8 Feb 2010

Iktibar Untuk Jawatankuasa Disiplin PAS

Hatib bin Abi Balta'ah, Sahabat Yang Mendedahkan Rahsia Jamaah

Oleh Ustadz Ahmad Awang

Firman Allah:
إِنَّ اللّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤدُّواْ الأَمَانَاتِ إِلَى أَهْلِهَا
وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ النَّاسِ أَن تَحْكُمُواْ بِالْعَدْلِ إِنَّ اللّهَ نِعِمَّا
يَعِظُكُم بِهِ إِنَّ اللّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا

Maksudnya:
Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat. (An-Nisa': 58)

Fat-hu Makkah
Pembukaan Kota Makkah pada bulan Ramadhan tahun kelapan hijriah merakamkan pelbagai peristiwa penting dalam sejarah perjuangan Islam di bawah pimpinan Rasulullah s.a.w. untuk dijadi iktibar dan pengajaran bagi umatnya. Salah satu peristiwa tersebut ialah tindakan Hatib bin Abi Balta'ah (HAB) menulis surat kepada kaum Quraisy di Makkah memberitahu perancangan Rasulullah s.a.w. untuk menyerang kaum musyrikin Quraisy secara mengejut.

Rasulullah s.a.w. merahsiakan perancangan tersebut bagi memeranjatkan kaum Quraisy dengan kehadiran tentera Islam di Makkah. Hanya beberapa orang sahabat sahaja yang diberitahu baginda. Rasulullah menyediakan angkatan perang yang mengandungi tidak kurang dari 10,000 orang pejuang setelah menolak permintaan Abu Sufyan bin Harb, ketua musyrikin Makkah, supaya Perjanjian Damai Hudaibiah yang terbatal disambung semula setelah pihak Quraisy dan sekutunya mencabuli perjanjian damai tersebut kira-kira 2 tahun perjanjian tersebut terlaksana.

HAB yang mengetahui rahsia tersebut mengirim surat kepada kaum Quraisy kerana kebimbangannya keluarganya dari kaum musyrikin di Makkah akan terancam keselamatan mereka. Surat tersebut dikirimkannya melalui seorang wanita bernama Dza'inah. Rasulullah yang mendapat wahyu Allah mengenai perbuatan HAB itu memerintahkan Sayidina Ali bin Abi Talib bersama dengan Zubair dan Miqdad segera mengambil surat tersebut dari wanita berkenaan yang dalam perjalanan menuju ke Makkah. Di satu tempat bernama Raudzah Khoh seperti yang diarahkan oleh Rasulullah s.a.w., wanita tersebut ditemui dan menyerahkan surat tersebut kepada Sayidina Ali setelah dia diperiksa walaupun pada mulanya menafikan ada membawa surat berkenaan.

Hatib Dipanggil
Kemudian Sayidina Ali menyerahkan surat itu kepada Rasulullah s.a.w. yang didapati isi kandungannya menyebutkan datangnya dari HAB dan ditujukan kepada orang-orang musyrikin Makkah yang mendedahkan perancangan yang dirahsiakan oleh Rasulullah s.a.w untuk menyerang kaum Quraisy. HAB dipanggil mengadap Rasulullah s.a.w. dan disoalsiasat mengenai surat tersebut. HAB mengaku melakukannya. Dia memberi alasan bahawa hubungannya dengan kaum musyrikin Quraisy di Makkah sangat rapat apatah lagi di kalangan mereka itu terdapat orang-orang yang menjaga dan melindungi keluarga dan harta orang-orang Islam yang berhijrah ke Madinah. HAB juga memberikan alasan bahawa kaum musyrikin Makkah melindungi kaum keluarganya sendiri di sana. Dia menegaskan bahawa perbuatannya itu bukanlah kerana berpaling tadah dari Islam (murtad) atau redha dengan tindak-tanduk orang-orang kafir musyrikin itu.

