18 Ogo 2011

Isu Gereja: Pendedahan Blog Pro-UMNO Bukti Nyata UMNO Dalang Tindakan JAIS

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) melengah-lengah isu siasatan Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) di Petaling Jaya pada 3 Ogos lalu berhubung laporan murtadnya hingga menimbulkan polemik umum, tidak mendatangkan kebaikan kepada semua.

Malah, katanya, ia diburukkan lagi apabila pada waktu yang sama, ada pihak dalaman yang meledakkan pelbagai bukti dalam blog pro-Umno.

“Kini, rakyat tengah menanti tindakan JAIS, lebih-lebih lagi PAS Pusat telah menyatakan pendirian mempertahankan aqidah umat Islam dari sebarang usaha untuk mengganggu-gugat oleh mana-mana pihak.

“Kita sedar dalam sebarang tindakan kita perlu berhemah dan tepat dalam tindakan, kerana bukan soal kita tidak pertahan aqidah ummah, tetapi tindakan yang terburu-buru hanya menjerumus kita kepada perangkap yang sengaja dipasang oleh Umno dan merosakkan lagi nama baik agama Islam yang kini sudah tercacat cela akibat perbuatan Umno selama ini,” katanya dalam satu kenyataan media.

Semalam, satu laporan yang didakwa ditulis oleh seorang pegawai kanan JAIS berhubung pemeriksaan di premis gereja itu telah disebarkan di internet, dengan beberapa blogger mendesak mengapa Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim masih belum menyatakan pendirian berhubung kontroversi tersebut.

Laporan itu juga menyenaraikan nama penuh dan kad pengenalan 12 orang Islam yang dikatakan hadir di majlis makan malam itu.

Menurut Tuan Ibrahim, timbul beberapa persoalan berhubung reaksi dan tindakan Umno sejurus selepas cetusan isu JAIS menyiasat gereja yang beliau sifatkan sebagai amat mencurigakan.

Katanya, yang paling aneh adalah semua bukti wujudnya usaha pengkristianan dibongkar dan dipelopori oleh blog-blog pro-Umno dan bukan oleh JAIS, sedangkan bukti berkenaan adalah bahan sulit yang tidak sepatutnya didedahkan selagi belum ada dakwaan di mahkamah.

Tegasnya, ini termasuklah kertas soal-selidik, nama mereka yang hadir, jumlah wang yang dibekalkan, dan terbaru klip video serbuan tersebut dan juga laporan JAIS yang sepatutnya dipersembahkan kepada Sultan Selangor terlebih dahulu.

“Isu siapa dalang di sebalik tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kini semakin hangat diperkatakan terutama apabila Setiausaha Agong PAS, Datuk Mustafa Ali menegaskan beliau mempunyai bukti kukuh penglibatan Umno dalam isu ini.


“Dengan ledakan sedemikian di blog pro-Umno, umum mengetahui dan boleh menjangkakan sememangnya wujudnya tangan-tangan ghaib di sebalik tindakan yang aneh ini. Kenapa perkara ini dapat keluar dan disiarkan oleh blog-blog pro-Umno?” soal Tuan Ibrahim.

Selain itu, beliau yang juga pesuruhjaya PAS Pahang berkata lebih mencurigakan lagi ialah kepantasan media arus perdana milik Umno dan BN yang terus melonjakkan isu itu dengan membuat serangan ke atas menteri besar Selangor dan kerajaan negeri.

Begitu juga demonstrasi yang dilakukan oleh Senator Umno Mohamad Ezam Mohd Nor yang diadakan di masjid negeri dengan membuat kecaman kepada kerajaan Selangor, termasuk membawa penyapu tandas, mangkuk tandas untuk dihantar ke pejabat menteri besar.

“Anehnya, mereka ini dikatakan menentang proses Kristianisasi yang dilakukan pihak gereja, bukankah ia sepatutnya demonstrasi dibuat di hadapan gereja?” soal Tuan Ibrahim lagi.

SU Agung PAS: Saya ada bukti campur tangan Umno dalam operasi Jais



KUALA LUMPUR, 17 Ogos — Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali menegaskan beliau tidak akan meminta maaf kepada Umno berhubung dakwaannya bahawa ada campur tangan parti Melayu terbesar itu dalam serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ke atas sebuah gereja baru-baru ini.

Sebaliknya tegas Mustafa, beliau mempunyai maklumat sahih bahawa Umno terlibat dalam tindakan Jais itu.

“Saya kekal dengan apa yang saya katakan di Kuala Terengganu, jadi soal minta maaf itu tidak berbangkit.

