6 Jan 2011

Isu Pertemuan 24 Disember: Hormat dan Berterima-kasihlah Kepada TG Nik Aziz

Pertemuan 24: PKR, DAP mahukan penjelasan PAS

KUALA LUMPUR, 6 Jan — Pertemuan pemimpin-pemimpin kanan PAS dengan presiden dan timbalan presiden Umno mencetuskan rasa tidak senang di kalangan rakan mereka dalam PKR dan DAP yang turut mahukan penjelasan rasmi parti Islam itu.

“Sebagai ahli Parlimen dan sebahagian daripada Pakatan, saya merasakan bahawa mereka harus berunding dengan pemimpin-pemimpin tertinggi PKR dan juga DAP.

“Mengapa mereka (PAS) harus pergi (hadir pertemuan itu)? Bagi PKR, secara jujur kami tiada petunjuk mengenai perkara ini, dan saya tidak fikir pemimpin-pemimpin kanan parti juga tahu mengenainya jika tidak dilaporkan oleh media,” kata Ahli Parlimen PKR dari Kapar S. Manikavasagam.

Manikavasagam berkata, PAS juga perlu “menghormati” anggota komponen Pakatan Rakyat dan tindakan pemimpin-pemimpin parti Islam itu boleh menjejaskan perikatan pembangkang itu dalam pilihan raya umum tergempar yang disebut-sebut akan diadakan tahun ini.

“Ini adalah tahun kritikal bagi Pakatan... kita tidak mahu kejadian-kejadian menikam dari belakang atau mengumpat, kita perlu bersama dalam hal ini.

“Sesetengah ahli Parlimen Pakatan macam saya adalah orang kecil, jadi kami tidak tahu apa yang perlu di peringkat atasan... tetapi pemimpin-pemimpin atasan juga tidak tahu. PAS perlu menghormati anggota-anggota lain dalam Pakatan,” kata bekas anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR ini.

Justeru kata beliau, PAS perlu mendedahkan butiran hasil perbincangan itu.

“Bagi tahu kami. Apakah kami bukan anggota yang sama taraf (dalam Pakatan)? Orang ramai, penyokong kami juga ingin tahu... jika ia pertemuan antara pemimpin-pemimpin kanan BN dan Pakatan, kesemua wakil ketiga-tiga parti (dalam Pakatan) harus pergi (hadir sama),” kata Manikavasagam.

Dalam laporan terbaru semalam, The Malaysian Insider melaporkan, pemimpin-pemimpin Umno dan PAS terpaksa mengakhiri perundingan ‘perpaduan Melayu’ di Istana Terengganu pada 24 Disember lalu selepas pertemuan mereka mula menyentuh isu penggunaan kalimah “Allah” oleh bukan Islam.

The Malaysian Insider difahamkan seorang pemimpin Umno pada pertemuan itu bercakap mengenai keperluan perpaduan orang Melayu atas alasan bukan Melayu mengambil kesempatan dengan perpecahan di kalangan orang Melayu dengan membuat pelbagai permintaan termasuk menuntut penggunaan kalimah “Allah” — merujuk kepada langkah Gereja Katolik yang mahu menggunakan perkataan itu dalam akhbar versi Bahasa Malaysia mereka.

Bagaimanapun difahamkan bahawa pada peringkat itu Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat membantah dengan menyebut bahawa ayahanda Nabi Muhammad s.a.w., Abdullah juga pernah menggunakan kalimah “Allah” walaupun dia merupakan bukan Islam.

“Kemudian perbincangan mereka berakhir apabila Agong meminta diri dan Nik Aziz juga meminta diri (keluar daripada perbincangan), dengan mengatakan sakit belakang,” kata satu sumber kepada The Malaysian Insider.

Kelmarin, Nik Aziz enggan mengumumkan butiran perkara yang disentuh dalam pertemuan tersebut dengan berkata, beliau menghadiri pertemuan di Istana Terengganu di sini atas undangan bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, pertemuannya dengan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Terengganu yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tiada kaitan dengan isu politik.

Kata beliau, pemergiannya itu adalah bagi menjunjung perintah Seri Paduka Baginda yang menyampaikan titahnya melalui Abdullah ketika bekas Perdana Menteri itu melawatnya ketika beliau dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia di sini bulan lepas.

“Saya menghadap baginda bersama beberapa pemimpin termasuk Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, di Istana Terengganu, di Kuala Lumpur atas dasar menghormati dan menjunjung titah perintah Tuanku,” katanya.

Nik Aziz membuat penjelasan itu pada sidang akhbar yang turut dihadiri Hadi dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali.

Hadi pula berkata walaupun majlis itu turut dihadiri pemimpin lain termasuk Najib tetapi mereka tidak membincangkan langsung soal-soal politik.

“Tidak ada perjumpaan lain, selain majlis santapan malam itu,” katanya.

