus mangadu-dombakan isu itu dengan laporan susulan pada hari berikutnya yang berbentuk menghasut sentimen perkauman terhadap kerajaan negeri Pulau Pinang kononnya mahu meminggirkan sumbangan orang Melayu.

“Umno, Farid dan Utusan Malaysia telah meludah ke langit kerana yang keluarkan risalah My Balik Pulau tidak lain, tidak bukan adalah kerajaan BN negeri yang lama,” katanya, Lim berkata, risalah itu diluluskan oleh kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) sebelum era 8 Mac 2008 dan sebelum PR mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan negeri.

“Maka Farid patut tahu kerana beliau adalah sebahagian daripada pentadbiran kerajaan negeri lama. Lagipun beberapa penyokong kuat Umno beliau adalah penyumbang ke atas keluaran My Balik Pulau ini,” katanya lagi.

Lim menambah, sungguhpun kerajaan negeri telah menjelaskan perkara itu dan meminta Farid menarik balik dan meminta maaf atas sifat perkauman antibukan Melayu dengan pembohongan dan fitnah yang menganiayai kerajaan negeri Pulau Pinang atas sesuatu yang bukan salahnya, Farid enggan buat demikian.

Sebaliknya kata beliau, Utusan Malaysia meneruskan laporan palsu yang mendakwa kerajaan negeri mengeluarkan risalah My Balik Pulau yang sebenarnya dikeluarkan oleh Umno dan kerajaan persekutuan.

“Oleh itu kerajaan negeri telah membuat keputusan pada mesyuarat Exco minggu lepas untuk saman malu Adun Umno ini kerana telah menggembar-gemburkan risalah My Balik Pulau dengan sentimen perkauman di Utusan Malaysia yang membuat laporan besar bertajuk ‘lupa sejarah, hina Melayu’,” kata Lim.

Lim yang juga Setiausaha Agung DAP Kebangsaan berkata, penasihat undang-undang negeri telah menasihatkan agar beliau sebagai Ketua Menteri mengeluarkan saman malu untuk mewakili kerajaan negeri Pulau Pinang.

“Dalam keghairahan buat serangan hentam-keromo ke atas kerajaan negeri PR Pulau Pinang semua fakta dan kebenaran dilupai dan dibelakangkan.

“Sungguhpun yang bersalah adalah BN/Umno dan kerajaan persekutuan sendiri, serangan bertubi-tubi dijalankan ke atas kerajaan negeri PR Pulau Pinang yang dimangsakan sebagai kembiri hitam,” kata beliau lagi.

Lim menambah, kerajaan negeri Pulau Pinang tidak akan berdiam diri dan menanggung lagi kesalahan orang lain, khususnya Umno yang “jahat seribu jahat ini.”

“Politik rasis dan benci-membenci Umno dan BN untuk menutup skandal rasuah mereka mestilah dilawan berhabis-habisan, yang jelas sebagai reaksi terhadap pembongkaran skandal RM30 juta Pulau Jerejak yang berlaku di bawah Tan Sri Koh Tsu Koon yang serahkan Pulau Jerejak habis kepada UDA,” katanya lagi. -TMI

Mesir: Ikhwanul Muslimin Akan Daftar Sebagai Parti Politik

Kaherah - Pasca perletakan jawatan Presiden Mesir Husni Mubarak, Ikhwanul Muslimin merancang untuk membentuk parti politik. Ikhwan akan segera berubah menjadi sebuah parti politik setelah peraturan mengenai kepartian di negara itu diubah.

Dalam pernyatannya, Ikhwan menyatakan keinginannya untuk menjadi parti politik sejak beberapa tahun lalu. Namun semasa pemerintahan Mubarak, organisasi itu terhalang dengan peraturan tentang pembentukan parti politik.

“Saat keinginan untuk dapat membentuk membentuk parti wujud, kami akan membentuk parti politik,” demikian isi pernyataan Ikhwan seperti dikutip Reuters, Selasa (15/2/2011).

Ikhwan didirikan oleh ulama berpengaruh Hasan Albana pada 1920. Pendirian organisasi ini tidak terlepas dari keadaan sosio politik dan agama di Mesir. Mubarak selama ini memberikan kesempatan bagi Ikhwan untuk menjalankan aktivitinya, namun tidak boleh bersentuhan dengan politik.

Sebelumnya, Ikhwan menyatakan tidak berminat untuk turut serta dalam pemilihan presiden dan angota parlimen pada pemilihan umum akan datang. Tentera saat ini memegang tampuk pemerintahan setelah Mubarak menyerahkan mandatnya pada Jumaat minggu lalu.

Dewan tentera menyatakan akan menyerahkan kepemimpinan Mesir kepada rakyat dan menegakkan sistem demorkasi di Mesir.

Lesen Konsesi Air SYABAS Wajar Ditarik Balik

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini berkata kerajaan persekutuan perlu menarik balik lesen konsesi pembekalan air di Selangor oleh Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) kerana syarikat itu didakwa melanggar perjanjian konsesi.

Beliau berkata Pengawal Selia Air Selangor iaitu Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Negeri Datuk Nordin Sulaiman telah menulis surat kepada kerajaan Persekutuan dan Syabas bahawa tindakan syarikat itu mengutip balik kos 20 meter padu air yang disubsidi oleh kerajaan negeri kepada rakyatnya untuk Tabung Budi adalah menyalahi perjanjian konsesi.

