8 Feb 2010

Ketegasan Ku LI Dipuji : UMNO Boleh Pecat Saya Jika Mahu

Tengku Razaleigh Hamzah berkata Umno berhak untuk memecat beliau jika berhasrat untuk berbuat demikian berhubung pendiriannya dalam isu pertikaian Kelantan untuk mendapatkan royalti minyak.

“Mereka mempunyai segala hak untuk memutuskan apa yang mereka mahukan. Jika mereka minta saya keluar, saya akan keluar. Jika mereka minta saya kekal, saya akan (kekal),” kata beliau kepada pemberita di sini hari ini.

Ketika ditanya sesetengah pihak tersinggung ekoran teguran dan pendirian beliau yang tegas berulang kali dalam isu ini, Tengku Razaleigh (gambar) berkata, “siapa yang makan cili dialah rasa pedas.”

Pengasas dan bekas pengerusi Petronas berkata beliau hanya menjelaskan peruntukan dalam Akta Pembangunan Petroelum sejak kebelakangan ini termasuk hak kepada kerajaan negeri Kelantan.

“Ia bukan pendirian saya. Saya tiada apa-apa kaitan dengannya,” kata beliau.

Oleh itu kata beliau, tujuan asal akta itu ialah memastikan negeri-negeri miskin di Malaysia menerima manfaat.

Nasihat beliau kepada Petronas ialah mematuhi peruntukan dalam perjanjian yang ditandatangani dengan negeri-negeri berkenaan.

Awal bulan ini, Tengku Razaleigh berkata tindakan disiplin yang didesak sesetengah pihak dalam parti itu adalah tidak relevan dan Umno boleh mengambil apa sahaja tindakan yang mereka inginkan.

“Apa sahaja (tindakan yang) mereka hendak lakukan ke atas saya adalah tidak relevan,” katanya.

Beberapa pihak dalam Umno menggesa agar parti mengambil tindakan ke atas Tengku Razaleigh berikutan kenyataannya Khamis lepas yang mendakwa kerajaan negeri Kelantan kini patut mendapat bayaran royalti minyak dan bukannya wang ihsan.

Perdana Menteri dan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak pula berkata pucuk pimpinan parti akan meneliti ucapan Tengku Razaleigh itu. -MI Video-TVS



Ulasan GB

Setinggi penghargaan kepad YBM Tengku Razaleigh Hamzah kerana ketegasannya. Jadi apa tunggu lagi UMNO? Apa tunggu lagi Mustapha? Apa tunggu lagi Awang Adek Husin? Apa tunggu lagi Muhyiddin? Apa tunggu lagi Najib? Anda semua berani pecat Ku Li atau tidak?

Jika tak berani, then pay the royalty to the Kelantan government.

Iktibar Untuk Jawatankuasa Disiplin PAS

Hatib bin Abi Balta'ah, Sahabat Yang Mendedahkan Rahsia Jamaah

Oleh Ustadz Ahmad Awang

Firman Allah:
إِنَّ اللّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤدُّواْ الأَمَانَاتِ إِلَى أَهْلِهَا
وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ النَّاسِ أَن تَحْكُمُواْ بِالْعَدْلِ إِنَّ اللّهَ نِعِمَّا
يَعِظُكُم بِهِ إِنَّ اللّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا

Maksudnya:
Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat. (An-Nisa': 58)

Fat-hu Makkah
Pembukaan Kota Makkah pada bulan Ramadhan tahun kelapan hijriah merakamkan pelbagai peristiwa penting dalam sejarah perjuangan Islam di bawah pimpinan Rasulullah s.a.w. untuk dijadi iktibar dan pengajaran bagi umatnya. Salah satu peristiwa tersebut ialah tindakan Hatib bin Abi Balta'ah (HAB) menulis surat kepada kaum Quraisy di Makkah memberitahu perancangan Rasulullah s.a.w. untuk menyerang kaum musyrikin Quraisy secara mengejut.

Rasulullah s.a.w. merahsiakan perancangan tersebut bagi memeranjatkan kaum Quraisy dengan kehadiran tentera Islam di Makkah. Hanya beberapa orang sahabat sahaja yang diberitahu baginda. Rasulullah menyediakan angkatan perang yang mengandungi tidak kurang dari 10,000 orang pejuang setelah menolak permintaan Abu Sufyan bin Harb, ketua musyrikin Makkah, supaya Perjanjian Damai Hudaibiah yang terbatal disambung semula setelah pihak Quraisy dan sekutunya mencabuli perjanjian damai tersebut kira-kira 2 tahun perjanjian tersebut terlaksana.

HAB yang mengetahui rahsia tersebut mengirim surat kepada kaum Quraisy kerana kebimbangannya keluarganya dari kaum musyrikin di Makkah akan terancam keselamatan mereka. Surat tersebut dikirimkannya melalui seorang wanita bernama Dza'inah. Rasulullah yang mendapat wahyu Allah mengenai perbuatan HAB itu memerintahkan Sayidina Ali bin Abi Talib bersama dengan Zubair dan Miqdad segera mengambil surat tersebut dari wanita berkenaan yang dalam perjalanan menuju ke Makkah. Di satu tempat bernama Raudzah Khoh seperti yang diarahkan oleh Rasulullah s.a.w., wanita tersebut ditemui dan menyerahkan surat tersebut kepada Sayidina Ali setelah dia diperiksa walaupun pada mulanya menafikan ada membawa surat berkenaan.