Rasulullah menerima alasan itu. Lantas Sayidina Umar Al-Khattab yang hadir bersama di majlis itu meminta Rasulullah membenarkannya untuk memancung HAB. Sayidina Umar mengatakan HAB adalah seorang yang munafik. Rasulullah s.a.w. menjawab Sayidina Umar dengan berkata bahawa HAB adalah seorang 'ahli badr' (yang telah menyertai perang Badr). Rasulullah berkata lagi kepada Sayidina Umar: "Kamu tidak tahu, moga-moga Allah memberi kedudukan kepada orang yang menyertai perang Badr." Nabi berkata pula kepada HAB: "Buatlah apa yang kamu suka, aku telah memaafkan kamu." Bersebab dari peristiwa ini, turunlah ayat Al-Quran (Al-Mumtahanah, ayat 1) yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil musuhKu dan musuh kamu menjadi teman rapat, dengan cara kamu sampaikan kepada mereka (berita-berita rahsia orang-orang mukmin) dengan sebab hubungan baik dan kasih mesra yang ada di antara kamu dengan mereka, sedang mereka telah kufur ingkar terhadap kebenaran (Islam) yang sampai kepada kamu; mereka pula telah mengeluarkan Rasulullah (s.a.w) dan juga mengeluarkan kamu (dari Tanah Suci Makkah) disebabkan kamu beriman kepada Allah Tuhan kamu. (Janganlah kamu berbuat demikian) jika betul kamu keluar untuk berjihad pada jalanKu dan untuk mencari keredaanKu. (Tidak ada sebarang faedahnya) kamu mengadakan hubungan kasih mesra dengan mereka secara rahsia, sedang Aku amat mengetahui akan apa yang kamu rahsiakan dan apa yang kamu zahirkan. Dan (ingatlah), sesiapa di antara kamu yang melakukan perkara yang demikian, maka sesungguhnya telah sesatlah ia dari jalan yang betul."

Ayat di atas menegaskan bahawa dalam apa jua keadaan pun Islam tidak membenarkan mengambil dari musuh-musuh Allah menjadi pemimpin yang ditumpahkan perasaan kasih sayang kepada mereka, atau diberikan bantuan atau pertolongan kepada mereka. Ayat ini diturunkan sekalipun HAB memberikan alasan bahawa dia bukan bertujuan menolong atau membantu kaum musyrikin Makkah itu, bahkan sebaliknya dia mahu mereka melindungi keluarganya serta hartabenda orang Islam yang berhijrah yang ditinggalkan kepada mereka.

Iktibar Kepada Jawatankuasa Displin PAS
Mengingat peristiwa perbuatan HAB mendedahkan rahsia penting mengenai perancangan Rasulullah membuka Makkah (fat-hu Makkah), terlintas di fikiran saya tidakkah Jawatankuasa Displin PAS yang dianggotai oleh dua orang ulama' terfikir peristiwa ini boleh dijadikan panduan atau iktibar dalam memutuskan penghakiman terhadap Khalid Samad (KS) atas pertuduhan yang dikatakan serius iaitu mendedahkan RAHSIA parti. Sebesar manakah rahsia yang didedahkan KS itu telah juga dijawab oleh beliau sendiri di hadapan majlis penghakiman Jawatankuasa Displin yang diketuai oleh Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man.

Rahsia yang didedahkan oleh HAB adalah satu rahsia yang sangat besar dan perbuatan yang dilakukan oleh HAB itu satu kesalahan yang sangat serius sehingga Allah memberitahu rasulNya atas perbuatan HAB itu. Kalau rahsia sebesar itu yang didedahkan HAB boleh diampuni oleh Rasulullah s.a.w. atas pertimbangan HAB adalah 'ahli badr', walaupun mendapat sanggahan dari Sayidina Umar Al-Khattab, apakah KS tidak layak untuk dimaafkan menimbangkan usaha dan pengorbanannya yang besar dalam PAS. Kita tidaklah samakan pengorbanan KS setaraf dengan pengorbanan 'ahli badr', namun jasa KS juga besar kepada PAS yang mungkin boleh dipertimbangkan. Antaranya, peranan beliau yang menggagalkan perancangan sulit pimpinan PAS Selangor untuk menubuh kerajaan gabungan PAS-UMNO di Selangor, dua atau tiga hari selepas PRU Ke-12 2008. KS juga dalam tempoh perjuangannya dalam PAS hampir 30 tahun pernah bertanding dan kalah di Kelantan, Perlis dan Selangor sebelum PRU Ke-12. Beliau juga berkorban dengan meninggalkan jawatan profesionalnya hingga kehilangan sumber pendapatan lumayan yang pernah dinikmatinya. KS juga pernah ditahan di bawah ISA.