"Jadi ini (tarik balik konsesi pembekalan air) telah ditulis surat oleh Pengawal Selia Air, kita masih menunggu jawapan daripada kerajaan Persekutuan," katanya pada sidang akhbar pada hari Selasa.

SYABAS telah menubuhkan Tabung Budi pada 24 Ogos 2009 melibatkan skim yang membolehkan pengguna air membayar balik kos 20 meter padu air yang disubsidi kerajaan negeri kepada rakyat Selangor setiap bulan, diserahkan kepada Syabas untuk dimasukkan ke dalam tabung itu.

Wang kutipan itu akan disalurkan kepada golongan kurang kemampuan yang tidak menerima 20 meter padu air percuma bagi mendapatkan semula air bersih ekoran kegagalan mereka membayar bil.

Abdul Khalid berkata Pengawal Selia Air Selangor adalah satu lantikan pegawai kerajaan negeri untuk memantau perjalanan penswastaan bekalan air di Selangor semasa perjanjian konsesi bekalan air ditandatangani antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan serta Syabas pada tahun 2004.

Abdul Khalid berkata Nordin telah mengutus surat itu kepada kerajaan Persekutuan dua minggu lepas.

Ketika ditanya jika kerajaan Persekutuan tidak setuju untuk menarik balik lesen konsesi air Syabas, Menteri Besar berkata:"Kita akan bawa ke mahkamah."

Abdul Khalid juga berkata Syabas telah memfailkan saman terhadap beliau kerana mengeluarkan kenyataan mengenai Tabung Budi dan anggota Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua berhubung kenyataan supaya pemegang konsesi air di Selangor memulangkan pegangan konsesi mereka kepada kerajaan negeri.

Pua yang turut hadir berkata kes saman itu disebut semalam di Mahkamah Tinggi Sivil Kuala Lumpur.

Abdul Khalid berkata:"Namun saman ini tidak mengubah pendirian kami dalam isu Tabung Budi. SYABAS tidak mempunyai hak untuk meminta pengguna-pengguna menyerah dana kepada SYABAS kerana dana tersebut diberi oleh kerajaan negeri melalui program pemberian air percuma 20 meter padu."

Katanya kerajaan negeri juga masih berpendapat perjanjian konsesi air dengan empat syarikat iaitu Syabas, Puncak Niaga (M) Sdn Bhd, Konsortium ABBAS Sdn Bhd dan Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH) perlu ditamatkan agar industri air negeri boleh diambil alih oleh kerajaan negeri.

Mengenai keengganan keempat-empat syarikat menerima tawaran pengambilalihan oleh kerajaan negeri Januari lepas, Menteri Besar berkata jika mereka tidak berpuas hati dengan harga yang ditawarkan, mereka boleh membawa perkara itu ke Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa untuk diputuskan.

Katanya kerajaan negeri juga telah meminta kerajaan Persekutuan membuat keputusan mengenai perkara itu kerana mengikut Akta Industri Perkhidmatan Air 2006, kerajaan Persekutuan mempunyai hak untuk menentukan harga pengambilalihan syarikat berkenaan dan apabila harganya telah ditentukan, keputusan itu tidak boleh dicabar di mahkamah.

Beliau berkata kerajaan negeri berharap perkara itu dapat diselesaikan sebelum hujung bulan ini.

Sementara itu, mengenai tarikh Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru Datuk Mohd Khusrin Munawi akan mengangkat sumpah simpan rahsia di depan beliau, Abdul Khalid enggan mengulas.

Pada 9 Feb lepas, Menteri Besar berkata Mohd Khusrin akan dibenarkan mengangkat sumpah simpan rahsia hanya selepas kerajaan negeri menyusun semula format mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri, yang dijangkakan pada minggu ini. -- BERNAMA

UPU Merlimau Utara Agih Bubur Assyura Kepada Penduduk Sempena Mauludir-Rasul

Sempena sambutan Mauludir-Rasul, UPU Merlimau Utara pada hari ini telah menyiapkan dan mengagihkan bubur asy-syura kepada penduduk tempatan.

Majlis membuat bubur Assyura diadakan secara bergotong royong oleh semua para petugas di UPU Merlimau Utara. Majlis bermula jam 9.00 pagi hingga 4.00 petang yang diketuai oleh Ustaz Nordin Md dahan, Pengarah Bilik Gerakan UPU Merlimau Utara.

"Kita telah agihkan kepada penduduk-penduduk di sekitar kawasan ini termasuklah beberapa buah isirumah di Kilang Berapi, Taman Harmoni, Taman M.U. dan Taman Muhibbah," kata seorang petugas yang terlibat mengagihkan bubur berkenaan.

"Program ini diharapkan dapat mengeratkan lagi ukhwah di antara penduduk tempatan dengan jentera parti yang kini sedang giat berusaha untuk mendekati hati masyarakat setempat," tambahnya lagi.

"Alhamdulillah, rata-rata masyarakat tempatan menerima kehadiran kami dengan baik," ujarnya.

Mengenai pilihanraya N27 DUN Merlimau yang akan diadakan pada 6 Mac ini, pihak UPU Merlimau Utara juga telah bersedia untuk menerima petugas-petugas luar yang mungkin akan datang sebelum penamaan calon yang berlansung pada 26 Februari ini.