Hatib Dipanggil
Kemudian Sayidina Ali menyerahkan surat itu kepada Rasulullah s.a.w. yang didapati isi kandungannya menyebutkan datangnya dari HAB dan ditujukan kepada orang-orang musyrikin Makkah yang mendedahkan perancangan yang dirahsiakan oleh Rasulullah s.a.w untuk menyerang kaum Quraisy. HAB dipanggil mengadap Rasulullah s.a.w. dan disoalsiasat mengenai surat tersebut. HAB mengaku melakukannya. Dia memberi alasan bahawa hubungannya dengan kaum musyrikin Quraisy di Makkah sangat rapat apatah lagi di kalangan mereka itu terdapat orang-orang yang menjaga dan melindungi keluarga dan harta orang-orang Islam yang berhijrah ke Madinah. HAB juga memberikan alasan bahawa kaum musyrikin Makkah melindungi kaum keluarganya sendiri di sana. Dia menegaskan bahawa perbuatannya itu bukanlah kerana berpaling tadah dari Islam (murtad) atau redha dengan tindak-tanduk orang-orang kafir musyrikin itu.

Rasulullah menerima alasan itu. Lantas Sayidina Umar Al-Khattab yang hadir bersama di majlis itu meminta Rasulullah membenarkannya untuk memancung HAB. Sayidina Umar mengatakan HAB adalah seorang yang munafik. Rasulullah s.a.w. menjawab Sayidina Umar dengan berkata bahawa HAB adalah seorang 'ahli badr' (yang telah menyertai perang Badr). Rasulullah berkata lagi kepada Sayidina Umar: "Kamu tidak tahu, moga-moga Allah memberi kedudukan kepada orang yang menyertai perang Badr." Nabi berkata pula kepada HAB: "Buatlah apa yang kamu suka, aku telah memaafkan kamu." Bersebab dari peristiwa ini, turunlah ayat Al-Quran (Al-Mumtahanah, ayat 1) yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil musuhKu dan musuh kamu menjadi teman rapat, dengan cara kamu sampaikan kepada mereka (berita-berita rahsia orang-orang mukmin) dengan sebab hubungan baik dan kasih mesra yang ada di antara kamu dengan mereka, sedang mereka telah kufur ingkar terhadap kebenaran (Islam) yang sampai kepada kamu; mereka pula telah mengeluarkan Rasulullah (s.a.w) dan juga mengeluarkan kamu (dari Tanah Suci Makkah) disebabkan kamu beriman kepada Allah Tuhan kamu. (Janganlah kamu berbuat demikian) jika betul kamu keluar untuk berjihad pada jalanKu dan untuk mencari keredaanKu. (Tidak ada sebarang faedahnya) kamu mengadakan hubungan kasih mesra dengan mereka secara rahsia, sedang Aku amat mengetahui akan apa yang kamu rahsiakan dan apa yang kamu zahirkan. Dan (ingatlah), sesiapa di antara kamu yang melakukan perkara yang demikian, maka sesungguhnya telah sesatlah ia dari jalan yang betul."

Ayat di atas menegaskan bahawa dalam apa jua keadaan pun Islam tidak membenarkan mengambil dari musuh-musuh Allah menjadi pemimpin yang ditumpahkan perasaan kasih sayang kepada mereka, atau diberikan bantuan atau pertolongan kepada mereka. Ayat ini diturunkan sekalipun HAB memberikan alasan bahawa dia bukan bertujuan menolong atau membantu kaum musyrikin Makkah itu, bahkan sebaliknya dia mahu mereka melindungi keluarganya serta hartabenda orang Islam yang berhijrah yang ditinggalkan kepada mereka.

Iktibar Kepada Jawatankuasa Displin PAS
Mengingat peristiwa perbuatan HAB mendedahkan rahsia penting mengenai perancangan Rasulullah membuka Makkah (fat-hu Makkah), terlintas di fikiran saya tidakkah Jawatankuasa Displin PAS yang dianggotai oleh dua orang ulama' terfikir peristiwa ini boleh dijadikan panduan atau iktibar dalam memutuskan penghakiman terhadap Khalid Samad (KS) atas pertuduhan yang dikatakan serius iaitu mendedahkan RAHSIA parti. Sebesar manakah rahsia yang didedahkan KS itu telah juga dijawab oleh beliau sendiri di hadapan majlis penghakiman Jawatankuasa Displin yang diketuai oleh Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man.

