18 Feb 2010

Tanah Jerlus Tepi Jalan, Wanita Hampir Maut Bila Keretanya Terjunam

Seorang wanita nyaris maut selepas kereta yang sedang dipandunya terbabas sebelum terjunam ke dalam sebuah lubang sedalam satu meter di Jalan Sultan Abdullah, Indera Mahkota di sini, semalam.

Kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu berlaku ketika mangsa yang berusia 30-an sedang memandu seorang diri.

Seorang saksi, Mohd. Amin Mat Razali, 29, berkata, kereta mangsa dipercayai dipandu laju dan melanggar limpahan air di atas jalan akibat paip bawah tanah yang bocor sebelum terbabas ke dalam sebuah lubang di kiri jalan.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan kenderaan mangsa terbabas ke bahu jalan sebelum terjunam ke dalam lubang yang terjadi akibat paip air bawah tanah yang bocor.

“Akibat kejadian itu, kereta Kia Picanto yang dipandu mangsa kemudiannya terjunam ke dalam lubang berkenaan dengan sebahagian bahagian depan kenderaan tenggelam,” katanya di sini.

Katanya, wanita berkenaan kemudian diselamatkan orang ramai yang berada disitu.

Difahamkan mangsa yang hanya mengalami kecederaan ringan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk rawatan lanjut.:

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusof ketika menghubungi mengesahkan mengenai kejadian tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Oleh kerana terlalu ramai yang menyalahgunakan ruangan komen untuk tujuan mengeluarkan kata-kata kesat, mencarut, maki hamun dan bahasa yang tidak murni, semua komen akan disemak dahulu sebelum dilulusterbitkan.