Terdapat 7 peti Undi di dalam Dun Merlimau diantaranya ialah:

1. 139/27/01 – AYER MERBAU
2. 139/27/02 – CHINCIN
3. 139/27/03 – JASIN LALANG
4. 139/27/04 – MERLIMAU UTARA
5. 139/27/05 – MERLIMAU PASIR
6. 139/27/06 – PERMATANG SERAI
7. 139/27/07 – PENGKALAN SAMAK

Guru KAFA Pulau Pinang Terima Peruntukan RM150,000

Pulau Pinang beri RM150,000 pada guru Kafa

Kerajaan Pulau Pinang memperuntukan sejumlah RM150,000 untuk kira-kira 1,500 guru Kafa di negeri itu sempena sambutan Maulidur Rasul di negeri itu hari ini.

Ketua menterinya Lim Guan Eng berkata, setiap seorang akan mendapat RM100 seperti dicadangkan dalam mesyuarat exco negeri Khamis lalu.

"Pembayaran ini dapat dibuat kerana kerajaan negeri mengamalkan perbelanjaan berhemah; urustadbir CAT yang cekap, akauntabel dan telus; serta kempimpinan integriti, bersih dan bersih daripada rasuah," katanya sambil memberitahu perkara itu diakui oleh Laporan Ketua Audit Negara 2008 dan 2009 dan badang antarabangsa seperti Transparency International.

Katanya, kerajaan juga memberikan RM100 kepada guru Kafa sempena perayaan Awal Muharam dan duit raya kepada golongan itu sebanyak RM250 pada tahun lepas.

Sementara itu, mengulas sambutan Maulidur Rasul bertemakan "Wasatiah (Kesederhannaan) Tonggak Kecemerlangan Umah", Lim berkata kesederhaan Islam akan menolak dakwaan bahawa agama itu ekstrimis, mundur, miskin, tidak demoktratik dan korup.

Memetik pandangan ulama terkenal Mesir Dr Yusof Al Qaradhawi, Lim berkata, kesederhaan Islam bersumberkan kepada prinsip keadilan, konsisten dan keamanan serta menjadi lambang kepada kebaikan dan tunjang kekuatan.

"Kerajaan negeri percaya amalan kesederhanaan dalam kehidupan rakyat tanpa kira agama dan kaum akan dapat menyatupadukan rakyat untuk menikmati bersama kemakmuran, keamanan dan harmoni serta kamajuan membina modal insan," katanya. -mk

Mubarak Jatuh Sakit Selepas Letak Jawatan

Kaherah - Media Mesir mengeluarkan pelbagai laporan berhubung tahap kesihatan presiden Mesir yang disingkirkan, Hosni Mubarak, lapor sebuah akhbar semalam.

Kelmarin, sebuah akhbar Bahrain, Alwasat News menyatakan, Hosni kini tidak sedarkan diri. Sebuah lagi akhbar tempatan, Al Masry Al Youm pula melaporkan pemimpin tersebut tidak sedarkan diri sejak Sabtu lepas dan beliau berada di bawah penjagaan perubatan yang rapi.

Sebuah akhbar tempatan lain melaporkan Hosni jatuh sakit tetapi beliau enggan menerima rawatan perubatan.

Agensi berita rasmi Roee Nahmias semalam menafikan bekas presiden Mesir itu kini koma tetapi mengakui bahawa beliau jatuh sakit.

Bekas presiden berusia 82 tahun itu mengalami tekanan mental yang teruk dan menolak untuk dirawat walaupun beliau jatuh sakit, lapor sebuah lagi akhbar, Al-Gomhuria yang memetik beberapa sumber yang rapat dengan Hosni.

Menurut laporan tersebut, Hosni kini dipercayai berada di resort tepi pantai di Sharm el-Sheikh.

Dalam perkembangan berkaitan, Duta Mesir ke Amerika Syarikat (AS), Sameh Shoukry semalam tidak menolak bahawa kesihatan Hosni semakin terjejas ketika ditanya berhubung laporan media bahawa beliau mungkin diserang strok atau berada dalam keadaan koma.

"Saya mengikuti desas-desus dan laporan media tentang kesihatan beliau (Hosni) dan mendapat maklumat yang menunjukkan kesihatan beliau kini terjejas," kata Sameh dalam satu temu bual dengan program bual bicara Today Show terbitan NBC.

Bagaimanapun, duta berkenaan menegaskan: "Saya tidak mendapat maklumat mencukupi. Justeru saya tidak mahu membuat spekulasi tentang punca Hosni jatuh sakit."

Pada tahun lalu, Hosni berkunjung ke Jerman untuk menjalani pembedahan pundi hampedu.

Hosni meletak jawatan dan menyerahkan kuasa kepada tentera Mesir pada Jumaat lalu selepas 18 hari berdepan tunjuk perasaan anti-pemerintah.

Kepimpinan tentera yang baru telah membubarkan Parlimen dan menggantung perlembagaan negara kelmarin.

Sementara itu, pihak tentera yang memerintah negara itu selepas Hosni meletakkan jawatan meminta semua pekerja tidak melancarkan mogok dan protes di Dataran Tahrir.

Permintaan itu dianggap sebagai satu amaran sebelum pihak tentera melarang semua bentuk perhimpunan dan mogok.

Semalam, askar-askar membersihkan sampah sarap dan timbunan bangkai kereta serta khemah di Dataran Tahrir yang menjadi tempat para penunjuk perasaan berkampung sejak 25 Januari lalu bagi menuntut Hosni meletakkan jawatan. - Agensi


Update: Mubarak ill but not in coma says Egyptian State Media

Egypt's state media denied reports on Monday that former leader Hosni Mubarak was in a coma but admitted he was ill.

The Egyptian daily Al-Masry Al-Youm reported on Sunday that Mubarak was gravely ill and had slipped into a coma after mass protests forced him from power on Friday.

