29 Dis 2010

Harimau Malaya Sedia Mengaum Malam Ini

Ini sukan... tak perlu takut'

SEGELINTIR penyokong Indonesia yang melakukan tunjuk perasaan di hadapan hotel penginapan skuad Malaysia, Hotel Sultan di Jakarta semalam.


“TIADA apa yang nak ditakutkan. Ini acara sukan, bukan medan peperangan.” Itu tegas para penyokong Malaysia meskipun ada keraguan berhubung tahap keselamatan pada perlawanan akhir kedua Kejohanan Bola Sepak Piala Suzuki AFF 2010 yang akan berlangsung di Stadium Utama Gelora Bung Karno (GBK), Jakarta malam ini.

Sekumpulan 300 penyokong skuad kebangsaan tetap mahu bersama skuad negara apabila menentang Indonesia pada perlawanan akhir kedua itu malam ini.

Peminat dari Selangor, Kelantan dan Johor yang dikumpulkan oleh Kelab Penyokong Bola Sepak Selangor (SSFC) dan Gerbang Tempur Penyokong Bola Sepak Malaysia (Ultras Malaya) berlepas ke Jakarta semalam bagi menemani skuad kebangsaan apabila berdepan Indonesia yang mereka tewaskan 3-0 pada Ahad lepas.

Presiden SSFC, Mohd. Nasir Mohd. Yunus berkata, kehadiran penyokong negara di Indonesia telah dimaklumkan kepada Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta sebagai jaminan keselamatan.

“Penyokong Malaysia tidak perlu takut kerana kekalutan mungkin hanya berlaku ketika perlawanan sahaja dan tidak akan merebak di luar stadium, namun saya ingatkan penyokong negara agar sentiasa berwaspada,” katanya semalam.

Semalam, beberapa akhbar Indonesia melaporkan bahawa penyokong Malaysia tidak berani hadir untuk memberi sokongan kepada pasukan negara kerana bimbang dengan keselamatan mereka.

Sehingga kini belum diketahui jumlah penyokong Malaysia yang akan bertandang ke stadium tersebut walaupun dilaporkan sejumlah 5,000 tiket telah diperuntukkan untuk mereka.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek ketika ditanya di Jakarta berkata, penyokong Malaysia tetap ada, namun dijangka tidak seramai penyokong Indonesia semasa perlawanan di Bukit Jalil.

Pada Ahad lepas, kira-kira 15,000 penyokong Indonesia berada di Stadium Nasional, Bukit Jalil untuk menyaksikan perlawanan akhir pertama.

Kehadiran mereka dilayan dengan baik tanpa berlaku sebarang perkara yang tidak diingini.

“Begitu juga yang kami harapkan apabila penyokong Malaysia datang ke Jakarta untuk menyaksikan perlawanan ini,” kata Mohd. Nasir.

Beliau dan penyokong lain berharap dapat mengiringi kepulangan skuad kebangsaan bimbingan jurulatih K. Rajagopal itu bersama Piala Suzuki.

Sementara itu, kumpulan Ultras Malaya juga akan mengumpulkan peminat bola sepak tempatan menonton siaran langsung perlawanan tersebut menerusi skrin besar di Restoran Hakim, Seksyen 7, Shah Alam seawal pukul 7 malam ini.

Wakil kumpulan itu, Mohd. Azrul Mohd. Hussin, 25, berkata, mereka berjaya mengumpul lebih 100 penyokong untuk menyaksikan perlawanan separuh akhir kedua ketika Malaysia menentang Vietnam pada 18 Disember lepas dan kali ini berharap lebih ramai akan turut sama.

Sementara itu, sebilangan penyokong pasukan Indonesia berkumpul di hadapan hotel penginapan skuad Malaysia di Jakarta untuk menunjuk perasaan ekoran tidak puas hati selepas pasukan mereka tewas 0-3 pada aksi pertama di Bukit Jalil, Ahad lepas.

Mereka membawa kain rentang yang ditulis perkataan: Tak Ada Tempat Yang Aman Untuk Penonton Timnas Malaysia Di Jakarta!!!; “Raja Gombal..” Di Jakarta Kami Hancurkan; ‘No Laser, Only Football’.

Begitupun, tindakan penyokong Indonesia itu tidak menjejaskan fokus skuad negara dan mereka menghadapinya dengan tenang tanpa ada perasaan gementar.

Apa yang pasti, tindakan penyokong pasukan tuan rumah itu sangat memalukan kerana pasukan mereka disambut dengan penuh hormat ketika bertandang ke Kuala Lumpur.

Ia juga membuktikan bahawa skuad Indonesia tidak ada keyakinan pada diri sendiri dengan meminta sokongan peminat berbuat demikian dengan harapan dapat melunturkan semangat pemain negara. -kosmo


Subahan: Pemain tidak gentar

BARISAN wira negara yang akan berjuang menjulang nama Malaysia di bumi Indonesia malam ini kecuali Amirulhadi Zainal (berdiri tiga dari kanan) dan Mahali Jasuli (depan dua dari kanan) yang terlepas aksi akibat menerima kad kuning kedua.


JAKARTA - Pengurus pasukan kebangsaan, Datuk Subahan Kamal sudah mendapat hadiah hari jadi ke-45 yang cukup bermakna pada Ahad lalu apabila Malaysia menewaskan Indonesia 3-0 pada final pertama Piala Suzuki AFF 2010.

Namun, kejuaraan mutlak hanya akan diperoleh jika Malaysia berjaya mempertahankan kelebihan tersebut selepas tamat aksi final kedua di Stadium Utama Gelora Bung Karno di sini malam ini.

Menurut Subahan, beliau cukup yakin bahawa barisan pemain muda negara tidak akan menghadapi masalah untuk menangani tekanan yang bakal dihadirkan para penyokong fanatik Indonesia sepanjang baki 90 minit perlawanan.

"Saya rasa mental para pemain tiada masalah. Sebelum latihan semalam (kelmarin) saya sudah jumpa mereka dan meminta agar beri fokus sepenuhnya. Jangan fikir hal-hal lain.

"Saya yakin para pemain mampu menyerap tekanan walaupun penyokong Indonesia ini agak fanatik. Kami tak gentar dan yakin Piala Suzuki AFF akan dijulang Malaysia," katanya ketika ditemui di Hotel Sultan di sini semalam.

Subahan yang sudah setahun setengah menggalas tugas seba- gai pengurus skuad kebangsaan berkata, kekalahan 1-5 kepada Indonesia pada 1 Disember lalu menjadi titik kebangkitan mereka pada kejohanan kali ini.

"Situasi kita ini sama seperti Sukan SEA 2009 apabila kita tewas kepada Vietnam pada aksi pertama tetapi akhirnya menewaskan lawan yang sama pada final.

"Pada Piala Suzuki AFF ini, selepas tewas 1-5 kepada Indone- sia, saya beritahu pemain bahawa kita mesti muncul juara dan berjumpa semula Indonesia di final. Misi ini hampir tercapai," jelasnya.

Subahan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Media Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) turut kesal dengan media Indone- sia yang gagal membantu menjernihkan ketegangan kedua-dua negara.

"Saya lihat media di sini langsung tidak membantu. Mereka lebih mengapi-apikan penyokong Indonesia dengan membangkitkan pelbagai isu remeh dan laporan berunsur provokasi.

"Apa yang saya nampak, mereka seolah-olah tidak dapat menerima kenyataan yang pasukan mereka tewas 0-3 di tangan kita," ujarnya. -kosmo

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.