Begitu juga pendirian Ketua Pemuda DAP Anthony Loke yang mahu PAS menjelaskan “perundingan perpaduan Melayu.”

“Satu kenyataan daripada PAS untuk menjelaskan isu ini adalah penting bagi mengelakkan kekeliruan,” kata wakil rakyat ini.

“Biar PAS keluarkan kenyataan rasmi untuk mengulangi kedudukan dan komitmen mereka kepada Pakatan Rakyat,” katanya lagi.

Bagaimanapun Loke yakin PAS akan kekal setia dalam Pakatan Rakyat.

“Ramai pemimpin dalam PAS terkenal sebagai penyokong kuat Pakatan seperti Mat Sabu, Nik Aziz, (Datuk) Husam (Musa) and Salahuddin Ayub. Malam tadi, dalam satu ceramah, Mat Sabu secara terbuka mengulangi bahawa beliau akan memastikan PAS akan kekal bersama Pakatan Rakyat,” kata beliau yang nama sebenarnya Mohamad Sabu.

Mohamad Sabu dan Husam merupakan ahli jawatankuasa kerja PAS pusat manakala Salahuddin pula salah seorang daripada tiga naib presiden.

Bagaimanpun Naib Presiden PKR Chua Tian Chang menyifatkan pertemuan Umno dan PAS itu sebagai perkembangan biasa.

“Saya tidak melihat ia sebagai satu perkara besar,” kata beliau sambil menambah, sebagai pembangkang, jika seseorang menjemput kami, mengapa pula tidak mengadakan pertemuan dengan mereka.

“Saya merasakan bahawa persoalan yang perlu ditanya ialah mengapa Najib mahu bertemu dengan PAS?” kata Chua kepada The Malaysian Insider.

Ahli Parlimen Batu ini berkata, adalah sesuatu yang normal bagi pemimpin-pemimpin Pakatan untuk mengadakan pertemuan dengan rakan-rakan sejawatan mereka dari BN secara “sulit” untuk membincangkan perkara-perkara tertentu.

“Ada juga mereka dari Pakatan Rakyat yang bertemu dengan Datuk Seri Hishammuddin Hussein diam-diam berhubung isu Suara Keadilan. Saya tidak melihat pertemuan ini satu petanda bahawa PAS akan meninggalkan Pakatan Rakyat,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Publisiti DAP kebangsaan Tony Pua yakin PAS akan kekal dalam perikatan pembangkang itu.

“Ia dilaporkan sebagai perundingan perpaduan. Tidak pula dilaporkan PAS berminat dengannya,” kata Pua lagi.

Ahli Parlimen ini menambah, undangan Umno kepada PAS itu menunjukkan parti pemerintah kerajaan pusat itu dan juga teras dalam BN tidak ikhlas dalam mengamalkan konsep 1 Malaysia.

“Ini dengan jelas menunjukkan bahawa Umno tidak jujur dengan slogan 1 Malaysia atau matlamat mereka hanya tentang soal perpaduan Melayu Islam dan bukannya perpaduan rakyat Malaysia,” kata Pua.

Penasihat DAP Lim Kit Siang enggan mengulas sehingga PAS mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai apa yang dibincangkan dalam pertemuan 24 Disember itu.

“Sebelum saya komen, kita tunggu dulu satu laporan daripada PAS apa sebenarnya pertemuan itu terlebih dahulu,” kata Lim yang juga wakil rakyat kawasan Parlimen Ipoh Timur. -TMI

Ulasan GB

1) TG Nik Ab Aziz telah pun menjelaskan isu pertemuan 24 Disember tersebut bahawa "“Saya menghadap baginda bersama beberapa pemimpin termasuk Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, di Istana Terengganu, di Kuala Lumpur atas dasar menghormati dan menjunjung titah perintah Tuanku (DYMM Yang Dipetuan Agong".

Berarti sesiapa pun, samada pemimpin kerajaan atau pembangkang apabila dipanggil mengadap oleh Agong, perlu hadir. Jadi tidak timbul persoalan "Mengapa mereka (PAS) harus pergi (hadir pertemuan itu)?" Samada UMNO yang terlibat mengaturkan pertemuan itu, itu adalah hal yang lain dan PAS tidak terlibat mengenai pengaturan pertemuan itu. Yang penting jangan biadab kepada Agong.

2) TG Nik Ab Aziz adalah benar apabila berkata tidak wajar sesuatu yang dibincangkan dimana ianya tidak dapat didedahkan sebagai menghormat ke bawah duli Yang Dipertuan Agong.

Berarti sesiapa pun yang melakukan sebarang perbincangan yang dihadiri oleh Agong tidak wajar mendedahkan kepada umum supaya tidak dianggap curang atau derhaka terhadap Agong.