Rahsia yang didedahkan oleh HAB adalah satu rahsia yang sangat besar dan perbuatan yang dilakukan oleh HAB itu satu kesalahan yang sangat serius sehingga Allah memberitahu rasulNya atas perbuatan HAB itu. Kalau rahsia sebesar itu yang didedahkan HAB boleh diampuni oleh Rasulullah s.a.w. atas pertimbangan HAB adalah 'ahli badr', walaupun mendapat sanggahan dari Sayidina Umar Al-Khattab, apakah KS tidak layak untuk dimaafkan menimbangkan usaha dan pengorbanannya yang besar dalam PAS. Kita tidaklah samakan pengorbanan KS setaraf dengan pengorbanan 'ahli badr', namun jasa KS juga besar kepada PAS yang mungkin boleh dipertimbangkan. Antaranya, peranan beliau yang menggagalkan perancangan sulit pimpinan PAS Selangor untuk menubuh kerajaan gabungan PAS-UMNO di Selangor, dua atau tiga hari selepas PRU Ke-12 2008. KS juga dalam tempoh perjuangannya dalam PAS hampir 30 tahun pernah bertanding dan kalah di Kelantan, Perlis dan Selangor sebelum PRU Ke-12. Beliau juga berkorban dengan meninggalkan jawatan profesionalnya hingga kehilangan sumber pendapatan lumayan yang pernah dinikmatinya. KS juga pernah ditahan di bawah ISA.

Saya percaya sebahagian pimpinan PAS dan ramai pendokong jamaah PAS mengenali KS seorang yang dapat menampilkan perjuangan PAS dengan keupayaan dan kekuatan berhujah, baik di segi rasional mahupun dari segi prinsip-prinsip dan kaedah dakwah Islam. KS pernah bersama saya dalam satu lajnah yang saya mempengerusikannya. Saya dapati beliau seorang yang memang bercakap dan bekerja dengan perancangan dan melaksanakan perancangan yang diprogramkan dengan begitu bersungguh-sungguh. Cukup kalau saya katakan kalau ramai pimpinan PAS seperti KS, PAS boleh bergerak lebih lancar dan maju ke hadapan dalam konteks PAS ber'tahaluf' degan parti-parti Pakatan Rakyat sekarang, bahkan dengan parti-parti lain yang (selain UMNO) yang boleh ber'tahaluf' dengan PAS.

Bersabit dengan perkara mendedahkan RAHSIA parti, saya melihat kepimpinan parti perlu menggariskan panduan yang eksklusif bagi mentakrifkan kerahsiaan itu supaya tidak dipertikaikan tafsirannya terutama apabila ia melibatkan kes pertuduhan yang diadili Jawatankuasa Displin parti. Bahkan selaras dengan pindaan perlembagaan yang terkini mengenai Jawatankuasa Displin, perlu juga diteliti kedudukan keahlian jawatankuasa tersebut bagi membolehkan terlaksananya prinsip keadilan dalam sebuah ungkapan yang popular "not only must justice be done, it must also be seen to be done" yakni bermaksud keadilan bukan sahaja mesti dilaksanakan, bahkan mesti kelihatan dilaksanakan. -Blog Ust Ahmad Awang

6 Sekeluarga Rentung Dalam Kamalangan Dikenalpasti

Polis mengenal pasti enam mangsa sekeluarga yang rentung dalam satu kemalangan di Km 252, Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran plaza tol Senawang menghala ke selatan dekat sini pagi tadi.

Mereka ialah Pengarah Urusan Fadhilat Herbs Sdn. Bhd. Suhaimi Ghazali, 41; isterinya Nor Fadilah Senin, 32; serta empat orang anak mereka, Nurul Natashahuda, 11; Mohd Daniel Iskandar, 10; Mohd Hanif Iman, 6; dan Adi Putra, 2.

Pegawai Turus Trafik negeri, ASP Abdul Halil Hamzah berkata, mayat kesemua mangsa dituntut oleh keluarga mereka hari ini untuk dibawa ke rumah keluarga di Kampung Bukit Pegoh, Pernu, Melaka.

Kesemua mangsa dikebumikan hari ini.

Sementara itu, bapa saudara Allahyarham Suhaimi, Nowawi Johari, 60, yang ditemui di bilik mayat Hospital Tuanku Jaafar di sini berkata, beliau mendapat berita itu apabila salah seorang kakitangan Fadhilat Herbs menghubunginya pada kira-kira pukul 11.30 pagi ini.

"Mereka sekeluarga bertolak dari Melaka untuk bercuti dan berjumpa stokis di Bukit Merah Lake Town Resort, Perak pada Sabtu lepas, dan kemalangan itu berlaku ketika mereka dalam perjalanan pulang ke Melaka.

"Kemalangan itu sungguh menyayat hati kerana yang meninggal dunia melibatkan Suhaimi, isteri dan kesemua empat orang anak mereka. Kali terakhir saya jumpa arwah Suhaimi Jumaat lepas,” kata beliau.

Allahyarham Suhaimi adalah pengasas dan pengarah urusan Fadhilat Herbs Sdn. Bhd., manakala isterinya adalah pengarah kewangan syarikat itu.

