20 Jan 2011

Mayat Pramugari Tiba Dari Amsterdam, Suami Desak Usah Lapor Sembarangan

Seremban – “Sebarang penjelasan mengenai punca kematian isteri saya akan maklumkan Sabtu ini. Setakat ini saya tidak mahu mengulas lanjut kerana masih terkejut dengan kematian mendiang."

Itu pendirian suami kepada pramugari Malaysia Airlines (MAS), Chin Swee Len, 35, yang ditemui mati di Hotel Radisson di Amsterdam, Belanda pada Jumaat lalu.

Cheng Yin Chet, 39, berkata, dia mahu pihak media turut menghormati dan tidak mengganggu ahli keluarganya yang masih bersedih sepanjang tempoh berkenaan.

“Saya akan menjelaskan Sabtu nanti selepas mayat mendiang selamat disemadikan di Nilai Memorial Park, yang dijadualkan esok.

“Laporan hasil bedah siasat telah pun saya peroleh. Saya akan maklumkan segala-galanya pada hari ditetapkan kerana tidak mahu timbul persoalan lain," katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Okland, dekat sini, semalam.

Yin Chet yang juga bekas Ahli Majlis Perbandaran Seremban (MPS) mengingatkan wakil media supaya tidak melaporkan punca kematian isterinya itu secara sembarangan tanpa pengesahan.

Menurutnya, punca kematian isterinya bukan seperti yang dilaporkan sebelum ini.

“Tidak ada sebarang unsur jenayah dipercayai berlaku,” katanya yang mendirikan rumah tangga bersama mendiang selama 10 tahun.

Mengenai ketibaan mayat isterinya yang lebih awal, Yin Chet berkata, ia adalah hasil kerjasama Kementerian Luar, Wisma Putra, MAS dan kedutaan di negara berkenaan menguruskan hal berkaitan termasuk dokumen penting.

“Mayat mendiang selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 6.30 pagi tadi (semalam)," katanya.

Dalam pada itu, ahli perniagaan itu turut kesal tindakan sebuah akhbar tempatan menyiarkan gambar isterinya yang salah.

“Saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang mengenai hal ini kerana gambar yang dikeluarkan dalam akhbar terbabit bukan isteri saya," katanya.

Berita sebelum ini

Kenapa BERNAMA Kelam-Kabut Laporkan Kes Pramugari Malaysia Mati Di Amsterdam?

Ulasan GB

Pertama, sdra Cheng Yin Chet perlu ambil tindakan ke atas BERNAMA, kerana pihak Bernamalah yang paling awal mengeluarkan berita yang tidak betul terhadap kematian Chin Swee Len. Sila baca pautan yang saya berikan di atas.

Kedua, mengenai gambar yang salah, ia pada awalnya diterbitkan oleh akhbar luarnegara, iaitu 11news.us. Jadi sdra boleh saman pihak akhbar berkenaan jika mahu.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.