3) Jika wujud desas-desus mengenai Kerajaan Perpaduan, ianya telah pun tersebar meluas di dalam media bahawa : keperluan perpaduan orang Melayu atas alasan bukan Melayu mengambil kesempatan dengan perpecahan di kalangan orang Melayu dengan membuat pelbagai permintaan termasuk menuntut penggunaan kalimah “Allah, TG Nik Abdul Aziz Nik Mat telah membantah dengan menyebut bahawa ayahanda Nabi Muhammad s.a.w., Abdullah juga pernah menggunakan kalimah “Allah” walaupun dia merupakan bukan Islam.

Berarti PAS dengan kehadiran TG Nik Ab Aziz telah pun "memancung" idea Kerajaan Perpaduan (jika ada) sebermula dari awal lagi. Pemimpin PKR dan DAP perlu menghormati malah berterima kasih dengan TG Nik Abd Aziz

4) Saifuddin Nasution, S/U Agong PKR berlari untuk menemui TG Nik Abd Aziz untuk mendapat penjelasan lanjut. Samada beliau memperolehi maklumat tambahan selain dari kenyataan media TG Nik Abd Aziz atau pun tidak, itu bukan persoalannya tetapi yang nyata "dia tak reti bahasa" bahawa: Apabila TG Nik Abd Aziz menyatakan "Adalah sangat tidak beretika dan tidak beradab bagi saya untuk menceritakan apa-apa yang menjadi perbualan semasa mengadap",

Berarti tiada ada sesiapa pun dengan jawatan paling tinggi sekalipun berhak mendesak TG Nik Aziz berkata apa-apa lagi mengenainya.


Berikut adalah kenyataan penuh MB Kelantan itu seperti yang diedarkan

Kenyataan Media
Tuan Guru Dato Bentara Setia Menteri Besar Kelantan
Merangkap al-Mursyidul Am PAS

Ekoran beberapa kenyataan yang mengelirukan berkaitan pertemuan saya dengan KDYMM Yang Dipertuan Agong, Tuanku Sultan Mizan baru-baru ini, saya suka menjelaskan seperti mana berikut :

Sewaktu saya berada di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, saya telah dikunjungi oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi yang membawa titah KDYMM Yang Dipertuan Agong, Tuanku Sultan Mizan meminta saya mengadap baginda bersama-sama beberapa orang pemimpin termasuk Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang ke majlis santapan malam di Istana Terengganu, yakni istana baginda di Kuala Lumpur. Atas dasar menghormati dan menjunjung titah Tuanku saya telah menghadiri majlis tersebut.

Adalah sangat tidak beretika dan tidak beradab bagi saya untuk menceritakan apa-apa yang menjadi perbualan semasa mengadap.

Oleh itu, saya menyeru semua pihak sama ada media atau mana-mana individu supaya tidak membuat andaian yang tidak menentu dan berharap dapat menghentikan sebarang kenyataan yang tidak tepat demi menjaga kehormatan dan nama baik pihak istana.

Terima kasih. Wassalam.

“MEMBANGUN BERSAMA ISLAM”

TUAN GURU HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT,
MENTERI BESAR KELANTAN MERANGKAP AL-MURSYIDUL AM PAS.



8 ulasan:

  1. gedik gak si nasution ni

    BalasPadam
  2. we must apply the same standard for all leader, if nasha and hadi we screw them until kingdom come, why must we be apologetic to nik aziz?

    BalasPadam
  3. Respect la TGNA yang dah cukup masak dengan perangai Raja sepanjang memerintah Kelantan.

    BalasPadam
  4. yat,

    I'll do it if TGNA went to the meeting without agong's invitation.

    hadi and nasya were known pioneering the idea of UG. Hence why they were srewed up.

    and everybody knows the fact it is TGNA, who has been all this while, saves PAS.

    BalasPadam
  5. Pelik.. apa salahnya YB Saifuddin Nasution pergi jumpa TGNA... Dia mewakili PKR... salahkah bertanya? mana lebih baik bertanya secara direct daripada bertanya melalui media?

    BalasPadam
  6. itu saya kata "tak reti bahasa" sebab TGNA sudah jelaskan, pertemuan itu pertemuan tertutup dengan agong. apa nak cungkil-cungkil lagi. nak desak juga lagi tgna.

    BalasPadam
  7. Pasal apa tak boleh tanyakan TGNA apa yang di bincangkan...apa pasal..Agung tu maksum ke?

    Melayu suka taat dan takut pada manusia lebih daripada Tuhan.... akibat 500 tahun taat membabi buta. Melayu menunggu kehancuran.

    BalasPadam
  8. anon 10.22

    TGNA lebih sedia maklum bab syariat, dan lebih tahu hukum wazir daripada kamu. Nak tunjuk lagak dan tunjuk pandai.

    BalasPadam

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.