Kilang syarikat itu yang mempunyai 35 orang petugas, terletak di Teluk Mas, Melaka dan telah beroperasi sejak dua tahun lepas. – Bernama



Tindakan Tegas Perlu Diambil Ke Atas Blogger Hina TGNA

Laporan polis yang dibuat PAS Kelantan terhadap blog yang menghina Menteri Besar Kelantan dengan memaparkan ilustrasi Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat sedang “diliwat” oleh Ketua Umum PKR, harus dikenakan tindakan tegas.

Naib Presiden PAS, Mahfuz Omar berkata, PAS Kelantan melakukan tindakan yang wajar dengan membuat laporan polis dan tindakan tegas harus dikenakan kepada penulis blog tersebut.

“Laporan tersebut merupakan sesuatu yang sangat wajar untuk meminta polis secara agresif membanteras bahawa kita katakan sebagai satu jenayah untuk mengambil tindakan terhadap laporan-laporan yang tidak berasas yang mengaibkan dan boleh mencalarkan nama baik seseorang” kata Mahfuz.

Semalam laporan itu dibuat oleh Setiausaha Keselamatannya, Mejar (B) Mohamad Ibrahim di Ibu Pejabat Polis Kota Bharu, untuk menyiasat blogger berkenaan.

Blog tersebut, selain mempamerkan beberapa imej lucah menggunakan kaedah tindih gambar namun turut memuatkan artikel memburukkan dua tokoh itu.

“Dan ternyata, laporan seperti itu yang disiarkan oleh blog tertentu adalah bertujuan berniat jahat untuk menjatuh dan mengaibkan Tuan Guru dan Datuk Seri Anwar Ibrahim”.

Mengulas tentang hak kebebasan media untuk melaporkan sesuatu berita, Mahfuz berkata, tiada halangan kepada media arus perdana mahu pun media baru untuk melapor dan meluahkan pandangan masing-masing namun ia haruslah bertunjang kepada rasa tanggungjawab dan maklumat yang tepat.

“Bagi saya bahawa, mana-mana sekalipun yang terlibat dalam sektor media ini, tidak kiralah sama ada media arus perdana, media konvensional, atau media baru ini, mereka harus beretika, laporan yang diberikan mesti betul. Bukan kepada ilustrasi, emosi yang boleh menimbulkan kekecohan, di kalangan masyarakat kita ini. Jadi sewajarnya tindakan harus diambil kepada mereka" tambah Mahfuz lagi.

Hadir sama membuat laporan tersebut ialah Penasihat Undang-undang PAS Kelantan, Hisham Fauzi, exco Pemuda PAS negeri, Mohammad Abdul Rashid Yah dan 30 penyokong PAS.
PAS Kelantan menyifatkan perbuatan itu sebagai bersifat provokatif dan boleh menyebabkan ketidakstabilan politik dalam negara serta meminta siasatan segera dijalankan di bawah Akta Multimedia, Akta Hasutan dan Kanun Keseksaan.



Buku Bongkar Misteri Kematian Altantuya Mula Diedarkan

Buku berjudul “Di sebalik misteri pembunuhan Altantuya” — wanita Mongolia Altantuya Shariibuu yang dibunuh kira-kira empat tahun lalu secara senyap-senyap — mula diedarkan di seluruh negara.

Sebanyak 3,000 naskhah dikeluarkan sebagai cetakan pertama, tetapi ia tidak boleh diperoleh di kedai-kedai buku yang normal.

Sebaliknya, ia diedarkan menerusi pos atas pendekatan kenalan oleh Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), sebuah gerakan muda bukan berstruktur yang menghimpunkan anak-anak muda Malaysia dari pelbagai latar, yang percaya akan keperluan bangkit dengan keberanian dan sepenuh daya mendesak perubahan.

Salah seorang anggota SAMM, Badrul Hisham Saharin memberitahu buku ini dikeluarkan kerana tidak mahu menganggap kes Altantuya sebagai kes pembunuhan biasa dan sudah berakhir.

“Ia perlu dirungkai kerana ia menggambarkan isu krisis kehakiman, persenjataan dan keselamatan negara, rasuah, kronisme dan seumpamanya yang semakin bejat dalam menghimpit hidup rakyat yang smemangnya terhimpit,” kata beliau.

Buku setebal 80 halaman ini menghimpunkan ringkasan peristiwa pembunuhan Altantuya dengan menyatakan latar belakang kes, terjemahan laporan akhbar Perancis, kenyataan penyiasat persendirian dan temu bual dengan P. Balasubramaniam.

Ia diakhiri dengan surat terbuka SAMM.

Muka depan dihiasi dengan wajah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, Balasubramaniam dan kenyataan tertuduh-tertuduh kes pembunuhan Altantuya.

Ia dijual dengan harga RM13 senaskhah.

“Kes Altantuya belum tamat selagi mereka yang terbabit selain dari mereka yang membunuh dihumban ke penjara dan menerima hukuman setimbal,” kata Badrul yang juga anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat ketika ditemui di Rembau baru-baru ini.

Kata beliau, rancangan untuk menerbitkan buku itu sudah lama dimulakan tetapi tertangguh beberapa kali disebabkan masalah kewangan.