The 82-year-old former head-of-state is in a "severe psychological condition and is declining treatment, despite his illness," the pro-government Al-Gomhuria daily said, citing sources close to Mubarak.

He is now believed to be in the seaside resort of Sharm el-Sheikh. Last year, the longtime leader traveled to Germany for gall bladder surgery.

Mubarak stepped down and handed over power to the country's military on Friday, after 18 days of widespread anti-government demonstrations.

The new military leadership dissolved parliament and suspended the constitution on Sunday.


Bilangan Pengundi Di Parlimen Pekan Meningkat Mendadak

Peningkatan pengundi melampau di Pekan

TEMERLOH, 14 Feb: PAS Pahang menyifatkan Rang Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Keempat 2010 yang sedang dipamerkan pada masa ini mengalami pertambahan bilangan pengundi yang menakjubkan terutama di Parlimen Pekan.

Gambar: Lembu-lembu ini pun dikira pengundi baru? Illustrasi hiasan

Setiausaha Perhubungan PAS Pahang Roslan Zainal berkata, untuk suku tahun keempat sahaja terdapat pertambahan sebanyak 26,000 pengundi iaitu hanya dalam tempoh tiga bulan terakhir tahun lalu.

Sedangkan katanya, untuk tempoh tiga penggal (9 bulan) sebelum itu jumlah pertambahan pengundi hanya sekitar 29,000 sahaja.

“Bagi PAS Pahang ini amat menakjubkan kerana bagi tiga bulan terakhir sahaja hampir menyamai pendaftaran sembilan bulan,” katanya.

Menurut Roslan, paling menghairankan ialah pertambahan lebih 6,000 pengundi baru dalam masa tiga bulan itu di Parlimen Pekan yang diwakili Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Setelah disemak kita dapati pengundi-pengundi di pos-pos Orang Asli naik mendadak terutama di Parlimen Pekan dan Cameron Highlands. Selain itu kita dapati ramai pemilih-pemilih yang beralamat negeri Kedah terdapat di Pekan.

“Bagi PAS Pahang ini amat mencurigakan. Ini ditambah lagi dengan proses semakan dan bantahan dianjakkan sehingga hampir dua minggu, sedangkan keadaan seperti ini tidak pernah terjadi,” katanya.

Kata Roslan, PAS Pahang berpendapat senario ini mungkin satu agenda bagi mengekalkan Najib di Pekan setelah merasa kurang selamat.

Tambahnya, jika ini benar ia hanya mengulangi proses penambahan pengundi pada 2003 di mana semasa persempadanan semula kawasan pilihan raya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebahagian kawasan Parlimen Paya Besar dibawa ke Pekan dengan melibatkan dua buah kem tentera.

“Oleh yang demikian PAS pahang berpendapat sistem daftar pemilih SPR yang ada ini sudah lapok dan patut diganti setelah 53 tahun merdeka.

“Kerajaan pernah mendakwa mykad negara ini antara yang tercanggih di dunia jadi sepatutnya SPR boleh bekerjasama sengan Jabatan Pendaftaran Negara bagi membuat pandaftaran secara automatik apabila setiap warganegara berusia 21 tahun,” katanya.

Roslan juga turut menggesa sistem undi pos sekarang dihapuskan kerajaan jika benar dakwaan mereka bahawa negara ini selamat. -harakahdaily



Mahathir Tak Ingat Muka...

Ops Lalang: Saya ada jumpa pembangkang cuma tapi tak ingat muka, kata Mahathir

SHAH ALAM, 15 Feb — Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terus bertegas pemimpin-pemimpin pembangkang yang menemuinya lebih 20 tahun lalu sebelum mereka ditahan di bawah Ops Lalang seharusnya bercakap benar dan mengakui bahawa mereka ada menemuinya sebelum Ops itu dilaksanakan.

“Ia berlaku lebih 20 tahun lalu. Saya benar-benar ingat perjumpaan dengan mereka, saya tidak ingat wajah-wajah mereka. Saya pasti Karpal (Singh) bukan salah seorang daripadanya dan saya rasa (Lim) Kit Siang salah seorang daripada mereka,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM) di sini.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan pemberita sama ada beliau akan menyahut cabaran oleh pengerusi DAP Karpal Singh untuk menamakan anggota pembangkang yang menemuinya sebelum Ops Lalang dilaksanakan.

Dr Mahathir berkata sekiranya pemimpin pembangkang ikhlas dan tidak cenderung untuk berbohong, beliau merasakan mereka perlu mengakui yang mereka menemuinya sebelum operasi.

Katanya pemimpin-pemimpin pembangkang merayu kepadanya bagi mengelak penahanan mereka di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada tahun 1987, dan itu adalah sebabnya mengapa beliau menemui mereka supaya mereka tidak ditahan.

Dr Mahathir berkata: “Ia memalukan buat saya, selepas beri jaminan yang mereka tidak akan ditahan, mereka ditahan polis, dan sudah tentu saya terpaksa menandatangani perintah tahanan.”

Menyentuh laporan berita mengenai bekas timbalannya Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikatakan memiliki operasi perniagaan di Amerika Syarikat Dr Mahathir berkata: “Itulah memang kita tahu pun tapi bila kita nak dedah sesuatu kenalah ada bukti”.

“Dia kaya bukan miskin sebab itulah dia boleh pergi sana sini cerita karut kepada orang memburukkan nama saya itulah kerja dia,” katanya.

