28 Jan 2011

Pelajar Tahfiz Mengadu Dikerah Sebagai Hamba

Sshah Alam – Seorang bekas penuntut di pusat tahfiz, Ambang Kota, Lukut mendakwa, dia pernah dikerah seperti seorang hamba untuk menjalankan kegiatan jualan amal sehingga lewat malam setiap hari.

Mangsa yang mahu dikenali sebagai Naufal, 21, memberitahu, dia mula menuntut di pusat tahfiz tersebut ketika berusia 11 tahun sebelum berpindah ke pusat tahfiz yang sama di Yan, Kedah ketika berusia 13 tahun.

Menurut Naufal, sepanjang enam tahun berada di kedua-dua pusat tahfiz berkenaan, dia diperlakukan seperti seorang hamba dengan setiap pelajar mesti mencapai sasaran jualan sehingga RM300 sehari.

“Jika ia gagal dicapai, kami akan dimarahi dan dikenakan denda. Saya pernah didenda ketuk ketampi sampai lutut saya lembik serta tidak bermaya.

“Biasanya, kami yang tinggal di Yan ketika itu, akan dihantar sekitar Kuala Lumpur selama tiga hari untuk melakukan aktiviti jualan,” ceritanya sambil menyatakan dia meninggalkan pusat tahfiz berkenaan ketika di tingkatan 4 dan kembali ke pangkuan keluarga kerana tidak tahan diperlakukan seperti hamba. -kosmo


Premis niaga yang disyaki guna tenaga kanak-kanak diserbu

Penyelia dan tiga tenaga pengajar pusat tahfiz turut ditahan dalam serbuan

PORT DICKSON: Sebuah premis perniagaan yang dipercayai menggunakan tenaga kanak-kanak untuk menjual pelbagai barangan di sekitar Negeri Sembilan dan Melaka diserbu pihak berkuasa dalam operasi bersepadu membabitkan pelbagai jabatan di Lukut, pagi kelmarin, lapor sebuah akhbar tempatan, semalam.

Ketika serbuan, terdapat kira- kira 80 kanak-kanak berusia di antara 10 dengan 15 tahun berada di premis lot kedai yang turut menempatkan pejabat operasi perniagaan.

Akhbar Harian Metro difahamkan, kanak-kanak berkenaan adalah pelajar sebuah pusat tahfiz di Kedah dan berada di situ untuk beberapa hari bagi menjalankan perniagaan.

Jurucakap Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) berkata pihaknya ada menerima aduan daripada orang ramai mengenai kanak-kanak itu, yang mengutip derma dan menjual barangan.

'Kanak-kanak terbabit mengutip derma dan menjual barangan sekitar bandar ini, Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban dan Nilai di Lebuh Raya Utara-Selatan (Plus).

'Berikutan itu, pihak kami memeriksa premis terbabit dan tiga kakitangan di situ ditahan sebelum dibawa ke Balai Polis Lukut untuk membantu siasatan,' katanya.

Akhbar Utusan Malaysia pula semalam melaporkan bahawa seorang penyelia dan tiga tenaga pengajar pusat tahfiz itu ditahan.

Mereka yang dikatakan dalam lingkungan usia 40-an tahun itu ditahan dalam pemeriksaan di premis berkenaan di Chuah, dekat sini, oleh JHEAINS dan tiga lagi agensi kerajaan Malaysia.

Jurucakap JHEAINS dipetik oleh Harian Metro sebagai berkata serbuan tersebut turut disertai polis, Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sembilan.

MPPD, dalam satu kenyataannya, berkata lima saman dikeluarkan terhadap pengurusan premis itu, iaitu kesalahan melakukan binaan tanpa kelulusan, berniaga tanpa lesen dan menggunakan premis perniagaan sebagai stor.

Sementara itu, Pengurus Pemasaran Pusat Rawatan Cinta Negeri Sembilan/Melaka, Encik Badrin Mispami, memberitahu Harian Metro bahawa penjualan barangan oleh pelajar pusat tahfiz itu sebahagian daripada aktiviti kokurikulum yang bertujuan menjadikan mereka ahli perniagaan berjaya pada masa depan.

'Pusat itu hanya dijadikan transit apabila pelajar menjual barangan sekitar negeri ini antara dua hingga tiga hari,' katanya.

Bagaimanapun, melalui pemeriksaan yang dilakukan, rata-rata kanak-kanak itu menetap di sana buat tempoh lebih lama dan menjalankan aktiviti jualan amal dan kebajikan pada sebelah petang hingga malam, lapor Utusan Malaysia, sambil memetik jurucakap JHEAINS itu.

'Ada di antara mereka tidak rela melakukan tugas itu dan mahu meneruskan pelajaran secara normal. Rata-rata kanak-kanak ini adalah anak yatim dan daripada keluarga susah,' ujar jurucakap tersebut. -BHS


Ulasan GB

GB sudah ulas sebelum ini. Petikan:

Walau apa pun alasan, akaun pusat tahfiz berkenaan perlu disemak supaya diketahui kemana dan untuk apa dana itu dibelanjakan.

Kedua, adalah tidak wajar mana-mana pihak menggunakan alasan "aktiviti kokurikum" sebagai helah untuk mengutip keuntungan dengan memperalatkan anak yatim dan miskin berjaja di khalayak ramai apatah lagi hampir keseluruhannya adalah anak perempuan.

Ketiga, perkara paling gila yang dilakukan ialah memaksa pelajar-pelajar perempuan ini supaya melakukan jualan amal hingga lewat malam setiap hari.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.