24 Dis 2011

Bekas Menteri Di JPM, Abd Hamid Othman Meninggal Dunia

Kuala Lumpur: Bekas Penasihat Agama Perdana Menteri, Tan Sri Abdul Hamid Othman, 72, meninggal dunia akibat serangan strok di pejabatnya di Maju Junction, di sini, petang semalam.

Allahyarham yang juga Penasihat Maju Holdings Sdn Bhd dipercayai mendapat serangan strok ketika menjalankan urusan kerja sebelum meninggal dunia jam 4.45 petang.

Pegawai Peribadinya, Nor Azhar Mohd Yusof ketika dihubungi berkata, Allahyarham sihat seperti biasa, namun secara tiba-tiba kakitangan memaklumkan Allahyarham mengalami kesukaran bernafas.

“Kakitangan pejabat memanggil saya dan kami cuba memberi bantuan kecemasan termasuk bantuan pernafasan, namun lima minit kemudian Tan Sri sudah tiada,” katanya.

Allahyarham mempunyai sejarah penyakit sakit jantung dan diabetes.

Beliau berkata, jenazah Abdul Hamid dibawa pulang ke kediamannya di Taman Tenaga, Batu 9, Jalan Puchong. Allahyarham dilahirkan pada 21 Julai 1939 di Kampung Kemelong, Mukim Sik, Kedah pernah mengetuai Pusat Islam Malaysia di Jabatan Perdana Menteri sebagai Ketua Pengarah, Bahagian Hal Ehwal Islam. Abdul Hamid memegang jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri dari 1995 sehingga 1999. Sebelum itu pada 1990, beliau dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Pada 2001, Abdul Hamid dilantik sebagai Penasihat Agama kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan kemudian Penasihat Agama kepada Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dari 2005 hingga 2009.

Semasa hayatnya Allahyarham adalah penerima pertama biasiswa kerajaan Malaysia menuntut di Universiti Al-Azhar, Mesir, bersama empat orang lagi pelajar lain dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Perundangan Islam pada 1961.

Penasihat Agung Pusat Kebajikan Wanita dan Keluarga (Kewaja) itu meninggalkan seorang balu, Puan Seri Jamilah Mohd Said, 68, seorang anak dan menantu serta lima orang cucu. Jenazah Allahyarham dijangka dikebumikan di Puchong selepas solat Zuhur, hari ini. -hm

Ulasan GB

Di saat negara sedang kecoh membicarakan isu Menteri Jabatan Perdana Menteri, Jamil Khir Baharum kerana menyalahgunakan wang zakat untuk bayaran khidmat guamannya, dan pendedahan isu Tun Mahathir membuat pinjaman Bank Dunia semasa beliau menjadi PM, tiba-tiba kita dikejutkan dengan pemergian bekas Menteri di JPM dan juga Penasihat Agama kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Abdul Hamid Othman.

Di dalam PRU 10, Abdul Hamid Othman telah tewas kepada seorang calon PAS yang juga seorang Sasterawan Negara, Dato' Prof. Shahnon Ahmad yang pada ketika itu baru kali pertama mencuba dalam pilihan raya.

Setiap sesuatu peristiwa yang dijadikan Allah s.w.t. tidak ada yang sia-sia, apatah lagi soal "kematian" yang sepatutnya menjadi "guru" kepada yang masih hidup.

Justeru kepada kita yang masih hidup, apatah lagi kepada penggantinya di JPM itu dan juga kepada bekas PM yang pernah menggunakan khidmat nasihatnya, agar belajar dari kematian tersebut - bahawa Allah berkuasa mencabut nyawa kita pada bila-bila masa.

Innalillahi wainna ilahi rajiun.

Alfatihah.

3 ulasan:

  1. Alfatihah untuk arwah

    BalasPadam
  2. Aku,
    apabila mendengar, menziarahi, mengenang2 mereka2 yg telah pergi terutama mereka2 yg rapat dgnku (ibu bapa, sedara mara, sahabat dll) ... maka aku insaf sangat2 ..bila pulak giiran aku, sedngkan umurku dah masuk warga senja.. masa tu aku terfikir nak infakkan harta2ku & tumpuka pada amal ibadat, tak mau perbuatan laro & sia2ku masa muda2 dulu ku teruskan dll..

    tapi kadang2 bila bercampur gaul esp bidang kerjaku yg sangat2 mencabar, aku leka juga, beginilah manusia yg Allah dah sebut dlm alQuran, & diperincikan oleh hadis2 Nabi saw ..

    Ya Allah ampunkan kami,
    Jagn biarkan kami leka dgn kemewahan dunia hingga menlanggar perintahMu,
    Bimbing lah kami,
    Sayangilah kami, masukkan kami di kalangan mereka2 yang Kau redha & rahmati.

    Amin..

    BalasPadam
  3. pada pendapat aku, dari segi kerja dan idea utk memajukan sesuatu bidang beliau mmg hebat, macam Tan Sri Ahmad Sarji...

    itu kalau kita exclude politik -

    semoga Allah menerima kebajikan yg telah dia lakukan semasa hayat nya dan moga di ampuni dan dirahmati oleh Allah swt.

    AzMiR

    BalasPadam

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.