“Mungkin selepas ini saya akan terima surat peguam dari Anwar mengancam untuk menyaman saya bagi menutup mulut saya,” kata Dr Mahathir.

Sementara itu semasa ditanya sekiranya Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud perlu meletak jawatan sebelum atau selepas pilihan raya negeri Dr Mahathir berkata: “Ia terpulang kepada rakyat Sarawak untuk menentukannya, saya rasa mereka lebih tahu sama ada dia perlu berundur atau tidak.”

Bagaimanapun Dr Mahathir berkata sekiranya Taib hendak berundur, sepatutnya perlu ada seseorang untuk menggantikannya, bukan seperti bekas Presiden Mesir Hosni Mubarak yang meletak jawatan tanpa sebarang pelan pemindahan kuasa yang teratur. — Bernama

Ulasan GB

Mahathir pelupa, nyanyu atau nyanyuk atau sengaja mencipta alasan bahawa beliau tidak ingat?

Sehinggakan wajah orang yang ditemuinya pun sudah lupa?

Kalau kes ini di dalam mahkamah, dengan sendirinya beliau akan ditengking oleh hakim, sebab cuba menghina mahkamah dengan cuba mereka-reka andaian yang beliau sendiri tidak dapat membuktikan dengan sebenar siapa orang yang ditemuinya.

Mahathir cuba mencuci tangannya dari peristiwa Ops lalang.

Tidak semudah itu.

PRK Merlimau: PAS Tarik Diri? Karut!

PAS tidak akan menarik diri dari bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Merlimau, kata Yang DiPertua PAS Jasin, Kamaruddin Sidek.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat oleh PAS Pusat setelah diberi mandat oleh Pakatan Rakyat.

“Kalau ada berita PAS tarik diri, ia berita baru. Tetapi tidak bincang tentang tarik diri. Kalau hendak tarik diri tentu ada perbincangan tetapi hingga hari ini tidak ada perbincangan.

“Saya ingin tegaskan PAS kekal bertanding (di Merlimau) sebagaimana yang diputuskan dalam mesyuarat Pakatan Rakyat pada 11 Februari lalu.

“KIta telah pun membuat persiapan untuk PRK Merlimau. Wang pun sudah banyak dibelanjakan,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.

Kamaruddin berkata demikian ketika diminta mengulas khabar angin bahawa PAS akan menarik diri dari bertanding di Merlimau.

Alasannya ialah bagi mengelak kekalahan terus memandangkan Merlimau merupakan kubu kuat BN.

Khabar angin juga mendakwa PAS akan menyokong seorang calon bebas yang akan bertanding di Merlimau.

Mengulas lanjut, Kamaruddin berkata, “PAS tidak pernah menaja seseorang untuk menjadi calon bebas. PAS juga tidak menyokong calon bebas. Tetapi tidak tahu jika Umno terdesak untuk meletakkan calon bebas di Merlimau.”

PRK Merlimau diadakan berikutan kematian wakil rakyat Datuk Mohd Hidhir Abu Hassan pada 20 Januari lalu akibat serangan jantung.

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menetapkan 26 Febuari sebagai hari penamaan calon dan 6 Mac hari pengundian. PAS akan mengumumkan calonnya pada 24 Februari ini.

Empat nama yang dibincangkan oleh PAS semalam ialah Setiausaha Dewan Muslimat PAS Melaka, Kintan Man, Kamaruddin, Yang Dipertua PAS Jasin Jasme Tompang dan Timbalan Yang Dipertua PAS Jasin Yuhaizan Abdullah. -FMT

Kes Tanam Anak Belakang Rumah: Siasatan Dapati Bayi Cedera Di Kepala

Kuala Lumpur - Bedah siasat ke atas mayat bayi perempuan yang cuba ditanam di belakang rumah ibu bapanya di kawasan setinggan di Jinjang Utara semalam mendapati bayi itu mati akibat kecederaan di kepala.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Zakaria Pagan berkata hasil siasatan mendapati bayi tersebut dilahirkan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 3 Feb lepas sebelum dibawa pulang ke rumahnya pada lima hari lalu dan dipercayai tidak sihat.

"Bedah siasat yang dilakukan pada tengah hari tadi mengesahkan kematian bayi tersebut adalah kerana hentakan benda tumpul di kepala," katanya dalam kenyataan pada hari Isnin.

Beliau berkata bapa kepada bayi malang itu mendakwa anaknya mati akibat tercekik susu ketika isterinya keluar bekerja dan apabila isterinya pulang, dia menanam bayi tersebut kerana takut disoal siasat polis.

Katanya, curiga dengan keterangan bapa bayi tersebut, polis bertindak menahan lelaki berusia 38 tahun itu yang tidak mempunyai pekerjaan tetap untuk siasatan lanjut.

"Kita juga telah mengambil keterangan isterinya yang bekerja sebagai pelukis inai di Jalan Masjid India tetapi wanita berusia 29 tahun itu tidak ditahan," katanya.

Zakaria berkata terdapat kesan pasir dan tanah pada mayat bayi tersebut dan polis percaya mayat bayi malang itu telah ditanam tetapi kemudiannya dikeluarkan semula.

Katanya, mayat bayi perempuan tersebut dibalut dengan kain dan berada di dalam beg plastik ketika dijumpai.

Semalam kira-kira-kira pukul 6 petang, polis bergegas ke rumah tersebut selepas mendapat maklumat dari orang awam yang berasa curiga apabila terlihat sebuah lubang di belakang rumah pasangan terbabit sebelum menemui mayat bayi berkenaan.

