4 Jul 2010

Najib Akui UMNO BN Boleh Tewas Dalam PRU13

Usah jadi primadona dalam Umno, kata Najib

PEKAN, 4 Julai — Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menegur anggota dan pemimpin-pemimpin Umno supaya tidak bersikap sebagai primadona, yang akhirnya dilihat akan hanya merosakkan parti itu.

Perdana Menteri yang membuat analogi kejayaan pasukan bola sepak yang sedang bertanding di Piala Dunia ketika ini berkata hanya pasukan yang mempunyai semangat berpasukan yang tinggi sahaja akan berjaya berbanding pasukan yang mempunyai ramai “primadona”.

“Dalam Piala Dunia, pasukan favourite pun kalah. Adakah pasukan favourite Umno dan Barisan Nasional boleh berjaya dalam pilihan raya umum ke-13 nanti?

“Kalau pasukan kita banyak “primadona”, dia kira nak sumbat gol sendiri, alih-alih dia tersungkur, kita bina semangat berpasukan, individu yang ada kebolehan akan lebih berjaya jika ada semangat berpasukan,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian mesyuarat Umno bahagian Pekan di sini.

Beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Pekan berkata semua aanggota dan pemimpin Umno perlu kembali kepada asas perjuangan dengan meletakkan kepentingan parti melebihi daripada kepentingan-kepentingan lain.

Najib berkata dalam sistem politik berparlimen, kedudukan parti politik sentiasa saja akan mengalami pasang surut dan boleh merudum jika tidak melakukan perkara-perkara yang disenangi rakyat.

Perdana Menteri berkata usaha menguruskan kejayaan parti yang telah berjasa kepada bangsa, agama dan negara itu sebenarnya lebih payah berbanding untuk meraih kejayaan.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Najib berkata kiasan itu lebih berbentuk nasihat dan bukanlah bererti Umno kini berada dalam keadaan lemah.

“Ia lebih berbentuk nasihat, apa yang saya sarankan ini sebagai nasihat, nasihat saya sebagai Presiden, untuk diri saya juga.

“Kita mesti sentiasa mengingatkan bukan bererti keadaan terlalu buruk sangat, tapi saya ingin yang terbaik untuk Umno, kita menghadapi pelbagai cabaran, supaya dari proses ini kita jadi parti dan pemimpin yang disanjung rakyat,” katanya.

Najib berkata analogi kejayaan pasukan bola sepak yang bertanding di Piala Dunia itu adalah supaya semua anggota dan pemimpin Umno lebih bersikap mementingkan parti atau pasukan daripada lebih bersikap individulistik.

“Maknanya sebagai sepasukan, kita tengok pasukan dalam Piala Dunia, lebih berjaya dari pasukan yang utamakan individu,” katanya. Ditanya berkenaan perjalanan mesyuarat bahagian Umno yang sedang berlangsung ketika ini,

Najib berkata perjalanan mesyuarat berkenaan kini dipantau sepenuhnya oleh Jawatankuasa Pengurusan melalui laporan yang dibuat Badan-badan Perhubungan Negeri.

“Setakat ini, saya tidak dapat laporan negatif, semua berjalan baik walaupun satu bahagian di Kelantan timbulkan masalah yang agak rumit yang sedang ditangani Badan Perhubungan Umno Kelantan dan Jawatankuasa Pengurusan,” katanya. — Bernama

Ulasan GB

Sebelum ini GB telah mengulas mengenai kekalahan negara-negara Amerika Latin di dalam Piala Dunia 2010.

Dan GB menyatakan jika negara-negara favourite berkenaan boleh tewas, apa tah lagi Barisan Nasional.


Sepertimana tajuk, GB meletakkannya jika Amerika Latin, gergasi bolasepak dunia boleh dibenamkan di Piala Dunia 2010, mengapa tidak Barisan Nasional di negara ini?

Firasat GB berdasarkan keputusan Piala Dunia setakat ini: tunggu saat dan ketika, Barisan Nasional pasti akan dibenamkan supaya mereka menyedari tinggi rendahnya langit dan agar keangkuhan mereka selama ini dipenggal hancur sampai ke bumi.


