9 Mac 2011

Pulangkan Interlok: Tindakan Polis Siasat Pelajar Dikecam

Interlok: Polis siasat pelajar tak sah, Putrajaya digesa adakan inkuiri

Tindakan polis menyoal siasat tiga pelajar tanpa kehadiran ibu bapa atau peguam hanya kerana memulangkan novel Interlok, yang menjadi kontroversi sekarang kepada pengetua mereka, adalah tidak sah, kata pemimpin Pakatan Rakyat.

Ketiga-tiga pelajar SMK Kuala Kubu Baru terbabit disoal siasat oleh polis bandar itu semalam selama 10 jam.

“Soal siasat dijalankan tanpa kehadiran ibu bapa atau peguam.

“Mengejutkan, pihak berkuasa polis atau sekolah tidak memaklumkan ibu bapa mereka bahawa pelajar berkenaan disoal siasat oleh polis,” kata Naib Presiden PKR N Surendran dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Katanya, pihak berkuasa sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah itu seolah-olah menggerakkan dan bekerjasama dalam insiden pelajar berkenaan disoal siasat kerana memulangkan novel Interlok.

“Kami dengan keras mengecam polis menyoal siasat kanak-kanak ini dan layanan yang diberikan kepada mereka.

“Soal siasat ini amat bertentangan dengan undang-undang kerana tiada kesalahan dilakukan oleh mereka,” kata beliau.

Novel Interlok kini digantung sementara jawatankuasa khas sedang mengkaji untuk membuat pindaan yang diperlukan.

Malah menurut aktivis sosial dan peguam ini, proses soal siasat itu bertentangan dengan undang-undang memandangkan mereka dinafikan akses kepada ibu bapa mereka atau peguam.

“Pada hakikatnya, sekurang-kurangnya salah seorang daripada kanak-kanak telah dinafikan kebenaran untuk menelefon ibu bapanya meskipun merayu untuk berbuat demikian,” kata Surendran.

“Kami menggesa kerajaan dan Kementerian Pelajaran mengambil tindakan segera untuk mengelakkan kejadian seumpama itu pada masa depan dan mengadakan inkuiri segera berhubung perkara tersebut,” katanya lagi.

Kata beliau, pihaknya mahu tindakan segera diambil ke atas pegawai-pegawai polis terbabit.

“Tindakan disiplin tegas harus diambil ke atas mana-mana guru yang terlibat dalam insiden ini.

“Kami menggesa kerajaan menghormati hak kanak-kanak dan bertindak selari dengan standard antarabangsa hak dan perlindungan kanak-kanak,” katanya.

Mengikut laporan media tiga pelajar tingkatan lima mendakwa mereka diheret ibu pejabat polis Kuala Kubu Baru dan disoal siasat selama 10 jam selepas mengambil keputusan memulangkan novel Interlok kepada pengetua mereka Jumaat lalu.

Kata laporan itu, pada awalnya, tujuh pelajar SMK Kuala Kubu Baru bercadang memulangkan buku teks sekolah mereka kerana mendakwa tidak berpuas hati dengan kandungannya tetapi dihalang oleh guru disipilin yang kemudian mencaci mereka.


“Semua tujuh daripada kami berjalan dengan tenang ke bilik guru besar apabila guru disiplin menahan kami dan mengeluarkan kata-kata yang melukakan perasaan kami,” kata seorang daripada pelajar di ibu pejabat Parti Hak asasi hari ini.

Menurut pelajar, guru disiplin didakwa menuduh mereka sengaja menimbulkan masalah di sekolah itu dan mengeluarkan kata-kata yang menghina mereka.

Menurut mereka, semalam pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru Baktiar Md Rashid, yang juga seorang pegawai polis, membawa tiga pelajar yang terbabit itu ke balai polis untuk disoal siasat tanpa kebenaran ibu bapa mereka. -TMI

2 ulasan:

  1. Isu buku Interlok ni dah berlarutan.Buku ini sekadar mengkisahkan "sejarah" yang tidak boleh dipinda atau dipadamkan.Untuk menjaga hati orang Cina dan India dinegara ini,adakah kita mahu padamkan atau selewengkan fakta-fakta sejarah Tanah Melayu?Sejarah tetap sejarah.Tak betulke kaum Cina dibawa oleh Inggeris untuk membuka lombong diPerak dulu? Atau kaum India dibawa oleh Inggeris dari Selatan India,melalui Kangani System,untuk bekerja diestate-estate dulu?Itu sejarah,takkan kita boleh ubah atau lupakan.Sejarah Tanah Melayu bukan bermula sejak tahun 1957.Inilah kesilapan yang dibuat sendiri oleh UMNO/BN menyelewengkan fakta-fakta sejarah disekolah-sekolkah.Sekarang sudah nampak padahnya.

    BalasPadam
  2. Malaysia dipimpin oleh pemimpin yang kurang cerdik.

    Yang penting bagi mereka hanyalah kuasa walaupun tergadai segala-galanya.

    Lakukan apa-apa sahaja Demi kuasa.

    BalasPadam

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.