Kes diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan disiasat di bawah Seksyen 302 Akta Kanun Keseksaan. -- BERNAMA

Berita semalam


Tanam anak belakang rumah

KUALA LUMPUR: Sepasang suami isteri ditahan selepas cuba menanam anak kelima yang meninggal dunia selepas 10 hari dilahirkan di dalam lubang di belakang rumah mereka di kawasan setinggan di Jinjang Utara, di sini, tengah hari semalam.

Kejadian kira-kira jam 1.45 tengah hari itu disedari seorang jiran pasangan terbabit selepas bapa bayi berkenaan datang meminjam cangkul dengan alasan untuk menanam uri bayinya yang baru dilahirkan.

Jiran pasangan itu, Mohd Ashaari Ulong, 56, berkata dia mengesyaki sesuatu dengan tindakan jirannya itu kerana tiba-tiba ingin meminjam cangkul dan menanam uri sedangkan bayinya lahir sejak 10 hari lalu.

“Pada masa sama, dia tidak pernah mendengar tangisan bayi dari rumah jirannya itu walaupun tahu isteri jirannya sudah melahirkan anak,” katanya ketika ditemui, semalam.

Katanya, berikutan rasa was-was itu, dia enggan meminjamkan cangkul.

“Saya meminta anak buah saya meninjau kawasan rumah lelaki itu sebelum dimaklumkan ada kesan timbusan tanah di belakang rumah terbabit.

“Mungkin ada sesuatu ditanam, saya menghubungi polis memaklumkan kejadian itu sebelum sepasukan polis tiba untuk membuat siasatan. Saya terkejut apabila polis menemui mayat bayi lelaki ditanam dalam lubang berkenaan,” katanya.

Sementara itu, menurut sumber, bayi lelaki itu ditemui dalam lubang yang baru digali di belakang rumah suspek yang juga ibu bapa bayi berkenaan.

Katanya, mayat bayi itu dihantar ke Bilik Mayat Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.

Berikutan itu, pasangan terbabit berusia 40-an yang ada kaitan dengan kejadian itu ditahan untuk siasatan lanjut.

Timbalan Ketua Polis Sentul, Superintendan Zainuddin Ahmad yang dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Setakat ini, polis sudah menahan sepasang suami isteri bagi membantu siasatan,” katanya. -hm

Pondan Pakai Gaun Wanita Ditemui Mati Dibunuh

George Town - Seorang lelaki yang berpakaian gaun wanita ditemui mati, dipercayai dibunuh di Lorong Love di sini hari ini.

ANGGOTA polis memeriksa mayat seorang lelaki berpakaian wanita yang mati dibunuh di Jalan Love, George Town semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng berkata, lelaki yang berusia dalam lingkungan 40-an yang dipercayai dihentak dengan tukul besi pada bahagian kepala itu mati di tempat kejadian.

"Menurut beberapa saksi, mangsa yang berjalan seorang diri di kawasan sebuah tokong tiba-tiba dihampiri seorang lelaki yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 dan memukulnya dengan tukul besi," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Lelaki yang masih belum dipastikan identitinya itu dipercayai pondan dan menjalankan aktiviti pelacuran di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, polis menemui tukul besi berhampiran tempat kejadian yang dipercayai digunakan sebagai senjata untuk membunuhnya.

Sementara itu, polis mencari sepasang suami isteri rakyat Myanmar bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang lelaki rakyat negara itu di Lebuh Victoria di sini, Jumaat lalu.

Gan berkata, pasangan suami isteri yang tidak memiliki dokumen perjalanan diri itu dikenali sebagai Nar Phet (suami) berusia dalam lingkungan 30-an manakala isterinya dikenali sebagai As, 20-an.

"Polis telah mengedarkan gambar pasangan berkenaan di seluruh negeri ini bagi menjejaki mereka untuk membantu siasatan pembunuhan rakan mereka," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Jumaat lepas, polis menemui mayat Kachut, 30-an, dengan kesan empat tikaman di dada dan kesan hentakan objek keras di kepala di asrama tempat kerjanya di sebuah rumah kedai di Lebuh Victoria di sini.

Gan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai pasangan berkenaan menghubungi pegawai penyiasat kes itu, ASP A.Sidambaram menerusi talian 019-4137974 atau balai polis berhampiran.

Sementara itu, beliau berkata, sebanyak empat daripada 39 kes kebakaran yang dilapor di negeri ini sejak Januari lepas diklasifikasi sebagai perbuatan khianat.

"Empat kes itu ialah di Jelutong, Pasar Anson, Komtar dan Lebuh Melaka.

Polis telah mengesan seorang lelaki dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV)," katanya. -Bernama

Isy, Warga Emas 62 Tahun Pun Dirogolnya...

Sungai Petani - Seorang buruh yang mengaku bersalah atas tuduhan merogol dan meliwat seorang warga emas hampir dua tahun lepas hari ini dihukum penjara berjumlah 16 tahun dan 12 sebatan.

Hakim Mahkamah Sesyen Sungai Petani, Zainol Saad memerintahkan hukuman ke atas tertuduh, Shariefuddin Arshad, 45, dari Serdang, Bandar Baharu dijalankan secara berasingan mulai tarikh dia ditangkap pada 27 Sept 2009.

Shariefuddin dituduh melakukan kesalahan tersebut secara berasingan ke atas jirannya seorang warga emas berusia 62 tahun di sebuah rumah di Taman Sri Wangsa, Serdang, dekat sini.

