8 Jul 2011

Keputusan Putrajaya Dicabar Di Mahkamah, BERSIH Tetap Berhimpun Esok

Bersih cabar keputusan Putrajaya, minta mahkamah batal pengharaman

KUALA LUMPUR, 8 Julai — Sekretariat Bersih 2.0 hari ini memfailkan permohonan mencabar keputusan Putrajaya mengisytiharkan gabungan 62 pertubuhan bukan kerajaan itu sebagai haram, yang dikuatkuasakan sejak 1 Julai lalu.

Permohonan difailkan oleh 14 anggota jawatankuasa pemandu Bersih 2.0 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Dalam tuntutan itu, yang dibuat ke atas Menteri Dalam Negeri, Ketua Polis Negara dan kerajaan Malaysia, plaintif meminta kebenaran untuk memohon semakan kehakiman bagi lapan relif.

Menteri Dalam Negeri, Ketua Polis Negara dan kerajaan Malaysia disenaraikan sebagai responden pertama, kedua dan ketiga.

Permohonan dibuat oleh Pengerusi Bersih 2.0 Datuk S. Ambiga (gambar) dan 13 ahli jawatankuasa pemandu gabungan itu.

Mereka ialah Dr Ahmad Farouk Musa, S. Arul Prakkash, K. Arumugam, Haris Fathillah Mohamed Ibrahim, Andrew Khoo, Liau Kok Fah, Maria Chin Abdullah, S. Subramaniam, Datuk Dr Toh Kin Woon, Wong Chin Huat, Datuk Yeo Yang Poh, Yeoh Yong Woi dan Zaid Kamaruddin.

Relif-relif yang dipohon termasuklah:

• Perintah certiorari untuk memasukkan perintah bertarikh 1 Julai, yang dibuat di bawah Seksyen 5 Akta Pertubuhan 1966 oleh responden pertama iaitu Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein, yang mengisytiharkan pergerakan Bersih 2.0 sebagai satu pertubuhan yang menyalahi undang-undang ke Mahkamah Tinggi untuk dibatalkan serta-merta

• Satu deklarasi bahawa perintah tersebut adalah tidak sah dan terbatal dan tidak berkesan

• Perintah larangan terhadap responden-respoden pertama dan kedua dan setiap satu daripada mereka yang melarang responden-responden pertama dan kedua tersebut dan setiap satu daripada mereka dan melalui pekerja-pekerja, pegawai-pegawai, ejen-ejen masing-masing dan semua individu yang bertindak di bawah kuasa dan arahan masing-masing daripada memasuki semua atau mana-mana premis, menggeledah dan menyita serta menahan semua atau mana-mana harta atau barang pemohon

• Perintah mandamus terhadap responden-responden pertama dan/atau kedua untuk memaksa responden pertama dan atau kedua, dan setiap satu daripada mereka untuk membebaskan atau memulangkan kepada pemohon-pemohon kesemua kemeja-T, plakad, akhbar, buku, pekeliling, representasi bergambar, terbitan berkala, risalah, poster, perisytiharan, akaun, cogan, senarai ahli, mohor, lambang, jata atau apa-apa lagi dokumen atau penulisan atau objek sekali pun yang mengandungi logo dan perkataan Bersih 2.0 kepunyaan pemohon dan setiap satu daripada mereka yang telah disita.


Mengikut permohonan yang dibuat hari ini, plaintif juga meminta agar perintah pengharaman digantung sementara menunggu perbicaraan dan pelupusan permohonan untuk semakan kehakiman ini. -TMI


BERSIH tetap berhimpun di Stadium Merdeka esok

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) tetap akan berhimpun di Stadium Merdeka esok.

Dalam satu kenyataan yang dimuat-naikkan di laman sosialnya di Facebook, BERSIH 2.0 berkata tidak kira sama ada kerajaan memilih untuk menjadi munasabah ataupun tidak, orang ramai teguh dengan pendirian melaksanakan hak mereka sebagai rakyat yang patriotik.

“Kami akan berhimpun secara aman dan jumpa anda di Stadium Merdeka,” petik kenyataan itu.

BERSIH 2.0 juga kecewa dengan tindakan pihak berkuasa mengenakan perintah larangan daripada mahkamah untuk menghalang 91 individu daripada berada di Kuala Lumpur esok.

“Ini melambangkan penafian kebebasan untuk bergerak. Mereka yang berkuasa lupa bahawa ibu negara kita, seperti tempat-tempat lain di negara yang kita cintai dimiliki oleh rakyat dan bukannya oleh kerajaan.

“Tidak ada sebab bagi mengharamkan sesiapa sekalipun daripada memasuki ibu negara. Kami telah nyatakan berulang-kali bahawa BERSIH 2.0 cuma ingin melaksanakan hak perlembagaan untuk berhimpun secara aman bagi menuntut pilihan raya yang bersih dan adil.”


Semalam, timbalan ketua polis Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata, pelanggaran perintah berkenaan merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 188 Kanun Keseksaan.

"Perintah larangan ini adalah untuk mengelakkan dari perbuatan yang boleh mengganggu ketenteraman awam atau mendatangkan bahaya kepada nyawa atau keselamatan manusia," katanya.

Daripada 91 individu yang dilarang memasuki Kuala Lumpur esok, seramai 66 orang adalah dari kumpulan BERSIH 2.0 termasuk pengerusinya Datuk Ambiga Sreenevasan dan beberapa ahli jawatankuasa pemandunya.

Manakala ahli politik yang Pakatan Rakyat terdiri daripada Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat, presidennya Datuk Seri Hadi Awang, timbalannya Mohamad Sabu.

Turut dilarang adalah Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang.

BERSIH 2.0 juga berkata kerajaan telah gagal memahami bahawa gabungan 62 NGO itu bukan mengenai mana-mana individu tetapi memperjuangkan pilihan raya yang bersih dan adil,

“Tidak kira seteruk mana kami ditekan dan dihambat atau didakwa, suara aman rakyat akan kedengaran di Kuala Lumpur pada 9 Julai ini,” kata BERSIH 2.0.

Menurut gabungan yang diharamkan oleh kerajaan itu, belum terlambat bagi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk bertindak sebagai seorang negarawan dan menghentikan segala hambatan yang sering-kali dilakukan oleh seseorang diktator.

“Bekerjasamalah dengan BERSIH 2.0 bagi memastikan perhimpunan aman di Stadium Merdeka dan situasi menang-menang bagi semua pihak,” katanya. -mk


2 ulasan:

  1. lawan tetap lawan, harapan hanya kepada allah

    BalasPadam
  2. BN asyik tipu rakyat, khutbah jumaat suruh bersatu padu, marilah rakyat bersatu padu menumbangkan BN, bukan bersatu menindas rakyat

    BalasPadam

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.