16 Sep 2011

Mansuh ISA : Waspada Dengan Dua Akta Baru - Bekas Tahanan

Bekas Tahanan ISA yang dianggap subversif oleh Kerajaan Pusat menyambut baik pengumuman memansuhkan akta 'kejam' itu oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam.

Bagaimanapun mereka memberi amaran agar berwaspada dan berhati- hati terutamanya dengan pengumuman dua lagi akta yang bakal digubal yang bakal menjadi 'alternatif' kepada ISA - Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 yang digunakan saban tahun untuk menahan tanpa bicara sesiapa sahaja mengikut perkenan Menteri Dalam Negeri.

ADUN Kota Damansara Dr Nasir Hashim menyatakan kemungkinan Najib melakukan hal ini sekarang setelah 3 tahun mengambil alih jawatan Perdana Menteri adalah untuk memancing sokongan rakyat bagi Pilihan Raya Umum ke 13, yang boleh berlaku bila-bila masa dari sekarang.

"ISA telah digunakan berpuluh tahun untuk menunduk dan menganiaya mangsa. (Persoalannya) mengapa sekarang? Ini mungkin berkaitan Pilihan raya dan (Sokongan) Mungkin lemah. Beliau (Najib) nak dapat sokongan rakyat, kena buat sesuatu," kata beliau ketika ditemui TV Selangor semalam.

Pengumuman Najib memansuhkan ISA dan Akta Buang Negeri 1959 mengejutkan khayalak rakyat namun boleh dijangka lantaran khabar angin bertiup kencang sebelum ini menyatakan Najib bakal menarik kembali akta ini bagi meningkatkan populariti dan sokongan terhadap pentadbirannya.

Najib turut menyatakan kerajaan juga memberi komitmen bahawa mana-mana individu tidak akan ditahan semata-mata hanya kerana ideologi politik.

Dr Nasir yang juga Presiden Parti Sosialis Malaysia ditahan selama 15 Bulan dibawah akta yang disifatkan beliau sebagai 'zalim' itu semala Operasi Lalang pada tahun 1987.

Dalam Operasi Lalang yang berlaku pada 27 Oktober 1987 itu, seramai 106 ahli politik terutama parti pembangkang ditahan di bawah ISA dan menyaksikan pembatalan dua akhabar harian dan dua akhbar mingguan.

Selain Dr Nasir, turut ditahan ialah Lim Kit Siang, Karpal Singh, Suhaimi Said, Kua Kia Soong, Chandra Muzaffar, Ibrahim Ali dan Mohamed Fahmi Ibrahim.

Menurut beliau walaupun dimansuhkan, jentera yang digunakan untuk ISA masih boleh digunakan sebagai tujuan lain seperti penggunaan Ordinan Darurat terhadap 6 ahli PSM beberapa bulan lalu yang dianggap Dr Nasir sebagai tindakan ISA yang dinamakan di bawah undang-undang berlainan.

Justeru, beliau melahirkan kerisauan mengenai undang-undang baru yang dikatakan bakal menggantikan ISA serta meminta orang ramai mengkajinya terlebih dahulu.

"Apa yang kita risau ialah kerana mereka guna ISA dengan sempurna untuk memusnahkan musuh mereka, mereka akan ada alternatif..ini kontradiksi. Bermakna ia (hanya) wayang. Tidak ikhlas.

"Hanya kita berharap rakyat tak dipengaruhi gula-gula seperti ini. ISA, kena kaji adakah masih dijaga 'jentera-jentera' yang digunakan. Apa jenis (undang-undang) alternatif mereka ada. Adakah alternatif itu akan turut menganiaya rakyat?" kata beliau.

Seorang lagi bekas Tahanan ISA Hishammudin Rais mengambil sikap tunggu dan lihat mengenai 'alternatif' kepada ISA yang bakal digubal kelak.

"Adakah ISA ini telah dimansuh keseluruhannya. Jika dimansuhkan keseluruhannya, ia keputusan baik, tanda proses pendemokrasian telah berlaku di Malaysia. Dan apakah satu lagi perundangan akan dibuat, kita akan bincangkan kemudian," kata beliau.

Hishammudin ditahan ISA dua kali, pertama pada 1994 dan kedua pada April 2001 atas tuduhan merancang untuk menggulingkan kerajaan secara kekerasan dan keganasan.

Beliau mengajak rakyat melihat betapa suara mereka mampu didengari jika mereka bersatu menentang kezaliman.

"Kita juga harus memahami latar belakang yang melahirkan suasana ini, latar belakang ini ialah kerana ketika ini pimpinan UMNO lemah. Kerana kelemahan ini mereka perlukan sokongan. Ini tunjukkan rakyat kuat. Tuntutan mansuhkan ISA berjaya, tuntutan PPPA semua beraya. Ini tunjukkan rakyat kuat bila kerajaan lemah.

Sementara itu Presiden Parti Rakyat Malaysia, Dr Rohana Ariffin pula menyatakan betapa hal ini merupakan pencapaian positif yang patut dibanggakan golongan pembangkang dan progresif yang telah sedaya upaya menentang akta ini.

"Pemansuhan ISA satu tindakan positif dan ini bermakna tiap-tiap orang itu akan dapat pembelaan jika dituduh subversif. Tapi di sini, ada pula undang-undang baru seperti di England dan seterusnya seperti Anti Terrorist Act. Ini juga akan beri kuasa kepada Kerajaan. Pemansuhan ISA telah lama diperjuang golongan Pembangkang dan Progresif di Malaysia. Dan ini merupakan satu pencapaian positif kepada rakyat Malaysia," kata beliau. -tvsnews



1 ulasan:

  1. setuju, walaupun dihapuskan, akan ada akta yang menggunakan mekanisme sama. jangan fikir dengan hapus akta najib akan popular dan dapat sokongan, kes dia di paris dan berbagai kes pembohongan tidak akan dimaafkan oleh rakyat kecil. akta dihapus, tapi akta dalam PDRM tu ada lagi, demi kepentngan UMNO akta sejenis ini pasti diperlukan untuk membungkus musuh politik.

    BalasPadam

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.