Dalam pertuduhan pertama, dia didakwa merogol jirannya itu antara pukul 7 dan 8 pagi, 6 Sept 2009.

Kesalahan itu adalah mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 20 tahun dan sebatan.

Bagi pertuduhan kedua, Shariefuddin didakwa melakukan persetubuhan di luar tabie pada tarikh dan tempat sama dan didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang 20 tahun dan sebatan.

Bagi pertuduhan pertama, Shariefuddin dikenakan hukuman penjara 10 tahun dan enam kali sebatan manakala pertuduhan kedua, dia dihukum penjara enam tahun dan enam sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Syazwani Syed Hussain memohon supaya hukuman penjara dijalankan secara berasingan sebagai pengajaran kerana mangsa mengalami trauma akibat kejadian tersebut. - Bernama

[Bergambar] Sultan Kelantan Bersama TG Nik Aziz Di Majlis Sambutan Maulidur Rasul, Peringkat Negeri Kelantan 1432 H


Kerajaan Negeri Kelantan dengan kerjasama MAIK - Majlis Agama Islam & Adat Istiadat Melayu Kelantan telah menganjurkan Majlis Sambutan Maulidur Rasul, Peringkat Negeri Kelantan 1432 H di Masjid Muhammadi Kota Bharu pada 14 Februari 2011, dimulakan dengan solat Maghrib/Isyak berjemaah, cemarah khas Maulidur Rasul, Bacaan Selawat dan jamuan rakyat.


Turut berangkat ke Sambutan Maulidur Rasul tersebut adalah KDYMM Sultan Muhammad V, Dato Bentara Setia Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Menteri Besar Kelantan, Dato Mohammad Yaakod (Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato Haji Husam Musa (Exco Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri Kelantan) serta exco-exco / saf kepimpinan kerajaan negeri Kelantan dan seluruh rakyat negeri Kelantan dari seluruh pelusuk negeri Serambi Mekah.

Ceramah khas sempena Maulidur Rasul disampaikan oleh Ustaz Hassan Mahmud A-Hafiz. Bacaan Selawat ke atas Nabi Muhammad S.A.W turut diadakan. Majlis berakhir dengan jamuan rakyat.












Bawa Anak Kecil Semasa Khalwat

Sepang: Taktik seorang duda menggunakan anaknya berusia setahun lapan bulan bagi mengaburi pihak berkuasa ketika asyik memadu kasih dengan pasangan berusia 21 tahun tidak menjadi apabila dicekup pihak berkuasa di sebuah hotel murah di Dengkil, semalam.

TAHAN...pasangan kekasih terbabit yang dicekup dalam operasi, semalam.

Mereka ditahan penguat kuasa Pejabat Agama Islam Daerah Sepang dalam operasi antizina di beberapa hotel murah di Dengkil dan Bandar Baru Salak Tinggi, kira-kira jam 2 pagi, selepas mendapat maklumat pasangan bukan mahrim terutama dari luar kawasan itu menjadikan hotel murah di kawasan itu bagi ‘meraikan’ hubungan sulit sempena Hari Kekasih.

Malah, ketika ditahan, duda berusia 27 tahun dari Dengkil itu hanya memakai seluar pendek dan tidak berbaju, manakala pasangannya sudah berpakaian lengkap.

Operasi bermula jam 10 malam dan berakhir jam 6 pagi itu diketuai pegawai penguat kuasa Majlis Perbandaran Sepang (MPS), Mohd Azran Musa bersama 25 anggota membabitkan penguat kuasa Majlis Perbandaran Sepang (MPS), Polis Diraja Malaysia dan penguat kuasa agama.

Pegawai Penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Sepang, Alfian Ahmad, berkata duda terbabit dipercayai membawa anaknya bagi melindungi kegiatan tidak bermoral bersama pasangannya.

Menurutnya, pada zahirnya, orang ramai akan menyangka pasangan itu suami dan isteri apabila ada anak kecil bersama di dalam bilik hotel berkenaan.

“Tetapi, hasil risikan kami membongkar rahsia pasangan itu tiada sebarang hubungan suami isteri dan anak kecil itu anak lelaki terbabit.

“Kami percaya lelaki terbabit menggunakan taktik membawa anak kecil itu bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Bagaimanapun, cara mereka memperalatkan kanak-kanak itu bagi menjayakan perbuatan maksiat mereka tidak berhasil apabila serbuan dilakukan penguat kuasa agama,” katanya ketika di temui dalam operasi itu, semalam.

Alfian berkata, siasatan turut mendapati lelaki terbabit sudah bercerai selain mempunyai seorang lagi anak dan memberikan alasan akan berkahwin dengan pasangan pada Jun depan. -hm

Giliran Blogger Pula Tinggalkan PKR, Cucumatkilau & Matsamankati Ucapkan Sayonara!

Selamat Jalan PKR

PKR pasca 2008, tak sama dengan PKR pra-2008. PKR sebelum menang, tak sama dengan PKR selepas menang.

Gambar: cucumatkilau (kiri) matsamankati (kanan)

Sebelum menang, macam-macam janji. Macam-macam harapan yang ditaburkan. Selepas menang, janji entah kemana, harapan entah kemana.

Aku dah baca banyak komen. Aku dah dengar banyak alasan. Aku dah tengok banyak contoh. Dan aku dah rasa banyak pengalaman.

Cukup lah sampai disini. Aku tak mau lagi bersubahat dengan mereka yang mungkir janji. Sebab mungkir janji itu adalah sifat munafik.

