8 Jun 2011

Kanak-kanak 5 Tahun Patah Bahu Kiri Dirempuh Kuda Di Pantai

Kanak-Kanak Dirempuh Kuda Di Pantai Batu Feringghi

GEORGETOWN:Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun patah bahu kiri setelah dirempuh seekor kuda yang ditunggang seorang lelaki di pantai Batu Feringghi di sini, Selasa.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi tadi, Arina Kirana Azrin turut cedera di paha kanan akibat dirempuh ketika dia sedang bermain dengan kakaknya yang berusia 12 tahun di belakang sebuah hotel.

Kakaknya bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Bapa mangsa, Azrin Abdul Razak, 37, berkata anaknya terpelanting setelah dirempuh kuda yang ditunggang dengan laju.

"Ketika saya menghampiri dan memegang Arina, dia berada dalam keadaan separuh sedar," katanya kepada pemberita.

Arina dihantar ke klinik berhampiran sebelum dibawa ke Hospital Pulau Pinang. Azrin yang tiba dari Putrajaya untuk bercuti bersama keluarganya sejak semalam berkata beliau kesal dan marah dengan kejadian yang menimpa anaknya itu dan akan mengambil tindakan undang-undang terdapat pihak yang bertanggungjawab.

"Saya kesal dan tidak dapat maafkan mereka. Saya akan ambil tindakan terutamanya terhadap Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) kerana ketika kejadian terdapat dua anggota mereka berada di tempat kejadian namun tidak berbuat apa-apa," katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalu Lintas Negeri, Chow Kon Yeow telah mengarahkan Yang Dipertua MPPP supaya membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan.

"Kejadian ini telah mengakibatkan orang awam tercedera. Oleh itu saya berharap pihak polis dapat menyiasat kes berkenaan dan mendakwa pengusaha yang terlibat," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata terdapat pasukan penguatkuasaan MPPP yang meronda di sekitar pantai Batu Feringghi setiap hari dari 8 pagi hingga 8 malam bagi mencegah aktiviti berkuda.

"Malangnya masih terdapat pengusaha yang ingkar serta masih menjalankan kegiatan itu hingga mencederakan orang awam," katanya.- BERNAMA

2 ulasan:

  1. Apa nk jadi...Tapi semuanya dah jadi...Pihak berkuasa n pengusaha sila ambil teladan dari kajadian ini...jgn smpai ada yg mati baru terhegeh2..

    P/s: kepada mangsa, semoga cepat sembuh....

    BalasPadam
  2. Jangan salahkan Mamat yang berkuda
    tetapi penguatkuasa yang pejam sebelah mata.
    Mereka buat-buat buta
    sebab sudah dapat benda.
    Yang sakit anak, yang geram si bapa yang untung pengusaha yang tak tau apa kuda.

    BalasPadam

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.