Tiba-tiba ada yang menempelak GB dengan nicknamenya Maradona menulis di dalam komennya, "kau ingat main bola?"

Kini PM sendiri mengakui kenyataan GB di atas:

“Dalam Piala Dunia, pasukan favourite pun kalah. Adakah pasukan favourite Umno dan Barisan Nasional boleh berjaya dalam pilihan raya umum ke-13 nanti?

Najib dapat menciumi bukan sahaja Maradona yang tak jadi telanjang itu yang ada di dalam UMNO, tetapi ramai primadona yang merosakkan partinya.

“Kalau pasukan kita banyak “primadona”, dia kira nak sumbat gol sendiri, alih-alih dia tersungkur, kita bina semangat berpasukan, individu yang ada kebolehan akan lebih berjaya jika ada semangat berpasukan,” katanya

Ya, evolusi politik pasti berlaku, seperti TPM, Tan Sri Muhyiddin sendiri mengakui UMNO adalah ibarat sebagai sebuah kapal lama yang bergerak perlahan... GB menyatakan kapal lama itu usang dan pasti tenggelam di makan usia... ia akan digantikan dengan sebuah kapal baru.. Pakatan Rakyat namanya!

Kepada "Maradona" yang menulis komen di blog GB ini, berfikirlah seperti Presiden anda berfikir. Alhamdulillah, GB lebih depan setakat ini...

Felda Rosak Di Tangan Najib

Pendedahan mengenai kepincangan dalam Felda yang dimuatkan oleh Suara keadilan banyak berpaksi kepada kenyataan bekas Timbalan Tanah dan Pembangunan Koperasi, Datuk Dr. Tan Kee Kwong (gambar).

Antara lain beliau ditugaskan untuk bertanggungjawab atas isu-isu Felda yang dibangkitkan di Parlimen. Justeru beliau mempunyai banyak contoh mengenai campur tangan politik dalam urusan Felda dan salah urus wang perbadanan itu.

Seperti yang kita maklum rizab tunai Felda susut dari 4.08 billion ringgit pada tahun 2005 kepada 1.35 billion ringgit, penurunan lebih 60 peratus dalam tempoh lima tahun. Salah satu isu yang dikaitkan dengan salah guna wang Felda ialah pembinaan bangunan baru Felda yang menelan belanja 622 juta ringgit.

Dalam wawancara dengan TV Selangor, Datuk Dr Tan menjelaskan latar belakang di sebalik keputusan Felda membina ibu pejabat baru di segi tiga emas Kuala Lumpur. Beliau berkata keputusan itu dibuat oleh Datuk Seri Najib Razak dan adalah contoh terbaik campurtangan Umno dalam urusan Felda.

“Sebelum Najib ambil alih, Felda adalah merupakan satu organisasi yang sangat kuat. Selepas Najib ambil alih tanggungjawap Felda, itu mulanya hancur semua aspek Felda," tegas Dr Tan.

“Pada masa sekarang pun, pentadbiran di dalam Felda itu tiada masalah. Apa masalah besarnya ialah pemimpin kuat Umno campur tangan sebab itu Felda sudah jadi masalah besar lain," tambah beliau.

Bekas Menteri BN ini memberi contoh bagaimana campurtangan politik mempengaruhi projek pembinaan bangunan baru yang mencecah RM220 juta.

“Satu contoh lagi kita difahamkan pada 2006, Felda ada satu cadangan membina satu bangunan sendiri di atas tanah sendiri di kawasan jalan Semarak sebeleh Felda ada banyak rizab tanah di Jalan Felda. Pada masa itu, pelan asal sudah lulus untuk merobohkan satu bangunan lama untuk membina satu bangunan baru 21 tingkat guna wang RM220 juta dan juga pada masa itu sebelum Najib campur tangan sendiri itu kontrak untuk merobohkan bangunan lama sudah dipanggil. Itu makna bila awak dipanggil, pelan merancang sudah dipanggil DBKL," kata Tan.

