4 Nov 2011

Ribut Melanda Kuala Kedah

Alor Setar: Kira-kira 100 keluarga terpaksa menyambut Aidiladha Ahad ini di dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Bersatu di sini, selepas rumah mereka rosak teruk dipukul ribut, petang semalam.

Kejadian jam 3.30 petang di kawasan perumahan itu menyebabkan sebahagian rumah mangsa tidak selamat didiami.

Selain rumah, beberapa cermin kenderaan turut pecah akibat dihempap serpihan objek yang diterbangkan angin kencang, manakala ada kabel elektrik terputus menyebabkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) memotong sementara bekalan untuk tujuan keselamatan.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Gambar: SITI ZAHARAH ZAKARIA membersihkan cermin keretanya yang pecah di Taman Bersatu, Alor Setar semalam.

Difahamkan, kejadian ribut itu adalah yang pertama berlaku dan disifatkan terburuk oleh penduduk setempat sejak kawasan perumahan berkenaan didiami mereka lebih 20 tahun lalu.

Mangsa, Noraini Don, 48, berkata ketika kejadian beliau bersama anak lelakinya sedang berehat di dalam bilik, manakala suaminya, Md Reza Md Said tidur di ruang tamu sebelum sebahagian bumbung rumah mereka diterbangkan angin manakala siling ruang tamu tiba-tiba runtuh.


“Pada mulanya hujan lebat dan lima minit kemudian ribut kencang memukul bahagian atas rumah kami sehingga menyebabkan siling di ruang tamu runtuh.

“Mujur ketika itu, suami sempat menyelamatkan diri selepas terdengar bunyi dentuman di bahagian bumbung rumah,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Gambar: SHAMIR AZRIMI membetulkan atap bumbung rumahnya yang diterbangkan angin di Taman Bersatu, semalam.

Noraini berkata, kejadian itu sekali gus menyebabkan ruang tamu rumahnya musnah termasuk sebahagian dinding runtuh selepas dipukul angin kencang.

“Saya sedih kerana kejadian berlaku ketika beberapa hari lagi umat Islam akan menyambut Aidiladha dan kami pula terpaksa memikirkan usaha untuk membaiki rumah yang rosak ini,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Sepiah Mahmud, 65, berkata ketika kejadian beliau berada di tingkat atas rumah sedang berzikir sementara menunggu solat Asar sebelum dikejutkan dengan bunyi deruan angin kencang yang meranapkan bumbung rumahnya.

“Keadaan ketika itu sangat menakutkan, saya dengar bunyi angin yang kuat melayangkan bumbung rumah, saya memohon supaya Allah melindungi kami selain terus berzikir sebelum meminta suami melaungkan Azan,” katanya. -BH

Amukan ribut

ALOR SETAR: “Mak cik tak henti-henti beristighfar kerana ingatkan tsunami berlaku. Angin kencang dan kuat ranapkan banyak rumah, tetapi mujurlah tak ada yang cedera atau maut.”

Begitu kata Supiah Mahmud, 65, seorang daripada kira-kira 500 mangsa membabitkan 100 keluarga yang rumah mereka rosak teruk dalam kejadian ribut di Taman Bersatu, Kuala Kedah dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang, bumbung lebih 100 rumah terbabit diterbangkan angin manakala beberapa kenderaan mengalami kerosakan.

Supiah berkata, ketika kejadian dia sedang berehat di tingkat atas rumahnya sebelum terkejut selepas mendengar bunyi deruan angin begitu kuat.

“Mak cik tak senang duduk, mulut mak cik tak henti-henti beristighfar kerana terlalu takut dengan bunyi angin serta ribut yang sangat kuat,” katanya yang ditemui di rumahnya di sini, semalam. -HM


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.