Urusan percetakan selesai fasa pertama akhir bulan lalu.

“Sehingga kini kami telah mengedarkan hampir 1,000 buku... sasaran kami ialah mereka bukan kalangan ahli PKR semata-mata, tetapi di luar lingkungan penyokong PKR,” katanya.

Menjawab soalan sebab perlunya mengeluarkan buku sedemikian, Badrul yang juga editor buku memberitahu, “ramai tertanya kenapa isu Altantuya menjadi pilihan kerana ia menjadi isu besar yang penuh misteri”.

Dalam kata-kata aluannya Badrul atau dikenali sebagai Che’guBard berkata, isu itu melibatkan imej negara.

“Isunya terkait sehingga perdana menteri dan persoalan keselamatan negara.

“Ramai yang masih tidak faham. Ketika beberapa teman dari SAMM ditahan kerana terlibat membangkitkan isu ini ada yang memandang sinis dengan persoalan kenapa perlu membela pelacur.

“Ada yang menyokong pula sehingga melihat isu ini isu skandal seks semata-mata. Namun ia jauh dari itu...,” kata beliau sambil menambah, ia dihasilkan semudah mungkin bagi pemahaman rakyat biasa. -MI

Anwar Berhak Perbicaraan Yang Adil, Karpal Mohon Hakim Dilucutkan

Perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim ditangguhkan sehingga pagi esok selepas peguamnya memohon agar Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohamad Diah dilucutkan daripada mendengar kes ini kerana tidak berpuas hati dengan cara mahkamah menguruskan bantahan berhubung liputan Utusan Malaysia minggu lalu.

Peguam utama pasukan Anwar, Karpal Singh mengemukakan permohonan di peringkat awal prosiding hari keempat perbicaraan kes liwat pagi ini.

Dalam mengemukakan permohonannya Karpal berkata, keputusan mereka itu berdasarkan rasa tidak puas hati yang timbul terhadap cara hakim mengendalikan permintaan agar mengambil tindakan menghina mahkamah ke atas akhbar berkenaan.

Menurut Karpal, cara hakim mengendalikan permintaan berhubung tindakan akhbar itu “membawa elemen bahaya di pihak hakim yang arif.”

Karpal telah membangkitkan corak liputan Utusan Malaysia pada Khamis dan Jumaat lalu.

Pada Jumaat lalu, Karpal memohon mahkamah supaya mengeluarkan amaran kepada Utusan Malaysia berhubung gambar yang disiarkan oleh akhbar itu hari ini dengan keterangan gambar “Saiful menunjukkan katil tempat diliwat oleh Anwar Ibrahim kepada Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah”.

“Bagaimanakah maklumat ini boleh bocor. Begitu juga dalam Sinar Harian,” kata Karpal.

Bagaimanapun Peguam Cara Negara II Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden berkata: “Saya percaya ada jurugambar yang masuk ketika prosiding melawat di tempat kejadian di kondominium itu, tetapi apa yang dipersetujui, apa yang diberitahu oleh saksi pendakwa pertama (Saiful) telah tiada bantahan.”

Karpal berkata akhbar berkenaan menggunakan perkataan “katil” dan bukan “tempat” dan itu bukanlah apa yang berlaku semasa prosiding mahkamah terbuka.

Hakim Mohamad Zabidin berkata mahkamah tidak nampak sebarang tindakan menghina mahkamah berhubung laporan Utusan Malaysia dan Sinar Harian itu memandangkan perkataan “katil” telah pun disebut semasa prosiding mahkamah terbuka.

Sehari sebelum itu, pasukan pembelaan Anwar juga mahu agar Utusan Malaysia dikenakan tindakan menghina mahkamah berhubung laporan akhbar itu pada hari Khamis mengenai perbicaraan kes liwat melibatkan ketua pembangkang itu.

Karpal berkata mahkamah perlu bertindak dan merujuk akhbar itu dengan kesalahan menghina mahkamah walaupun ia berlaku di luar mahkamah.

Berdasarkan afidavit dikemukakan Karpal, Utusan pada 4 Februari lalu telah menerbitkan laporan muka depan di bawah tajuk “Tak rela diliwat lagi” dengan gambar bertentangan Anwar dan Saiful. Pada halaman tiga akhbar itu melaporkan “Berhenti kerana tidak mahu diliwat lagi”.

Ketika ditemui wartawan, Anwar berkata sebab utama permohonan itu difailkan adalah kerana beliau mahukan perbicaraan yang adil.

“Helah politik dan usaha memusnahkan karakter saya dengan sengaja terus-menerus dilakukan oleh akhbar-akhbar milik Umno dibenarkan.

“Kenyataan yang disiarkan tidak tepat sama sekali, tetapi hakim tidak mengambil apa-apa tindakan,” kata Anwar.

Permohonan itu akan didengar pukul 9.30 pagi esok.

Anwar, penasihat Parti Keadilan Rakyat dan Ahli Parlimen Permatang Pauh, dituduh meliwat Mohd Saiful Bukhari Azlan di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Dia dituduh mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan disebat jika disabit kesalahan.