Saya percaya sebahagian pimpinan PAS dan ramai pendokong jamaah PAS mengenali KS seorang yang dapat menampilkan perjuangan PAS dengan keupayaan dan kekuatan berhujah, baik di segi rasional mahupun dari segi prinsip-prinsip dan kaedah dakwah Islam. KS pernah bersama saya dalam satu lajnah yang saya mempengerusikannya. Saya dapati beliau seorang yang memang bercakap dan bekerja dengan perancangan dan melaksanakan perancangan yang diprogramkan dengan begitu bersungguh-sungguh. Cukup kalau saya katakan kalau ramai pimpinan PAS seperti KS, PAS boleh bergerak lebih lancar dan maju ke hadapan dalam konteks PAS ber'tahaluf' degan parti-parti Pakatan Rakyat sekarang, bahkan dengan parti-parti lain yang (selain UMNO) yang boleh ber'tahaluf' dengan PAS.

Bersabit dengan perkara mendedahkan RAHSIA parti, saya melihat kepimpinan parti perlu menggariskan panduan yang eksklusif bagi mentakrifkan kerahsiaan itu supaya tidak dipertikaikan tafsirannya terutama apabila ia melibatkan kes pertuduhan yang diadili Jawatankuasa Displin parti. Bahkan selaras dengan pindaan perlembagaan yang terkini mengenai Jawatankuasa Displin, perlu juga diteliti kedudukan keahlian jawatankuasa tersebut bagi membolehkan terlaksananya prinsip keadilan dalam sebuah ungkapan yang popular "not only must justice be done, it must also be seen to be done" yakni bermaksud keadilan bukan sahaja mesti dilaksanakan, bahkan mesti kelihatan dilaksanakan. -Blog Ust Ahmad Awang

10 ulasan:

  1. Begitulah hasilnya apabila JK disiplin pas dikuasai mamat2 yg syok UG....Kami sokong TGNA saran EGM.

    BalasPadam
  2. Begitulah hasilnya apabila JK disiplin pas dikuasai mamat2 yg syok UG....Kami sokong TGNA saran EGM.

    BalasPadam
  3. mana mamat2 Terengganu yg sibuk mencelakakan blogger?

    Apakah mereka juga mencelakakan Ust Ahmad Awang?

    BalasPadam
  4. Salah seorang yang mencelakakan blogger ialah TGNA, lo tak nak sebut sekali ker?

    BalasPadam
  5. Ada yg mengatakan tindakan ust ahmd awang boleh mengeruhkan keadaan. Saya ingin jawab, skrg bukan masanya utk mengeruhkan keadaan, tp penjelasan perlu dilakukan agar ahli lebih tenteram, bahkan blogger bebas pun inginkan penjelasan yg sewajarnya trhadap tindakan yg diambil ini. Pas harus merancakkan budaya menegur terutama di dlm internet ini, barulah Pas kelihatan konsisten dlm semua keadaan. Tahniah Ust Ahmad Awang.

    BalasPadam
  6. Ust Ahmad Awang adalah org yg tau ttg 'rundingan gelap' Pas-Umno. Smg ust dpt perkukuhkan Pas bersama Pakatan Rakyat. Bersihkan anasir UG dr Pas, kami akan bersama Pas-Pakatan Rakyat.

    BalasPadam
  7. Lantik Ust Azizan sbg Presiden PAS, insyaAllah selesai.. Kita perlukan ketua yg mahir dan mampu menggelicik di gelanggang lawan. Ketua dewan ulamak serahkan kpd Hadi Awang dan dia akan terus konsisten dgn isu 'nama Allah'. - Serahkan sesuatu kpd ahlinya (yg pakar)

    BalasPadam
  8. Hadi Awang x byk dpt uruskan masalah Pas, geng2 UG jgn la marah.. Kita sygkan Pas, jd kena buat perubahan utk mengukuhkan lagi ikatan ini. Kita bukan hanya berdakwah, tetapi kena mahir juga bacaan arus politik. Sbb tu kena ada ketua yg ligat dlm soal ni.

    BalasPadam
  9. azman said
    Salah seorang yang mencelakakan blogger ialah TGNA, lo tak nak sebut sekali ker?

    TGNA sebut sekali, puak terengganu mencelakakan blogger berkali2, diulang2kan. maka sah dan nyata puak terengganu yg akan ditimpa celaka.

    BalasPadam
  10. Ustaz Ahmad tidak pula membandingkan kesalahan membocorkan 'rahsia' parti yg dilalkukan oleh KS dgn kesalahan memporak-porandakan PR oleh HA. Kesalahan HA itu berupaya memusnahkan kredibiliti PAS yg akan juga menjejaskan peluang PAS pada PRU13 nanti.

    Antara 'kesalahan' KS yg dibuat demi kebaikan dan kesalahan HA yg akan memusnahkan PAS sebagai badan politik, mana yg lebih berat?

    BalasPadam

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.