9 Mac 2011

Kereta Telekom Rempuh Treler, 2 Maut 1 Parah

Kluang: Dua kakitangan Telekom Malaysia Berhad (TM) yang lengkap beruniform maut, manakala seorang lagi parah apabila kereta dinaiki mereka bertembung treler membawa muatan pasir di Kilometer (KM) 76, Jalan Batu Pahat-Mersing, semalam.

Gambar: KENDERAAN yang dipandu Jasni remuk selepas bertembung treler membawa muatan pasir di Kilometer (KM) 76, Jalan Batu Pahat-Mersing, semalam.

Dalam kemalangan jam 8 pagi berhampiran Kampung Gajah itu, Abdul Malik Abdullah, 49 dan Abdul Wahab Jaafar, 51, dalam perjalanan menghadiri kursus di pusat bandar, menaiki Proton Saga BLM yang dipandu rakan mereka Jasni Samad, 51.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Fawzi Arshad berkata, Jasni dipercayai memandu dalam keadaan mengantuk termasuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung treler yang menghala ke Mersing.

“Abdul Malik dan Abdul Wahab meninggal dunia di tempat kejadian manakala Jasni parah,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Mayat Abdul Wahab yang duduk di kerusi penumpang depan dan Abdul Malik yang tersepit dalam kereta berkenaan dikeluarkan dengan bantuan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat.

“Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Kluang untuk bedah siasat dan rawatan. Bagaimanapun, pemandu treler yang berusia 41 tahun tidak mengalami kecederaan serius" katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.