2 Mac 2011

Cubaan Seludup Tupai Gagal

Senai - Cubaan menyeludup tupai bernilai RM64,200 berjaya ditumpaskan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Selatan di perairan empat batu nautika Timur Tanjung Penyusup, Pengerang Johor, di sini, semalam.

Dalam operasi yang dijalankan pada jam 7.30 pagi itu, sebanyak 200 tupai jenis Sugar Glider dijumpai di atas bot membawa penumpang (teksi air) dari Batam, Indonesia yang dalam perjalanan untuk menyeludup haiwan terbabit ke Malaysia.

Ketua Penguat Kuasa Maritim Malaysia Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Maritim Zulkifili Abu Bakar berkata, bot Petir 50 bersama lima pegawai dan anggota terserempak dengan sebuah bot yang dalam keadaan mencurigakan.

“Semasa menghampiri, bot terbabit terus memecut laju untuk meloloskan diri ke perairan Indonesia, namun usaha mereka gagal kerana berjaya dipintas bot APMM.

“Hasil pemeriksaan berjaya menemui lebih kurang 200 tupai yang disimpan dalam sembilan sangkar dengan dibaluti dengan guni yang cuba untuk diseludup masuk ke negara ini,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, semalam.

Zulkifli berkata, tekong dan seorang awak-awak warganegara Indonesia berumur 44 dan 36 tahun ditahan, sementara haiwan eksotik itu diserahkan kepada Jabatan Veterinar Negeri Johor untuk tindakan lanjut.

“Siasatan kita pula mendapati mereka dalam perjalanan dari Batam, Indonesia ke satu destinasi di perairan Pengerang bagi menjual haiwan eksotik terbabit sebelum dieksport semula keluar negara,” katanya.

Tupai jenis Sugar Glider berasal dari kepulauan Papua New Guinea dan Barat Australia mendapat sambutan menggalakkan dari negara Asia sebagai haiwan peliharaan yang dipercayai membawa tuah.

“Nilai seekor tupai ini boleh mencapai harga RM200 hingga RM350 kerana memiliki rupa yang cantik,” katanya.

Kes berkenaan disiasat mengikut Peraturan Kawalan Import dan Eksport di bawah Akta Haiwan 1953 (Pindaan 2006).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.