Perbicaraan itu berlangsung selepas 18 bulan Anwar pertama kali dihadapkan ke mahkamah pada Ogos 2008.

Saiful, bekas pembantu peribadi Anwar adalah saksi pertama yang memberi keterangan apabila kes itu bermula pada Rabu lepas di hadapan Hakim Mohamad Zabidin. -MI



Toyota Panggil Balik 300,000 Prius

SSyarikat Toyota akan memanggil semula 300,000 kereta Prius hibrid ekoran masalah brek, lapor beberapa buah akhbar semalam.

Berita itu merupakan tamparan hebat terhadap syarikat gergasi Jepun itu yang menghadapi masalah keselamatan sehingga mencemarkan reputasi syarikat berkenaan.

Tindakan memanggil balik itu akan menjejaskan model Prius iaitu sebuah kereta yang disayangi oleh bintang-bintang Hollywood dan aktivis alam sekitar.

Masalah kereta Prius itu merupakan tamparan terbaru terhadap Toyota selepas ia memanggil semula lapan juta unit kereta di seluruh dunia kerana masalah pedal minyak yang tersangkut pada karpet kenderaan.

Akhbar Yomiuri Shimbun melaporkan bahawa tindakan memanggil balik Prius dibuat untuk membaiki program perisian selepas sistem brek antikunci yang dicipta untuk mengelak kereta tergelincir dijangka menjejaskan kira-kira 270,000 kenderaan di Jepun dan Amerika Syarikat (AS).

"Pihak syarikat telah memberitahu pihak pengedar di Jepun bahawa ia akan memanggil semula model baru Prius yang dijual di negara ini.

"Syarikat akan turut membaiki perisian tanpa sebarang bayaran di AS dan lain-lain negara," lapor akhbar berkenaan.

Akhbar itu melaporkan pihak syarikat akan membuat pengumuman rasmi pada minggu ini.

Sementara itu, akhbar Nikkei melaporkan syarikat Toyota akan membaiki kira-kira 30,000 kenderaan yang dijual di Eropah, China, Australia, Asia Barat dan beberapa wilayah lain.

Syarikat Toyota yang merupakan pembuat kereta No.1 dunia telah menjual lebih 300,000 model terbaru Prius di 60 buah negara sejak model terbaru dikeluarkan pada Mei lalu.

Kementerian Pengangkutan Jepun melaporkan ia menerima kira-kira 80 aduan pada bulan ini berhubung masalah brek tidak berfungsi selain meminta satu siasatan dilakukan.

Media tempatan melaporkan lima kes yang dilaporkan kepada kerajaan mempunyai kaitan dengan kemalangan.

Syarikat Toyota yang menyingkirkan General Motors untuk menjadi pembuat kereta No.1 dunia itu mengeluarkan 530,000 unit kereta hibrid pada 2009. - AFP

Tikus Dalam Kuah Roti Canai

Kangar - Seorang pemuda serik untuk mengunjungi sebuah restoran di sini, selepas loya dan muntah teruk apabila termakan kari yang didakwa mengandungi tikus ketika membeli roti canai di restoran berkenaan.

Kejadian serupa turut berlaku ke atas tiga adiknya apabila memakan roti canai dicicah kari itu pada malam Ahad lalu.

Mohd Shafiq Abdul Karim, 23, mendakwa, dia termuntah dan berasa loya selama tiga hari selepas menyedari kari dimakan bersama tiga adiknya adalah kuah tikus.

Menurutnya, kejadian itu disedari apabila dia mengambil ketulan daging dalam kuah kari yang dibeli dari sebuah restoran untuk dimakan bersama nasi manakala roti canai sudah dimakan tiga adiknya.

Katanya, dia membeli tiga keping roti canai bernilai RM2.40 di restoran berkenaan dan melihat kuah kari di dalam periuk hampir habis.

“Pekerja terbabit mencedok seketul daging berserta kuah sebelum dibungkus bersama roti canai. Saya menjangka mendapat bonus seketul daging kerana selalunya pekerja memberi kuah untuk roti canai,” katanya.

Menurutnya, tiga adiknya berumur 12 hingga 16 tahun begitu berselera menikmati tiga keping roti canai dengan mencicah gulai berkenaan manakala seketul daging dibiarkan kepadanya untuk dimakan bersama nasi.

“Bagaimanapun, saya terkejut besar apabila melihat gigi dan misai panjang pada ketulan daging berkenaan dan selepas diamati ia sebenar bangkai tikus yang dibelinya bersama kuah kari roti canai berkenaan. Saya berasa loya dan terus termuntah.

Perkara itu dimaklumkan kepada tiga beradik yang lain sebelum ketiga-tiga mereka juga menghadapi sindrom sama.

“Sehingga sekarang, kami berempat begitu fobia melihat gulai daging selepas termakan gulai tikus dari restoran berkenaan,” katanya dari Taman Sena Indah, di sini, semalam.