“Saya ada maklumat dan info yang sangat boleh dipercayai bahawa ada elemen campur tangan Umno dalam pemeriksaan itu,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Semalam, Umno Selangor memberi tempoh tiga hari bermula hari ini kepada Mustafa untuk memohon maaf kepada Umno.

Setiausaha Umno Selangor Datuk Seri Ir Mohd Zin Mohamed berkata, ini kerana kenyataan Mustafa jelas berniat jahat dan bertujuan memburuk-burukkan Umno sebagai salah sebuah parti pemerintah dalam komponen Barisan Nasional (BN).

Pada sidang akhbar di Kuala Terengganu kelmarin, Mustafa mendakwa Umno berperanan dalam pemeriksaan yang dilakukan oleh Jais ke atas Gereja Methodist Damansara Utama pada 3 Ogos lalu.

Mustafa turut mengatakan Umno memainkan peranan dalam mempolitikkan isu itu ekoran tindakan Jais yang sehingga kini belum mendedahkan hasil siasatan mereka ke atas gereja itu.

Tambah Mustafa, beliau sedia mendedahkan maklumat campur tangan Umno kepada Pengarah Jais Marzuki Hussin.

“Saya sedia dedahkan maklumat ini kepada Pengarah Jais sekiranya berjumpa dengan beliau.

“Memang ada elemen campur tangan Umno di belakang operasi Jais,” katanya.

Gereja Methodist Damansara Utama menjadi tumpuan sejak beberapa minggu lalu selepas Jais melakukan pemeriksaan ke atas satu majlis makan malam muhibah anjuran Harapan Komuniti di premis itu.

Jais berkata tindakan mereka hanya bersifat pemeriksaan tetapi pengurusan gereja mendakwa agensi itu melakukan serbuan.

Pemeriksaan itu mendapat bantahan banyak pihak dan kerajaan negeri Selangor di bawah Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim meminta satu laporan daripada Jais.

Jais juga telah mengambil keterangan dan memberi kaunseling kepada 12 individu beragama Islam yang berada dalam gereja semasa pemeriksaan itu dilakukan.

Pertemuan PAS dengan Jais dan Gereja Methodist Damansara Utama ditangguhkan. -TMI




4 ulasan:

  1. Saya ingatkan pimpinan PR agar berhati-hati dan peka dengan semua yang berlaku di Malaysia. Jangan cepat mengeluarkan kenyataan tanpa merenung sejenak, kerana mungkin perkara yang berlaku itu dirancang oleh musuh kita, di “orchestra” oleh mereka yang mengharapkan pimpinan PR melakukan kesilapan yang mereka memang sentiasa menanti untuk mereka tembak kembali. Umpan akan sentiasa diletak oleh mereka, kesilapan kecil boleh membawa kecelakaan kepada politik PR. Berhati-hatilah.

    BalasPadam
  2. Dalam menyelami perasaan dan kejadian yang berlaku mengenai kes murtab diatas ternyata antara PAS dan Umno sudah jadi cerita sepuluh budak hitam.

    Masing-masing cuba mencari alasan. Jika perkara ini berlaku dizaman Selangor dibawan BN tentunya sebuah dunia PAS akan tabur risalah dan gong gendang dicanagkan.

    Sebaliknya bila tindakan JAIS dibawah bidang kerajaan Selangor bertindak dan teman DAP dalam Pakatan terlibat maka susulan tindakan begitu berhemah dan nada suara yang dikeluarkan begitu hikmah. Itulah adat resam bila kena hidung sendiri.

    Cuma kalau mahu main parti politik tu jangan pula cuba palitkan orang lain jika kita sendiri belum tentu tahu tingi rendahnya langit dan Bumi.

    Mempersalah blogger dan mempersalah UMNO sebagai dalang adalah alasan budak hingusan untuk mengkaburi kenyataan yang sebenar.....dan mengelak diri ...

    BalasPadam
  3. Kalau UMNO dalang kes gereja ni, dan Hassan Ali dalang JAIS, adakah ini bermakna Hassan Ali adalah juga dalan UMNO? Atau UMNO dalang Hassan Ali?

    BalasPadam
  4. perkara ini telah dirancang oleh pehak tertentu untok memerangkap pas supaya orang bukan islam memandang pas sebuah parti pelampau,
    hasan ali sebagai exco agama dari pas tentu bertanggong jawap keatas perkara tersebut itulah yang dikehendaki oleh mereka yg merancang supaya imej pas tercalar kepada penganut agama lain khususnya kristian dan sekiranya pas menafikan bertanggong jawap mereka akan mengatakan pula pas telah mengadaikan perjuangan asal iaitu menegakan islam dengan harapan orang melayu islam pula akan memandang serong terhadap pas.

    BalasPadam

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.