Aku tak mau dengar alasan lagi. Sebab alasan hanyalah helah untuk menutup kelemahan.

Aku tak mau kutuk lagi, sebab itu bukan contoh yang baik.

Dengan itu…aku mengambil sikap untuk berundur dari PKR. Aku bukan keluar PKR, sebab aku masih lagi memegang prinsip yang diperjuangkan. Tetapi aku tak sanggup lagi berada dalam PKR yang ada hari ini kerana ianya tidak lagi memegang prinsip yang diperjuangkan.

Maka dengan ini, aku mengisytiharkan, bahawa aku bukan lagi ahli PKR, bukan lagi penyokong PKR dan tidak ada kena mengena dengan PKR. Tetapi bukan bermakna aku memusuhi semua kerabat PKR. Masih ramai mereka yang didalam PKR yang aku hormati.

Tetapi oleh kerana ianya dipimpin oleh mereka yang tidak lagi aku hormati, maka aku tidak lagi mahu bersubahat dengan mereka.

Selamat jalan PKR. -ureka.asia


Blogger Cucumatkilau 'Secara Rasmi' Isytiharkan Keputusannya Keluar Dari Parti Keadilan Rakyat

KUANTAN, 11 Feb [12.03 pm] - Akhirnya Blogger Cucumatkilau @ Mohd Shukri Mohd Ramli (foto), 39, hari ini mengesahkan yang dirinya secara rasmi mengundurkan diri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR). Sidang media telah berjaya diadakan di Restoran Sg.Kita, Jalan Tanah Putih dekat sini jam 10.00 pagi tadi. Dengan keputusan ini juga bermakna beliau kini tidak lagi terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan parti itu.

Menurut Cucumatkilau keputusan yang diambil ini biar pun berat tetapi terpaksa ditelan jua memandangkan beliau mahu bergerak bebas dan menumpukan sepenuh perhatian kepada kerjayanya.

"Saya mahu berehat dan lupakan seketika dunia politik. Banyak benda yang perlu saya uruskan terutamanya berkaitan dengan keluarga. Saya mahu menumpukan sepenuh perhatian untuk membela nasib keluarga dan masa depan anak-anak", katanya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan keputusan yang diambil ini akan dicemuh dan dikutuk oleh ahli-ahli PKR terutamanya bagi mereka yang memang sejak sekian lama tidak bersetuju dengan pandangan saya.

"Orang boleh kata apa saja, namun niat saya untuk keluar memang sudah lama saya maklumkan cuma ia tidak secara rasmi. Kini barulah saya rasa bebas dan boleh menentukan hala tuju masa depan saya sendiri. Memang saya akui banyak tuduhan akan dilemparkan oleh mereka selepas ini. Itu hak mereka, tetapi hak saya perlu dipertahankan. Ketika saya jatuh, susah dan mengharapkan simpati tiada siapa yang mahu datang membantu tetapi bila saya memilih jalan hidup sendiri ramai pula yang mempertikaikan. Biasalah, buat baik pun orang akan mengutuk apatah lagi dengan keputusan berat yang saya ambil ini", tambah beliau lagi.

[Dalam pada itu, beliau juga tidak menolak kemungkinan akan kembali berpolitik suatu hari nanti jika ada kekuatan dan semangat untuk meneruskan perjuangan itu. Ikuti kenyataan beliau dalam blognya www.cucumatkilau.blogspot.com, terutamanya mengenai beberapa teguran dan nasihat buat mana-mana sahabat yang masih meneruskan perjuangan dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu sendiri.

Kami dan seluruh warga kerja Pahang Daily Online mengucapkan selama berehat untuk Cucumatkilau, semoga perjuangannya akan diteruskan dalam apa jua cara sekali pun.

Biar apa pun yang terjadi, kami yakin yang beliau telah memikirkan apa yang mahu dibuatnya. Keputusan yang dibuat itu adalah selepas beberapa lama membuka ruang perbincangan dengan sahabat terutamanya pemimpin PKR itu sendiri. Jika beliau seorang pengkhianat, lebih baik dia terus keluar dari PKR tanpa berbincang sebegitu lama. Namun, orang ramai yang mengenalinya saja yang boleh menilai apa yang dilakukannya ini. Bagi kami, hak peribadi beliau usahlah dipertikaikan kerana dia lebih mengetahui segala apa yang mahu dilakukannya sekarang. -pahangdaily


Ulasan GB

Apa yang GB katakan sebelum ini menjadi kenyataan.

Tindakan Anwar, Saifuddin dan Azmin sendiri yang menyebakan PKR jadi begitu menyebabkan ramai yang bertindak meninggalkan parti.

Dan anehnya pimpinan tidak memperbaikinya, sebaliknya terus mempertahankan kelemahan dengan nak jelajah satu negara baiki imej parti, kata mereka.

Petikan:

Imej parti nak dibersihkan dengan menjelajah satu Malaysia. Itu satu langkah yang baik. Setidak-tidaknya dari perspektif kekuatan PR sendiri supaya PKR tidak terus-terusan menjadi liabiliti kepada PR.

Tetapi pemulihan imej tidak hanya dapat dilakukan dengan sekadar menampal make-up di wajah yang telah hodoh sedangkan tak ambil langkah positif perbetulkan kelemahan yang menyebabkan PKR ditolak dan imejnya tercalar.

Ini zaman IT. Ini zaman orang berilmu, ini era twitter, era blogging, zaman orang berfacebook! Orangramai tidak semudah itu boleh menerima kata-kata ucapan retorik lagi.