"Dan juga pada masa itu, Perdana Menteri, Pak Lah sudah bagi satu tarik untuk sambut pada masa itu dan selepas itu, Najib buat satu menyuarat khas di pejabat beliau di Putrajaya. Pada masa itu, dia hanya panggil dua orang, Allahyarham Tan Sri, Pengerusi Naza TTDI dan Datuk Baki. Mesyuarat ini kalau betul-betul rasmi dan telus tidak dimaklumkan kepada Pengerusi Felda dan kepada Ketua Pengarah Felda," jelas beliau.

"Bila pengerusi Felda pada pagi itu dengar berita, Pengerusi dan Ketua Pengarah Felda dengar berita, beliau dan empat pegawai dari Felda masuk kereta cepat-cepat pergi Putrajaya dengan harapan untuk kekalkan pelan lama dan ada menyelamatkan Felda, tapi itu sudah lewat. Sekarang sudah ada pelan baru dimasukkan ke kawasan KLCC di mana kos tanah termahal di seluruh Malaysia," tambahnya lagi. -TVS

BN Tertipu, Percaya Laporan Yahudi

Barisan Nasional (BN) harus menyiasat pemilik The Washington Post terlebih dahulu sebelum membuat dakwaan bagi menjatuhkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar berkata, tindakan itu jelas menjerat BN sendiri kerana mempercayai laporan yang dibuat oleh penulis Yahudi.

“Tindakan itu sekali gus melihatkan BN berjaya di tipu oleh Yahudi sendiri, hanya untuk mencari jalan bagi memburuk dan menjatuhkan reputasi Anwar,” katanya kepada: Sinar Harian.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, sebelum ini Anwar telah menyatakan dengan jelas bahawa apa yang diperkatakan telah disalah tafsir.

Anwar menyifatkan ia sebagai tradisi untuk memburunya biarpun telah menjelaskan bahawa beliau menentang keganasan zionis yang bermaksud keganasan dan penguasaan Yahudi.

The Washington Post :bertarikh 28 Jun lalu melaporkan Anwar telah meluahkan rasa kesal dengan penggunaan perkataan pencerobohan Yahudi dan beliau akan ‘lebih berhati-hati’ pada masa hadapan.

Dalam artikel Jackson Diehl bertajuk Flirting with zealotory in Malaysia, telah menyebut bahawa Anwar menghabiskan banyak masa memberi penjelasan kepada teman lama, termasuk Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Negara, Horward Berman dan beberapa pemimpin Yahudi. -SH

Jika Amerika Latin Boleh Dibenam, Mengapa Tidak Barisan Nasional?

Piala Dunia: Dua pasukan Eropah benam gergasi Amerika Latin

Baki perlawanan suka akhir kejohanan bola sepak edisi Piala Dunia 2010 menyaksikan benua Eropah menguasai tiket separuh akhir dengan membenam dua gergasi dari Amerika Latin di tanah Afrika Selatan.

Selepas juara tiga kali Jerman dengan penuh bergaya menyingkirkan Argentina pimpinan Diego Maradona 4-0, Sepanyol menumpaskan Paraguay 1-0 dalam pertemuan penuh dramatik kira-kira empat jam kemudian.

Penyerang David Villa menyempurnakan pantulan bola pada minit ke-83 untuk melangkah ke separuh akhir walaupun pasukan itu keciciran tendangan penanlti.

Gol Villa itu, yang kelima bagi dirinya dalam kejohanan dan terbanyak setakat ini, membolehkan Sepanyol buat kali pertama dalam era moden memasuki separuh akhir Piala Dunia.

Terdahulu tendangan penanti penyerang Paraguay Oscar Cardozo gagal disempurnakan di separuh masa kedua perlawanan yang berlangsung di Ellis Park.

Lawannya juga gagal menyempurnakan tendangan penanti dua minit kemudian.

Kapten Paraguay Justo Villar menyelamatkan tendangan penalti yang diambil semula oleh Xabi Alonso pada minit ke-58.

Sepanyol, juara Eropah, akan bertemu dengan Jerman di separuh akhir di Durban, Rabu ini.

Malam kelmarin (waktu Malaysia), Belanda menyingkirkan satu lagi gergasi dari Amerika Latin, Brazil 2-1 untuk ke separuh akhir.