Mohd Shafiq yang merupakan lepasan sebuah kolej swasta berkata, dia terus memaklumkan kepada bapanya sebelum kedua beranak terbabit membawa ketulan tikus terbabit kepada Bahagian Teknologi Makanan, Jabatan Kesihatan Perlis, pada keesokan harinya.

Menurutnya, pegawai bahagian terbabit mengesahkan gulai daging berkenaan adalah tikus dan dia bertindak melaporkan perkara terbabit kepada penguat kuasa pengguna Perlis untuk tindakan lanjut.

Difahamkan restoran terbabit pernah dikenakan tindakan, termasuk notis amaran oleh pihak berkuasa tempatan kerana gagal mencapai tahap kebersihan ditetapkan.

Shafiq tidak menolak kemungkinan ramai lagi pelanggan tidak menyedari sudah menikmati kuah kari bangkai tikus yang disediakan restoran itu. -SH

Arahan Muhyiddin Buktikan Komponen BN Hadapi Masalah Serius

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam mengarahkan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) yang bermasalah supaya mengambil langkah segera menyelesaikan masalah parti mereka.

Katanya, BN tidak mahu masalah dalaman sesebuah parti komponennya membawa kesan negatif dan menjejaskan sokongan rakyat terhadap BN.

Beliau berkata, pemimpin parti terlibat harus menyelesaikan masalah mereka bagi memudahkan usaha BN mengembalikan keyakinan rakyat.

“Walaupun masalah dalaman parti-parti terlibat tidak menjejaskan urusan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak namun jika masalah mereka selesai, lebih mudah untuk mengembalikan keyakinan rakyat,” katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan program Juara Rakyat peringkat negeri Kedah di sini semalam, beliau berkata, MCA juga diarah mengambil langkah segera menyelesaikan masalah dalam kerana parti itu harus memberi keyakinan terhadap kaum Cina di negara ini.

Dua parti yang menghadapi krisis kepimpinan berpanjangan sejak t:ahun lepas ialah MCA dan Parti Progresif Penduduk (PPP).

Sementar itu, Ahli Jawatan Kuasa Pusat MCA, Datuk Ti Lian Ker meminta Tan Sri Muhyiddin menasihati pemimpin komponen Barisan Nasional (BN) khususnya yang bergelar Menteri agar berhenti bercakaran sesama sendiri.

“Pemimpin yang mantap dan matang tidak akan bercakaran sesama sendiri sebaliknya sentiasa mencari jalan mengukuhkan BN selari dengan semangat demokrasi.

“Ada kalanya pemimpin yang bercakaran ini sentiasa melaungkan semangat demokrasi namun pada masa yang sama mereka sendiri yang tidak mematuhi semangat itu selain tidak berpegang kepada konsep keluhuran perlembagaan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan ang pau kepada warga emas di dewan Menteri Besar, semalam.

Lian Ker berkata demikian ketika diminta mengulas teguran TPM apabila mengarahkan parti-parti komponen BN yang bermasalah khususnya MCA dan parti Progresif Penduduk (PPP) supaya mengambil langkah segera menyelesaikan kemelut dalam parti masing-masing.

“Masalah dalaman dalam MCA adalah masalah yang lebih bersifat individu.

“Dalam hal ini, semua parti komponen ada krisis dalaman masing-masing, justeru itu semua parti terlibat perlu menyelesaikan masalah mereka,” katanya.

Karpal Mohon Supaya Hakim Tarik Diri Dari Bicarakan Kes

Perbicaraan kes liwat Saiful hari keempat menyaksikan perbicaraan terpendek.

Belum sempat saksi pertama, Saiful Bukhari Azlan yang mendakwa diriya diliwat dipanggil untuk disoalbalas, peguam pembela Karpal Singh telah membuat permohonan di depan Hakim.

Karpal memohon supaya hakim Mohd Zabidin Mohd Diah menarik diri daripada membicarakan kes. Pendakwa telah membuat bantahan dan meminta masa untuk bersedia.

Karpal membuat permohonan berasaskan kepada keputusan hakim pada perbicaraan tertutup pada hari kedua dimana “ia mempunyai elemen bias”. Ia dikatakan berhubung dengan tajuk utama Utusan Malaysia yang menggunakan perkataan 'lagi' tetapi dipertikaikan oleh pihak pembelaan.

Selain itu, sekeping gambar dengan penerangannya juga dijadikan bahan pertikaian kedua-dua pihak.

Karpal pada minggu lalu meminta hakim supaya mengeluarkan perintah menghina mahkamah terhadap akhbar-akhbar Utusan Malaysia dan Sinar Harian.

Karpal berkata hakim Mohamad Zabidi tidak membuat keputusan terhadap permhonan lalu dengan “fikiran terbuka.”

Sekalipun dibantah oleh Pendakwa namun, hakim membenarkan permohonan Karpal untuk diperdengarkan dan mahkamah menetapkan pendengaran permohonan itu pada esok (9/02/2010) jam 9.30 pagi.

Lintas Lansung Perbicaraan Kes Liwat 2 Hari Keempat Pada 8/02/2010

Perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi di sini yang masuk hari keempat esok akan menyaksikan pihak pembelaan menyoal balas pengadu dalam kes itu Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Mohd Saiful dijangka akan disoal balas peguam Karpal Singh yang mengetuai barisan pembelaan yang terdiri daripada Datuk Param Cumaraswamy, Datuk C V Prabhakaran, S N Nair, Ram Karpal Singh Deo, Marisa Regina Fernando, dan Mohd Razlan Jalaluddin.

Banyak perkara yang menimbulkan kesangsian dari keterangan-keterangan Saiful pada minggu lepas.


9.20 am: Tim Presiden PKR Dr Syed Hussin Ali dan Setiausaha Agong PKR, Saifuddin Nasution telah tiba.

9.25 am: Anwar tiba bersama isterinya Wan Azizah Wan Ismail serta dua anak perempuannya.

9.26 am: Ahli Parlimen Batu Chua Tian Chang dan Pemimpin PKR Chua Jui Meng measuk ke dalam mahkamah.

9.38 am: Peguam Mr. Sankara & Dato' Param telah tiba. Karpal Singh belum kelihatan

9.46 am: DSAI kelihatan berada di kawasan peguam2 pembelanya, berkata-kata sesuatu dengan mereka.

9.48 am: Nurul Izzah tiba. Masih menunggu Karpal Singh.

9.48 am: Peguam Karpal sudahpun tiba dan masuk ke mahkamah. Menunggu Hakim.

10.00 am: "Mahkamah bangun!" Hakim tiba. Kes disebut. Peguam pemerhti dari Majlis Peguam diperkenalkan.

10.03 am: Karpal memulakan dengan mengemukakan satu permohonan sebelum memanggil saksi untuk disoalbalas. Pendakwa membantah. Hakim bersetuju untuk mendengar permohonan Karpal.

10.05 am: Pendakwa meminta masa untuk bersedia. Karpal menyatakan permohonan ini perlu didengar dahulu. Krpal berhujjah ini bukan perkara main-main, ia adalah serius.

10.10 am: Karpal memohon supaya hakim menarik diri daripada membicarakan kes.

10.11 am: Hakim Mohd Zabidin Mohd Diah menetapkan esok jam 9.30am untuk mendengar permohonan yang difailkan oleh Karpal Singh.

10.12 am: Oleh itu mahkamah ditangguhkan sehingga esok pagi. Tamat untuk hari ini.



KEMASKINI TAMAT

UMNO Perlu Berundur - The Australian

Setelah seminggu mengikuti perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim, rumusan awal oleh dunia antarabangsa ialah mantan timbalan perdana menteri itu sekali lagi menjadi mangsa fitnah dan konspirasi peringkat tertinggi.

Di Australia, parlimen menerima laporan Jawatankuasa Hal Ehwal Luar negaranya bersabit isu Anwar.

Pengerusinya Michael Danby memaklumkan parlimen bahawa pihak tertentu dalam Umno sekali lagi di dapati memperalatkan sistem perundangan Malaysia untuk membunuh karier politik Anwar.

Danby memberitahu parlimen bahawa pengamal demokrasi di sekitar rantau ini terkejut dengan apa yang sedang berlaku di Kuala Lumpur.

Ahli politik veteran mengenai hal ehwal Asia ini berkata untuk kali kedua, pihak-pihak tertentu dalam kerajaan merekacipta bukti termasuk memalsukan dokumen manakala saksi dipaksa untuk memberi keterangan bagi mensabitkan Anwar.

Beliau berkata perbicaraan konspirasi kedua adalah mirip perbicaraan pertama yang dilalui oleh Anwar pada tahun 1999.

Menurut beliau kedua-dua siri perbicaraan berkenaan mencemar usaha Malaysia mencanang diri sebagai pendokong prinsip-prinsip demokrasi.

Danby menegaskan bahawa semua pihak di Malaysia dan pengamal undang-undang antarabangsa yakin Anwar tidak bersalah atas semua tuduhan ini.

Danby berkata pertuduhan fitnah liwat terhadap Anwar diulang kerana beliau adalah satu-satunya ahli politik berbangsa Melayu dalam pembangkang yang berupaya menggugat kedudukan Umno.

Dalam pada itu akhbar The Australian berpendapat perkembangan yang sedang berlaku di Malaysia kini hanya menyerlahkan hakikat bahawa Umno perlu berundur setelah memegang kuasa lebih daripada lima dekad.

Di bawah Umno, Malaysia sudah pun jauh ketinggalan berbanding negara-negara yang dahulunya lebih mundur daripadanya, menurut The Australian dengan merujuk kepada Indonesia sebagai contoh.

Untuk perbandingan, pertumbuhan ekonomi Indonesia mengatasi Malaysia untuk tiga tahun berturut-turut, termasuk tahun ini.

Contohnya ketika ekonomi Malaysia mengucup negatif 2.8 peratus tahun lalu, Indonesia mencatatkan pertumbuhan ekonomi 4.5 peratus.