Ia akan bertemu dengan Uruguay yang menumpaskan pasukan tunggal benua Afrika Ghana.

Separuh akhir kali ini menyaksikan tiga pasukan Eropah bertarung untuk menjulang Piala Dunia edisi 2010 yang pertama kali dilangsungkan di benua Afrika.

Ramai yang meramalkan perlawanan akhir akan menyaksikan pertembungan Belanda-Jerman.

Terdahulu di Cape Town malam tadi, Jerman mengatasi Argentina 4-0 dengan bintangnya Thomas Mueller menjaringkan gol pada minit ketiga.

Jerman menambah tiga gol di separuh masa kedua.

Bagaimanapun Mueller yang telah menjaringkan empat gol setakat ini tidak akan beraksi di separuh akhir kerana menerima kad kuning.

Ulasan GB

Sepertimana tajuk, Gb meletakkannya jika Amerika Latin, gergasi bolasepak dunia boleh dibenamkan di Piala Dunia 2010, mengapa tidak Barisan Nasional di negara ini?

Firasat GB berdasarkan keputusan Piala Dunia setakat ini: tunggu saat dan ketika, Barisan Nasional pasti akan dibenamkan supaya mereka menyedari tinggi rendahnya langit dan agar keangkuhan mereka selama ini dipenggal hancur sampai ke bumi.


Muhyiddin Seru UMNO Supaya Lebih Ekstrem Pertahan Hak Melayu

Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin malam tadi mengingatkan anggota parti supaya melakukan transformasipolitik, seiring dengan transformasi kerajaan.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata apa yang dilihatnya sekarang, Umno tidak bergerak lancar, dan keadaan itu agak kritikal dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata keadaanya berbeza jika dibandingkan dengan transformasi di pihak kerajaan, di mana Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membuat perubahan yang radikal dan luar biasa dengan memperkenalkan pelbagai inisiatif, antaranya Gagasan 1Malaysia, Program Transformasi Kerajaan dan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

Katanya perubahan yang dilakukan kerajaan itu memulihkan kembali keyakinan rakyat terhadap kerajaan yang didokong oleh pemimpin Umno dan BN dalam memajukan negara, selepas parti itu dilanda "tsunami politik" pada pilihan raya umum lepas.

"Umno sepatutnya sudah berubah, tetapi lambat. Umno ibarat kapal lama. Kita tidak dilihat bergerak lancar, jadi ini lebih kritikal jika hendak menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 yang kurang tiga tahun lagi.

"Kalau kita (Umno) tidak berubah, ada orang yang akan ubah kita. Mereka akan ambil alih (peranan kita)," katanya ketika merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Putrajaya, malam tadi.

Turut hadir ialah Ketua Umno Bahagian Putrajaya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Muhyiddin berkata Umno tidak mempunyai banyak masa lagi, maka mereka perlu membuat perubahan dengan memahami dan menghayati kemahuan serta cita rasa rakyat supaya terus menyokong parti.

Beliau berkata tuntutan rakyat kini sudah berubah dan mereka mahu melihat kesediaan pemimpin Umno dan BN membuat perubahan dalam mentadbir negara pada masa depan.

Sebab itu, katanya Umno memperkenalkan program Juara Rakyat supaya pemimpin dan anggota parti dapat menyelami perasaan dan membantu serta menyelesaikan masalah rakyat.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata Umno perlu lantang dan tidak perlu takut dalam mempertahankan hak orang Melayu kerana asas perjuangan parti itu adalah bagi membela bangsa Melayu dan agama Islam di Malaysia.

"Sekarang saya nampak badan bukan kerajaan (NGO) yang agak lebih lantang memperjuangkan hak orang Melayu sedangkan itu agenda Umno. Kenapa kita dilihat lesu? Orang Melayu tidak sehebat dulu. Jadi mereka (orang Melayu) pergi ke badan-badan lain. Ini satu kesilapan,"
katanya.

Beliau berkata Umno perlu terus ke hadapan memperjuangkan hak orang Melayu namun pada masa yang sama, mereka juga tidak boleh menafikan hak bangsa-bangsa lain dalam negara.

--Bernama